DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 13 July 2016

Sesuci Cinta Qaseh - Bab 8

SEMUA barang sudah dimasukkan ke dalam
bonet kereta. Dua hari berada di kampung Qaseh itu sudah
cukup menyeksakan bagi Harith. Mana tidaknya, sudahlah
terpaksa berperang dengan nyamuk, tidur pula di atas katil
yang berbunyi. Memang sungguh terseksa.
Harith bersiul-siul kecil di tepi kereta Nissan Skyline
miliknya sambil menutup bonet kereta. Jika diikutkan
hatinya, subuh-subuh lagi dia sudah bertolak balik ke Kuala
Lumpur. Tapi Qaseh pula yang beria-ria mahu bertolak
lewat sedikit. Kata Qaseh, dia masih berasa berat hati mahu
meninggalkan Tok Daud sendirian di rumah.
Kalau diikutkan hatinya juga, mahu ditinggalkan
saja Qaseh di situ dan balik seorang diri ke Kuala Lumpur.
Namun kalau dia betul-betul berbuat begitu, mesti nanti dia
terpaksa menadah telinga, mendengar khutbah free daripada
tok ayahnya selama tujuh hari, tujuh malam tanpa henti.
Huh! Tak sanggup.
Tok Daud duduk di pangkin kayu yang terletak di
bawah pokok mangga. Wajah tuanya tampak tenang saja,
namun di hatinya hanya Allah saja yang tahu. Hati mana
yang tidak sayu hendak berpisah dengan cucu kesayangan.
Tambahan pula, Qaseh tidak pernah berjauhan dengannya
sebelum ini. Tetapi dia sudah tidak ada hak untuk
menghalang. Sekarang tanggungjawab Qaseh semua terletak
di tangan suaminya.
Asap rokok daun yang dihembus halus oleh Tok
Daud itu kelihatan berkepul-kepul di udara. Matahari pagi
juga sudah agak terik menyilaukan pandangan. Comot
sedari tadi juga masih terbaring lesu di pangkin kayu sambil
memangku kepalanya ke atas kedua belah kaki hadapannya,
macam tahu-tahu saja Qaseh bakal meninggalkan dia. Sejak
pagi tadi Comot tidak banyak bunyi.
“Tok...” sapa Harith yang telah pun duduk bersama
Tok Daud di pangkin kayu. Sudah naik lenguh kakinya berdiri
di tepi kereta menanti Qaseh, namun isterinya itu tidak juga
kunjung tiba. Entah apa yang dibelek kat dalam rumah sana
pun Harith tidak tahu.
“Harith dah bosan menunggu ya?” sapa Tok Daud
sambil tersengih menampakkan giginya yang sudah rongak.
Wajah cucu menantu yang baru dikenalinya itu ditatap lama.
Buat masa sekarang dia amat menyenangi Harith. Bagi Tok
Daud, Harith seorang pemuda yang baik, tahu cara untuk
menghormati orang yang lebih tua, tidak sombong. Pendek
kata, dia menyenangi cucu menantunya itu.
Harith hanya tersengih mendengar telahan Tok
Daud. Matanya beralih pula kepada Si Comot yang berbaring
di sebelah Tok Daud. Kalau tak silap, itu kucing kesayangan
Qaseh.
“Tok, ini kucing Qaseh ke?” tanya Harith sambil
menggosok kepala Comot. Comot mengangkat kepalanya
sedikit sambil berbunyi.
“Meeooww...” seakan sayu saja suaranya.
“Haah... namanya Comot. Comot ni kucing yang
Qaseh selamatkan setahun yang lalu. Manja sangat dengan
Qaseh ni. Agaknya dia tahu Qaseh nak tinggalkan dia hari ni,
sebab itulah tak bergerak dari rumah. Selalunya waktu-waktu
macam ni dah lesap entah ke mana dah.” Jawab Tok Daud
sambil tersenyum.
“Oo... gitu.” Jawab Harith sepatah. Patutlah
semenjak dia sampai dua hari yang lalu, Comot asyik berkepit
saja dengan Qaseh. Pantang nampak Qaseh duduk, mesti
terus naik ke riba Qaseh. Kesian pula dia tengok Comot.
“Harith... tok nak cakap sikit.”
“Cakap apa tok?” Matanya sudah merenung dalam
ke anak mata Tok Daud. ‘Cakap apa pulak ni? Buat aku
berdebar-debar aje.’ Getus Harith dalam hati.
“Emm... tok harap sangat kau dapat jaga Qaseh tu
dengan baik. Tok minta kau sabarlah sikit dengan perangai
Qaseh tu. Dia memang degil sikit, tapi kalau kena gayanya...
dia okey. Maklumlah, orang tak cukup kasih sayang.” Tutur
Tok Daud perlahan, rasa sebak di dadanya cuba ditahan.
“Tak cukup kasih sayang?” Harith sudah merenung
Tok Daud dengan dahi berlipat. Tidak faham langsung dengan
apa yang telah dikatakan oleh Tok Daud tadi.
“Ye... mak dengan ayah Qaseh bercerai masa dia
kecil lagi, masa umur dia sembilan tahun. Kemudian mak dia
meninggal dan atuk yang jaga dia selepas mak dia meninggal.
Ayah Qaseh cuma datang sekali-sekala untuk menjenguk.
Sebab itulah hubungan Qaseh dengan ayahnya tidak berapa
baik.” Terang Tok Daud lagi.
“Oh... macam tu.” Jawab Harith sudah mula faham.
Patutlah dia nampak Qaseh macam tak senang dengan
ayahnya. Berbual pun tidak. Sekarang barulah dia faham.
Rupanya Qaseh sama juga dengan dirinya, membesar bersama
datuk. Yang beza cuma papa dan mamanya meninggal
disebabkan kemalangan, bukan sebab bercerai.
‘Hmm... besar jugak harapan orang tua ni. Kalaulah
dia tahu perkara yang sebenarnya, tentu dia kecewa. Ahh,
lantaklah! Aku pun bukan cintakan cucu dia. Apa susah,
depan semua orang, berlakon ajelah. Sampai masa nak
berpisah, cakap saja sudah tak ada jodoh, kan senang.’ Harith
sudah berkira-kira di dalam hati.
Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan bunyi enjin
motosikal yang berhenti berhampiran pangkin kayu itu.
Segera Tok Daud dan Harith menoleh, hampir serentak.
“Aamar...” sapa Tok Daud mesra dengan senyuman
yang sudah menguntum lebar di bibir tuanya.
Hati Harith tiba-tiba berasa kurang senang dengan
kedatangan pemuda itu namun dia turut sama tersenyum
tidak mahu menampakkan perasaan sebenarnya.
“Tok...” Aamar sudah pun tunduk mencium tangan
tua Tok Daud, kemudian dia beralih pula kepada Harith.
Mereka berjabat tangan, lama mata mereka bertembung tanpa
sepatah kata. Entah mengapa masing-masing berperang
dengan perasaan sendiri.
“Tok, Qaseh mana?” tanya Aamar sebaik saja tangan
dia dan Harith terlerai. Matanya sudah melilau mencari
kelibat Qaseh.
Tidak lama kemudian, Qaseh kelihatan di serambi
rumah, siap berpakaian kemas. Tiga pasang mata tertumpu
kepada Qaseh yang tampak ayu dengan kurung moden
berwarna pink dan tudung bawal yang terlilit kemas di
kepalanya.
“Harith, boleh aku jumpa dengan Qaseh sekejap?”
Aamar meminta izin.
“Hah? Ooo... okey, pergilah.” Jawab Harith cuba
menahan perasaan apa entah yang sedang melanda di hatinya
kala itu. Dia kurang pasti perasaan apakah itu dan kenapa dia
berperasaan begitu.
“Terima kasih,” balas Aamar sepatah, lalu pergi
mendapatkan Qaseh yang sudah pun menantinya di tangga
rumah.
Harith cuma perhatikan dari jauh dengan perasaan
kurang senang.
‘Hai, hati... kenapa rasa sakit ni? Takkan kau cemburu
kut? Tapi dia tu kan isteri kau, memang tak salah kalau kau
rasa macam tu. Hesy, mengarut! Kau bukan cintakan dia
pun.’ Harith terus berperang dengan emosinya.
“Hmm... Aamar dengan Qaseh tu memang rapat.
Diaorang membesar bersama-sama.” Lamunan Harith terus
disentap dengan penjelasan Tok Daud itu.
“Ohh... ya ke?” Harith sudah tersenyum cuba
menutup rasa di hati sambil menggaru pipinya yang tiba-tiba
terasa gatal.
“AKU ingat kau tak datang.” Qaseh sudah buat muka
merajuk. Dia dan Aamar sudah duduk di anak tangga.
“Mana boleh tak datang. Bff aku dah nak tinggalkan
aku, kenalah datang ucap selamat tinggal, kan?” jawab Aamar
memerli.
“Selamat tinggal? Kenapa selamat tinggal?”
Dahi Qaseh sudah berkerut. Dia tidak senang dengan
kata-kata Aamar itu. Kenapa perlu ucapkan selamat tinggal?
Bukankah seorang sahabat tidak perlu mengucapkan selamat
tinggal kepada sahabatnya. Walaupun berpisah seribu batu,
doa masih ada untuk terus menjadi penghubung. Lagipun
zaman sekarang sudah banyak teknologi canggih yang boleh
menjadi penghubung. Ada telefon, SMS, WhatsApp, WeChat,
Instagram, Facebook, macam-macam lagilah. Kenapa perlu
ucap selamat tinggal?
“Yalah, kau dah nak pindah jauh, dah ada suami.
Kita dah tak boleh macam dulu lagi tau. Kalau suami kau tak
suka, berdosa besar. Aku tak naklah kau jadi isteri derhaka.
Ni, kita duduk berdua kat sini... entah-entah dia tak suka.”
Ucap Aamar kedengaran serius.
Qaseh mengeluh kecil merenung ke arah Harith
dan Tok Daud yang turut sama memandang ke arah mereka
berdua.
“Aku rasa, dia sikit pun tak kisah.” Ucap Qaseh dengan
suara yang terlalu perlahan, hampir tidak kedengaran. Entah
kenapa pilu pula rasa hatinya mahu berpisah dengan Aamar
kali ini. Padahal sebelum ini pernah juga Aamar pergi jauh
berminggu-minggu tinggalkan dia seorang di kampung, tak
ada pula dia rasa seperti sekarang.
“Kau tolong jagakan atuk tau. Jagakan Comot
juga.” Suara Qaseh sudah bergetar. Kolam matanya sudah
mula dipenuhi air jernih dan saat itu juga mutiara jernih itu
perlahan-lahan jatuh ke pipinya.
“Ye... aku janji. Kau janganlah nangis. Bukan kau
nak pergi berperang pun.” Aamar cuba mengusik Qaseh, lebih
kepada mahu menghiburkan hati dia sendiri sebenarnya. Jika
diikutkan hati, dan jika tidak difikirkan bahawa Qaseh sudah
bergelar isteri orang sekarang, mahu saja disapu air mata
Qaseh saat itu.
“Sayang... kita dah lambat ni.” Terdengar suara
Harith memanggil sedikit kuat dari pangkin kayu. Dia
sebenarnya sudah mula bosan melihat adegan air mata yang
berlangsung di hadapannya itu.
Qaseh dan Aamar saling berpandangan seketika
sebelum mereka menoleh ke arah Tok Daud dan Harith yang
sedang memandang mereka dari jauh.
‘Huhh! Sayang konon. Hipokrit betul mamat
berlagak ni!!!’ gerutu Qaseh dalam hati dengan perasaan
meluat.
AIR MATA Qaseh sudah tidak dapat ditahan lagi. Terasa
perpisahan kali ini begitu berat baginya, seolah-olah dia
pergi dan tak akan kembali lagi. Comot yang berada di dalam
pelukannya dicium berkali-kali. Seakan mengerti dengan
perbuatan Qaseh itu, Comot hanya membiarkan saja.
“Comot... nanti Comot jaga atuk tau. Comot jangan
nakal-nakal. Aamar akan tengok-tengokkan Comot.” Pesan
Qaseh dengan suara bergetar sambil menggosok-gosok
kepala Comot.
“Meeooww...” Comot menyahut panjang.
“Sudahlah tu Qaseh, Harith dah lama tunggu tu.”
Tegur Tok Daud lembut tatkala melihat Harith sudah mula
mempamerkan wajah bosan.
“Atuk ni, macam nak halau Qaseh je.” Qaseh sudah
berjauh hati. Mukanya sengaja disedihkan lagi. Sumpah!
Dia tak sanggup nak berpisah dengan Tok Daud dan Comot,
dengan Aamar juga sebenarnya.
“Hesy, kamu ni. Ke situ pulak!” Mata Tok Daud
sudah menangkap tajam pada wajah cucunya itu. Bukan dia
tidak tahu perangai si Qaseh tu, jika dilayan makin menjadi
nanti.
Qaseh sudah mencebik sedih. Comot segera
dihulurkan kepada Aamar. Aamar yang membisu sedari
tadi segera menyambut Comot. Harith pula hanya menjadi
pemerhati sedari tadi. Jika diikutkan hatinya yang sudah
kebosanan itu, mahu saja dia mengheret Qaseh terus ke
dalam kereta. Tapi dia harus sabar, kena berlakon sehabis
baik di hadapan Tok Daud dan Aamar.
“Am, jaga Comot dengan atuk tau.” Pesan Qaseh
untuk yang entah ke berapa kalinya. Aamar yang tampak
sugul itu hanya menganggukkan kepala.
Seketika kemudian Qaseh memeluk Tok Daud
dengan erat sambil menangis teresak-esak. Hatinya memang
berat seperti batu mahu meninggalkan Tok Daud bersendirian
di rumah usang itu. Tapi apakan dayanya, Tok Daud sendiri
seakan suka dia pergi.
“Dahlah sayang, jangan sedih lagi. Nanti ada masa,
kita balik lagi jenguk atuk. Abang janji.” Pujuk Harith dengan
suara yang lembut sekali. Tangannya menyentuh bahu Qaseh
dengan mesra. Dalam hati, hanya Allah saja yang tahu betapa
menyampahnya dia melihat drama air mata Qaseh yang entah
bila mahu tamat.
Gulp! Qaseh menelan air liur yang tiba-tiba terasa
penuh di kerongkong.
‘Amboi! Bukan main lembut lagi suara dia ek.
Berbulu rasa telinga aku ni.’ Gerutu Qaseh geram.
Akhirnya dengan berat hati, Qaseh pergi juga
meninggalkan Tok Daud dan Comot. Tinggalkan Aamar juga.
HARITH menguap beberapa kali sambil sebelah tangannya
memicit-micit tengkuknya dengan lembut, manakala
sebelah tangan lagi memegang stereng kereta dengan kemas.
Pandangannya masih terus ke depan, fokus pada jalan raya
yang boleh tahan juga sibuknya itu.
Suasana masih lagi sepi sedari tadi, hanya suara DJ
radio saja yang berceloteh tanpa jemu menemani perjalanan
mereka. Baik dia mahupun Qaseh, masing-masing langsung
tidak bersuara.
Qaseh yang hanya membisu sedari tadi menoleh
seketika kepada Harith yang sudah beberapa kali menguap.
Wajah Harith nampak benar-benar kepenatan. Timbul pula
rasa kasihan di hati Qaseh melihat keadaan Harith begitu.
Mungkin Harith tidak biasa memandu jauh, tambahan pula
tiada teman untuk berbual.
“Awak penat ke? Kalau penat, eloklah kita berhenti
rehat dulu. Tak pun... biar saya je yang drive.” Akhirnya
Qaseh bersuara memecah kebuntuan.
Lama juga Harith senyap sebelum dia bersuara.
“Kau, nak drive kereta? Pandai ke?” suara Harith
kedengaran sinis di telinga Qaseh sambil bibirnya tersenyum
mengejek. Dia terus memandu tanpa menoleh sedikit pun
kepada Qaseh.
“Tak payahlah nak perli macam tu. Saya tahulah
saya ni orang susah, kereta pun tak ada. Tapi saya memang
boleh drivelah. Saya ada lesen yang sah,” balas Qaseh masih
perlahan, cuba menyabarkan dirinya.
‘Huh!!! Tak habis-habis dengan perangai berlagak dia
tu. Tahulah aku ni orang susah. Tak payahlah nak pandang
sebelah mata sangat.’ Gerutu Qaseh tidak putus-putus dalam
hatinya. Wajahnya sudah mencuka.
“Kau? Bawak kereta ni? Memang taklah!” jawab
Harith serius.
‘Gila nak bagi dia bawak kereta aku ni. Memang
taklah oiii. Aset kesayangan aku ni.’ Harith sudah membebel
dalam hati. Qaseh di sebelah dijeling sekilas. ‘Mak aii!!!
Masamnya muka.’
“Hmm... kalau aku tanya sikit, boleh?” Akhirnya
Harith memulakan perbualan antara mereka. Dia menoleh
sekilas kepada Qaseh yang nampak masih marah.
“Tanya apa?” Qaseh jawab nak tak nak saja. Sakit
hatinya masih bersisa.
“Emm... kau dengan Aamar tu memang rapat ke?”
Qaseh tersentak. Pertanyaan tanpa nada daripada
Harith itu membuatkan dahinya berkerut seribu.
“Kenapa?” soalan Harith tadi dibalas dengan soalan
juga oleh Qaseh.
“Aku tanya tu jawab ajelah. Susah ke?” nada suara
Harith sudah bertukar rentak. ‘Orang tanya dia, boleh dia
tanya orang balik.’ Harith mula panas hati.
“Hmm... ye. Kita orang memang rapat. Dia selalu
ada bila saya perlukan dia.” Jawab Qaseh perlahan. Wajah
kacak Aamar mula menari-nari di ruang mata.
“Boleh tahan jugak mamat tu. Handsome! Tapi
kenapa kau tak kahwin saja dengan dia ek? Ops, lupa... kau
memang saja nak kahwin dengan lelaki kaya dan kacak
macam aku ni, kan? Nanti tak payahlah kau kerja keras untuk
hidup mewah.” Selamba saja perkataan itu keluar dari mulut
Harith. Dia kemudiannya tersenyum sinis. Puas rasanya
dapat menyakitkan hati Qaseh.
“Apa yang awak merepek ni? Dia kawan baik sayalah.
Kalau boleh, memang saya nak kahwin dengan dia. Saya
lebih rela kahwin dengan dialah daripada terpaksa berkahwin
dengan mamat berlagak macam awak ni.” Qaseh sudah mula
naik angin. ‘Eeii!!! Sakitnya hati aku dengan mamat ni.
Harap muka je handsome, tapi berlagak Ya Allah... memang
tak ingat!!!’
“Eleh! Tak payahlah nak berlakon, ingat ni drama
Luvis Eija
69
Melayu ke? Tak suka konon. Aku tahulah kau ada agenda
tersendiri, kan? Entah-entah kau ada rancangan nak bolot
semua harta aku, lepas tu kau pergi dengan pakwe kampung
kau tu. Orang zaman sekarang, bukan boleh percaya sangat,
sanggup buat apa saja sebab harta.”
Telinga Qaseh tiba-tiba rasa berdesing sebaik saja
mendengar tuduhan yang terbit dari mulut Harith. Hatinya
menggelegak marah. Wajah selamba Harith yang sedang
memandu di sebelahnya ditenung lama dan tajam.
“Encik Harith Haikal, boleh tak kalau bercakap tu
fikir sikit perasaan orang lain? Tak semua orang gilakan
harta. Yang sanggup buat apa saja sebab harta... tu awak,
bukan saya! Kalau bukan kerana harta, awak tak akan kahwin
dengan saya, kan? Sekarang siapa yang gilakan harta sekarang
ni... saya atau awak?” Qaseh membalas perlahan tetapi dengan
nada yang keras.
Zupp!!! Muka Harith merah dengan tiba-tiba disindir
Qaseh begitu. Dia sedikit pun tidak menyangka bahawa Qaseh
akan memulangkan paku buah keras. Disangkakan Qaseh
gadis kampung yang tidak tahu melawan dan senang untuk
dibuli. Ternyata dia silap besar dalam menilai Qaseh.
“Kenapa diam?” Qaseh tersenyum sinis melihat
Harith hanya diam membatu. Terasa kemenangan berpihak
kepadanya.
Soalan Qaseh hanya dibalas dengan jelingan tajam
oleh Harith. Sakit hatinya bukan kepalang melihat senyuman
sinis Qaseh itu.
‘Takpe! Ini hari kau. Hari aku akan tiba. Kau
tunggu!!!’ getus Harith dalam hati.
Sesuci Cinta Qaseh
70
TEPAT pukul 8.00 malam, mereka selamat tiba di hadapan
sebuah rumah banglo mewah tiga tingkat kepunyaan keluarga
Harith, lebih tepat lagi banglo milik tok ayahnya. Qaseh kaku,
berdiri di tepi kereta sambil matanya bulat merenung terus
pada rumah banglo yang tersergam indah di hadapannya itu.
Seumur hidupnya, inilah pertama kali dia melihat rumah
sebesar dan semewah itu. Dia kagum.
“Oiittt!!! Kau tunggu apa lagi tu?” Harith sudah pun
berdiri di muka pintu bersama dua buah beg terbimbit kemas
di tangan sebelah kanannya.
Qaseh tersentak dengan sergahan Harith yang agak
kuat itu, cepat-cepat dia berjalan mendapatkan Harith yang
sudah lama menunggunya di muka pintu.
“Huh!!! Terhegeh-hegeh,” bentak Harith lagi sebaik
saja Qaseh sudah berdiri di sebelahnya. Manakala Qaseh pula
cuma diam, malas mahu membalas.
“Kau ingat janji kita... depan tok ayah nanti kita
berlakon.” Bisik Harith perlahan di telinga Qaseh sambil
tangan kirinya laju memulas tombol pintu.
Qaseh menelan air liur. Tiba-tiba saja tekaknya
terasa kering dan hatinya berdebar-debar.
“Assalamualaikum...” ucap Harith sebaik saja pintu
rumah dibuka.
“Waalaikumussalam...” terdengar suara seorang
perempuan menjawab salam dari dalam rumah. Harith terus
melangkah masuk bersama beg di tangan.
“Dah sampai pun. Lama Tan Sri tunggu tadi, dah
naik atas pun dia. Duduk dulu Harith, rehat. Nanti Mak Siti
panggilkan Tan Sri. Makan malam pun Mak Siti dah hidang
tu.”
Mesra saja tutur perempuan yang membahasakan
dirinya Mak Siti itu. Mungkin pembantu rumah mereka
Luvis Eija
71
agaknya. Qaseh pula masih terkebil-kebil di muka pintu,
masih teragak-agak untuk masuk.
“La... kenapa berdiri di luar lagi ni? Marilah masuk
Puan.” Sapa Mak Siti lagi sambil matanya terarah tepat pada
wajah Qaseh yang nampak terpinga-pinga di muka pintu.
Qaseh tersenyum kelat. ‘Kurang asam mamat
berlagak ni, tak pelawa pun aku masuk,’ gerutu Qaseh lagi.
Harith yang sudah melabuhkan punggung di sofa
empuk itu segera menoleh. ‘Alamak!!! Terlupa pulak pada
sorang ni.’ Harith sudah menepuk dahinya dan segera
bangun mendapatkan Qaseh, lagak seperti seorang suami
mithali gitu.
“Harith, tahulah sayang isteri tinggal-tinggalkan...
tapi takkanlah nak tinggal dekat depan muka pintu.” Mak Siti
memerli.
Harith sudah tersengih macam kerang busuk,
manakala wajah Qaseh pula sudah berona merah menahan
malu kerana direnung semacam dua macam oleh Mak Siti
sambil tersenyum simpul kepadanya.
“Sayang... jom masuk. Tak payah malu-malu, buat
je macam rumah sendiri.” Tutur Harith lembut sekali sambil
menarik tangan Qaseh supaya masuk. Matanya merenung
tajam ke dalam anak mata Qaseh seakan memberi amaran
tatkala dia merasakan Qaseh mahu menarik tangannya.
Qaseh membalas jelingan Harith, sakit pula hatinya.
‘Kalau ye pun nak berlakon, tak payahlah nak over
sangat! Siap pegang-pegang ni apa cerita pulak?’ bentak hati
Qaseh penuh dengan perasaan geram. Namun begitu, dia
tetap menurut langkah Harith masuk ke dalam. Sekali lagi
Qaseh berasa kagum melihat keindahan hiasan dalaman
banglo mewah itu.
“Harith, Qaseh... dah sampai pun.” Tan Sri Musa
Sesuci Cinta Qaseh
72
yang baru sahaja turun dari biliknya di tingkat atas tersenyum
senang melihat cucu dan cucu menantunya. Harith dan
Qaseh segera mendapatkan Tan Sri Musa dan bersalaman
dengannya.
“Tok ayah sihat?” tanya Harith berbasa-basi.
“Eh, sihat.” Jawab Tan Sri Musa sambil tersenyum
lebar. Kini lega hatinya melihat Harith sudah dapat menerima
Qaseh dalam hidupnya. Wajah Harith nampak ceria saja tidak
seperti waktu mereka mula-mula pergi ke kampung Qaseh
dulu.
Mata Tan Sri Musa beralih pula kepada Qaseh yang
tampak begitu ayu dengan baju kurung dan tudung yang
tersarung kemas di tubuh dan kepalanya itu. Sebaik saja
melihat wajah Qaseh yang tampak jernih itu, hatinya terasa
damai sekali. Entah mengapa naluri tuanya kuat mengatakan
Qaseh ialah jodoh yang terbaik buat Harith, cucunya nan
seorang itu.
Bagi Tan Sri Musa, Harith dan Qaseh memang
sepadan. Mereka sama-sama cantik dan kacak, bagai
cincin dengan permata. Cuma perangai Harith saja yang
membuatkan hati tuanya resah dan gundah kini. Dia
berharap agar kehadiran Qaseh dalam hidup cucunya itu
dapat mengubah cara hidup Harith dan berharap benar Qaseh
akan menjadi pelengkap di dalam hidup Harith.
“Qaseh okey? Penat tak? Kalau penat, pergi naik
atas dulu, mandi dan berehat. Lepas solat isyak nanti, boleh
kita makan sama-sama.” Lembut saja Tan Sri Musa bertanya
sambil matanya merenung tepat kepada cucu menantunya.
“Eh... taklah tok ayah,” balas Qaseh agak segan.
Mana tidaknya, inilah pertama kali dia berdepan dengan ahli
perniagaan yang terkenal itu. Selama ini dia hanya melihat
Tan Sri Musa dari jauh sahaja dan mereka hanya berbalas
senyum.
Luvis Eija
73
“Eh, mana boleh tak penat. Berjalan jauh tu. Pergilah
berehat dulu. Harith, pergi bawak Qaseh berehat kat atas.”
Mata Tan Sri Musa terarah pula kepada Harith yang hanya
diam sedari tadi.
“Err... ermmm, baik tok ayah.” Harith sedayanya
cuba memaniskan muka di hadapan datuknya, tidak mahu
tembelangnya pecah. Kalau Tan Sri Musa tahu dia cuma
berlakon, alamatnya dia gali lubang kubur sendirilah
jawabnya.
“Jom sayang. Kita naik berehat kat atas dulu.”
Dengan selamba Harith memaut pinggang ramping milik
Qaseh, cuba menampakkan kemesraan di hadapan datuknya.
Dup!!! Jantung Qaseh seakan mahu melompat
keluar tatkala tangan sasa milik Harith melekat kemas di
pinggangnya. Mukanya tiba-tiba saja terasa panas, malu betul
dipeluk begitu di hadapan Tan Sri Musa.
Mata Qaseh dan Harith bertembung. Lama begitu.
Jantung Qaseh masih lagi berdegup kencang seakan langsung
tidak memberi ruang kepadanya untuk bertenang.
‘Hailah, jantung... kenapalah kau berdegup
lain macam saja ni? Mamat ni pun satu hal. Tangan tu
gatal sangat nak berpeluk bagai ni kenapa?’ Qaseh sudah
menyumpah-nyumpah dalam hati.
Pelukan Harith cuba dileraikan, rimas pula dia
dengan keadaan yang begitu. Namun apa yang berlaku di luar
jangkaannya. Bukan pelukan yang terlerai, malah semakin
dikemaskan oleh Harith. Mata Harith direnung tajam,
mengharap agar Harith faham dengan pandangannya itu.
Sungguh dia rimas. Lemas diperlakukan begitu oleh Harith,
apatah lagi di hadapan Tan Sri Musa.
Gulpp!!! Qaseh menelan air liur yang tiba-tiba terasa
penuh di kerongkongnya. Renungannya yang tajam tadi
dibalas lebih tajam oleh Harith, seakan mahu menelannya
Sesuci Cinta Qaseh
74
hidup-hidup di situ.
‘Mak aiii!!! Tajamnya mata tu. Macam nak tembus
biji mata aku direnungnya.’ Getus Qaseh dalam hati sambil
matanya sudah beralih merenung lantai. Kecut pula perutnya
berbalas pandang dengan Harith begitu.
“Kami naik dulu ye tok ayah.” Harith sudah
tersenyum semula kepada tok ayahnya dan terus menarik
Qaseh supaya naik ke atas bersamanya.

No comments:

Post a Comment