DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 19 May 2020

Rindu Yang Terpendam - Bab 8

HAMPIR tersembur makanan di mulutnya saat Ayie mendengar berita ini. Mahu sahaja dia mengamuk di hadapan tok ma. Sudahlah ketika ini mereka di meja makan.

“Ayie tak setuju!”

Mak Su Sheila dan Nek Rafidah saling berpandangan. Sudah diagak, pasti Ayie akan mengamuk.

“Jangan macam ni, Ayie. Sekarang ni, kita tengah sahur. Habiskan makanan tu dulu,” pujuk Mak Su Sheila.

Ayie merengus kasar. Sakit hati betul dia apabila semudah itu kedua ibu bapanya membuat keputusan tanpa bertanya kepada dia terlebih dahulu.

“Sekarang ni, kenapa papa suka hati aje buat keputusan? Balik sebab nak bawa Ayie ke sana. Memang kelakar betul papa tu!” Ayie sudah hilang sabar. Sudah acap kali kedua ibu bapanya tidak jadi pulang ke Malaysia. Kali ini, dia disuruh terbang ke London dalam masa 2 bulan lagi. Malah, disuruh menyambung pelajaran di London.

“Ayie, mama dan papa baru buka cawangan baru dekat sana. Sebab tu papa tak dapat balik lagi. Bagus juga Ayie sambung belajar dekat sana. Kan ni impian Ayie nak tinggal dengan mama dan papa. Mereka balik nak jemput Ayie nanti.” Nek Rafidah cuba menerangkan alasan yang terbaik kepada cucunya. Dia tidak mahu Ayie terus bermusuh dengan ibu bapa kandungnya. Hubungan Ayie dengan anak dan menantunya sudah semakin teruk.

Ayie lekas berdiri dan berjalan ke singki. Dia membasuh tangannya. Selera dia sudah mati gara-gara permintaan orang tua itu.

“Kalau dulu, mungkin Ayie gembira. Tapi sekarang...” Ayie gelengkan kepala dengan wajah yang tegang.

“Ayie dah tawar hati.” Tanpa menghiraukan tok ma dan mak su, lekas dia meninggalkan meja makan.

Nek Rafidah mengeluh lemah. Menyesal kerana memberitahu hal ini ketika mereka sedang bersahur di hari pertama bulan Ramadan.

“Mak.” Mak Su Sheila menyentuh perlahan bahu Nek Rafidah yang sedang termenung jauh itu.

“Apa nak jadi dengan anak saudara Ila tu? Mak dah pening nak pujuk si Ayie tu. Abang Ila pun satu, suka sangat buat keputusan tanpa berbincang.”

Ada rasa kecewa di hati Nek Rafidah dengan sikap anak sulungnya. Mak Su Sheila hanya berdiam diri sahaja. Dia sendiri tidak faham punca abangnya, Encik Sofian bertindak begitu.

“Kita doa yang baik-baik, ya mak. Ila pun harap Ayie dapat belajar dekat sana. Dah ramai yang cakap Ayie tu berkawan dengan budak-budak tak baik.”

Perkara itulah yang membimbangkan Mak Su Sheila dan Nek Rafidah. Walaupun keputusan SPM Ayie cemerlang, dia masih lagi bergaul dengan kawan yang tidak baik.

Nek Rafidah sangat berharap, sebelum dia menutup mata, dia mahu cucunya itu bergaul baik dengan kedua ibu bapanya kembali.

 

SELAMBA SAHAJA Ayie melepaskan asap rokok. Dia sengaja bersembunyi di belakang bangunan ini untuk melepaskan gian. Kepalanya masih serabut dengan permintaan kedua ibu bapanya.

Ayie tidak mahu dihantar ke luar negara. Selama ini, dia telah dibesarkan oleh nenek. Hari ini, tiba-tiba sahaja diberitahu yang mama dan papa ingin membawa dia ke luar negara dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Rokok di tangannya disedut rakus. Asap berkepul-kepul keluar dari mulutnya.

Ting!

Terhinggut bahu Ayie sebaik sahaja terdengar bunyi seperti tin minuman terjatuh. Dia melihat ada seorang gadis sedang sibuk menyelongkar tong sampah. Ayie masih ralit memerhati gadis itu.

Dhiya yang rasa seperti diperhatikan, terus berpaling ke belakang. Sebaik sahaja dia memandang ke arah lelaki yang sedang duduk mencangkung itu, wajahnya jelas terkejut. Plastik di tangannya terjatuh di atas jalan tar.

Pelik pula Ayie melihat reaksi gadis itu. Hendak dikatakan ternampak hantu, hari masih siang lagi. Lekas dia mendekati gadis itu.

Dhiya sudah mula menggelabah. Terburu-buru dia mengutip tin-tin yang terjatuh tadi. Takut jika lelaki berambut panjang itu mengecam dia.

“Nak aku tolong?” Tiba-tiba Ayie menawarkan pertolongan.

Pucat wajah Dhiya. Dia masih lagi menunduk menekur jalan.

Perbuatan Dhiya itu makin membuatkan Ayie sedikit bengang. Dia datang dengan niat mahu menolong tetapi cara gadis itu melayannya, seolah-olah dia lelaki yang jahat.

“Yang kau takut tengok aku tu dah kenapa? Aku ada buat salah ke?” marah benar Ayie. Sudahlah marahnya masih belum surut lagi dengan kejadian sahur tadi.

Terkulat-kulat Dhiya dimarahi oleh lelaki itu. Dia sebenarnya masih terkejut kerana tidak menyangka mereka akan bertemu lagi. Dari cara lelaki ini menegurnya, sah lelaki itu tidak mengecam wajahnya.

Perlahan-lahan Dhiya memberanikan diri untuk memandang wajah lelaki itu.

“Tak. Saya tak cakap abang buat salah dengan saya, tapi...” Dhiya memandang tepat ke wajah itu.

Abang?

Pertama kali Ayie mendengar panggilan itu. Rasa seperti ada getaran di dadanya saat ini. Sebaik sahaja Ayie terpandang mata bulat itu, tubuhnya menjadi kaku.

“Ehem. Err... tapi apa?” Ayie cuba berlagak tenang.

“Kalau saya cakap, abang jangan marah saya ya.” Dhiya kelihatan agak serba salah. Takut diherdik pula nanti.

Berkerut dahi Ayie dengan permintaan gadis ini. “Tengoklah dulu soalan apa yang kau nak tanya.” Ayie tayang wajah selamba.

Terkulat-kulat Dhiya mendengar jawapan Ayie. Kalau dah itu jawapannya, tak mustahil Dhiya akan diherdik.

“Cakaplah,” gesa Ayie.

Err... abang memang tak ada salah dengan saya, tapi dengan Allah... ada.” Lebih baik Dhiya bersikap jujur. Dia tidak mahu bersubahat dengan lelaki ini di bulan yang baik ini.

Hati Ayie yang baru sahaja sejuk sebentar tadi sudah bertukar panas saat mendengar sindiran gadis ini.

“Kau nak cakap apa ni?” Ayie lekas mendekati gadis itu.

Laju Dhiya berundur ke belakang beberapa langkah. Gerun juga dia melihat wajah bengis lelaki itu.

“Tu... abang hisap rokok...” gugup Dhiya memberikan jawapan.

Rokok yang berada di tangannya direnung sekilas. Makin pelik Ayie dengan teguran gadis ini.

“Hisap rokok pun salah ke?” soal Ayie dengan penuh sinis.

“Salahlah sebab ni kan bulan puasa.”

Gulp!

Kali ini wajah Ayie berubah pucat. Seolah-olah darah tidak mengalir di wajahnya saat ini.

“Pu... puasa?” Hampir tergagap Ayie dibuatnya.

“Takkanlah abang tak tahu hari ni hari pertama kita berpuasa?” Dhiya sudah memandang Ayie dengan riak yang keliru.

Terhenyak Ayie. Kulit mukanya sudah semakin tebal. Rasanya lebih perit dari ditampar oleh kawan gadis ini tempoh hari.

“Aku lupalah.” Rokok yang masih menyala itu dicampak ke atas jalan tar. Kakinya memijak kasar baki rokok yang masih menyala itu.

“Oh... lupa. Jadi, puasa abang tak batallah gamaknya.” Tersengih-sengih Dhiya memandang Ayie.

Terasa seperti diejek pula Ayie. Namun, dia sukar mengalihkan anak matanya ke arah lain setelah melihat senyuman itu.

Dhiya mengutip kembali tin-tin yang terjatuh tadi. Dia perlu lekas menjual tin-tin ini kerana ingin membeli lauk berbuka puasa hari ini. Tempoh hari, semua wang yang dia ada digunakan untuk membeli ubat ibunya.

“Kau nak buat apa dengan tin ni? Nak jual ke?” Entah kenapa, terasa ringan pula mulut Ayie berbual. Mungkin ini peluangnya untuk mengenali gadis ini.

Dhiya tersenyum nipis. Tangannya membetulkan selendang yang sudah lusuh di atas bahu.

“Haah. Abang pun cari tin juga ke? Kalau nak, kita boleh kongsi.”

“Boleh dapat banyak duit ke jual tin ni?”

Dhiya memandang lama wajah Ayie. Dari cara penampilan Ayie, pasti lelaki ini bukan orang yang senang. Seluar sahaja dah terkoyak sana sini. Tak salah kalau dia berkongsi rezeki.

“Tak adalah banyak tapi cukuplah untuk buat belanja beli barang dapur. Saya ni masih sekolah lagi. Nak bekerja, orang tak nak ambil sebab saya masih bawah umur. Terpaksalah cari rezeki dengan cara macam ni.”

Terdiam Ayie. Ada rasa sayu saat dia mendengar kisah hidup gadis ini. Patutlah pertama kali dia bertemu, perut gadis ini berbunyi menahan lapar. Rupa-rupanya ada kisah duka di sebalik wajah comel ini.

“Mak bapak kau tak marah ke kau buat kerja ni?” Ayie meringankan tulang dengan mengutip tin yang terakhir.

Dhiya tersenyum tawar.

“Abah saya dah lama meninggal. Ibu saya pula sakit. Jadi, sayalah kena jadi ketua keluarga sekarang.”

Tersentak Ayie. Tak jadi dia ingin menyerahkan tin itu. Dia berasa dirinya sangat beruntung jika dibandingkan dengan kehidupan gadis ini. Walaupun kedua ibu bapanya mengabaikan dia, Ayie masih lagi hidup dalam keadaan selesa.

“Terima kasih tolong saya, abang. Saya pergi dulu.” Dhiya mahu segera pulang ke rumah.

“Tunggu!” Melihat gadis itu mahu beredar, lekas Ayie menghalang Dhiya.

Terhenti langkah Dhiya. Perlahan-lahan dia berpaling memandang Ayie. Berdebar juga dia dibuatnya.

Err... aku Ayie. Nama kau?”

Dhiya tersenyum lega.

“Dhiya.”

Ayie berjalan mendekati Dhiya. Senyuman penuh makna terukir di bibirnya.

“Kau tak ingat aku?”

Mati senyuman Dhiya. Alamak!

“Sekarang ni, kau tak boleh lari dari bayar hutang aku.”

Tercengang Dhiya. Sah! Lelaki ini sudah mengecam dia.

No comments:

Post a Comment