DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 5 March 2015

Di Penghujung Cintaku... Adelia - Bab 8

ENAM tahun berlalu...

Di KLIA. Nik Pasha baru tiba dari Russia. Kepala dijengah mencari kelibat papa dan adik kesayangannya, Nik Airil. Mama awal-awal lagi memberitahu tidak dapat menjemput dia. Nak masak kata mama. Nik Pasha berdiri. Ramai perempuan di KLIA yang lalu-lalang di hadapannya terpandang-pandang ke arah Nik Pasha yang kacak. Nik Pasha telah banyak berubah dan semakin matang. Badannya semakin segak dan tegap. Tinggi. Rambutnya didandan ala artis Korea. Side burn yang panjang dan rambut di hadapan yang menutupi dahi tetapi di belakangnya pendek. Mengikut gaya rambut artis Korea, Lee Min Ho di dalam City Hunter. Segak! Bisa mencairkan hati mana-mana perempuan yang melihatnya. Mata masih tercari-cari papa dan adiknya. 

Kemudian dia tersenyum lebar ketika matanya terpandang wajah yang dicari. Papa masih tetap sama cuma  warna rambut dah berubah sikit. Dah ada banyak warna putih menghiasi rambutnya. Nik Airil lagilah banyak berubah. Wajah adiknya telah jauh berubah. Maklumlah dah berada di tingkatan lima. Misai pun dah ada sikit-sikit. Hehe.. dah besar pun adikku.

“Papa!” tangkas dua beranak itu berpeluk sakan. Kemudian diikuti dengan Nik Airil. Sambil bertepuk bahu buat seketika. Masing-masing dengan wajah ceria. Gembira. 

“Ehem! Gembira sangat sampai lupa orang kat sebelah ya!” Deheman seseorang membuatkan mereka  bertiga memandang terus ke arah seorang gadis cantik yang tiba-tiba berdiri di sebelah Nik Pasha. Gadis itu tersenyum manis. Nik Pasha tersengih siap menggosok belakang kepalanya. Terlupa pula buah hati seorang ini. 

“Siapa ni?” soal Nik Airil cepat. Tidak sabar hendak tahu siapa gadis cantik di sebelah abangnya. Cantik macam Julia Zigler.

“Ini Darwina, my special girlfriend.” Darwina diperkenalkan oleh Nik Pasha kepada papa dan adiknya dengan senyuman tidak lekang di bibirnya. 

Papa dan Nik Airil saling memandang buat seketika. Nik Pasha sedar reaksi itu tetapi dia buat bodoh saja. Nik Nazrin tidak mahu berlama-lama lagi di situ.Mereka seharusnya beredar. Isterinya sedang menunggu ketibaan anak sulungnya yang tersayang. Tapi, apakah reaksi isterinya nanti ketika melihat Nik Pasha membawa perempuan lain? 


DI DALAM kereta, Nik Pasha dan Darwina duduk di bahagian belakang. Manakala Nik Nazrin bertindak sebagai pemandu dan Nik Airil duduk di sebelah papanya. Nik Pasha perasan papa dan adiknya berubah riak wajahnya apabila dia memperkenalkan Darwina sebagai teman wanita istimewanya. Nik Pasha tidak peduli. Kepulangannya ke Malaysia setelah menghabiskan pengajiannya di luar negara ada banyak perkara yang perlu diselesaikan. Perkara pertama, adalah menamatkan perhubungan tiada makna antara dia dan perempuan yang malas betul dia nak sebut nama tu. Perempuan yang terlalu dia benci. Hasrat untuk bercerai akan diberitahu kepada mama dengan segera. Pasti!

“Huh.. macam manalah perempuan itu sekarang? Mesti gemuk sakan,” getus hati Nik Pasha cuba membayangkan rupa Adelia yang gemuk. Jelik betul! 

Darwina melihat perubahan mimik muka Nik Pasha yang pelik.

“Kenapa ni, you?” Darwina pelik melihat telatah kekasih hatinya. Darwina siap meletakkan tangannya di pipi lelaki itu. Nik Pasha sekadar menggelengkan kepala dan tersengih. 

Perbuatan Darwina dapat dilihat oleh papa Nik Pasha menerusi cermin pandang belakang. Nik Nazrin tidak menyukai situasi yang sedang berlaku kini. Kalaulah isterinya tidak terburu-buru mengahwinkan anak dan menantunya dulu, perkara sebegini tidak akan berlaku. Kasihan Adelia.

MARIA pandang Nik Pasha dan perempuan cantik di sebelah anaknya dengan pandangan lama. Dia tidak tahu hendak bereaksi bagaimana? Nak mengamuk atau buat tidak tahu saja? Tetapi, hatinya tidak puas hati dengan tingkah laku anak. Geram dengan sikap anak yang masih belum menerima hakikat.

Nik Pasha membalas pandangan mata mamanya dengan selamba. Dia tidak kisah kerana dia tahu mama tidak akan berkata apa-apa memandangkan adanya Darwina di situ.

“Mama nak ke dapur hidangkan makan tengah hari. Darwina makan di sini, ya?” ajak Maria separuh hati sebenarnya. Dia sedang menunggu menantu kesayangannya pulang sedari tadi tetapi Adelia masih juga belum muncul walaupun Nik Pasha sudah sampai. Risau pula dengan menantunya yang tidak sampai-sampai lagi. Naik kereta atau motor Yaya ni? Lupa pula nak telefon menantunya tadi. Ada sedikit rasa kesal bertandang dalam hatinya. Kaki dilangkah ke dapur.

Nik Pasha mengekor mamanya sehingga ke dapur. Ada perkara penting hendak diberitahu kepada mamanya. Tidak sabar!

“Mama, Pasha ada hal nak cakap dengan mama ni,” ujar Nik Pasha sambil menarik bangku tinggi dan duduk sambil tangan diletakkan ke atas meja sarapan. 

Maria yang sedang mengacau minuman sejuk memandang ke arah anak lelakinya. Menunggu setiap butir bicara daripada Nik Pasha. Maria macam tahu saja apa yang hendak Nik Pasha cakap ketika ini.

“Pasha harap mama faham, ya?” Belum cakap perkara utama, Nik Pasha menyuruh mama supaya memahami apa yang hendak diperkatakannya nanti. Dia tahu mama tahu apa yang hendak dia cakap cuma secara rasminya belum terluah lagi.

“Cakap sajalah, Pasha.” Maria terasa nak angin juga sekarang ni. Tapi dia cuba menyabarkan dirinya. Dia perlu ligat berfikir sekarang. Mencari jalan. 

“Pasha nak bercerai.” Lega Nik Pasha dapat meluahkan rasa hatinya.

Mata Maria tajam memandang anak lelakinya. Nik Pasha telah bersedia menerima segala kemungkinan yang akan dilakukan oleh mama ketika ini. Nak kena tampar? Tamparlah.. nak kena pukul? Pukullah.. dia tidak peduli. Bersedia..

“Okey,” jawab Maria ringkas bersetuju.

Nik Pasha pula terkesima. Macam tidak percaya dengan jawapan ringkas mama. Benarkah? Begitu mudah? 

“Okey, mama?” Nik Pasha menyoal tidak percaya. Ingatkan nanti dia akan dihamun habis-habisan oleh mama tetapi tidak pula.

“Okeylah,” jawab Maria sambil tersenyum lagi. Nantilah Pasha, jangan menyesal pula nanti. Maria sekadar berkata dalam hati.

“Thanks, ma! Pasha tahu mama memahami.” gembira hati bukan kepalang. Maria hanya sekadar tersenyum. Buat masa sekarang, ikutkan rentak anaknya dahulu. Lagipun, anaknya baru saja pulang dari luar negara. Rindunya baru nak terubat. Kalau dia bertindak terburu-buru.  Tidak mustahil dia akan kehilangan anak lelakinya. Dia tidak mahu itu terjadi. Dia harus bijak mencari solusi untuk menangani masalah di antara anak dan menantunya. Mencari jalan supaya mereka bersama. Satu strategi! 

“Tapi Pasha, bukan sekarang. Tunggu ayah Yaya balik dari Australia dulu, ya? Nanti kita bincang sama-sama. Tinggal enam bulan lagi ayah Yaya akan pulang. Pasha boleh bersabar tak?” tanya Maria lembut. Dia harus lengah-lengahkan  perceraian itu dahulu baru dia akan fikirkan strategi menyatukan mereka berdua. Kebetulan pula, Helmi akan pulang ke Malaysia enam bulan dari sekarang. Sudah penat katanya, asyik bekerja di negara orang.

“Kenapa tak sekarang? Sama juga bercerai sekarang atau enam bulan lagi. Tak ada bezanya!” protes Nik Pasha. Dia pulang ke Malaysia, tujuannya satu, iaitu untuk bercerai dan teruskan kehidupan.

“Kita kena pulangkan Yaya baik-baik kepada orang tuanya, Pasha. Kita orang Melayu ada budi bahasa, ada adat kita harus ikuti. Bercerai bukan perkara mudah. Kita perlu duduk dan bincang. Faham?” ujar Maria dengan lembut supaya Nik Pasha memahami apa yang diperkatakan olehnya. 

Nik Pasha termenung seketika. Berfikir tentang kata-kata mama. Betul juga! Enam tahun dia boleh tunggu inikan enam bulan. Tiada perbezaan pun. Hatinya masih tetap sama tetap membenci dengan perempuan itu. Nik Pasha terlalu yakin.

“Okey, mama! Pasha setuju tapi mama kena cakap dengan perempuan tu, yang Pasha dah ada Darwina. Pasha betul-betul sayangkan Darwina. Harap mama faham,” kata Nik Pasha. Berharap mama dapat menerima Darwina. 

“Apa mama boleh buat, Pasha? Hati Pasha bukan hati mama nak dipaksa-paksa. Mama faham.” Lemah suara Maria agak terasa dengan kata-kata anaknya. Kenapa susah sangat anaknya itu hendak menerima Adelia? Tiada cacat cela menantunya itu malah kini sudah bertambah cantik. 

Sebenarnya terlalu cantik! Maria saban hari risau jika Adelia terpaut hati dengan lelaki lain. Mana tidaknya menantunya itu sentiasa menjadi perhatian lelaki. Nik Pasha betul-betul menolak tuah.

“Thanks, ma! Sayang.... mama sangat-sangat..” Nik Pasha tersenyum. Lega permintaannya dapat diterima oleh mama. Selesai satu perkara.

“Sayang sangat konon tapi tak pernah sekali pun balik rumah sepanjang belajar kat overseas. Nasib ada Yaya temankan mama kat sini. Nak harapkan Aril duduk di hostel pula,” rajuk Maria dengan anak lelakinya itu yang tidak pernah sekali pun pulang ke rumah sepanjang melanjutkan pelajaran di luar negara. Ada saja alasan diberi jika cuti semester universiti bermula. Ada program universitilah! Nak bekerja sambilanlah! Nak berjalan-jalan dengan kawankawanlah! Tetapi, Maria tahu itu hanyalah alasan Nik Pasha kerana tidak mahu berjumpa dengan Adelia. Tidak tahan menanggung rindu, sudahnya dia dan suami yang pergi menemui Nik Pasha di sana.

“Mama, Pasha kan dah balik. Tak payahlah nak harapkan orang lain lagi.” Nik Pasha sudah jemu asyik dijamu dengan nama perempuan yang tidak disukai itu. Sudah-sudahlah mama! Naik bosan pula Nik Pasha dibuatnya.

“Kalau pun Yaya bukan menantu mama lagi, dia tetap anak perempuan mama forever, okey! Pasha harus terima tu!” Bercerai bukan penghalang kasih sayangnya terhadap Adelia.

“Suka hati mamalah. Janji Pasha tak ada kena-mengena dengan perempuan tu sudah,” balas Nik Pasha bersahaja. Boring asyik bercerita tentang perempuan itu sedari tadi. Tak ada topik lain ke? Pasal Darwina mama langsung tidak bertanya apa pun. Kecil hati Nik Pasha dengan mama. Nanti-nantilah, biar mama sejuk dahulu baru berbincang serius tentang Darwina.

“Eh, lambat betul Yaya ni? Selalu tak adalah macam ni.!” Baru dia teringatkan Adelia yang masih belum sampai lagi. Perasaan risau bertandang dalam hati dengan tiba-tiba. Jarang Adelia lambat bila berjanji. Mungkin ada hal? fikir Maria. Nik Pasha mencebik apabila melihat mama begitu risaukan perempuan yang buat dia meluat nak menyebut namanya. Huh! Tiba-tiba Nik Airil datang ke dapur dengan wajah yang tersengih-sengih.

“Dak akak call Aril tadi cakap lambat sikit, ma! Kereta dak akak hantar servis ingat cepat siap tapi lambat pula kena tukar alat ganti baru. Last sekali dak akak cakap nak balik dengan motor aje,” beritahu Nik Airil tentang Adelia yang lambat sampai. 

Percakapan Nik Airil yang memanggil Adelia dak akak nampak begitu mesra. Meluat pula Nik Pasha dengan pengaruh Adelia yang begitu kuat di dalam rumah itu. 

“Oh, ya ke? Risau betul mama dak akak kenapa tak sampai-sampai lagi. Pergi servis kereta rupanya.” Maria lega mendengar kata-kata Nik Airil. Siapa tak sayang menantu yang dianggap macam anak perempuan sendiri?

No comments:

Post a Comment