DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 13 July 2016

Jodoh Sebelah Pintu - Bab 2

“HAI awak!” Suara garau lagi seksi menyapa
telingaku. Suara yang sama dengan si penegur budiman
pagi tadi. Lelaki kacak itu. a.
Aku telan liur dan kepalaku menunduk setunduktunduknya
sehingga terasa badanku melengkung macam
udang! Kejadian pagi tadi benar-benar menghantui aku! Aku
terpaksa berlakon seolah-olah tidak mendengar sapaannya.
Janganlah dia menegurku lagi.
“Awak...” Panggilnya lagi. Masih tak putus asa
nampaknya.
Aku mengangkat muka dan memandangnya. Aku
hanya mampu tersenyum sebelum kembali menggembur
tanah. Kenapa dia ni? Dia buat apa di luar rumah tu?
Kenapa tak duduk kat dalam rumah je dan main PS2 ke,
kemas rumah k, apa ke? Bukankah mereka baru berpindah?
Eloklah jika mereka bergotong-royong apa yang patut.
“Manisnya senyuman diaaa...” Leretnya.
Aku menjulingkan mata tanda meluat. Budiman atau
kaki ayat ni? Memang aku tak tipu, dua puluh orang gadis
pun boleh berderet beratur minta menjadi aweknya. Kacak
sungguh! Tambah kacak, lesung pipit di pipi kanannya.
Aduh! Aku perasankan lesung pipit dia? Kenapa dengan aku
ni? Kali terakhir aku usyar tengok muka lelaki handsome
adalah ketika zaman aku bercinta dengan arwah Fareez.
Lama sangat dah tu... itu pun aku duk usyar muka Fareez
seorang sajalah.
Seketika kemudian, lelaki yang ramah semalam itu
menarik paip getah ke keretanya. Nak basuh kereta ke,
jiran baru aku ni? Yalah tu agaknya. Selepas tu, entah apa
lagi yang ditariknya. Sedar-sedar, air paip dah menyembur
pada kereta Vios miliknya dan aku yang menggembur tanah
di dalam pasu dekat tepi pagar ini, terkena tempiasnya. Cis!
“Awak... Awak...” Lelaki itu memanggil lagi.
Eeeii. Berawak-awak pulak dah! Aku buat pekak
sahaja. Malu pagi tadi yang menyebabkan aku tak nak
menyahut. Mujur lelaki gila hon pagi tadi tu tidak ada kat
sini. Kalau tak, teruk aku kena goreng agaknya dengan
badut gila tu. Tapi, lelaki budiman ni, nampak sweet.
Terbias wajah Fareez sikit. Fareez lagi? Aku dah janji pada
diri sendiri, tak nak kenang Fareez lagi. Aku nak berhenti
meratap!
“Wakkk...” Panggilnya lagi dengan leretan yang
boleh meremangkan bulu ketiak aku.
Eiii dia ingat aku Wak Karjono Pak Sako bagai ke
nak panggil aku Wak? Once again, ingatanku kembali pada
Fareez. Ya, beginilah perkenalan kami bermula.
Fareez sedang membasuh kereta dan aku sedang
menggembur tanah. Aku tersenyum hambar. Kenapa semua
ini bagaikan berulang tayang pula di mindaku? Dan pada
ketika itu, aku langsung tidak hiraukan teguran Fareez.
Sama seperti apa yang berlaku hari ini...
Aku berterusan menekuni kerjaku tanpa menghiraukan
lelaki itu. Fikirku, kalau dia dah bosan menegur dan tidak
dilayan aku, dia akan berhenti daripada menggangguku. Aku
rasa, dia sengaja percikkan air paip tu ke muka aku. Marah
apabila dia tak dilayan kut? Makin banyak pula percikkannya.
Sengaja nak membangkitkan kemarahan aku agaknya. Ah!
Pedulilah...
‘Berkuyup aku kat sini, ngek!’ Biar hati sahajalah
yang memaki hamun beliau... Aku kan, seorang guru. Tak
elok jika seorang guru menghamun orang. Cheh! Padahal
pagi tadi buktinya, betapa kesabaran aku sangat tipis
sebenarnya.
“Awak, pandang sini kejap.” Arah lelaki itu.
Eh. Eh! Dah kenapa dia ni? Nak tak nak aku
pandang dia. Senyuman aku lemparkan lagi. Lepas tu aku
sambung buat kerja semula.
“Manisnya senyuman awak. Berdegup kencang
jantung abang melihatnya. Dap...dip...dup! Dap...dip...dup di
dalam dada... Jantung berdebar...” Eh, eh! Ini mulut lelaki
budiman itu ke?
Dah kurang budiman bila membahasakan diri dia
‘abang’. Sejak bila entah dia jadi abang aku? Lagi zero
tahap budiman dia bila dia menyanyi lagu dangdut tu! Dah
macam gay terkemuka pulak! Huh! Tanah yang aku gembur
semakin menghancur! Geram punya pasal.
Geli pun ada. Tak macholah kalau lelaki menyanyi
lagu dangdut gedik tak hengat macam tu. Aku pun tak
pernah menyanyi sebegitu gedik lenggoknya. Aku tahan diri
daripada memaki anak teruna kacak orang. Lagi satu, entah
kenapa rasanya aku sedang cover cantik depan dia. Erk!
Mona! At least, carilah lelaki yang bukan jiran kau!
“Awak. Nama saya Irfan. Awak ni cantiklah. Nama
awak apa ek?” Soal lelaki itu.
Eh... eh! Kita tak tanya pun nama dia! Siap dia
senyum menggoda tahap tak hengat lagi. Aku menjelingnya
terbalik! Ini spesies lelaki miang keladi ni... Awal-awal dia
tegur secara baik. Peringkat kedua ni dah masuk ayat nakal
mengurat. Nanti dia minta nombor... Lepas tu dia minta
kunci rumah pula. Lepas tu kunci bilik... Lepas tu. Popp!
Uwaaa! Baby keluar! No, no, no! Ayat manis lelaki tak boleh
pakai. Ingat, Mona!
“Awak...” Panggil dia lagi bila aku tak menyahut.
Lalalala.
Cepat-cepat aku letakkan pokok bunga yang Julia beli
tadi ke dalam pasu. Semalam aku dah tempah dengan
dia suruh dia carikan sebab dia nak keluar ke bandar
kononnya. Kena pulak hari aku dapat malu besar, nak tak
nak terpaksalah jugak aku keluar untuk tanam pokok-pokok
bunga ni cepat-cepat. Kalau tidak, memang aku tak keluar
rumah langsung.
“Cik adik manis, awak buat apa tu?” Irfan ni, bila
nak putus asa? Menyampah betul aku nak dengar suara dia
ni! Merosakkan telinga aku aje.
“Sembahyang!” Aku jawab sepatah.
Dia terkekeh-kekeh ketawa mendengar jawapanku.
Dah, boleh lagi dia tanya? Macam tak nampak pulak yang
aku tengah tanam bunga! Rabun ke buta Irfan ni? Kang
aku tanam dengan dia-dia sekali ke dalam pasu bunga ni,
baru tahu!
“Amboi. Tak menahan betulkan, Pan? Bila panggil
cik adik manis baru pandai nak menyahut!” Satu suara lain
menyapa. Ah! Badut pagi tadi! Badut gila, beruang gila dan
mengkarung gila pagi tadi! Oh no!
“Sembahyang pula tu.” Irfan pula menyampuk. Dia
tergelak kecil.
Aku menjeling sekilas dua tiga ke arah lelaki gila tu.
Ya Allah! Seksi gila mamat ni. Eh salah! Seksa gila beruang
ni. Aku pejam mata. Masya-Allah! Dugaan mata. Aduhhh...
duh...duh! Astaghfirullahal’azim... Beristighfar panjang aku
dibuatnya. Naik juling mata hitam aku melihatnya. Masakan
tak juling? Lelaki gila itu hanya berseluar pendek paras atas
lutut dan bawah sikit dari ‘akhemm hemm’ dia tu! Nampak
bulu kaki yang tak berapa lebat dia tu!
Lagi seksa, bila tengok singlet hitam ketat yang melekat
kuat di tubuh sasanya. Setiap kali dia angkat tangan, memang
boleh nampak bulu ketiak dia tu... Err. Mesti masyem! Aduhlah
amma! Apa nasib aku dapat jiran macam ni? Aku sapu
kedua tanganku dan bangun laju-laju. Kerja aku dah siap.
Sempat lagi aku hentak-hentak kaki tanda protes kepada
dua orang mamat ni.
“Pernah dengar ada yang mati tertelan penampar
tak?!” Aku menjerkah. Cikgu Mona dah naik marah!
“Eh...eh... Garangnya Akak Fashionista kita ni!” Lelaki
bermulut cabai ni memang nak kena sental dengan cabai!
Tergelak dua ekor badut tu. Berdekah-dekah. Sakitnya
hati aku! Akak Fashionista dia panggil aku?! Teringat fesyen
terbaru aku pagi tadi. Mak, Aira nak pindah rumah! Tak
nak duduk kat sini lagi dah. Huargghh!
“Erk! This means warrrr!!!” Aku berkata penuh
semangat. Genggaman tangan aku tunjuk dengan cebikan
bibir dan hidung yang kembang kempis. Aku angkat
genggaman tanganku. Fighting! Geramnya!!
Aku meninggalkan dua ekor beruang tu kat situ.
Gelaklah korang sampai petir datang menyambar. Aku nak
masuk!
“EEEEEE! HANTU punya jiran. Hantu sangat! Arghh. Badut
gila. Beruang seksa!!” Aku hentak-hentak kaki ke dapur.
Mulut mengomel itu dan ini sambil menyabun
tangan. Aku sental tangan aku yang kotor dengan kuat
bagaikan aku menyental mulut cabai lelaki seksa tadi
sambil menyeranah dia.
“Hahaha. Kau ni kenapa bercakap seorang diri ni
Mona?” Soal Julia yang entah dari mana munculnya.
“Eeee. Geram aku ni tau dak?!” Aku mula nak buka
kitab aduan aku. Banyak yang aku pendam tadi. Kes pagi
tadi pun aku dah cerita kat Julia. Boleh dia gelak macam
nak putus urat kentut? Eeii... Geram... Geram!!
“Asal pulak kau ni, Mona?” Julia bersandar ke
kabinet dapur.
Dia mencapai bekas berisi biskut teddy lalu dia
menyuap biskut-biskut itu ke mulut. Eh! Biskut aku tu!
Kalau bab membeli, dia liat sekali! Bila tiba bab makan,
dia nombor satu! Ah! Lantaklah. Kadang-kadang dia belanja
barang dapur. Jadi apa aku nak berkira sangat, ya tak? Fair
and square.
“Bongok jiran sebelah rumah ni! Macam ba alif
bangang perangainya!” Aku bersuara. Sebenarnya nak kata
benda lain tapi tak sampai hati pula. Mereka tidaklah ada
rupa benda tu pun... Rupa beruang tu adalah... Beruang yang
kacak. Julia tergelak mendengar rungutanku.
“Diaorang buat apa?” Soal Julia mula nak menyibuk.
Muka teruja habis.
Aku buat muka menyampah. Aku tahu, memang
si Julia ni dah tersangkut dengan salah seorang mamat kat
rumah sebelah tu. Aku rasa, tentu dia sangkut pada mamat
budiman yang bergelar Irfan tu sebab... Lelaki itu macam
kuat mengayat! Aku pun hampir ternoda. Eh? Hampir
tergodalah! Kalau yang beruang seekor lagi tu. Usahkan
mengayat, menggayatkan aku adalah!
“Kenapa kau ni?” Julia buat muka bengang bila
aku tak jawab soalan dia tadi. Aku rasa dia dah boleh teka
dah kenapa aku menyumpah-seranah budak dua orang tu.
Sepatutnya dia boleh teka sangat!
“Kau pergilah menghadap diaorang sendiri. Lepas
ni nanti baru aku cerita betapa durjananya perangai dua
ekor beruang tu!” Hah! Seorang badut. Bila dah berdua jadi
beruang! Ya Allah, janganlah anak murid aku dengar makian
aku ni. Tak elok dijadikan contoh!
“Beruang kau panggil? Kau tau tak, muka duadua
tu sikit punya handsome? Eh... Banyak punya handsome!
Sangat tak patut!” Julia membetulkan perkataan sikitnya
kepada banyak. Dia menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak
percaya dengan kata-kataku. Memanglah dua-dua handsome
tapi... Dua-dua perangai macam beruang! Beruang pun tahu
behave.
“Memang macam beruang. Kau pergilah tengok
sendiri macam mana diaorang ‘mengberuangkan’ diri diaorang
tu...” Aku mendengus geram. Kalau aku dengar budak Julia ni
backup budak-budak yang dah panggil aku ‘Akak Fashionista’
ni, memang aku lari dari rumah!
“Aku pergi eh?” Julia bersuara. Gatal aje muka tu...
Siap baiki rambut bagai. Baju pun dibetul-betulkan. Eee,
gediknya kawan aku! Nak pergi menggediklah tu. Tengok
aje... Tunggu...
“Tak payah minta izin. Pergi ajelah bila-bila masa
kau nak pergi! Teringin aku nak tengok reaksi kau bila
menghadap beruang pramatang tu!” Ambik nak! Aku marah
sangat.
Sebenarnya, rasa malu tu yang menyebabkan
aku naik marah dengan budak dua ekor tu. Lepas tu, cara
Irfan mengayat. Teringat dekat arwah Fareez. Tapi arwah
Fareez kalut sikit... Itu yang membezakan Irfan dengan
Fareez. Arwah Fareez, bila aku tak layan, dia terus tak
menegur dah. Aku pegang dada. Takutnya kalau terjatuh hati
pada Irfan. Sebab, bila aku melihat Irfan tadi, betul-betul
mengingatkan aku pada Fareez.
“Okey. Aku tengok eh...” Julia ni, aku sekeh kepala
tu tak memasal aje.
Pergi ajelah tengok! Minta izin dengan aku pun apa
guna? Aku jegilkan mata kat dia sambil bercekak pinggang.
Dia gelak ala-ala perempuan gedik dan berlari-lari anak ke
luar rumah. Huh! Benci tau?!
SEPULUH MINIT kemudian, aku terdengar suara Julia
terjerit gedik. Bukan main dia bergelak ketawa dekat luar
tadi. Apa pasal dua ekor beruang tu tak buat perangai
dengan Julia eh? Aku garu kepala. Tapi Julia memang
pandai bawak diri. Kalau bagi berkawan dengan harimau
pun dia boleh. Jadi tak hairanlah kalau beruang dua ekor
kat rumah sebelah ini pun boleh berkawan dengan Julia.
Rileks.
“Auww! Sukanya!!!” Jerit Julia gedik.
Terloncat-loncat dia memegang dada dengan mata
yang terukir bentuk love besar. Dah terkena panahan cinta
sang beruanglah tu! Serius, aku tak jangka langsung reaksi
macam ni daripada dia. Gedik dan sangat meloyakan tekak!
“Kau ni dah kenapa?!” Aku menyoal dia. Bukan
main gedik lagi dia. Sabar aje aku!
“Arghh! Seksinya dia!! Seksi! Suka... suka...suka!!”
Jerit si minah gedik ini.
Amboi dia! Macam orang mereng dah aku tengok
budak Julia ni. Sadis ke apa? Dia terkinja-kinja setempat.
Aku patah-patahkan jari aku. Bila-bila masa aje Julia akan
tersembam kat kaki aku kalau lima minit lagi dia tak henti
terkinja-kinja macam ni.
“Asal dengan kau ni? Gila ke?” Aku menyoal dia
bila dah tak tahan tengok betapa gediknya minah ni. Sabar
Mona... Sabar...sabar...
“Abang Bad... Salahkan dia! Dia dah curi hati aku.
Dia dah bawak lari hati aku naik kuda yang dirotan dengan
cemeti dengan memakai topi koboinya. Auuww!!”
Ya Allah mak cik sorang ni... Kalau aku tak tahan
dengan kegedikan dia ni kejap lagi, jangan tanya kenapa
aku sedekah penampor kat pipi dia! Imagine tak menahan
betul! Koboilah. Kudalah! Cemetilah. Loket rantai silver yang
terukir huruf J di lehernya digigit gedik bersama bahu
bergoyang manja.
“Siapa pulak Abang Bad?” Soalku jengkel.
“Jiran kita sebelah inilah, dia pakai boxer dengan
singlet aje. Sumpah seksi! Sehingga menjilat jari! Auuww!
Seksinya!!!” Julia berkata gedik sambil mengucup-ngucup
hujung jemarinya. Menjilat jarilah tu kononnya.
Tak mudah! Ini kalau anak murid dia tahu perangai
gedik dia, memang satu sekolah banned dia! Buruknya
perangai!!! Tak tahan dengan jeritan dia semakin nyaring,
aku tekup mulut dia dengan tangan. Teruk! Kalau jiran aku
tu dengar macam mana? Buat malu muka saja! Perasan tak
sudah mereka nanti!
Cikgu jenis apa Julia ni? Minat jejaka berbadan
ketak-ketak dan kacak juga. Seksi dan seksa. Aduhai. Taste
dia macamlah dia tu model. Selera tinggi sungguh. Orangnya
ketot aje! Atau, aku yang terlalu tinggi, eh? Tidaklah! Aku
mana ada tinggi sangat. Hampir sama dengan tiang elektrik
aje. Hehehe. Tidaklah! Tinggi biasa-biasa saja.
“Hesy. Agak-agaklah kalau nak menjerit pun. Kalau
diaorang dengar, malu muka nanti! Apa pasal gedik sangat
ni?!” Aku membebel.
Julia tersipu-sipu. Mukanya merah. Aduhai. Sekali
tengok, comel kawan aku! Dua kali tengok, rasa nak
humban ke dalam longkang. Perangai...
“Dia seksi sangat...” Leret Julia lagi.
Aku julingkan mata ke atas. Menyampah. Dari tadi
perkataan yang sama. Seksi. Seksi. Seksi. Huh. Cubalah
guna perkataan lain pula. Contohnya, seksa ke, seksa ke,
seksa ke? Okey, memang pendapat aku, jiran aku tu seksa
sangat!
“Seksi apa? Seksa adalah! Pedih mata ni duk
menghadap bulu kaki dia! Hesy!” Aku membebel.
Teringat pada bulu kaki Abang Bad kesayangan
Julia yang bergulung-gulung itu. Huh! Menyampah! Menci!
Mengong! Lagi seksa bila tertengok bulu ketiaknya yang
lebat. Macam pergi buat treatment di Yun Nam Haircare
pula lebatnya! Aduhh... duh... Agaknya lelaki tu memang
suka pelihara bulu tak? Gelinya... Eeeuuw!
“Kau pun dah tengok keseksian dia rupa-rupanya!
Ah! Sukanya! Menyesal aku tak pakai cantik-cantik tadi.”
Julia sudah menggedikkan diri. Aku meluat!
Tolong berikan aku kesabaran, ya tuhan!! Julia
mengipas-ngipas wajahnya. Gaya dia ala-ala perempuan
gedik terakhir kat muka bumi ni. Urgh! Annoying sangat!
Mujur dia kawan baik aku. Kalau tak, harus ada kepala
yang tergolek ke lantai ni nanti. Keseksian??? Otak Julia!
Keseksaan... Baru betul! Terseksa hati nurani aku melihat
lelaki gila kesayangan dia tu tadi.
“Jangan buat aku loya... Aku muntah kat kau sat
gi.” Aku mengugutnya. Dia tidak menghiraukan amarahku
sebaliknya hanya tergelak dan memegang dadanya. Mata
terpejam rapat.
“Oh my... Smartnya... Suka betul aku menengok
muka diaorang berdua tu. Handsome sangat! Yang pendiam
sikit tu lagi handsome pada pendapat aku. Tapi dia kurang
misteri la.” Julia bersuara sambil mencemik sedikit. Orang
angau. Macam itulah! Gedik tak hengat!
“Handsome apa kebendanya? Eee. Tiga-tiga terencat!”
Aku menyeranah.
“Weh, diaorang duduk bertiga ke kat rumah tu?
Siapa lagi sorang? Macam mana aku boleh tak tahu ni?”
Soal Julia bersama muka terujanya.
Ini yang aku tak berapa berkenan dengan perangai
Julia ni. Gedik kalah ikan sungai yang dicampak ke darat!
Menggeletik mencari nafas dan air. Tak padan dengan cikgu
sekolah. Orang gila pun tak tak ada nafsu nak mengurat
orang gila sebelah rumah tu.
“Diaorang memang berdua. Yang sama sekali
terencatnya, kalau digabungkan dengan kau! Dahlah! Aku
nak mandi!” Aku berlalu pergi meninggalkan Julia. Tak jadi
kerja kalau menghadap minah gedik ini.

No comments:

Post a Comment