DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 5 March 2015

Di Penghujung Cintaku... Adelia - Bab 9

MOTOSIKAL Kawasaki ER6N dipandu laju.  Jentera moden itu, dengan laju memintas dan mencilok kenderaan yang berada di jalan raya. Motosikal itu tidak mengeluarkan banyak bunyi. Berdesup saja! Jentera moden itu dikendalikan dengan penuh kecekapan. Bukan calang-calang orang yang membawa motosikal itu pasti telah lama berkecimpung di dalam arena permotoran. Sesiapa pun tidak akan menyangka penunggang motosikal berkuasa 650cc itu ialah seorang perempuan. Malah, di sebalik helmet full face, dia sebenarnya memakai tudung.

Dengan penuh bergaya penunggang mengendalikan jentera moden itu ke kiri dan ke kanan. Itulah Adelia Nur Qaireen! Dia bukan lagi budak manja yang cepat menggelabah dan melatah. Peredaran masa telah membuatkan dia berubah seiring dengan suasana persekitaran. Berubah untuk kebaikan. Dia kini menjadi seorang yang lebih tenang dan matang. 

Berderum motosikalnya memasuki pekarangan rumah mertuanya. Perlahan Adelia meletakkan motosikalnya di hadapan rumah. Helmet full face ditanggal dan diletakkan di tempat tangki minyak. Sarung tangan kulit yang tersarung di tangan ditanggalkan juga. Serentak itu, dia turun dari motosikal dan bersedia untuk masuk ke dalam rumah. 

Di hadapan pintu, Adelia nampak sepasang kasut bertumit tinggi. Siapa punya agaknya? Nak kata mama tak mungkin. Adelia lantas berlalu masuk. Matanya pantas pula melihat sekeliling. Di ruang tamu tiada. Mungkin di ruang makan agaknya? Lantas kakinya diayun ke arah ruang makan. Kedengaran suara orang berbual diselang-selikan dengan gelak ketawa. Amboi! Happeningnya! Jealous, ni! 

Adelia muncul di ruang makan dengan senyuman manis. Orang yang lama dia tidak jumpa memandangnya dengan muka berkerut-kerut. Silap makan apa ni kat atas flight? Macam orang sakit perut dia tengok! Adelia tersengih, menampakkan giginya yang putih bersih bak mutiara itu.

Adelia tahu Nik Pasha sekarang ni tengah berusaha untuk mengenali siapa dirinya kini. Dia dah banyak berubah. Gemuk? Dia dah kuruslah! Mama yang melihat, tersengih lalu datang dekat dengannya dan terus memeluk kemas. Macam dia pula yang baru pulang dari luar negara. Apalah mama ni! Jealous pula Nik Pasha nanti.

“Yaya ni buat mama risaulah. Cakap nak balik awal. Sekarang Yaya yang paling lambat.” Maria cubit pipi Adelia dengan geram. Adelia mengaduh sakit dengan manjanya. Terpinga-pinga Nik Pasha dengan kelakuan mereka berdua. Siapa ni? Yaya? Adelia? Benarkah? Tak percaya!

“Sorry, mama! Kereta tak siap lagi, ada yang perlu diganti barang sikit. Itu yang lambat,” beritahu Adelia sambil memeluk bahu ibu mertuanya dengan mesra. Kehadiran Nik Pasha dia buat selamba. Tak hairan pun! Bukan Justin Bieber yang datang. Kalau Justin Bieber yang cute tu tak apalah juga. Perempuan di sebelah Nik Pasha yang kononnya cantik itu dia sedekahkan senyuman. Lagi tak hairan! Kehadiran Nik Pasha langsung tidak berbekas dalam hatinya lagi. Selamba Adelia menapak ke meja makan dan terus duduk berdepan dengan Nik Airil dan di sebelah mamanya. Lauk pauk yang terhidang di meja makan dipandang dengan wajah ceria. Semuanya kelihatan sedap di matanya. Hm.. yummy!

“Papa, cepatlah baca doa makan. Lapar ni..” Manja betul Adelia menyuruh Nik Nazrin membaca doa makan. Nik Pasha yang masih tidak lepas memandang perempuan di hadapannya kini baru sedar itu ialah Adelia. Jauh tersasar apa yang difikirkan tentang perempuan itu tadi. Berubah habis budak Hippo ni! Sudah kurus dan yang paling berubah Adelia sekarang telah berhijab. Tudung yang dipakai, nampak susah aje nak pakai, berbelit-belit. Tapi.. cantik.. Nik Pasha banyak berdiam diri tidak seperti tadi sebelum kehadiran Adelia. Dia yang banyak bercerita tentang pengalamannya belajar di luar negara.

“Ini Darwina, special girlfriend, Pasha!” Mama memperkenalkan Darwina kepada Adelia dengan senyuman manis. Nik Pasha yang melihat senyuman mamanya tahu mama sedang menyindir akan dirinya apabila menyebut perkataan special girlfriend. Adelia pula kelihatan ceria siap tersengih-sengih dengan Darwina.

“Hai, saya Adelia.” Adelia memperkenalkan dirinya dengan Darwina.

“Adelia.. cantik nama tu,” balas Darwina ramah.

“Eh, nama awak pun cantik juga. Darwina, macam orangnya.” Adelia puji melambung dengan Darwina. Tak ada niat menyindir pun, ikhlas tau! Namun, pada perdengaran telinga Nik Pasha, ia kedengaran begitu pedas.

“Pasha cakap dia dua beradik aje. Adelia ni siapa, ya?” soal Darwina ingin tahu. Nampak mesra siap panggil mama dan papa. Darwina sebenarnya cemburu melihat kecantikan Adelia. Walaupun berhijab Adelia masih tetap nampak cantik malah jelita. Terlalu jelita. Pemakaian tudung yang trendy siap lilit-lilit itu membuatkan Adelia kelihatan terlalu cantik jika nak dibandingkan dengan dirinya yang tidak bertudung. Risau jika Nik Pasha akan tertarik. Tidak mustahil kerana dilihatnya kekasih hatinya tidak berkelip melihat Adelia sedari tadi.

“Ini anak angkat parents I.” Cepat Nik Pasha mencelah. Dia tidak mahu sesiapa pun memberitahu kebenaran yang Adelia ialah isterinya yang sebenarnya. Dia tidak mahu Darwina tahu. Belum masanya lagi. Semua pandang Nik Pasha.

“Kami sayang macam anak sendiri,” celah Nik Nazrin yang terusik dengan kata-kata anak lelaki sulungnya. Pasha! Pasha! Nik Nazrin pandang Nik Pasha dengan pandangan tidak puas hati. Nanti bila Darwina balik, banyak perkara yang hendak dibincangkan dengan Nik Pasha.

“Masih single ke?” soal Darwina macam tidak puas hati. Nik Pasha yang sedang minum nasib baik tidak tersedak. Sempat dia tahan. Kalau tidak, habis air tersembur ke muka mama. Darwina dia pandang pelik. Apa pasal ramah sangat ni? Siap macam nak temu duga calon menantu bertanya masih single atau tidak? Adelia dilihatnya senyum memanjang dengan pertanyaan Darwina. Tenang saja wajah Adelia pada pandangan matanya lantas hati kecilnya tercuit sesuatu.
 

“Saya dah bersuami, Darwina. Dah enam tahun dah berkahwin.” Bersahaja Adelia berkata. Nik Pasha membulatkan mata terkejut dengan kenyataan Adelia. Nasib baik ketika Adelia bersuara dia tidak minum air atau makan, kalau tidak sudah tentu tersembur ke muka mama. Nik Pasha gelisah. Habislah jika Adelia beritahu Darwina tentang status mereka. Ish, budak ni tak habis-habis nak membalas dendam. Ingatkan dah berubah. Benci..

“Eh, ya ke? Awalnya kahwin.” Darwina tidak percaya. Kalau Adelia sudah berkahwin, dia tidak perlu takut Nik Pasha mungkin terpikat dengan Adelia. Status telah berkahwin penutup jalan setiap lelaki jika teringin mencuba memikat perempuan itu. Hati Darwina lega yang teramat. Risau juga apabila melihat kecantikan Adelia yang bisa mencairkan hati mana-mana lelaki yang melihatnya. Tergugat!

“Dah jodoh terima aje la,” ujar Adelia agak sinis kedengaran di telinga Nik Pasha.

“Suami mana? Tak ikut sekali?” Darwina tidak habis-habis bertanya.

Nik Pasha berpeluh sakan. Dia kini berada di red zone. Danger!

“Dia baru balik dari abroad. Malas nak buat dia penat. Bagi dia rehat puas-puas.” Adelia siap menjeling Nik Pasha yang semakin gelisah. Ni ha.. kat sebelah awak tu! Nak aje Adelia memberitahu siapa suaminya tetapi Adelia tahu perkara nikah kahwin mereka bukanlah seperti pasangan yang lain berkahwin kerana cinta. Biarlah Nik Pasha yang memulakan segalanya. Jika berakhirnya perkahwinan mereka, Adelia sudah lama reda.

“Okey, sesi suai kenal karang-karang aje la. Aril dah lapor ni. Papa, bacakan doa makan please..” Nik Airil mencelah. Kasihan pula melihat abangnya yang dah macam cacing kepanasan. Takut sangat rahsia bocor. Geram tetapi dengan suasana tegang di meja makan seperti ini, Nik Airil menjadi malas. Makanan sudahlah sedap belaka. Kalau rahsia abang bocor di meja makan, tidak pasal-pasal berterbangan semua pinggan mangkuk pula karang! Melepas nak makan makanan sedap yang sudah dihidangkan cantik di atas meja. Kecur air liur melihat hidangan di atas meja. Makan nombor satu, gaduh later-later ya!

“Jemput makan, Darwina. Ini semua makanan kesukaan Pasha. Yalah, dah lama benar Pasha tak balik Malaysia, auntie masaklah apa yang Pasha suka.” Maria menjemput Darwina makan dengan senyuman manis. Nampak plastik tak? Adelia yang pandang mama tersengih. Lucu sangat kerana dia tahu mama sedang berlakon sakan. Di depan tetamu takkan nak dibalun si mangkuk ayun ini pula.

“Pasha suka ketam cili tapi Wina tak suka pedas-pedas,” ujar Darwina sambil mengambil ketam dan diletakkan ke atas pinggan Nik Pasha. Sungguh memahami apa yang Nik Pasha suka dan tidak suka. Adelia hanya sekadar memandang. Maria pandang Adelia. Nik Airil dan Nik Nazrin pula pandang mama dan Adelia. Kemudian pandang Nik Pasha dan Darwina. Dah jadi acara pandang memandang pula. Nik Pasha pula cuba kontrol diri sebaik mungkin. Acara makan-makan berlangsung dengan suasana perlahan tidak serancak sebelum kehadiran Adelia. Ada malaikat lalu ke?

NIK Pasha dan Darwina berada di ruang tamu sedang berbual sambil mengopi. Kopi buatan Adelia yang kaw punya. Nik Pasha kelihatan begitu asyik mengopi sambil melayan Darwina dengan mesra. Maria sempat meninjau Nik Pasha dan Darwina sebentar sewaktu mengemas meja makan. Dia susah hati melihat Nik Pasha dan Darwina yang nampak tersangat rapat. Bercinta bagai nak rak. Isteri sendiri buat selamba aje! Betullah, isteri paksa tetapi isteri tetap isteri. Hormatlah perasaan isteri sikit. Maria rasa nak sekeh aje kepala Nik
Pasha yang lembab tu. Harap aje genius! Huh, geram betul dengan anak lelakinya yang seorang itu. 

“Ma, apa terhendap-hendap tu?” Tangan Adelia menepuk lembut bahu mamanya. Adelia tahu mama sedang mengendap pasangan uda dan dara itu.

“Pasha suka ketam cili!” ajuk Adelia dalam hati. Meluat! Tapi, dalam hati aje la! Siapalah dia dalam hati Nik Pasha dari dulu sampai sekarang? Nobody! Nobody! Nobody! But you.. siap nyanyi lagu Wonder Girl lagi. Hei, melalut betullah kau ni! Terasa ke? Entah, lain kali kena injek Lignocaine dulu kot baru kebas hatinya daripada terasa perasaan yang entah apa-apa. Kan dah terkeluar jagoan perubatannya. Teringat pula kat wad. Berapa pesakit agaknya sekarang?

“Eh, Yaya! Terkejut mama.. ayat klise.” Sempat mama melawak walaupun sebenarnya mama memang terkejut dengan Adelia yang tiba-tiba berada di sisi. Adelia sengih nakal.

“Mama, sudahlah tu! Bagilah chance kat dia orang nak loving.” Adelia sengih. Kebas betul hatinya. Seperti tiada perasaan melihat suami sibuk bercinta dengan perempuan lain. Nasib.. hm.. Selepas ini, dia rasa dia sudah patut fikirkan tentang dirinya pula. Takkan selamanya nak macam ni? Mama? Harap mama fahamlah. Dah anak mama tak nak kat dia, takkan nak tersua-sua lagi kut! Enam tahun kut! Lama tu.. orang lain ada yang dah bercerai kahwin balik dalam tempoh enam tahun tetapi dia masih tetap setia. Mungkin kerana mama. Tidak sampai hati atau hatinya yang tiada, itu yang tak sampai-sampai. Lawak! Lawak! Okay, now serious..

“Apa perasaan Yaya sekarang?” soal Maria sambil menarik Adelia ke dapur. Menantu kesayangan didudukkan di kerusi. Kepala Adelia diusap berkali-kali. Siap mencium ubun-ubun kepala menantunya itu.  Adelia sengih. Dia suka dimanjakan begitu. Siap membalas pelukan mama dengan erat. Sambil peluk mama  Adelia berkata..

“Hm.. tak rasa apa pun! Macam orang asing,” luah Adelia jujur. Hati dan fikirannya tidak tahu nak mentafsir perasaan apa yang sedang melanda dirinya kini? Terlalu lama hidup bersendirian walaupun sudah enam tahun menyandang gelaran isteri. Hidupnya berjalan bagai orang bujang. Nak bereaksi sebagai isteri? Sungguh dia tidak tahu.

No comments:

Post a Comment