DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 13 July 2016

Sesuci Cinta Qaseh - Bab 10

QASEH menggeliat malas. Kedua belah matanya
digosok lama sambil telinganya pula dengan jelas dapat
menangkap bunyi laungan azan subuh yang sayup-sayup
bergema dari masjid yang berdekatan dengan taman
perumahan mewah itu. Dia menggeliat beberapa kali cuba
melawan kemalasan yang sedang melanda.
‘Huhh!!! Sejuknya...’ getus Qaseh sambil matanya
menari laju pada suhu pendingin hawa yang terpasang kemas
di dinding bilik. ‘Lorrr, patutlah sejuk. Tujuh belas darjah
celcius. Boleh jadi sejuk beku ni.’ Runggut Qaseh lagi sambil
memaksa diri untuk bangun.
Baru sahaja Qaseh mahu melangkah turun dari katil,
langkahnya terus mati tatkala terpandangkan sesusuk tubuh
milik Harith yang sedang nyenyak tidur di lantai bilik yang
beralas dengan Toto tebal. Tubuh lelaki itu bergumpal kemas
dalam selimut yang tidak kurang juga tebalnya. Lama mata
Qaseh terpaku di situ dengan dahi yang berkerut. Tiba-tiba
saja fikirannya menjadi kusut.
Dia langsung tidak menduga, dalam sekelip mata
saja dia sudah bergelar isteri kepada seorang lelaki yang
langsung tidak dikenalinya. Dan paling tak diduga, dia
akhirnya berkahwin juga sedangkan selama ini dia memang
menentang keras sebuah perkahwinan.
Nafas Qaseh dihela lama. Mata jernihnya masih
lagi terpaku lama pada seraut wajah kacak milik suaminya
yang tampak tenang dan lena sekali walaupun cuma tidur
beralaskan Toto di lantai. Ada senyuman yang terukir di
bibirnya dalam diam.
‘Baik juga hati kau ni. Sanggup lepaskan tilam
empuk kau pada aku. Dalam berlagak, ada juga sweetnya kau
ni, kan? Hmm... tapi, betul ke kau ni suami aku ek? Kenapalah
kau benci sangat pada aku? Eh nanti kejap. Aku pun tak suka
kau, tau.’ Qaseh terus bermonolog sendiri dengan muka yang
berkerut seribu.
Bunyi cicak yang berdecit kuat pada siling bilik itu
serta-merta mematikan lamunan kasih.
‘Ya Allah!!! Boleh pulak aku berangan kat sini.’
Qaseh sudah menggaru kepalanya yang tiba-tiba saja terasa
gatal. Dia cepat-cepat turun dari katil dan bergegas ke bilik
air untuk membersihkan diri dan bersolat subuh.
BAU wan gi daripada bawang yang sedang ditumis oleh
Mak Siti menusuk laju ke rongga hidung Qaseh tatkala dia
menjengah ke ruang dapur. Dengan berhati-hati dia berjalan
menghampiri Mak Siti yang sedang ralit mengacau sesuatu
di dalam kuali. Walaupun rasa segan masih menebal di hati,
dia gagahkan jua dirinya untuk beramah mesra dengan
pembantu rumah suaminya itu.
“Masak apa tu?” sapa Qaseh perlahan. Dia sudah pun
berdiri tegap di sebelah Mak Siti.
“Eh, kapal terbang kau meletup!!! Haaa... Meletup!
Eh... ehh, meletup!!!” Mak Siti sudah bersilat-silat dengan
sudip yang tergenggam kemas di tangan.
Qaseh terlopong melihat Mak Siti yang sudah
bersungguh-sungguh membuka bunga silat.
‘Aduhhh... melatahlah pulak. Apa aku nak buat ni?’
Qaseh sudah menelan liur. Mukanya juga jelas kelihatan
bersalah.
“Ya Allah, Puan... terkejut Mak Siti.” Ucap Mak Siti
tercungap-cungap sambil mengurut dada tatkala latahnya
sudah mereda. Cepat-cepat dia mengacau bihun goreng yang
berada di dalam kuali, bimbang hangit pula nanti.
“Qaseh minta maaf Mak Siti. Tak sengaja buat Mak
Siti terkejut dan melatah.” Mohon Qaseh dengan suara yang
perlahan, penuh penyesalan.
Jika Qaseh tahu Mak Siti itu kuat melatah, tentu
dia tidak akan menyapa Mak Siti tiba-tiba begitu. Wajah
perempuan berumur dalam lingkungan 50-an itu direnung
dengan muka bersalah. Jika dilihat sekali imbas, Mak Siti ini
mungkin sebaya dengan Mak Esah, emak Aamar.
“Eh, bukan salah Puan. Mak Siti ni memang kuat
melatah.” Balas Mak Siti pula bersungguh-sungguh. Jika
boleh, dia tidak mahu isteri majikannya itu dihantui perasaan
bersalah. Tangannya ligat bekerja, menyalin bihun yang telah
siap digoreng itu ke dalam bekas dan dibawa ke meja makan
yang di atasnya sudah terhidang dengan roti bakar dan telur
mata kerbau. Terdapat juga seteko penuh air koko panas.
“Tak payahlah nak berpuan-puan Mak Siti. Panggil
Qaseh je. Tak selesa pulak saya bila Mak Siti panggil macam
tu.” Qaseh tersenyum tipis sambil membuntuti Mak Siti ke
meja makan.
“Isy... mana boleh! Nanti Tan Sri dengan Harith
marahkan Mak Siti.”
“Allah!!! Tak ada maknanya diaorang nak marah.
Dahlah, keputusan Qaseh muktamad. Panggil Qaseh aje.
Emm, ada apa-apa yang boleh Qaseh tolong ke?” tanya Qaseh
ramah sambil matanya melirik penuh kepada Mak Siti.
Ternyata Qaseh sudah mula dapat menyesuaikan diri dengan
Mak Siti.
“Eh, tak payah. Mak Siti dah biasa buat semua ni.
Lagipun semua dah siap. Tunggu masa nak makan saja. Yang
Qaseh ni bangun awal pagi sangat ni kenapa? Tak lena tidur?”
tanya Mak Siti dengan senyuman lebar yang menguntum di
bibir. Mereka sudah pun duduk di meja makan.
“Err... taklah. Qaseh memang dah biasa bangun pagi
Mak Siti. Masa kat kampung, sesudah subuh aje atuk terus
turun ke laut. Jadi Qaseh memang tak pernah tidur lepas
subuh. Lagipun atuk selalu pesan, tak elok tidur selepas
subuh, payah rezeki.” Tutur Qaseh mesra dengan senyum
yang menguntum di bibir. Cantik!
Mak Siti seakan-akan terpaku melihat kecantikan
Qaseh. Setiap kali Qaseh mengukir senyum, setiap kali itulah
lekuk di kedua belah pipinya akan kelihatan dan membuatkan
senyumannya bertambah manis.
Qaseh mula berasa tidak selesa direnung begitu
oleh Mak Siti. Dia membetulkan sedikit tudung bawal yang
disarung ala kadar saja di kepalanya dan baju kurung moden
yang dipakainya, cuba mencari keselesaan.
“Kenapa Mak Siti renung Qaseh macam tu?”
Akhirnya dia tidak dapat menahan diri daripada bertanya.
“Aaa... tak ada apa-apa. Ermm, ni... dah kejutkan
Harith ke belum?”
Pertanyaan Mak Siti itu membuatkan dahi Qaseh
berkerut seribu.
“Kena kejut ke?” tanya Qaseh seperti orang bodoh.
“La... budak bertuah ni, dah pukul berapa dah ni...
nanti mengamuk pulak Harith tu kalau terlewat ke pejabat.
Kalau Qaseh nak tahu, suami Qaseh tu payah nak bangun
pagi.”
“Ooo...” jawab Qaseh sepatah sambil tersengih
macam kerang busuk. Mak Siti pula hanya menggelengkan
kepala.
“Assalamualaikum...” tiba-tiba suara garau seorang
lelaki kedengaran memberi salam.
Serentak Mak Siti dan Qaseh menoleh ke arah pintu
belakang dapur yang terbuka sedari tadi. Cahaya matahari
yang samar-samar juga telah masuk melalui pintu itu, namun
tidak pula sampai menyilaukan pandangan mereka.
“Eh, Sufian, masuklah...” pelawa Mak Siti sambil
tersenyum senang melihat Sufian, ayah Qaseh yang sedang
berdiri di ambang pintu.
Tanpa membuang masa lagi, Sufian terus melangkah
masuk dan duduk bersama mereka di situ. Qaseh sudah
semacam dua macam. Wajah yang tadinya ceria sudah
berubah riak menjadi mendung. Namun begitu, sedayanya dia
cuba mengawal emosi agar tidak kelihatan ketara di hadapan
Mak Siti. Dia tidak mahu Mak Siti tahu hal yang sebenarnya.
Tetapi berdepan dengan ayahnya saat itu, sudah
cukup membuatkan hatinya hancur dan dipagut pilu.
Kenangan zaman kanak-kanaknya mula menari-nari di
ruang ingatan. Masih terasa olehnya betapa sakitnya rasa
menanggung rindu dan menagih kasih seorang ayah.
Ayah yang dahulunya seorang yang penyayang dan
bertanggungjawab, hilang dengan sekelip mata sahaja. Saban
malam dia menangis, bertambah pilu melihat keadaan arwah
ibunya yang seakan hilang semangat untuk meneruskan
hidup. Ibunya menjadi cemuhan orang kampung, konon
ayahnya Sufian menceraikan ibunya kerana ibunya bermain
kayu tiga dan tidak pandai melayan suami. Kerana tidak tahan
dengan cacian dan tohmahan itulah ibunya seakan-akan
hilang semangat untuk meneruskan hidup.
Setiap hari dia diejek oleh kawan-kawan, dipulaukan
oleh mereka kerana mempunyai seorang ibu yang seakan-akan
kurang siuman. Dan hanya Aamarlah satu-satunya kawan
yang dia ada. Yang tersangat ikhlas dan selalu ada untuk
membela dirinya selain daripada Tok Daud. Kerana itulah
hubungan dia dan Aamar sangat akrab.
Qaseh mula sebak.
“Qaseh, okey tak tinggal kat sini?” tanya Sufian
mesra, mula membuka bicara.
Sufian tahu dan dia cukup yakin Qaseh tidak
menyenangi kehadirannya di situ sebenarnya. Jelas di
matanya, Qaseh seakan-akan tidak selesa dengan kehadirannya
di situ. Wajah kelat anak perempuannya yang telah diabaikan
bertahun lamanya itu ditatap lama. Perasaannya sarat dengan
rasa penyesalan yang tidak berkesudahan.
‘Qaseh... sampai bila kau mahu pulaukan ayah, nak?’
rintih Sufian dalam hati.
Bukan salah Qaseh. Sungguh! Anaknya itu
langsung tidak bersalah. Dialah yang bersalah. Kalau dia
tidak terlampau ikutkan kata hati, tentu Qaseh tidak akan
membencinya. Kalau dia tidak abaikan Qaseh, dan kalaulah
dia bertegas dengan Latipah untuk menjaga Qaseh, tentu
semua ni tak akan terjadi dan Qaseh tidak akan membencinya.
Tetapi, apalah gunanya sekarang. Menangis air mata darah
sekalipun, keadaannya masih tetap sama. Tetap tidak akan
merubah rasa benci dan dendam Qaseh terhadapnya.
Mak Siti merenung lama kepada Qaseh dan Sufian
dengan dahi yang berkerut dan wajah yang penuh dengan
tanda tanya. Hatinya bagaikan dapat meneka sesuatu. Melihat
riak pada wajah Qaseh yang berubah tiba-tiba itu dan wajah
mendung Sufian, sudah cukup membuatkan hati Mak Siti
berasa curiga.
“Awal kamu datang hari ni, Sufian?” tanya Mak Siti
berbasa-basi memecahkan kebisuan tatkala melihat Qaseh
hanya diam sambil tunduk merenung lantai tanpa membalas
pertanyaan ayahnya sebentar tadi.
“Tan Sri suruh datang awal kak. Ada mesyuarat
penting katanya.” Balas Sufian perlahan seakan-akan tidak
bersemangat.
“Emm... Qaseh naik atas dulu ye. Nak kejutkan
Abang Harith.” Tanpa menantikan jawapan Mak Siti dan
ayahnya, Qaseh terus berlalu dari ruang dapur menuju ke
tingkat atas. Dia sebenarnya tidak betah lagi untuk terus
duduk di situ bersama-sama dengan ayahnya.
Wajah Sufian semakin mendung. Matanya
tidak sanggup memandang wajah Mak Siti yang sedang
merenungnya dengan dahi berkerut. Saat dan tika itu dia
yakin Mak Siti pasti sudah dapat menghidu sesuatu, namun
biarlah begitu.
“KAU merayap ke mana hah? Kenapa tak kejutkan aku?
Dah lambat, tahu tak???” suara keras Harith menerjah tepat
ke gegendang telinga Qaseh sebaik saja dia melangkah masuk
ke bilik.
Qaseh diam. Matanya yang redup dan berkaca
itu memandang terus kepada Harith yang sudah lengkap
berkemeja biru laut dan berkot hitam. Nampak kacak sekali.
Dia diam membatu, sepatah pun tidak menjawab.
Harith tergamam melihat wajah Qaseh yang tampak
sayu dengan mata yang sudah berkaca itu. Niat untuk terus
mengherdik Qaseh terus terbantut. Entah mengapa hatinya
yang sedang menggelegak panas itu berasa sejuk tiba-tiba.
‘Aik, kenapa pulak dengan minah kampung ni?’
Harith sudah tertanya-tanya.
“Kenapa ni?” tanya Harith lembut. Dia datang
mendekat kepada Qaseh dan cuba menggapai tangan Qaseh
untuk memujuk. Sungguh! Walaupun hatinya sakit setiap
kali terpandangkan wajah Qaseh, namun melihat wajah
Qaseh yang tampak sedih dan sayu saat itu membuatkan
hatinya menjadi lembut tiba-tiba.
Cepat-cepat Qaseh melarikan tangannya daripada
digapai Harith sambil menggelengkan kepalanya dengan
laju. Dia mengundur setapak ke belakang, cuba menjarakkan
kedudukan mereka.
“Huh...” Harith mendengus kecil sambil matanya
merenung tajam kepada Qaseh yang sudah pun tunduk
merenung lantai. Sakit pula rasa hatinya diperlakukan
begitu. Sebelum ini, belum pernah ada perempuan yang
berani menolaknya, dan inilah pertama kalinya. Harith rasa
betul-betul tercabar.

No comments:

Post a Comment