AKU yang baru tiba beberapa saat di pintu pantri
terdengar suara orang sedang marah-marah. Tak jadi aku
melangkah masuk. Kaku aku di tepi pintu apabila mendapati
namaku dijadikan topik perbincangan.
“Sial betul si Darwiesha tu. Perasan lawa, geram
sungguh aku dibuatnya!”
“Apa pulak dia dah buat kali ni? Pasal Encik Zafrul lagi
ke?” Suara yang lain bertanya.
Aku terpinga-pinga. Kenapa aku
dituduh sial? Aku ada buat perkara yang tidak elok ke?
“Bukan pasal Encik Zafrul. Yang tu, aku tak kisah dah.
Dari dulu aku cuba tackle Encik Zafrul, tapi dah terang-terang
dia tak suka kat aku. Ni pasal Helmi, engineer baru tu. Aku baru
saja dapat goda dia. Nampak gayanya dia juga dah terpikat kat
aku. Alih-alih petang semalam, aku nampak dengan kepala aku
sendiri Helmi hulur helmet ajak minah tu naik motor besar dia.
Aku ni, sekali pun dia tak pernah pelawa. Bengang, tau tak?”
“La… Berani sungguh si Helmi tu nak mengayat girl
idaman Encik Zafrul tu.”
Girl idaman? Encik Zafrul betul-betul suka kat aku ke?
Eh… dah jadi gosip panas ke kisah aku dengan Encik Zafrul?
“Tapi aku lega jugak. Kau tau... pagi-pagi tadi aku
sergah Helmi tanya pasal hubungan dia dengan Wiesha.
Mati-mati dia mengaku dia tak suka minah tu, saja je nak tackle
buat habuan. Maklumlah anak dara bergetah. Hahahaha… puas
hati aku!”
“Habis kau dengan Helmi dah pernah buat apa-apa ke?”
Suara ketiga pula kedengaran. Oh… tiga orang yang berada di
dalam sana rupanya. Tapi, siapa mereka?
“Eh! Dia cintakan aku, tak kisahlah aku nak menyerah
pun.”
Dengan bangganya perempuan mulut celopar tadi
berkata-kata. Ternganga mulutku.
Bahuku ditepuk kuat. Punyalah terkejut aku, mujur
saja aku tak termelatah. Aku cepat-cepat letakkan jari di bibir
minta Amy diam. Muka blank saja si Amy, memberi isyarat
bertanya kenapa aku buat begitu. Rasa biasa dengar saja suara
minah celopar tu, tapi… aku tak pasti siapakah gerangannya.
Melalui isyarat jari juga, aku mengajak Amy masuk ke
pantri dan serta-merta tiga orang minah tadi membisu. Tiga
pasang mata menjelingku dengan tajam. Okey... sekarang baru
aku tahu, siapakah yang sedang mengumpat aku kaw-kaw
tadi. Benar telahanku, minah celopar yang sangat berbangga
menyerahkan tubuh kepada Helmi ialah Puteri Natasya.
Patutlah suaranya familiar aje.
Dengan lagak bersahaja dan wajah yang selamba
seolah-olah aku tidak tahu apa-apa, butang air panas di café
bar aku tekan. Niat di hati mahu membancuh secawan Milo
untukku.
“Auchhh!!!”
Aku terjerit halus. Tidak aku duga sama
sekali yang Puteri Natasya sanggup melanggar bahuku. Sama
ada dia sengaja ataupun sebaliknya aku pun tak pasti. Tanganku
yang sedang menadah mug teralih ke tepi. Berkocak air di
dalamnya dan tumpah menyirami tanganku. Serentak itu juga,
mug di tanganku terlepas.
Prang!!!
Berderai mug porselin terhempas ke lantai.
Terburu-buru Puteri Natasha angkat kaki meninggalkan pantri.
“Kenapa Wiesha?” Amy yang berada tidak jauh
daripadaku juga turut tersentak.
“Tangan aku. Panas!!!”
“Ya Allah… kau tunggu sekejap. Aku nak cari Kak
Lela.”
Dua orang kawan baik Puteri Natasha terkaku melihat
aku yang sedang menahan sakit. Merah sudah tanganku. Mana
Kak Lela ni? Selalunya setiap pagi dia berada di pantri ini.
“Darwiesha… what happened?”
Dalam wajah yang
berkeriut, sempat aku menjeling kepada Amy. Rasa geram pula.
Tadi katanya mahu memanggil Kak Lela, tapi kenapa Encik
Zafrul pula yang muncul?
“Tangan saya kena air panas.”
Rasa pedih dan pijar
buat kolam mataku bergenang. Sama ada aku sedih disebabkan
Puteri Natasha sanggup cederakan aku atau rasa terharu apabila
Encik Zafrul muncul bersama kotak first aid. Tanganku yang
pijar terus disambarnya.
“Eh, teruk tangan awak ni. Saya hantar awak ke klinik
sekarang.”
“Tak apa Encik Zafrul, sikit aje ni. Tak payahlah ke
klinik.”
“Jangan degil! Awak kena jumpa doktor juga.”
Encik
Zafrul bertegas bila aku menolak. Dalam kepalaku berfikir
macam-macam. Mesti kecoh aras satu ni kalau mereka nampak
aku keluar bersama Encik Zafrul yang masih memegang
lenganku.
“Encik Zafrul, saya boleh tahan lagi…”
“Awak jangan nak tipu saya. Tu... air mata dah meleleh.
Amy... ikut saya ke klinik.”
Nasib baik tanganku dilepaskan tidak lama kemudian.
Kan dah kata! Ramai kakitangan yang tertinjau-tinjau kepada
kami bertiga. Mana aku mahu menahan pedih di tangan, mana
lagi mahu aku sorokkan muka yang sudah tebal berlapis-lapis.
SETELAH menerima rawatan, doktor memberikan aku
cuti sakit selama tiga hari. Tangan sebelah kiriku berbalut.
Aku berehat sahaja di rumah sementara Haslina berkali-kali
meminta maaf kerana tidak dapat menemaniku.
“Sorry Wiesha… aku tak dapat temankan kau hari ni.
Tempahan pelanggan banyak yang aku kena siapkan sebelum
hujung minggu ni.”
“Tak apa… semalam kau dah balik awal temankan aku.
Aku okey hari ni. Tangan kiri aje yang berbalut, tangan kanan
masih boleh guna. Tak payahlah kau risaukan aku.”
“Kalau ada apa-apa, cepat-cepat call aku ya. Aku terus
terbang balik dapatkan kau.”
“Sejak bila pulak kau jadi superman?”
Haslina tergelak.
“Apa pulak superman. Aku
perempuanlah. Wonder woman!”
“Yalah tu. Dah… pergilah cepat, nanti jalan sesak.
Lambat pulak kau sampai kat butik.”
Aku tolak tangan Haslina
di sisiku memaksa dia keluar ke tempat kerja.
Encik Zafrul pula betul-betul buat aku gila. Selang
dua jam, Encik Zafrul mesti hubungi aku bertanya tentang
keadaanku sehinggakan aku naik rimas.
“Encik Zafrul tak payahlah call saya, kalau encik sibuk. I’m okay.”
“Saya tak sibuk hari ni. Saya nak pastikan yang awak
dah makan ubat petang ni.”
“Dah… dah... saya dah makan ubat. Baru aje tadi.”
Tak ada kerja betul bos aku ni! Eiiii... aku herotkan bibir tanda
geram teramat sangat. Kalaulah dia boleh nampak wajahku
sekarang yang seperti mak gorila sedang marah… hesy!
Baru sahaja aku mahu lelapkan mata malam itu, telefon
bimbitku menjerit nyaring sekali lagi. Mesti Encik Zafrul. Dah
tak ada kerja lain ke dia nak buat hari ni? Dah lewat malam pun
masih nak ganggu aku.
“Helo Encik Zafrul. Saya sihat. Encik tak payahlah call
saya lagi!”
Tanpa memandang nombor yang tertera di skrin,
laju sahaja aku hamburkan rasa geramku, memarahinya.
“Darwiesha. Saya ni… Helmi.”
Hah! Aku terkejut dan serta-merta tapak tanganku
menekup mulut.
“Helmi… err... sorry. Saya ingat Encik Zafrul yang
telefon.”
“Tangan awak dah okey? Saya ambil nombor handphone
awak daripada Amy. Amy marahkan saya atas apa yang terjadi
kat pantri semalam. Saya nak minta maaf. Di sebabkan saya,
tangan awak cedera.”
Aku mengeluh. Amy... Amy... Pantas sungguh dia
menyebarkan cerita.
“Tak mengapalah Helmi, tangan saya melecur sikit
aje. Walaupun pedih dan perit tangan saya ni, tapi tak seperit
kata-kata Puteri pada saya. Awak dah ada Puteri, kenapa awak
nak dekat dengan saya? Dia nampak awak dan saya kat tepi jalan
Jumaat lepas.”
“Apa yang dia dah beritahu awak? Awak jangan percaya
sangat dengan si mulut celopar tu.”
“Tapi mulut celopar tu jugak yang awak nak. Ya, tak?”
“Darwiesha, saya lelaki normal. Kalau ikan dah datang
menyerah, takkan kucing nak pandang terkulat-kulat saja?”
“Habis tu, sanggup awak reka alasan pada Puteri yang
awak pikat saya untuk habuan awak yang ke berapa pulak?”
“What??? Puteri cerita macam tu ke?”
“Dia tak cakap. Tapi saya terdengar dia mengumpat
saya sebelum dia langgar bahu saya dan air panas tu tertumpah
kat atas tangan saya. Awak jangan ingat saya murah macam
Puteri tu!”
“That girl…” Helmi mendengus.
“Sudahlah Helmi. Saya mintak tolong sangat kat awak,
tolong jangan ganggu saya lagi. Kita tak pernah kenal rapat pun
sebelum ni. Dan awak jagalah Puteri baik-baik. Saya tak nak ada
orang lain pula yang cedera.”
“Tapi Darwiesha, Encik Zafrul boleh pula awak layan?”
“Itu antara saya dan Encik Zafrul. Buat masa ni, saya
masih belum ada simpan perasaan pada mana-mana lelaki.
Dia bos dan saya pekerja. Biarlah takdir menentukannya. Saya
minta maaf, saya nak berehat. Assalamualaikum.”
Talian aku
putuskan dan tanpa berlengah telefon bimbit aku matikan
dengan hati yang pedih. Biarlah jika Encik Zafrul gagal
menelefonku berkali-kali pun selepas ini.
DATANG ke pejabat semula setelah bercuti sakit selama 3 hari,
seperti kebiasaan di pagi hari aku ketuk pintu bilik Encik Zafrul
membawa mug Nescafe panas.
“Tutup pintu rapat-rapat.”
Arahnya. Disuruhnya aku
tutup rapat-rapat? Selama ini pintu biliknya selalu terbuka
ke? Yang aku tahu, tak pernah lagi pintu biliknya dibiarkan
ternganga jika dia ada kat dalam ni.
Nescafenya aku letakkan di tempat biasa. Di atas alas
mug berbentuk bulat yang ada tertera pemandangan bangunan
Opera Sydney.
“Tangan awak macam mana? Ada menggelembung
tak?”
Tersentak aku dengan suaranya yang betul-betul rapat
di sebelah. Entah bila masanya dia bangun dari kerusi dan
sekarang bertenggek di hujung mejanya dengan gaya santai.
“Bak sini tangan awak.”
Tanpa sempat aku menegah,
tanganku ditarik dan Encik Zafrul membelek-belek sebentar
depan dan belakang. Memang masih ada kelihatan di belakang
tapak tanganku, kulit yang keperangan seolah-olah mahu
menggelupas.
“Sakit lagi ke?”
Aku geleng. Kalau sakit, sudah tentu aku tak tercongok
kat depan dia sekarang.
“Sikit saja encik. Insya-Allah… Dua tiga hari lagi,
baiklah.” Dengan perlahan, aku tarik kembali tanganku
yang berada di dalam genggamannya. Takkanlah mahu main
rentap-rentap sahaja. Dia kan bos aku.
“Kalau awak rasa tak boleh buat kerja, awak tak perlu
buat apa-apa.”
Berkerut dahiku.
“Habis… takkanlah saya nak melepak aje kat meja
saya. Doktor hanya bagi saya M.C. dua hari. Encik nak suruh
saya pergi jumpa doktor sekali lagi ke?”
“Saya beri awak dua pilihan. Yang pertama, awak
duduk berehat saja kat sofa tu sampailah waktu kerja habis.”
“Apa encik? Mana boleh macam tu?” Aku membantah.
Apa kata staf lain jika sehari suntuk aku berkurung dalam
pejabatnya?
“Saya belum habis lagi. Kalau awak tak setuju dengan
cadangan yang pertama tadi, sekarang awak pergi tempat awak.
Ambil beg tangan awak dan ikut saya keluar.”
Aku terkejut.
“Encik nak bawak saya pergi mana?”
“Kalau awak tak mahu duduk kat bilik ni sampai
petang, jangan nak banyak tanya. Now… move!” Arahnya tegas
dan dia turun dari meja. Bersedia bergerak ke kerusinya. Aku
mendecit.
“Mengada-ada betullah dia ni!” Bebelku kepada diri
sendiri.
“Saya dengar tu!”
Hah! Aku pula yang terkejut. Kuat sangat ke omelanku
tadi?”
“Kenapa kau berkemas ni, Wiesha? Kan baru pukul
9.30 pagi?” Suraya di sebelah mengintai dari kubikel sebelah.
“Encik Zafrul ajak aku keluar.”
“Apa? Keluar dating ke? Wah, wah, wah kau… tak
sangka aku. Dalam diam kau bercinta ya.” Suraya suka sangat
menggiatkan aku dengan Encik Zafrul.
“Ada aku cakap nak dating ke?” Marah juga aku. Siapa
yang nak bercinta dengan bos yang banyak songeh macam tu?
“La… itu pun nak marah? Aku ingat kau suka. Sapa
tak nak keluar dengan bos handsome gitu. Kalau aku, bangga
beb…”
“Bangga la sangat!!! Aku…”
“Darwiesha… dah siap ke?” Muncul Encik Zafrul di
tepi kubikelku.
Suraya menikus terus diam dan menyambung
kerjanya.
“Haah… dah!” Aku berdiri dan sangkutkan beg
tangan ke bahu. Encik Zafrul berjalan mendahuluiku dan
lambat-lambat aku mengikutnya dari belakang.
Aku tidak tahu apa akan jadi selepas ini. Kali pertama
aku dipaksa keluar dari pejabat bersamanya pada waktu bekerja.
Agaknya berguni-gunilah gosip bertiup mengenai aku dan
Encik Zafrul.
“Encik ni suka sangat nak jadikan saya isu gosip
hangat kat opis kita.” Encik Zafrul baru menghidupkan enjin,
aku sudah memijar marah.
“Gosip? Kenapa mereka nak gosip pasal awak?”
“Bukan gosip pasal saya. Mereka bergosip tentang kita.
Hari-hari ada yang bertanya, betul ke saya dengan encik sedang
bercinta?”
“Awak tak suka?” Encik Zafrul senyum dan menyoal
balik. Tidak pula dia berikan sebarang komen.
“Saya rimas! Sepatutnya mereka faham dan tahu nak
bezakan antara arahan kerja dan juga hubungan peribadi.”
“Tapi saya suka.” Sengihnya tanpa rasa bersalah. Aku
menjeling geram.
“Kita nak ke mana sekarang ni?” Aku mula resah
apabila menyedari Encik Zafrul sudah memandu keluar dari
Kuala Lumpur. Hendak ke mana dibawanya aku hari ini dengan
pakaian pejabat lengkap di tubuh masing-masing?
“Ke hujung dunia…” Encik Zafrul kulum senyum.
Suka agaknya melihat aku yang menggelabah.
“Encik jangan nak bergurau. Baik beritahu saya, kita
nak ke mana. Kalau tak…”
“Kalau tak, apa awak nak buat? Nak terjun dari kereta?
Buatlah kalau berani.”
Aku telan liur. Di tengah-tengah lebuh raya ini,
kelajuan CLKnya sudah mencecah 125km/j. Berani ke aku
buka pintu dan terjun keluar? Lebih baik aku diam. Malas
nak bertanya lanjut. Makin banyak bertanya, aku rasa makin
mengarut jawapan Encik Zafrul. Jadi lebih baik aku melayan perasaan sendiri.
“Darwiesha!”
Terasa pipiku ditepuk perlahan. Ya Allah!
Aku tertidur ke tadi? Nyaman sangat agaknya penghawa dingin
yang dihalakan ke muka sampai aku boleh terlelap? Pantang
sungguh dapat peluang, mudah sahaja aku hanyut dibuai
mimpi.
“Hah???” Terpinga-pinga aku.
“Sedapnya tidur. Awak ada niat nak upah saya sebagai
driver awak ke?” Encik Zafrul memerli. Aku mencebik.
“Dah tu... saya banyak cakap, encik suruh saya diam.
Tapi... eh kita kat mana ni?” Mengapa aku rasa tempat ni begitu
asing sekali? Aku kerling jam di dashboard kereta. Oh... hampir
dua jam juga Encik Zafrul memandu hingga sampai ke sini.
Aku renung laut yang terbentang luas di depan mata.
Aku kat mana sekarang?
“Sekarang kita kat pantai Bagan Lalang. Tengok sana
tu. Cantik tak Palm Tree Resort?”
“Encik bawak saya kat tepi pantai? Tengah hari panas
macam ni?” Aku pelik. Sudahlah kami datang ke sini sehelai
pinggang, dengan pakaian pejabat pula tu! Aku kerling Encik
Zafrul yang masih lengkap dengan tali leher di lehernya.
Seperti faham dengan kerlinganku, Encik Zafrul
rungkaikan tali leher dan dicampakkan ke atas pahaku. Eh???
“Tolong gulung elok-elok dan letak dalam laci depan
awak tu.” Arahan bos seperti selalunya. Dia fikir, aku ni isteri
dia ke?
Lengan kemejanya dilipat hingga ke siku satu per satu
dan akhir sekali dua butang paling atas kemejanya dibuka.
“Awak lapar tak?”
“Tak sangat. Pagi tadi housemate saya masak nasi
goreng.”
“Housemate yang masak. Awak pandai masak tak?”
Aku mencerlung. Ingat aku apa? Tengok kaki la...
“Boleh la kalau setakat nak makan sendiri atau berdua
dengan housemate saya tu. Kenapa encik tanya?”
“Saja... senang saya nanti kalau dapat isteri yang
pandai masak.”
“Siapa nak kahwin dengan encik?” Aku tarik muka.
“Awaklah! Siapa lagi?”
“Mengarut sungguh! Kesian pada awek-awek kat opis
tu yang duk gilakan encik.” Aku membalas.
“Biarlah dia orang jadi gila, sebab saya suka pada gadis
yang tak gila macam awak!” Itu pula jawapannya? Pandai dia
pusing ayat aku.
“Saya cukup sukakan laut. Kalau saya stres atau banyak
masalah, selalunya saya bawak diri ke sini. Kalau datang waktu
malam, lagi tenang. Tapi... saya tak boleh ajak awak sekali.
Takut kena cekup.”
Eleh, aku pun tak teringin nak datang sini
malam-malam. Buat apa?
“Saya tak tanya pun?” Sinis aku membidas.
“Awak kena juga ambil tahu pasal saya. Suatu hari
nanti, awak akan faham.”
“Kenapa saya perlu faham?” Masih mahu bertelagah.
Encik Zafrul ni, suka sangat buat aku tertanya-tanya.
“Sebab awak bakal isteri saya.”
“Hah???
No comments:
Post a Comment