DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 5 March 2015

Bertaut Kasih - Bab 1




NAMANYA cantik bak secantik pendengaran, namun kehidupannya tidak seindah mana. Pemergian ibu tersayang meragut seluruh jiwanya. Hilang tempat berkasih. Hilang jua tempat bermanja. Pada siapalah hendak mengadu nasib bila dia kini hanya sebatang kara. 

Pada ayah tirinya? Sudah tentu tidak! Walhal hanya insan itu yang diharapkan untuk melindunginya tetapi insan itu juga yang merosakkan hidupnya. Pak Cik Bakar seorang kaki judi dan suka berhutang menyebabkan ibunya menderita selama 10 tahun. Suami yang diharapkan ibunya menjadi tempat berlindung telah mencurah racun yang cukup perit. Menderita dek sikap buruk si suami. 

Dhieya mengelap air matanya. Sudah sebulan ibunya pergi, sebulan jugalah dia berendam  air mata. Setiap malam dia terlalu takut melihat bayangan tubuh Pak Cik Bakar yang sudah pasti akan menerkam mangsanya bila-bila masa sahaja. 

Pernah suatu ketika, Pak Cik Bakar pulang dalam keadaan mabuk. Sebaik sahaja lelaki itu terlihat paha Dhieya yang putih gebu sedang nyenyak tidur, terus Pak Cik Bakar menerkam. Mujur ada ibu yang membantu memukul tubuh Pak Cik Bakar bertubi-tubi. Namun sekuat manalah kudrat ibu. Hampir separuh nyawa Pak Cik Bakar memukul dan menyepak ibunya. Dhieya hanya memeluk tubuh ibu sambil menangis teresak-esak. Sakitnya hanya Tuhan yang tahu. Sengsaranya hanya mereka yang merasa. 

Bumm!!!

Dhieya terkejut mendengar bunyi pintu yang dihempas kuat. Tahulah dia yang Pak Cik Bakar sudah pulang. Dia duduk diam tidak berkutik di dalam biliknya. Mengharap agar Pak Cik Bakar terus lupa akan dirinya. Namun belum sempat berdoa, Pak Cik Bakar terus menendang pintu bilik Dhieya. Hampir tercabut pintu itu dikerjakannya. Dhieya terkejut. Melihatkan muka bengis Pak Cik Bakar, membuatkan dia menjadi takut.

‘Ya Allah! Selamatkanlah hamba-Mu ini! Bantulah aku Ya Allah!’

“Hei Dhieya! Kau ikut aku sekarang!” Tengking Pak Cik Bakar. Dhieya menggeleng-gelengkan kepalanya. 

“Apa? Kau degil ya? Kau jangan nak cari pasal dengan aku. Karang penampar sepuluh ni naik kat muka kau! Cepat ikut aku!” Herdik lelaki tua itu lagi. Pantas tangannya hinggap ke pipi Dhiya dan menarik kasar lengan gadis berusia 20 tahun itu.

“Aduh! Sakit pak cik. Pa... Pak cik nak bawak Dhieya pergi mana?” Tergagap-gagap Dhieya bertanya sambil bibirnya diketap kuat menahan kesakitan di pipi yang berbekas lempangan ayah tirinya.

“Hei! Kau tak payah sibuk nak tahulah! Cepat ikut aku! Kau banyak bunyi lagi, aku sepak-sepak mulut kau!” Pak Cik Bakar terus mengheret Dhieya apabila gadis itu masih kaku dan enggan berganjak dari tempatnya. Kepalanya kusut memikirkan hutangnya dengan Victor. Ke mana-mana dia pergi pasti balaci Victor sentiasa mengekorinya supaya dia tidak lari daripada membayar hutangnya. Dia sudah tiada jalan lain, dia perlu menjual Dhieya kepada Victor, si bapak ayam itu. Dengan itu saja hutangnya automatik langsai. Bodohlah kalau Victor menolak ‘ayam kampung’ yang segar seperti Dhieya ni. Dhieya meronta-ronta perlahan, namun sepantas kilat tangan Pak Cik Bakar hinggap di pipinya lagi. Berpinar mata Dhieya ditempeleng sebegitu kuat. Ingin rebah jatuh rasanya saat ini.

Pang!!!

“Sekali lagi kau tak duduk diam, aku tampar bagi mampus macam mak kau!” Herdik Pak Cik Bakar. Tersedu-sedan Dhieya mengalirkan air mata. Sakit kerana penampar yang diterimanya. Sakit jiwanya didera. Matanya menangkap sebuah kereta four-wheel drive dan beberapa orang lelaki yang bengis yang sudah berdiri di situ. Dia sudah dapat mengagak pasti dia akan dijual kepada bapak ayam. Beberapa hari lalu dia ada mendengar perbualan  Pak Cik Bakar yang sudah berjanji untuk menjual dirinya akibat bebanan hutang yang terlampau banyak. 

Dhieya ditolak kasar ke dalam kereta lalu beberapa orang lelaki turut menaiki kereta yang sama. Mulutnya ditekup dengan kain. Dhieya tidak berdaya untuk melawan tetapi hatinya merintih kesakitan diperlakukan kasar.

‘Ya Allah, tolonglah hamba-Mu ini. Selamatkanlah aku daripada manusia durjana ini! Aku mohon Ya Allah,’ rintihnya dalam hati. Perlahan-lahan matanya mulai layu. Pasti klorofom yang diletakkan pada kain itu memberi kesan kepada Dhieya hingga membuatkannya terlena tidak sedarkan diri. 


“HYE FIR!!! What’s up?” Tegur Adif sambil menjabat tangannya bersama Firdaus. Firdaus hanya tersenyum sinis memandang sahabatnya itu.

“Kau apesal lambat? Takkan nenek kau nak beranak kut?” Balas Firdaus pedas.

“Relax la bro. Tak payahlah nak marah-marah. Macamlah aku tak pernah lambat sebelum ni.” 

“Sayang, janganlah marah-marah macam ni. Spoil mood je la,” rengek Tiara manja sambil tangannya mengusap lembut dada Firdaus.

Adif hanya tersengih. ‘Pompuan ni kalau pujuk, tok imam pun tergolek’. Mata Firdaus memandang Tiara tajam. Tiara tergelak manja sambil memeluk erat tubuh Firdaus yang sasa itu. Adif dan Firdaus sudah dikelilingi ramai gadis-gadis kelab The Heaven yang seksi-meksi itu. Seorang gadis terus menarik Adif ke ruang tengah pentas sambil menari dengan rancak. Firdaus pula lebih selesa duduk daripada menari walaupun sudah berkali-kali Tiara mengajaknya. Sudah lama Tiara berusaha untuk mendekati lelaki bernama Syed Firdaus Hakimi ini. Setiap kali lelaki ini berkunjung ke situ, dia sudah bersiap untuk melayan lelaki itu walaupun hanya sekadar layanan biasa sahaja. Lelaki itu memang sukar untuk didekati. 

Lihatlah... sudah beberapa lama Firdaus menjadi pengunjung setia kelab itu, namun Tiara masih belum  pernah berpeluang meniduri lelaki itu. Alasannya... itu bukan cara hidupnya walaupun sebebas dan seliar mana pun dia, Firdaus tidak akan sesekali meniduri wanita-wanita. Tujuan dia berkunjung ke kelab malam ini hanyalah sekadar untuk menghilangkan tekanan dan mencari keseronokan. 

Tiara kagum dengan Firdaus kerana dia langsung tidak menyentuh arak. Buktinya pernah sekali dia menyogok minuman keras itu, tetapi Firdaus memandangnya dengan pandangan yang cukup tajam. Sejak dari hari itu, Tiara tidak berani lagi menyogok minuman keras kerana khuatir Firdaus akan beralih arah dan langsung tidak datang ke kelab malam itu. Victor sudah berpesan, dia harus melayan Firdaus dengan layanan yang secukupnya supaya pemuda itu tidak akan ke kelab malam yang lain. Malah, Victor agak gentar dengan Firdaus kerana pengaruh lelaki itu begitu luas. Bimbang jika dia melakukan kesalahan, pasti perniagaan haram ini akan ditutup. Itu yang Victor tidak mahu.

Lelaki ini mempunyai segala-galanya. Wang. Harta. Rupa? Tak payah cakap. Wajah Firdaus sememangnya kacak kerana mix blood daripada sebelah ibunya yang mempunyai keturunan Inggeris-Belanda-Cina. Atuknya seorang mualaf yang berdarah Belanda bukan Islam manakala neneknya berketurunan Cina-Inggeris. Sebelah ayahnya berketurunan Melayu tetapi mempunyai darah campuran Arab. Ke manamana sahaja Firdaus melangkah, pasti ada mata-mata yang memandangnya. Aura Firdaus cukup kuat sebagai seorang Mr.Right kata orang. Perempuan sentiasa di keliling pinggangnya. Aset Firdaus itulah yang amat menyukarkan Tiara untuk mengikat Firdaus.

Anak mata Firdaus yang kelabu itu sungguh seksi dan mengancam apabila ditenung lama-lama. Bibirnya merah merekah tanda tidak merokok. Hidungnya sedikit mancung. Kulitnya putih kemerah-merahan. Lesung pipitnyalah yang paling mahal sekali. Awuuww!!!

Aset yang dimiliki oleh lelaki ini juga berjuta-juta. Untunglah siapa yang dapat Firdaus ni, kan? Bakal pewaris Merida Holdings, sebuah syarikat perhotelan yang terkenal di seluruh dunia. Rangkaian hotelnya sudah memasuki benua Eropah. Apatah lagi negara Asia yang sudah pun dijajahnya. 

Sikap playboy Firdaus inilah yang amat menyusahkan jiwa Tan Sri Syed Fahim dan Puan Sri Sy. Faridah. Anak lelaki sulung mereka masih leka berfoya-foya sedangkan umur sudah pun mencecah 29 tahun. 

Tiara masih memikirkan cara untuk menjinakkan buaya seperti Firdaus agar lelaki itu jatuh ke dalam genggamannya. Sukar untuk menjinakkan lelaki ini kerana sentiasa di kelilingi wanita-wanita hebat terutama Sh. Emilina. Setakat gadis GRO seperti dirinya, setakat suka-suka bolehlah kut bagi Firdaus. 

“Hei sayang! You nak pergi mana?” Rengek Tiara manja apabila lelaki itu sudah pun berdiri. Tangannya memeluk erat lengan Firdaus sambil mengucup pipi jejaka itu. “Sorry, I’ve got to go, honey. Next time I datang lagi okey?” Pujuk Firdaus. Dia membalas pelukan erat di pinggang Tiara lalu mengucup lembut dahi gadis itu. Dia memberi isyarat kepada Adif lalu laju langkah kakinya keluar dari kelab malam itu.

FIRDAUS MELANGKAH keluar dari The Heaven sambil jari telunjuknya memusing-musingkan kunci kereta. Dia bersiul riang, bagaikan terlalu bahagia lagaknya. 

‘Bahagia? Bahagia dapat jumpa Tiara? Hah! Memang taklah, kan! Bukan boleh buat bini pun! Stok suka-suka, pegang-pegang, cium-cium bolehlah!’ Bisik hati jahat Firdaus. Ketawa sinis terpacul dari ulas bibirnya. 

Baru sahaja dia hendak menarik pintu kereta, matanya menangkap sebuah kereta four-wheel drive, meluncur laju masuk ke persimpangan lorong gelap. Bagaikan mengejar sesuatu yang penting.

‘Kau tak nak tahu ke? Entah-entah…’ Namun entah mengapa hatinya persis ditarik-tarik sesuatu perasaan pelik. Nalurinya kuat sekali untuk mengetahui sebab musabab kereta tersebut meluncur dengan laju walaupun keadaan jalan itu sempit dan gelap.

Firdaus terus masuk ke tempat duduk pemandu namun enjin keretanya tidak pula dihidupkan. Dia berpaling ke belakang, melihat kawasan simpang yang baru sahaja  dimasuki oleh kereta four-wheel drive tadi. Entah dirasuk apa, Firdaus menghidupkan enjin kereta Nissan Skyline kesayangannya lalu terus dihalakan ke arah lorong sempit itu. Lampu kereta tidak dihidupkan, bimbang jikalau penghuni four-wheel drive itu menyedari akan kehadirannya. ‘Isy! Apehal la yang aku gatal nak skodeng ni? Tapi aku nak tau la apasal kereta tu bawak laju semacam aje!’ Suara dalam Firdaus masih lagi bertelagah dengan akalnya yang menegah.

Kereta diberhentikan di sebalik bangunan apabila kereta four-wheel drive itu berhenti di satu lorong sunyi. Namun bingit muzik masih jelas kedengaran. 

“Tak silap aku, ni bahagian belakang Heaven ni. Diaorang ni buat apa? Seludup dadah agaknya,” kata Firdaus seorang diri.

Tak berpuas hati, dia lantas keluar dari keretanya lalu mendekati tempat itu. Tubuhnya disembunyikan di sebalik timbunan tiang bangunan yang lebar. Mata Firdaus tajam dan ligat memerhatikan setiap pergerakan penghuni kereta fourwheel drive itu.

“Gilalah aku buat macam ni!” Kutuk Firdaus pada dirinya sendiri.

‘Sedar pun kau!’ Marah satu suara lain pula.

“Ah! Diamlah kau!” 

Tak puas hati lagi, dia mendekatkan diri dengan beberapa orang manusia yang diyakini seratus peratus adalah orang bawahan Victor, si pemilik The Heaven. Lelaki tua dalam lingkungan lewat 40-an yang berada di hadapan Victor pula langsung tak kenalinya. Kening Firdaus terjongket. Perbualan di antara Victor dan lelaki tua itu semakin menambahkan rasa curiganya. Malah dia merasakan ada sesuatu yang tersembunyi di dalam kereta itu kerana sejak dari tadi lagi jari Victor dah lelaki tua itu menunjuk-nunjuk ke arah tempat duduk penumpang.

“Aku dah bagi perempuan ni kat kau. Fresh dan dara lagi. Hutang aku dah settle! Lepas ni jangan suruh konco-konco kau ni cari aku lagi!” Balas lelaki tua itu dengan nada marah. 

“Hei Bakar. Relakslah. Kau janganlah nak marah-marah sangat. Okey aku janji, aku takkan kacau kau lagi. Lagipun, kau dah bagi aku habuan yang lumayan apa? Memang baguslah kau ni!” Balas Victor sinis. Tubuh gadis muda yang masih terlantar di bahagian belakang tempat duduk penumpang itu dijelingnya sekilas.

“Ah! Tak tak kisahlah apa kau nak cakap pun! Aku dah tak peduli! Aku blah dulu!” Balas lelaki tua yang bernama Bakar itu lantas berlalu dari situ. Kali ini kening Firdaus bertaut.

“Perempuan? Cantik ke?” Akal jahat Firdaus mula menjengah. Senyuman tersirat terukir di bibirnya. 

“Bodohlah kau ni Bakar!” Cemuh Victor. Victor ketawa sinis. Kemudian dia berjalan ke bahagian tempat duduk penumpang belakang. Tubuh gadis yang bernama Dhieya itu dipandang lama. Bagaikan masih terbau ‘kesegaran’ yang dimiliki Dhieya. Sudah terbenak di fikirannya yang Dhieya pasti akan mendatangkan keuntungan buat dirinya. Dia berpaling semula kepada lelaki seramai tiga orang yang setia menunggu arahannya. Tangannya dicekakkan pada pinggang.

“Buat apa yang aku suruh tadi!” Arahnya lantas terus masuk ke dalam apabila deringan telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Pelanggan tetapnya sedang mencari, harus dia menjawab. Duit! Duit! 

Tiga lelaki tersebut berbincang sesuatu sebelum salah seorang antara mereka masuk ke dalam melalui pintu belakang The Heaven. Seorang lagi memandang ke sekeliling bagaikan memerhatikan keadaan sekitar manakala seorang lagi cuba untuk mengangkat tubuh gadis muda itu. 

Firdaus berjalan perlahan-lahan hingga berhenti di belakang kereta four-wheel drive. Perlahan-lahan mulut dan hidung lelaki yang berdekatan dengannya ditekup kuat  dari belakang lalu dengan pantas leher lelaki tersebut dipulas laju. Serentak dengan itu, tubuh lelaki tersebut longlai mencecah tanah. Firdaus mencebik.

“Badan dah macam Hulk Hogan, tapi lembik.” Cemuh Firdaus dalam hati. Firdaus mendekati perempuan itu. 

“Nak buat apa ni?”

‘Selamatkan dia Fir.’

“Tapi nak buat apa?” Soalnya laju. 

‘Buat ajelah. Tak kesian ke kat dia? Dia perlukan pertolongan kau.’ Marah hatinya lagi. 

Wajah perempuan muda itu direnung sekilas sebelum dia menyeluk tangannya untuk memaut tubuh itu. Pantas tindakannya hingga akal tidak mampu mencelah meluah pendapat. Kata hatinya bagai menderu laju agar bertindak cepat. 

“Hoi!!!” Sergah satu suara dari belakang. 

Firdaus lantas berpaling ke belakang apabila seorang lagi lelaki daripada tiga orang tadi terus menerkamnya. Firdaus lantas mengelak saat tumbukan lelaki itu ingin singgah di pipinya. Sebaliknya sikunya dihentak kuat pada belakang lelaki tersebut. Terjelepok lelaki itu ke badan kereta. Belum pun sempat lelaki itu menstabilkan diri, Firdaus pantas menghentak belakang badan dan belakang lutut lelaki itu dengan lututnya. 

Diletakkan lengannya pada leher lelaki tersebut sebelum ditarik kuat ke belakang. Rontaan lelaki tersebut berhenti dan tubuhnya Firdaus lepaskan ke lantai aspal.
 
Matanya terus dihalakan pada susuk tubuh yang terbaring lemah di bahagian tempat duduk penumpang. 

‘Cepat Fir. Bawak dia pergi dari sini!’ Arah satu suara. 

Tanpa bertangguh lagi, tubuh perempuan muda yang masih tidak sedarkan diri itu diangkat menuju ke keretanya yang diparkir tidak jauh dari kawasan tersebut. Enjin kereta cepat-cepat dihidupkan sebelum keretanya menderu laju meninggalkan lorong gelap tersebut.

NISSAN SKYLINE diberhentikan di tepi bukit yang sunyi. Nafasnya dihela kasar. Turun naik dadanya memikirkan tindakan drastik yang dilakukannya tadi.

“Kenapa aku buat semua ni?”

Firdaus meraup wajahnya berulang-ulang kali. Bagaikan tak percaya apa yang dia lakukan kini. Gadis muda yang masih terpejam matanya dipandang dari tepi. Wajah itu jelas dapat dilihat meskipun cahaya bulan tidak terang malam ini.

“Dah gila agaknya aku ni. Untuk apa aku buat semua ni? Kenapa aku bawak dia sekali? Aku tak kenal dia pun,” keluh Firdaus lemah. 

‘Dia perlukan pertolongan kau Fir. Kesian dia,’ jawab satu suara.

“Gilalah!

‘Kau tak gila Fir. Kau dah buat perkara yang betul,’ balas suara itu lagi.

“Tapi apa aku nak buat dengan perempuan ni?” Suara itu tidak menjawab. Hingga kini persoalan itulah yang membelenggu otaknya yang serabut kala ini. Akalnya  masih ligat berfikir sehingga dia mendengar bunyi pergerakan di sebelahnya.

“Tolong! Jangan! Jangan! Tolong! Ibu!!! Ibuuu!” Jerit gadis itu lemah. Kepalanya bergerak kiri dan kanan. Seakanakan meracau. Firdaus terkejut. Tangannya cuba memegang bahu gadis itu lalu mengoncangnya dengan sedikit kuat. 

Dhieya terjaga daripada igauan ngerinya. Nafasnya turun naik mendadak bagaikan baru lepas lari marathon beratus meter. Pegangan Firdaus terlepas dari bahunya. Matanya masih lagi singgah pada si gadis yang tak diketahui namanya. Kosong! 

Dhieya menekup wajahnya sambil air matanya laju menuruni pipi. Takut akan mimpinya hinggakan langsung tidak sedar akan keadaan dirinya tika itu. Menyedari akan hakikat mengejutkan itu, Dhieya mengangkat kepalanya. Matanya melingas memerhati keadaan sekeliling yang telah berubah. Wajahnya berubah pucat melihat seorang lelaki asing yang tak pernah ditemuinya sedang ralit memandang.

Tanpa berfikir panjang lagi, Dhieya cuba membuka pintu kereta namun gagal. Dia terkunci! Dhieya cuba berkalikali. 

“Encik, lepaskanlah saya! Jangan buat saya macam ni,” rayu Dhieya dengan wajah yang penuh dengan kesan tangisan. 

“You nak pergi mana?” Soal Firdaus dingin. Wajahnya dipandang ke hadapan semula. Rimas!

“Saya nak balik rumah saya. Encik tolong lepaskan saya. Saya takut,” rayu Dhieya lagi. Esakannya sukar dihentikan. Hakikatnya, dia sungguh takut. Dia mahu pulang. Dia mahu ke kubur ibunya.

“Encik tolong saya. Jangan buat saya macam ni. Saya janji saya akan bayar hutang Pak Cik Bakar. Saya janji!” Ujar Dhieya lagi seakan-akan menganggap bahawa lelaki inilah yang bercakap dengan Pak Cik Bakar tempoh hari. Dia akan dijual oleh Pak Cik Bakar kepada lelaki ini.

“You cakap apa ni?” Soal Firdaus dengan dahi yang berkerut seribu.

Dhieya menggelengkan kepalanya. Lama dia berdiam diri sebelum menyambung.

“Saya tahu... Pak Cik Bakar pernah... janji pada encik untuk jual saya, kan? Sebab Pak Cik Bakar dah... banyak berhutang dengan... encik.”

Firdaus terdiam. Dia masih menunggu lagi butir-butir bicara dari bibir mungil itu.

“Sa... saya janji... saya akan bayar hutang tu... encik.” Firdaus mencebik dan akhirnya ketawa sinis sambil matanya memandang ke arah sisi tingkap. Dhieya terpingapinga. Dia tidak faham akan maksud reaksi lelaki asing itu. Tanpa berkata apa-apa, lelaki itu terus menurunkan brek tangan lalu pedal minyak di tekan laju membelah jalan lebar yang agak sunyi. 

‘Ya Allah! Dia nak bawa aku ke mana ni?’ Dada Dhieya berdebar kencang.

“Encik…” Belum sempat Dhieya menghabiskan ayatnya, Firdaus mencelah dingin.

“I don’t want to talk anything now! Just shut up or you’ll regret!”

No comments:

Post a Comment