DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 3 March 2015

Si Pencuri Hati - Bab 3

SAYANG DAMIA merenung ke dada langit. Tunak tenungannya bagaikan bisa menembusi hingga ke langit ketujuh. Tanpa sedar Damia mengeluh. Sejak menolak tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, hubungan dia dengan mamanya seakan-akan dingin. Mengapa mama memperlakukannya sebegini? Besar sangatkah kesalahannya hingga mama enggan mengasihinya seperti waktu kecilnya? Mama juga sudah tidak semesra dulu. Bercakap pun hanya apabila dirasakan perlu atau ingin mengeluarkan arahan. Keadaan bertambah parah apabila papanya dijemput menghadap Ilahi.

Berdosakah dia kerana enggan menuruti permintaan mamanya supaya menjadi doktor? Memang benar kata mama, tugas seorang doktor sangat mulia dan teramat mulia. Tapi dia... hanyalah insan kerdil yang ngeri apabila memikirkan tentang darah. Mana mungkin dia mampu merawat pesakit jika dirinya sendiri tidak kuat. Ada nanti pesakit yang cedera parah dan perlu mendapatkan rawatan segera terpaksa menunggu giliran kerana doktor yang sepatutnya merawat terpaksa dikejarkan ke wad dan perlu diberi rawatan kecemasan. Tak ke haru jadinya? 

Sebelum mukanya terpampang di helaian pertama akhbar terkemuka tempatan, lebih baik dia menghampakan hasrat mamanya terlebih dahulu. Nanti... bukan dirinya sahaja yang malu, mamanya juga turut mendapat tempiasnya. Panggilan telefon yang diterima sebentar tadi amat meresahkan jiwa gadisnya. Tentu mamanya inginkan sesuatu, fikirnya. Jika tidak, masakan mamanya boleh bertutur lembut gigi daripada lidah. Jarang mamanya bersikap begitu selepas hasrat mamanya ditolak beberapa tahun yang lalu. Teringat dia akan perbualannya beberapa saat yang lalu.

“Assalamualaikum, Sayang. Anak kesayangan mama sihat?” tanya Dr. Karina.

“Waalaikumussalam, mama. Sayang sihat sahaja.” Tiada nada ceria di situ.

“Macam mana cuti anak mama kali ini?” soal Dr. Karina.

“Macam biasa jugalah mama. Hanya duduk rumah nenek,” balas Damia.

“Kenapa tak menjelajah Europe?”

“Malaslah nak pergi ke mana-mana. Bukan ke kita selalu menjelajah Europe sewaktu arwah papa masih ada,” terang Damia acuh tak acuh. 

“Mama dah habis seminar?” 

“Mama baru habis seminar. Sebab itu mama telefon. Lagipun mama dah rindu sangat-sangat nak jumpa dengan anak mama ni. Mama minta maaf sebab selalu abaikan kebajikan Sayang. Tapi semua ini mama lakukan untuk kebahagiaan Sayang juga. Esok mama nak Sayang balik ke rumah kita. Boleh ya... Sayang,” pinta Dr. Karina penuh mengharap. “Nanti mama ambil cuti, kita sembang puas-puas. Mama juga akan masak makanan kegemaran Sayang. Sayang suka makan capati dan kari daging dari air tangan mama, kan?” Damia berfikir sejenak sebelum membalas katakata mamanya.

“Insya-Allah... esok Sayang ambil flight yang pertama,” ujar Damia tidak mahu menghampakan permintaan mamanya. “Tapi mama tak payah susah-susah jemput Sayang. Sayang ambil cab sahaja.” Damia merenung telefon bimbitnya setelah perbualan antara dia dan mamanya tamat. Bagaikan tidak percaya mamanya sanggup menghubungi dirinya. Selalunya dia la yang sering menelefon mamanya. Tanpa berlengah Damia menemui neneknya. 


“Nek... esok Sayang nak balik KL. Tadi mama telefon suruh balik,” ujar Damia.

“Baguslah macam tu. Sampai bila kamu nak berkonfrantasi dengan mama kamu? Sebagai anak... kamu harus mentaati mama kamu.” Tenang sahaja Puan Saadiah memberikan pendapatnya. Dia juga tidak setuju dengan tindakan menantunya memulaukan Damia atas alasan tidak mahu menjadi doktor. Sebagai ibu sepatutnya Karina memberi dorongan dan perangsang. Lagipun bidang yang Damia sedang ikuti sekarang amat bersesuaian. Damia satu-satunya waris Dasuki Aqtar untuk menerajui Menara Impiana. 

“Sayang bukannya nak berperang dengan mama. Mama tu yang tak nak faham impian dan kemahuan Sayang,” ujar Damia bersama keluhan kecil. “Sayang naik dululah nek, nak kemas baju dan booking ticket.” Selepas mencium pipi Puan Saadiah, Damia berlalu menuju ke biliknya. Damia merenung bilik yang dihuninya sejak kecil. Rasa sedih bersarang dalam jiwanya. Terlalu banyak memori yang tersimpan dalam bilik ini. Walaupun sudah tiga tahun
berlalu tetapi Damia tetap enggan menukar warna cat bilik tersebut. Dia ingat lagi perbualan antara dia dan arwah papanya...

“Sayang nak cat warna apa bilik Sayang ni?” tanya Dasuki Aqtar. Tangannya membelai lembut rambut anak kesayangannya itu.

“Papa rasa warna apa yang paling cantik?” tanya Damia manja.

“Papa ingat nak cat warna hijau muda sebab papa kan peminat fanatik warna hijau,” jelas Dasuki Aqtar ceria. 

“Bilik Sayang... papa nak cat sendiri. Nanti bila Sayang masuk bilik ni, Sayang akan sentiasa ingatkan papa,” ujar Dasuki Aqtar sambil mengucup lembut ubun-ubun anak gadisnya.

Selepas beberapa hari biliknya siap dicat, papanya telah pergi dan tidak kembali untuk menemani dirinya lagi. Papanya meninggal dunia di tempat kejadian akibat kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Pasir Gudang. Kereta papanya meletup dan terbakar. Mayat papanya juga sukar dicam akibat rentung. Mata Damia mula berkaca-kaca pabila teringatkan arwah papanya. Air mata yang pada mulanya  hanya bergenang di tubir mata sudah mula membasahi pipi gebunya.

“Papa...” seru Damia hiba. Setiap kali teringatkan arwah papanya, Damia menjadi sedih. Matanya merenung sayang potret arwah papanya yang masih setia tergantung di kamar tidurnya.

Kini tiada lagi pelukan hangat yang penuh dengan kasih sayang dan gurau senda yang mengisi hari-harinya. Kasih sayang papanya yang seluas lautan itu akan dia kenang hingga ke akhir hayatnya.

“Papa... damailah dirimu di sana. Semoga papa tergolong dalam golongan orang-orang yang soleh. Sayang sentiasa mendoakan papa.”

BUNYI ketukan pintu membuatkan Damia bingkas bangun. Dia mengesat matanya, tidak mahu penghuni di rumah itu tahu yang dia sedang bersedih. Selak pintu dibuka dan tombol pintu dipulasnya. Kelihatan neneknya di situ.

“Dah siap berkemas?” soal Puan Saadiah sambil memandang wajah cucunya.

“Belum nek,” balas Damia perlahan. Sebuah keluhan terhambur di bibirnya. Dia berjalan menuju ke katil lalu menghenyakkan punggungnya.

“Punyalah lama bertapa dalam bilik, masih belum siap kemas pakaian lagi?” usik Puan Saadiah. Dia duduk bersebelahan Damia. Puan Saadiah tahu, cucunya itu berat hati hendak pulang ke rumah mamanya. 

“Tak ada moodlah, nek!”

“Aik? Tadi bukan main bersemangat lagi panjat anak tangga sebab nak booking ticket dan kemas baju. Sekarang dah tak ada mood pula?” 

“Entahlah nek! Sayang rasa mama tu macam tak ikhlas aje suruh Sayang balik. Sayang dapat rasakan seperti ada udang balik batu aje,” terang Damia sambil merebahkan kepala di paha neneknya.  Puan Saadiah menggeleng. Kepala Damia dibelai penuh kasih sayang.

“Tak baik buruk sangka dengan mama sendiri. Cuba ikhlaskan hati tu sikit. Barulah hilang semua keraguan yang bersarang dalam hati,” nasihat Puan Saadiah. Damia melepaskan keluhan. 

“Hisy... tak baik mengeluh-mengeluh ni!” tegur Puan Saadiah. Pipi Damia dicubit lembut.

Damia mendongak memandang wajah neneknya. Pipi neneknya disentuh.

“Sayang sayang sangat dekat nenek. Kalau nenek tak ada, tak tahulah siapa yang akan jaga Sayang selepas mama buang Sayang.”

“Tak baik cakap macam tu. Mama Sayang sebenarnya sayang sangat dekat Sayang. Cuma dia tak boleh terima bila Sayang enggan jadi doktor. Mungkin sekarang dia dah sedar kesilapan dia,” ulas Puan Saadiah. Tangan Damia yang berada di pipinya digenggam erat.

“Sayang harap pun begitulah,” ujar Damia sambil menceriakan wajahnya.

“Sayang dah tempah tiket?”

“Err... belum lagi.”

“Baik tempah sekarang.”

“Emmm... baiklah nek!” akur dengan arahan neneknya.

“Nenek nak turun ke bawah dulu. Nak tolong Mak Jah masak. Kejap lagi Ucu kamu nak balik makan tengah hari,” beritahu Puan Saadiah. Kepala Damia diusap sebelum berlalu pergi. 

Dengan langkah yang berat, Damia mengambil beg pakaian yang terletak di sudut kamar tidurnya. Dia sendiri tidak mengerti kenapa begitu sukar dia hendak menjejakkan kaki ke rumah mamanya.

No comments:

Post a Comment