DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 13 July 2016

Sesuci Cinta Qaseh - Bab 7

TERATAK usang milik Tok Daud telah dipenuhi
oleh kaum keluarga yang terdekat pada hujung minggu itu.
Majlis pernikahan yang berlangsung secara kecil-kecilan itu
berjalan dengan begitu lancar sekali. Dengan sekali lafaz
sahaja, kini Qaseh sudah sah bergelar isteri kepada Harith
Haikal, seorang CEO sebuah syarikat perkapalan dan hartanah
yang terkemuka di ibu kota. Atas permintaan Qaseh, majlis
pernikahan ini diadakan secara kecil-kecilan dan Harith terus
bersetuju tanpa sebarang bantahan.
Air mata Qaseh jatuh melaju di pipi tatkala Harith
sah bergelar suami kepadanya. Entah mengapa, saat bibir
lembut Harith mendarat tepat pada ubun-ubun kepalanya,
satu perasaan halus yang sukar untuk ditafsirkan oleh Qaseh
menerpa ke lubuk hatinya, membuatkan perasaan dan
jiwanya terbuai indah. Qaseh keliru. Perasaan apakah itu?
Walaupun Qaseh tahu segala perlakuan Harith
kala itu hanyalah lakonan semata-mata demi mengaburi
mata-mata mereka yang memandang, tetapi entah mengapa
hatinya berasa begitu tersentuh.
‘Ya Allah, perasaan apakah ini?’ hati kecil Qaseh
terus berperang ganas. Seumur hidupnya dia tidak pernah
merasai perasaan yang sedemikian rupa. Terlalu indah. Qaseh
tiba-tiba berasa takut dan keliru.
“HARITH... kamu tinggal di sini dulu sehari dua, lepas tu
baru balik KL. Nanti jangan lupa pulak bawak Qaseh balik
KL.” Tegas saja suara Tan Sri Musa seolah-olah memberi
arahan.
Mata Harith sudah membuntang bulat merenung
tok ayahnya.
“Tapi tok ayah... Harith banyak kerja kat pejabat
tu.” Tutur Harith perlahan, saja dia beralasan. Gila! Macam
mana dia nak tinggal di sini, di rumah ini bersama isteri yang
langsung dia tidak cintai? Aduh! Penat nak kena berlakon
lagi. Dia melirik sekilas kepada Qaseh di sebelahnya yang
hanya diam membatu sedari tadi.
“Tak ada tapi-tapinya. Kerja kat pejabat tu tok ayah
boleh uruskan.” Jawab Tan Sri Musa lagi.
Tan Sri Musa merenung lama kepada Qaseh yang
kini sudah sah menjadi cucu menantunya. Hatinya berasa
lega sekali. Pertama kali melihat gambar Qaseh yang secara
tidak sengaja terjatuh daripada dompet Sufian tempoh hari,
hatinya terus berkenan untuk jodohkan cucunya dengan
anak perempuan tunggal Sufian itu.
Pada mulanya Sufian memang menolak cadangannya
mentah-mentah. Tetapi setelah dia memujuk dan merayu
Sufian berkali-kali, akhirnya Sufian mengalah juga. Tan Sri
Musa yakin, Qaseh mampu membawa cucunya kembali ke
landasan yang benar. Dia bimbang melihat Harith semakin
hanyut dengan kehidupannya sekarang. Solat entah ke
mana, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, semua itu
menyesakkan dada Tan Sri Musa.
Harith mengeluh kecil. Dia tahu, jika itu yang keluar
dari mulut tok ayahnya, maka dia memang tidak diberikan
kata dua lagi. Mahu tak mahu, dia harus menurut dengan hati
yang berat macam batu bata.
“Baiklah tok ayah.” Jawab Harith perlahan, hampir
tidak kedengaran di telinga Tan Sri Musa.
“Qaseh,” panggil Sufian perlahan.
Qaseh yang semenjak tadi masih berdiri kaku di
sebelah Harith segera menoleh. Ayahnya Sufian, sedang
berdiri tegap bersama ibu tirinya Latipah, merenung lama
pada wajahnya. Qaseh masih diam, tidak tahu sama ada mahu
menjawab ataupun tidak.
Melihat saja wajah ayahnya itu, darah Qaseh terus
menyirap ke muka. Rasa sakit hati atas peristiwa lama masih
belum padam, kini ditambah pula dengan pernikahan yang
diaturkan oleh ayahnya ini. Bagaimana jika dia tidak bahagia
dengan pernikahan ini? Awal-awal lagi suaminya sudah
tunjuk belang. Bagi Qaseh, perkahwinan hanyalah suatu
ikatan yang hanya akan membawa kepada penderitaan.
“Ayah balik dulu ye.” Sekali lagi suara ayahnya
menerjah ke gegendang telinga apabila dia hanya membisu
saja.
Sufian terus merenung anaknya dengan pandangan
sayu. Dia tahu Qaseh memang membencinya. Dia tidak
pernah salahkan Qaseh. Dia mengaku dia silap, dan kerana
kesilapan itulah dia telah kehilangan kasih sayang anaknya.
“Qaseh Syafiqah!” terdengar suara Tok Daud
menegur dari belakang.
Dup! Jantung Qaseh berdetak kuat. Dia faham
benar dengan intonasi suara datuknya itu. Kalau sampai
panggil nama penuh tu, dia faham-faham sendirilah. Dengan
teragak-agak Qaseh menghulurkan tangannya kepada Sufian
dan tunduk mencium tangan ayahnya itu. Kemudian dia
beralih pula kepada ibu tirinya, Latipah. Latipah menyambut
huluran tangan Qaseh hendak tak hendak sahaja. Qaseh
hanya dipandang dengan hujung mata.
AAMAR masih termenung panjang di serambi rumah. Wajah
Qaseh masih lagi menari rancak di segenap ruang ingatannya.
Angin malam yang berhembus perlahan itu langsung tidak
dapat mendamaikan hatinya yang sedang keresahan. Hati
mana yang tidak sakit, tidak resah kalau gadis yang dipuja
dalam diam, sekelip mata saja sudah menjadi milik orang
lain. Hanya Allah saja yang tahu bagaimana perasaannya kala
itu.
“Am... sudah-sudahlah tu.” Lembut sekali suara Mak
Esah menyapa telinga Aamar. Dari siang tadi lagi anaknya
itu hanya membisu, termenung jauh melayan rawan di hati.
Mak Esah sendiri agak terkilan sebenarnya kerana tidak dapat
bermenantukan Qaseh.
Bukan sehari dua dia kenal dengan budak Qaseh
itu. Sudah tahu benar hati budinya. Harapan hendak
bermenantukan Qaseh sudah lama terpahat di hati, tapi nak
buat macam mana, sudah tersurat jodoh Qaseh bukan dengan
anaknya. Dia reda.
Perlahan Mak Esah duduk di samping anaknya,
lalu tangan Aamar disentuh lembut. Aamar yang sedang
merenung jauh ke laman rumah terus menoleh. Segaris
senyuman terukir di bibir walaupun nampak sangat tidak
ikhlas. Tekaknya terasa pahit, tidak mampu untuk meluahkan
kata.
“Am...” panggil Mak Esah lagi, lembut sekali
sehingga menusuk ke dalam hati Aamar.
“Am okey mak. Mak jangan risau ye.” Tangan Mak
Esah digenggam lama. Dia tahu emaknya begitu bimbangkan
dirinya. Bukan niat dia mahu membuatkan hati tua
emaknya bimbang. Tetapi dia sendiri tidak mampu untuk
menyembunyikan rasa rawan di hatinya.
“Mak tahu Am okey.” Jawab Mak Esah tenang. Dia
sebolehnya tidak mahu melayan rasa rawan di hati anaknya
itu. Bimbang pula makin dilayan, makin menjadi. Sebuah
senyuman terukir di bibir tuanya, matanya merenung lama
wajah anak yang begitu dicintainya.
Aamar mengangguk perlahan sambil tersenyum
kelat.
HARITH menolak pintu bilik Qaseh dengan perlahan,
bimbang kalau-kalau Qaseh terjaga daripada tidur. Dia
sengaja berbual lama dengan Tok Daud di serambi rumah
kerana tidak mahu berdepan dengan Qaseh di bilik tidur.
Sebaik sahaja pintu bilik terbuka, dahi Harith
berkerut seribu melihat Qaseh masih berdiri tegap
membelakanginya di jendela bilik yang terbuka luas, masih
belum tidur. Angin malam yang bertiup sepoi-sepoi bahasa
menampar lembut rambut Qaseh yang terurai cantik hingga
ke paras pinggang, membuatkan mata Harith seakan-akan
terpukau. Inilah pertama kali dia melihat Qaseh dalam
keadaan tidak bertudung. Entah kenapa jantungnya tiba-tiba
berlari laju.
‘Isy... apa kena dengan aku ni?’ desis Harith mula
rasa gelisah.
“Kenapa berdiri je kat pintu tu? Nampak hantu?”
tanya Qaseh sebaik sahaja dia berpaling ke arah Harith.
Jendela bilik sudah ditutup rapat. Matanya merenung tajam
kepada Harith yang telah pun masuk dan menutup pintu bilik
itu.
Harith hanya mencebik, matanya masih lagi
merenung tajam kepada Qaseh yang sudah berdiri di tepi
katil.
‘Not bad! Tapi pakaian dia tu langsung mematikan
nafsu aku.’ Harith sudah tersenyum mengejek melihat Qaseh
yang hanya berkain batik dan bert-shirt besar. Memang
terserlah kekampungannya.
“Kenapa kau tak tidur lagi ni? Tunggu aku?” bentak
Harith dengan muka berlagak.
“Awak jangan nak perasan. Saya tak tidur lagi sebab
ada benda yang saya nak bincangkan dengan awak.” Bidas
Qaseh agak keras juga.
‘Perasan! Muka berlagak macam kau tu siapa yang
nak tunggu. Eee... tak ingin aku! Harap muka aje handsome,
tapi berlagak tak ingat!!!’ hati Qaseh terus berperang.
“Ooo... baguslah. Aku pun ada benda nak cakap pada
kau ni. Emm, kau tahukan aku kahwin dengan kau ni sebab
aku terpaksa, jadi kau jangan nak beranganlah aku akan layan
atau belai kau macam yang lazimnya seorang suami akan
buat.”
“Okey. Saya pun tak pernah berharap awak layan
saya dengan baik. Tapi memandangkan awak dah jadi suami
saya sekarang, rasanya saya perlu minta kebenaran daripada
awak.”
“Minta kebenaran?” Dahi Harith sudah berkerut
merenung Qaseh. ‘Apa saja minah sorang ni?’
“Hmm, yalah... saya nak kerja. Sampai Kuala Lumpur
nanti saya nak kerja, nak tolong atuk.”
“Kerja? Kerja apa yang kau tahu, kelulusan apalah
sangat yang kau ada?” Harith sudah tersenyum mengejek.
Muka Qaseh terus mencuka sebaik saja mendengar
kata-kata ejekan yang terbit dari mulut Harith itu.
‘Huh! Mulut tak ada insurans langsung!’ bentak hati
Qaseh geram.
“Ahh!!! Lantak kaulah nak kerja ke, apa ke... aku
memang tak kisah. Cuma aku nak minta tolong satu perkara
dengan kau, boleh tak?” Harith terus bersuara apabila melihat
Qaseh hanya membungkam.
“Minta tolong apa?” Dahi Qaseh sudah berkerut.
Matanya bertembung dengan mata coklat cair kepunyaan
Harith. Tak semena-mena jantungnya berdetak hebat, dup...
dap... dup... dap...
“Aku nak kita berlakon depan tok ayah, depan atuk
dan semua orang yang kita ni mesra dan bahagia. Aku tak
minta lama, cuma setahun aje. Lepas setahun kita boleh
berpisah.” Tutur Harith dengan yakin.
‘Baru kahwin siang tadi, sekarang dah bercakap pasal
cerai? Memang gila!’ Gulpp! Qaseh sudah menelan air liur.
“Kenapa setahun?” tanya Qaseh tidak faham.
“Sebab tok ayah bagi aku masa setahun untuk
buktikan yang aku ni boleh jadi seorang suami yang baik dan
boleh bahagiakan kau. Kalau kita berpisah sebelum cukup
tempoh setahun, semua harta tok ayah akan berpindah milik
kepada kau.”
“Hahh???” Qaseh sudah melopong.
“Itulah. Aku pun tak faham kenapa tok ayah tu
beria-ia sangat nak kau ni jadi isteri aku. Kat luar sana, masih
ramai lagi perempuan yang cantik dan bagus daripada kau.
Malang betul aku ni, kan? Perempuan kampung macam kau
jugak yang tok ayah pilih.” Selamba saja Harith mengata
tanpa fikirkan perasaan Qaseh. Pipi kirinya digaru, mungkin
gatal sebab diselar nyamuk.
Zupp!!! Darah merah terasa menyerbu ke muka
Qaseh. Riak wajahnya terus berubah sebaik saja mendengar
kata hinaan yang terbit dari mulut Harith sebentar tadi.
Entah kenapa rasa sedih tiba-tiba bermukim di hatinya.
‘Qaseh, kawal air mata kau. Lelaki memang begitu!’
hati kecilnya terus memujuk. Dia diam, tunduk merenung
lantai.
“Kau dengar tak ni?” suara Harith sudah naik satu
oktaf. Geram pulak tengok Qaseh yang masih membisu itu.
“Dengar. Tengoklah nanti.” Jawab Qaseh acuh tak
acuh. Dia terus mengambil segulung tikar mengkuang yang
tersandar pada almari pakaiannya lalu dihamparkan ke atas
lantai.
“Kau nak buat apa tu?” Harith sudah pelik melihat
segala tingkah Qaseh.
“Tak nampak ke?” bidas Qaseh selamba. ‘Soalan
entah apa-apa...’ getus Qaseh dalam hati.
“Yalah, buat apa kau hampar tikar tu?” Harith masih
tidak puas hati.
“Nak tidurlah! Awak ingat saya kebulur sangat ke
nak tidur dengan awak atas katil tu? Nanti awak tak lena
pulak terpaksa tidur sebelah perempuan kampung yang jijik
lagi kolot!!! Dahlah, awak boleh guna katil saya. Kalau saya
suruh awak tidur kat bawah ni, nampak sangat saya ni kejam.
Tak hormat tetamu.”
Qaseh merebahkan diri di atas tikar mengkuang.
Kain selimut terus ditarik laju menutupi seluruh tubuhnya.
Rasa seram sejuk pula tubuhnya mengingatkan yang sekarang
ini dia hanya tinggal berdua saja dengan Harith di bilik itu.
Sepantas kilat dia mengiring membelakangi Harith.
Harith hanya tersenyum sumbing melihat gelagat
Qaseh. Dia yang sememangnya agak penat itu juga terus
merebahkan diri di atas katil usang milik Qaseh.
“Kraakkk!!!” Dengan spontan Harith bingkas bangun
daripada katil. Mukanya sudah berubah cuak.
“Weh!!! Kenapa katil kau berbunyi ni? Selamat ke?”
suara Harith sudah kedengaran cemas.
Qaseh menekan perut cuba menahan tawanya
daripada meledak keluar.
“Emmm... biasalah! Katil orang miskin. Memang ada
bunyi-bunyi macam tu. Kira macam iramalah. Dahlah! Saya
nak tidur. Awak jangan padamkan lampu tau.” Tegas Qaseh,
tanpa menoleh dia menjawab.
“Huh!!!” terdengar suara Harith merengus kecil.
Kemudian sekali lagi katil usang itu berbunyi tatkala Harith
kembali merebahkan tubuhnya di situ.

No comments:

Post a Comment