DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 13 July 2016

Jodoh Sebelah Pintu - Bab 9

“MAK dah jumpa calon untuk Aira. Ya Allah,
Aira. Kacak sungguh orangnya. Nampak baik sungguh. Mulamula
mak tengok dia, hati mak kata dah! Dia jodoh Aira!
Berkerjaya juga nak oi. Tapi sederhana saja orangnya. Balik
minggu nilah. Mak dengan abah nak bincang sesuatu yang
penting ni.” Mak aku dah mula buka topik yang biasa aku
dengar.
Tak apalah. Lagi pula aku dah rasa cukup tua sekarang
ni. Bukankah aku menyerahkan seratus peratus tentang jodoh
aku kepada mak abah aku?
“Macam mana orangnya, mak?” Soalku.
“Adalah. Nanti baliklah mak ceritakan semuanya.”
Mak aku berkata lembut.
“Hmm. Yelah mak! Aira balik minggu ni. Mak buat
asam pedas banyak tomato eh?” Soalku demand.
Aku memang suka makan asam pedas yang
diisi banyak tomato. Oh my... Kecur liurku dengan hanya
membayangkannya sahaja. Mak tergelak di hujung talian.
“Dari kecil sampai ke besar, itu ajelah yang dia
tahu makan!” Bebel mak.
Sesudah berbual agak lama dalam telefon, aku
matikan talian. Minggu ni memang kena baliklah nampaknya.
Apa yang penting sangatnya, entah? Tak apa...
“KACAK ORANGNYA. Rugi betul kalau Aira menolak.
Bekerjaya juga orangnya. Tinggi, usia pun dah sesuai
berumah tangga.” Mak aku berkata sebaik sahaja aku menyoal
mengenai lelaki yang bakal menjadi ‘pendampingku’ nanti.
Eleh, mak tu semua lelaki dikatakannya kacak.
“Oh ye ke? Baguslah. Bujang ke laki orang dia tu,
mak?” Takut juga mak aku pilih laki orang. Kut-kut duda
ke. Kalau boleh, aku naklah yang teruna. Cheh, Mona! Dah
meningkat usia pun masih memilih ke?! Tapi aku ada hak!
Hehehe.
“Duda anak tiga.” Jawab mak selamba.
Aku terbelalak. Duda anak tiga mak kata? Mampuslah
aku! Mak tergelak. Aku rasa nak lari laju-laju! Tapi aneh.
Mak tergelak kenapa? Suka aku dapat anak tiri agaknya.
Mak kan dah tak sabar nak bercucu. Pelik betul!
“Mak biar betul? Takkan nak Aira kahwin dengan
duda yang dah ada anak? Kalau duda tu, boleh Aira terima
lagi.” Aku mula rasa nak menangis. Duda mana yang gatal
sangat nak berbinikan aku ni? Memang nak kena!
“Bujanglah! Ingat mak suka ke anak mak ni kahwin
dengan duda? Anak tiga pula tu. Mana nak ambil tahu
hal suami lagi, mana nak ambil tahu hal sendiri lagi. Ni
tambah hal anak-anak tiri pula. Aira... Aira... Macamlah Aira
tak perasan mak cakap yang dia tu dah sesuai mendirikan
rumah tangga. Maknanya dia belum nikahlah lagi.” Mak
menggeleng-gelengkan kepalanya.
Aku mengusap dada. Lega. Ingatkan betullah dia
duda. Nak marathon ke Paris dah aku yang mendengarnya
ni tadi.
“Siapa namanya, mak?” Gatal pula nak tahu nama
bakal jodohku. Mak tersenyum simpul. Aku pandang abah.
Abah juga tersenyum. Nak berahsia pula!
“You have to figure it out.” Abah menyampuk dengan
slang Inggeris dan gaya yang mengalahkan David Carusso.
Penuh gaya.
Mak terangguk-angguk setuju dengan abah.
Aku mendengus. Siapakah yang malang tu sanggup nak
memperisteri aku yang kayu ni? Terdetik juga di hati ni
nak tanya mak. Mak pula dah pandai nak merahsiakan nama
lelaki tu.
Abah tarik tangan aku dan diletakkan sesuatu di
tanganku. Sehelai kertas putih yang agak terkoyak. Apa?
Aku belek dengan tak sabar. Tak ada tulis nama tapi dia
tulis, Encik Tunang. Bakal okey? Yakin aje dia yang aku ni
nak bertunang dengan dia. Di bawah nama yang ditulis tadi
tertera nombor telefon beliau. Aku kemam bibir. Cadang nak
mengutuk.
“Mah, ambilkan abang air masak tu.” Baru nak
buka mulut, abahku pula bersuara. Aku tahan bercakap. Nak
tanya mak ke tak nak?
“Mak, dia kerja apa? Nama apa? Umur dia tu sebenarnya
berapa?” Soalku bertalu-talu.
“Mak dah kata, ambil tahu sendiri. Tu nombor dah
ada, call aje dia dan beritahu dia tentang Aira.” Mak aku
bersuara geram. Masa bila mak kata, ambil tahu sendiri?
Setahu aku, abah yang cakap macam tu tadi. Hehehe. Mak
aku menghulurkan air kepada abah.
“Abah, dia tu siapa?” Aku menyoal abah pula.
Aku kan rapat dengan abah. Mungkin abah boleh
pecahkan rahsia mak selepas dibodek-bodek dengan urutan.
Abah hanya menyimpul senyum. Langsung tak memberitahu
aku sepatah jawapan pun. Aku mendengus. Nak berahsia
sangat, kan? Baiklah... Aku ada satu game untuk mak. Game
psiko namanya.
“Habis tu kalau Aira yang telefon dia, dia tahu ke
mak?” Aku menyoal mak dengan muka serius. Mak dan
abah angguk yakin. Okey, beralih ke soalan seterusnya.
“Macam mana dia nak tahu kalau mak dengan abah
langsung tak beri dia nombor Aira dulu?” Aku menyoal.
Buat-buat geram kononnya.
“Apa pulak tak bagi, mak bagilah!” Mak bersuara
lantang.
Aku mencatat dalam kepala otak. Kalau dah ada
nombor telefon aku, kenapa dia tak telefon aku dulu? Kenapa
mesti nak aku yang telefon dia dulu? Ini aneh banget! Lelaki
ni macam nak tak nak aje kenal dengan aku.
“Oh! Patutlah!” Aku petik jari. Mak dan abah pandang
aku dengan kening terangkat.
“Patutlah apa?” Soal mereka serentak. Jerat mengena!
“Mak, dia tu dah takde kerja lain ek?” Aku menyoal
selamba lantas menyisip minuman.
Tekak mula rasa dahaga. Lagi pula, aku cuba berlagak
natural supaya mak dan abah yakin dengan lakonanku. Abah
pandang mak, mak pandang abah. Kemudian, sama-sama
mereka menggelengkan kepala. Aku buat kening berkerut.
“Kerjalah... Kerja kerajaan lagi.” Ujar mak. Oh.
Kerja kerajaan. Cikgu? Tentera? Polis? Kerani? Pegawai tinggi?
Curious ni.
“Hmm... Mak ada bagi nombor Aira kat dia kan?”
Soalku lagi. Mak mengangguk. Aku percaya mak! Aku buat
mulut bentuk o.
“Patutlah ada nombor pelik masuk kebelakangan ni.
Setiap malam nombor tu aje yang call! Nombor macam
sama dengan nombor ni.”
Aku buat muka rimas sambil picit dahi. Lakonan
haruslah mantap. Kalau tak mantap bukan anak abah, aku
ni! Mak dan abah terlopong. Itu tandanya perangkap dah
hampir mengena.
“Setiap hari hantar mesej jiwang. Dalam bahasa
Jawa pula tu. Jenuh Aira minta tolong kawan untuk
terjemahkan. Mujurlah Aira ada berkawan dengan orang
Jawa.” Dosa menipu, fikir kemudianlah Mona! Aku tahan
gelak apabila melihat mak berpandangan dengan abah
dengan muka pelik mereka. Kedua-dua mereka terlopong.
“Alang tu pandai cakap Jawa ke bang? Eh, dia
kacau Aira bila?” Soal mak.
Aku senyum senget. Oh, nama dia Alang rupanya.
Mak pun duk panggil Alang... Berahsia sangat. Nak suruh
aku tanya lelaki itu sendiri, memang taklah! Buat apa aku
bazir tenaga tanya dia sedangkan ‘rujukan’ aku dah ada?
“Setiap harilah. Kadang-kadang rasa nak maki
aje. Siapalah yang buat dajal macam ni. Bila Aira tanya
siapa, dia cakap Mystery Man. Bila Aira tanya umur berapa,
katanya empat puluh satu.” Aku picit kening pula dengan
muka serabut.
Nanti kau orang tirulah style aku kalau nak jalan
pintas ke neraka. Rasa berdosa sebab main psiko ngan
mak ni aku campak ke tepi. Dah habis psiko nanti, aku
minta maaflah! Muka mak bertambah terkejut mendengar
ceritaku.
“Salah orang tak? Alang tu muda lagi. Tua setahun
aje daripada Aira! Alang tu sibuk merawat pesakitnya, sempat
ke dia hantar SMS bagai? Setiap masa pula tu! Abang kan?”
Mak menyoal abah.
Abah mengangguk-anggukkan kepalanya mengiakan
soalan mak. Pesakit? Sah doktor! Ke jururawat macam cerita
Misiku Kuza? Tapi Kuza perempuan! Tak mungkinlah dia
jururawat! Kalau mungkin pun... Lembutkah dia? Eeuww.
Tak nak aku!!
“Oh, nama dia Alang. Tua setahun daripada Aira.
Dia doktorlah ni?” Aku tersengih. Muka mak dan abah
berubah. Aku cabut lari ke bilik sebelum sempat mak
ketam-ketamkan aku.
“Bertuah punya anak! siko aku aje rupanya. Percayalah
aku dengan penipuannya. Hei Aira, kalau aku dapat, memang
aku tenyeh engkau ye?! Tengoklah bang, anak awak tu!”
Mak membebel.
Aku tergelak dari dalam bilik yang telah dikunci.
Abah juga tergelak besar. Mana tumpahnya kuah kalau tidak
ke nasi?
“Sorry mak, abah. Thanks for the info.” Aku berkata
bangga.
You figure it outlah sangat. Bagi aku nombor lelaki tu,
buat apa? Aku ni perempuan. Dialah yang patut mulakan
langkah dulu. Nanti bagilah aku gambar ke apa? Kacak
manalah sangat kalau mata mak yang melihatnya? Mak aku
ni pantang nampak lelaki berhidung mancung, semuanya
dia kata kacak walaupun gigi depan tak ada.
Suara tak puas hati mak masih kedengaran di
luar. Abah aku pula hanya terkekeh-kekeh ketawa. Memang
aku menurun betul perangai abah. Senget-senget sikit. Nak
buat macam mana? Hehe. Nombor telefon di tangan, aku
renyukkan dan campak ke dalam beg.
Doktor... Doktor apa ya? Doktor psikiatri ke? Doktor
sakit puan ke? Euw! Haraplah bukan doktor sakit puan.
Automatik fikiran teringat pada dua doktor di sebelah rumah.
Hmm. Diaorang tak nampak macam doktor pun! Macam orang
sakit jiwa adalah!
“Jangan lupa contact dia. Minggu depan dia dah nak
hantar rombongan merisik. Bertunanglah dulu.” Suara abah
kuat. Dah tentu-tentu dekat luar bilik aku je.
Aku agak terkejut mendengar kata-kata abah itu.
Minggu depan? Lelaki mana yang tak tahu sabar sangat
ni? Atau mak dengan abah yang tak sabar ni? Maklumlah,
anaknya dah berumur dua puluh tujuh tahun. Bagi perempuan
yang masih belum berkahwin pada umur begini sudah boleh
dikira sebagai 'tua' atau kalau mengikut hitungan warga
emasnya, umur aku bersamaan dengan lima puluh tujuh
tahun usia perempuan yang sudah berkahwin. See?
Okey, jangan takut bagi yang tak kahwin lagi tu.
Ini teori mak aku, dan aku guna pakai sebab macam logik.
Huhu... Pendapat peribadi aku pula, selagi tak berkahwin,
selagi itulah aku rasa muda. Kehkehkeh. Pendapat peribadi
aku tak boleh pakai sebab itu namanya 'pendapat jaga hati
sendiri'. Aku mengeluh. Nak contact ke tak nak? Ah! Tak
naklah! Dia lelaki, dialah yang patut cari aku. Aku keluar
dari bilik. Terlupa nak tanya mak, macam mana mak
boleh kenal dengan dia? Sibuk lari sampai terlupa nak tanya
soalan penting tu.
“Mak, macam mana mak boleh kenal dia?” Aku
menyoal sambil kaki kembali melangkah ke ruang tamu.
Kepala yang tak gatal, aku garu-garu.
Mak dan abah berpandangan lagi. Sebenarnya,
melalui renungan mata tu, mak dan abah aku agihkan
tugas menjawab setiap soalan aku. Dari kecil lagi aku
perasan. Patutlah hubungan mereka kekal bahagia sampai
sekarang. Persefahaman itu ada...
“Kawan abah ada kenal sorang lelaki ni. Katanya
anak bujangnya mencari calon untuk dibuat bini. Kecewa
bercinta. Lepas tu serik nak bercinta pulak. Tapi umur dah makin
meningkat. Nak jugalah dia berumah tangga. Katanya, dia
nak buka hati untuk isterinya saja nanti. Kacak sungguh
orangnya. Siapalah sanggup menduakan dia, entah?” Abah
bercerita dengan bersungguh-sungguh. Sedih juga kisahnya.
Nyaris jugalah aku keluarkan sekotak tisu tadi.
“Lepas tu, abah?” Cerita abah macam tak complete.
Sebab itu aku nakkan kesinambungannya.
“Kawan abah memang dah tahu yang abah tengah
giat cari menantu. Dia cerita kat kawan dia, kawan dia
cerita kat anak bujangnya. Anak bujangnya tersentuh dengan
kisah Aira. Tentang si Fareez, dia nak kenal-kenal dengan
Aira. Bila dah berbual dengan abah dan mak, terus dia
nak masuk meminang sedangkan mak abah tak tunjuk
lagi gambar Aira. Dia kata yang dia tak memilih rupa.
Rugi betul dia tak nak tengok muka Aira. Anak abah ni
cantik bak bidadari orangnya. Mesti dia rasa macam menang
loteri bila tengok bakal bini dia nanti.” Bersungguh abah
berkata sambil memujiku. Aku hanya terdiam bila nama Fareez
dikaitkan. Senyuman aku lemparkan hambar.
Ada juga yang bersimpati denganku. Doktor? Tentu
dia seorang yang skema. Berkaca mata. Gigi tersusun cantik.
Rambut belah tepi dan digel sehingga berkilat. T-shirt yang
dipakai pula berkolar sepanjang masa bersama seluar slack
atau jeans straight cut. Urfff. Cukuplah aku berhadapan dengan
cikgu sekolah yang berperwatakan begitu. Janganlah bakal
tunangku begitu juga nanti. Euww!
Tapi Farhan... Dia tidak pula berperwatakan begitu.
Sebab itulah Julia pernah jatuh hati pada dia. Aku jatuh
suka sikit je. Itupun sekejap sebab aku dah kembali ke
pangkal jalan. Kihkihkih. Apa pasallah otak fikir Farhan pulak
ni? Minggu depan aku dah nak bertunang. Oh Tuhan!
Tak adalah aku rasa jealous lagi bila cikgu sebaya
aku sibuk duk telefon suami mereka. Bila aku dah kahwin
nanti, memang aku tayang pulak rasa bahagia aku depan
cikgu-cikgu di sekolah. Salah seorang cikgu daripada mereka
yang bujang di sekolah itu pernah mengata aku. Dia kata
aku tak laku. Umurnya baru sahaja dua puluh tiga. Terlalu
yakin yang dia bakal berkahwin pada usia dua puluh lima.
Jangan lupa pada hukum karma. Aku takut Allah
balikkan pada dia perkataan tak laku tu nanti. Aku relaks
dengan perangai orang macam ni. Jangan ingat cikgu sesama
cikgu tak ada konflik. Kerjalah sebagai apapun, asal ada
sahaja orang yang berfikiran kurang matang, perkara kecil
pun nak diisukan. Percayalah cakap kak Mona!
“Eh, jauh mengelamun... Dah pergi honeymoon!”
Suara nakal abah mematikan lamunanku. Terbang lari fikiranku
pada cikgu-cikgu di sekolah. Aku tersengih sahaja biarpun
diusik abah. Abah memang suka mengusik.
“Dirul nama sebenarnya kalau tak silap abah. Kami
kenal pun gitu-gitu aje. Berkenal-kenalanlah dulu dengan
dia.” Ujar abah.
“Mirullah, abang! Bukan Dirul!” Mak membetulkan
namanya.
Aku mencemik. Mirul ke, Dirul ke. Pada aku, tetap
sama! Aku tak suka nak ambil tahu. Selagi dia bukan tunang
aku, selagi itu aku tak ada hak nak ambil tahu lebih-lebih.
Tapi... Tadi aku juga yang beria-ia nak tahu nama dia.
Hehehe...
Eh, kejap! Kejap! Mirul? Jiran aku itu namanya Amirul
Irfan. Amirul? Mirul? Doktor juga. Gulp! Kebetulan ni...
Isy! Macam manalah boleh terfikirkan Irfan pulak ni? Aku
menjuihkan bibir.
“Abang lupa sebab kita duk panggil dia Alang.”
Abah berkata lantas tersengih. Mirul ya? Alang tu pula nama
apa? Aku pening sudah!
“Itulah bang. Waktu dia perkenalkan diri dia, abang
patut buka telinga abang yang besar tu luas-luas.” Abah
tersengih sahaja dibebel mak. Macam biasa.
“Aira kena panggil dia ‘abang’.” Selamba sahaja abahku
mengeluarkan arahan.
Aku terberdiri. Nak panggil dia abang? Kalau Julia,
tak payah disuruh pun dia tetap panggil ‘abang’. Aku pula...??
Argh! Buruknya panggilan tuuuu!! Memang taklah aku nak
panggil dia abang.
“Eh! Tak naklah! Apa hal pulak nak kena panggil dia
Abang?” Aku memprotes bersama muka cemberut. Geram.
Meluat. Semua ada.
“Umur dia lagi tua daripada Aira. Tua setahun. Kenalah
panggil abang. Dah kahwin nanti lembut sikit lidah nak
menuturnya.” Abah tersenyum. Aku jelir lidah. Gelinya!! Arwah
Fareez pun aku tak panggil ‘abang’. Eee... Tua setahun aje
pun!
“Tak naklah! Tua setahun aje pun...” Aku memprotes.
Abah memandangku dengan muka tahan senyum.
“Setahun ke, dua tahun ke, sebulan ke, dia lagi tua dari
Aira. Senang. Dah kahwin nanti, boleh pelawa dia makan
ke, minum ke? ‘Makan, bang... Minum, bang...’ Kan manis
tu. Macam mak Aira. Sejuk hati abah dengar.” Abahku letak
telapak tangannya di dada sambil pejamkan matanya.
Nampaklah aku betapa ‘sejuknya’ hati abah dipanggil
‘abang’ oleh emakku sendiri. Tapi hati aku ni pula yang
panas bila abah ajuk suara perempuan mempelawa insan
yang bergelar ‘bang’ itu minum dan makan. Buruk benar
bunyinya. Kalaulah insan bergelar ‘bang’ itu dengar, memang
pengsan berdirilah dia!
“Eeee!” Aku berkata meluat lantas berlari ke bilik.
Lebih baik aku mengurung diri di dalam bilik.
“Ajarlah anak merepek macam dia!” Mak membebel
pada abah.
Abahku hanya terkekeh-kekeh ketawa. Aku tersenyum.
Abah ni, nakal! Suka kenakan mak... Suka kenakan aku
juga. Abah yang terbaik serata alam. Aku tahu tak ramai
orang yang ada abah yang happening macam abah aku.
Beruntungnya aku...
“Aira, dia suruh mesej dia dulu.” Abah terjerit dari
ruang tamu. Aku mencemik. Tak mahu! Buat apa? Sematamata
nak panggil dia, ‘bang’? Euww! Gross sangat!
“Abahlah suruh dia mesej dulu. Dia tu lelaki!
Aira anak abah ni, perempuan! Takkanlah Aira pula yang
kena terhegeh-hegeh mesej dia. Tak naklah!” Aku memprotes.
Kedengaran suara mak dan abah bersatu dalam tawa.
“Anak kita dah pandai malu-malu kucing sekarang...
Macam manalah rupa dia malu-malu atas pelamin nanti
kan, bang? Mesti buruk rupa dia...” Mak memberi komen
sambil disokong abah dan mereka berdua tergelak-gelak.
Aku mendengus.
“Mak, Aira dengar, okey?!” Aku jerit malu.
“Lah! Baguslah!” Mak dan abah berkata serentak.
Selepas itu mereka terkekeh-kekeh ketawa. Aku
berdeham kuat. Mak dengan abah pun kaki menyakat aje.
Aku pelik betul dengan hidup aku. Asyik dikelilingi dengan
orang yang suka menyakat aje! Malang... Arwah Fareez dulu
pun jadi kuat menyakat juga setelah dia berbual dengan
abah dulu. Abah dah sebarkan virus dia pada ramai orang.
Bahaya betul!

No comments:

Post a Comment