BERMULA hari ini, Encik Zafrul berlepas ke
Sydney selama seminggu. Lewat malam tadi, dia memaklumkan
kepadaku menerusi SMS. Katanya bos besar membatalkan
lawatan projek ke sana atas sebab kesihatan dan dia terpaksa
menggantikan tempatnya.
Yehaaa... Betapa leganya! Terasa aman sikit hidupku.
Seminggu ini aku tidak perlu berkejar ke pantri membancuh
kopi untuknya. Senang hati aku dapat menyiapkan kerjaku
yang menimbun dengan penuh konsentrasi.
Yang hairannya... selepas dua tiga hari, mula terbit
rasa rindu pula apabila Encik Zafrul tiada di pejabat. Bak kata
pepatah, ‘macam kucing hilang anak’. Bila Encik Zafrul ada di
depan mata, aku selalu sangat mendecit geram terhadapnya.
Mungkin juga kerana inilah kali pertama Encik Zafrul tiada
di pejabatnya begitu lama. Selalunya kalau outstation, setakat
sehari dua sahaja.
Aku berkira-kira sendiri. Kenapa aku rasa kekurangan
sesuatu? Benci tapi rindu? Isyyy… Isyyy! Tak mungkinlah!
Am I missing something? Apa ya? Haaaaa! Aku petik jari. Baru
teringat...
Seminggu ini juga aku tak perlu membeli dan menukar
air bunga carnation yang dimasukkan ke dalam pasu pewter di
atas mejanya.
Jika tidak, dua hari sekali pastinya aku disuruh
ke kedai bunga di tingkat bawah sederet dengan pejabat RME
Development. Itulah... nampak aje Encik Zafrul tu brutal, tapi
sebenarnya dia seorang ‘Mat Bunga’. Keh keh keh… Dalam hati
ada taman.
Semestinyalah aku sungguh gembira kerana seminggu
ini aku dapat bergelak ketawa dengan kawan-kawan satu
department denganku. Setelah sekian lama aku nantikan,
dapat juga aku aku keluar makan tengah hari bersama Amy dan
seorang lagi kawan baruku di sini bernama Suraya.
Inilah masanya aku dapat mengecualikan diri daripada
menjadi peneman Encik Zafrul makan. Kadangkala hinggakan
menjadi beban kurasakan. Ada ketikanya aku sengaja berpuasa
untuk mengelak terlalu kerap bersamanya. Tambahan pula
gosip hubunganku dengan Encik Zafrul sudah meliar hingga
ke tingkat dua.
“Wiesha… kau tak rindukan Encik Zafrul ke?” Hampir
tercekik aku mendengar pertanyaan dari mulut Amy. Kut ya
pun nak bertanya soalan cepumas begitu, tunggulah sampai
aku habis makan.
“Kenapa nak rindu dia?” Aku bertanya kembali kepada
Amy yang menunggu jawapanku tanpa berkelip matanya.
“Yalah… dah tiga hari Encik Zafrul ke Sydney. Selama
ni, kau kan selalu berkepit aje dengan dia.”
“Aku berkepit bukannya aku sengaja atau mahu sangat
berdua-duaan dengan Encik Zafrul tu. Arahan daripada bos,
terpaksa aku turut. Kalau ikutkan hati, aku lebih suka makan
dengan korang berdua macam sekarang ni.”
“Eeeeyy…. Ruginya kau fikir macam tu. Kalau aku
ada kat tempat kau, mesti seronok gila. Makan sedap-sedap,
hari-hari save budget. Dan lagi… Encik Zafrul tu punyalah
handsome. Bangga tau dapat keluar berdua-duaan dengan dia.”
“Aku tak heran sangat pun dengan makanan yang
sedap-sedap tu, Sue. Aku pun pelik dengan perangai Encik
Zafrul. Macamlah tak ada orang lain yang boleh diajak untuk
temankan dia makan.”
“Yang kami tahu, selama ni mana pernah Encik Zafrul
keluar makan dengan orang lain, kecuali dengan big boss kita.”
“Haahlah. Kalau dah dengan big bos, takkan Encik
Zafrul berani bantah? Big boss tu kan, ayah dia...” Amy
mengiakan kata-kata Suraya.
“Apa? Maksud kau… Encik Zafrul anak pemilik RME
Development ke?”
“Aik? Kau tak tahu ke, Wiesha? Takkanlah dah lebih
sebulan berkepit dengan Encik Zafrul, masih tak kenal dia lagi?”
Aku terkejut. Ya tak ya jugak! Nama penuh Encik
Zafrul…. Zafrul Amri Bin Zairi Hashim. Kenapa aku tak pernah
perasan? Rasa nak ketuk kepala sendiri dengan tukul kayu. Kayu
ajelah… kalau penukul besi, habislah kepala sendiri hancur!
“Wiesha… kau kenapa?” Suraya merenungku hairan
melihat aku termenung lama.
“Eh tak ada apa-apalah. Aku teringatkan Encik Zafrul.”
Lancar sahaja aku menjawab di bawah sedar.
“Ha… dah mula rindu ke?” Serentak Amy dan Suraya
menempelakku. Hah! Apa aku cakap tadi?
“Korang… Aku sebut apa tadi?” Aku terpinga-pinga
apabila kedua-dua rakan sekerja yang berada di depanku ini
ketawa mengekek-ngekek.
TELEFON bimbit di dalam poket seluar panjangku bergetar.
Sambil berjalan melalui koridor, aku dekatkan telefon ke
telinga.
“Helo Wiesha...” Wiesha? Siapa pula yang memanggilku
Wiesha? Aku tidak dapat mengecam nombor yang terpampang
di skrin. Dan yang pasti, bukan suara Encik Zafrul yang
kedengaran di talian sana.
“Assalamualaikum. Siapa tu?”
“Mudahnya Wiesha lupa pada suara saya. Saya Arief…
Arief Rachman Haqeem.”
“Encik Arief? Eh... macam mana Encik Arief tahu
nombor saya?”
“Saya bekerja di bank. Bukan susah mahu cari
butir-butir peribadi customer. Di belakang cek tempoh hari,
ada nama dan nombor telefon Wiesha. Wiesha sedang sibuk ke?”
“Maaflah… saya tak berapa cam suara Encik Arief.
Saya baru saja balik daripada makan tengah hari dengan kawan
satu pejabat.”
“Oh ya... bila awak boleh lunch dengan saya pula?”
“Lunch… err... er… saya tak boleh, Encik Arief.
Maafkan saya.”
“Kalau tak boleh lunch, how about dinner?”
“Dinner… er… nanti saya fikirkan. Maaf Encik
Arief, waktu rehat dah hampir tamat. Saya nak mula bekerja.
Senang-senang nanti, saya call Encik Arief.”
“Tunggu sekejap, Wiesha. Dah lebih dua minggu saya
berikan kad saya pada Wiesha, tak pernah barang sekali pun
Wiesha telefon hinggakan saya yang terpaksa cari Wiesha. Boleh
ke saya percaya dengan janji Wiesha kali ini?”
Aku terkedu.
“Er... maaf. Saya… saya terlupa.” Entah di mana aku
campakkan kad yang dihulurkan kepadaku tempoh hari, aku
sendiri pun tidak pasti.
“Malam nanti saya telefon Wiesha, boleh?”
“Insya-Allah…” Selepas mengucapkan salam aku
matikan talian. Berjeda seketika sebelum aku mendaki tangga
naik ke tingkat satu.
Arief Rachman Haqeem! Aku hampir-hampir lupa
dengan nama itu. Lelaki yang telah menyelamatkan aku daripada
dirempuh kereta semasa ke CIMB kira-kira dua minggu yang
lepas. Mahu menolaknya secara terang-terangan, rasanya tidak
wajar. Terlalu besar budinya kepadaku.
BOLEH dikatakan saban malam Arief Rachman menelefonku.
Semakin selesa aku melayani bual bicaranya yang lembut dan
menyenangkan. Sehinggalah membawa aku bertemu janji
dengannya hari ini. Aku menggunakan perkhidmatan monorel
untuk ke Pavillion.
Terlewat sepuluh minit dari masa yang dijanjikan.
Dari
jauh, aku nampak Arief Rachman menunggu di hadapan News.
Com sebaik sahaja aku masuk dari Chulan entrance. Merecik
juga peluh di dahi setelah berkejar dari stesen monorel Jalan
Raja Chulan.
“Dah sampai pun. Saya baru fikir mahu call Wiesha.”
“Maaf Encik Arief. Saya terlewat.”
“Saya mahu menjemput Wiesha di pejabat, Wiesha tak
benarkan.”
“Saya segan Encik Arief.” Segan? Segan hanyalah
satu alasan. Selebihnya aku tidak mahu ada yang memandang
serong terhadapku.
“Wiesha, jangan terlalu formal dengan saya. Panggil
saja saya Arief. Saya rasa canggung pula bila Wiesha panggil
saya Encik Arief.”
“Baiklah, Arief!”
Lebar senyumannya hinggakan aku terpaku
“Wiesha lapar? Mahu makan sekarang?” Kami
menyusuri beberapa buah kafé ala-ala barat di aras ini.
“Saya ikut saja.” Entahlah…. Apabila bertentang mata
begini, aku rasa sedikit kekok mahu berbual mesra dengannya.
Lain pula bila kami di talian saban malam. Ada sahaja yang kami
bualkan meleret-leret panjangnya sehingga kadangkala tidak
sedar hampir dua jam kami bercakap di telefon.
“Wiesha tahu, masa mula-mula berkenalan tempoh
hari, saya sangat kagum dengan Wiesha. Muda-muda lagi sudah
mampu pandu kereta mahal.”
“Malam tadi kan saya dah cerita, itu kereta bos saya.
Keluarga saya hanya orang biasa-biasa saja. Mana saya mampu
pandu kereta mahal macam tu.”
“Bapa Wiesha kerja apa?”
“Er… abah saya dah bersara. Duduk di rumah saja
sekarang.” Bukan niatku hendak menipu, tapi aku harus
berhati-hati dengan lelaki yang baru saja aku kenali.
“Tentu seronok hidup di kampung. Seperti juga di
kampung kelahiran nenda saya di Jogja.”
“Jogja? Jadi... awak bukan berasal dari sini?” Patutlah
namanya sedikit pelik. Ala-ala nama orang seberang.
“Saya dilahirkan di sini. Ibu saya juga dilahirkan
di Malaysia. Nenek dan moyang ibu saya dari seberang dan
berketurunan Belanda juga.” Aku teliti wajahnya yang sedang
bercakap. Wajah Arief Rachman ada iras-iras Ari Wibowo semasa
muda. Aku kenal sangat dengan pelakon yang dulunya pernah
meletup di Indonesia kerana mak dan pembantu rumah kami,
Acik Hawa gilakan sinetron Indonesia.
“Wiesha gemar makan apa?”
“Apa saja. Tak ada yang specific. Saya jenis tak
memilih.”
“Untung siapa yang dapat jadi pasangan Wiesha.”
“Untung… apa maksud Arief?”
“Ya... untung! Orangnya manis, pemalu... jenis tak
memilih.”
Aku ketawa. Lembut sahaja.
“Arief… tak perlu awak puji saya lebih-lebih. Kita baru
saja berkawan. Tak sampai sebulan pun lagi.”
“Saya memuji sebab saya sukakan Wiesha.”
“Hah! Saya tak percayalah… Arief. Awak kerja di bank,
sudah tentu awak banyak bergaul dengan ramai orang. Maksud
saya, pelanggan. Takkanlah tak pernah jumpa mana-mana
perempuan yang berkenan di hati?”
“Saya menunggu gadis seperti Wiesha agaknya.”
Giliran Arief Rachman pula yang ketawa. Bersahaja dan
menyenangkan. Lama aku terpaku pada wajah putih bersih dan
sedikit kemerahan itu.
“Baiklah... apa kata kita makan di sini saja?” Langkah
Arief Rachman berhenti di depan sebuah restoran di aras
empat.
Rupanya sudah banyak tingkat yang kami susuri. Aku
juga bukan selalu sangat datang ke mari. Hanya sekali-sekala
menjamu mata dengan kawan serumahku, Haslina. Hendak
shopping gila-gila di sini, rasanya tidak berbaloi kerana rata-rata
barang-barang yang dijual di sini bukannya murah. Buat apa
membazir?
Daily Kopitiam! Bau haruman nasi lemak menggamit
seleraku. Kami sama-sama masuk ke restoran dan Arief
Rachman mengambil tempat duduk yang ala-ala sofa. Dia
mempersilakan aku duduk dan mengambil tempat berhadapan
denganku.
Makan di pusat membeli-belah ternama, tetapi nasi
lemak bersama rendang ayam juga yang aku cari. Baru tadi aku
mengaku kepada Arief Rachman yang aku bukan jenis memilih.
Tetapi kalau sudah lidah Melayu, tetap juga makanan ruji yang
menjadi pilihan. Arief pula memesan prawn noodle.
Aku leka merenungnya yang sedang makan
menggunakan chopstick. Langsung tidak kekok seperti
berketurunan Cina pula dia. Betul ke dia ni berdarah Indon?
“Oh ya!” Arief Rachman mengangkat mukanya kembali
kepadaku. Chopstick di tangan diletakkan di tepi piring yang
menampung mangkuk prawn noodlesnya.
“Erm?” Kening aku angkat tinggi menunggu dia
meneruskan kata-katanya.
“Boleh kita keluar selalu seperti ini?”
“Selalu?”
“Ya… selalu. Seminggu sekali atau lebih daripada itu
kalau Wiesha tak keberatan?”
Aku tunduk dan berfikir sebentar.
“Maaf... saya rasa kita tak perlu bincangkan dulu
tentang ini. Nanti saya fikirkan. Saya tak mahu Arief terlalu
mengharap kepada saya.”
“Okey... saya terima alasan Wiesha. Apa kata kita
berkawan, selalu berhubung dan belajar mengenali antara satu
sama lain. Jujurnya saya mengaku saya sukakan Wiesha. Tapi…
saya tidak pasti sama ada perasaan Wiesha ada untuk saya atau
Wiesha mungkin sudah punya pilihan hati?”
“Saya belum berpunya, Arief. Saya belum memikirkan
untuk berteman.” Sudah! Aku pula yang terikut-ikut lenggok
bahasanya yang tersusun indah. Serasa macam dalam sinetron
Indonesia yang menjadi kegilaan mak pula. Hehehehe.
SEMINGGU berlalu dan hari Isnin menjelma kembali.
Malam tadi Encik Zafrul awal-awal lagi sudah mengirimkan
SMS buatku. Katanya dia sudah mendarat di KLIA.
Saya rindu awak!
Aku renung tiga patah perkataan yang terpampang
di skrin. Ayat paling akhir dikirimkan kepadaku. Rindu?
Hahahaha… Rindu nak dera aku ke? Hairannya, hati ini
berdebar semacam. Kenapa ya? Sesekali aku resah sendirian.
Rindukah aku kepada Encik Zafrul? Haishhhhh!
Semasa tea break jam 10.00 pagi, aku bergegas turun
untuk membeli bunga carnation. Aku meminta izin daripada
Kak Zaty untuk menyelinap masuk ke bilik Encik Zafrul semasa
tukang cuci membersihkan biliknya. Seperti yang sudah aku
agak, carnation yang lama sudah terkulai tangkainya. Kelopak
putihnya terlerai dan bertaburan di atas meja.
Namun sehingga waktu makan tengah hari tiba, Encik
Zafrul belum lagi menampakkan diri. Aku membuat andaian,
dia letih dan mahu berehat di rumah. Selesai sahaja makan
tengah hari, interkom di mejaku berbunyi. Seakan tahu-tahu
sahaja aku sudah pun masuk ke pejabat semula. Seperti biasa
suara Encik Zafrul meminta aku ke biliknya. Suraya di sebelah
kubikelku sempat mengusik apabila mendengar kerusi aku
berkeriuk menandakan aku sudah berdiri.
“Dah rindulah tu! Aku rasa korang berdua memang
dah ditakdirkan bersama.”
Tanpa menjenguk ke sebelah, aku membalas semula.
“Banyaklah kau punya takdir! Mati hidup balik, aku
tak nak bertakdir dengan dia… Huh!” Aku mendengus. Dengan
langkah lemah aku ke pintu biliknya di hujung sana. Tombol
pintu aku pulas tanpa perlu diketuk.
“Selamat tengah hari Encik Zafrul, ini saya bawa
draft financial untuk projek Taman Rinching.” Sebelum Encik
Zafrul terbang ke Sydney, sebenarnya aku sedang menyiapkan
financial report atas arahannya juga. Namun apakan daya,
belum sempat aku serahkannya, dia terpaksa gantikan bos besar
ke sana.
“Hmmmm... letak atas meja dan duduk dulu. Saya nak
cakap sikit dengan awak.”
“Apa salah saya kali ni, encik?” Dia tersenyum hambar
apabila sedar aku memerlinya. Wajahnya yang monyok sekejap
sahaja bertukar menjadi serius.
“Darwiesha…. seminggu saya tak ada, awak tak
rindukan saya? Sepanjang saya kat Sydney, sekali pun saya tak
pernah terima panggilan telefon daripada awak.”
Ya... betullah tu aku tak pernah call dia. Gila kentang
aku nak call jauh-jauh ke Sydney. Bakal melambunglah bil
telefon aku!
“Memanglah saya rindu. Sebabnya… tak ada siapa nak
suruh saya buat air setiap pagi, suruh saya beli bunga, pergi
bank dan macam-macam lagi.”
“Darweisha… kali ni saya pulak nak tengok awak
serius. Awak tak pernah ada apa-apa perasaan pada saya ke?”
Matanya memanah tepat ke dalam anak mataku. Terkujat aku
sebentar.
“Er… boleh tak Encik Zafrul simpan soalan tu?
Sebabnya saya tak ada jawapan untuk soalan encik buat
masa ni.” Kalau dia serius, aku juga serius dengan apa yang
aku nyatakan. Soal hati dan perasaan, bukan boleh dibuat
main-main. Aku masih tidak dapat mengaitkan rasa hatiku
kepadanya. Bagaimana aku mahu menjawabnya?
“Pandai awak mengelak. Tak mengapa. Saya simpan
soalan saya untuk dua tiga hari. Hmmm... ini untuk awak dari
Sydney.”
Aku tarik nafas lega apabila suara Encik Zafrul sudah
bertukar nadanya. Encik Zafrul letak satu paper bag di depanku.
“Terima kasih. Untuk saya saja ke? Untuk staf-staf yang
lain, tak ada?”
“Mereka dah biasa dapat oleh-oleh daripada saya.”
Lega rasanya. Aku tidak suka jikalau timbul suara-suara
sumbang di luar sana nanti apabila mereka nampak aku
membawa beg kertas ini keluar dari bilik Encik Zafrul.
“Okay... you may go. Thanks for the carnations!”
Aku tolak kerusi ke belakang.
“Wait Darwiesha… Honestly, I miss you… very
much!” Suara garaunya seakan dengar tak dengar. Berderau
juga darahku. Tidak pernah dia seromantik begini.
Kalau hari-hari Encik Zafrul beromantika de amour,
mahu luruh jantungku. Tak sanggup aku menentang wajahnya,
terus aku bergegas ke pintu. Dada terasa sendat. Apakah aku
juga mempunyai rasa yang sama terhadap Encik Zafrul? Arief
Rachman bagaimana? Oh tidak!!
RUTIN seharianku di pejabat tiada yang berubah. Setiap
pagi, apabila nampak sahaja Encik Zafrul masuk ke pejabatnya,
aku akan ke pantri untuk membancuh kopi dan pada tengah
harinya jika Encik Zafrul tiada appointment, tentu sahaja aku
terpaksa menemaninya makan tengah hari. Terpaksa ke? Aku
rasa lebih pada arahan kut…
Tentang perasaan aku kepada Encik Zafrul? Entahlah!
Nasibku baik kerana sampai ke hari ini, Encik Zafrul tidak
membangkitkan soalan yang aku minta dia simpan sewaktu
dia baru pulang dari Sydney. Hadiah teddy bear yang
comel dan seutas rantai silver dengan loket dari batu opel,
sehingga sekarang aku biarkan di dalam beg kertas. Hendak
menyarungkan rantai cantik itu ke leherku, aku bimbang Encik
Zafrul akan menganggap aku sudah pun menyambut cintanya.
Biarkan saja...
Aku belum bersedia untuk menyerahkan hatiku
kepada sesiapa. Tidak kepada Encik Zafrul, tidak juga pada Arief
Rachman.
Dua lelaki yang berbeza watak dan gaya. Aku senang
dengan Arief Rachman yang lembut tutur bahasanya. Encik
Zafrul? Susah untuk aku mengerti sikap peliknya. Datang mood
baik dia, siap romantis segala. Datang angin sawan, semua
arahannya harus aku turut tanpa bantahan.
Panas petang terasa membahang. Aku mengecilkan
mata memerhatikan kenderaan yang bertali arus.
Mudah-mudahan dapatlah teksi secepat mungkin. Selalunya
aku menumpang kereta Haslina yang bekerja di butik andaman
beberapa blok dari pejabatku. Tapi hari ni dia ke luar daerah,
menguruskan tempahan pakej perkahwinan di Seremban.
Itulah, sudah berkali-kali abah menyuruh aku gunakan
Suzuki Swift untuk berulang-alik ke tempat kerja tetapi aku
langsung tak ambil kisah. Aku biarkan sahaja kereta comelku
itu di rumah abah.
Kononnya malas mahu memandu di bandar
KL yang asyik sesak sepanjang masa. Sekarang, aku terpaksa
berpanas menunggu teksi. Padan dengan muka sendiri!
Sedang aku terjenguk-jenguk ke jalan raya, sebuah
motosikal berkuasa tinggi berhenti betul-betul di hadapan
tempat aku berdiri. Aku bukannya arif sangat dengan jenis-jenis
motosikal, mungkin superbike kut!
Mulanya aku buat tidak tahu sahaja. Aku fikir, mungkin
penunggangnya berhenti dan mahu membeli sesuatu di kedai
runcit yang hanya beberapa tapak jaraknya dari perhentian
teksi ini.
“Darwiesha…” Aku terkejut apabila penunggang
motor itu menyebut namaku.
Siapa pulak mamat ni? Aku kenal ke? Mungkin dia
memahami aku yang terpinga-pinga lantas dia membuka
full-face helmetnya. Rupa-rupanya Helmi. Salah seorang
jurutera di tingkat atas. Selalu juga dia turun ke tingkat satu
untuk menyerahkan claim setiap dua minggu sekali. Patutlah
dia mengenaliku.
“Awak tunggu teksi ke?”
Aku sekadar senyum dan angguk. Buta ke apa dia ni?
Dah terang-terang tempat aku berdiri ni, perhentian teksi. Tak
ada pun papan tanda 'bus stop'!
“Kat sini susah dapat teksi. Marilah saya hantar awak
balik. Kebetulan kawan saya tak jadi balik dengan saya hari
ni.” Helmi hulurkan satu lagi full-face helmet yang terletak di
lengannya. Aku menggeleng. Kalaulah aku terima pelawaannya,
semestinya aku kena peluk pinggang Helmi. Huh... jangan
harap!
“Terima kasih saja. Saya tak biasa naik motor besar.
Lagipun saya pakai baju kurung.”
“Alah… saya ikhlas ni. Awak tak payah takut dengan
saya.” Dia senyum pamerkan gigi yang putih tersusun rapi.
Kacak... memanglah dia kacak, tapi... entahlah! Aku bukannya
suka pada Mat Rempit!
“Maaf, saya memang tak berani. Lain kali kalau awak
bawak kereta, mungkin saya sudi terima ajakan awak.” Aku
hulur senyuman seikhlas hati. Berkata benar lebih baik daripada
aku mencipta pelbagai alasan yang tidak munasabah.
“Kalau macam tu, saya temankan awak sampai dapat
teksi.”
“Eh, eh… tak payahlah. Masih awal lagi. Awak baliklah
dulu kalau awak nak balik. Tak payah susah-susah pasal saya.”
Belum habis aku berdolak-dalik dengan Helmi, bunyi hon yang
nyaring mengejutkan kami berdua. Segera kepalaku berkalih
pada kereta tersebut. Mercedez CLK milik Encik Zafrul. Aku
lepaskan keluhan berat.
“Darwiesha... naik kereta saya, sekarang!!!”
Alamak! Arahan Encik Zafrul kuat kedengaran sebaik
sahaja cermin gelap di sebelah penumpang diturunkan. Aku
pandang wajah Helmi semula.
“Encik Zafrul panggil awak tu, pergilah!” Kedengaran
lemah suara Helmi. Kecewa bunyinya.
“Maafkan saya.” Kumat-kamit bibirku mahu
mengucapkan sesuatu tetapi apabila mengenangkan Encik
Zafrul sedang menunggu, pantas aku menapak ke pintu kereta
yang berkilat disirami rembang petang.
SUDAH dapat aku agak, tidak perlu menunggu lama Encik
Zafrul terus sahaja bertanyakan lelaki yang bersamaku tadi
sebaik sahaja pintu keretanya aku tutup.
“Siapa tadi tu?”
“Helmi, engineer kat floor atas.”
“Dia ganggu awak ke?”
“Tak… er... tak adalah! Dia nak hantar saya balik tadi”
“Habis tu, awak setujulah nak naik motor besar dia?
Dan sukalah kalau awak dapat peluk-peluk pinggang dia?”
Aku mengerlingnya geram.
“Encik jangan nak main tuduh-tuduh. Saya tak
semurah tu!” Serta-merta wajahku bertukar kelat. Senang aje
dia membuat andaian. Aku tahulah dia bos. Tambah lagi, sesuka
hati saja arahkan aku masuk ke keretanya. Kenapalah tadi susah
sangat untuk aku dapatkan teksi?
“I’m sorry…” ujarnya tiba-tiba.
“Apa?” Herdikku. Aku yang tadi pandang ke luar cermin
berpaling kepada Encik Zafrul. Walaupun dia tenang memandu
tapi aku tahu ekor matanya sedang mengawasi gerak-geriku.
“I said I’m sorry… Saya... saya… cemburu kalau ada
lelaki lain yang mahu kacau awak. Saya nak awak jadi milik saya
seorang.”
“Encik Zafrul cakap apa ni?”
“Darwiesha… dah berapa kali saya beritahu, panggil
saya Zafrul. Bukannya Encik Zafrul.”
“Kalau saya tak nak?”
“Kalau awak tak nak, saya batalkan niat saya nak
hantar awak balik. Saya terus bawa awak balik dan kenalkan
pada mama saya yang awak bakal isteri saya.”
“Apa? Encik jangan nak buat kerja gila. Saya tak pernah
teringin dan bermimpi nak jadi isteri encik.”
“Okay… will see!”
Bibir aku ketap sekuat hati. Geram dengan omongan
kosong Encik Zafrul. Hei, aku ni siapa? Dia siapa? Kalau setakat
hari-hari belanja aku makan tengah hari, ingat aku boleh
tergoda dan terus jatuh cinta pada dia? Huh… tak kuasa aku
nak layan!
Sedar tak sedar, kereta Encik Zafrul sudah pun
berhenti di depan pondok keselamatan Vista Harmoni tanpa
perlu bertanya di mana aku tinggal dan jalan mana yang harus
diambil. Musykil sungguh aku...
“Macam mana Encik Zafrul tahu saya tinggal kat sini?”
“Saya ni bos awak. Rekod peribadi awak bila-bila masa
sahaja saya boleh teliti. Lagipun dulu saya pernah beli rumah
kat sini juga, tapi saya dah jualkan.”
Oh… aku terus terdiam.
“Dah sampai ni. Awak tak nak turun ke? Atau awak nak
saya bawa awak ke tempat lain? Kondo saya ke?”
Hah! Buru-buru aku buka pintu kereta dan ucap
terima kasih. Takut juga kalau Encik Zafrul buat betul-betul
apa yang diucapkannya tadi. Mulanya mengugut mahu bawa
aku berjumpa mamanya. Sekarang, ugut mahu bawa aku ke
kondonya pula? Tak sanggup oooo…
Arghhhhh!!! Aku menjerit sekuat hati. Geramnya…
geramnya! Nasib baiklah aku sudah jauh menapak dari pondok
pengawal tadi. Kalau ada sesiapa dapat dengar aku menjerit,
mesti orang fikir yang aku ni tak siuman. Gila ke apa?
No comments:
Post a Comment