DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 3 March 2015

Si Pencuri Hati - Bab 2

DARWISY menarik selimut membaluti tubuhnya. Dia benar-benar mengantuk. Malam tadi hampir pukul tiga pagi baru dia pulang ke hotel penginapannya. Bunyi deringan telefon mengejutkan Darwisy daripada lenanya. Teraba-raba dia mencari iPhone miliknya. Matanya
masih lagi terasa kelat. Melihat sahaja nama bondanya tertera di skrin telefon, matanya menjadi besar secara automatik dan dengan pantas dia menjawabnya. Bimbang jika bondanya naik angin.

“Helo... bonda.”

“Assalamualaikum.”

Darwisy garu kepala. Belum apa-apa lagi sudah dapat petanda angin kus-kus akan menyerang. 

“Waalaikumussalam, bonda.” Tangannya segera menahan kuapan.

“Baru bangun tidur anak bertuah? Sudah solat subuh ke tidak ni?” Kedengaran lantang suara bondanya menegur.

“Solatlah bonda! Tak akan tak solat pula. Apa? Bonda pernah tengok anak bonda ni tidak bersolat?” tanya Darwisy sedikit geram. Walaupun dia agak nakal dan sering pulang lewat ke rumah, tetapi dia tidak pernah meninggalkan solat dan melakukan perkara-perkara mungkar.

“Kamu... kalau bab menjawab, tak pernah nak kalah. Ada sahaja benda yang hendak diputar alam,” perli Tengku Faridah. “Bonda nak beritahu, bonda mungkin sampai lepas zohor. Bonda nak kamu tunggu bonda dekat City Square. Jangan kamu lambat atau merayap tak  tentu hala pula,” pesan Tengku Faridah. 

“Ya... Darwisy tahulah tugas Darwisy tu. Bonda jangan risaulah. Sebelum bertolak, bonda telefon dulu,” pesan Darwisy. Setelah menamatkan perbualan dengan bondanya, Darwisy melihat jam di skrin telefonnya. Dah pukul sebelas pagi rupanya. Rasa macam baru sahaja aku tidur, gumam Darwisy.  Terpandang tin Coke yang terdapat di atas meja, Darwisy tertawa kecil mengenangkan peristiwa yang berlaku awal pagi tadi.

“Macam-macam hal perempuan tak cukup umur tu,” omel Darwisy.

Tawanya hampir terburai ketika perempuan itu menyapanya melalui pembesar suara namun ditahan jua. Jatuhlah sahamnya andai berperangai mesra alam dengan orang yang tidak dia kenali. Apatah lagi dengan perlakuan gadis itu yang amat menjengkelkan hati pada mulanya. Keletah bersahaja gadis itu sangat menarik perhatiannya.

“Ada ke patut dia siap pesan kat aku...” 

‘Selamat memandu dan berhati-hati di jalan raya. Tata... titi... tutu...! Bye... bye...!’

“Apa? Dia ingat... dia tengah hantar anak dia pergi sekolah ke, siap nak bertata-tata dan berbye-bye? Memang dasar perempuan miring,” kutuk Darwisy. Dalam pada itu, senyuman menawan terukir di bibirnya apabila teringatkan ‘gadis stesen minyak’ itu.

Memikirkan perihal bonda dan rombongan Cik Kiahnya, Darwisy tidak sedang duduk. Entah bagaimanalah dia hendak melayan gelagat bonda dan geng-geng Cik Kiahnya yang seramai tiga orang itu. Menyesal pula dia tidak mempelawa abangnya turut serta. Tentu dia tidak mati kebosanan sekiranya Danish ada. Paling dia menyampah hendak melayan ialah kerenah anak gadis Datin Nafisah. Bondanya seakan-akan cuba hendak menjodohkan dia dengan anak Datin Nafisah itu. Tetapi bukan dengan anak Datin Nafisah sahaja sebenarnya yang bondanya cuba kenenkan. Malahan dengan beberapa orang lagi anak kenalan rapatnya. Pening kepala Darwisy memikirkan agenda  bondanya itu.

Darwisy bingkas beredar ke bilik mandi. Dia perlu segera bersiap. Jika terlambat tentu bondanya akan berleter. Perutnya juga sudah mula terasa lapar. Dia bercadang ingin bersarapan di City Square sahaja sambil menanti ketibaan bonda kesayangannya.

DARWISY memandu tenang Toyota Alpard menuju ke City Square, Johor Bahru. Kenapalah bondanya tidak mengambil flight sahaja seperti sebelum ini? Bukan ke lebih mudah? Tidak perlulah dia memandu beratus-ratus kilometer sematamata hendak menjemput bondanya.

Sementara menunggu bondanya tiba, Darwisy meninjau-ninjau restoran makanan segera untuk mengisi perutnya yang tengah kelaparan. Sebaik sahaja selesai menikmati makanannya, telefonnya berbunyi. 

“Bonda kat mana? Okey... okey... bonda tunggu kat situ.”

Darwisy mencari kelibat bonda dan rombongan Cik Kiahnya. Setelah terpandang wajah bondanya, Darwisy membuka langkah lebih besar. Sebaik sahaja berdiri di hadapan Tengku Faridah, tangan bondanya dikucup dan pipi bondanya dicium penuh kasih.

Tersenyum Datin Nafisah melihat perlakuan Darwisy. Beruntung dirinya sekiranya Darwisy menjadi menantunya kelak. Natilia juga tanpa segan silu merenung tindaktanduk Darwisy. Bagaikan hendak ditelan hidup-hidup anak bujang Tengku Faridah itu.

Mak ngah Darwisy, Tengku Fazidah tersenyum mesra apabila anak saudaranya itu mencium tangannya. Inilah ciri-ciri anak mithali. Dan inilah juga calon menantu yang menjadi idaman para ibu di luar sana. Darwisy membimbit beg pakaian bondanya. Mujurlah beg bondanya tidak sebesar beg pakaian Datin Nafisah dan anak gadisnya. Mahu lelah dibuatnya kalau dia yang terpaksa menjinjing beg tersebut hingga ke tempat letak kereta. Bukanlah bermakna dia tidak larat atau lembik, tetapi dia memang tidak minat langsung mengusung beg pakaian yang besar gedabak seperti itu. Sungguh memalukan apabila ada mata-mata yang memandang. Harap-harap isterinya nanti tidaklah seteruk Datin Nafisah anak-beranak ketika berbelanja. Eceh! Dah gatal nak kahwin nampak? bisik hati Darwisy nakal. Telinga Darwisy juga sempat mendengar mulut Natilia mengomel tentang beg pakaiannya yang terlalu berat. Siapa suruh shopping sampai tak ingat dunia? Sekarang  siapa yang susah? Diri sendiri juga, kan? Ha... ha... ha... padan muka! Tak kuasa aku hendak menolong, bisik hati Darwisy. Darwisy meneruskan langkah menuju ke MPVnya. Permintaan Natilia supaya dia membantu membawa beg  pakaian gadis itu hanya dipandang sepi.

“Hisy... tak boleh harap betullah Darwisy ni! Harap badan aje tough! Tapi minta tolong angkatkan beg pun tak mahu,” omel Natilia sepanjang jalan. Darwisy menjeling geram. Bengang pun ada dengan sikap Natilia.

“Eh... yang kau marah-marah aku tak nak tolong angkat beg kau tu kenapa? Bukannya nak kena pikul atau jimbit beg tu. Kan guna roda. Tarik ajelah,” tempelak Darwisy. “Dah tahu badan tu lembik, ada hati nak shopping satu bangunan,” sindir Darwisy. “Lain kali... kalau nak shopping, ikut kemampuan diri. Aku tahulah kau mampu dari segi kewangan, tapi dari segi tenaga... hancur tahu, tak? Sekarang tanggunglah sendiri. Dia sedap-sedap pergi shopping, kita pula nak kena jadi kuli babu dia. Boleh jalan daaa...!!!” bebel Darwisy lagi.

Apa dia peduli sama ada Datin Nafisah atau bondanya dengar. Sedikit pun dia tidak hairan sekiranya Datin Nafisah berkecil hati. Memang dari dulu lagi dia tidak suka dengan perangai Natilia yang suka membuli dan mengambil kesempatan atas kebaikan orang lain. 

Tengku Faridah hanya mendiamkan diri. Dia tahu anak lelakinya tidak pernah berlaga angin dengan Natilia. Acap kali juga dia menasihati anak lelakinya itu supaya menjaga tutur kata apabila bercakap dengan Natilia namun tidak diendahkannya. Entah apa yang membuatkan Darwisy begitu membencikan Natilia, dia pun tidak tahu. Datin Nafisah sekadar memandang dan enggan ikut campur. Dia bimbang jika rancangannya hendak berbesan  dengan Tengku Faridah akan berkubur begitu sahaja. Daripada dia melayan kerenah manja anak kesayangannya itu, lebih baik dia menjaga ‘projek besar’ yang sudah siap tersusun rapi olehnya.

Tengku Fazidah menggelengkan kepala melihat gelagat anak saudaranya itu. Anak lelakinya juga sama seperti Darwisy, tidak suka diarah atau dipaksa.

“KAMI semua nak ke Pasir Gudang lepas ni. Boleh Darwisy hantar?” Tengku Faridah bertanya setelah mereka selesai menyempurnakan solat zohor di surau yang terdapat di City
Square. 

“Boleh sangat-sangat, bonda. Untuk bonda, hujung dunia pun Darwisy sanggup bawa,” balas Darwisy sambil tersengih nakal. Oh... patutlah bonda tak naik kapal terbang seperti biasa, rupanya dah ada projek yang dirancang, gumam Darwisy.

Tengku Faridah membesarkan biji matanya. Tahu sangat dia dengan perangai anak lelaki bongsunya itu. Nakal terlajak! Entah perangai siapalah yang turun kepadanya? 

“Emmm... sebelum itu, kita singgah Giant, Plentong. Bonda nak beli sedikit buah tangan,” arah Tengku Faridah.

“As your command, bonda.” Darwisy akur dengan arahan bondanya itu.

Darwisy memandu tenang menuju ke Lebuh Raya Pasir Gudang. Sekali-sekala dijeling tempat duduk di sebelah pemandu yang diduduki Natilia. Inilah ciri-ciri perempuan jahiliah! Pakai baju tak pernah cukup kain. Kalau orang  lelaki tengok bagai nak tersembul biji mata, mula kata orang lelaki gatal. Apabila kena raba, dikatakan orang lelaki gila seks. Tapi mereka sendiri tak ingat... apabila pakai baju. Dah kena rogol mulalah tuduh orang lelaki jahat. Lepas tu meraung dan melalak tak henti-henti. Padahal merekalah penyumbang utama ke arah gejala sosial. Apabila maruah dah tercemar baru hendak menyesal dan insaf, memang dah tak bergunalah beb...!!! Sebab itu orang tua-tua dah ingatkan sejak dahulu kala lagi... sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya! Tapi orang kat sebelah aku ni rasanya memang tak ada istilah menyesal dalam kamus hidup dia!

Bosan menunggu bonda dan rombongannya membeli-belah, Darwisy meronda ke setiap kedai yang  terdapat di Giant. Terdapat pelbagai barangan yang dijual dengan harga yang berpatutan, tapi tiada satu pun yang menarik minatnya. Penat mencuci mata, Darwisy mencari tempat duduk. Kelihatan bonda dan ahli rombongannya sudah keluar dari Pasar Raya Giant. Dia cuma duduk menunggu di bangku yang disediakan.

Tengku Faridah dan teman-temannya menghampiri Darwisy.

“Darwisy tunggu bonda dekat sini ya. Bonda dengan Aunty Nafisah dan mak ngah nak pergi ke butik tu sekejap,” tunjuk Tengku Faridah dengan muncungnya. Darwisy mengangguk. Natilia duduk di sebelah Darwisy sementara menunggu mamanya dan Tengku Faridah serta Tengku Fazidah pergi ke salah sebuah butik yang terdapat di situ. Kakinya sudah naik lenguh kerana terlalu banyak berjalan. Natilia mengeluarkan alat solek dan merapi kembali
wajahnya.

“Hei... boleh duduk jauh-jauh sikit tak? Rimaslah duduk himpit-himpit macam ni! Punggung kau besar sangat ke sampai nak kena duduk rapat-rapat dengan aku?” marah Darwisy. Menyampah sungguh dia dengan manusia yang tak reti malu ini. Gedik!

“Ala... apa salahnya I nak manja-manja dengan you.” Natilia meleret nada suaranya agar kedengaran manja. 

“Nak manja kepala lutut kau!” sinis Darwisy. Tubuhnya dialih sedikit.

Natilia langsung tidak mengendahkan kata-kata Darwisy, malahan dia semakin menghimpit. Cemburu hatinya apabila ada sahaja gadis yang menjeling Darwisy. 

“I sejuklah!” Rentak suara Natilia sudah bertukar menggoda.

Ya Allah... dia ni! Bodoh ke bebal sampai tak faham apa yang orang cakap? rungut Darwisy. Dia mengesot untuk menjarakkan diri.

Natilia enggan mengalah. Dia kembali merapati Darwisy.

“Hei... ke tepilah sikit! Kau tak tahu malu ke bila orang lalu-lalang tengok? Kita ni orang Islam. Jagalah sikit adab dan budaya timur kita. Dan ingat... antara kau dan aku bukannya ada sebarang ikatan untuk kau bermanja-manja,” sindir Darwisy. “Lain kali pakai baju yang cukup kain. tak adalah sejuk,” sinis Darwisy. Bosan dengan tingkah laku Natilia, dia bingkas bangun. Meluat! Kata-kata Darwisy langsung tidak berbekas dalam hati Natilia.

“Darwisy tunggulah. You nak pergi mana? Kenapa tak tunggu bonda you kat sini?” tanya Natilia bengang. 

“Suka hati akulah nak pergi mana. Bukannya pinjam kaki kau pun!” tempelak Darwisy geram. Dia mula mengatur langkah untuk beredar. 

“Kejaplah I nak mekap dulu,” rengek Natilia. Pabila tiada respons daripada Darwisy, kelam-kabut Natilia menyimpan alat soleknya. Pantas dia bangkit untuk mendapatkan Darwisy. Darwisy menoleh pabila ada tangan memaut lengannya. Sepantas kilat dia menepis tangan tersebut.

“Hei... perempuan! Apa ni... main pegang-pegang?” soal Darwisy kasar namun nada suaranya diperlahankan. Tidak mahu ada yang mendengarnya. “Lagi satu... tak payahlah nak mekap berbagai. Muka kalau dah tak cantik, tetap tak cantik juga walaupun kau tampal selori color kat muka,” perli Darwisy. Bosan sungguh dia melayan perangai Natilia yang mengada-ada. Natilia memandang Darwisy dengan perasaan bengang. Dalam hatinya berbakul-bakul sumpahan diberikan buat Darwisy. Berlagak nak mampus lelaki itu.

“You janganlah tinggalkan I sorang-sorang kat sini. I takut! Lagipun I bukannya biasa dengan tempat ni. Kalau sesat macam mana? I ikut you ya?” bicara Natilia manja. Amarahnya kepada Darwisy, dicampak ke tepi dahulu. Macam-macam hallah perempuan ni! Macamlah tak ada telefon bimbit nak telefon mak dia kalau sesat. Saja aje nak menyemak kat depan biji mata aku, gerutu Darwisy. Atas nama perikemanusiaan yang masih menebal, dilayan jugalah perangai perempuan geletis itu.

“Kalau kau nak ikut aku, cepat sikit! Ini berjalan macam itik pulang petang.” Tiada langsung bahasa sopan yang dilontarkan kepada Natilia. Natilia segera merapatkan tubuhnya ke tubuh Darwisy. Kata-kata Darwisy sebentar tadi langsung tidak disimpan dalam kotak ingatan dan kamar hatinya. Lengan Darwisy dipautnya kembali.

Darwisy menghentikan langkahnya kembali. Lengannya direntap kasar. Muka Natilia direnung tajam. Andai daging manusia boleh dimakan, memang Natilia la orang pertama yang dijadikan korban. 

“Eh... kau ni, tak reti bahasa ke? Kan aku dah cakap jangan pegang-pegang aku!” bentak Darwisy. “Kenapa kau suka sangat melaser-laser kat aku, haaa...?” tanya Darwisy tanpa perasaan. “Macam kucing miang aje,” dengusnya benar-benar geram.

“Eleh... pegang sikit pun tak boleh. Macamlah luak!” sindir Natilia sambil menceber. Darwisy mula naik angin. Panas telinganya mendengar kata-kata kurang cerdik Natilia. Namun disabarkan hatinya. Nanti tak pasal-pasal anak kesayangan Datin Nafisah bersepai gigi.

“Aku tak suka, tahu tak?” tegas Darwisy. 

“Huh... macamlah alim sangat!” kutuk Natilia. Darwisy memandang wajah Natilia dengan perasaan berang. Perempuan ni memang nak tengok aku mengamuk kat sini agaknya? Sabar Darwisy, sabar. Dia kan tak bijak. Tak akan kau pun nak jadi bodoh macam dia juga. Darwisy mencari idea hendak mengenakan Natilia kembali.

“Eh... perempuan! Kau tak takut ke pakai baju sendat-sendat dan seksi macam ni?” tanya Darwisy dengan perasaan jelek. “Kalau kena rogol macam mana? Hah! Jangan suruh aku jadi kambing hitam sudahlah. Andai itu yang berlaku, memang aku amuk satu KL dan lumat kau, aku cencang. Dan... dengan mak kau sekali akan mengalami nasib yang sama, faham? Sekarang ni pun aku tengok mak kau macam nak tarik perhatian bonda aku aje,” terang Darwisy tanpa selindung. “Kau cakap kat mak kau, jangan mimpilah nak jadikan aku menantu dia.” Terkedu Natilia mendengar kata-kata Darwisy.

Pertanyaan Darwisy juga dibiarkan sepi tidak berjawab. Macam mana Darwisy boleh tahu rancangan mamanya? Jangan-jangan Darwisy pun dah tahu kegiatan aku selama ini? Aduh... mampus aku sekiranya mama tahu aktiviti aku di luar rumah! Natilia sudah seperti cacing kepanasan. Mulutnya juga bagaikan terkunci untuk menangkis kembali kata-kata Darwisy. Sebelum ini dialah ratu dalam mengayat lelaki.

Huh... tahu takut! Darwisy merengus. Dia ingat senang-senang nak jadi Mrs. Darwisy, bisik hati Darwisy. Darwisy memandang Natilia dengan pandangan yang sinis. Tak mungkin perempuan murahan seperti Natilia akan diangkat sebagai permaisuri hidupnya. Perempuan yang bernama Natilia sudah terang lagi bersuluh sering menjadikan pub dan disko serta hotel sebagai rumah keduanya. Itulah syurga dunia yang sentiasa dicari oleh manusia yang tidak bertamadun, tanpa mengira batasan masa dan usia.

Mereka tiba di Taman Bukit Dahlia ketika jam sudah menunjukkan pukul tiga petang. Darwisy mencari Jalan Dahlia 2. Di situlah letaknya rumah kenalan rapat bondanya sewaktu menuntut di Australia. Menurut bondanya... malam nanti mereka akan menginap di situ. Tetapi Darwisy menolak hasrat bondanya dengan baik. Alasannya dia malu dan tidak biasa dengan penghuni di rumah itu yang rata-ratanya ialah perempuan. Setelah duduk beberapa ketika, Darwisy memohon diri. Badannya sudah terasa rimas dan melekit setelah seharian tidak mandi dan menukar pakaian. Setibanya di Hotel Thistle, Darwisy merebahkan badannya yang keletihan buat seketika. Setengah jam kemudian dia bangun dan membersihkan diri. Usai mandi, Darwisy berhasrat ingin meronda-ronda melihat keindahan panorama Bandar Raya Johor Bahru. Esok mereka akan berangkat pulang ke Kuala Lumpur.

Darwisy memandu menuju ke Danga Bay. Ramai juga pengunjung pada waktu malam, getus Darwisy. Matanya melingas memandang kawasan sekitar. Setelah puas berada di Danga Bay, Darwisy memandu tanpa hala tujuan. Tanpa disedari, dia telah pun memandu hingga Kampung Melayu Majidee.

Berkerut-kerut dahi Darwisy memikirkan kenapa dia perlu memandu sejauh ini. Tatkala matanya terpandang papan tanda stesen minyak, barulah dia mengerti kenapa kakinya menekan pedal minyak hingga ke sini. 

“Wahai kaki! Kenapalah tak beritahu tuanmu ini yang kamu hendak datang ke mari? Pandai ya kaki... kau ajar tuanmu buat maksiat mata!” Tertawa Darwisy mendengar kata-katanya itu. Darwisy memandu MPVnya ke tempat mengisi angin. Matanya meliar mencari gadis semalam. Perasaan hampa menjalar dalam hatinya kerana gadis yang dicari tiada di situ. Setelah yakin pencariannya gagal menemui hasil, Darwisy memandu pulang ke hotel penginapannya. Dia ingin merehatkan badannya. Esok dia akan memandu lebih jauh lagi.

DARWISY memandu ke Pasir Gudang menjemput bondanya. Sewaktu dia mencari tempat hendak memarkir MPVnya, pintu pagar rumah Aunty Salwa terbuka. Macam tahu-tahu aje aku dah sampai, omel Darwisy. Usai memberi salam dan dipelawa masuk, Darwisy melabuhkan punggungnya di sofa. Matanya membuang pandang mencari bondanya.

“Adik ada nampak bonda abang tak?” tanya Darwisy kepada anak Aunty Salwa.

“Bonda abang ada kat belakang dengan umi,” terang anak Aunty Salwa.

“Terima kasih.” Darwisy berbasa-basi. Tangannya mencapai album yang terdapat di meja kopi bagi menghilangkan kebosanan. Tak akanlah tuan rumah hendak marah jika dia melihat album tersebut. Bukannya dia ingin mencuri. Tidak lama kemudian, anak gadis Aunty Salwa yang berusia lingkungan empat belas tahun itu datang membawa secawan minuman dan beberapa biji karipap. 

Bagus betul budak ni. Macam tahu-tahu aje aku tengah kebuluran. Bonda pun satu... suruh datang cepatcepat, tapi dia entah hilang ke mana. Nasib baiklah budak kecik ni baik hati sedekahkan aku makanan. Sambil menyuap karipap, matanya tidak henti melihat gambar yang terdapat dalam album tersebut. Anak Aunty Salwa juga setia duduk berdekatan dengannya. Mak budak ni mesti dah pesan supaya tengok-tengokkan aku. Manalah tahu aku merompak rumah dia. Hisy... tak baik Darwisy berburuk sangka. Bulat matanya apabila terpandang wajah gadis di stesen minyak.

“Adik... boleh abang tahu ini siapa?”

“Itu Kak Sayang.”

“Kenapa panggil dia Sayang?” Apalah kau ni Darwisy. Dah tentulah nama dia Sayang sebab itulah mereka panggil dia Sayang. Tapi manalah tahu sekiranya itu nama manjanya sahaja, Darwisy berkata kepada dirinya sendiri. 

“Oh... tu nama sebenar Kak Sayang! Cantik kan dia bang? Saya kalau boleh nak muka macam dia. Umi kata wajah Kak Sayang macam pelakon Bollywood Katrina Kaif tapi babah kata macam muka Kajol. Bila Kak Sayang senyum macam senyuman Kajol kata babah. Tapi saya rasa wajah Kak Sayang lagi lawa daripada mereka.” Amboi... panjang lebarnya budak ni terangkan tentang gadis bernama Sayang. Mereka sekeluarga mesti peminat fanatik filem Bollywood. 

“Tapi memang cantik pun,” puji Darwisy tanpa sedar. Matanya bagaikan tidak puas menatap seraut wajah itu. Eh... apa kes pula aku puji dia? Bukannya nak buat bini pun! 

“Adik pun cantik juga! Jika dia macam Katrina Kaif, adik pula macam Karina Kapoor,” ujar Darwisy bersahaja. Dia akhirnya tertawa dengan kata-katanya. 

“Ala... abang ni, saja aje nak buat saya terperasan! Saya tahulah saya tak secantik mana,” ujar Suwaibatul merendah diri.

“Hisy... jangan kata macam tu. Setiap orang ada keistimewaan dan kecantikan tersendiri. Hanya orang yang tahu menilai sahaja dapat melihat keindahan itu.” Wah... Darwisy, hebatnya kau! Boleh jadi ahli pujangga. Suwaibatul hanya tersenyum mendengar kata-kata
Darwisy. Lelaki di hadapannya ini tidak kurang hebatnya. Memiliki wajah yang tampan, kulit putih bersih dan berbadan tegap.

“Abang pun apa kurangnya. Kacak, tampan dan mempunyai personaliti yang menarik. Tentu ramai awek keliling pinggang,” giat Suwaibatul.

“Mana ada! Abang hanya manusia biasa sahaja.” Darwisy merendah diri.

“Dia tinggal sekitar sini ke?” tanya Darwisy sambil menunjukkan gambar gadis yang dipanggil Sayang. Setelah itu, album tersebut disimpannya kembali.

“Aah... tapi jauh sikitlah.”

Mustahil gadis stesen minyak tu tinggal di sini. Bukan ke jauh dia nak pergi kerja seandainya tempat tinggal dia di sini? Mungkin pelanduk dua serupa agaknya. Lagipun gadis di stesen minyak tu lebih cantik, gumam Darwisy sambil menggaru-garu dagunya. Laaa... aku ni pun satu hal! Yang sibuk fikir pasal dia buat apa? Lantaklah... tempat kerjanya jauh dari rumah ke tidak! Macamlah dia tu bawah tanggungjawab aku. Hisy... kacau-kacau jiwa aku jika asyik fikirkan perempuan ni! bisik hati Darwisy sambil menggelengkan kepalanya.

Tidak lama kemudian Tengku Faridah datang dan duduk bersebelahan dengan Darwisy. Begitu juga dengan minah yang tak cukup kain a.k.a Natilia. Begitu mesra lagi kelihatan  mereka berdua. Siap bergelak ketawa. Dia ingat dengan berbuat baik dengan bonda boleh pikat hati aku? Sorry! gerutu Darwisy.

“Kenapa dengan anak bujang bonda ni? Resah gelisah aje gayanya. Ada masalah ke? Yang tergeleng-geleng macam ayam baru lepas sembelih ni kenapa?” tegur Tengku Faridah sambil menepuk bahu anaknya. Alamak... bonda nampak ke tadi? Masalah negara ni... seandainya bonda tahu aku fikirkan hal perempuan. Darwisy tersengih sambil memandang wajah bondanya.

“Tak ada apa-apalah bonda. Cuma anak bonda tengah fikirkan pukul berapa kita nak bergerak. Bonda tak rindu dekat ayah ke?” usik Darwisy. Mujurlah otaknya masih bijak mencipta alasan. 

“Ikutkan hati bonda memang nak balik sekarang, tapi Aunty Salwa kamu suruh tunggu dulu. Lepas makan tengah hari baru dia benarkan kita balik. Tak sampai hati pula bonda hendak menolak. Kami pun dah lama tak jumpa,” terang Tengku Faridah.

Darwisy angguk kepala tanda mengerti. Natilia tersenyum melihat gelagat dua beranak itu.
Suwaibatul memerhatikan kemesraan ibu dan anak itu. Darwisy dilihatnya begitu manja dengan bondanya.

“Kamu berboraklah dulu dengan Lia. Bonda nak ke dapur kejap. Nak tengok apa yang mak ngah dan Aunty Nafisah kamu buat.” Tengku Faridah menepuk lembut paha anak bongsunya.

Darwisy memandang wajah Natilia yang sedang tersenyum-senyum. Huh... dia ingat senyuman dia tu cantik sangat! Rasanya senyuman cimpanzi lagi cantik. Ha... ha... ha... melampau betul kenyataan aku. Jika cimpanzi tahu aku puji mereka... makin lebarlah senyuman mereka lepas ni. Matanya masih tidak lepas memandang muka Natilia. Natilia berasa bangga apabila Darwisy tidak jemujemu menatap wajahnya. Tidak rugi aku sedekahkan senyuman. Mesti dia dah tergoda kat aku, getus Natilia.

“Eh... perempuan! Mulut kau tu tak lenguh ke dari  tadi asyik menyengih? Aku tengok dah macam orang terencat akal pun ada,” kutuk Darwisy tanpa mengambil kira perasaan Natilia.

“Kenapa you suka sangat sakitkan hati I? Salah ke kalau I senyum? Senyum tu kan satu sedekah,” balas Natilia dengan nada manja. Dia cuba menyabarkan dirinya dengan sikap dingin Darwisy. Tahu juga perempuan ni yang senyuman itu satu sedekah.

“Aku tahulah senyuman tu satu sedekah. Tapi senyuman kau ni nampak pelik sikit. Senyum macam orang gatal merenyam,” ujar Darwisy sambil tersengih. Suwaibatul memandang pelik sengketa yang berlangsung antara Natilia dan Darwisy. Malas ikut campur, dia melangkah keluar menghirup udara pagi sambil menikmati ciptaan Yang Maha Esa.

Merah padam muka Natilia mendengar kata-kata Darwisy.

“You memang dah melampau, tahu?” bentak Natilia. “Ikut suka hati I la nak senyum macam mana. Bukannya pinjam mulut you pun! Ingat Darwisy, I akan pastikan suatu hari nanti you melutut depan I dan tergilagilakan I.” Natilia berlalu dengan perasaan marah.

Kau jangan sombong sangat, Darwisy. Aku bukannya jenis perempuan yang senang-senang untuk kau hina. Natilia menanam tekad dalam hati membalas balik perbuatan Darwisy.

Nada suara Natilia yang agak nyaring sedikit pun tidak memberi kesan kepada Darwisy. Sebaliknya lelaki itu hanya tertawa mendengar ugutan Natilia. Melihat perangai Natilia yang terlebih manja dan suka membentak-bentak membuatkan Darwisy terasa mual. Entah mengapa, dari dulu lagi dia tidak berapa ngam dengan Si Natilia ini.

No comments:

Post a Comment