DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 13 July 2016

Jodoh Sebelah Pintu - Bab 10

“MAK CIK sebelah rumah ni baru aje
pindah keluar, terus ada orang baru masuk. Adik-beradik.
Seorang duda, seorang lagi bujang trang tang tang tang!
Dua-dua memang mengancam.” Bersungguh Julia menyambut
kepulanganku dengan berita itu. Dia bercerita sehingga
membulat matanya. Nampak kesungguhan dia kat situ.
Aku mengeluh. Apa pasal mak cik sebelah rumah
ni pindah? Konon bulan lepas kata tak jadi nak pindah?
Kiranya, rumah kami ni tersepit dengan lelaki-lelaki la ni?
Dudalah, bujanglah.
Dugaan aku yang dah nak bertunang ni agaknya...
Akan aku anggap itu dugaanku. Eh, pasal apa pula? Macamlah
aku nak menggatal. Tupperware berisi makanan masakan
mak aku, aku letak di atas meja. Sofa yang sedia untuk
memelukku, aku terjah. Baring. Rehatkan tulang-temulang
disebabkan memandu lama dari Damansara ke Selayang.
Apa yang menyebabkan lama? Jammed tentunya! Hari Ahad
ditambah pula dengan ada kemalangan jalan raya tadi.
Masakan tidak jammed?
Julia tidak henti-henti bercerita mengenai jiran baru
kami. Baru berpindah sewaktu aku pulang ke rumah mak dan
abah semalam disebabkan mak cik di sebelah rumah berpindah
pada sehari sebelumnya. Kiranya hari ini merupakan hari
kedualah mereka di sini.
“Kau tak nak tanya ke ciri-ciri lelaki tu?” Soal Julia
teruja.
Aku menggelengkan kepalaku dan mencemikkan
mulut. Tak berminat langsung hendak tahu mengenai jiran
baru mahupun jiran lama yang senget itu.
“Ala, tanyalah!” Eh? Main desak-desak pula. Bahu
aku digoncang-goncangkan dengan gedik. Meminta aku
menanyakan mengenai jiran baruku.
“Macam mana?” Soalku terpaksa. Julia tersenyum
kemenangan.
“Duda tu handsome.” Itu jawapan dia?
Semuanya handsome! Irfan handsome, Bad handsome!
David Carusso handsome! Semua handsome di mata Julia.
Tiada yang tidak handsome. Pendapat aku pula... Semua
yang Julia kata handsome itu memang handsome kecuali
David Carusso.
“Semua orang handsome kat mata kau.” Selamba
aku menempelaknya. Muka dia keruh seketika.
“Kali ini super power punya handsome. Kalau kau
nak Irfan tu, kau boleh ambil. Aku nak abang duda...
Ada something tentang dia yang membuatkan aku rasa
lain macam. Nak kata handsome gila-gila tu tidaklah. Tapi,
mungkin... Jambang dia kut yang buat aku rasa nak usik...
Atau... atau... Bibir seksi terbelahnya itu...” Julia berkata
sambil memejamkan matanya. Tengah bayangkan yang dia
pegang jambang si dudalah tu. Aku julingkan mata ke atas.
Dia dah mula buat perangai gedik dia. Siapa tak kenal
Julia? Drama queen...
“Duda ada anak?” Soalku. Dia angguk berkali-kali.
Terkelip-kelip biji matanya. Huh! Usah tanyalah tahap ke
berapa tahap gedik dia. Memang teratas!
“Berapa?” Soalku pendek. Dia angkat jari telunjuk.
Satu... Duda satu anak rupanya. Tentu bercerai. Tak ada kes
lain.
“Comel sangat muka anak dia. Kulit cerah aje.
Rambut perang-perang sikit. Mungkin ikutkan gen bini
lama dia kut? Sudahlah budak tu ramah. Suka betul aku
menegurnya.” Bersungguh jawapan yang aku terima. Aku
berdeham.
Setahu aku, Julia jenis sukakan lelaki yang bujang.
Kacak. Badan tough petak-petak macam papan kekunci laptop
aku. Si duda pun begitukah? Dulu, dudalah golongan
yang Julia elakkan. Apa yang ‘somethingnya’ dengan si duda
sehingga Julia nampak begitu bersemangat sekali untuk
bercerita mengenainya? Harus aku ambil tahu...
Setahu aku lagi, Julia bukannya suka pada kanakkanak!
Sebab itu dia mengajar di sekolah menengah. Kalau
dah sampai tahap suka budak-budak ni, curious juga aku.
Apa yang istimewanya si duda itu? Jeng jeng jeng!
“Kau sukakan duda, itu perkara baru. Kau kata anak
si duda itu comel, itu lagilah perkara baru!” Aku memberi
komen. Julia tersenyum manis.
“Aku pun tak tahulah. Perasaan aku lain setiap kali
nampak dia. Rasa berdebar. Bila berbual dengan anak dia
pula, entahlah. Rasa sejuk hati. Aku cadang nak buat puding
roti untuk anak dia. Sebab anak dia kata, teringin nak makan
puding roti.” Ujar Julia sambil tersenyum simpul.
Aku ikut tersenyum. Sampaikan nak buat puding
roti untuk si anak? Ini pelik! Dah terkena panahan cintalah
ni jawapannya!
“Bujang sorang lagi tu kau takkan tak nak pulak?”
aku menyindirnya. Julia menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Tak nak sesiapa dah. Aku suka abangnya...” Jawab
Julia sambil tersenyum angau.
Aku geleng-gelengkan kepala sahaja dengan perangai
Julia yang mudah sangat jatuh hati ini. Kalau betul dia
suka si duda ni, haraplah lelaki ini lelaki terakhir yang dia
jatuh suka secara drastik begini. Kalau ada lagi, baik aku
jampikan saja kawan aku ni.
PETANG INI, aku terpaksa keluar dengan pakaian sukan. Julia
mengajakku untuk berjoging. Apa masalah dia pun aku tak
tahu. Puas dia memaksaku, akhirnya aku bersetuju. Kasihan
pula dia sampai memonyok muka dengan aku. Selalunya,
bila aku mengajak dia berjoging, beribu-ribu alasan dia beri.
Sekarang? Aku pula yang didesaknya. Macam ada something
wrong somewhere saja.
“Hai...” Tegur satu suara garau. Aku berpusing
mengadap arah suara itu datang. Seorang lelaki tinggi,
berkulit hitam manis dan berkaca mata. Jiran barukah dia?
Kacaknya boleh tahan...
“Assalamualaikum.” Aku menyapa pula.
Muka dia berubah malu-malu meow! Mungkin dia
ingat aku sedang menyindir dia kut? Padahal aku memang
sudah terbiasa menegur orang dengan memberi salam terlebih
dahulu. Sudah menjadi tabiat... Tabiat yang bagus, bukan?
“Waalaikumussalam... Awak duduk kat sini, dengan
Julia ya?” Soalnya.
Aku mengangguk-anggukkan kepala mengiyakan
soalannya bersama senyuman seikhlas hati. Dia tegur secara
elok, baguslah.
“Oh, saya jiran baru awak. Baru lagi pindah masuk
beberapa hari lepas. Julia kata awak balik rumah mak abah
awak. Saya tak sempat berkenalan dengan awak. Nama awak
apa?” Soalnya ramah. Aku berdeham. Kenapa nak tahu nama?
Eh. Apa salahnya, kan?
“Nama dia Kak Fashionista.” Satu suara menyampuk
sebelum aku sempat membuka mulut.
Aku tahu suara siapa. Bad! Siapa lagi yang panggil
aku dengan panggilan itu kalau bukan dia? Dari mana entah
munculnya dia? Kalau ada cili sudah lama aku cilikan mulut
dia! Kena tanam cili depan rumah pula lepas ni. Jiran baru
aku tersengih mendengar jawapan Bad itu. Kelakarlah sangat,
Bad! Bravo!
“Betul ke?” Soal lelaki di hadapanku ini. Takkanlah
wujud orang bernama begitu? Heee. Aku tempeleng juga
budak dua orang ni nanti.
“Bad! Baik diam kalau tak nak kena sembur dengan
racun rumput!” Aku memberi amaran.
Bad terkekeh-kekeh gelak mengejek. Geram betul
aku! Geram! Geram!! Jiran baru turut tergelak namun setelah
dia memandang wajah seriusku, terus dia telan tawanya.
Takutlah agaknya tu.
“Mona nama saya. Jangan pedulikan dia.”
Aku memperkenalkan diri sambil menjeling Bad. Tak
rela kalau aku dikenali sebagai Kak Fashionista di kalangan
jiran aku! Lagi parah bila satu perumahan ni kenal aku
dengan nama Kak Fashionista dan tahu sebab aku dipanggil
begitu. Memang hantu punya Bad!
“Awak?” Soalku tidak lama kemudian. Rasa bersalah
pula melihat si jiran baru yang terkulat-kulat menantiku
untuk menyoal namanya. Siapalah nama dia?
“Oh! Mona. Nama saya Amirul Rashid.” Ujarnya sambil
tersenyum sungging.
“Nak panggil apa ni?” Aku sekadar berbasa-basi
sementara menanti si Julia bersilat dengan alat soleknya di
dalam bilik. Lama sungguh mak nenek tu bersiap. Sempat
mendung dulu cuaca ni nanti. Kata nak berjoging?
“Nak panggil Amirul boleh, Rashid pun boleh. Tapi
saya lebih suka kalau awak panggil saya, Alang. Sebab
saya lebih selesa dipanggil Alang. Famili panggil saya Alang
daripada saya kecil lagi.” Ujar lelaki itu dengan ramah sambil
tersenyum manis.
Aku mengangguk. Tidak lama selepas itu aku terlompat
sendiri! Amirul? Alang? Gulp! Kebetulan saja.
“Kenapa?” Soal Amirul Rashid sambil tergelak kecil
melihat aku terloncat tadi.
“Eh?” Aku cover ayu.
Seganlah pula. Buatnya, dia encik bakal tunangku,
mana aku nak sorok muka? Perangai aku tak semenggah
depan dia. Wahahaha. Isy! Tak mungkin! Tak mungkin! Mungkin
pelanduk yang bernama serupa je kut? Aku menyedapkan
hati sendiri.
“Hai Alang...” Julia menyapa. Alhamdulillah. Dah
muncul budak ni. Selamat.
“Hai Jue...” Amirul Rashid menyapa semula.
“Hai Abang Bad.” Julia menegur lagi. Aku berpaling.
Bad masih di sini? Dia tersengih apabila Julia menegurnya.
“Hai.” Bad membalas sapaan Julia.
“Abang Bad buat apa petang-petang ni?” Soal Julia
beramah. Aku mencemik. Tak kuasa aku nak menegur dia
begitu.
“Oh, abang tengok ulat bulu naik daun...” Balas Bad
selamba sambil matanya mengerling ke arahku.
Aku hembus nafas sekuat hati. Kalau ada tahi
hidung, dah lama terpelanting ke muka dia! Geram sungguh
aku. Menyindir sahaja kerjanya. Bila dia nak bersara, entah?
“Bad!” Aku menjerkah geram.
“What?” Dia menyoalku dengan muka blur.
Innocent sahaja wajah yang dipamer. Rasa geram
nak cabaikan biji matanya. Terkebil-kebil lagak budak kecil
tiada salah. Amirul Rashid di hadapanku yang masih setia
di sebalik pagar hanya tersenyum simpul dan malu-malu.
Lesung pipitnya begitu jelas ketara. Wah, comelnya!
“Menyindir orang ajelah kerja dia.” Bebel aku sendiri.
Baju lengan panjang, aku sinsingkan ke siku. Bersiap
sedia untuk mencari barang yang boleh dihayun ke arah
Bad ni. Sudahlah curi dengar perbualan orang. Lepas tu,
sibuk sahaja dia nak menyampuk! Lepas tu siap dengan
pakej menyindir aku lagi. Eii! Macam manalah aku tak sakit
jiwa berhadapan dengan orang macam dia ni?
“Eh? Menyindir apa pulak? Betullah ni, ha! Ada ulat
bulu warna kuning hitam naik daun!” Dia menunjuk ke arah
daun pokok bunga yang aku tanam.
Aku mendengus. Aku tahu tiada ulat bulu di situ.
Setiap hari aku jaga tanamanku dengan elok. Setiap hari
aku tatang bagai minyak yang penuh pada tanamanku! Kuning
hitam? Itu pakaianku hari ni! Kalau yang jadi daunnya, tentulah
si Amirul Rashid sebab dia pakai baju fit warna hijau tua!
MEMANG BAD NI MENTAL!! Julia terkekeh-kekeh gelak
apabila menyedari ‘double meaning’ Bad. Sabar ajelah!
“Besok jangan tanya kenapa Zahid kena gantung
sekolah.” Aku bersuara sambil menahan rasa geram yang
kian memuncak.
Ugutan mula dijalankan. Air muka Bad berubah. Zahid
tiada kaitan dengan kes ini tetapi budak kecil itu ada kaitan
dengan si pembuat kes ini. Padan dengan muka. Aku tahu
betapa dia sayangkan Zahid.
“Okey, sorry!” Dia mengalah.
Kedua belah tangan diangkat tanda dia sedang
mengalah. Magnificant! Good! Tak payah susah-susah aku
nak ugut benda bukan-bukan. Aku menyapu kedua belah
tanganku. Settle satu masalah! Apa yang susah? Ini Mona
Airawani, kan?
“Tapi jangan tanya kenapa kalau besok kereta Kak
Fashionista tak bertayar.” Dia sambung dengan riak tak
bersalah.
Senyum senget mengejek dia jelas kelihatan. Aku
ternganga luas akibat tak percaya! Seyyytonnn punya Bad!
Ada alasan dia mengalah rupa-rupanya. Gelak Julia semakin
menjadi-jadi. Dia sudah tahu kisah benar di sebalik tayar
kereta aku yang pancit itu hari. Memanglah patut dia gelak
sakan macam ni. Eee!
Mujurlah Amirul Rashid tidak gelak kerana dia
tidak tahu punca cerita. Mujur... Kalau dia tahu, aku rasa
lebih baiklah aku kurung diri aku di dalam rumah sahaja.
“Eh, mana abang yang seorang lagi tu?” Soal Julia
setelah puas gelak.
Matanya terintai-intai ke pintu rumah sebelah. Hmm.
Itulah niat dia sebenarnya. Nak mencuci mata tengok si
duda. Macamlah aku tak kenal kawan baik aku ni. Gelakkan
aku tapi mata pandang ke pintu rumah jiran baru.
“Oh! Taufiq ya? Dia pergi berjoging kat taman
sana dengan anaknya. Nak teman anaknya bermain di taman
sambil-sambil tu...” Ujar Amirul Rashid sambil tersenyum.
Taufiq namanya... Aku angguk perlahan-lahan.
Patutlah Julia tergedik-gedik nak berjoging hari ni. Siap dengan
pakej mendesak lagi. Ada agenda... Mesti dia tahu si Taufiq
itu rajin berjoging dengan anaknya pada setiap petang, sebab
itulah dia mengemukakan cadangan hendak berjoging pada
hari ini.
‘Kau memang bijak Jue!’
“Oh! Kebetulan! Kita pun nak joging ke taman tu kan,
Mona?!” Julia sudah mengheret lenganku.
Eh? Ada ke dia kata kami nak ke taman tu? Aku
pandang Julia dengan muka blur, Julia mengecilkan matanya
dan mengangguk-angguk sedikit. Memberi isyarat supaya aku
mengiyakan kata-katanya.
“Err. Aaaa, ya!” Aku jawab teragak-agak.
Mulut Julia sudah bergerak-gerak mengucap terima
kasih kepadaku kerana membantunya. Tak pasal-pasal aku
dapat dosa kering menipu orang hari ni.
“Mona.” Panggil Amirul Rashid. Aku berpaling.
“Boleh tolong bagi ni dekat Ema tak?” Soal Amirul
Rashid sambil menghulurkan sebotol air dalam botol air
berwarna pink kepadaku. Aku ternganga. Siapa pula?
“Ema. Who?” Aku menyoal. Dia tersenyum dan
menggaru-garu kepalanya spontan. Muka macam orang serbasalah
pun ada juga.
“Ema, anak abang Taufiq.” ujar Amirul Rashid. Baru
lagi aku nak memberi alasan yang aku tak kenal siapa itu
Taufiq, terus botol air minuman yang dihulurkan kepadaku
dirampas oleh Julia.
“Tak apa, Alang. Jue bagi aje nanti. Mona tak kenal
siapa Abang Taufiq. Jue kenal.” Ujar Julia sambil terkedekkedek
berlari anak meninggalkan aku.
Bersungguhnya dia hendak ke taman... Nampaklah
aku pada kesungguhan dia nak beli jiwa Taufiq tu. Hesy.
Gatal terlajak sungguh anak dara Pak Cik Rahim ni!
“Terima kasih, Jue!” Jerit Amirul Rashid.
“No mention!” Julia tidak berpaling tetapi dia
mengangkat ibu jarinya tanda sama-sama.
Aku berpamitan sebelum mengekori langkah si
Julia. Bad memanggilku. Langkahku mati lagi.
SAMBIL BERLARI perlahan ala-ala atlet yang sedang
berlari di atas treadmill, aku membelek telefon bimbit
yang bergetar menandakan ada mesej masuk. Siapa pula
yang mesej aku di saat-saat begini? Nombor pelik! Gulp. Belum
pernah aku diganggu nombor pelik semenjak beberapa bulan
ini. Daripada berlari perlahan, kini aku hanya berjalan.
Assalamualaikum
Hanya itu mesej yang aku terima.
Aku buat tak endah sahaja. Lantak dialah!
Waalaikumssalam, aku jawab di dalam hati sahaja. Yang
pasti, dia orang Islam. Satu maklumat dalam satu mesej. Oh
ya, dia juga agak sopan sebab memulakan mesej dengan
memberi salam tetapi belum cukup sopan sebab dia tidak
nyatakan siapa dia.
Tak jawab berdosa
Lagi sekali aku menerima SMS daripadanya.
Aku menghentikan langkah apabila kaki sudah
menjejak kawasan taman. Aku duduk di bangku yang kosong
di situ sambil membiarkan Julia beramah dengan Abang
Taufiqnya. Kacak! Memang betullah kata si Julia. Mata redup,
bibir seksi, jambang pula nipis. Ada gaya Farhan sikit. Tapi
serius, sangat-sangat kacak! Hampir jugalah aku cover cun
tadi. Hmm... Nak big fish aje si Julia ini...
Waalaikumussalam
Aku balas mesej itu dengan terpaksa. Siapa dia ni?
Tak nak tanya ke, saya siapa?
Aku menggeleng-gelengkan kepala. Menyedari dia
tidak nampak gelenganku, aku membalas pendek.
Malas nak ambil tahu walaupun hati tertanya-tanya
juga siapa sebenarnya dia.
Saya bakal tunang awaklah, Aira. Dah dua
hari saya tunggu awak mesej saya tapi tak
ada.
Aku terbuntang. What? Aku tak nak tahu dia siapa,
tapi dia beritahu juga. Tak apalah. Tak adalah rasa hati aku
tak tenang memikirkan dia itu siapa! Betul ke dia bakal
tunang aku? Aduh, aduh! Apa aku nak buat ni? Apa yang
aku boleh buat sekarang?!
Si Doktor?
Tidak lama selepas itu, dia membalas.
Errr.
Hanya itu sahaja yang dibalas? Tak puas hati pula
aku. Betulkah dia? Atau... Alamak, bukankah terlalu tidak
beradab untuk aku mempersoalkan pekerjaannya? Kenapalah
aku tak tanya si Dirulkah? Tentu dia fikir yang aku ini terlalu
sibukkan pekerjaannya. Oh tuhan, aku memalukan diri sendiri!
Alah, dah alang-alang tanya, tak mengapalah.
Maksudnya?
Mungkin...
Jawabnya. Main-main!
Mirul?
Hehehe
Balasnya pendek. Macam tak nak main mesej aje.
Betul ke bakal tunang aku ni? Ke abah yang menyamar?
Bukannya abah aku tak pernah buat kerja macam ni? Dulu,
waktu dia baru tukar nombor telefon pun begitu juga
perlakuannya!
Alang?
Erm...
Balasnya lagi. Pendek.
Macam abah! Hatiku kuat menyatakan dia abah
aku! Entah-entah, abah nak kenakan aku sekali lagi tak?!
Aku mula mendail nombor telefon ‘si-bakal-tunang’ ini
secepat mungkin. Aku nak sergah! Memang kerja abah!
Dulu aku pernah kena prank macam ini. Betul-betul situasi
seperti ini. Abah menyamar sebagai kekasih gelapku! Cis!
Abah aku memanglah ‘bahagia’ sikit cara dia mengenakan
aku. Kadang-kadang sampai menangis aku disakat abah.
‘I’m at a payphone trying to call home all of my
changes I spend on you,’ suara Adam Levine berkumandang
sebelum talian diangkat.
Tak mudahlah abah! Pasang lagu Payphone dekat
Caller Ringtone! Konon! Nanti mulalah membebel bila kredit
asyik habis kena telan!
Belum pun dia menyapa, terus aku menyergah!
Hahahaa.
“Abah!!! Jangan ingat Aira tak tahu ni semua kerja
abah! Cepat mengaku! Cepat! Cepat! Cepat mengaku!! Dulu
abah menyamar jadi kekasih gelap Aira, sekarang menyamar
jadi bakal tunang pulak! Tak serik-serik ek nak kenakan
Aira? Kali ni jangan harap Aira tertipu lagi!” Aku menyergah
sambil tergelak jahat.
Berbangga kerana aku berjaya mematahkan hasrat
abah untuk terus mempermainkan aku. Tentu abah kehilangan
kata sekarang, sebab itulah dia diam sahaja. Biar abah tahu,
anak dara dia ni semakin bijak. Tidak mudah tertipu. Takkan
ada lelaki yang berani menganiaya aku. Itulah Mona Airawani.
Anak abah yang semakin dewasa. Wah! Terasa diri ini gagah
pula.
“Erkk? Errr... Aira?” Soal suara itu. Aku terdiam. Eh
alamak! Bukan suara abahlah. Suara siapa ni? Malu! Malu!
Malu!
“Si...si...siapa?” Soalku tergagap-gagap.
Rasa malu kerana telah tersalah orang, aku tolak
ke tepi. Terperanjat mendengar suara itu. Garau dan seksi.
Gulp! Benarkah dia... Lelaki yang dijodohkan untukku?

No comments:

Post a Comment