DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 18 May 2020

Mr. Bibik - Bab 7

“KAU kena tangkap basah? Serius ke? Lawa tak anak Tan Sri tu? Bila kau nak kahwin?”

“Kau tanya satu per satu, boleh tak? Bukan sembur aku macam ni. Aku jumpa kau, ingat boleh mengadu masalah. Kau memang bukan kawan sejati, Hud.” Firas meramas rambutnya yang kusut. Dijeling Ken yang sedang minum dengan tenang. Seolah-olah perbualannya dengan Hud tidak memberi kesan.

Tan Sri Halim mengotakan janjinya dengan mengatakan Ken akan menjadi bayang-bayangnya. Awal pagi lagi Ken sudah tercongok di hadapan rumahnya. Entah dari mana lelaki itu tahu alamat rumahnya. Apa yang dihairankan, nombor telefon ibunya pun Ken boleh dapat. Bekas perisik agaknya! Tapi muda lagi.

“Apalah Tan Sri tu? Dah tak betul agaknya sebab suruh aku kahwin dengan anak dia. Nak suruh anak dia makan hati berulam jantung agaknya.” Mata masih lagi memerhatikan Ken. Sengaja dikuatkan suara untuk menarik perhatian Ken. Namun Ken kelihatan tenang sahaja. Tidak ambil peduli pun dia mengutuk Tan Sri Halim.

“Firas!”

“Oi Nurul Huda mangkuk ayun!” Firas melatah sambil menepuk meja.

“Kut ya pun melatah tak payahlah sebut nama penuh aku.” Hud tunjuk muka bengang. Pantang dia kalau orang sebut nama penuhnya. Lebih-lebih lagi Firas. Bila melatah mulalah hendak sebut nama penuh dia. “Badan boleh tahan, muka kacak, tapi melatah.”

Terdengar ketawa terbahak-bahak. Firas dan Hud menoleh ke arah Ken. Barulah kelihatan reaksi lelaki itu. Bukan hanya beku seperti tadi. Ingatkan tidak pandai ketawa.

“Aku tak tahu pulak kau melatah,” ucap Ken sambil ketawa.

“Kau beritahulah Tan Sri, cancel jadikan aku menantu. Lelaki melatah tak sesuai jadi suami Cik Aulia,” Firas tiba-tiba mendapat idea. Ken boleh bantu dia membatalkan hasrat Tan Sri. Mesti tokoh itu malu kalau mendapat tahu.

“Tan Sri tu kalau dah pilih A jangan harap jadi B. Dia dah pilih kau jadi bakal menantu, pasrah ajelah. Kau nak lari mana? Selain daripada aku, Tan Sri ada pasang bodyguard lain tau.”

Firas hendak menjerit. Adakah ini suratan hidupnya? Orang lain seronok jadi bakal menantu Tan Sri. Dia pula menderita. Sudahlah ada bayang-bayang. Sekarang ada pengawal peribadi pula.

“Aku nak jawab telefon kejap.” Ken bangun dan meninggalkan meja. Dia berdiri di luar kedai sambil menjawab panggilan telefon.

“Kenapa kau panggil aku datang sini? Takkan semata-mata nak beritahu fasal ni?” tanya Hud. Setelah agak lama, baru dia teringat hendak bertanya. Dia yakin Firas mengajaknya ke mari semata-mata hendak beritahu dia tentang pernikahan paksa ini.

“Aku nikah 2 minggu lagi. Since kau aje kawan aku yang available, jadi aku lantik kau jadi pengapit.” Firas menjawab soalan Hud. Pagi tadi Ken sudah beritahu dia semua perincian tentang majlis pernikahan dia dengan Aulia.

“Minggu depan? Cepatnya!”

“Aku dah jawab dua soalan kau sekali gus. Jadi jangan banyak tanya.”

“Jom.” Ken tiba-tiba muncul dan mencelah perbualan mereka.

“Kita nak pergi mana?” Hud turut bangun apabila Firas bangun. Kenapa dua orang lelaki ini susah sangat hendak berikan penerangan terperinci? Ken pun pelik, tiba-tiba sahaja muncul dan sebut jom. Dia baru hendak memesan makanan.

“Kita nak pergi tempah baju nikah. Nurul Huda... kau pengapit, kan?”

Hud angguk.

“Kau pun ikut sekali tempah baju. Tan Sri sponsor semuanya.”

Bulat mata Hud.

“Baiknya bakal pak mentua kau. Rugi kau lepaskan pak mentua macam ni. Baik giler.”

“Itu pak mentua aku. Bukan bakal bini aku. Kau ingat bakal bini aku baik macam tu? Bakal bini aku tu dahlah pemalas...”

“Apa kisah? Kau suami nanti kau didiklah isteri kau tu. Mr. Ken kita nak pergi naik apa?” Hud pula terlebih teruja. Dia berjalan beriringan dengan Ken dan tinggalkan Firas sendirian.

“Tu. Driver dah sampai.” Ken menunjukkan sebuah kereta berwarna merah yang baru memasuki kotak parkir.

“Jaguar tu... Kau kahwin ajelah dengan anak Tan Sri tu.” Hud tidak sabar-sabar hendak naik kereta. Dia berjalan laju menuju ke kereta.

“Kalau dah tersurat jodoh kau dengan Cik Aulia, kau lari sampai ke Marikh pun kau tetap akan kahwin. Kalau bukan jodoh, dah jabat tangan tok kadi pun boleh lagi cancel.” Ken bercekak pinggang sambil memerhatikan Hud yang kelihatan bagaikan kanak-kanak. Dia berdiri di sebelah Firas.

“Kena kahwin jugak ke? Ini semua kau punya fasal Nurul Huda. Suruh aku kerja dengan sepupu kau. Tiba-tiba kena tangkap basah. Kena kahwin paksa.” Firas pandang Hud dengan perasaan membengkak. Kalau bukan kerana cadangan Hud pasti dia tidak akan terjebak dalam masalah ini.

“Kini aku pasrah dengan segalanya...” Ken mengalunkan lagu dendangan Erra Fazira sambil menepuk bahu Firas. Usai itu dia terus ayun langkah mendekati kereta.

Firas memerhatikan Ken berlalu dengan hati yang panas. Ken dah berpakat dengan Hud. Tiba-tiba dia tersengih jahat. Bagus juga kalau dia ambil kesempatan lari dari situ. Perlahan kakinya mengundur ke belakang. Namun tiba-tiba dia terlanggar sesuatu. Terus dia menoleh ke belakang.

“Okey, saya tak lari.” Firas alihkan pandangan ke hadapan. Perlahan dia ayun langkah ke hadapan. Setelah dua tiga langkah dia terus memecut ke kereta. Pengawal peribadi Tan Sri Halim dua kali ganda tubuhnya. Sekali jentik pasti dia tumbang.

 

“KAU TAK jadi kahwin dengan Mukhriz sebab kau kena paksa kahwin dengan lelaki yang kau kena tangkap basah tu?” Terkebil-kebil mata Fazura memandang Aulia. Rasanya sudah berkali-kali dia tanya. Entah kenapa dia tidak puas hati dengan jawapan Aulia. Atau senang cakap dia tidak percaya.

“Aku tak tahu apa yang ada kat fikiran Siti. Dia hantar staf lelaki kerja kat rumah aku. Mana entah dia dapat Mr. Bibik tu.” Aulia pandang Siti dengan mata yang tajam. Berkali-kali sahabatnya meminta maaf. Tetapi dia sukar memaafkan. Baginya itu semua salah Siti.

Babe ini bukan berita buruk. Ini berita baik. Kau lepas daripada Mukhriz. Akhirnya...” Siti membuka mulut. Sebenarnya dia punya ramai pekerja lelaki, tetapi hanya Firas seorang yang sanggup membersihkan rumah perseorangan. Pekerja lelaki yang lain lebih memilih untuk membersihkan kedai atau pejabat.

“Tapi...”

“Mungkin Mr. Bibik ni jawapan doa kau setiap hari. Kau sendiri cakap, setiap hari kau berdoa agar muncul keajaiban yang akan selamatkan kau daripada Mukhriz.” Fazura pandang Siti. Cepat-cepat Siti angguk bersetuju.

Aulia tunduk. Dia mengambil garpu. Kek Red Velvet kegemarannya masih belum berusik lagi. Biasanya awal-awal lagi habis licin dikerjakannya. Dia dengan Fazura singgah untuk makan di kafe sebelah pejabat Siti selepas menempah baju nikah. Sahabat baiknya itu akan menjadi pengapit dia nanti.

Memang sengaja dia meminta untuk pergi berdua sahaja dengan Fazura bukan dengan Firas. Malas hendak bertemu dengan lelaki mulut longkang itu.

“Kau tak terfikir ke semua ni?” Fazura kurang sabar menunggu balasan Aulia.

Babe... dia staf Siti. Kerja bersihkan rumah aje. Mr. Bibik tau tak.”

“Lain kali kau kena berdoa lebih jelas dan terang. Ya Allah hantarkan anak raja untuk selamatkan aku daripada Mukhriz.” Fazura bersuara geram. Kurang senang bila Aulia menghina pekerjaan orang lain.

Okay, my bad. Tapi...”

“Gaji dia okeylah. Dia rajin. Sebulan boleh dapat 3 ribu. Kalau dia kerja setiap hari, lagi banyak daripada tu dia dapat,” Siti mencelah. “Kau ada dua pilihan aje. Dia atau Mukhriz.”

Aulia angkat kepala.

Babe. Jangan pandang harta. Belum tentu lelaki macam Firas tu tak boleh bahagiakan kau. Kau takut orang mengata.”

Aulia tidak menjawab. Dia biarkan kata-kata Fazura tidak berbalas.

“Mukhriz kaya-raya. Anak Tan Sri. Dia boleh bagi apa kau nak. Tapi kau sanggup ke nak hidup dengan dia? Kau memang akan disalut emas, tapi kau pun akan hidup dalam sangkar emas. Sangkar tau... kau nak jumpa kita orang memang kirim salam ajelah.”

“Aku tak kenal Firas ni macam mana. Takkan aku nak kahwin dengan lelaki yang baru dua kali aku jumpa. Gila ke?”

“Bagi aku lelaki yang merendahkan ego dia ke tahap macam ni lelaki sangat rare. Dia terdesak sangat nak kerja. Dia sanggup jadi Mr. Bibik. Kerja yang memang orang lelaki tak akan sanggup buat. Kalau dia jual dadah lagi cepat kaya kut.”

Aulia terfikir ada benarnya kata-kata Fazura. Mungkin daddynya berfikir sebegitu. Sebab itu tidak kisah bermenantukan Firas.

“Sebelum ni dia kerja kat Royal Cruise International. Rasanya driver bos kut. Ada surat recommendation lagi. Tapi tak ada sebut pulak jawatan apa,” Siti mencelah. Firas seorang yang rajin. Ramai pelanggannya puas hati dengan khidmat Firas walaupun lelaki.

“Syarikat kapal ke? Malaysia punya atau overseas?” tanya Fazura. Dia pernah terdengar syarikat itu. Bukan beroperasi di Malaysia.

“Entah. Aku terima dia sebab dia tu sepupu suami aku tu aje.”

“Lapangkan dada. Terima dia.” Fazura menggosok lengan Aulia perlahan.

Aulia angguk.

 

“PELIK SANGAT ni. Tiga orang lelaki memilih baju pengantin. Biasanya pasangan bakal mempelai pilih baju sambil bergurau senda. Segan aku.” Hud memandang sekeliling. Segan mukanya bila ditanya mana bakal pengantin perempuan. Dia tersenyum ke arah pembantu kedai yang sedang memerhatikan mereka.

“Weh. Nurul Huda. Kalau segan kau boleh tunggu kat kereta. Baju pengapit beli sendiri. Takde baju free,” Ken membalas.

“Baju free punya fasal, hilang segan aku.” Hud sambung membelek baju Melayu yang tergantung. Abaikan sahaja muka berkerut adik pembantu butik yang comel itu.

“Nama kau memang Nurul Huda ke?” tanya Ken.

“Nama dia Nurul Huda bin Arifin,” Firas mencelah. Sejak masuk butik tadi dia membisu sahaja.

“Ooh... aku ingat aku salah dengar. Comel jugak Nurul Huda.” Ken sengih. Pelik dan aneh. Nama Nurul Huda biasanya untuk perempuan.

“Memang nama aku Nurul Huda tapi jangan sesekali panggil aku Nurul. Panggil aku Hud.” Memang namanya agak pelik. Bukan sekali dua dia disangka perempuan. Tetapi apa dayanya memang nama pemberian arwah ayahnya.

“Jangan dengar cakap dia. Kat sekolah dulu kami panggil dia Nurul.”

“Seronoklah tu usik aku. Mujur kau tengah serabut. Kalau tak memang aku...” Tidak jadi hendak marah dan tumbuk bahu Firas macam selalu. Hud buat tidak tahu walaupun kurang senang.

“Nurul pergi ikut pembantu butik. Ambil ukuran badan. Pengapit dengan pengantin perempuan dah pilih kain tadi.” Ucap Ken sambil membaca pesanan WhatsApp.

“Lah baru aku nak pilih warna.” Hud terpaksa melupakan hasratnya hendak pakai baju Melayu warna pic. Kalau dia tahu awal tak perlulah pasang angan-angan. “Warna pic buat muka aku lebih bersinar-sinar.” Hud membelek baju Melayu berwarna pic yang tergantung.

“Aku yang nak kahwin. Kenapa kau pulak yang melebih? Ada hati nak overshadow pengantin nampak?”

“Eh. Bukan tadi memberontak sebab kena paksa kahwin ke? Ni kira dah pasrahlah?”

“Tak. Aku tak pasrah.” Merah padam muka Firas. Tersilap cakap punya fasal.

“Pasrah ajelah. Jadi menantu Tan Sri tu.” Hud ketawa melihat muka Firas. Sekejap pasrah, sekejap tak jadi pasrah. Beginilah dugaan hidup.

“Mana dia boleh lari lagi. Kena pasrahlah.” Ken menjawab bagi pihak Firas.

“Dah... Jangan bising. Jom ukur baju.” Firas tolak badan Hud. Pasrah atau tidak, ketentuan Allah bukan boleh dihindari. Jika tertulis jodohnya dengan gadis pemalas itu, mana dia boleh lari.

No comments:

Post a Comment