DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 18 May 2020

Mr. Bibik - Bab 3

“AWAK siapa?” Aulia memerhatikan lelaki yang berdiri di luar pintu gril kondonya. Boleh tahan kacak. Senyuman manis bagai gula melaka. Rupa pun sejuk mata memandang. Allah hantarkan lelaki ini sebagai jodoh dia ke? Dari atas ke bawah dia perhatikan lelaki itu. Macam pernah tengok pakaian seragam yang dipakai lelaki itu. Matanya kembali naik ke atas. Senyuman gula kabung lelaki itu buat hatinya cair. Automatik bibirnya membalas senyuman lelaki itu. Siap dengan sengih.

Ehemm!”

Aulia kembali ke alam realiti. Dia kembali serius.

“Awak siapa?”

“Ni rumah Cik Aulia Izzatunnisa, kan? Saya Firas Iman dari Cuci Bersih Service. Majikan saya hantar untuk bersihkan kondo cik. Ini kad saya kalau cik tak percaya.” Firas tunjukkan tag nama yang tergantung di leher lalu diserahkan kepada Aulia.

Aulia membaca nama dan membandingkan gambar yang tertera dengan lelaki itu. Sama serupa. Dia kerutkan dahi. Tidak pernah dia tahu ada lelaki yang bekerja sebagai pembantu rumah di syarikat itu. Diserahkan kembali tanda nama tadi.

“Sekejap ya.” Aulia menutup pintu dan terus kembali ke ruang tamu. Dia mencapai telefon yang terletak di atas meja.

“Assalamualaikum. Jangan marah aku.” Kedengaran suara dari sebelah sana.

“Hah... apa yang patut aku marah?” Aulia tinggikan suara. Nampaknya Siti sudah bersedia untuk menghadap marahnya. “Mana mak cik yang biasa tu? Aku nak kau hantar dia. Ambil balik Mr. Bibik kau ni.”

“Weh. Tolong aku. Jangan halau dia. Aku tak cukup staf ni. Sekali ni aje. Lain kali aku hantar perempuan. Dia pandai masak tau. Kau suruh dia masak. Aku tak caj.”

“Siti Nurhaliza. Aku nak perempuan tau, bukan lelaki. Tak boleh bayangkan lelaki jadi pembersih rumah tau tak. Biasa lelaki ni tukang sepah rumah tau tak.” Dia tidak akan termakan dengan tawaran sahabatnya. Apa pun terjadi lelaki diharamkan masuk ke dalam rumahnya.

“Serius aku tak ada staf lain nak hantar. Mak Cik Rahmah balik kampung. Minggu depan dia balik. Kalau kau nak Mak Cik Rahmah jugak, minggu depan...”

What?” Aulia sekali lagi meninggi suara. “Apa gila minggu depan? Rumah aku dah 2 minggu tak ada orang. Kalau tunggu minggu depan...”

“Okey. Aku tak kenakan caj yang ni. Free aje. Dia akan bersihkan rumah kau hari ni dengan lusa. Lusa pun free juga. Next week aku hantar Mak Cik Rahmah macam biasa.”

Aulia diam. Tawaran yang sangat menarik. Dua hari khidmat membersihkan rumah percuma. Khidmat menggosok baju dan ada tukang masak sekali. Bagus juga. Memang dia malas hendak keluar hari ini. Aulia tersengih sendiri. Siti Nurhaliza memang pandai ambil hati dia.

“Okey. Aku maafkan kau kali ni. Aku izinkan dia kerja.”

“Okey. Thanks babe.”

Talian ditamatkan. Aulia mengambil kunci sebelum kembali mendapatkan Firas. Dia membuka pintu gril. Dia keluar dan berdiri di hadapan lelaki itu.

“Siti cakap awak pandai masak. Awak pandai masak apa?” tanya Aulia sambil matanya menjelajah tubuh Firas. Nampak tegap. Dada lebar.

Ermm... Masakan kampung aje saya pandai. Puan Siti suruh saya masak ke?” Firas berfikir seketika. Siti kata kalau masak dia akan dibayar ekstra.

“Ya, Siti kata awak kena masak. Saya nak pergi spa. Saya nak awak masak untuk saya. Kemas rumah macam biasa. Awak tunggu sini, saya nak tukar baju.”

Firas angguk. Dia memerhatikan Aulia masuk ke dalam rumah. Agak lama dia menunggu barulah Aulia keluar.

“Awak boleh masuk sekarang. Oh ya... jangan kemas bilik tidur saya.” Aulia memberi arahan. Usai itu dia berpusing untuk berlalu.

“Kenapa tak payah kemas bilik? Puan Siti cakap, bilik Cik Aulia saya kena kemas elok-elok. Cik Aulia ni cerewet.”

Aulia kembali menghadap Firas. Dia bercekak pinggang sambil mulut ternganga. Apa lagi yang Siti ceritakan. Entah-entah sahabatnya itu sudah buka rahsia betapa malasnya dia mengemas rumah.

“Cik malas kemas rumah tu bagi rezeki kat saya. Kalau cik rajin, tak adalah saya dapat kerja. Saya kemas bilik tidur sekali ya?”

No. Jangan kemas bilik tidur. Arahan saya muktamad. Baju kat bilik laundry tu tolong cuci.”

“Baik, cik.” Firas akur.

“Okey saya pergi dulu.”

“Cik kejap.”

Aulia hentikan langkah. Dia berpusing.

“Apa lagi? Saya dah lambat ni.” Aulia tunjuk jam di tangan. Sebenarnya spa di tingkat bawah kondonya sahaja. Bukanlah lambat pun.

“Cik suruh saya masak, tapi cik tak beritahu apa yang patut saya masak.”

Aulia menggeleng. Boleh pula dia terlupa. Terus dibuka tas tangannya lalu mencari beg duit. Tiga keping not RM100 dikeluarkan lalu dihulurkan kepada Firas.

“Awak tengok kat dapur tu. Apa yang tak ada, awak beli aje. Bab makan saya tak cerewet. Saya akan balik sebelum habis masa kerja awak. Ni kunci rumah.”

Firas mengangguk. Dipandang duit di tangannya. Kerjanya cuma kemas rumah bukan tukang beli barang dapur. Mahu tidak mahu, dia akur. Dia terus masuk ke dalam rumah. Setelah menutup pintu, kaki melangkah ke dapur.

“Apa yang ada kat dapur perempuan ni?” Pertama sekali dia meninjau peti sejuk. Kosong. Tiada apa-apa selain botol air mineral yang sudah kosong. “Dah minum tak reti nak isi yang baru ke?”

Firas memunggah kesemua botol kosong. Nampaknya tiada apa yang boleh dimasak. Dia meninjau kabinet pula. Barang kering, rempah, malah tong beras juga kosong.

“Ini rumah atau hotel persinggahan?”

Firas mengeluarkan buku nota dari poket bajunya dan menyenaraikan barang yang perlu dibeli. Rasanya tidak perlu beli banyak barang kerana perempuan ini sepertinya jarang sangat memasak.

Selesai di dapur, dia masuk ke bilik laundry. Terdapat dua bakul baju. Satu bakul bertulis dry clean dan satu bakul lagi penuh dengan baju kotor. Kebanyakannya baju t dan juga seluar. “Baik aku basuh baju dulu sebelum pergi beli barang.” Baju kotor tadi dimasukkan ke dalam mesin. Tiba-tiba dia terpandang sesuatu.

“Victoria's Secret. Takkan aku nak basuh tangan kut?” Dengan rasa bercampur baur, dia membelek bra itu mencari label arahan mencuci. “Handwash only. Bala.”

 

“DAH SIAP dah.” Aulia berdiri di luar pintu menanti Firas keluar. Dia tidak mahu mencari fasal dengan berdua bersama lelaki bukan muhrim di dalam kondonya sendiri. Kalau Mukhriz tahu memang mati Firas dia kerjakan. Tetapi telefonnya tidak berdering. Jadi dia andaikan tunangnya tidak tahu.

Firas membuka pintu lalu keluar. Dia menyerahkan kunci rumah kepada Aulia.

“Semua dah siap sesuai dengan arahan cik. Terima kasih kerana menggunakan khidmat kami.”

“Lusa jangan lupa datang. Bos awak hutang saya satu hari lagi.”

“Baik, cik.” Firas angguk. “Assalamualaikum.”

Waalaikumussalam.” Aulia memerhatikan Firas hingga kelibat lelaki itu menghilang. Sesudah itu dia cepat-cepat masuk dan mengunci pintu rumahnya.

“Bagus jugak dia buat kerja.” Matanya mengitari kawasan ruang tamu. Kemas dan bersih. Dia meninjau kabinet TV. Licin. Tiada habuk. “Bau macam sedap aje.”

Sebelum melangkah ke dapur dia meninjau biliknya dahulu. Nafas lega dilepaskan sebaik membuka pintu. Biliknya kekal berselerak seperti tadi. Mujur juga lelaki itu mengikut arahan.

Good boy.”

Dengan senyuman, Aulia menutup pintu dan menuju ke dapur. Dia tidak sabar untuk melihat apa yang Firas masak untuknya. Bau sahaja sudah menyebabkan perut dia berkeroncong. Bertambah lebar senyumannya sebaik sahaja membuka tudung saji.

“Ikan siakap tiga rasa. Sayur campur. Ada tomyam udang. Kata pandai masak kampung aje. Tapi ni masak macam kedai tomyam. Nak rasa sikit.” Aulia mengambil sudu dan menghirup sedikit kuah tomyam.

Hmmm.” Bulat matanya sebaik sahaja rasa tomyam mencecah lidah. “Lebih sedap daripada tomyam kat Restoran Mek Jah. Kalau jadi orang gaji sepenuh masa ni, sah aku gemuk. Laparlah.” Aulia tutup tudung saji dan bergerak untuk mengambil pinggan di rak. Tiba-tiba dia ternampak sesuatu yang aneh di bilik laundry. Tidak jadi ambil pinggan dia terus sahaja masuk ke bilik itu.

Buntang matanya melihat ampaian. Berwarna-warni. Beraneka corak. Dia kaku di situ.

Satu saat...

Dua saat...

Tiga saat...

Argh!!!”

No comments:

Post a Comment