DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 13 July 2016

Sesuci Cinta Qaseh - Bab 1



CINTA??? Arrgghh!!!! Ada apa dengan cinta?
Adakah bahagia ataupun derita? Ataupun kedua-duanya
bercampur menjadi rencah dalam satu ungkapan bernama
cinta?
Qaseh Syafiqah, itulah namanya. Nama yang dipilih
oleh ayah dan ibunya, dek lambang cinta abadi mereka.
Namun, siapa sangka bahtera yang dibina oleh kedua orang
tuanya itu hancur berkecai dihempas badai yang bergelora
sebelum sempat sampai ke pelabuhannya. Cinta yang mereka
agungkan selama ini musnah jua dek cinta orang ketiga. Dan
kerana kecewa dek cinta juga, ibunya menderita sehinggakan
dia kehilangan kasih seorang ibu buat selama-lamanya.
Ayahnya Sufian, sibuk menganyam cinta baru
hinggakan terlupa kepada dia, satu-satunya amanah yang
telah dititipkan oleh Allah. Kini sudah hampir sepuluh tahun
dia dijaga oleh datuknya, Tok Daud. Tok Daud satu-satunya
datuk yang dia ada di dunia ini, yang sanggup menjaganya
walaupun hidup dalam serba kekurangan.
Ada juga kadangkala ayahnya datang menjenguk,
tetapi hanya sekadar bertanya khabar sahaja. Dia tidak pernah
merasa kasih sayang seorang bapa semenjak ayah dan ibunya
berpisah. Semenjak ayahnya bernikah muda, Qaseh tidak lagi
dipedulikan.
Kerana itulah Qaseh berdendam dengan ayahnya dan
dia tidak pernah percaya pada ungkapan cinta seorang lelaki.
Bagi Qaseh, tidak ada cinta yang sejati di dalam dunia ini,
kecuali kasih Tok Daud yang begitu ikhlas dan tulus buatnya.
Qaseh takut untuk bercinta dan dia tidak akan sesekali jatuh
cinta.
“Meoww...”
Comot menggesel-geselkan kepalanya pada tubuh
Qaseh yang sedang ralit merenung pantai yang terbentang
luas di hadapannya. Bayu pantai yang berpuput lembut itu
menampar mesra pipi, mendamaikan jiwanya kala itu. Pasir
pantai yang memutih, mendamaikan pandangan Qaseh. Di
situlah saban petang dia menghabiskan masanya menunggu
Tok Daud pulang daripada menangkap ikan di laut. Comot
pula, menjadi peneman setianya.
Semenjak dia tamat pengajian di Universiti Malaysia
Terengganu, dia belum lagi mendapat sebarang pekerjaan
dan belum juga bersungguh-sungguh lagi mahu untuk
bekerja. Hatinya berasa berat untuk meninggalkan Tok Daud
bersendirian di kampung.
Dulu, kerana tidak sanggup berjauhan dengan Tok
Daud dia memilih UMT sebagai medan melanjutkan pelajaran
sebaik sahaja dia mendapat keputusan cemerlang dalam
peperiksaan SPM. UMT hanya terletak di dalam negerinya
sendiri dan pada bila-bila masa saja dia boleh balik untuk
menjenguk Tok Daud.
Jika diikutkan hatinya, dia tidak mahu melanjutkan
pelajaran ke mana-mana universiti kerana tidak sanggup
melihat Tok Daud berpayah jerih membanting tulang di
lautan semata-mata mahu menampung pengajiannya. Tetapi
kata Tok Daud, harapannya terlalu tinggi mahu melihat
Qaseh berjaya dalam pelajaran.
“Meeoowww...” Comot masih mengiau manja,
berbelit ligat pada kaki Qaseh pula.
“Kenapa ni Comot? Kita tunggulah dulu ye. Kejap
lagi pasti atuk balik!” Qaseh mengusap-usap kepala Comot
dengan manja. Bulu Comot yang lembut itu berasa selesa di
tapak tangannya.
Comot, kucing yang telah diselamatkan Qaseh
setahun yang lalu. Waktu itu Qaseh dalam perjalanan
mahu ke kedai, tiba-tiba dia ternampak satu plastik
putih bergerak-gerak di tepi jalan. Melihat keadaan yang
mencurigakan, Qaseh terus membuka ikatan plastik yang
terjerut kemas itu. Sebaik sahaja ikatan pada plastik itu
terbuka, hampir menitis air mata Qaseh melihat seekor anak
kucing yang sudah lemas dan kelihatan tercungap-cungap
kerana tidak dapat bernafas. Kerana kasihan, Qaseh telah
membawa Comot pulang dan terus dibelanya. Sekarang
Comot telah membesar dengan sihat.
“Kenapa lambat sangat atuk balik hari ni ye Comot?”
Qaseh sudah mula bimbang tatkala melihat nelayan lain
sudah ramai yang pulang ke rumah tetapi kelibat bot atuknya
masih belum kelihatan.
“Meeoww...” Comot berbunyi lagi seakan menyahut
pertanyaan Qaseh sebentar tadi.
Qaseh sudah mula gelisah. Dia bangun, mengibas
seluar trek yang dipakainya kerana ada pasir pantai yang
melekat di situ. Matanya pula tidak lepas daripada merenung
ke arah pantai, menanti kemunculan bot milik datuknya di
situ.
Senja semakin melabuhkan tirainya. Warna air
laut juga sudah berubah jingga kemerahan akibat pantulan
cahaya matahari yang sudah mula jatuh di ufuk barat. Camar
putih juga sudah lama pulang ke sarang. Hati Qaseh mula
berdebar-debar, bimbang sungguh jika sesuatu yang buruk
menimpa datuknya.
‘Ya Allah, selamatkanlah atuk.’ Qaseh tidak
putus-putus berdoa.
Tidak lama kemudian, anak matanya dapat
menangkap dengan jelas sebuah bot kecil yang semakin
mendekat ke darat lalu terus menuju ke kuala. Qaseh
menarik nafas lega sebaik sahaja melihat bot kepunyaan
datuknya sudah pun berlabuh di kuala. Dia bergegas pergi
mendapatkan datuknya, sementara Comot pula berlari
mengejarnya dari belakang.
“Tok! Kenapa lambat petang ni? Qaseh risaukan
atuk, bimbang apa-apa terjadi pada atuk.” Qaseh terus
menyapa sebaik sahaja melihat Tok Daud sudah pun naik ke
darat bersama seplastik ikan di tangannya.
“Enjin bot atuk rosak tadi, itu yang lambat tu. Kamu
ni pulak, buat apa lagi senja-senja macam ni masih duduk
di pantai?” tanya Tok Daud merenung wajah cucunya itu.
Dia menghulurkan plastik berisi ikan kepada Qaseh. Tidak
banyak ikan yang dapat ditangkap Tok Daud, cuma beberapa
ekor ikan kembung dan selayang. Nampaknya ikan-ikan
itu hanya akan menjadi lauk untuk makan malam mereka
saja. Jika tangkapan banyak, Tok Daud akan menjualkannya
kepada peraih ikan.
“Meeooww, meeooww...” Comot sudah berbunyi
nyaring meminta ikan.
“Nantilah Comot... jom kita balik dulu.” Balas Qaseh
sambil membuntuti langkah Tok Daud yang sudah menjauh
di hadapan menuju ke rumah. Rumah mereka terletak
hanya beberapa meter saja dari pantai. Comot juga sudah
tergedik-gedik membuntuti Qaseh menuju ke rumah.
NASI sudah pun siap terhidang di ruang tengah dapur.
Malam itu Qaseh hanya menyinggang ikan kembung sebagai
lauk untuk mereka makan malam. Comot yang sudah
kekenyangan hanya duduk berehat di atas tikar mengkuang.
Qaseh masih menunggu Tok Daud dengan sabar. Mungkin
datuknya itu belum selesai bersolat maghrib lagi.
Tidak lama kemudian Tok Daud muncul, lalu dia
duduk bersama Qaseh di atas tikar mengkuang yang di
atasnya sudah siap terhidang nasi dan lauk.
“Jemput makan tok.” Qaseh sudah menyenduk nasi
ke dalam pinggan datuknya lalu dihulurkan kepada Tok Daud.
Dia tersenyum melihat wajah tua datuknya itu.
“Kamu tak makan Qaseh?” tanya Tok Daud sambil
menyambut pinggan nasi yang dihulurkan Qaseh.
“Atuk makanlah dulu, Qaseh belum lapar lagi.”
Perlahan Qaseh menjawab. Matanya masih lagi menjamah
wajah tua yang sedang menjamu selera di hadapannya.
Tok Daud nampak begitu berselera menjamah
makanan walaupun hanya berlaukkan ikan singgang. Hati
Qaseh dipagut pilu melihat wajah tua Tok Daud. Sampai
bilakah datuknya itu perlu memerah keringat di lautan hanya
untuk sesuap nasi. Perasaan sebal mula beraja di hatinya.
‘Kesian atuk. Sepatutnya aku yang kena menyara
atuk sekarang. Hmm, dah banyak benar atuk berkorban
untuk aku.’ Mata Qaseh mula berkaca, dadanya pula terasa
sebak. Sedayanya dia menahan air mata agak tidak tumpah
di situ.
“Tok...” panggil Qaseh lembut dan perlahan. Suapan
Tok Daud terhenti, mata tuanya memandang tepat pada
wajah cucu yang sangat dikasihinya itu.
“Ada apa Qaseh?” Dahi Tok Daud sudah berkerut
merenung Qaseh yang kelihatan sugul saja.
“Urrmmm... kalau Qaseh pergi kerja kat Kuala
Lumpur tu, atuk nak tak ikut Qaseh? Kita tinggal kat sana.”
Tanya Qaseh bersungguh-sungguh, mengharap jawapan
positif datuknya.
Kali ini dahi Tok Daud semakin berlipat. Lain benar
soalan yang diajukan Qaseh kepadanya saat itu. Nasi yang
mahu disua ke mulut diletakkan kembali ke dalam pinggan.
“Kenapa pulak kamu tanya soalan macam tu?”
“Hmm.... tak adalah. Qaseh kesian tengok atuk
berhujan, berpanas, kat tengah laut tu semata-mata nak
menyara kehidupan kita berdua. Sekarang Qaseh dah habis
belajar, biarlah Qaseh saja yang bekerja dan sara atuk.” Jawab
Qaseh perlahan sambil matanya merenung lama Tok Daud.
Datuknya itu nampak benar sudah uzur. Yalah, umur
datuknya pun sudah menjangkau ke usia 76 tahun. Selalu
juga datuknya itu sakit-sakit. Sejak ayahnya meninggalkan
dia di kampung bersama Tok Daud, hanya lelaki itu sajalah
yang sanggup memberikan kasih sayang kepadanya. Dia
terlalu sayangkan datuknya, tidak sanggup rasanya melihat
Tok Daud susah.
“Qaseh... di sini, di kampung inilah tempat atuk. Kau
pergilah bekerja di Kuala Lumpur tu kalau kau mahu. Jangan
risaukan atuk. Nanti bila ada masa kau baliklah jenguk atuk
dekat sini.” Jawab Tok Daud akhirnya sambil menghabiskan
sisa nasi di pinggannya.
“Tapi... Qaseh tak sampai hati nak tinggalkan atuk
sorang-sorang. Kalau atuk sakit, macam mana? Siapa nak
jaga atuk?” Qaseh masih belum berpuas hati.
“Aamar kan ada. Kau jangan risau, dia boleh
tengok-tengokkan atuk. Pergilah Qaseh. Sampai bila kau nak
hidup susah dengan atuk.”
Wajah tampan Aamar terus terbayang di ruang mata
Qaseh saat nama itu disebut datuknya. Aamar, satu-satunya
lelaki yang begitu rapat dengannya. Berkawan dengan Aamar
amat menyenangkan Qaseh. Lelaki itu terlalu ikhlas kepadanya
dan terlalu baik dengannya. Mereka telah berkawan sejak
kecil lagi. Segala kisah suka duka Qaseh berada kemas dalam
genggaman Aamar. Paling menyenangkan Qaseh, lelaki itu
tidak pernah berbicara soal hati dan cinta dengannya.
“Tapi... Aamar tu ada ke masa nak tengokkan atuk?
Dia kan dah kerja sekarang ni.”
“Insya-Allah, budak Aamar tu baik sangat. Atuk
berkenan nak jodohkan kamu dengan si Aamar tu.” Luah Tok
Daud lagi dengan riak muka yang serius. Mengharap benar
Aamar menjadi cucu menantunya.
Tok Daud memang sudah lama mengenali Aamar.
Melihat Aamar membesar bersama-sama dengan Qaseh,
dia sudah faham benar hati budi lelaki itu. Tok Daud juga
dapat menghidu perasaan Aamar terhadap Qaseh. Tapi itulah,
cucunya itu memang pantang benar jika dikaitkan soal cinta
dan perasaan. Dia tahu, Qaseh begitu bencikan satu ungkapan
yang bernama cinta.
Ayah kandung Qaseh telah membuang dia dariada
hidupnya kerana turutkan kata hati, cintakan ibu tirinya
setengah mati. Tok Daudlah yang telah menjaga Qaseh
setelah ibu Qaseh pergi buat selama-lamanya akibat penyakit
kemurungan. Semenjak itulah Qaseh tidak pernah nampak
kemanisan dalam cinta. Bagi Qaseh, cinta hanyalah racun
yang merosakkan hati dan jiwa manusia.
Tok Daud terus merenung wajah Qaseh yang sudah
menjadi semacam dua macam itu apabila Tok Daud menyebut
soal jodoh. Ada rasa kesian di hati Tok Daud kepada cucu
kesayangannya itu. Dia sendiri tidak tahu sampai bilakah
Qaseh mahu sendiri. Kalau boleh, sebelum dia menutup
mata, dia mahu melihat Qaseh berumah tangga. Dia sendiri
sudah tua benar, entah esok atau lusa dia akan dipanggil
pergi. Selagi Qaseh sendiri, selagi itulah hatinya tidak tenang.
“Atuk bukan apa Qaseh... kalau boleh, sebelum atuk
pejam mata, atuk nak tengok kau berkahwin dulu. Kalau kau
tak ada calon, atuk boleh carikan calon yang sesuai dengan
kau... kalau betul kau tak sukakan budak Aamar tu.” Tok
Daud terus menerus bersuara apabila melihat Qaseh hanya
diam tak berkutik. Dia teringat kembali kedatangan Sufian
tempoh hari ke rumahnya. Kedatangan Sufian itu bukan
sekadar mahu menjenguk, tetapi membawa satu hajat buat
anaknya.
Qaseh masih membungkam, tidak tahu mahu
membalas apa. Dia bosan benar apabila Tok Daud mula
bercakap soal jodoh. Bukan dia tidak tahu niat murni
datuknya itu, cuma hatinya saja yang langsung tidak terbuka
untuk bercinta. Segala kenangan lalu benar-benar terbekam
dalam hatinya.
Qaseh mengeluh akhirnya tanpa sepatah kata.
“Qaseh... atuk ada sesuatu nak cakapkan pada kau.”
Tok Daud merenung tepat pada wajah cucunya.

No comments:

Post a Comment