DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 14 July 2016

Sesuci Cinta Qaseh - Bab 15

PERTEMUAN antara Qaseh dengan clientnya pagi
itu berjalan dengan lancar. Walaupun CEO Perkasa Holding
tidak dapat menghadirkan diri, dia telah menghantar seorang
wakil yang agak profesional dan semua itu memudahkan
kerja Qaseh.
Tepat pukul 11.00 pagi, Qaseh sudah selamat sampai
ke pejabatnya semula. Dia bergegas menyiapkan segala
laporan tentang perbincangannya dengan wakil Perkasa
Holding sebentar tadi. Sebelum Faez bertanya, lebih baik dia
siapkan semua laporan itu awal-awal.
“Amboi, khusyuknya. Buat kerja dah tak pandang
kiri kanan.” Sapa Ryna yang tiba-tiba saja sudah terpacak di
tepi meja kerja Qaseh.
“Ya Allah! Kau ni... terkejut aku. Tak reti nak bagi
salam?” Qaseh mengurut dada, merenung Ryna dengan muka
tidak puas hati.
“Hehe... janganlah marah. Nanti tak laku.” Ryna
tersengih, masih belum puas mengusik Qaseh.
“Yalah tu.” Jawab Qaseh acuh tak acuh saja. Budak
Ryna ni bukan boleh dilayan sangat. Kalau dilayan, satu kerja
pun tak menjadi nanti.
“Qaseh, kau dah jumpalah ye dengan CEO Perkasa
Holding tu. Amacam?” tanya Ryna penuh minat. Wajah kacak
CEO Perkasa Holding itu laju saja menari di ruang matanya.
Qaseh hanya diam tanpa menjawab. Tangannya
masih melaju di papan kekunci, menaip sesuatu di skrin
komputernya. Pertanyaan Ryna tadi dibiarkan sepi, berlalu
seperti angin lalu.
“Qaseh... kau dengar tak ni?” Lengan Qaseh ditarik
kuat oleh Ryna sehinggakan kerjanya terbantut. Geram
rasa hati Ryna melihat Qaseh yang acuh tidak acuh saja
melayannya.
“Hesy, kau ni kenapa? Tak ada kerja nak buat ke? Aku
nak siapkan laporan ni cepat-cepat. Nanti tak pasal-pasal aku
kena fire dengan Encik Faez tu.” Rungut Qaseh tidak puas
hati.
“Allah!!! Takde maknanya dia nak fire kau sesuka
hati dia aje. Ni, kau dah jumpa ke belum dengan CEO Perkasa
tu?” sekali lagi Ryna mengulangi pertanyaannya dengan
penuh minat.
“Itu saja kau nak tahu??? Hmm... tak jumpa. Puas
hati?”
“La... tak jumpa ke?” Ada nada kecewa dalam suara
Ryna.
“Tak. Dia ada hal dan dia cuma hantarkan wakilnya
saja. Sekarang boleh saya sambung kerja Cik Ryna?” Qaseh
memerli.
Ryna hanya tersengih kecil.
“Eh, cop! Kenapa kau beria-ia sangat tanya pasal
CEO Perkasa Holding tu?” kali ini giliran Qaseh pula bertanya
dengan muka berkerut.
Senyuman Ryna semakin melebar.
“Sebab CEO dia kacak sesangat!!!” balas Ryna sambil
ketawa kecil. Dia kemudiannya berlalu dari meja Qaseh
dengan ketawa yang masih bersisa.
Qaseh semakin bingung. Kepalanya yang berbalut
kemas dengan tudung itu digaru walaupun tidak terasa gatal
sebenarnya.
“Hesy, macam-macamlah si Ryna ni. Dah ada tunang
pun masih nak menggatal lagi. Tak faham betul aku.” Rungut
Qaseh sendiri, kemudian kembali menyambung kerjanya
yang tergendala sebentar tadi.
“Qaseh!!! Encik Faez nak jumpa.”
Qaseh tersentak sekali lagi. Tina tiba-tiba saja sudah
terpacak di hadapan mejanya. Entah sejak bila Tina berdiri di
situ, Qaseh langsung tidak sedar.
“Ya Allah! Terkejut aku.”
“Sorry... sorry... assalamualaikum Cik Qaseh. Bos
Cik Qaseh nak jumpa dengan cik.” Sopan saja Tina bersuara,
membetulkan kesilapannya sebentar tadi. Dia tersipu-sipu
memandang Qaseh yang cuba menahan gelak.
“Amboi, perli pulak. Waalaikumussalam... lain kali
jangan lupa bagi salam ye.” Balas Qaseh bersahaja dengan
nada menyindir. Dia sudah tersenyum tipis.
“Baiklah Cik Qaseh. Tapi saya rasa lebih baik Cik
Qaseh pergi cepat, sebab saya tengok mood bos Cik Qaseh
tu macam tak okey.” Balas Tina lagi sambil terus bergurau
dengan Qaseh.
Walaupun Tina baru mengenali Qaseh, hubungan
antara mereka begitu baik kerana Qaseh seorang yang
peramah dan agak senang bergaul. Memang kalau orang
yang tidak kenal rapat dengan Qaseh akan menganggap dia
seorang yang sombong. Tetapi dia bukan begitu sebenarnya.
“Hah? Kau biar betul.” Suara Qaseh sudah bernada
cuak. Hilang terus senyuman di bibirnya sebentar tadi.
“Betullah. Aku rasa, baik kau cepat.”
“Kalau macam tu, aku pergi sekaranglah.” Qaseh
sudah kelam-kabut. Dia bergegas ke bilik Faez.
Tina yang masih berdiri tegap di situ cuma
menggelengkan kepalanya melihat kekalutan Qaseh. Entah
kenapalah si Qaseh tu takut benar dengan bos keciknya itu.
“MASUK!” Suara Faez seakan-akan bergema kuat di telinga
Qaseh saat dia mengetuk pintu bilik Faez beberapa kali.
Dengan sedikit berdebar-debar dia menolak daun pintu.
“Assalamualaikum, Encik Faez.” Perlahan saja suara
Qaseh. Hampir-hampir tak keluar sebenarnya. Entah kenapa
kerongkongnya terasa penuh. Dia menapak perlahan, masuk
ke bilik Faez.
“Waalaikumussalam, duduk!” tegas sekali bunyinya.
Qaseh segera duduk di kerusi, berdepan dengan
Faez.
“Ermm, macam mana dengan meeting pagi tadi?”
tanya Faez dengan muka serius, tiada langsung kemesraan,
baik pada nada suaranya mahupun mimik mukanya.
“Err... okey Encik Faez. CEO Perkasa Holding
tak dapat datang. Tapi dia hantarkan wakil, dan semuanya
berjalan dengan lancar.” Terang Qaseh bersungguh-sungguh
sambil tersenyum tipis. Namun wajah Faez tetap sama. Kelat.
Senyuman Qaseh terus mati. Gulpp! Dia menelan liur.
‘Huhh!!! Ini orang ke tunggul kayu? Macam tak ada
perasaan langsung. Agaknya mak dia beranakkan dia masa
bulan gelap kut. Itu yang muka selalu kelat.’ Omel Qaseh tidak
putus-putus dalam hati. Hilang sudah perasaan takutnya,
diganti pula dengan perasaan geram yang meluap-luap.
“Hmm... dia dah inform saya. Malam lusa kita ada
dinner dengan CEO Perkasa. Kali ni dia memang datang. So,
awak kena pergi dengan saya.”
“Apa? Dinner?” Dahi Qaseh sudah berkerut. Matanya
merenung lama wajah kelat Faez, mencari kepastian.
“Ye! Ada masalah?” tanya Faez dengan nada sinis
sambil merenung tajam ke dalam anak mata Qaseh. Dalam
hatinya, hanya Allah saja yang tahu perasaannya kala itu.
“Urrmm... tak ada.” Jawab Qaseh perlahan
sambil tunduk memandang meja. Dalam kepala otaknya
bermacam-macam hal sudah tercanai. Macam mana nak
beritahu Harith? Macam mana pula dia nak berdepan dengan
Faez di luar pejabat? Arrghh!!! Semua kusut.
“Okey, awak boleh keluar. Nanti e-mel alamat rumah
awak. Saya datang ambil awak kat rumah.”
“Eh, tak apa. Saya boleh pergi sendiri. Nanti Encik
Faez e-mel alamatnya ye.” Laju saja Qaseh menolak. Nak
mampus! Kalau Harith tahu, tidakkah nanti dia dituduh yang
bukan-bukan lagi? Sudahlah Harith itu tunggu masa saja nak
hentam dia.
Lama Faez terdiam dan akhirnya dia bersetuju.
“Baiklah, awak boleh keluar. Nanti saya e-mel alamat
tempat tu pada awak. Hah, satu lagi... tolong hantar laporan
pasal meeting tadi atas meja saya selewat-lewatnya petang
nanti.”
“Baiklah, terima kasih Encik Faez. Saya keluar dulu.”
Laju saja kaki Qaseh melangkah meninggalkan bilik kerja
Faez. Entah kenapa hatinya berasa lain macam saja setiap
kali dia berdepan dengan Faez. Macam ada sesuatu yang Faez
sembunyikan daripadanya. Tapi, apa dia?
Faez cuma diam, memandang Qaseh berlalu dengan
ekor matanya. Dalam hati sedikit kecewa kerana Qaseh
menolak tawarannya. Dia meraup wajahnya berkali-kali.
Bayangan Qaseh dan arwah Syuhada silih berganti menari di
ruang mata. Kusut.
QASEH usai menunaikan solat maghrib tatkala Harith
masuk ke bilik. Di tubuhnya masih tersarung kemas kemeja
berwarna putih dan seluar kerja berwarna hitam. Mungkin
Harith baru pulang dari pejabat.
Harith campakkan beg kerjanya ke atas katil. Tali
lehernya dilonggarkan dan dia terus menghempaskan tubuh
sasanya ke atas tilam. Matanya terus dipejamkan rapat,
seolah-olah hanya dia saja yang berada di dalam bilik saat itu.
Dia langsung tidak menegur Qaseh.
Kepalanya rasa berserabut. Serabut dengan semua
perkara. Serabut dengan hal-hal di pejabat, serabut dengan
Bella yang tidak habis-habis mahu merajuk dan kini, terpaksa
berdepan pula dengan isteri yang dinikahinya kerana terpaksa.
Jika diikutkan kata hatinya, mahu saja dia
menghabiskan masanya di kelab malam itu. Tetapi niat
hatinya itu terpaksa dibatalkan apabila terkenangkan amaran
keras yang diberikan tok ayahnya tempoh hari. Dan kerana
itu jugalah, Bella sudah merajuk dengannya sekarang.
‘Hmm, sabar Harith. Cuma beberapa hari saja lagi
kau akan bebas.’ Getus hatinya tidak putus-putus.
Qaseh masih memandang sepi kepada Harith yang
sedang terbaring di atas katil dengan mata yang terpejam
rapat, seolah-olah sedang tidur. Namun Qaseh tahu, Harith
tidak tidur sebenarnya. Qaseh mengeluh kecil. Terasa berat
benar beban perasaannya. Qaseh tahu jika begitu keadaannya,
pasti mood Harith tengah tidak elok.
Jam di dinding bilik dipandang seketika. Jarum
jam hampir menunjukkan ke angka lapan. Sekali lagi Qaseh
mengeluh. Dia yakin Harith belum bersolat lagi. Dalam hati
dia berkira-kira, wajarkah dia mengejutkan Harith tika itu,
walhal Harith tidak tidur pun sebenarnya. Akhirnya, setelah
puas berkira-kira, Qaseh bingkas dari sejadah, perlahan
berjalan menghampiri Harith.
“Awak... awak dah solat?” tanya Qaseh perlahan dan
berhati-hati. Dia sudah bersedia andainya Harith tiba-tiba saja
naik angin. Namun, Harith masih diam membatu. Matanya
masih terpejam rapat. Dadanya nampak berombak tenang.
Qaseh menggaru kepalanya, bingung seketika.
“Awak...” kali ini bahu Harith disentuh perlahan.
“Kau nak apa hah???” Harith bingkas bangun dan
duduk di katil dengan muka menyinga.
Kecut perut Qaseh melihat renungan mata Harith
yang tajam menikam tepat pada wajahnya itu.
“Err, saya cuma nak tanya awak dah solat ke belum?”
“Masalah kau ke kalau aku dah solat ke belum?”
tanya Harith dengan angkuh.
“Hmm... memanglah bukan masalah saya. Tapi dah
saya ni tinggal satu bilik dengan awak, tanggungjawab sayalah
untuk menegur awak. Kalau awak tak nak dengar, itu urusan
awak dengan Allah la pulak.” Jawab Qaseh panjang lebar
dengan muka selamba. Puas hatinya dapat membidas semula
kata-kata Harith. Entah dari mana kekuatan itu datang, dia
sendiri tidak tahu.
“Huh!!!” Harith mendengus kasar, lalu pergi
mendapatkan tuala mandinya, menghilangkan diri ke dalam
bilik air.
Qaseh tersenyum tipis, tanda menang.
SUASANA di meja makan sunyi sepi. Yang kedengaran
hanyalah bunyi sudu dan garpu yang berlaga sesama sendiri.
Baik Harith mahupun Qaseh, masing-masing hanya membisu
seribu kata. Tan Sri Musa pun sama.
Semenjak cucu dan cucu menantunya menyatakan
hasrat mereka untuk berpindah, dia seakan tidak ceria. Tapi,
dia tidak pula mahu menghalang. Mungkin ini saatnya untuk
Harith dan Qaseh belajar hidup sendiri dan lebih mengenali
antara satu sama lain.
Dia cuma bimbang sebenarnya. Dia bimbang
kalau-kalau nanti Harith kembali semula kepada perangai
lamanya. Merambu di kelab-kelab malam sampai ke subuh
hari. Runsing benar hatinya memikirkan itu semua. Namun,
apakan daya.
“Tok ayah, kenapa sikit sangat makan tu? Tak sihat
ke?” tanya Harith sebaik saja melihat Tan Sri Musa sudah
menolak pinggannya ke tepi. Masih ada lagi saki-baki nasi di
dalam pinggannya.
Suapan Qaseh terhenti. Matanya laju berlari pada
wajah Tan Sri Musa. Ada riak mendung pada wajah tua itu.
Qaseh terkedu. Dia perasan, Tan Sri Musa tidak banyak cakap
seperti kebiasaannya.
‘Aikk, apa kena pulak dengan tok ayah ni?
Entah-entah sebab nak pindah rumah tak?’ Qaseh sudah
membuat andaiannya sendiri.
“Tok ayah dah kenyang. Kamu berdua makanlah ye.
Atuk nak naik atas, nak berehat.”
“Tok ayah sakit ke ni?” Harith sudah bernada risau.
Lengan tok ayahnya dipegang laju, menahan Tan Sri Musa
daripada bangun. Dahi tok ayahnya juga turut dirasa dengan
belakang telapak tangannya. Sejuk!
‘Aikk, tak panas pun.’ Getus Harith dalam hati.
Dahinya masih berkerut.
Qaseh perhatikan saja segala tingkah Harith dengan
penuh minat. Nampaknya Harith betul-betul sayangkan tok
ayahnya. Patutlah Harith sanggup menurut segala permintaan
datuknya. Dalam diam, Qaseh berasa terharu. Sedikit demi
sedikit kebaikan Harith mula tersingkap. Ternyata lelaki di
hadapannya kini bukanlah seburuk yang disangka.
“Tok ayah okey. Cuma penat. Jangan risaulah. Tok
ayah naik dulu.” Ucap Tan Sri Musa sambil tersenyum, tapi
nampak macam dipaksa. Dia menepuk mesra bahu Harith
sebelum berlalu ke tingkat atas.
Harith dan Qaseh menghantar pemergian Tan
Sri Musa dengan ekor mata. Seketika kemudian mereka
saling berpandangan dan lama pula mata mereka bertemu.
Masing-masing terpaku tanpa suara.

No comments:

Post a Comment