DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 18 March 2015

Ceritera Cinta Darwiesha - Bab 2

           TIDAK cukup dengan hanya menemani makan tengah hari selama seminggu ini, ada sahaja Encik Zafrul mencari pasal denganku.

         “Darwiesha, masuk sekejap!”

          Menonong aku ke biliknya setelah mendapat arahan melalui interkom. Hanya hari pertama dia menyuruh setiausaha peribadinya memanggilku. Selepas itu dan hari-hari yang berikutnya, Encik Zafrul interkom aku terus dari mejanya.

        “Masuk!”

           Suara tegas Encik Zafrul kedengaran setelah aku mengetuk pintu biliknya.

         “Awak dah sarapan?”

         “Sudah, Encik Zafrul. Kat rumah tadi dengan housemate saya.”

         “Saya tak sempat sarapan. Awak boleh tolong turun belikan saya kuih dan tolong buatkan saya kopi?”

           “Tapi encik… Kak Zaty kan, ada?” Aku merujuk kepada setiausaha peribadinya.

          “Saya mahu awak yang buat. Kalau saya nak Zaty bancuh kopi saya, tak perlulah saya mintak awak datang sini.”

          Aku terkedu dibidas sinis. Not sepuluh ringgit diunjurkan kepadaku dan aku ambil dari tangannya tanpa berlengah lagi. Aku berpaling ke pintu tapi tersedar sesuatu. Pantas aku pusingkan tubuh ke arahnya semula.

         “Er… maaf Encik Zafrul. Encik gemar makan kuih apa?” Aku harus bertanya dulu kerana inilah kali pertama aku diberikan tugas sebegini walaupun ia di luar bidang kerjaku. Mengalahkan P.A.nya pula.

         “Saya makan saja apa yang awak pilih. Saya nak tahu juga kuih kesukaan awak. Tak salah kan saya nak kenal awak lebih mendalam lagi?”

          Erk!!! Salah tu tak salah. Ada tapinya… untuk apa? Aku melewati deretan kubikel untuk ke pintu kaca sebelum turun ke tingkat bawah. Sampai sahaja di pintu, aku bertembung pula dengan Umairah yang baru naik ke aras ini.

         “Awak nak pergi mana, Wiesha?”

          “Er… nak turun bawah. Encik Zafrul mintak saya belikan kuih.”

          “Hah! Biar betul Wiesha? Sebelum ni, mana pernah dia buat perangai manja macam gitu? Kak Zaty pun tak pernah belikan Encik Zafrul sarapan. Eh, awak dengan Encik Zafrul ada apa-apa hubungan ke?”

          Hah! Terbuka mulutku. Apa motif Encik Zafrul sebenarnya? Peliknya

          “Isy... mana ada apa-apa. Saya pekerja, dia bos. Mestilah saya kena buat apa saja kerja yang diarahkan.”

          “Entah-entah, Encik Zafrul suka kat awak tak?” Umairah angkat-angkat kening.

           Aku mencebik. Bukan entah-entah lagilah Umairah. Encik Zafrul sudah pun mengaku. Aku saja yang belum lagi ‘ter’suka kepada ketuaku itu.

           “Mengarut ajelah awak ni. Saya dah lambat ni. Nanti lama pulak Encik Zafrul tunggu nak sarapan.”

           “Alah… kalau dia suka kat awak pun, apa salahnya? Kat floor bawah, dah ramai yang soksek-soksek pasal korang berdua. Encik Zafrul punyalah kacak, takkan awak nak tolak lelaki bergaya macam tu?”

           “Eei tolonglah! Saya datang sini, nak kerja tau, bukan nak cari teman lelaki.” Serta-merta aku tarik muka masam dan bergerak ke tangga mahu turun ke tingkat bawah.

           NAIK ke tingkat satu semula, aku terus ke pantri untuk membancuh kopi yang diinginkan Encik Zafrul. Kali ini, Kak Lela pula yang memandangku agak pelik.

         “Wiesha buat air untuk siapa?”

           “Untuk Encik Zafrul, kak.”

           “Eh... selalunya Kak Lela yang selalu bancuh dan hantar ke bilik dia.”

            “Entahlah kak. Saya pun tak tahu. Agaknya, hari ni angin sepusing dia datang kut.” Aku tergelak dengan telahanku sendiri.

            “Macam-macamlah Wiesha ni. Kuih ni nak letak dalam piring?”

             “Haah Encik Zafrul yang mintak tolong saya belikan tadi.”

             “Aik… peliknya Kak Lela dengan perangai dia sekarang? Lagi satu Kak Lela perasan, sejak Wiesha mula kerja kat sini, dia dah banyak berubah tau.”

            “Berubah? Dulu... Encik Zafrul macam mana?” Teruja juga aku mahu mengorek rahsia Encik Zafrul. Alang-alang bakal dapat informasi percuma, apa salahnya tadah telinga?

            “Sebelum ni, Encik Zafrul serius sangat. Garang semacam sampaikan tak pernah senyum, tak pernah ketawa. Sekarang Kak Lela tengok, muka Encik Zafrul berseri-seri. Agaknya Wiesha ni datang bawak sinar kepada RME Development kut?”

            “Sinar apa Kak Lela? Saya tengok bilik dia sama aje. Malap aje lampu kat dalam bilik dia tu?” Kak Lela tergelak aku menjawab begitu.

           “Maaflah! Kak Lela mengarut saja pagi-pagi ni. Dah... pergi cepat hantar kopi Encik Zafrul tu. Kalau dah sejuk, tak sedap pulak.” Aku senyum separa ikhlas. Kepalaku mula memikirkan Encik Zafrul. Benarkah apa yang diceritakan Kak Lela tadi? Encik Zafrul sebelum ini garang? Tapi, cara dia loyar buruk denganku macam bukan seorang yang garang aje.

           Sejak itu, semakin bertambah kerjaku. Dari peneman Encik Zafrul makan tengah hari, setiap pagi aku harus menyediakan sarapan dan juga kopi sebaik sahaja dia sampai di pejabat. Jika Encik Zafrul ada mesyuarat di luar dan akan masuk di sebelah petangnya, pagi-pagi lagi dia akan berSMS denganku. Kadang-kadang terfikir juga aku. Jawatanku di sini sebagai pembantu akaun ataupun setiausaha peribadinya? Kak Zaty pula, apa peranannya?

         SUDAH lebih tiga minggu di sini, Encik Zafrul tidak sekali pun mendesakku tentang hal berkaitan hati dan perasaannya. Aku lega juga kerana sememangnya aku tidak bersedia langsung mahu memberikan jawapan. Selama tiga minggu ini juga, aku melaksanakan tugas yang diarahnya tanpa banyak soal.

         “Wiesha…. Saya nak awak pergi bank. I need a cash.”

          Sekeping cek tunai dihulurkan kepadaku. Aku ketap bibir. Ini lagi tak boleh ‘blah’ punya arahan. Cek peribadi dia pun, nak aku juga yang tunaikan? Sibuk sangat ke Encik Zafrul ni, sampai tak boleh ke kaunter bank sendiri?

         “Kenapa buat muka cemberut macam tu? Awak tak boleh tolong ke?”

          “Bukan tak boleh tolong, Encik Zafrul. Tapi bank ni, bukan dekat-dekat opis. Jauh juga kalau saya nak menapak.”

          “Awak ada lesen memandu, kan? Nah kunci kereta saya. Agak-agak dah balik sini nanti, tunggu saya kat restoran macam biasa. Call saya kalau awak dah sampai.”

            “Encik Zafrul nak suruh saya drive kereta encik? Encik tak takut ke, kalau jadi apa-apa pada kereta encik?”

            “Awak kena biasakan diri dengan kereta saya. Awak kan buah hati saya...”

             Hah?” Aku buah hati dia? Sedap-sedap mulut saja dia declare begitu. Melampau sungguhlah Encik Zafrul ni.

           “Don’t think so much. Just go! Ingat... bila dah balik sini semula, terus call saya dan tunggu kat restoran macam selalu.”

           “Tapi Encik Zafrul…” Aku masih lagi keberatan. Sudahlah aku disuruh ke bank atas urusan peribadinya, ditambah pula kerisauan aku dengan cek bernilai RM15,000.00. Bukan sedikit oiii! Kalau hilang atau tercicir kat mana-mana, masak aku mahu menggantinya.

           “Saya ada meeting dengan lembaga pengarah sekejap lagi. Saya tak ada masa nak layan bertekak dengan awak.”

          Dalam keterpaksaan aku ambil kunci kereta di atas mejanya. Sempat juga aku mengerlingnya tajam. Bengang!

          BUKANNYA susah mahu mencari kereta Encik Zafrul di tempat letak kereta yang dikhaskan untuknya. Acap kali juga Encik Zafrul membawaku makan tengah hari agak jauh dari bangunan pejabat RME Development. Sudah tentu aku tahu di mana keretanya berada setiap hari. Remote Mercedez Benz CLK berwarna kelabu aku picit. Dengan ucapan Bismillah, aku masuk ke keretanya. Cuba membetulkan seat dan laraskan cermin pandang belakang. Tubuhku yang terbenam di kerusi empuk, aku tegakkan. Mujurlah abah juga memiliki kereta sama jenisnya dengan yang ini dan aku sudah biasa disuruh abah memandu jikalau keluar bersama kedua-dua orang tuaku. Yang Encik Zafrul pula, confident sangat ke aku boleh bawa kereta mahal ni? Tak takut ke kalau-kalau keretanya calar? Benar bagai dikata oleh Encik Zafrul.

          Jalan raya sudah mula sesak walaupun masa belum lagi menginjak ke tengah hari. Terpaksa berhati-hati dengan jalan sempit di hadapan bank yang aku mahu tuju. Tempat letak kereta juga penuh. Aduhai… kenapalah Encik Zafrul jadikan aku balaci hari ni? Ingat aku tak ada kerja ke kat pejabat tu. Kalau macam ni, baik aku jadi P.A.nya sahaja. Lagi baik kalau jadi bini terus! Hahahaha… mengarut sungguh la kau Lyana.

          Hati kata tak suka, boleh pula berangan nak jadi isteri bos, huh! Terpaksa pula aku berpusing dua kali di jalan sehala yang sama untuk mencari parkir kosong. Akhirnya, nampak juga satu kereta yang baru mengundur dan menderu meninggalkan kawasan ini. Berhati-hati aku masuk ke petak yang ditinggalkan. Sudahlah sempit, kiri kanan kereta pula diparkir begitu rapat dengan garisan kuning. Cermin mata hitam aku sangkutkan ke telinga. Panas terik dan membahang hingga silau mataku. Kalau tak fikirkan bos yang memberi arahan untuk aku ke sini, tak ada maknanya aku mahu menempuh jalan sesak dan berpanas terik begini.

           Final check! Sambil melangkah aku tunduk membelek kepingan cek tunai di dalam beg tangan yang aku sandang. Lega… masih ada lagi dan terletak elok di dalamnya. Cek tunai RM15,000.00. Siapa tak bimbang kalau hilang?

         “Cik… watch out!!!”

         Jeritan nyaring satu suara mengejutkan aku. Serentak bunyi hon yang panjang kedengaran dan aku tidak sedar bila masanya tubuhku terkalih ke bonet kereta yang aku pandu tadi. Elok saja pula lelaki yang menolakku tadi menghimpit tubuhku.

        “Auchhhh!!!” Aku mengaduh. Perutku rasa senak terhentak ke badan kereta yang keras. Apa yang sudah berlaku?

         “Maaf. Cik tak apa-apa? Sikit lagi cik nak kena langgar tadi.” Lelaki yang menyelamatkan aku menjarakkan diri dan bertanya dengan wajah bimbang. Tanganku memegang perut dan degup jantungku berdetak laju. Menggeletar seluruh tubuhku.

        “Terima kasih, encik. Saya tak perasan pun ada kereta datang.”

          “Cik tak biasa dengan kawasan ni? Di sini memang senantiasa sibuk. Lain kali cik perlu berhati-hati.” Formalnya lelaki ini bercakap denganku. Intonasinya juga agak pelik.

        “Kali pertama saya datang. Bos saya minta saya ke bank.”

         “Saya Arief Rachman.”

         Sebelah tangannya dihulurkan kepadaku. Teragak-agak aku mahu menyambut. Tapi mengenangkan aku telah terhutang budi kepadanya tadi, aku sambut juga salam perkenalan daripadanya.

     “Saya Wiesha.”

         Tanganku yang masih menggeletar digenggam lama.

          “Wiesha saja? Tak ada nama penuh?”

          “Tak perlulah encik tahu nama penuh saya. Saya nak ucap banyak-banyak terima kasih kerana selamatkan saya tadi. Saya minta diri ke bank dulu dan harus balik ke pejabat secepat  yang mungkin.”

       “Saya temankan Wiesha. Saya juga mahu ke bank yang sama.” 

          Oh!!! Apa lagi yang harus aku katakan? Rupa-rupanya tujuannya sama denganku. Aku biarkan saja dia menyaingi langkahku ke seberang jalan menuju ke deretan bangunan kedai. Menggeletar juga aku apabila memegang sampul surat berisikan sejumlah wang tunai yang agak besar jumlahnya.

        Lima belas ribu ringgit! Cepat-cepat aku masukkan ke dalam beg tangan dan zip rapat-rapat. Aku kepitnya kuat-kuat di celah ketiakku.

       “Wiesha… tunggu sebentar.” Lah... Encik Arief lagi... Aku menunggunya hingga dia berdiri betul-betul di hadapanku.

        “Ini kad saya. Kalau tak keberatan, boleh saya minta nombor Wiesha?” Kad berbentuk segi empat bertukar tangan. Aku menelitinya sebentar. Peliknya nama dia. Panjang berjela mengalahkan nama penuhku. Arief Rachman Haqeem bin Ahmad Rashidi. Finance Executive, CIMB Oh! Rupanya dia bekerja di sini. Patutlah masuk-masuk saja ke dalam bank tadi, pengawal keselamatan mengangkat tangan kepadanya. Selepas itu dia hilang. Aku pula tak tahu dan tidak mahu ambil peduli ke mana dia pergi.

       “Wiesha...”

      “Hah! er... tak apalah. Saya dah ada nombor Encik Arief. Insya-Allah, saya akan telefon Encik Arief.”

       “Saya tunggu.” Aku mengangguk dan menghadiahkan sekuntum senyuman untuknya. Cukup kukira untuk membalas budinya kerana menyelamatkan nyawaku sebentar tadi.  Arief Rachman juga yang bukakan pintu kaca dan mempersilakan aku keluar. Dia mengikut aku keluar ke koridor dan berdiri di situ hinggalah aku selamat menyeberangi jalan ke sebelah sana. Sebelum aku buka pintu kereta, hatiku bagai tertarik-tarik mahu memandang ke hadapan bank semula. Arief Rachman masih lagi di situ dan melambai kepadaku. Agak lama selepas itu, barulah dia memalingkan tubuhnya ke pintu kaca. Wah! Sampai begitu layanan seorang pegawai bank kepada pelanggannya? Bagus sungguh!

          SEKEMBALINYA dari CIMB, aku terus ke Restoran Kampung. Kebosanan menunggu Encik Zafrul tiba, aku keluarkan sebuah novel yang sentiasa berada di dalam beg tanganku. Sebuah kisah cinta yang agak dramatik di mana seorang lelaki kaya lagi tampan jatuh cinta kepada seorang gadis yatim piatu. Sudah tentu keluarga si hero tidak sukakan gadis pilihan anak mereka yang tidak tahu asal usulnya. Memang begitulah kehidupan. Manusia tetap memandang pangkat dan keturunan. Kononnya mahukan menantu perempuan golongan yang baik-baik sahaja. Masalahnya, anak bujang mereka tu… baik sangat ke? Rata-rata kisah di dalam novel, si lelaki anak hartawan suka berpoya-poya, kasonova tapi tetap mahukan gadis baik sebagai isteri. Sungguh klise! Aku tersenyum membuat andaian sendiri.

           “Baca novel pun boleh senyum-senyum? Macam orang gila!”

         O-mak-kau! Hampir tercampak novel di tanganku.

         “Encik ni… tak reti nak bagi salam ke? Terkejut  saya.” Aku urut dada seraya simpan kembali novel ke dalam beg tanganku. Kalau hari-hari selalu kena sergah macam ni, mahunya cepat aku jadi arwah!

       “Sorry… Assalamualaikum. Dah lama sampai?” Aik... buat-buat tanya pulak padahal dia yang suruh aku tunggu di restoran Kampung ini.

        “Waalaikumussalam. Ha… macam tu, la! Er… duit encik, nak ambik sekarang ke? Saya tak beranilah nak pegang lama-lama. Banyak tu…” Aku bertanya dalam nada yang amat perlahan sekali. Aku tak mahu ada yang pasang telinga. Takut nanti kena rompak, siapa yang susah? Aku jugak yang kena menanggungnya. Mana nak cari lima belas ribu ringgit weh! Sekarang ni tengah bulan. Nak tunggu hari gaji, lambat lagi!

          “Tunggu balik pejabatlah. Duit tu selamat dalam beg awak, kan? Saya keluar makan ni, tak bawak apa-apa. Lebih baik awak aje yang pegang dulu.”

         “Tapi encik…” Tak jadi aku mahu menjawab apabila pesanan kami dihantar pelayan restoran. Nak bercerita tentang duit di depan orang luar? Lagi tak boleh!

         “Awak ni kan…. setiap kali bercakap, mesti banyak ‘tapi’nya. Tak boleh ke awak tak ingkar arahan saya walau sekali?” Aku tahan geram. 

          Wahai Encik Zafrul… itu bukan arahan, tapi paksaan! Nasi goreng ayam yang baru disuap, aku kunyah perlahan. Hairan sungguh aku dengan orang kaya seperti Encik Zafrul ni. Macam tak kisah saja dengan duit tunai yang boleh dikatakan agak banyak tu. Kalau aku jahat, boleh saja aku bawa duit tu lari. Boleh shopping sesuka hati. Lepas tu, bersedialah untuk di pecat dari RME Development.

          “Kenapa diam aje hari ni?”

           “Diam? Selalunya saya bising ke?” Aku membidas semula.

          “Ada saya cakap macam tu ke?” Aku angkat bahu dan teruskan suapanku. Lama menunggu dia sampai tadi, perut pun lapar bukan main. Dah tahu ada meeting dengan Lembaga Pengarah, lagi mahu makan denganku hari ini. Tak boleh ke lunch sorang-sorang tanpa aku? Menyusahkan betul! Aku membebel di dalam hati. Berani ke aku merungut depan-depan?

No comments:

Post a Comment