DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 4 March 2015

Si Pencuri Hati - Bab 8

AZAN subuh yang berkumandang mengejutkan Damia daripada lena. Darwisy sudah tidak ada di sisinya. Selesai membersihkan diri dan bersolat, Damia mencari Darwisy. Tahulah kini dirinya telah ditinggalkan. Damia menangisi nasib yang menimpa dirinya. Dia kesal dengan perbuatan Darwisy. Darwisy perlakukan dirinya bagaikan sampah. Sudahlah mama membuangnya. Kini suaminya juga begitu setelah ‘menakluki’ dirinya.

“Aku harus kuat! Aku tidak boleh menangisi nasib yang sudah tertulis untukku,” kata Damia kepada dirinya. Damia menuju ke meja solek dan merapikan dirinya. Terpandang Damia akan coretan yang ditujukan kepadanya dan sekeping kad debit. Damia membaca surat tersebut...

Assalamulaikum...

Ketika Mia sedar daripada tidur, abang sudah tidak ada lagi di sisi Mia. Maafkan abang. Bukan niat abang hendak meninggalkan Mia. Abang perlu pulang segera ke Kuala Lumpur kerana moyang abang jatuh sakit. Abang janji akan menjemput Mia setelah urusan abang selesai. Janganlah Mia fikir abang ingin melarikan diri. Jika Mia tidak mempercayai kata-kata abang, Mia boleh datang ke alamat ini mencari abang. Nombor telefon abang juga sudah abang setting dalam telefon bimbit Mia. Abang juga tinggalkan kad bank abang untuk kemudahan Mia sewaktu abang tiada.

Untuk pengetahuan Mia, abang reda dengan pernikahan kita ini. Mungkin Mia sudah tertulis sebagai pasangan abang di Loh Mahfuz sejak azali lagi. Abang juga ingin mengambil kesempatan memohon maaf jika kata-kata abang sebelum ini menyakiti hati dan perasaan Mia. Ingat... abang akan pulang menjemput Mia. Simpan alamat dan nombor telefon abang dengan baik. Jika abang tidak datang menjemput Mia, cari abang di rumah keluarga abang. Mungkin terdapat aral yang menghalang abang untuk berbuat demikian. Jaga diri dan jangan lupakan abang.

Suamimu,
Darwisy.

Menitis air mata Damia sewaktu membaca coretan suaminya. Tidak disangka hati suaminya begitu mulia walaupun pada awalnya ada kata-kata Darwisy yang amat menjengkelkan hati.

“Mia akan tunggu kepulangan abang,” ujar Damia lirih. Hatinya tiba-tiba digamit rasa rindu yang bukan kepalang. Inikah yang dikatakan cinta? Teringat Damia akan perbualannya dengan Mak Long Anisah selepas beberapa jam dia sah menjadi isteri Darwisy...

“Kamu jangan cuba nak pedajalkan suami kamu! Nanti berdosa dan tak cium bau syurga,” pesan Mak Long Anisah dengan nada berbaur amaran.

Wah... hebat sungguh firasat mak long! Macam dia tahu-tahu aje aku nak pedajalkan laki aku malam ni, bisik hati Damia.

“Alah... Mak long! Entah-entah perangai lelaki tu sebiji macam dajal!” tingkah Damia.

“Hisy... tak baik kata suami macam tu! Walau macam mana pun tingkah lakunya, kamu sebagai isteri kena terima diri dia seadanya. Mungkin dia jodoh kamu yang terbaik yang dikirim oleh Allah, siapa tahu?” terang Mak Long Anisah.

Ya... Mak long, dia memang lelaki yang baik! Dia sanggup terima Mia seadanya walaupun wajah Mia ketika ini tidak secantik seperti biasa. Pak long, terima kasih kerana memilih jodoh yang terbaik buat Mia. Mia berjanji akan jadi isteri yang solehah dan sentiasa mentaati suami. 

Tersentuh hati Damia melihat bagaimana susah payahnya Pak Long Kamal menguruskan hal-hal berkaitan dengan pernikahannya dalam masa satu hari. Mujurlah Pak Long Kamalnya mempunyai ramai kenalan di Pejabat Agama. Jika tidak tentu keadaan menjadi rumit. Damia meneliti telefon bimbit.

“Alamak... bateri dah flat rupanya!” Bergegas Damia mencari charger telefon bimbitnya. Selepas menunggu  beberapa ketika, dia segera menghidupkan telefon bimbitnya. Ada dua missed calls daripada suaminya. Terdapat juga mesej daripada suaminya.

Mesej pertama:

Abang sekarang sudah sampai di Hentian Machap. Selepas solat subuh abang akan meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Mia dah jumpa surat dan Maybankard yang abang tinggalkan? Abang harap Mia guna duit yang abang tinggalkan buat Mia sebaik mungkin. Sekiranya abang tidak datang menjemput Mia dalam tempoh seminggu, abang harap Mia dapat menemui abang di alamat yang telah abang berikan.

Mesej kedua:

Abang baru sahaja lepas solat. Sekejap lagi abang akan meneruskan perjalanan. Abang akan cuba pulang segera ke rumah pak long, Insya-Allah. Tunggu kedatangan abang. Doakan keselamatan abang ya! 

Tersenyum Damia membaca message yang dihantar oleh suaminya. Macam berkahwin dengan orang yang dicintai sahaja lagaknya, bisik hati Damia. Damia mengucup telefon bimbitnya. Seolah-olah kucupan itu ditujukan buat suaminya. Mudahnya aku terima dia dalam hidupku, gumam Damia. Mungkin cinta anugerah Allah ini lebih indah dan mengasyikkan. Walaupun kenal tidak sampai empat puluh lapan jam tapi kemanisannya begitu meresapi jiwa.


MAK LONG ANISAH pulang ke rumah seketika untuk melihat perjalanan hidup pengantin baru. Setibanya dia di pekarangan rumah, didapatinya Harrier milik Darwisy tiada di garaj. Hatinya mula berasa cuak. 

“Budak lelaki tu dah tinggalkan anak saudara aku ke? Beranilah dia buat macam tu... sampai lubang kubur aku kejar.” Begitulah tekad Mak Long Anisah. Kasih sayangnya sudah tertumpah ke atas Damia memandangkan dia tiada anak perempuan.

“Assalamualaikum.” Mak Long Anisah memberi salam.

“Waalaikumussalam,” jawab Damia menyambut kepulangan Mak Long Anisahnya. Dia juga menyambut huluran bekas makanan daripada Mak Long Anisahnya. 

“Mana suami Mia?” tanya Mak Long Anisah tanpa bertangguh.

“Darwisy terpaksa balik ke Kuala Lumpur, moyangnya sakit,” jelas Damia. Malu pula dia hendak membahasakan diri Darwisy... ‘abang’. Aku harus mengasah lidah aku memanggilnya abang supaya apabila bertemu nanti lidah aku tidak tergeliat, bisik hati Damia nakal.

“Mia yakin ke dia balik ke KL dan bukannya meninggalkan diri Mia di sini keseorangan?” tanya Mak Long Anisah untuk kepastian. Damia pantas mengangguk. 

“Darwisy ada tinggalkan surat yang mengandungi alamat dan nombor telefon rumah keluarganya. Dia juga ada tinggalkan kad banknya untuk kegunaan Mia. Darwisy pesan kalau dia tak datang dalam masa seminggu, dia suruh Mia cari dia di rumah keluarganya.”

“Baguslah macam tu. Mak long harap dia tidak mensia-siakan diri Mia. Rugi kalau dia lepaskan anak mak long yang jelita ni,” usik Mak Long Anisah. Damia hanya tersenggih mendengar pujian Mak Long Anisahnya.

“Kamu tu tukarlah nama panggilannya. Sakit telinga mak long dengar kamu panggil Darwisy... Darwisy...!!!  Cubalah panggil abang ke... sayang ke... darling ke... barulah nampak mesra sikit,” bebel Mak Long Anisah. Amboi... Mak long! Sudah terlebih nampak! desis Damia.

“Dia memang membahasakan dirinya abang. Tapi Mia rasa macam nak tergeliat aje lidah ni bila nak sebut perkataan abang,” terang Damia tersipu malu. 

“Hisy... apa pasal pula macam tu? Dah dia guna panggilan abang, kamu kena biasakanlah,” tegas Mak Long Anisah. 

“Mak long nak pergi semula ke chalet. Ingatkan tadi dia ada, itu yang mak long bawakan sarapan lebih. Mak long pergi dulu ya. Kunci pintu elok-elok,” pesan Mak Long Anisah.

“Baiklah mak long,” jawab Damia sambil mengangguk kepalanya.

Sewaktu Mak Long Anisah tiba di chalet, Pak Long Kamal sedang menjaga kaunter. Kelihatan di situ beberapa orang pelanggan sedang membuat pembayaran. Mungkin baru lepas sarapan, getus Mak Long Anisah. Mak Long Anisah menghampiri suaminya untuk mengambil alih tugasnya.

“Apa cerita budak dua orang di rumah tu?” tanya Pak Long Kamal sebaik sahaja Mak Long Anisah melabuhkan punggungnya.

“Emmm... Darwisy dah balik KL. Katanya moyang dia sakit. Entahkan betul entahkan tidak, saya pun tak tahu abang,” keluh Mak Long Anisah.

“Mungkin betullah tu. Kalau dia cuba buat perangai, tahulah kat mana abang nak cari budak tu,” tegas Pak Long Kamal. Dalam pada masa yang sama juga dia runsing jika Darwisy enggan bertanggungjawab. Maklumlah bernikah pun terpaksa.

“Darwisy ada pesan dekat Mia, dia kata jika dia tak balik dalam masa seminggu, dia suruh Mia cari kat rumah keluarganya,” ujar Mak Long Anisah. “Tapi saya risaulah abang, manalah tahu alamat dan nombor telefon yang diberi adalah palsu.”

“Dahlah awak tak payah runsing sangat. Naik darah tinggi awak tu nanti, susah pula,” sakat Pak Long Kamal untuk menghilangkan resah dalam hati isterinya. Dia yakin Darwisy tidak berbohong. Lagi pula dia ada simpan salinan kad pengenalan Darwisy. Tahulah dia bagaimana caranya hendak mengajar Darwisy sekiranya lelaki itu menipu. Mak Long Anisah menjeling tajam pada suaminya. 

“Hisy... jangan jeling-jeling macam tu! Tergoda abang nanti. Siapa yang susah? Awak juga Anisah oii...!!! Nanti tak ada orang yang nak jaga kaunter ni,” giat Pak Long Kamal sambil berbisik. 

“Eeii... orang tua ni! Tak padan dengan rumah kata pergi-pergi... kubur kata mari-mari... ada hati nak merenyam lagi. Sedarlah sikit yang awak tu dah lama ‘pencen’!” marah Mak Long Anisah sambil mencubit pinggang suaminya.

“Mana awak tahu saya dah ‘pencen’? Cuba awak sain borang untuk saya nikah lagi satu. Kita tengok sama ada saya dah ‘pencen’ ke belum,” usik Pak Long Kamal lagi. 

“Jangan awak terperanjat jika madu awak mengandungkan kembar empat sekali gus,” ujar Pak Long Kamal sambil ketawa kelucuan dengan kata-katanya. Tiada niat dia hendak menduakan isteri kesayangannya itu. Hidup matinya biarlah bersama.

Mak Long Anisah ketap bibir menahan rasa geram yang teramat sangat. Ada hati nak kahwin lain, gerutu Mak Long Anisah.

“Abang jangan cuba-cuba hendak menduakan saya. Nanti tak cukup tanah satu Mersing abang nak lari,” marah Mak Long Anisah. Mukanya juga sudah masam. 

“Janganlah buat muka macam tu. Lari semua pelanggan kita,” pujuk Pak Long Kamal sambil memeluk mesra bahu isterinya. “Abang bergurau sahajalah. Tak mungkin abang buat isteri abang macam tu.” Tanpa segansilu dia mengucup pipi isterinya. 

“Hisy... abang ni, tak tahu malu langsung! Mujur tak ada orang. Tentu mereka akan kata kita berdua ni, orang tua yang tak sedar diri,” usik Mak Long Anisah. Dia bahagia dengan layanan mesra suaminya itu.

“Ala... buat apanya nak malu? Kita bukannya buat maksiat. Lagipun... tak semestinya orang tua seperti kita tak boleh nak beromantik,” giat Pak Long Kamal. Pipi isterinya dicuit.

Muka Mak Long Anisah sudah berona merah menahan malu.

“Kalaulah ada orang sanggup nak jaga chalet kita barang seminggu dua, nak juga saya bawa awak pergi berbulan madu buat kali kedua. Manalah tahu boleh dapat anak lagi,” gurau Pak Long Kamal.

“Abang ni buang tebiat ke? Dah tua ganyut masih ada hati lagi nak pergi berbulan madu,” senda Mak Long Anisah.

“Kalau awak nak tahu Anisah sayang... saya ni macam kelapa. Makin tua makin pekat santannya.” Berdekahdekah ketawa Pak Long Kamal sesudah habis berkata-kata. 

“Saya ingat abang perlu jumpa doktor sakit jiwalah. Orang lain yang kahwin, dia pula yang terasa seperti pengantin baru.”

“Kita jumpa sama-sama ya,” usik Pak Long Kamal lagi sambil mengenyit mata. Usai berkata-kata Pak Long Kamal berlalu melihat pekerjanya menjalankan tugas. 

Menggeleng kepala Mak Long Anisah dengan ragam suaminya. Namun semua itu amat membahagiakan dirinya. Terasa seperti baru semalam sahaja mereka diijabkabulkan. Kasih sayang suaminya tidak pernah luak walaupun sedikit. 


HAMPIR dua minggu Damia menunggu kedatangan Darwisy namun lelaki itu tidak kunjung tiba. Beratus kali juga dia cuba menghubungi telefon bimbit suaminya tetapi hanya disambut oleh suara operator. Hendak menghubungi rumah keluarga suaminya, dia tidak punya keberanian. Damia mengambil keputusan pulang ke rumah neneknya sebelum berangkat ke UK untuk menamatkan pengajian yang masih berbaki satu semester lagi. Pada Pak Long Kamal sudah dititipkan pesan supaya memberi alamat neneknya kepada Darwisy jika lelaki itu datang mencarinya.

Rindu... itulah yang Damia rasakan saat ini. Belum pernah dia mengingati dan merindui seorang lelaki seperti ini selain arwah papanya. Aduh... parah kalau berterusan begini! bisik hati Damia.

“Jauh termenung cucu nenek! Ingatkan orang yang tersayang ke?” gurau Puan Saadiah. Tangannya membelai lembut rambut Damia.

Dia baru sahaja mendapat tahu cucunya itu sudah bernikah setelah dipaksa oleh Kamal, anak lelakinya yang sulung. Pada mulanya dia agak marah juga dengan tindakan Kamal tetapi setelah mendengar penjelasan Kamal, dia reda. Cuma Karina sahaja yang belum mengetahui. Pasti mengamuk sakan menantunya itu apabila mendapat tahu anak gadis tunggalnya sudah menikah.

“Tak adalah, nek. Tak ingat pun kat dia,” dalih Damia. Suaranya sudah berentak sentimental. Mengingati Darwisy membuatkan hatinya sebak. Dia tidak tahu penyakit apa yang sedang menular dalam dirinya. Padahal Darwisy baru sahaja dikenalinya.

“Bila Sayang nak bagi tahu mama tentang pernikahan ni?” tanya Puan Saadiah. Dia tidak mahu cucu kesayangannya itu bersedih. Dia tahu Damia sedang bertarung dengan perasaannya. 

“Sayang tak bersedia lagilah, nek. Mungkin Sayang akan bersemuka dengan mama selepas Sayang berbincang dengan Darwisy nanti,” jelas Damia. Dia perlukan Darwisy di sisi ketika menerangkan duduk perkara sebenar pada mamanya nanti. Sekurang-kurangnya jika mamanya mengamuk, Darwisy ada untuk melindungi dirinya. 

“Emmm... bagus juga cadangan kamu. Bolehlah mama kamu berkenalan dengan menantunya sekali. Nenek pun tak sabar hendak berkenalan dengan suami kamu.” Damia mengeluh mendengar luahan neneknya.

Nampak gayanya terpaksalah dia menjejaki Darwisy di rumah mentuanya. Mujurlah rumah mereka di kawasan yang sama. 

“Tak baik mengeluh,” tegur Puan Saadiah. “Dah... mari kita masuk ke dalam, sekejap lagi nak masuk waktu maghrib.” Puan Saadiah menghulurkan tangannya. 

Damia menyambut huluran tangan neneknya dan mereka bergandingan masuk ke dalam rumah. Setelah selesai makan malam, Damia mengambil angin di luar rumah. Kelihatan bapa saudaranya baru pulang dari pejabat.

Khairil menghampiri Damia yang sedang melayan perasaan di buaian.

“Kenapa monyok muka ni? Macam orang baru mati laki aje,” gurau Khairil.

“Tak baiklah Ucu ni! Ada ke patut doakan suami Sayang mati,” marah Damia. Mulutnya sudah muncung sedepa.

“Bila masa Ucu doakan suami Sayang mati? Ucu cuma kata macam mati laki. Kan... berbeza keterangan ayat tu!”

“Hisy... malaslah nak layan Ucu ni! Buang karen aje!”

“Malas layan sudah! Ada Ucu kisah?” sakat Khairil bersama tawa di bibir.

Damia menampar lembut bahu bapa saudaranya. Dia turut tertawa.

“Bila Sayang nak ke KL?” tanya Khairil. Damia ada meminta pertolongannya supaya menghantar ke rumah mentuanya.

“Sayang bercadang hari Ahad ni. Khamis minggu depan, Sayang dah nak balik UK.”

“Maknanya hari Ahad ni kita terus ke rumah keluarga suami Sayang la?” Melihat anggukan Damia, Khairil bertanya lagi. “Sayang tak nak balik rumah mama Sayang dulu ke?”

“Emmm... mungkin Sayang akan pergi bersama Darwisy,” terang Damia tenang. Memang itu hajatnya. Sebelum pulang ke UK dia akan memperkenalkan Darwisy kepada mamanya. Entah bagaimanalah penerimaan mamanya nanti?

“Baguslah macam tu,” ujar Khairil sambil menepuk lembut bahu Damia.

PAGI Ahad yang damai, Damia dan Khairil menuju ke rumah keluarga Darwisy yang terletak di Damasara. Di situ juga letaknya rumah keluarga Damia. Sewaktu mereka tiba, pekarangan rumah keluarga Darwisy agak sibuk. 

Seperti ada keraian, bisik hati Damia. Damia menuju pantas ke dalam kawasan rumah tersebut untuk mengetahui apa yang sedang berlaku. Namun apa yang terhidang di depan mata, menghancur lumat perasaannya. Hati Damia bagai disiat-siat melihat apa yang sedang berlangsung.

Damia nekad menghapuskan bayang-bayang Darwisy dalam kamus hidupnya. Dengan hati yang lara, Damia meninggalkan bumi Malaysia bersama perasaan dendam dan benci yang membara.

No comments:

Post a Comment