DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 4 March 2015

Si Pencuri Hati - Bab 9

Dua tahun kemudian.... 

DAMIA tersenyum keriangan pabila kapal terbang selamat mendarat. Berbelas jam di perut kapal terbang membuatkan dia tidak betah berlama di dalamnya. Dia masih sayangkan nyawanya. Damia sentiasa takut jika kapal terbang yang dinaikinya terhempas. Tapi kuasa Allah tiada siapa yang mampu mengubahnya. Kita tidak tahu di mana dan bila malaikat maut akan datang menjemput kita. Damia berjalan dengan pantas selepas mengambil bagasinya.

“Hisy... masa aku nak cepat ni la macam-macam hal yang berlaku!” Damia merungut perlahan. Pasti dia jatuh tergolek jika lelaki itu tidak merangkul pinggangnya. “Sorry!” ujar lelaki itu sepatah.

“Sorry... sorry...!” rengus Damia. Wajah lelaki itu langsung tidak dipandangnya.

“Are you okay?” tegur lelaki itu pabila melihat  Damia tidak henti-henti mengusap bahunya. Bahu Damia disentuhnya.

“Awak nampak saya okey ke?” marah Damia. Dia menepis tangan lelaki itu. “Sakit bahu saya ni tahu tak?” Damia menggosok bahunya yang kesakitan. “Awak ingat bahu saya ni ada jual dekat kedai spare part dan boleh dibeli dengan dua singgit?” tanya Damia kasar.

Dah macam kartun Upin & Ipin pula, dua singgit! Damia segera mengambil beg sandangnya yang terjatuh dengan kasar. Dia ingin beredar dari situ secepat yang mungkin.
Melihat Damia ingin beredar, lelaki itu pantas menahan.

“Wait a minute miss! This is my card. If you need a doctor please don’t hesitate to call me,” tutur lelaki itu sambil tersenyum dan menghulurkan kad namanya. Rambutnya yang terjuntai ditolak ke tepi. Kaca mata hitamnya ditanggalkan.

Damia mengangkat wajahnya. Patutlah tak nampak, ‘buta’ rupanya tadi, gumam Damia. Damia melihat  sepintas lalu kad business yang berada di tangannya. Tanpa tertangguh kad yang dihulurkan kepadanya dicampak ke dalam tong sampah yang berhampiran. Terkedu lelaki itu memandang perilaku Damia.

“Maaf... saya tak perlukan belas ihsan awak,” ujar Damia agak kasar.

Lantaklah sama ada lelaki itu faham atau tidak apa yang dikatakannya. Sepanjang lelaki itu bercakap dengannya, sepatah haram Bahasa Melayu tidak digunakan. Tidak dinafikan, lelaki itu bukanlah seperti Melayu tulen tetapi nama yang tertera di kad tersebut menunjukkan lelaki itu serumpun dan seagama dengannya.

Alahai... lelaki Melayu ni! Dah awak tu anak Melayu, cakap ajelah Bahasa Melayu. Ini sibuk nak speaking London. Tak kuasa dia hendak melayan orang Melayu yang tak ingat bumi yang dipijak dan langit yang dijunjungnya. Sebenarnya Damia tidak betah berlama di situ.

Sentuhan lelaki itu mengundang satu perasaan yang sukar dirungkaikan dengan perkataan. Haruman lelaki itu menghadirkan suatu perasaan halus dalam jiwanya. Damia menahan debar di dada. Jantungnya berdegup begitu kencang sekali, sama seperti dua tahun lalu. Tidak keterlaluan dikatakan, getarannya semakin hebat dan menerbitkan kembali perasaan rindu yang cuba dilenyapkan. Menatap wajah lelaki itu walaupun seketika membuatkan dia
teringat akan seseorang. Cuma lelaki itu kelihatan lebih kacak, matang dan kemas penampilannya. Saat lelaki itu menanggalkan kaca mata hitamnya, Damia benar-benar terkesima. Mungkin pelanduk dua serupa, bisik hatinya.

DAMIA berjalan pantas menuju ke pintu empat. Dia tercari-cari teksi limo milik Pak Bakar. Setiap kali pulang ke Malaysia, dia akan menaiki teksi limo milik Pak Bakar. Pak Bakar sudah tahu apa yang perlu dilakukannya. Dan dia juga tidak perlu berbaris panjang untuk mendapatkan perkhidmatan teksi.

“Mana Pak Bakar ni? Janji pukul berapa, ini dah pukul berapa?” Sesekali dia menoleh ke belakang bimbang akan bertembung dengan lelaki yang melanggarnya tadi. 

“Hisy... mana Pak Bakar ni? Tak akan terlupa kut?”

Damia merungut. Sebelum pulang ke tanah air, dia telah memaklumkan kepada Pak Bakar hari dan waktu berlepasnya. Mustahil Pak Bakar boleh terlupa pula. Lelaki itu tidak pernah terlewat setiap kali menjemputnya.

“Ini Cik Damia?” tanya seseorang. Damia memandang wajah lelaki itu dan kepalanya diangguk.

“Ya, saya Damia. Kenapa?”

“Saya Halim.” Lelaki itu memperkenalkan dirinya.

“Pak Bakar minta tolong saya gantikan tempat dia untuk menjemput Cik Damia. Dia kurang sihat,” jelas Halim. Damia agak ragu dengan kata-kata lelaki itu. Tapi tak akan lelaki itu boleh tahu tentang Pak Bakar pula. Dan bagaimana pula dia boleh kenal dengan aku? monolognya lagi.

“Macam mana encik boleh kenal saya?” Halim mengeluarkan telefon bimbitnya.

“Pak Bakar MMS gambar Cik Damia kepada saya,” ujar Halim sambil menunjukkan gambar Damia yang berada di dalam telefon bimbitnya. Damia angguk kepala. Akur.

“Pak Bakar sakit apa?”

“Gout,” ujar Halim sepatah.

Damia tersenyum mendengar penjelasan Halim. Memang Pak Bakar sering mengadu kepadanya tentang penyakitnya yang satu itu.

“Boleh kita bergerak sekarang?” tanya Halim. Damia mengangguk.

Sepanjang perjalanan menuju ke rumah neneknya, Damia menutup mata. Jika boleh dia ingin melenyapkan wajah lelaki itu apabila dia membuka matanya nanti. Damia juga enggan pulang ke rumah mamanya. Sejak dia menolak untuk digandingkan dengan mana-mana lelaki, mamanya seolah-olah mengisytiharkan perang ke atas dirinya. Lagipun dia dan mamanya tidak pernah sebulu dan sekapal. 

Damia ingin merehatkan minda dan jiwanya yang tidak tenteram ketika ini. Akibat kepenatan dia akhirnya tertidur.

“Cik Damia... Cik Damia,” panggil Halim berulang kali.

Damia terjaga daripada lenanya. Dia memandang wajah Halim.

“Boleh beritahu di mana alamatnya?” tanya Halim setelah memasuki Lebuh Raya Pasir Gudang.

“Encik Halim pandu menuju ke Bukit Dahlia, Pasir Gudang. Nanti saya tunjukkan arahnya,” jelas Damia ramah. Kelihatan lesung pipit di kiri kanan pipinya tatkala tersenyum.

“Baik, Cik Damia.” Selaku pemandu, dia perlu memenuhi setiap arahan dan permintaan penumpangnya. Damia memberi arahan kepada pemandu tersebut setelah rumah neneknya yang tersergam indah di atas bukit jelas kelihatan.

“Encik Halim berhenti kat depan tu ya,” pinta Damia. Damia membelek-belek beg sandangnya. Eh... ini bukan beg aku! gumam Damia. Lantas dia menepuk dahinya berulang kali. Ini mesti tertukar dengan mamat tu, getus Damia.

“Encik Halim tunggu sekejap ya,” pinta Damia. Damia berharap sangat nenek atau Ucunya berada di rumah ketika ini. Paling tidak pun Mak Jah dan Pak Salim. Bolehlah dia pinjam duit daripada mereka untuk melunaskan bayaran tersebut. Damia memberi salam dan membunyikan loceng. Kelihatan Pak Salim menjengah di muka pintu. Tersenyum lebar Damia.

“Sayang! Pak cik ingatkan siapa tadi. Kenapa tak bagi tahu nak balik? Boleh pak cik jemput dekat KLIA,” ujar Pak Salim ramah. Damia memang jarang pulang ke Johor mengambil kapal terbang, dia lebih suka menaiki bas ataupun teksi. Kata gadis itu, dia ingin menikmati keindahan alam di sepanjang perjalanan. Gadis itu juga tidak gemar turun di lapangan terbang Changi, di Singapura. Damia tersenyum mendengar omelan Pak Salim.

“Pak Salim... nenek ada? Sayang nak minta duit, nak bayar tambang teksi. Beg sandang Sayang tertukar dengan seseorang masa kat airport tadi,” terang Damia jujur. 

“Nenek Sayang tak ada, masih belum balik dari Tesco.”

“Aduh! Nak buat macam mana ni?” Damia memandang ke arah Halim. Kalau dengan Pak Bakar, tidaklah dia sekalut ini kerana mereka memang sudah saling kenal.

“Tak apa biar Pak Salim tolong jelaskan. Sayang masuk dulu, nanti Pak Salim bawa masuk beg,” ujar Pak Salim.

Tidak sampai hati pula Damia membiarkan Pak Salim mengangkat bagasinya.

“Biar Sayang bantu Pak Salim angkat beg. Pak Salim tolong bayarkan tambang Sayang dulu ya, nanti Sayang ganti balik.” Lega hati Damia melihat anggukan Pak Salim.

Setelah Pak Salim menjelaskan tambangnya, Damia menolong Pak Salim mengangkat bagasinya masuk ke dalam rumah.

“Pak Salim tolong bawa naik beg ni ke bilik Sayang ya,” pinta Damia sopan.

Pak Salim angguk kepala tanda setuju. Selepas Pak Salim keluar dari biliknya, Damia memeriksa beg sandang yang berwarna coklat keemasan itu. Terdapat beberapa dokumen penting terkandung di dalamnya serta kad business milik jejaka tersebut. Sah! Beg itu memang milik lelaki yang melanggarnya di KLIA tadi. Damia meneliti kad business tersebut. Sewaktu di KLIA tadi dia hanya perasan nama Tengku sahaja, nama penuh lelaki itu tidak dilihatnya.

Melihat nama yang tertera di situ, jantung Damia berdegup kencang. Muka Damia terasa membahang dan peluh dingin mula membasahi wajah dan bajunya. Tak mungkin... getus hatinya. Nama mungkin serupa tapi wajah itu? Damia cuba mengingati wajah yang hampir kabur daripada ingatannya. Dengan pantas dia menuju ke almari pakaiannya. Tidak sabar rasanya dia hendak melihat gambar yang tersimpan di dalam album tersebut. Dia ingin membuat perbandingan.

Damia merenung gambar lelaki yang berada di tangannya. Berambut panjang separas bahu dan disisir kemas. Kelihatan lesung pipit di kiri dan kanan pipi lelaki itu pabila tersenyum, sama sepertinya. Kelihatan tampan walaupun penampilannya agak ringkas.

“Lelaki di airport tadi ada lesung pipit tak?” Damia bertanya kepada dirinya sendiri. Gagal menemui jawapan yang dikehendaki, Damia membaringkan tubuhnya yang lesu di atas tilam empuk sambil mengingati rentetan peristiwa yang berlaku sebelum dia berangkat ke UK dua tahun dulu. Setelah hampir sebulan Darwisy tidak kunjungan tiba, Damia mencari suaminya itu di rumah keluarganya. Dia juga harus pulang ke Nottingham memandangkan pengajiannya belum lagi tamat. Antara bimbang akan penerimaan keluarga suaminya dan keterujaan hendak bertemu Darwisy, Damia membulatkan tekad. Ketika kereta yang dipandu Pak Ucunya tiba di pekarangan rumah keluarga Darwisy, jantung Damia bergetar hebat. Apatah lagi melihat majlis perkahwinan yang begitu meriah sedang berlangsung. Dia menoleh ke arah Pak Ucunya.

“Sayang masuk dulu cari Darwisy, Ucu nak parking kereta.”

Dalam keadaan debaran yang mengganas hebat, Damia mengatur langkahnya. Matanya melilau mencari wajah suaminya. Mujurlah hari ini dia berbaju kurung. Maklumlah hendak bertandang ke rumah keluarga mentua. Atas nasihat neneknya dan inginkan perubahan setelah bergelar isteri, Damia mula memakai tudung. Menurut neneknya, kecantikan dan aurat seorang isteri hanyalah sesuai untuk tontonan suaminya sahaja.

“Jemput duduk, cik,” arah satu suara. Damia menoleh melihat siapakah gerangan yang
menyapanya. Mungkin petugas untuk majlis ini bisiknya. 

“Emmm... boleh saya tahu ini majlis perkahwinan siapa?” tanya Damia ramah.

“Oh... ini majlis perkahwinan anak lelaki Tengku Dzulkarnain dan Tengku Faridah! Kalau cik nak bertemu dengan mempelai, cik kena tunggu sekejap sebab mereka tengah makan beradab,” tunjuk gadis itu bersama senyuman manis.

Mata Damia mencari arah yang ditunjukkan oleh petugas itu. Setelah mengucapkan terima kasih, dia berjalan menghampiri meja pasangan pengantin tersebut. Hancur luluh hatinya melihat senyuman manis yang terbit daripada bibir pasangan pengantin itu.

Patutlah Darwisy tidak muncul-muncul. Ruparupanya sedang membuat persiapan majlis perkahwinannya. Apa tujuan kata-kata Darwisy dalam suratnya tempoh hari? Adakah sekadar ingin menyedapkan hatinya dan menutup temberang lelaki itu? Atau ingin menunjukkan kononnya dialah lelaki yang paling budiman tetapi apa yang terzahir adalah sebaliknya? 

Dengan hati berlagu pilu, Damia meninggalkan majlis itu. Sekeping harapan yang telah Darwisy persembahkan kepadanya hancur berkecai. Janji-janji Darwisy adalah palsu semata-mata. Tidak jauh dari pintu pagar kelihatan Ucunya. Tanpa tertangguh dia terus memaut lengan Ucunya dan mengarahkan agar mereka segera beredar.

Kesakitan yang Darwisy tinggalkan sedikit terubat apabila dia disahkan hamil. Mujurlah dia tidak mengalami sebarang masalah dan alahan sewaktu hamil. Pasti dia terpaksa menangguhkan pelajarannya sekiranya perkara itu terjadi. Nasib baik juga ada Reqza yang sudi membantu dan mengambil berat akan dirinya. Reqza juga sanggup membatalkan hasratnya untuk terus pulang ke Malaysia setelah tamat pengajian memandangkan dia masih enggan pulang.

Dengan bantuan Stella dan Edward, dia dan Reqza berjaya mendapatkan pekerjaan di TDF yang berpangkalan di UK sebagai pegawai pemasaran. Reqza juga banyak membantunya menguruskan Fareez dan Farisya. Malahan ada yang menganggap mereka pasangan suami isteri. Namun Damia hanya tersenyum pabila ada suara yang menyatakan pandangan mereka. Biarlah apa yang hendak mereka katakan dan fikirkan, dia enggan mengulas. 

Masih dia ingat lagi betapa terkejutnya Reqza setelah tahu dia hamil. Itu pun kerana dia tidak mampu menyorok perutnya yang sudah membesar. 

“Jantan mana yang dah hamilkan kau?” marah Reqza. “Apa kau dah terdesak sangat ke, hingga sanggup menggadaikan maruah diri semata-mata hendak mengelakkan diri daripada berkahwin dengan calon-calon pilihan mama kau tu?” Sinis sekali pertanyaan yang dilontarkan oleh Reqza.
 
“Daripada kau biarkan diri kau mengandung anak luar nikah, lebih baik kau kahwin dengan aku. Sekurangkurangnya anak yang kau lahirkan itu sah tarafnya dan mereka tidak perlu menanggung malu bila besar nanti,” tempelak Reqza.

Begitu hina sekali tuduhan yang dilemparkan oleh Reqza kepadanya. Damia tidak menyalahkan Reqza kerana tiada siapa pun yang tahu dia telah bernikah. 

“Ini bukan anak luar nikah. Ini anak aku yang sah,” jelas Damia sebak. Ketika itu usia kandungannya mencecah tiga bulan.

Terperanjat Reqza mendengarnya.

Damia menatap wajah Reqza seketika sebelum menyambung kata-katanya.

“Selepas aku balik dari Kuala Lumpur hari tu, pak long aku paksa aku bernikah dengan anak kenalannya.” Damia berbohong. Mana mungkin dia bercerita tentang dirinya yang tertangkap di dalam bilik seorang lelaki. Dia tidak mahu Reqza menjatuhkan lagi maruahnya. Cukuplah hinaan dan cacian yang telah Reqza lemparkan.

“Tapi selepas sebulan bernikah dengan aku, lelaki itu menikah lain,” ujar Damia sebak. Biarlah dia berkongsi kisah dukanya bersama Reqza. Sekurang-kurangnya beban yang sarat di bahunya terasa kurang sedikit. Reqza mengeluh mendengar cerita Damia.

“Kenapa kau tak tolak cadangan pak long kau? Kenapa kau tak hubungi aku? Sekiranya kau bagi tahu aku tentang perkara ini tentu aku akan datang menyelamatkan kau. Aku sanggup berkahwin dengan kau dan kau tak perlu kecewa dan terseksa macam ni.”

Damia hanya menggelengkan kepala. Mana mungkin dia akan menyusahkan dan membabitkan Reqza dalam perkara ini sedangkan dia tahu Reqza menaruh hati terhadap Jeslina.

“Kau tak cintakan aku. Cinta kau hanya untuk Jeslina. Lagipun aku tak mahu menyusahkan kau dengan masalah aku,” terang Damia.

Reqza menyebak rambutnya dan mendengus kasar.

“Aku tak pernah pun kata yang aku cintakan dia. Tapi kau tu yang tak sudah-sudah mengaitkan nama aku dengan dia,” luah Reqza geram. Dia merenung anak Damia.

“Mana kau tahu aku tak cintakan kau?” soal Reqza.

“Aku tahu kau tak cintakan aku,” tekan Damia walaupun dia tidak tahu apa yang tersirat dalam hati Reqza. Lagipun Reqza pernah memberitahu kepadanya bahawa dia telah tertarik dengan Jeslina sewaktu lelaki itu menemaninya ke Pulau Pinang suatu ketika dulu. “Tapi aku tahu kau sayangkan aku sebagai seorang sahabat,” ujar Damia sambil tersenyum, menutup rasa gundah dalam jiwa.

“Cinta boleh dipupuk Mia. Mungkin daripada kasih sayang seorang sahabat, kita boleh tukarkannya kepada cinta.” Reqza sebenarnya terkilan kerana Damia tidak pernah menyambut salam cintanya sejak dulu.  Berkali-kali dia memberi gambaran tentang perasaannya tetapi Damia buat tidak mengerti. Terpaksalah dia cuba menarik perhatian Damia dengan menyatakan dirinya tertarik terhadap Jeslina dengan harapan gadis itu cemburu. Tetapi apa yang dia terima... Damia bersorak keriangan dan menyatakan akan cuba membantunya memikat Jeslina. Semenjak itu dia memendamkan sahaja perasaannya yang baru berputik terhadap Damia. Dia tidak mahu persahabatan yang sedia terjalin terputus begitu sahaja.

“Sekarang tengok! Apa yang lelaki itu sudah buat kepada kau? Dia sedap berkepit dengan perempuan lain di sana tetapi kau di sini terpaksa mengusung benih lelaki yang tidak bertanggungjawab itu,” ujar Reqza sebal. 

Damia mengusap perutnya dan menghelakan nafasnya. Dia juga kesal dengan apa yang berlaku.

“Mungkin ini dugaan dan janji Allah untuk aku sejak azali lagi. Dan... mungkin ini juga akibat yang terpaksa aku tanggung kerana menolak cadangan mama aku dan menderhaka terhadapnya,” luah Damia sebak. Reqza enggan memanjangkan lagi cerita sedih Damia.

“Izinkanlah aku menjadi papa kepada anak-anak kau, Mia. Aku akan menjaga kau di sini dan mengambil alih tugas suami kau yang tak berguna itu. Aku juga sanggup menikahi kau sekiranya kau ingin berpisah dengan suami kau suatu hari nanti,” luah Reqza seikhlas hatinya. Siapa pun Damia, kasih sayangnya terhadap gadis itu tak pernah kurang walaupun seinci.

“Terima kasih Req atas keprihatinan kau. Hanya Allah yang mampu membalas budi baik kau terhadap aku,” ujar Damia sebak. Air mata mula membasahi pipinya. Sejak hamil, Damia menjadi lebih sensitif dan cengeng. Pantas jemari Reqza menyapu air mata yang membasahi pipi halus dan mulus itu.

“Jangan menangis, Mia. Aku akan sentiasa ada saat kau memerlukan.” Ingin sahaja dia menarik Damia ke dalam pelukannya. Namun dia yakin itu tidak mungkin berlaku. Sejak itu Reqza mengambil alih tanggungjawab Darwisy. Reqza mencari rumah yang lebih selesa untuknya dan Reqza juga yang mengazan dan mengiqamatkan anakanaknya. 

RIUH-RENDAH di ruang tamu tingkat dua, rumah tiga tingkat itu mengejutkan Damia daripada lena dan kenangan lalu. Bunyi tangisan anak kecil serta suara neneknya membuatkan tubuh Damia berdiri tegak. Girang sungguh rasa hatinya pabila mendengar suara permata hatinya itu. Anak-anaknya kini sudah berusia empat belas bulan. Sewaktu berusia sembilan bulan, anaknya itu terpaksa dibawa pulang ke Malaysia akibat wabak penyakit yang melanda kebanyakan negara di seluruh dunia. Akibat wabak itu, nenek dan  Ucunya memaksa dia membenarkan kembarnya dibawa pulang ke Malaysia. Demi kebaikan anak-anaknya, dia tidak mempunyai pilihan. Dengan berat hati mereka dilepaskan pergi. 

Hampir lima bulan dia terpaksa berpisah dengan anak-anaknya sebelum ditawarkan berkhidmat di syarikat TDF yang beribu pejabat di Kuala Lumpur. Apabila tawaran itu dibuka kepadanya, dia terus bersetuju. Dia tidak boleh sewenang-wenangnya menamatkan kontrak yang diikat selama tiga tahun itu. Menurut perjanjian yang telah ditandatanganinya, dia perlu membayar hampir RM125 ribu  jika ingin menamatkan kontrak tersebut. Damia perlu berkhidmat di syarikat TDF selama sembilan belas bulan lagi sebelum kontraknya tamat. Selepas itu, dia bercadang membantu Ucunya di Menara Impiana. Reqza juga mengambil keputusan pulang ke Malaysia. Kata Reqza, dia tidak betah berpisah dengan anak-anaknya lebih lama. Ketawa Damia mendengar kata-kata Reqza.

“Anak umi!” Damia mengucup dan mendakap Tengku Danial Fareez dan Tengku Dania Farisya yang baru pulang dari Tesco bersama moyang dan datuk saudaranya. Rindu rasanya dengan buah hati kesayangannya itu. Kesian Ucunya... muda-muda lagi dah jadi datuk. Pabila teringatkan pak long dan mak longnya, Damia menjadi pilu. Sedih hatinya kerana tidak dapat pulang semasa pak long dan mak longnya meninggal dunia lebih setahun yang lalu akibat kemalangan jalan raya. Chalet milik pak longnya juga telah dijual memandangkan anak-anaknya tidak berminat untuk mengusahakannya.

Damia merenung anak-anaknya yang sudah terlena. Setelah pastikan kedua-duanya benar-benar terlena, Damia pergi ke dapur untuk membantu Mak Jah menyediakan makan malam. 

“Nak masak apa untuk makan malam, Mak Jah?”

“Entahlah, Sayang, Mak Jah pun tak tahu. Tapi Mak Jah dah keluarkan ikan pari, ayam, udang dan pucuk ubi tu.”

“Apa kata kita bakar ikan pari, masak lemak pucuk ubi dan buat sambal tumis udang. Ayam pula kita goreng berempah.” Damia memberikan pendapatnya.

“Bagus juga cadangan Sayang, Mak Jah setuju!”

“Hari ni Mak Jah berehat, biar Sayang yang masak. Bila lagi nak tunjuk kehebatan kat tok guru,” gurau Damia. Selama ini dia banyak belajar memasak daripada Mak Jah. Bagi Damia, kehebatan seseorang wanita itu bukan terletak pada kerjaya dan kedudukannya tetapi bagaimana cara dia menguruskan keluarganya. Salah satu cara hendak memikat hati anak-anak dan suami adalah dengan masakan. Oleh itu, dia harus tahu memasak dengan baik. Dia mahu anak-anak dan suaminya makan hasil air tangannya sendiri dan bukannya pembantu rumah. Sebab itulah dia bangun seawal jam lima pagi untuk menyediakan bubur untuk anaknya. Dia tidak mengharapkan pengasuh anaknya menyediakan makanan tersebut. Dia mahu anak-anaknya sayang dan ingat akan dirinya hingga dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.

“Sayang, ada orang telefon!”

“Siapa telefon, nek?” tanya Damia kepada neneknya Puan Saadiah. Tangannya yang basah segera dilap dengan tuala bersih sebelum menyambut telefon daripada neneknya. 

“Entah...! Nenek lupa pula nak tanya nama dia tadi. Tapi lelaki.”

Damia sudah tahu siapakah gerangannya.

“Helo...!”

“Assalamualaikum. Amboi... sibuknya umi kat dapur! Masak apa, umi? Papa dah lapar ni,” sakat Reqza sambil ketawa sakan.

“Hantu kau, Req!!! Aku ingatkan pakwe manalah nak berkenalan dengan aku tadi? Cuak juga aku sekejap!” Damia juga sudah ketawa kelucuan di talian. 

“Handset kau mana? Bagai nak patah jari aku menekan keypad mendail nombor kau tapi tak dapat-dapat!” 

“Handset aku kat dalam beg sandang. Tapi beg aku  dah tertukar dengan seseorang masa kat airport tadi. Orang tu ambil beg aku dan aku terambil beg dia,” terang Damia.

“Oh, begitu ceritanya! Patutlah!”

“Ahad ni pukul berapa kau sampai? Boleh aku jemput kau. Lagipun esok aku nak ke KL ambil beg aku tu. Hari Rabu pula aku nak lapor diri kat TDF.” Damia memberitahu Reqza. Reqza terpaksa pulang lewat sedikit daripadanya kerana Reqza perlu bereskan kerjanya terlebih dahulu sebelum dibenarkan balik ke Malaysia. 

“Flight aku dijangka tiba pukul empat empat puluh lima petang. Tak sabar aku nak balik. Dah tak tertahan rasanya rindu aku ni. Anak-anak aku tengah buat sekarang?” 

“Fareez dan Farisya tengah tidur. Mungkin kepenatan agaknya. Maklumlah seharian ikut moyang dan datuknya berjalan. Lepas menyusu terus tertidur.”

“Jaga anak-anak aku elok-elok. Ahad ni jangan lupa bawa mereka. Beritahu mereka, papanya ini amat merindui mereka,” ujar Reqza. Dia memang rindukan si kembar itu. 

“Okeylah abang nak letak telefon dulu. Sekejap lagi abang nak bersiap nak pergi kerja,” ujar Reqza sambil ketawa kelucuan.

“Bila masa pula kau jadi abang aku?” seloroh Damia. Tahu sangat dia dengan perangai Reqza yang suka menyakat.

“Aku bukannya nak jadi abang kau tapi aku nak jadi ‘abang sayang’ kau dan papa buat anak-anak kau. Aku rasa aku dah tak boleh nak berpisah dengan mereka lagi. Lagipun masa kat UK, semua orang kata kau isteri aku dan si kembar tu anak kita berdua. Jadi tak salah kan kalau aku berangan jadi suami kau walaupun kau tak sudi nak kahwin dengan aku?”

“Dah, jangan nak mengarut! Nanti kalau aku suruh kau kahwin dengan aku betul-betul baru kau menangis dan meraung. Masa tu mulalah kau suruh aku tarik balik permintaan aku sebab kau nak kahwin dengan Jeslina.”

“Mia... kau jangan cakap begitu sekiranya kau masih tak kenal siapa Reqza yang sebenar! Sekali aku cakap aku sanggup terima kau sebagai isteri aku, itu bermakna aku memang benar-benar maksudkannya. Boleh tak kalau kau cuba fahami akan perasaan dan pendirian aku? Boleh tak kalau kau jangan babitkan Jeslina dalam hal ini? Dia tak pernah tahu pun aku sukakan dia sebelum ini. Lagipun aku bukannya serius sangat nak berkenalan dengan dia. Kau aje yang terover dan nak sangat aku rapat dengan Jes,” luah Reqza untuk kesekian kalinya.

Terkedu Damia mendengar penjelasan Reqza. 

Apakah selama ini dia terlalu memaksa Reqza supaya menerima Jeslina dalam hidupnya?

“Mia...” panggil Reqza lembut.

“Errr... ya!”

Terdengar Reqza menghela nafasnya. 

“Untuk terakhir kalinya aku nak tanya kau. Sayang Damia binti Dasuki Aqtar, saya Tengku Reqza bin Tengku Rashid ingin melamar Sayang Damia sebagai isteri saya yang sah, adakah Sayang Damia bersetuju?” 

“Reqza...!!!” jerit Damia tatkala mendengar luahan Reqza. 

“Kau tahu kan aku masih isteri orang? Kau tahukan apa hukumnya kalau kau melamar isteri orang? Dah! Aku tak mahu cakap apa-apa lagi tentang perkara ini,” tegas Damia. 

“Cepatlah kau bersiap nanti terlewat pula nak pergi kerja. Nanti aku dan si kembar akan tunggu kau kat airport.” 

“Maafkan aku, Mia. Aku tak bermaksud nak buat kau marah,” ujar Reqza dalam keadaan serba-salah. 

“Tak apa, aku faham! Assalamualaikum.” Tanpa menunggu balasan daripada Reqza, Damia terus meletakkan gagang telefon.

Maafkan aku, Req. Aku tak mampu nak serahkan hati aku untuk kau. Cinta aku bukan untuk kau, Req. Bukan untuk kau! Wajahnya diraup berulang kali. 

“Siapa yang telefon?”

Damia menoleh pabila neneknya datang menyapa. 

“Reqza... nek. Dia tanya khabar Fareez dan Farisya. Rindu katanya!”

“Baik budak Reqza tu. Hingga kini dia ambil berat tentang anak-anak Sayang. Susah nak dapat lelaki baik macam tu hari ini.” Puan Saadiah memandang cucunya itu. Damia membalas pandangan neneknya. Hatinya sedikit terusik mendengar luahan rasa neneknya. Reqza memang baik, itu memang tidak dia nafikan. Cuma hatinya sahaja yang tidak mampu beralih arah dan memilih Reqza sebagai pasangan hidupnya.

“Sayang masih menaruh harapan terhadap Darwisy? Sanggup ke Sayang bermadu? Darwisy pun sampai sekarang langsung tak ada khabar berita!” 

“Entahlah nek, Sayang pun tak tahu nak cakap macam mana lagi. Biarlah masa yang menentukan. Seandainya sudah takdir Allah hubungan kami hanya mampu bertahan seketika cuma. Siapalah Sayang hendak menidakkannya. Mungkin Allah ingin menguji sejauh mana keimanan Sayang,” luah Damia sebak.

“Bila Sayang nak tunjukkan anak-anak Sayang kat mama? Tentu mama Sayang gembira berjumpa dengan cucucucunya.” Puan Saadiah mengalih tajuk perbualan. Terbit rasa bersalah dalam dirinya apabila melihat riak mendung yang mula terpeta di wajah Damia.

“Bukan Sayang tak nak temukan Fareez dan Farisya dengan nenek mereka. Tapi nenek tahulah perangai mama tu macam mana. Takut Sayang nak bagi tahu. Nanti angin satu badan. Kasihan anak-anak Sayang sekiranya mama buat perangai. Walaupun mereka masih kecil dan tak tahu apa makna suka dan duka, tapi Sayang tak sampai hati sekiranya kehadiran mereka menimbulkan kebencian dalam hati  mama. Cukuplah apa yang Sayang tanggung selama ini. Sayang tak mahu mereka terima nasib yang sama seperti Sayang.”

“Tak cuba tak tahu lagi, Sayang. Manalah tahu bila tengok muka Fareez dan Farisya yang comel tu... hati mama kamu yang beku akan jadi cair. Nenek sendiri pun geram dengan anak-anak kamu. Comel sangat-sangat. Mesti bila dah besar nanti anak-anak kamu ramai peminat. Tengoklah sekarang... kecil-kecil lagi dah ramai yang booking nak buat menantu,” seloroh Puan Saadiah. 

Sedih pula dia apabila melihat wajah suram Damia. Sejak kecil lagi dia memanggil cucunya itu dengan panggilan Sayang dan lekat hingga ke hari ini. Damia juga merupakan cucu kesayangannya memandangkan cucu-cucunya yang lain ialah lelaki. Damia juga lebih rapat dengannya kerana sejak bayi lagi Damia tinggal bersamanya. Dialah juga yang memberi nama Sayang Damia. 

“Harap-harap begitulah, nek.”

Damia tidak mahu terlalu menggantung harapan yang tinggi. Sikap mamanya yang berhati batu dan keras kepala sering membuatkan dirinya tertekan. Setiap arahan mamanya tidak boleh dibangkang. Dulu ada papanya yang membantu jika arahan mamanya terlalu sukar untuk dia turuti. Kini dia perlu berjuang sendirian untuk memperjuangkan haknya. Damia yakin mamanya pasti akan mengamuk jika tahu dia telah berkahwin tanpa pengetahuannya apatah lagi jika lelaki itu bukan pilihan hati mamanya.

Damia juga kerunsingan sebenarnya. Dia bimbang jika lelaki yang ditemui di KLIA tadi menyelongkar beg sandangnya. Keadaan bertambah parah jika tekaannya mengenai lelaki itu adalah tepat.

No comments:

Post a Comment