DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 19 May 2020

Rindu Yang Terpendam - Bab 9

SERAM sejuk Dhiya dibuatnya sejak lelaki ini mengajak dia singgah di pasar raya. Mujurlah dia masih memakai pakaian yang sesuai untuk singgah ke sini.

Sanggup Ayie menemani dia menjual barang-barang kitar semula sebelum mereka singgah ke sini. Memang tiada harapanlah untuk Dhiya menolak dari mengikut lelaki yang berwajah serabai itu.

“Cepatlah ambil barang. Apa yang kau termenungkan lagi?” gesa Ayie.

“Abang nak saya beli apa?”

Meremang bulu roma Ayie setiap kali mendengar Dhiya memanggilnya dengan panggilan abang. Belakang lehernya diusap perlahan.

“Panggil aku Ayie. Tak payah nak berabang. Geli aku dengar.” Ayie cuba berlagak tenang walaupun terasa debar di dadanya saat ini.

Dhiya menjuih bibirnya tanda meluat. Kalau orang tak sudi, dia pun tak ingin. Geram juga dia dengan lelaki berbulu ini. Sudahlah duit di tangannya hanya ada RM30 sahaja. Sekarang, boleh pula dia dibawa ke sini untuk membayar hutang.

Hmm... Ayie nak saya beli apa?”

Kali ini, Ayie pula yang terkedu. Terasa terkunci mulutnya saat mendengar panggilan yang baru itu. Parah ni!

“Ayie...” Sekali lagi Dhiya menyoal.

“Ehem. Aku nak makan tomyam. Kau belikan bahan-bahan nak masak makanan tu.”

Tercengang Dhiya. Tak mahu dia bersubahat dengan Ayie jika lelaki itu tidak berpuasa. Laju digelengkan kepalanya.

“Apa yang kau geleng? Cepatlah beli.”

“Tak naklah. Sekarang bulan puasa. Takkanlah Ayie lupa lagi?”

Ayie menepuk dahi dengan kuat. Lurus benar budak ni rupanya.

“Aku nak kau masak untuk berbuka nantilah,” kata Ayie sambil mengetap gigi.

Tersengih-sengih Dhiya kerana sudah tersalah sangka. Namun, dia tersedar tentang sesuatu.

“Eh, saya kena masak? Masak dekat mana?” Kepala yang tidak gatal digaru perlahan.

“Masak dekat dapurlah! Itu pun nak tanya aku. Cepatlah. Tunggu kau pilih, berjanggut dah aku rasa.”

Lengan Dhiya yang berlapik itu diheret menuju ke bahagian bahan basah. Terpinga-pinga dia dengan arahan Ayie.

Dari cara Ayie memilih bahan-bahan basah, Dhiya yakin lelaki itu sudah biasa memasak sendiri. Udang dan sotong yang diambil lelaki itu kelihatan sangat segar.

Tertelan air liur Dhiya melihat bahan yang dipilih oleh Ayie. Parah dia nak membayar nanti. Kalau macam ni, lebih baik dia belikan tomyam yang sudah siap dimasak sahaja.

“Eh, err... Ayie. Saya... saya bungkuskan tomyam dekat kedai, boleh? Lagipun, saya masak tak sedap.”

Ayie kalih memandang wajah Dhiya.

“Aku tak suka makan dekat kedai. Kau kena masak juga untuk aku.”

Hampir sahaja Dhiya menangis. Selama ini, mana pernah dia berhabis duit dengan membeli makanan sesedap ini. Wajah Dhiya sudah berubah muram. Malu dia nanti jika tidak mempunyai wang yang cukup. Tak pasal-pasal terpaksa dia menebalkan muka di kaunter nanti.

“Kau tercegat apa dekat situ? Pergi cari sayur dekat sana.”

Dengan langkah yang agak berat, Dhiya pergi ke bahagian sayur. Setelah 15 minit mencari bahan-bahan, barulah mereka pergi ke kaunter pembayaran.

Dhiya berdebar menanti jumlah yang perlu dibayar. Harap-harap, duit yang ada di tangannya ini cukup untuk membayar barang-barang yang dibeli.

“Semuanya RM34.70 sen.”

Terus tegak tubuh Dhiya saat ini. Sudah dijangka, pasti wangnya tidak cukup untuk membayar barang-barang itu. Wajahnya sudah berubah pucat.

“Sana sikit.” Tubuh Dhiya ditolak ke depan.

Terkejut Dhiya dengan tindakan lelaki itu. Selepas membuat pembayaran, lekas Ayie menyerahkan bungkusan beg plastik itu kepada dia. Terpinga-pinga Dhiya dibuatnya. Melihat lelaki itu sudah bergerak terlalu jauh, laju kaki dia mengejar langkah lelaki itu.

Tiba-tiba Ayie berhenti di tengah jalan secara mengejut. Tindakan dia itu telah membuatkan Dhiya tanpa sengaja terlanggar belakang tubuhnya.

Bau wangian Ayie menusuk ke lubang hidung Dhiya. Wanginya! Lekas Dhiya beristighfar dalam hati kerana tidak sengaja bersikap begitu. Malu dia jika Ayie sedar apa yang difikirkan tadi.

Ayie berpaling dan menghadap Dhiya. Berkerut dahinya melihat wajah si gadis yang sudah menjadi merah.

“Sekarang dah dekat pukul 5.30 petang. Kita terus pergi rumah kau sekarang.”

“Gila!” Laju perkataan itu terkeluar dari bibir Dhiya. Laju ditutup mulut kerana tidak sedar dirinya sudah terlepas cakap.

“Kau cakap apa tadi?” Tajam mata Ayie merenung Dhiya.

Err... err... maksud saya, buat apa pergi rumah saya?”

“Nak masuk meminang kau.”

“Hah?”

Ayie yang terlalu geram, terus menjentik bibir Dhiya. Menyeringai wajah si gadis menahan rasa perit.

“Dari tadi duk hah... hah! Nak masaklah, buat apa lagi.” Hampir sahaja Ayie hilang sabar.

Malang betul nasib Dhiya hari ini. Tiba-tiba sahaja lelaki ini mahu ke rumahnya. Satu kerja pula nanti untuk dia menjelaskan kepada ibunya.

“Tapi rumah saya...”

“Tapi apa pula lagi ni?”

Makin serba salah Dhiya ketika ini. Ibu di rumah pasti terkejut jika dia pulang bersama lelaki ini.

“Rumah saya jauh. Kena naik bas kalau kita nak ke sana.” Lebih baik dia berterus terang.

Berkerut dahi Ayie.

“Tadi kau datang sini dengan apa?”

“Jalan kaki,” jawab Dhiya dengan selamba.

Gara-gara motosikal arwah bapanya rosak, terpaksalah dia berjalan kaki dari rumah ke belakang bangunan tadi demi mencari rezeki.

Kali ini, Ayie pula yang ternganga. Tubuh gadis itu ditilik dari atas ke bawah. Perbuatan Ayie itu membuatkan Dhiya kurang selesa.

“Kita naik teksi. Kau ikut aku sekarang. Tak payah bagi alasan lagi.” Ayie terus merampas beg plastik dari tangan Dhiya.

Terpinga-pinga Dhiya melihat Ayie sudah berjalan laju ke hadapan. Takut dimarahi sekali lagi, dia segera berlari anak mengekori Ayie.

 

TERTELAN AIR liur Dhiya saat melihat wajah Mak Cik Asmah yang jelas terkejut. Baru sahaja beberapa minggu lepas dia memberitahu yang dia tidak mempunyai kawan lelaki, tetapi hari ini lain pula jadinya.

“Assalamualaikum mak cik,” ramah Ayie memberi salam.

Waalaikumussalam. Ni siapa ya?”

Terkulat-kulat Dhiya ingin memberikan jawapan.

“Saya Ayie. Abang angkat Dhiya. Sebelum habis SPM, saya selalu ajar dia. Kebetulan kami terserempak dekat bandar. Dia kata nak balas budi baik saya mengajar. Tu yang jemput saya berbuka dekat sini.”

Hampir terbeliak biji mata Dhiya mendengar penjelasan Ayie.

“Abang angkat? Dhiya tak pernah beritahu pula dekat mak cik yang dia ada abang angkat.” Mak Cik Asmah memandang wajah Dhiya dengan kerutan di dahi.

Err... Dhiya memang tak beritahu dekat ibu. Tak nak ibu fikir yang bukan-bukan.”

“Harap mak cik tak kisah kalau saya berbuka dekat sini. Hari ni, anak mak cik nak masak tomyam. Dia kata, memang dia pandai masak masakan tu. Boleh juga saya cuba.” Bukan main lebar lagi senyuman Ayie.

Dhiya menggigit bibirnya menahan geram. Mujur sahaja sekarang ni mereka di bulan Ramadan.

“Boleh. Mak cik tak kisah pun. Masuklah. Dhiya pergilah masak. Nanti ibu tolong.”

“Eh, tak payah. Ibu rehat aje. Biar Dhiya masak sendiri.” Dhiya lekas masuk ke dalam rumah. Pandai-pandailah lelaki berbulu itu masuk ke dalam rumah. Tidak mahu membuang masa, lekas dia menunaikan solat asar terlebih dahulu.

Sebaik sahaja selesai solat, dia keluar mencari Ayie. Lelaki itu baru sahaja keluar dari bilik air dengan memakai kain pelekat. Hampir tak berkelip mata Dhiya memandang Ayie.

“Mana arah kiblat?” Ayie memetik jarinya di hadapan wajah Dhiya.

Lekas Dhiya berdeham. Boleh pula dia merenung anak teruna orang tadi.

“Masuklah dalam bilik tu. Sejadah saya dah hampar arah kiblat.” Laju kaki Dhiya melangkah ke dapur. Dadanya diurut perlahan. Cuba menghilangkan rasa berdebar di dada. Bahan-bahan yang dibeli tadi segera dikeluarkan.

Dhiya cekap sekali memotong sayur dan menyiang bahan mentah. Selepas memasak nasi, barulah dia memasak kuah tomyam. Bau kuah tomyam sahaja sudah membuatkan Dhiya tidak sabar untuk berbuka puasa. Sudah agak lama juga dia tidak makan makanan yang sedap seperti ini.

Kuah tomyam dikacau perlahan. Terdengar suara gelak tawa di bahagian ruang tamu membuatkan hati Dhiya berasa pelik. Bukan main mesra lagi ibu dengan Ayie. Mahu sahaja dia menghempuk kepala Ayie dengan senduk di tangan sebaik sahaja dia teringatkan kejadian tadi.

Saya Ayie. Abang angkat Dhiya. Sebelum habis SPM, saya selalu ajar dia...”

Ajar? Celah mana lelaki itu pernah mengajar dia? Mujurlah ibu tidak banyak bertanya tadi. Risau juga jika ibu mengesyaki perkara yang bukan-bukan.

Dhiya cuba mengintai di ruang tamu. Hampir ternganga dia melihat ibu dan Ayie rancak berbual. Pandai pula lelaki ini mengambil hati ibu. Siap bergelak ketawa lagi. Dia lekas kembali ke dapur. Bibirnya menjuih ke hadapan.

“Mulut tu, kalau depan ibu macam lori tumpah gula. Kalau dengan aku, macam cuka kena simbah dekat muka!”

“Kau bebel dekat siapa?”

Hampir tercampak senduk di tangan Dhiya. Dadanya diurut perlahan. Terkejut juga dia mendengar suara Ayie sangat dekat dengan telinganya.

Lekas Dhiya mengalihkan sedikit tubuhnya kerana tidak mahu terlalu hampir dengan Ayie. Mahu dibebel nanti oleh si ibu kalau perbuatan mereka tadi dilihat.

Ayie menjenguk kuah tomyam yang sedang mendidih itu. Lagi setengah jam mereka akan berbuka puasa. Dia sengaja ke dapur untuk melihat keadaan di sini.

Timbul rasa keinsafan dalam diri Ayie melihat Dhiya hidup dalam keadaan serba sederhana. Di ruang tamu, hanya kerusi dan meja sahaja yang ada. Tiada televisyen yang digunakan sebagai alat hiburan.

“Dah siap ke?”

“Dah. Tinggal nak goreng telur dadar aje.”

Ayie mengangguk perlahan.

“Ibu kau tu, tak sihat ke?” Dia sudah perasan wajah Mak Cik Asmah kelihatan agak pucat sejak tiba di rumah ini. Hendak ditanya kepada tuan badan, dia tidak berani.

“Haah. Ibu saya tak sihat. Demam dia tak kebah lagi,” jawab Dhiya. Tentang penyakit sebenar ibunya, tidak perlulah dia berkongsi dengan orang lain. Lagipun Ayie tidak perlu tahu tentang masalah keluarganya.

Dua biji telur dan beberapa lada besar diambil dari dalam peti sejuk. Ayie ralit memandang Dhiya yang sangat cekap membuat kerja di dapur.

“Aku nak lada lebih.”

Terhenti gerakan tangan Dhiya dari memotong lada besar. Wajah Ayie dipandang dengan perasaan sebal.

“Ingat, letak lada lebih. Kalau boleh, bawang pun nak lebih.” Ayie lekas beredar dari situ dengan wajah selamba. Senyuman nakal terukir di bibirnya sebaik sahaja dia berada di ruang tamu.

Dhiya memejam matanya menahan sabar. Sesuka hati sahaja lelaki ini mengarah dia.

“Ingat aku ni isteri dia ke?” bebel Dhiya.

Isteri?

Gulp!

Laju Dhiya gelengkan kepala. Tak ingin dia dengan lelaki berbulu itu. Ditambah lagi dengan perangai beku dan kurang ajar.

Dari dia memikirkan perkara yang bukan-bukan, lebih baik dia menyambung kerjanya kembali. Makin difikir, takut lain pula yang terbayang nanti.

No comments:

Post a Comment