GEMBIRA sungguh hati Jeslina menerima kunjungan Damia. Damia seringkali bertemu dengannya jika pulang ke Malaysia. Sekiranya dia tidak bercuti, Damia sanggup pergi ke Pulau Pinang semata-mata ingin bertemu dengannya. Biasanya Reqza la yang sering menemani Damia. Pernah juga dia bertanya kepada Damia sama ada Reqza itu buah hatinya atau sekadar teman biasa. Malangnya Damia hanya tersenyum, seolah-olah menyimpan sebuah rahsia.
“Wah... Mia! Makin jelita kau sekarang. Apa rahsianya?” tegur Jeslina. Tubuh temannya itu dipeluk erat.
“Amboi, Jes! Dah macam iklan kecantikan pula, apa rahsianya... apa rahsianya!” sakat Damia.
“Mana ada cantik-cantiknya, Mia biasa-biasa sajalah,” ujar Damia merendah diri. Dia membalas pelukan temannya itu.
“Banyaklah Mia... biasa-biasa saja! Tengok... makin berubah penampilan. Ni mesti dah ada yang istimewa kat UK. Itu yang makin berseri-seri!” giat Jeslina.
“Eleh... kata kat kita! Dia pun apa kurangnya, makin cantik dan ceria aje. Dah jumpa yang special ke?” balas Damia pula sambil tersenyum mesra.
“Mana ada,” sanggah Jeslina sambil tersipu malu.
“But Damia, you are really look very beautiful and nice!” terang Jeslina. Dia sudah tersengih apabila Damia membesarkan biji matanya. Tahu sangat dia dengan perangai Damia yang tidak suka orang terlalu memuji kecantikannya.
Menurut Damia, kecantikan tidak akan kekal lama jika hati tidak secantik dan semurni raut wajah yang dikurniakan Tuhan Yang Maha Esa.
“Dahlah... tukar topik lain! Bosan pula Mia dengan perihal kecantikan ni,” marah Damia manja. Bagi Damia setiap insan yang lahir ke muka bumi ini semuanya cantik-cantik belaka. Bagaimana kita menilai dan mentafsir kecantikan itu, terpulang kepada setiap individu.
“Jes apa khabar? Sihat?” soal Damia.
“Jes sihat walafiat.”
“Macam mana? Dah jumpa kerja yang bersesuaian?”
“Ingat nak berehat dulu sebulan dua. Lepas tu baru fikir nak cari kerja,” terang Jeslina. Damia angguk. Mengerti. Dia juga mungkin mengambil langkah yang sama. Berehat dahulu seketika sebelum menyertai Ucu Khairilnya menerajui Menara Impiana.
“Mana mak dan abah? Adik-adik Jes yang lain mana?” tanya Damia sambil menjenguk ke dalam rumah Jeslina.
“Mak ada kat dapur. Abah belum balik lagi dari masjid. Wan dan Lan biasalah, kat rumah Ustaz Bahar, mengaji. Eh... marilah masuk! Tak akan Mia nak duduk kat beranda sahaja,” pelawa Jeslina. Damia mengikut Jeslina ke dapur. Mak Cik Juriah sedang menghidangkan makan malam. Begitu sibuk sekali Damia melihat Mak Cik Juriah di dapur.
“Assalamualikum, mak,” tegur Damia ramah sambil menyalami tangan tua itu.
“Waalaikumussalam. Ya Allah... anak bertuah ni, dah sampai rupanya. Amboi... dah berminggu-minggu balik baru nampak batang hidung?” sindir Mak Cik Juriah. Kepala Damia diusap sayang.
“Bukan tak nak balik sini. Tapi mak tahulah dengan perangai mama tu, tak sudah-sudah asyik menyakitkan hati Mia sahaja. Balik ni pun sebab ada ‘tugas rasmi’ daripada mama. Kalau tidak, Mia lebih suka tinggal kat rumah nenek. Lagi aman dan mententeramkan,” ulas Damia panjang lebar kepada Mak Cik Juriah.
Mujurlah ada Mak Cik Juriah, dapat juga dia merasa kasih sayang seorang ibu. Nak harapkan mamanya? Alamat mati beraganlah jawabnya. Mamanya lebih mementingkan kerjaya berbanding keluarganya. Papa sering makan hati dengan sikap mama yang sukar bertolak ansur. Disebabkan itulah agaknya Allah ambil nyawa papanya terlebih dahulu. Mungkin Allah kasihan melihat papa yang sering makan hati berulam jantung dengan sikap dan kerenah mama.
“Tak baik cakap mama Mia macam tu. Mia kena ingat, tanpa mama tentu Mia tak akan dapat lahir ke dunia ini,” nasihat Mak Cik Juriah. Damia hanya mampu mengeluh. Kenapalah nasib dirinya tidak sebaik Jeslina. Kalaulah papa masih ada tentu papa akan membaluti setiap kelukaan yang dia alami. Tentu papa akan membantah keinginan mama yang mahu menentukan pasangan hidupnya. Hanya papa yang mengerti kehendak dan kemahuannya. Hanya papa yang benar-benar sayang akan dirinya. Siapakah yang bakal membawa sinar kebahagiaan untuk dirinya kelak? Dapatlah kiranya orang itu mempunyai sifat-sifat seperti papa, yang punya kasih sayang yang melimpah ruah dan bertanggungjawab.
Ucapan salam oleh Pak Cik Abdullah mencantas keresahan yang melingkari jiwa Damia. Tersenyum Pak Cik Abdulllah melihat wajah anak angkatnya. Meskipun dilahirkan dalam dulang emas, Damia langsung tidak membanggakan diri. Malahan gadis itu sentiasa merendah diri dan hidup dalam kesederhanaan. Sudahlah rupa paras tiada tolok bandingannya, sahsiah dan budi pekerti pula membuatkan mata yang memandang semakin tertarik.
“Dah lama anak abah sampai?” tanya Pak Cik Abdullah ramah. Pak Cik Abdullah merupakan pesara polis.
“Lama tak lama jugalah, abah. Kalau makan ni... mahu dah empat kali round!” seloroh Damia. Kesedihan yang melanda jiwanya seolah-olah dibawa pergi ketika berada di rumah Jeslina. Keluarga harmoni dan bahagia ini bagaikan selimut yang menutupi ruang kegersangan kasih sayang yang dia alami selama ini.
Tidak lama kemudian kedengaran suara Mazlan dan Ridwan yang baru pulang daripada mengaji.
“Eh... ada Kak Mia rupanya,” tegur Mazlan. Kedua-dua beradik itu menyalami Damia.
“Bila Kak Mia sampai?” tanya Ridwan pula.
“Kak Mia baru aje sampai. Macam mana belajar? Okey?” tanya Damia. Tahun ini Mazlan akan menduduki SPM manakala Ridwan mengambil PMR.
“Bolehlah,” jawab kedua-duanya serentak.
“Hisy... tak bolehlah macam tu! Kamu berdua perlu ada keyakinan dalam diri untuk berjaya. Jangan mengalah sebelum berjuang. Buat yang terbaik. Mudah-mudahan kejayaan bersama-sama kamu berdua,” nasihat Damia.
Memandangkan dia anak tunggal, Mazlan dan Ridwan la tempat dia mencurahkan kasih sayang sebagai seorang kakak. Dia benar-benar mengambil berat tentang dua beradik itu.
“Mari kita makan dulu. Dah sejuk nasi dan lauk pauk ni, tak sedap pula,” pelawa Mak Cik Juriah.
“Wah... sedapnya mak masak!” ujar Damia. Terliur Damia melihat sambal tumis petai, ikan bakar dan sup tulang yang disediakan oleh Mak Cik Juriah. Mereka menikmati makan malam dengan gembira dan ceria. Damia begitu berselera sekali. Sudah lama dia tidak menikmati suasana sebegini. Dia benar-benar merindui papanya. Biasanya papalah yang sentiasa menceriakan suasana di meja makan. Kenangan itu begitu bermakna sekali!
TEPAT jam tujuh pagi, Reqza sudah terpacak di hadapan rumah Jeslina. Melilau matanya mencari kelibat Sayang Damia binti Dasuki Aqtar.
“Hisy... perempuan ni! Semalam beria-ia suruh aku datang cepat dan tepat pada waktunya. Tapi batang hidung dia, entah tersorok kat celah manalah agaknya hingga tak nampak sampai sekarang?” bebel Reqza. Reqza mengeluarkan telefon bimbitnya. Memang nak kena dia ni...! desis Reqza.
“Hah... berapa lama lagi kau nak aku jadi jaga kat depan rumah Jeslina ni?” sembur Reqza pabila panggilannya diangkat. Marahnya sudah tidak terkata lagi setelah hampir sepuluh minit tercacak bagaikan orang bodoh di luar pagar.
“Assalamualaikum. Siapa ni? Maaflah... Damia tak ada, dia kat tandas,” jawab Jeslina sopan. Terkejut beruk Reqza dibuatnya. Terasa malu pun ada dengan sifatnya yang gelojoh dan kurang sopan sebentar tadi. Bagaimanalah agaknya tafsiran Jeslina tentang dirinya? Tentu Jeslina fikir dia seorang lelaki yang tidak sesuai untuk disenaraikan sebagai calon suami. Sudahlah gadis itu yang ingin dikenenkan oleh Damia supaya menjadi kekasihnya.
“Maaflah... saya ingat awak ni Mia.” Reqza cuba mengawal gelabah dalam jiwa. Keningnya digaru tanpa sebab. “Sebenarnya saya dah lama tunggu Mia kat depan rumah awak ni. Agak-agak Mia lambat lagi ke? Kalau lambat saya balik dulu, nanti saya datang semula,” terang Reqza sopan.
“Oh... tak mengapa, saya faham! Tentu awak bosan tunggu Mia terlalu lama kat luar sana. Awak tunggu sekejap, saya bukakan pintu. Tak perlulah awak berulang-alik. Lagipun kesian awak. Rumah awak bukannya dekat nak ke sana ke mari.” Jeslina cuba bersikap rasional.
Damia yang mengintai di balik langsir pintu bilik tersenyum melihat telatah sahabatnya yang malu-malu ketika bercakap dengan Reqza. Macamlah Reqza boleh nampak! Tentu Reqza tak keruan berbual dengan Jeslina tanpa dirinya. Biasanya Reqza lebih banyak mendiamkan diri jika dia, Jeslina dan Reqza bertemu enam mata.
“Baiklah kalau begitu. Saya tunggu awak bukakan pintu,” ujar Reqza sambil mengawal nada suaranya. Malunya apabila tersalah jerkah orang. Nak marahkan Si Damia, tetapi orang lain pula yang mendapat bahananya. Damia melarikan diri semula ke bilik air yang terletak bersebelahan dengan bilik tidur Jeslina setelah temannya itu menamatkan perbualannya dengan Reqza. Lengkap berpakaian, Damia menemui Reqza dan Jeslina yang sedang berbual-bual di ruang tamu. Nampak gayanya Jeslina lebih banyak mendominasi keadaan berbanding Reqza yang agak malu-malu. Hailah Reqza! Mana perginya gelaran buaya tembaga terhangat di pasaran yang disandang selama ini, tu?
“Maaf Req sebab buat kau tertunggu-tunggu agak lama kat luar tadi.” Damia memulakan bicara. Wajah cemberut Reqza tatkala terpandang akan wajahnya membuatkan dia hampir ketawa melihat telatah yang bagaikan anak kecil itu.
“Apa hal kau suruh aku datang sesudah subuh ni?” Reqza bersuara tegas. Terlupa dia menjaga adab dan tutur kata ketika bersama Damia. Terlupa juga dia akan Jeslina yang berada bersebelahan dengan Damia. Mendengar Damia terbatuk-batuk kecil menyentak Reqza ke alam yang nyata. Mukanya berubah kemerahan kerana malu dengan tuan rumah.
“Aku nak minta tolong kau make over wajah aku. Kau kan pandai dan mahir dalam bidang ni walaupun kau belajar business.” Dia tidak mahu membuatkan Reqza tertanya-tanya tujuan dia meminta Reqza datang bertemu dengannya.
“Kenapa?” tanya Reqza sepatah.
“Aku nak buat orang yang cuba mendekati dan berkenalan dengan aku berasa jelek dan termuntah bila terpandang wajah aku nanti. Lepas tu mereka akan lari lintang-pukang,” terang Damia bersama tawa yang tidak mampu ditahan-tahan. Buntang mata Reqza mendengar kata-kata Damia.
“Gila ke apa kau ni?” soal Reqza. “Orang lain beriaia nak cari teman hidup, kau pula nak buat orang lari berjuta batu bila terlihat muka kau. Apa yang tidak beres ni?” tanya Reqza tidak berpuas hati.
“Aku bencilah dengan kehendak mama aku. Ada ke patut hari ni dia buat tiga janji temu dengan calon menantu pilihannya. Kau bayangkanlah semuanya kena jumpa dalam masa satu hari. Mujurlah waktunya lain-lain. Jika tidak... mati kering aku. Aku rasa terkongkong sangat. Kenapa mama aku perlu bersusah payah hendak tentukan masa depan aku dan dengan siapa aku perlu berkahwin? Aku nak jadi seperti orang lain di luar sana yang hidup dengan curahan kasih sayang. Mereka juga boleh pilih bidang kerjaya yang diingini dan bebas tentukan pilihan hati. Kenapa aku tak layak mendapat hak itu?” terang Damia dengan mata yang berkaca-kaca-kaca. Pantas air matanya diseka sebelum sempat menitis. Tersentuh hati Reqza dan Jeslina mendengarnya. Melimpah perasaan kasihan terhadap sahabatnya itu.
“Kalau kau nak, aku boleh menyamar sebagai kekasih kau.” Reqza cuba menghulurkan bantuan. Damia hanya menggeleng. Damia tahu apa natijahnya jika dia gagal dalam rancangannya nanti. Pelawaan Reqza belum mampu membuatkan ketiga-tiga lelaki itu menarik diri. Pasti mereka sudah tahu status dirinya dan melihat raut wajahnya, sebab itulah lelaki-lelaki itu bersetuju hendak bertemu dengannya. Damia tidak mahu hatinya sengsara kemudian hari. Manusia mampu berlakon menjadi baik selagi impian mereka belum tercapai. Damia tidak mahu terjerumus ke dalam dunia manusia yang penuh dengan hipokrit.
“Sebelum kita mulakan agenda ini, apa kata kita keluar cari sarapan dulu. Lepas tu... kita pergi ke hotel yang aku dah booked semalam,” jelas Damia ceria. Dia berusaha menutup kesedihan dalam hati. Bulat mata Jeslina dan Reqza mendengar penerangan Damia. Dah okey ke temannya itu? Tadi bukan main lagi gundah gulana... Ketawa Damia melihat gelagat rakan-rakannya itu. Hatinya yang walang juga sedikit terubat.
“Kau okey ke tak ni?” soal Reqza kebimbangan. Takut juga dia kalau-kalau temannya diserang penyakit biul akibat tekanan perasaan.
“Aku okeylah. Req... kau ada bawa kan barang yang aku pesan semalam?” tanya Damia. Melihat anggukan Reqza, Damia menjadi lega.
Setelah mendapat keizinan daripada Pak Cik Abdullah dan Mak Cik Juriah, mereka bertiga beredar meninggalkan rumah Jeslina. Selesai bersarapan, mereka bertiga menuju ke hotel, tempat di mana Damia ingin melancarkan rancangannya. Di hotel itu juga dia telah membuat janji temu dengan ketiga-tiga jejaka malang pilihan mamanya.
SEBELAS PAGI, mangsa pertama Damia tiba. Damia yang memakai busana muslimah dan berpurdah menghampiri Benjamin Asyraf.
“Assalamualaikum..,” sapa Damia.
“Waalaikumussalam...” jawab Benjamin Asyraf sambil menoleh untuk melihat wajah yang memberi salam sebentar tadi. Tegak duduk Benjamin Asyraf melihat calon pilihan mummynya. Alahai... mummy! Gadis sebegini muslimah manalah sesuai dengan jiwanya yang suka berhibur. Namun dia tersenyum manis terhadap gadis yang bernama Damia itu. Ingin sekali dia melihat wajah di sebalik purdah itu. Sewaktu dia melihat gambar Damia minggu lepas, hatinya terus tertarik. Damia pada tanggapannya tidak kurang cantiknya jika dibandingkan dengan Mona dan Jessica yang selalu didakapnya.
“Emmm... silalah duduk.” Benjamin Asyraf menarik kerusi mempersilakan Damia duduk. Dia bersikap seperti lelaki sejati sepertimana yang sering dilakukan terhadap teman-teman wanitanya.
“What should I call you? Damia or Mia?” Benjamin Asyraf memulakan bicara. Apa salahnya dia berbuat baik dengan pilihan mummynya ini. Untung nasib badan, boleh diusung terus ke bilik hotel.
“Just call me, Mia,” balas Damia sopan sambil tersenyum mengejek terhadap Benjamin Asyraf. Benjamin Asyraf merenung tajam wajah Damia. Huh... nampak sangat perangai Mat Romeo dan Don Juannya, bisik hati Damia. Menyampah pula dia melihat senyuman gatal yang tersungging di bibir Benjamin Asyraf.
“Mia nak minum atau makan? Saya boleh panggilkan pelayan,” ujar Benjamin Asyraf mesra.
“Biarlah dulu.” Damia menolak lembut.
“Emmm... apa kata kita bincangkan tentang topik pertemuan yang diadakan untuk kita berdua hari ini.” Damia memulakan bicaranya. “Saya rasa saya bukanlah gadis yang sesuai buat Encik Benjamin Asyraf. Ramai lagi gadis yang lebih cantikan jelita di luar sana. Lagipun...” Damia membuka purdah yang menutupi wajahnya sebentar tadi. Hendak tergelak dia melihat wajah pucat Benjamin Asyraf. Langsung ternganga mulut lelaki itu kerana terlalu terkejut. Huh, padan muka kau! Nak sangat jumpa aku, bisik Damia.
“Sebab itulah saya menolak cadangan mama saya yang ingin menjodohkan kita berdua. Saya sedar wajah saya yang buruk ini tidak sepadan dengan Encik Benjamin Asyraf yang kacak bergaya.” Benjamin Asyraf mengusap lehernya menghilangkan rasa terkejut. Dia sungguh tidak menyangka wajah Damia jauh benar berbeza dengan yang di dalam gambar. Terperanjat bukan sedikit dia tadi. Huh... mummy!
Mengapalah muka yang buruk dan hodoh ini boleh terpilih untuk dijodohkan dengan dirinya? Benjamin Asyraf tidak betah lagi berlama di situ. Malu rasanya jika bertembung dengan rakan-rakan atau pekerjanya nanti. Jatuhlah sahamnya bila mereka terlihat dia bersama dengan perempuan yang berwajah jelek. Benjamin Asyraf berpurapura melihat jam di tangannya. Dia perlu mencari helah untuk melarikan diri. Tak sanggup rasanya dia hendak melihat wajah yang berparut hodoh itu lebih lama lagi.
“Maaflah Mia, sebenarnya saya ada urusan lain sebentar lagi. Saya rasa cukuplah setakat ini pertemuan kita.” Benjamin Asyraf terus bangun dan berlalu pergi. Ketawa besar Damia melihat Benjamin Asyraf beredar.
“Yes!” Damia bersuara girang. Berhasil juga dia mengusir mangsa pertamanya. Kini dia menunggu mangsa yang kedua pula, Fauzan Taufiq. Fauzan Taufiq juga seperti Benjamin Asyraf tatkala terpandang akan wajah Damia. Terkejut! Terasa ngeri pun ada. Tapi dia cuba beriak selamba.
“Boleh saya tanya saudari Damia beberapa soalan?” Melihat anggukan Damia, Fauzan Taufiq meneruskan bicaranya. “Mengapa berbeza sangat wajah saudari Damia sekarang berbanding di dalam gambar?”
“Oh... itu gambar saya sebelum terlibat dalam kemalangan!” jawab Damia selamba.
“Lagipun kemalangan itu baru aje beberapa bulan berlaku sebelum saya pulang ke Malaysia.”
“Kenapa tak buat pembedahan plastik ke atas wajah saudari Damia? Keluarga saudari Damia kan mampu.” Hisy... banyak cekadak pula lelaki ni. Damia tetap mempamerkan senyuman manis walaupun hati sudah membungkam.
“Ini dah buat plastic surgery la ni! Jika tidak, lagi teruk.” Damia menakut-nakutkan Fauzan Taufiq. Damia dapat melihat ketidakselesaan Fauzan Taufiq. Nampak gayanya lelaki ini juga akan berhambus sedikit masa lagi.
“Kalau begitu biar saya berterus terang.” Fauzan bersuara. “Sebenarnya saya sudah mempunyai pilihan hati. Mama saya yang beria-ia mahu saya berkenalan dengan saudari Damia,” bohong Fauzan Taufiq. Padahal sebelum ini, dia la yang sebenarnya yang tidak sabar hendak mengenali Damia dengan lebih dekat lagi.
“Jadi saya harap saudari Damia tidak berkecil hati sekiranya saya menolak hasrat keluarga kita,” ulas Fauzan Taufiq panjang lebar. Mana mungkin dia menerima Damia yang berwajah hodoh sebagai pasangannya sedangkan dia mampu mendampingi jelitawan-jelitawan di luar sana.
“Eh... tak mengapa! Tak mengapa! Saya sedikit pun tak kisah. Lagipun saya sedar dengan kekurangan diri saya. Saya setuju sangat-sangat dengan hasrat Encik Fauzan Taufiq tu.” Tidak lama kemudian Fauzan Taufiq meminta diri untuk beredar.
“Saya pergi dulu,” pinta Fauzan Taufiq.
Gembira bukan kepalang Damia kerana rancangannya hendak menyingkirkan Benjamin Asyraf dan Fauzan Taufiq telah berjaya. Memang benar apa yang mama selalu katakan kepadanya. Dia budak yang degil dan nakal. Jika tidak... masakan dia boleh terfikir hingga ke tahap ini?
Teringat lagi Damia akan kata-kata neneknya apabila mama memberitahu dia seorang yang nakal. Kata nenek... dia bukannya degil atau nakal tetapi belum akhir baligh dan tidak matang.
Damia pun pelik sebenarnya mendengar kata-kata neneknya. Tak akanlah umur dah lebih dua puluh tahun pun masih belum baligh lagi? Biar betul nenek ni? Tapi tadi tu... apa? Tidak ke nakal namanya?
Tidak lama selepas Fauzan Taufiq beredar, Damia menerima panggilan daripada seseorang yang mengatakan dia tidak dapat datang kerana sedang bercuti dan terus menyatakan hasratnya yang tidak berminat hendak berkenalan dengannya. Mendengar kata-kata lelaki itu, hati Damia melonjak keriangan. Tak perlulah Damia bersusah payah berlakon di hadapan orang itu lagi.
Jeslina dan Reqza ditugaskan mengambil gambar dalam setiap pertemuan yang diadakan dengan jejaka-jejaka yang malang itu. Dia juga meminta Jeslina merakam wajahnya yang sedang disolek oleh Reqza. Semua itu ingin dijadikan koleksi peribadinya.
No comments:
Post a Comment