DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 18 May 2020

Mr. Bibik - Bab 5

“SAYA kena kahwin dengan dia?” Firas tunjuk Aulia. Memang betul-betul bala ni. Dia cuba duduk dengan tenang. Tadi mereka berbicara di depan pintu masuk. Sekarang mereka berada di ruang tamu. Malah dia sedang duduk di sofa sambil matanya memerhatikan lelaki bergelar Tan Sri itu. Di sebelah Tan Sri Halim ialah lelaki yang kononnya tunang perempuan itu.

Matanya memandang ke arah Aulia sedang menangis dengan ditenangkan oleh seorang wanita berusia juga. Tiba-tiba sahaja wanita separuh umur itu muncul bersama seorang lagi lelaki. Dia langsung tidak kenal siapa mereka. Dan sekarang mereka memaksa dia berkahwin dengan ‘Cik Aulia’. Kecuali lelaki yang menuduhnya sebagai anak ikan tadi.

“Saya sanggup kahwin dengan Aulia, uncle. Tak payah kahwinkan dia dengan lelaki tak tentu ni. Entah orang miskin mana yang Aulia kutip.” Mukhriz tidak akan membiarkan Aulia jatuh ke tangan orang lain. Sudah lama dia bertunang dengan gadis itu. Alih-alih dia kena berputih mata.

“Mukhriz. Terima kasih atas niat baik kamu. Tapi uncle rasa lebih baik Mukhriz cari perempuan yang lebih baik,” ucap Tan Sri Halim. Seterusnya mata beralih ke arah Firas. “Dan kamu kena bertanggungjawab atas apa kamu buat. Berdua-duaan dengan anak saya dalam kondo ni.”

Daddy... Kami berduaan tak sampai 5 minit. Apa kami boleh buat dalam masa lima minit tu.” Aulia tidak sangka papanya sekejam itu.

“Betul tu, tuan. 5 minit tak sempat buat apa pun. Nak mukadimah pun tak sempat.” Firas menyampuk.

Aulia menjeling Firas tajam.

“Itu yang saya nampak. Yang saya tak nampak!” Tan Sri Halim bersuara keras.

“Panggil dia Tan Sri, bukan tuan. Kau tahu ke dia ni siapa?”

“Tak, aku tak tahu.” Firas membalas kata-kata Mukhriz. Pertama kali dia berjumpa tokoh itu. Pastilah dia tidak kenal.

“Dia ni Tan Sri Halim Iskandar, pemilik Kumpulan Halim Reka. Syarikat pembinaan terkenal.”

“Maaf, tak kenal.” Firas tidak berselindung.

“Kurang ajar. Biar saya tumbuk dia uncle. Tak hormat orang langsung!”

“Sudah!” Tan Sri Halim menahan Mukhriz daripada bangun. Dia tidak mahu timbul kekecohan yang lebih besar lagi.

Daddy, please... baby girl tak nak kahwin dengan dia.” Aulia mengesat air matanya.

“Betul, uncle. Jangan nikahkan Aulia dengan orang gaji ni. Biar Aulia kahwin dengan saya.” Mukhriz tidak jemu-jemu menawarkan diri.

No! Aulia tetap kena kahwin dengan budak ni. Mukhriz jangan masuk campur. Uncle kena ajar Aulia ni. Takkan dia dah buat maksiat dengan orang lain tapi orang lain kena tanggung.”

“Berapa kali baby girl nak cakap, dia staf Siti. Kalau daddy tak percaya, daddy boleh panggil Siti.”

Baby girl boleh minta pembantu lain, kan? Kenapa mesti izinkan dia masuk?”

Aulia terdiam. Kelihatan ayahnya sudah bulatkan tekad tidak akan menerima sebarang alasan yang diberikannya.

“Kalau baby girl tak mahu kahwin, daddy lucutkan jawatan baby girl. Dan jangan harap bantuan daddy lagi. Pergi cari kerja sendiri.”

Daddy jahat! Mama... daddy tak sayang baby girl.” Aulia menangis di riba mamanya.

Takpe you... kalau daddy you tak nak tolong, kahwin dengan I. I boleh senangkan you. Please uncle, biar saya yang kahwin dengan Aulia?”

Tan Sri Halim tidak menjawab. Sebaliknya dia menjawab telefon yang sedang bising minta diangkat.

“Assalamualaikum, Mahfuz.”

Mukhriz memasang telinga. Tan Sri Halim menyebut nama papanya.

“Maaflah... aku tak tahu... aku tahu aku gagal didik anak aku. Ya... okey... Nah.” Tan Sri Halim menghulurkan telefon kepada Mukhriz.

“Assalamualaikum pa.... tapi... tapi pa... okey.” Mukhriz memulangkan telefon Tan Sri Halim dengan muka mencuka.

“Mukhriz...”

“Tan Sri, boleh tak saya nak cakap sikit?” Firas mencelah. Entah drama swasta apa yang ditontonnya sekarang dia tidak kisah. Pentingnya penamat cerita ini, dia tidak akan berkahwin paksa dengan perempuan yang baru dua kali dijumpainya.

“Cakaplah.”

“Kenapa saya mesti kahwin dengan anak perempuan Tan Sri? Kami baru dua kali jumpa. Kalau diberi pilihan saya tak naklah ada awek macam anak Tan Sri apa lagi nak buat isteri. Dahlah pemalas. Tak pandai masak. Malas dia tak boleh bincang. Sanggup simpan baju kotor berbakul-bakul semata-mata malas nak cuci. So memang tak pernah terlintas kat otak saya yang masih normal ni nak bercinta dengan dia. Apatah lagi buat maksiat.” Selamba sahaja Firas mengutuk Aulia. Dia datang ke situ hanya untuk bekerja bukan untuk melakukan perkara yang akan memalukan dia.

Terus Aulia angkat kepala dan pandang Firas dengan tajam.

“Awak ni kahwin nak cari isteri atau orang gaji?”

“Bukanlah nak cari orang gaji, tapi naklah isteri yang boleh bertolak ansur dan bantu-membantu. Cik Aulia... malas terlebih malas,” sekali lagi Firas mengutuk Aulia.

“Mulut tu kalah longkang. Tak naklah kahwin dengan dia.” Aulia tarik muka.

“Saya pun tak nak kahwin dengan Cik Aulia.” Firas membalas.

“Maksud kamu, kamu tak nak bertanggungjawab?”

“Bukan macam tu, Tan Sri. Saya ni orang miskin. Kerja pun tak ada. Macam mana saya nak tanggung anak dara Tan Sri ni? Dia ni pemalas. Duit gaji saya tak mampu nak bayar orang gaji untuk dia. Apatah lagi nak beli baju dia yang mahal tu. Baju dalam aje harga dah ratus-ratus, apatah lagi baju luar dia.” Sempat lagi Firas mengutuk Aulia.

Aulia jegilkan mata. Sampai baju dalam pun Firas sebut. Memang tebal mukanya saat ini.

“Jadi kamu memang tak mahu bertanggungjawab? Dah belek baju dalam anak dara orang, itu pun kata tak ada apa-apa?”

Firas kelu. Dia mengutuk diri sendiri dalam hati. Kenapa dia boleh buka topik baju dalam mahal gadis itu. Sah dia nampak macam lelaki gatal.

“Ken, tolong call mak dia kat kampung.”

Firas terkejut. Mana mereka dapat nombor telefon emaknya? Tapi betul ke itu nombor rumah kampungnya?

“Puan Salbiah Kasim, nombor telefon 0163231...” Sengaja Ken sebut kuat-kuat sambil pandang skrin telefonnya.

“Tolong jangan call mak saya! Dia ada sakit jantung. Saya tak nak mak saya terkejut.” Firas bersuara cemas. Lega dia tatkala melihat lelaki yang dipanggil Ken itu menyimpan telefon.

“Saya akan kahwin dengan anak Tan Sri. Saya janji.” Firas akhirnya mengalah. Dia tidak mahu emaknya terkejut bila dapat tahu dia ditangkap basah.

“Kalau macam tu bagus. Mulai dari hari ni Ken akan jadi bayang-bayang kamu. Sampai tok kadi cakap sah. Jangan cuba-cuba nak lari. Saya tahu dekat mana kamu tinggal. Kalau kamu lari, mak kamu... baik fikir fasal mak kamu.”

Firas telan air liur. Nampaknya ugutan tadi bukan main-main. Lelaki ini tokoh korporat atau ketua mafia?

Uncle... Aulia tunang saya.” Mukhriz tidak puas hati.

“Macam uncle cakap tadi, Mukhriz berhak cari perempuan lain. Bukan Aulia. Papa Mukhriz pun setuju nak putuskan pertunangan ni. Dan uncle akan bayar denda yang kami persetujui masa bertunang dulu. ”

Mukhriz tunduk.

Daddy kejam!” jerit Aulia.

Daddy kejam sebab baby girl. Sekarang ikut daddy dengan mama balik.” Tan Sri Halim membalas tegas.

“Tan Sri, sebelum balik bagilah Cik Aulia makan. Penat saya masak tadi.”

Aulia pandang Firas tajam. Dalam saat genting macam ni, sempat pula bercakap tentang makan.

 

“JANGAN FIKIR awak boleh kaya cepat jadi menantu Tan Sri.” Aulia memerhatikan Firas membungkus makanan yang terhidang di atas meja.

Perutnya menyanyi lapar dan keinginannya untuk meratah kepala ikan siakap masak asam pedas begitu membuak. Tapi ayahnya paksa juga dia balik. Sudahnya semua makanan harus dibungkus.

“Jangan fikir awak boleh goyang kaki sesuka hati sepahkan rumah dapat suami rajin macam saya? Malas tak boleh bawa bincang,” sinis Firas menyindir. Sakit hati kena kahwin paksa. Memang dia akan ambil kesempatan buli Aulia nanti. Perempuan pemalas memang tidak ada tempat di hatinya.

Aulia mencekak pinggang.

“Hei, Mr. Bibik! Kau ingat aku hadap nak kahwin dengan kau? Kalau tak kerana aku akan hilang jawatan, memang aku tak nak kahwinlah.”

“Helo, Cik Pemalas. Awak ingat saya hadap sangat nak kahwin dengan awak? Kalau tak kerana kesian awak hilang jawatan memang saya tak nak kahwin dengan awak,” balas Firas.

“Mama, tengok tu! Belum apa-apa, dah buat baby girl. Dia... Kenapa papa suruh baby girl kahwin dengan dia?” Aulia mendekati mamanya yang duduk di meja makan

“Habis tu Lia sanggup kahwin dengan Mukhriz?” Puan Sri Ameena bersuara. Belum apa-apa anak dan bakal menantunya sudah bercakar. Tapi bagus juga Aulia bertemu dengan lawannya. Sama degil.

Aulia terdiam. Matanya memerhatikan Firas. Lelaki itu kelihatan cekap membuat kerja-kerja dapur. Berkahwin dengan Mukhriz memang dia mahu elak tetapi bukanlah dengan memilih seorang pembantu rumah lelaki sebagai suami. Apatah lagi hendak berkahwin dengan lelaki yang baru dua kali dijumpainya. Kenal nama sahaja. Tetapi dia tidak boleh bantah arahan ayahnya.

“Berdiri kat situ buat apa? Tolonglah cuci pinggan tu. Takkan nak tengok aje tuan puteri.” Firas menegur Aulia yang sejak tadi berdiri memerhatikan dia. “Kalau awak tolong cepat sikit siap kerja kita.”

“Tak naklah, geli.” Aulia tunjuk muka gelinya.

Firas naik angin. Dia mendekati Aulia dan mencekak pinggang.

“Biasanya kalau lepas makan buat apa dengan pinggan tu?”

“Biarkan aje. Besok maid datang, dia cuci.” Aulia jawab selamba. Jarang dia makan di rumah. Selalunya dia akan makan di luar.

“Ya Allah. Teruknya dia ni. Malas tahap dewa dah. Awak tahu tak kalau awak biarkan pinggan tak bercuci, nanti makhluk tak sepatutnya datang jilat pinggan tu. Air liur dia melekat kat pinggan. Maid cuci pun tak hilang bekas air liur dia. Mana lebih geli, makan bekas air liur dia atau cuci pinggan?”

Terkebil-kebil mata Aulia mendengar kata Firas. Tapi betul ke atau semata-mata auta lelaki itu? Dia pandang mamanya. Puan Sri Ameena berpura-pura leka membelek telefon.

“Yalah... Yalah...” Aulia hentak kaki lalu mendekati singki.

Firas tersengih. Dia cuma mereka cerita. Tak sangka pula Aulia akan menurut.

“Maaf Puan Sri... saya...” Rasa bersalah pula kerana membuli anak dara orang.

“Tak apalah Firas. Memang patut pun ada orang ajar dia. Manja sangat.” Puan Sri Ameena memerhatikan anak daranya. Salah dia dengan suaminya kerana terlalu memanjakan Aulia. Kerja rumah langsung tidak pandai.

Firas mendekati Aulia.

“Apa tu dentam-dentum? Buat kerja tu cubalah ikhlas sikit.”

“Habis rosak kuku saya.” Aulia membelek kukunya.

“Cuci tak bersih nanti datang makhluk tu...” Firas sengih jahat. Sengaja kenakan Aulia.

“Yalah, jangan cakap lagi. Geli.”

Sekali lagi Firas tersengih jahat.

No comments:

Post a Comment