DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 13 July 2016

Sesuci Cinta Qaseh - Bab 6

KOTAK baldu merah yang berbentuk hati itu
dipandang sepi oleh Qaseh. Angin pantai masih berpuput
pada petang itu, lembut menyapa wajahnya. Tudung dan baju
kurung yang dipakainya turut terbuai-buai lembut disapa
bayu pantai. Dia masih duduk di atas sebatang kayu kering
yang terletak berhampiran pantai dengan perasaan dan hati
yang bercelaru.
Terasa sesak benar nafasnya saat itu apabila teringat
kembali kata-kata Harith tempoh hari. Macam mana nak
berkahwin dan hidup bersama dengan lelaki itu kalau
awal-awal lagi Harith sudah tunjuk lagak dan sudah terang
lagi bersuluh memang membencinya.
‘Perlu ke aku kahwin? Arrghhh!!! Serabutnya. Kenapa
semua nak tergesa-gesa? Kenapa aku tak boleh nak tentukan
arah hidup aku sendiri?’ Qaseh sudah mula rasa tertekan.
Ranting kayu yang berada di tangannya itu dikuis-kuis ke
pasir putih yang berada di hujung kaki. Kotak baldu berwarna
merah tadi masih terletak kemas di atas batang kayu yang
sedang didudukinya.
“Minggu depan Qaseh kahwin.” Suara datuknya
terngiang-ngiang di hujung telinga.
Qaseh mengeluh lagi.
“Woiii!!! Apa hal mengeluh ni?” Dia disergah
tiba-tiba, agak kuat dari belakang.
Dup! Jantungnya bagaikan hendak gugur. Dia segera
menoleh, merenung tajam pada wajah Aamar. Sakit pula
hatinya disergah tiba-tiba begitu kala hati dan fikirannya
tengah kusut.
“Waalaikumussalam!” perli Qaseh dengan muka
kelat.
Aamar yang sudah pun duduk di tepinya itu tersengih
malu. Tersedar kesilapan diri.
“Heee... assalamualaikum...” ucap Aamar sambil
tersipu malu.
“Haa... reti pun nak bagi salam. Ingatkan dah tak reti
tadi. Waalaikumussalam...” Jawab Qaseh berserta sindiran.
Muka Aamar yang sudah merah itu direnung lama.
‘Hmm... kalaulah aku boleh kahwin dengan kau kan
senang. Mesti aku tak pening kepala nak kena fikir semua
ni. Tapi, kau pulak yang tak nak kahwin dengan aku.’ Getus
Qaseh dalam diam.
“Hoi!!! Berangan lagi!” Aamar sudah menarik tudung
Qaseh.
“Apa ni?” marah Qaseh sambil betulkan balik
tudungnya yang sudah jatuh ke depan. Wajahnya sengaja
dimasamkan tanda protes.
“Kau fikir apa ni? Cuba cerita dengan aku. Orang
lain nak kahwin happy, tapi kau dah macam orang mati
suami. Termenung sana, termenung sini...” tanya Aamar
yang merenung wajah ayu Qaseh tanpa berkelip.
Qaseh memang ayu. Wajahnya lembut mendamaikan
hati setiap mata yang memandang. Dengan kulit yang putih
bersih, alis mata yang lentik dan lesung pipit di kedua belah
pipinya tatkala dia mengukir senyum, memang mampu
menggetarkan jiwa setiap lelaki yang memandang. Tapi
sayang, senyuman Qaseh amat mahal.
“Entahlah. Kau tak sedih ke aku nak kahwin?” tanya
Qaseh sepatah tanpa memandang Aamar di tepinya.
Tangan Aamar laju menyambar kotak baldu
berbentuk hati yang terletak kemas di atas batang kayu itu.
Perlahan dia membuka untuk melihat isi di dalamnya.
“Cantik cincin ni. Tentu mahal, kan?” tanya Aamar
spontan tatkala matanya menangkap pandang pada sebentuk
cincin emas putih bertatahkan berlian yang berkilau cantik
di dalam kotak baldu itu. Dia kemudiannya merenung Qaseh
menantikan jawapan.
Qaseh masih diam tanpa sepatah kata. Dia kemudian
menjongketkan bahunya tanda tidak tahu. Dia memang tidak
tahu dan memang langsung tidak mahu ambil tahu. Semenjak
cincin itu berada di tangannya, tidak pernah sekali pun cincin
itu singgah ke jarinya. Dia tidak ada nafsu langsung untuk
berbuat begitu.
“Meh sini aku pakaikan.” Laju saja tangan Aamar
menyambar jari Qaseh. Dia kemudiannya terus menyarungkan
cincin itu. Cincin itu nampak indah di jari manis Qaseh.
Memang sesuai dengan kulitnya yang putih bersih itu.
Qaseh masih sama, membisu tanpa sepatah kata.
Wajahnya nampak bersahaja.
“Aamar, patut ke aku kahwin?” perlahan suara
Qaseh menyapa telinga Aamar, kedengaran sedikit bergetar.
Tekaknya sudah berasa pahit. Angin pantai masih setia
berhembus nyaman.
“Hmm... kita dah bincangkan hal ni hari tu.
Sekarang kau dah tak boleh berundur Qaseh. Aku yakin kau
akan bahagia.”
“Tapi...”
Qaseh sudah serba salah. Patutkah dia bercerita
hal sebenarnya kepada Aamar? Tidakkah nanti akan timbul
masalah lain? Dia tidak mahu Aamar bimbang, terutama
datuknya. Jika Aamar tahu, bermakna datuknya juga akan
tahu.
“Tapi apa lagi Qaseh? Aku tengok Harith tu baik
orangnya. Bercakap rendah diri, lemah lembut, pandai
hormat orang tua. Jarang aku jumpa orang kaya macam tu.
Aku yakin dia dapat bahagiakan kau. Bagilah peluang untuk
diri kau sendiri.” Lembut saja tutur Aamar memujuk Qaseh.
Qaseh tersenyum kelat. Kerongkongnya bagaikan
tersumbat mahu membalas segala kata-kata Aamar itu.
Kalaulah Aamar tahu semua itu hanyalah lakonan, apakah
perasaan Aamar agaknya? Tapi mahukah Aamar dan datuknya
percaya? Paling tidak, dia akan dituduh cuba mereka-reka
cerita supaya dapat mengelakkan diri daripada berkahwin
dengan lelaki itu. Qaseh buntu.
Pandangan Aamar masih lurus pada laut yang
terbentang luas di hadapan mata. Di situlah dia dan Qaseh
selalu menghabiskan waktu mereka setelah penat belajar.
Mereka akan berjalan menyusuri pantai, mengutip kulit-kulit
siput dan kerang. Dia juga pernah menghadiahkan seutas
rantai daripada kulit kerang kepada Qaseh yang dibuatnya
sendiri. Alangkah seronoknya waktu itu. Sungguh dia
sayangkan Qaseh! Sayang sangat-sangat...
“Aamar, kalau aku dah kahwin nanti... kau tolong
tengok-tengokkan atuk ye.” Akhirnya Qaseh bersuara sebak,
memecahkan kebisuan antara mereka. Entah mengapa, sejak
kebelakangan ini hubungan mereka agak hambar. Tidak
seperti kebiasaannya yang selalu dihiasi dengan gelak tawa
dan usik-mengusik.
“Ye, aku janji.” Jawab Aamar sepatah.
“Tengokkan Comot juga.” Ucap Qaseh lagi
membuatkan Aamar tergelak kecil.
“Ye sayangku Qaseh... kau jangan risau, aku akan
jaga atuk dan Comot macam aku jaga nyawa aku sendiri.”
Janji Aamar lagi.
Qaseh tersenyum kelat sekali lagi.
Suasana terus bungkam selepas itu. Hanya bunyi
deru ombak yang tidak jemu memukul pantai menerjah
halwa telinga mereka. Masing-masing terus membisu,
merenung jauh ke tengah lautan. Baik Qaseh mahupun
Aamar, masing-masing seolah-olah kehabisan kata-kata kala
itu. Hanya mereka saja yang tahu apa yang bermukim di
sudut hati mereka sekarang.
AAMAR termenung lama di tangga rumahnya. Angin
malam yang bertiup agak kencang itu membuatkan tubuhnya
kedinginan. Namun dia langsung tidak menghiraukan semua
itu, yang dia tahu hatinya sedang hancur lebur sekarang.
Bagaimana dia mahu menipu dirinya, menipu
perasaannya. Hati mana yang tidak sakit apabila gadis yang
dicintai dalam diam bakal berkahwin dengan lelaki lain,
dengan lelaki yang jauh lebih kacak dan berharta daripadanya.
Mana mungkin dia dapat menandingi Harith, lelaki pilihan
ayah Qaseh. Keluhan berat dilepaskan, mengharap agar
beban perasaannya berkurangan, namun masih tetap sama.
“Kenapa ni Am? Termenung aje mak tengok sehari
dua ni.” Sapa Mak Esah lembut menampar gegendang telinga
Aamar.
Sekilas Aamar menoleh, senyuman tawar
dilemparkan kepada emaknya.
Mak Esah duduk di serambi rumah, merenung anak
lelaki tunggalnya nan seorang itu. Dia perasan, semenjak
dua menjak ini Aamar tidak banyak bercakap. Jika ditanya
sepatah, maka sepatahlah yang dijawab. Kadang-kadang
langsung tidak berjawab. Yang dia tahu, anaknya itu selalu
saja termenung panjang. Susah juga hati tuanya, melihat
perubahan sikap anaknya itu.
Aamar tersenyum kelat, merenung emaknya yang
sedari tadi lagi memandang wajahnya tanpa berkelip. Dia
bingkas bangun dari tangga dan berlalu ke serambi, duduk
bersama emaknya di situ. Wajah tua emaknya direnung lama.
Sayang betul dia kepada emaknya itu. Semenjak ayahnya
meninggal dunia akibat penyakit kencing manis, dia hanya
tinggal berdua saja dengan emaknya.
“Kencang pulak angin malam ni kan mak? Hari
nak hujan agaknya.” Tutur Aamar lembut sambil tersenyum
tawar. Wajah Mak Esah direnung lagi.
“Tak usahlah kamu nak ubah topik Am. Mak tanya
tadi, kamu belum jawab lagi.”
“Tanya apa mak?” Aamar buat-buat tak faham.
“Isyy, kamu ni... nak mengelaklah tu. Mak tanya
kenapa Am termenung jauh aje?” Mak Esah mengulang
kembali soalannya tadi.
“Mana ada termenung mak. Am cuma berkhayal aje.
Hehe...” Aamar sudah tersengih cuba menutup rasa di hati.
Gila nak cakap dia kecewa sebab Qaseh nak kahwin! Memang
malu besarlah dia kepada emaknya.
“Kamu jangan nak tipu mak. Kamu tu mak yang
kandungkan sembilan bulan 7 hari tau. Tiga hari awal mak
beranakkan kamu.” Balas Mak Esah dengan muka yang
bersahaja.
Aamar sudah tergelak besar mendengar kata-kata
emaknya itu. Biasa dia dengar orang sebut sembilan bulan
sepuluh hari, tapi emaknya lain pula.
“Mak ni, buat lawak pulak. Betullah mak, Am tak
fikir apa-apa pun. Saja nak ambil angin malam.”
“Mak tahu sangat kau tu, Am. Kau fikirkan Qaseh,
kan? Itulah... mak suruh kau berterus terang kau tak
mahu. Sekarang putih mata.” Balas Mak Esah lagi sambil
memandang wajah anaknya yang sudah berubah riak.
Wajah Aamar yang tampak redup itu Mak Esah
renung lama. Bukan dia tidak tahu perasaan Aamar terhadap
Qaseh selama ini. Dia tahu benar, Aamar sebenarnya
sayangkan Qaseh lebih daripada seorang kawan tetapi apa
nak buat... Qaseh memang tak pernah percaya pada cinta dan
semua itu membuatkan Aamar berasa takut untuk berterus
terang. Buatnya Qaseh terus menjauh daripadanya, lagilah
haru.
Bukan tidak ada gadis-gadis di dalam kampung itu
yang tergila-gilakan Aamar, cuma Aamar saja yang jual mahal.
Macam mana tak jual mahal, kalau hati terlebih dahulu telah
dicuri perempuan lain.
“Mana ada mak. Kenapa pulak nak fikirkan si Qaseh
tu?” Aamar masih berdalih. Sedaya upaya dia cuba mengawal
riak di wajahnya.
“Hmmm... dah tak ada jodoh Am. Nantilah mak
carikan jodoh untuk kamu. Mahu?” tanya Mak Esah lagi.
Aamar terus diam. Mengiakan tidak, menidakkan
pun tidak. Fikirannya berat sekarang, sarat dengan bayangan
wajah Qaseh.
LAMPU berwarna -warni berkilauan di dalam sebuah
kelab malam yang terkemuka di ibu kota itu menyilaukan
pandangan bagi sesiapa saja yang baru pertama kali
berkunjung ke kelab itu. Bagi yang sudah biasa pula,
ia merupakan suatu cahaya yang sangat indah dan
mengasyikkan. Muzik berdentam-dentum yang diputar oleh
DJ itu juga membingitkan telinga, namun para pengunjung
yang berkunjung di kelab itu menganggapnya sesuatu yang
begitu mendamaikan dan menyeronokkan.
Di sudut hujung meja kelihatan Harith sedang
duduk sambil menghirup Coca-Cola yang baru dipesannya.
Matanya masih ralit memandang kekasih hatinya Bella, yang
nampaknya sudah mula mabuk dan sedang terkinja-kinja
menari di pentas tari. Sesekali tangan Bella memaut mesra
leher pemuda yang sedang menari bersamanya.
Segaris senyuman terukir di bibir Harith. Bella
memang gila! Kalau berkunjung ke kelab malam pasti dia
tidak pernah melepaskan peluang untuk meneguk air syaitan
itu. Harith hanya menggelengkan kepala melihat telatah
Bella.
Dia sayangkan Bella, tetapi entah mengapa setiap
kali dia melihat Bella bercumbu mesra dengan lelaki lain,
tiada sekelumit perasaan cemburu pun yang bertandang
di hatinya. Itu yang membuatkan Harith tertanya-tanya,
betulkah dia cintakan Bella?
Bukan sekali dua dia melihat Bella bercium dengan
lelaki lain di pentas tari, tetapi dia sedikit pun tidak rasa
cemburu. Mungkin kerana dia juga sama seperti Bella, bebas
bercium dengan mana-mana perempuan yang dia mahu.
Lelaki-lelaki yang menari di pentas tari itu juga
bebas meraba tubuh Bella yang selalunya hanya bersalut skirt
pendek paras paha dengan baju sendat terbelah di bahagian
dada. Setiap lelaki yang terpandangkan Bella, pasti akan gila
bayang. Tambahan pula, bentuk tubuh Bella yang langsing
dan menggiurkan itu memang menggetarkan jiwa setiap
lelaki yang memandang.
Harith bangga dapat memiliki Bella sebagai kekasih.
Cuma satu syarat yang diletakkan oleh Harith kepada Bella.
Jangan sesekali bawa lelaki lain balik ke rumah dan tidur
dengan mana-mana lelaki. Kerana mahkota wanita Bella
nan satu itu cuma akan menjadi miliknya yang abadi apabila
tiba saatnya nanti. Itulah kata-kata Harith kepada Bella. Dia
sendiri tidak pernah meragut kesucian itu, dan akan dijaganya
sampai mereka sah bergelar suami isteri.
“Qaseh...” Tiba-tiba nama itu meniti di bibir Harith.
Fikirannya terus melayang jauh teringatkan perempuan
kampung yang mahu dijodohkan dengannya itu.
Wajah Qaseh yang nampak tegang pada pertemuan
pertama mereka menari-nari di ruang matanya. Entah kenapa
tok ayahnya begitu teruja mahu bercucu menantukan Qaseh.
Kata tok ayahnya, hanya perempuan seperti Qaseh sahaja
dapat menjadi seorang isteri yang terbaik buatnya.
Harith menggaru kepalanya yang tidak gatal. Kenapa
dalam dunia yang serba moden seperti sekarang masih ada
lagi orang yang kena kahwin paksa seperti dia? Arrghhh...
serabutnya! Macam mana dia mahu hidup dengan perempuan
yang langsung tidak dikenalinya, langsung tidak dicintainya
dan yang paling penting... langsung tidak menepati cita
rasanya.
‘Shit!!!’ sumpah Harith dalam hati. Rambutnya
dikuak ke belakang, wajah kacaknya nampak kelat.
“Honey, what’s wrong with you?” Bella yang entah
bila muncul di sebelah Harith bertanya sambil memeluk
erat lehernya. Satu ciuman diberikan di pipi kanan Harith.
Kemudian Bella mahu mencium bibir Harith, namun
ditolaknya lembut.
“No baby.” Harith melarikan mukanya. Bau masam
yang keluar dari mulut Bella akibat meneguk air syaitan itu
memualkan tekaknya. Pelukan Bella juga segera dileraikan.
“Honey...” rengek Bella yang sememangnya mabuk
itu.
Harith hanya menggelengkan kepalanya. Jika tok
ayahnya nampak Bella dalam keadaan begitu, tentu awal-awal
lagi Bella direject sebagai calon cucu menantu.
“Dahlah, jom kita balik.”
Harith memapah Bella keluar dari kelab malam yang
hingar-bingar itu. Bella didudukkan di kerusi penumpang di
sebelahnya dan tidak lama kemudian Nissan Skyline miliknya
meluncur laju di tengah jalan raya menuju ke apartmen
mewah yang dibelikan olehnya untuk Bella.

No comments:

Post a Comment