DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 14 July 2016

Sesuci Cinta Qaseh - Bab 12

QASEH agak sibuk sejak pagi lagi. Sudah
hampir seminggu dia bekerja di syarikat Daya Maju Holding
sebagai Eksekutif Pemasaran. Arahan daripada pihak atasan
untuk mengadakan mesyuarat tergempar pada petang nanti
menyebabkan dia sedikit kelam-kabut menyiapkan laporan.
Selama seminggu bekerja di situ dia sudah mula
dapat menyesuaikan diri. Tapi agak penat juga untuk dia
menyesuaikan diri dengan kerjanya, tambahan pula banyak
tugas yang tertunggak yang tidak diselesaikan oleh eksekutif
pemasaran sebelum ini. Dia terpaksa mencari semula fail-fail
lama untuk menyiapkan semua laporan.
“Qaseh, jom pergi lunch.” Tiba-tiba Ryna, kerani
akaun di syarikatnya menyapa. Qaseh yang sedang ralit
menaip sesuatu di komputer ribanya menoleh laju. Ryna
sudah berdiri tegap di sebelah mejanya sambil tersengih
lebar.
“Ala... banyak lagi tak siap ni. Kau pergi ajelah ek, aku
nak siapkan semua laporan ni. Petang karang nak guna dalam
mesyuarat.” Jawab Qaseh, kemudian dia terus menyambung
kerjanya.
“Ala, buka lama pun. Jomlah. Takkan kau tak nak
makan?” Ryna terus memujuk.
“Aku betul-betul tak bolehlah. Kau bukan tak tahu
Encik Faez tu, garang bukan main lagi, mengalahkan Tuan
Pengarah kita. Nanti kalau laporan ni tak lengkap, aku jugak
yang kena.” Balas Qaseh lagi sambil matanya masih lagi
melekat pada komputer di hadapan.
“Hmm, tu yang aku pelik tu. Kenapa Encik Faez tu
garang semacam aje dengan kau? Dengan aku dan staf-staf
yang lain, okey pulak.” Dahi Ryna sudah berkerut.
Qaseh cuma diam, tidak menjawab. Tangannya
masih lagi lincah menekan papan kekunci.
“Oiitt!!! Kau dengar tak ni? Hesy, baik aku pergi
makanlah macam ni.” Ryna sudah naik angin kerana Qaseh
langsung tidak melayannya.
“He... he... aku dengar. Sorry...” balas Qaseh
kemudiannya sambil tersengih.
“Aku pergi dululah. Nak kirim apa-apa tak?” tanya
Ryna lagi.
“Ermm, takde.”
Sebaik sahaja Ryna meninggalkan mejanya, Qaseh
kembali sibuk dengan kerja. Dia mahu membuat laporan
yang terbaik kerana inilah mesyuarat pertama yang akan
dihadirinya semenjak dia bekerja di situ.
Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi nyaring.
‘Hai, siapa pulak yang telefon ni?’ Qaseh terus
mencapai telefon yang berada di atas mejanya. Sebaik saja
melihat nama si pemanggil, dia tersenyum lebar. Butang
hijau terus ditekan.
“Assalamualaikum...” ceria sekali suaranya.
“Waalaikumussalam... kau buat apa tu? Dah makan?”
tanya suara di sebelah sana, kedengaran ceria seperti biasa.
“Belum. Aku tengah siapkan laporan ni, ada meeting
tergempar petang nanti. Atuk sihat tak? Comot? Ya Allah
rindunya aku pada diaorang.”
“Pada diaorang aje, aku?”
“Pada kau jugak. Rindunya kampung... laut, pantai,
pasir... semuanya aku rindu. Kau tahu Aamar, tempat
orang tak sama dengan tempat sendiri.” Suara Qaseh sudah
kedengaran sayu. Wajah datuknya, wajah Comot dan wajah
Aamar mula menari-nari di hadapan mata silih berganti.
Aamar terdiam, lama begitu.
“Nanti kau ada masa, baliklah. Atuk pun sejak
akhir-akhir ni nampak makin tak sihat aje. Agaknya dia
rindukan kau.”
“Aku nak sangat balik Aamar. Tapi kau tahu kan, aku
baru aje start kerja. Bukan senang nak dapat cuti. Ada masa
nanti, aku balik.” Jawab Qaseh semakin sayu. Hampir menitik
air matanya.
“Aku faham. Dahlah, jangan nak buat ayat touching.”
Balas Aamar dengan nada bergurau.
Tawa mereka pecah serentak. Perasaan rindu mula
menggunung di dada Qaseh. Sudah lama dia tidak bergelak
tawa begitu.
“Eh, okeylah. Melayan kau bersembang ni tak siap
laporan aku nanti.”
“Okeylah, jaga diri. Ada masa ajaklah suami kau
balik, jenguk atuk.” Sempat lagi Aamar titipkan pesan buat
Qaseh.
Spontan Qaseh menganggukkan kepala seolah-olah
Aamar dapat melihat anggukannya itu.
Setelah talian diputuskan, Qaseh kembali
menyambung kerjanya. Tanpa dia sedar, ada sepasang mata
yang sedang perhatikan dia dari jauh dengan penuh minat.
SEMENTARA Harith di pejabatnya begitu tekun
menghadap dokumen yang penuh di atas meja. Sesekali pula
matanya beralih kepada komputer riba yang terletak kemas
di atas meja kerjanya. E-mel yang tidak henti-henti masuk
ke inbox itu dibaca satu per satu. Seketika kemudian Harith
bersandar lesu pada kerusi kerjanya dan memicit-micit
kepalanya yang terasa sedikit berdenyut.
‘Aduhh... berdenyut-denyut pulak kepala ni.’ Getus
Harith dalam hati. Alangkah bagusnya kalau dia dapat ke
kelab malam selepas habis waktu bekerja nanti. Pasti sakit di
kepalanya akan terus hilang.
Bayangan Bella, kekasih hatinya yang berdarah
kacukan dan seksi itu terus muncul di layar mata membuatkan
dia tersenyum sendiri. Lenggok tubuh Bella yang menggoda
terbayang-bayang di ruang mata.
Tetapi seketika itu juga senyuman di bibirnya
terus mati tatkala bayangan wajah tok ayahnya pula
menjelma menggantikan wajah cantik Bella. Harith telan
liur berkali-kali. Kepalanya semakin berdenyut-denyut
apabila amaran keras tok ayahnya tempoh hari seakan
terngiang-ngiang di cuping telinga.
“Ini amaran terakhir! Kalau lepas ni tok ayah tahu
kau keluar lagi dengan perempuan murahan tu, kau jejak lagi
kaki kau dekat kelab malam tu, tahulah nasib kau!!! Tok ayah
akan buat hidup kau merempat. Tahu???”
Dup!!! Harith tersentak. Terasa seolah-olah Tok
ayahnya sedang menjerit di tepi telinganya kala itu.
‘Isyyy, tok ayah ni... mana-mana aku pergi ada saja
dia. Tak boleh jadi ni, aku kena fikirkan strategi...’ Harith
berkira-kira dalam hati.
Tok... tok... tok... Kedengaran pintu biliknya diketuk
dari luar.
“Masuk!” jawab Harith sepatah sambil membetulkan
duduknya.
Seketika itu, terjenguk wajah seorang pemuda sebaya
Harith yang sedang berkemeja hitam berdiri tegap di ambang
pintu dan seketika itu juga pemuda itu terus menapak ke
dalam. Dia tersengih.
“Kau sibuk ke? Boleh aku masuk?”
“Kau bukan dah masuk ke?” jawab Harith dengan
muka selamba. Wajah Rizal direnung tanpa riak. Kawan
baiknya itu sudah tersengih macam kerang busuk. Rizal
menarik sebuah kerusi dan terus duduk berdepan dengan
Harith tanpa dipelawa.
“Kau tak kerja ke hari ni?” tanya Harith sambil
melirik pada jam Rolex yang tersarung cantik di tangannya.
Baru pukul 4.00 petang.
“Kerja. Ni aku baru balik daripada meeting dengan
pihak hospital la. Kebetulan lalu depan pejabat kau, aku
singgah kejap.”
“Kau ni, kalau tak merayap waktu kerja memang
bukan kaulah tu. Mentang-mentanglah kau tu bos. Habislah
pesakit-pesakit kau nanti... doktor kuat merayau!” Harith
sudah ketawa kecil. Saja mahu kenakan kawan baiknya itu.
Rizal ialah kawan baiknya sejak berada di UK lagi.
Mereka belajar di universiti yang sama tetapi dalam bidang
yang berlainan. Rizal seorang doktor dan telah membuka
kliniknya sendiri. Namun, kerjayanya sebagai seorang doktor
tidak pernah membataskan aktiviti malamnya. Rizal juga
kaki lepak di kelab, sama macam Harith. Cuma, waktu Rizal
sekarang agak terbatas. Semenjak dia bergelar doktor, aktiviti
malamnya semakin berkurangan, namun masih tetap ada.
“Aku merayap pun sebab nak jumpa dengan kau,
tahu tak? Patutnya kau bangga dapat kawan macam aku ni.”
“Hmm... yalah tu. Bangga sesangat.” Harith menarik
sebuah dokumen lalu membelek-beleknya, kemudian dia
mencatat sesuatu di atas sekeping kertas.
“Rith... kau sibuk sangat ke sekarang? Dah lama tak
nampak muka kau kat kelab.” Mata Rizal terarah tepat pada
wajah Harith yang tiba-tiba menjadi keruh.
Harith masih diam.
“Kena control dengan isteri ke?” tanya Rizal lagi
seakan memerli. Dia tersenyum sumbing.
Harith merenung tajam kepada Rizal. Pen di tangan
diletakkan ke atas meja.
“Ini Harith Haikal tahu tak! Tak akan sesekalinya
kena kontrol dengan perempuan.”
Rizal tergelak kecil.
“Habis tu, kenapa dah lama tak datang kelab? Kau
jangan cakap yang kau dah berubah. Takut aku dengar.” Rizal
masih belum puas menyakat Harith. Dia tahu hati kawannya
sedang terbakar.
“Ermm, ini yang jadi masalah sekarang ni. Aku kena
kontrol dengan tok ayah aku. Pening dah kepala aku ni duk
fikir semua ni. Serabut betul. Hari-hari kena menghadap
muka perempuan kampung tu, buat tekak aku meloya je.”
Luah Harith dengan geram. Bibirnya diketap kuat tanda
geram yang amat.
“Buruk sangat ke rupa isteri kau tu?”
“Tak adalah buruk. Memanglah lawa, tapi pakaian
dia tu... Huhh! Naik sakit mata aku ni tengok. Asyik-asyik
dengan baju kurung, kain batik, t-shirt!!!” jawab Harith
dengan mimik muka penuh meluat.
Rizal sudah ketawa besar.
“Kau ni kelakarlah. Patut kau bersyukur, tahu tak.
Sekurang-kurangnya kau dapat seorang isteri yang baik.
Okeylah tu. Daripada kau kahwin dengan perempuan seksi
yang dedah sana sini.” Jawapan Rizal membuatkan dahi
Harith berkerut seribu.
“Apa yang untungnya?” Harith bertanya macam
orang bodoh.
“Yalah, kau sorang saja yang nampak apa yang
sepatutnya jadi hak kau. Kalau kau kahwin dengan perempuan
seksi, terdedah sana, terdedah sini... apa bezanya kau dengan
orang lain?” Sudah macam ustaz gayanya si Rizal bercakap.
Harith termenung lama. Mungkin sedang berfikir
tentang apa yang dikatakan oleh kawan baiknya sebentar tadi.
Dalam diam dia mengakui ada benarnya kata-kata kawan
baiknya itu. Tetapi egonya sebagai manusia dan sebagai
seorang lelaki tetap mahu menafikan kebenaran itu.
“Eleh, kau cakap aku... kau pun sama jugak,
kan? Macamlah aku tak tahu, kau tu selalu dikelilingi
makwe-makwe jenis yang tak cukup kain.” Bidas Harith
akhirnya, tidak mahu mengalah.
“Itu semua stok untuk berseronok. Kalau nak buat
isteri, aku nak cari perempuan macam isteri kau tu. Senang
cerita, kalau kau betul-betul tak suka... kau pass je isteri kau
kat aku. He... he...” selamba saja Rizal menuturkan kata.
“Isyy, ni nak?” Harith sudah menayangkan penumbuk
di hadapan muka Rizal. ‘Dia ingat Qaseh tu barang ke nak
main pass aje?’ gerutu Harith dalam hati. Entah kenapa rasa
sakit pula hatinya mendengar gurauan kawan baiknya itu.
“Eh, sayang ke?” Rizal sudah ketawa besar. Seronok
betul dia dapat mengenakan Harith petang itu. Harith yang
tersedar bahawa dia telah dipermainkan Rizal tersipu malu.
JAM yan g tersarung kemas di pergelangan tangan kanannya
itu berkali-kali dijenguk. Qaseh resah sendiri. Sudah hampir
pukul 7.00 malam. Dia bingkas dari duduk dan berjalan sedikit
ke depan meninjau kalau-kalau bas yang sedang ditunggu
muncul. Tetapi dia kembali hampa apabila mendapati hanya
kenderaan lain sahaja yang bertali arus di atas jalan raya yang
semakin sibuk itu.
Qaseh mengeluh kecil. Sekarang cuma tinggal dia
seorang sahaja di situ, keadaan itu semakin menyesakkan
dadanya. Tiba-tiba hatinya berasa sakit. Jika bukan kerana
Faez yang beria-ia suruh dia betulkan balik laporan yang telah
dibuat untuk mesyuarat petang tadi, mungkin dia tidak akan
terlewat dan terlepas bas untuk pulang ke rumah. Padahal
laporan itu boleh saja dibetulkan esok, namun Faez mahu
dia siapkan hari itu juga. Akibatnya, dia terpaksa keluar lewat
dari pejabat semata-mata mahu betulkan laporan tersebut.
Qaseh tidak faham kenapa Faez begitu benci
kepadanya. Sikap dingin Faez terhadapnya benar-benar
menjadi tanda tanya. Qaseh mula perasan sejak awal dia
bekerja di situ lagi, Faez sudah pun dingin dengannya. Qaseh
rasa seperti mahu menangis saat itu juga. Apalah malang
nasibnya. Balik ke rumah terpaksa menghadap muka suami
yang berlagak bagus, di pejabat pula terpaksa berdepan
dengan muka ketat orang atasannya. Sesak rasa nafasnya
mengenangkan itu semua.
Sekali lagi Qaseh menjeling pada jam yang terlekat
kemas di pergelangan tangannya. Dia mengeluh lagi. Rasa
mahu menangis saat itu mengenangkan hari semakin
beransur malam. Entah pukul berapalah agaknya bas yang
dinanti akan muncul. Qaseh mula diserang perasaan takut.
“HARITH, mana isteri kamu? Tak balik lagi ke?” tanya Tan
Sri Musa sebaik sahaja dia melabuhkan duduk di sofa bersama
cucunya.
Harith yang sedang khusyuk menonton Buletin
Utama itu menoleh seketika.
“Belum, tok ayah.” Jawab dia sepatah, kemudian
kembali menatap peti televisyen.
“Hai, biasa waktu-waktu macam ni dia dah ada dekat
rumah. Kenapa lambat pula malam ni? Ada kamu telefon
dia bertanya?” Jelas tergambar kerisauan di wajah Tan Sri
Musa. Maklum sajalah, Qaseh itu perempuan. Lawa pula tu.
Bimbang pula terjadi sesuatu yang tidak elok nanti.
“Err... tak ada tok ayah.” Balas Harith perlahan.
Dia tersenyum kelat apabila terpandangkan wajah keruh tok
ayahnya.
Mata Tan Sri Musa merenung tajam kepada cucunya
nan seorang itu.
“Kenapa tak telefon tanya?” tegas sekali suara Tan
Sri Musa.
Gulpp!!! Harith sudah menelan liur. Sekali lagi
dia tersenyum kelat memandang wajah tok ayahnya yang
nampak tegang saja.
‘Apa aku nak buat ni? Nombor telefon dia pun tak ada.
Macam mana aku nak telefon dia?’ Harith sudah berkira-kira
dalam hati.
“Ermm, banyak kerja agaknya tok ayah. Biasanya dia
telefon Harith kalau nak balik lewat. Bateri telefon dia habis
kut.” Harith terus mencipta alasan.
“Kamu ni... ambil ringan saja, kan! Yang kita tengah
bercakap sekarang ni pasal isteri kamu. Sikit pun kamu tak
rasa risau. Sudahlah dia tu masih baru lagi dekat KL ni.” Keras
saja bunyi suara Tan Sri Musa. Hatinya berasa sakit melihat
Harith seolah-olah tidak peduli langsung tentang Qaseh.
“Err... Harith pergi cari dialah.”
Harith sudah bingkas bangun dari duduknya.
Sebelum tok ayahnya buka syarahan panjang lebar, lebih baik
dia bergegas pergi. Kalau tidak, sampai esok belum tentu lagi
boleh habis. Dalam hatinya menyumpah-nyumpah Qaseh.
Tak pasal-pasal dia kena sembur dengan tok ayahnya kerana
perempuan kampung itu.
Baru saja Harith mencapai kunci kereta Skyline
miliknya yang tersangkut di dinding berhampiran pintu,
Qaseh sudah pun muncul di muka pintu dengan wajah
kepenatan. Dia agak terkejut melihat Harith berdiri
betul-betul di sebelah pintu. Mata mereka bertembung buat
seketika.
“Hah, Qaseh. Dah balik pun. Risau betul tok ayah.”
Sapa Tan Sri Musa sebaik saja terpandangkan Qaseh yang
masih lagi berdiri kaku di muka pintu.
“Qaseh minta maaf tok ayah. Tadi ada kerja yang
Qaseh kena siapkan hari ni jugak. Itu yang lewat. Bas pulak
terlepas. Terpaksa tunggu teksi.” Jawab Qaseh dengan muka
bersalah.
“La... kenapa sayang tak call abang?” tanya Harith
lembut sambil tersenyum manis. Matanya tajam menikam ke
dalam anak mata Qaseh, seolah-olah mahu ditelannya Qaseh
di situ.
Qaseh yang seolah-olah faham dengan renungan
mata suaminya itu menjawab laju.
“Haaa... itulah, kebetulan pulak telefon Qaseh habis
bateri. Ingatkan nak call abang tadi. Nak buat macam mana,
kan?” Qaseh tersenyum kelat. Nampak sangat tidak ikhlas.
“Hmm... tak apalah Qaseh. Janji Qaseh dah selamat.
Lepas ni suruh aje suami kamu yang hantarkan.” Tan Sri
Musa sudah mengutarakan cadangan.
“Eh, tak boleh tok ayah!” serentak Harith dan Qaseh
menjawab. Mereka saling berpandangan sekali lagi.
“Apa kena pulak dengan kamu berdua ni? Qaseh,
mari sini. Tok ayah nak cakap sikit.” Panggil Tan Sri Musa.
“Apa tok?” tanya Qaseh sebaik sahaja dia melabuhkan
punggung di sofa. Qaseh berganjak sedikit ke kanan memberi
ruang kepada Harith untuk duduk bersama di situ.
‘Sibuk aje!!!’ desis Qaseh berasa kurang senang
dengan kehadiran Harith di sebelahnya.
“Mulai esok, tok ayah nak kamu pergi dan balik kerja
dengan Harith. Dia yang akan hantar dan ambil Qaseh pergi
kerja.” Tenang saja Tan Sri Musa menuturkan kata.
“Hah? Mana boleh tok ayah! Pejabat Harith dengan
Qaseh berlainan arah. Takkanlah Harith nak kena patah
balik. Dengan jamnya lagi.” Balas Harith mula berasa kurang
senang.
“Betul tu tok ayah. Kesian kat abang nanti. Takpe,
Qaseh boleh naik bas aje.” Laju saja Qaseh menyokong. Dia
sebenarnya tidak mahu juga dihantar dan dijemput Harith.
‘Daripada aku naik kereta dengan mamat berlagak
ni, baik aku tunggu bas ataupun teksi. Biar lambat, asalkan
hati tak sakit.’ Omel Qaseh dalam hati.
Tan Sri Musa termenung lama. Otaknya masih lagi
ligat berfikir. Akhirnya dia tersenyum lebar.
“Macam inilah... Qaseh pergi aje dengan driver tok
ayah.”
“Hah???” Qaseh sudah melopong.
‘Driver tok ayah bermakna ayah aku. No!!! Tak akan
sesekalinya. Mana boleh macam tu? Kalaupun aku bencikan
dia, tak sanggup rasanya nak suruh dia jadi pemandu peribadi
aku.’ Qaseh sudah bermonolog sendiri. Dahinya berkerut
seribu. Kepalanya pula, tiba-tiba saja berdenyut kuat sebaik
saja mendengar cadangan Tan Sri Musa.
“Kenapa Qaseh?”
“Hmm... tak patut rasanya kalau saya jadikan ayah
kandung sendiri sebagai pemandu peribadi. Tak apalah tok
ayah, Qaseh boleh pergi sendiri.” Bersungguh-sungguh
Qaseh cuba meyakinkan Tan Sri Musa.
Tan Sri Musa termenung sekejap.
“Betul jugak tu. Kalau macam tu... Qaseh bawak aje
kereta sendiri. Guna kereta tok ayah. Kereta Toyota putih tu
tok ayah tak pernah guna. Sesekali aje tok ayah bawak pergi
main golf. Yang ini keputusan muktamad!” tegas Tan Sri
Musa.
Qaseh hanya tertunduk diam. Manakala Harith di
sebelahnya cuma diam membisu sedari tadi.

No comments:

Post a Comment