DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 5 March 2015

Di Penghujung Cintaku... Adelia - Bab 2

PASHA, nanti pergi sekolah dengan Yaya ya? Yaya baru mula bersekolah hari ni. Tak tahu apa-apa lagi. Okey, anak mama?” ujar Maria sewaktu mereka semua sedang bersarapan pagi. Adelia yang sedang makan roti bakar hampir tercekik mendengar kata-kata Auntie Maria. Oh, no! Habislah aku..

Nik Pasha yang sedang makan cereal pula pantas mendongak dan melemparkan pandangan tajam ke arah Adelia. Dengan pantas pula Adelia menundukkan muka. Kecut perut Adelia melihat pandangan tajam Nik Pasha. Alamak! Dia ingat aku suka sangat ke? Nak pergi sekolah dengan budak setan ni? Sorry..

“Dia dah besar, kenapa nak Pasha temankan? Bukan budak kecik! Dia kan boleh pergi sendiri.” Nik Pasha tidak menyukai cadangan daripada mamanya. Dia nak bawa anak Hippo ni naik motor pergi ke sekolah? Sorry.. 

“Eh, auntie! Tak payah susah-susah, Yaya boleh pergi sendiri dengan bas,” tolak Adelia. Dia tahu Nik Pasha tidak suka dengan cadangan Auntie Maria supaya membawanya ke sekolah. Dah terang lagikan bersuluh, lelaki di hadapannya tidak menyukainya sejak awal lagi. Tempah bala kalau pergi dengan lelaki itu. Wajah cemberut Nik Pasha amat menggerunkan. Adelia tidak mahu mencari pasal. 

“Yaya kan first time mula bersekolah di sini. Banyak tak tahu lagi. Nak naik bas pun tak tahu yang mana lagi kan? Biarlah Pasha yang bawa Yaya pergi sekolah. Lepas Yaya dah tahu bas apa nak naik nanti, pergilah sendiri, okey?” ujar Maria. Dia tidak mahu Adelia menghadapi kesulitan memulakan persekolahan di tempat baru. Dia terlalu sayangkan anak itu.

“Pasha tolong mama, ya?” Kata-kata mama bukan meminta pertolongan tetapi wajib ditunaikan. Bukan Nik Pasha tidak tahu perangai mama. Nanti sampai ke tahun depan pun leteran mama tak habis-habis. Nak tak nak dia terpaksa juga menumpangkan anak Hippo tak tahu malu ini ke sekolah. OMG!! Gosh!! Ranap motor aku! Kalau motor kapcai tak apalah juga, ini motorcross. Habis motor aku! rungut Nik Pasha tak habis-habis.

SEPERTI yang dijangka, Adelia ditinggalkan di perhentian bas berhampiran rumah mereka. Nik Pasha tidak sanggup membawa Adelia yang dia rasakan akan merosakkan reputasinya sebagai pelajar paling popular dan bijak di sekolah. Budak tu dahlah Bimbo! Hippo pula tu! Ish, jatuhlah sahamnya di sekolah nanti, gerutu Nik Pasha tanpa perasaan kasihan sedikit pun. Adelia ditinggalkan begitu sahaja di perhentian bas. Siap dibentak gadis itu supaya turun dengan segera dari motosikalnya. Adelia terbatuk-batuk tertelan asap dari motosikal Nik Pasha. Kasihan..

Hampir menitis air mata Adelia apabila ditinggalkan bersendirian di perhentian bas. Dengan kasar Nik Pasha menyuruhnya turun dari motosikal. Dengan perasaan tidak bersalah, Nik Pasha meninggalkan Adelia di perhentian bas begitu saja. Macam kucing kurap ditinggalkan. Adelia terasa sangat terhina dengan sikap Nik Pasha. Sekurang-kurangnya beritahulah bas apa nak naik? Ini, ditinggalkan begitu saja. Adelia mati akal di perhentian bas. Tak tahu nak naik bas apa? Matanya berkaca-kaca. 


SUDAHNYA, Adelia sampai lewat ke sekolah kerana dia tidak biasa dengan tempat baru. Puas dia bertanya dengan orang untuk sampai ke sekolah barunya. Bertembung dengan Nik Pasha di depan bilik guru membuatkan Adelia cuma memandang dan Nik Pasha pula bersahaja melepasinya seperti tidak pernah mengenalinya. Pandang sebelah mata pun tidak. Buat Adelia sebal. Huh, berlagak betul! Dia tak hairanlah! Kalau dapat dia kunyah dah lama dia kunyah macam chewing gum! gumam Adelia geram.

Sampai lewat ke sekolah membuatkan dirinya haru-biru. Apabila dalam keadaan tidak bersedia memang tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Nasib baik ada seorang gadis berkaca mata tebal menolongnya berjumpa dengan pengetua. Karina budak kaca mata tebal. Mereka akhirnya menjadi teman baik dan membuatkan mereka lebih akrab apabila mereka dapat bersama di dalam satu kelas. Sejak itu, Adelia menjalani hidup baru tanpa ayah di sisi dan keluarga baru yang ada Auntie Maria yang penyayang, Uncle Nik yang baik hati yang selalu menghadiahkannya coklat seakan-akan menggantikan ayah, adik lelaki yang comel tetapi garang si Airil perangainya lebih kurang sama dengan Nik Pasha tetapi Nik Pasha lagi teruk memang tidak dapat diubati penyakitnya yang suka menyakitkan hatinya tidak kira masa. Asal bertemu ada saja perkara nak menyakiti hatinya. Lelaki berdarah sejuk tetapi bikin hatinya panas selalu.

“EH, Hippo! Kau yang habiskan kek coklat dalam peti ais?” tuduh Nik Pasha sebaik saja membuka pintu bilik Adelia yang ketika itu sedang menyudahkan kerja rumah yang diberikan oleh gurunya. Adelia berpaling dengan muka tidak puas hati. Perangai Nik Pasha yang selalu membuka pintu biliknya sesuka hati hati memang buat Adelia bengang tak hengat. Memang kulit muka Nik Pasha tebal mengalahkan kulit buaya. Nik Pasha tidak ada rasa malu sedikit pun selamba saja membuka pintu bilik anak dara sesuka hati. Kalaulah dia sedang berkemban waktu itu tak ke parah? Tak pun tengah menyalin baju ke? Langsung tiada perasaan hormat. Nasib setakat ini belum pernah terjadi. Adelia benar-benar tidak berpuas hati. Lelaki ini harus diberi ceramah tentang adab sopan.

“Aku yang habiskan! Kenapa? Tak puas hati?” Dengan memek muka mengejek, Adelia hanya tersenyum sinis. Sebenarnya, yang menghabiskan kek coklat itu ialah Airil. Adelia terserempak Airil di dapur sedang enak menghabiskan kek coklat buatan Auntie Maria. Adelia pun sebenarnya terliur juga dengan kek coklat itu tetapi dia telah berjanji kepada dirinya untuk berdiet. Dia nekad untuk menjadi kurus. Gelaran Hippo yang selalu Nik Pasha
bahasakan kepadanya menjadikan dirinya nekad untuk tidak lagi digelar Hippo. Sebenarnya, dia bukan gemuk sangat pun.  Chubby sikit aje! Hehehe..

“Dasar Hippo! Pantang nampak benda berlemak habis semua disapunya. Orang lain pun nak makan juga!” marah Nik Pasha. Dia sebenarnya bukan nakkan sangat kek coklat itu cuma sengaja nak menyakitkan hati Adelia kerana itu perkara wajib yang perlu dilakukannya dalam satu hari. 

“Dah, misi nak sakitkan hati aku hari ini sangatlah berjaya. Aku sakit hati ni. Sekarang kau boleh berambus!” Dengan wajah selamba Adelia menghalau Nik Pasha keluar dari biliknya. Nik Pasha masih tidak puas hati melihat Adelia tidak tercuit dengan ejekannya. Tak boleh jadi ni! Sekurangkurangnya perempuan itu harus menangis atau marah kepadanya semula. Baru misi sakitkan hati Hippo gedempol berjaya. Ini selamba aje muka! Nik Pasha betul-betul tidak puas hati.

“Apa yang kau buat ni, Hippo? Kerja rumah ke? Kau bukannya pandai pun! Belajar macam mana pun tetap bodoh juga!” Nik Pasha ketawa mengejek. Dia tahu tahap pembelajaran Adelia lemah. Sengaja mencari gaduh lagi. Adelia pekakkan telinga. Konsentrasinya terganggu dengan kehadiran Nik Pasha yang menyakitkan hati. Adelia bangun, dia perlu melakukan sesuatu untuk menghalau Nik Pasha keluar dari biliknya.

Nik Pasha tersentak apabila Adelia tiba-tiba bangun dari kerusi. Mereka berhadapan kini. Nik Pasha melihat Adelia agak lain sekarang tetapi Nik Pasha tidak tahu apa kelainan itu? Adakah kerana rambut Adelia sudah panjang melepasi bahu menyebabkan rambutnya yang pendek lurus dulu menjadi curly di bahagian hujung rambut. Nampak kurus sedikit wajah Adelia. Nik Pasha seakan-akan terpaku.

“Aku malas nak melayan orang yang berlagak macam kau ni! Tak guna nak membalas, membazir tenaga aku aje.” Pantas kaki diayun ingin keluar dari bilik. Rimas dengan kehadiran Nik Pasha yang menyemakkan mata. Tak habis-habis nak menyakitkan hatinya. Apa yang malaun tu dapat pun dia tak tau. Trofi piala bola sepak Suzuki agaknya? Adelia melangkah tanpa mempedulikan Nik Pasha tetapi ditahan oleh Nik Pasha menyebabkan mereka berdua hampir berlaga. Tindakan drastik Nik Pasha membuatkan Adelia hilang imbangan diri dan terbalik ke belakang. Sebelum dia terbalik ke belakang Adelia sempat berpaut pada lengan Nik Pasha supaya tidak jatuh tetapi lain pula jadinya kerana mereka berdua jatuh bersama. Nik Pasha jatuh tertindih ke atas badan Adelia. Wajah mereka hampir bersentuhan. Mata bertentangan mata.

Klik!! Mereka berdua sama-sama memandang ke arah pintu. Maria sedang mengambil gambar kandid mereka yang lucu. Dari tadi lagi, Maria memerhati anak muda berdua itu bertengkar. Sekadar memerhati. Dia suka kalau Nik Pasha jatuh hati dengan Adelia kerana dia begitu berkenan dengan Adelia. Kalau boleh Adelia ingin dijadikan anak perempuannya selamanya. Dia tidak rela Adelia pergi jauh dan berkeluarga dengan orang lain. Pasti ikatan ibu dan anak perempuannya akan renggang.

“Sweetnya..” Maria mengambil gambar lagi. Nik Pasha bengang dengan telatah mamanya yang suka mengambil gambar kandid. Ada saja gambar kandid yang diambil secara curi-curi. Tengah makan. Tengah lepak depan TV. Tengah basuh motosikal. Tengah bergaduh dengan Adelia lagilah banyak. Siap dibingkaikan, digantung di dinding sebelah tangga naik ke tingkat atas. Macam-macam aksi. Kandid yang ini tak tahu pula mamanya nak buat apa? Jangan diletakkan ke dalam Internet sudah. Mama bukan boleh percaya. Nik Pasha harus berhati-hati selepas ini. 

“Mama.. apa ni? Pasha tak sukalah!” Nik Pasha cepat-cepat bangun. Dia terasa sangat janggal dengan insiden yang berlaku. Kalau tak sempat brek tadi, mungkin dah tercium Hippo tadi. Eii.. geli!! Yakk!! Tak rela.. tapi.. tadi.. baru pertama kali Nik Pasha sedar yang Adelia mempunyai mata yang cantik. Bulat dan irisnya bercahaya. Nampak comel. Eh, apa aku ni? Ingat! Dia tu Hippo! Bimbo! Nik Pasha mengingatkan diri supaya terus membenci.

“Auntie..” Cuma itu yang mampu Adelia berkata. Sebenarnya dia malu dengan apa yang berlaku. Mereka berdua hampir bercium. Oh, tidak! Wajah Adelia memerah. Darah panas menyerbu ke wajah. Adelia mengipas-ngipas wajahnya yang tiba-tiba panas. Tanpa disedari Nik Pasha melihat tingkah Adelia yang sedang blushing. Nampak comel sangat!

“Sweet betul auntie tengok kau orang berdua ni. Sepadan!” giat Maria dengan harapan Nik Pasha dan Adelia sama-sama jatuh hati. Harapan yang satu itu membuatkan Maria selalu melakukan sesuatu yang nakal supaya Nik Pasha akan terjatuh hati kepada Adelia. Hati Adelia? Maria tahu telah lama tersentuh dengan Nik Pasha. Dia pasti anak lelakinya itu mampu mencairkan hati mana-mana perempuan termasuk Adelia. Bukan nak berbangga tetapi anak lelakinya itu sememangnya tergolong di dalam golongan lelaki kacak. Siapa tidak akan jatuh hati kepada lelaki kacak, kan? Hehehe..

“Dengan Hippo ni? Hippo ni? Mintak simpang la, mama! Pasha tak sukalah..” Tak ada tapis, terus mengatakan kata-kata yang memedihkan hati Adelia. 

“Kau tak suka, aku seribu kali tak suka la. Macam bagus aje!” balas Adelia dengan cebikan menyampah. Jangan ingat dia diam tak tahu melawan. Dia akan berjuang sehabis-habisan melawan malaun mangkuk tingkat yang tak ada hati, tak ada jantung, tak ada limpa, yang mengutuk dan mengata dia sesuka hati. Ingat dia takut! Meh, ar.. lawan! Dia pun tahu marah juga! Mata dijegil garang ke arah Nik Pasha.

“Jangan tak suka.. tak suka.. tapi akhirnya tersuka pula. Mama kalau dapat tahu kau orang berdua tersuka each other terus mama suruh kau orang nikah aje. Baru kau orang tau!” seloroh Maria. Dalam diam kepalanya ligat mencari akal menyatukan budak berdua itu. Banyak idea nakal berlegarlegar di dalam kepala otak Maria. Cuma tinggal masa yang sesuai aje. Maria senyum lebar.

“Mama, jangan harap Pasha nak suka dengan Hippo gedempol ni! Sorry, okey! Dahlah mama, Pasha nak keluar!” Nik Pasha terus keluar malas nak melayan mama yang melalut ke laut. Sebelum keluar dari bilik, Nik Pasha sempat menjelir lidahnya. Adelia pula sempat membalas dengan kepalan penumbuk dan mencebik.

“Ada aku kisah!” Adelia menjerit geram kerana terlalu sakit hati. Berjaya juga misi Nik Pasha untuk menyakiti hati Adelia seperti biasa. Adelia menyebak rambutnya dengan geram. Berpeluh. Panas hati dengan perangai setan Nik Pasha. Huh!

“Pedulikan dengan perangai Pasha tu. Nanti tahulah auntie nak mengajar bagaimana,” pujuk Maria menenangkan hati Adelia. Hati seorang ibu tersentuh juga dengan sikap biadap Nik Pasha. Aku ni tak cukup mengajar anak ke? keluh Maria. Sampai Nik Pasha tidak tahu menghormati orang. Sedih juga hatinya. Nanti perangai Nik Pasha akan diberitahu kepada suaminya supaya menasihati Nik Pasha supaya berkelakuan lebih baik dengan Adelia.

“Tak apalah, auntie! Yaya dah biasa. Biarkanlah Pasha tu, nanti bila Yaya dah habis SPM, Yaya ikut ayah ke Dubai. Pasha tak payah tengok muka Yaya lagi.” Sayu suara Adelia. Lagi enam bulan dia akan menghadapi peperiksaan SPM, selepas itu dia akan mengikuti ayahnya ke Dubai. Waktu itu Nik Pasha tidak perlu membuang masa dan menghabiskan tenaga untuk menyakitkan hatinya lagi. 

Perkara menakutkan dan menghantui fikiran Maria selama ini terluah juga dengan kata-kata Adelia. Dia bakal kehilangan Adelia apabila gadis itu menamatkan persekolahannya tidak lama lagi. Maria tidak sanggup kehilangan Adelia. Anak perempuan yang diharapkan selama ini.

No comments:

Post a Comment