DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 13 July 2016

Sesuci Cinta Qaseh - Bab 5

“MEOOWW...”
Comot bergesel-gesel pada kaki Qaseh. Hujan masih
turun mencurah-curah, petir juga masih berdentam-dentum
memekakkan telinga dan mengecutkan tali perut.
‘Ya Allah, mana atuk ni? Hujan lebat macam ni tak
balik-balik pun lagi.’
Qaseh sudah tertinjau-tinjau keluar rumah menerusi
jendela. Risau betul hatinya memikirkan Tok Daud yang
sedang berada di tengah lautan dalam keadaan hujan lebat
begitu. Bunyi deru ombak yang kuat juga jelas kedengaran
di cuping telinganya, menambahkan lagi kerisauan di
hati. Qaseh sudah mahu menangis, risau betul hatinya
mengenangkan Tok Daud.
“Mana atuk ni, Comot? Risaunya Qaseh. Apa kita
nak buat ni Comot?” suara Qaseh sudah bergetar. Matanya
memandang tepat pada muka kucing kesayangannya itu.
“Meeooww...” Comot membalas, seolah-olah faham
dengan apa yang dikatakan Qaseh.
Comot kemudiannya kembali menggeselkan
kepalanya pada kaki Qaseh. Qaseh tunduk, terus mengangkat
dan mendukung Comot. Dia berjalan ke serambi rumah
dengan perasaan resah. Hujan masih lagi lebat dengan petir
yang menyala-nyala di dada langit.
“Qaseh!!! Ambilkan atuk tuala.” Terdengar suara tua
datuknya dari bawah rumah.
Qaseh segera menoleh, entah bila datuknya berada
di situ dia tidak sedar. Mungkin datuknya balik melalui jalan
belakang. Apa pun, Qaseh menarik nafas lega apabila melihat
datuknya pulang dengan selamat. Dia bergegas ke dalam
rumah dan kemudian keluar semula bersama sehelai tuala
di tangan.
“Nah, tok.” Tuala sudah bertukar tangan. Tok
Daud tersenyum melihat cucunya yang masih mendukung
kucingnya nan sekor itu.
“TOK... Risau betul Qaseh tadi. Kenapa atuk lambat sangat
balik? Biasa tu kalau hari nak hujan, atuk awal-awal lagi dah
balik.” Qaseh sudah duduk di serambi bersama secawan kopi
di tangan. Cawan dihulurkan kepada datuknya yang sedang
duduk bersandar pada tiang sambil menghisap rokok daun.
Hujan sudah semakin reda, tidak selebat tadi. Petir
juga sudah menutup mulutnya, tidak lagi bertempik kuat.
“Atuk pergi jauh sikit hari ni, tak sangka pulak hujan
nak turun awal. Hmm, tak ada rezeki kita hari ni. Seekor ikan
pun tak dapat.” Jawab Tok Daud perlahan seakan kecewa.
Cawan kopi yang masih berasap tipis itu dibawa ke mulut
dan dihirup sedikit, kemudian dia meletakkan kembali di atas
lantai yang beralaskan tikar mengkuang itu.
“Takpelah tok. Nanti ada la rezeki yang lain tu.” Ucap
Qaseh perlahan seakan memujuk juga.
“Atuk nak makan? Qaseh dah masakkan nasi dan
lauk.”
“Hmm... kejap lagilah. Atuk nak solat zohor dulu.”
Rokok daun terus disedut lama oleh Tok Daud.
Qaseh menggelengkan kepala melihat kelakuan
datuknya itu. Sudah berbuih mulut Qaseh menasihatkan
datuknya itu, tapi Tok Daud tetap juga berdegil. Katanya, rasa
tak senang duduk kalau tak dapat merokok.
“Okeylah kalau macam tu. Qaseh masuk dalam dulu
ye.” Sebuah senyuman diberikan kepada datuknya dan Qaseh
terus menghilang ke dalam rumah.
“QASEH!!!” Laung Tok Daud agak kuat dari luar bilik Qaseh.
Qaseh yang sedang bergolek di atas katil usangnya
bersama Comot sambil membaca majalah wanita terus
menyahut.
“Ye tok.”
“Ni, Aamar datang nak jumpa kau. Dia tunggu dekat
tangga rumah tu,” balas Tok Daud kemudiannya.
“Sekejap tok, nanti Qaseh keluar.” Qaseh terus
mencapai tudung bawal yang tersangkut di paku belakang
pintu biliknya. Seluar trek yang disingkatkan sampai ke betis
terus dilabuhkan lalu dia keluar mendekati Aamar.
“Oiittt!!! Tak kerja ke?” sapa Qaseh sebaik sahaja
melihat Aamar yang sedang duduk di tangga rumah, ralit
merenung Tok Daud yang sedang menggantung pukat di
pokok mangga dekat pangkin kayu.
“Kalau ye pun, bagilah salam dulu.
Waalaikumussalam.” Aamar sudah bersuara sinis. Dia
merenung Qaseh yang sudah pun tersipu-sipu malu.
“Yalah, assalamualaikum.” Ucap Qaseh perlahan
sambil tersengih macam kerang busuk. Segan pula dia
kepada Aamar.
“Waalaikumussalam... haa, macam itulah baru
sopan.” Balas Aamar yang sudah pun tersenyum lebar melihat
Qaseh.
Qaseh terus duduk di lantai papan dekat dengan
tangga. Wajah kacak Aamar ditatap lama. Kalaulah dia
ni jiwang, dah lama rasanya dia tangkap cintan dengan
Aamar. Mana tidaknya, Aamar tu boleh tahan kacaknya.
Dengan muka dah ala-ala Zul Ariffin, pelakon yang pernah
digosipkan dengan Abby Abadi tu. Kalau sekali dia renung,
memang boleh cairlah.
“Kenapa kau pandang aku macam tu? Dah jatuh
hati?” Aamar sudah tersengih mengusik Qaseh.
“Uweekkk!!! Perasanlah kau ni. Aku tengok kau sebab
hairan, tengah hari buta dah tercongok kat tangga rumah aku
ni. Kau tak kerja ke?” balas Qaseh cuba menutup perasaan
malunya. Wajahnya sengaja diseriuskan.
Aamar sudah ketawa kecil, tahu benar Qaseh tengah
cover malu. Dia kemudiannya menjeling jam tangan yang
terletak kemas di lengan.
“Mana ada tengah hari? Dah pukul dua lebihlah.”
Balas Aamar selamba. Matahari bersinar terik selepas hujan
yang turun lebat sebentar tadi telah mereda. Air hujan di
hujung daun masih lagi kelihatan, nampak bersinar apabila
terkena cahaya matahari.
“Yalah... baru nak masuk pukul tiga. Kau tak kerja
ke hari ni?”
“Tak. Hari ni bos aku pergi holiday dengan keluarga
dia, so dia bagi aku cuti.” Jawab Aamar bersaja. Aamar bekerja
sebagai PA kepada pemilik resort di kampung mereka. Dia
dan Aamar sama-sama belajar di UMT, dan sekarang Aamar
sudah pun bekerja, cuma tinggal dia sahaja yang masih
belum bekerja.
“Seronoklah kau.”
“Kau lagi seronok, nanti dah nak kahwin.” Saja
Aamar mahu mengusik Qaseh. Dia sudah tergelak kecil.
“Kurang asam!!!” Qaseh sudah menumbuk bahu
Aamar dengan muka mencuka.
Aamar mengaduh kecil kemudiannya ketawa besar
melihat wajah Qaseh yang sudah mencuka. Dalam hati hanya
Allah saja yang tahu betapa dia kecewa sebenarnya kerana
terpaksa melepaskan Qaseh pergi.
“Tok... tengok ada orang dah malu.” Laung Aamar
kepada Tok Daud yang sedang menyirat pukat di pangkin
kayu.
Tok Daud hanya tersengih sambil menggelengkan
kepala melihat telatah mereka.
“Aamar, aku tak tahulah nak cakap apa.” Ucap Qaseh
perlahan dengan perasaan sebal.
“Kau tak payah cakap apa-apa, aku dah faham. Nasihat
aku cuma satu, yakin dengan perancangan Allah. Kau anggap
je ini takdir yang Allah tentukan untuk hidup kau.Apabila
kau ikhlas, Insya-Allah...” ucap Aamar perlahan, matanya
masih tidak lepas merenung wajah Qaseh. Perasaannya
berbolak-balik, hatinya berasa sakit tatkala menuturkan
kata-kata itu, tapi dia harus menenangkan perasaan Qaseh
juga.
“Urrmm, aku datang nak bagi kau ni sebenarnya.”
Ucap Aamar lagi apabila dia melihat Qaseh masih lagi
membisu dengan muka yang keliru. Dia menghulurkan
sebuah kotak berbalut kemas kepada Qaseh.
Kening Qaseh bertaup rapat, hairan melihat kotak
yang dihulurkan Aamar.
“Hadiah apa pulak ni? Rasanya hari jadi aku lambat
lagi.” Dengan teragak-agak Qaseh menyambut kotak hadiah
yang dihulurkan Aamar kepadanya.
“Ambil ajelah. Kau ni banyak cakap, kan!” Aamar
buat-buat marah.
“Hehe... okey, aku ambillah ni.” Qaseh sudah
tersengih melihat Aamar yang sudah mula naik angin. Kotak
yang berbalut cantik itu terus bertukar tangan.
“Aku buka ye...” Dengan laju tangan Qaseh
mengoyakkan pembalut hadiah yang membungkus kemas
kotak sederhana kecil itu. Sebaik sahaja pembalut hadiah
dibuka, mulut Qaseh melopong apabila terlihat gambar
telefon terpamer pada kotak sederhana kecil itu. Mata Qaseh
sudah membulat merenung Aamar dengan mulut yang masih
ternganga luas.
“Oii!!! Kenapa? Nampak hantu?” Aamar sudah
tergelak kecil.
“Apa... apa ni?” tanya Qaseh tergagap-gagap. Kotak
telefon berjenama Samsung itu ditayangkan ke muka Aamar.
“Telefonlah. Tak kan jakun sampai telefon pun tak
kenal.” Sinis Aamar sambil tersenyum sumbing.
“Itu aku tahulah. Untuk siapa? Nak buat apa?” tanya
Qaseh dengan nada keras, mengetap bibir tanda geram. Sakit
hati pula apabila dengar Aamar cakap dia jakun.
“Untuk kaulah Cik Qasehku sayang. Aku baru dapat
gaji pertama aku. Itu je yang mampu aku belikan untuk kau.”
“Ya Allah, Aamar! Ini pun dah mahal ni... segan pulak
aku.” Qaseh merenung kotak telefon berjenama Samsung
Young itu. Jika diikutkan, memang telefon itu sudah cukup
ketinggalan berbanding jenama-jenama terbaru di pasaran,
tetapi itu sudah cukup baik buat Qaseh kerana dia tidak
mempunyai sebarang telefon bimbit pun sebenarnya.
“Kau jaga baik-baik tau. Kalau kau dah dapat kerja
bagus nanti, dah beli telefon baru, jangan pulak kau buang
telefon tu.” Pesan Aamar kelihatan bersungguh-sungguh.
“Isyy!!! Aku tak akan beli telefon baru selagi telefon
ni tak rosak. Aku janji akan jaga telefon ni baik-baik. Terima
kasih tau.” Qaseh terharu. Wajahnya tampak sedikit mendung,
tidak menyangka Aamar masih ingat untuk membelikan dia
sesuatu dengan gaji pertamanya.
Aamar cuma tersenyum kelat. Kemudian
masing-masing menyepikan diri. Mata mereka begitu asyik
memandang Tok Daud yang sedang ralit duduk menyirat
pukat di pangkin kayu.
“Bila pihak lelaki nak datang?” soalan Aamar
memecahkan kesepian antara mereka.
Qaseh jongket bahu tanda tidak tahu. Dia memang
betul-betul tidak tahu. Kalau mengikut kata datuknya,
mereka akan datang pada minggu ini tetapi tidak pula
diberitahu tarikh yang tepat.
“Hmm... nanti bila kau dah kahwin, kita dah tak
boleh duduk macam ni.” Ucap Aamar lagi, perlahan saja
suaranya. Matanya masih merenung ke depan tanpa menoleh
kepada Qaseh. Dari hujung mata, dia tahu Qaseh sedang
merenungnya.
“Kenapa?” soal Qaseh sepatah.
“Sebab kau dah jadi isteri orang. Tak manis kalau
duduk berdua dengan aku macam ni. Lepas ni, kalau suami
kau tak suka kau berkawan dengan aku, kau dah tak boleh
berkawan dengan aku. Tapi, minta-mintalah suami kau tu
faham.”
“Hmm... kaulah kawan aku dunia dan akhirat.”
Ucap Qaseh lagi. Suaranya sudah bergetar dan matanya juga
sudah berkaca. Qaseh tidak dapat bayangkan kehidupannya
tanpa Aamar. Selama ini Aamarlah yang selalu berada di
sampingnya tika susah ataupun senang.
‘Aku pun tak yakin dengan perkahwinan ni Aamar.
Aku tak tahu, perasaan aku kosong.’ Kata-kata itu hanya
terluah dalam hati Qaseh. Masing-masing terus diam semula,
tenggelam dalam perasaan yang sukar untuk ditafsirkan.
Tiba-tiba sebuah kereta mewah berjenama Alfa
Romeo berhenti betul-betul di tengah halaman rumah Tok
Daud. Aamar dan Qaseh tercengang-cengang, berpandangan
sesama sendiri. Tok Daud yang sedang ralit menyirat pukat
juga sudah berhenti dan merenung tepat pada kereta mewah
yang tersadai kemas di halaman rumahnya itu dengan wajah
tertanya-tanya juga.
Tidak lama kemudian kelihatan Sufian, ayah
Qaseh turun dari perut kereta dan berlalu segera ke pintu
penumpang belakang, membuka pintu. Seorang lelaki tua
dalam lingkungan umur 60-an yang segak bergaya turun dari
perut kereta. Sebelah sana pula kelihatan seorang lelaki muda
yang kacak dan segak dalam baju berjenama serta berkaca
mata hitam turun juga.
“Ayah.” Sapa Sufian terus bersalaman dengan Tok
Daud, diikuti pula lelaki tua dan muda tadi.
Aamar dan Qaseh masih berpandangan. Seketika
kemudian Aamar bagaikan dapat meneka siapakah gerangan
tetamu yang muncul dengan tiba-tiba di rumah Tok Daud
lewat tengah hari itu.
“Qaseh, aku balik dulu. Nanti aku SMS kau.” Aamar
sudah tergesa-gesa menuruni anak tangga kayu itu.
Semasa melintasi pangkin kayu, Aamar berhenti
seketika untuk bersalaman dengan Tok Daud, Sufian dan
juga dengan dua lelaki itu.
Qaseh memandang Aamar yang sudah menghilang
bersama motor Honda EX5nya dengan perasaan yang
bercelaru.
‘Kenapa Aamar tergesa-gesa mahu pulang?’ Qaseh
tertanya-tanya sendiri. Setelah kelibat Aamar tidak lagi
kelihatan, dia terus berlalu ke dalam rumah.
“AWAK suka pantai?”
Sapaan lembut Qaseh membuatkan lamunan Harith
terganggu. Dia yang sedang ralit merenung pantai yang begitu
indah dan mendamaikan itu segera menoleh ke belakang.
Wajahnya nampak tegang tatkala melihat Qaseh sudah pun
berdiri tegak di belakangnya. Entah sejak bila Qaseh berdiri
di situ, dia sendiri tidak pasti.
“Kau nak apa datang sini?” Sinis sekali Harith
bertanya sambil tayang muka tidak puas hati. Qaseh yang
sedang berdiri di hadapannya kini ditenung lama.
‘Huh... muka kampung macam ni ada hati nak
kahwin dengan aku.’ Ejek Harith dalam hati. Qaseh yang
sedang memakai seluar trek, bert-shirt lengan panjang dan
bertudung litup itu dipandang dengan hujung mata. Sakit
rasa hatinya apabila mengenangkan dia terpaksa berkahwin
dengan perempuan kampung macam Qaseh.
“Errr... urrrmm...” Qaseh sudah mati kata. Mukanya
terasa tebal lima belas inci apabila dilayan begitu oleh Harith.
‘Cis!!! Berlagak!!! Kau ingat aku kebulur sangat nak
datang menghadap kau kat sini? Kalau bukan sebab atuk
dengan tok ayah kau yang beria-ia suruh aku datang panggil
kau, aku pun tak inginlah!!!’ Qaseh nak saja sembur mamat
berlagak depan dia tu, tapi kata-kata itu hanya terluah dalam
hatinya saja. Sebaliknya dia hanya tunduk merenung pasir.
Mukanya sudah bertukar menjadi merah, malu dilayan
begitu.
“Kau dengar sini! Kau jangan berangan sangat ye.
Aku sebenarnya tak ingin pun nak kahwin dengan kau. Cuba
kau cermin diri kau tu, layak ke nak jadi isteri aku?” Harith
sudah ketawa mengejek.
Zuppp!!! Darah merah terasa menyerbu ke muka
Qaseh sebaik sahaja mendengar kata-kata hinaan Harith itu.
Mukanya juga sudah berasa panas dek menahan perasaan
marah dan malu.
‘Kalau kau tak nak, kenapa datang? Aku pun tak
inginlah dengan mamat berlagak macam kau ni. Harap
muka je kacak, tapi adab takde. Hancus!!!’ marah Qaseh. Tapi
sayang, semua itu hanya terluah dalam hatinya. Dia masih
diam merenung pasir.
“Aku akan pastikan kau menderita bila kahwin
dengan aku nanti!!!” keras sekali suara Harith menerjah
ke gegendang telinga Qaseh, membuatkan jantung Qaseh
bagaikan disentap, hatinya bagaikan disiat-siat.
‘Ya Allah... kenapa harus macam ni? Belum kahwin
lagi dia dah layan aku macam sampah.’ Qaseh sudah mula
sebak. Matanya mula berkaca dan mutiara jernih mula jatuh
di pipinya tatkala dia melihat pemergian Harith dengan
hujung mata.

No comments:

Post a Comment