DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 13 July 2016

Jodoh Sebelah Pintu - Bab 12

“KAU takut saham kau jatuh kan? Itu pasal kau
suruh rahsiakan. Apa pasal tak nak diaorang tahu? Sebab kau
merasa nak menggatal pulak dengan Abang Taufiq? Dengan
Abang Bad? Dengan Abang Irfan? Dengan Alang? Macam tu?”
Aku dihujani dengan soalan yang begitu menyakitkan hati
di saat aku mula menyambung penulisan novelku yang telah
sekian lama terbiar.
Tengah stress begini memang terapi sungguh bila
dapat menulis. Idea mencurah-curah bagaikan hujan lebat di
musim tengkujuh. Tanganku yang sedang menaip laju sertamerta
terhenti mendengar tuduhan Julia yang langsung tidak
berasas itu. Kalau ikutkan hati aku, dah lama budak Julia
ni lunyai aku belasah. Sudahlah dia tuduh aku macamlah
aku ni sibuk nak menjaga market. Macamlah aku kisah
sangat nak berpacaran dengan salah seorang daripada jiranjiranku.
Sudahlah dia bercerita tentang aku menyerah
soal jodoh kepada mak abah aku. Macamlah aku terdesak
sangat nak berlaki. Macamlah aku ni tak laku langsung!
Aku terluka bila sahabat karibku sendiri yang berkata-kata
begitu. Lidahnya lebih tajam daripada belati! Ikutkan hati,
mahu sahaja aku hamburkan amarah aku kepadanya. Biar
dia tahu, aku tak suka cerita tentang aku dijaja. Cerita
yang belum tentu sahih pula tu! Kenapa?! Kenapa dia nak
cerita tentang semua tu? Penting ke? Pada aku, itu semua
no reason for concern!
Tanganku kembali menyambung taip. Lantak kaulah
Julia. Kalau kau menyakitkan hati aku lagi, jangan tanya
kenapa kalau aku memaki kau. Itu sahaja. Aku malas bersuara
sebab aku tak mahu timbulkan pergaduhan. Sungguh aku
berkecil hati dengan Julia. Rasa meluat semenjak kami ada
jiran lelaki. Perangai dia nak jaga market dan menggeletis tu
semakin menjadi-jadi. Disebabkan dia BFF aku, aku bertahan
dengan karenah dia yang terkadang menjengkelkan aku ni.
“Aku bercakap dengan kau... Kau nak mengurat abang
Taufiq pulak kan? Pantang tengok aku cup laki tu, kau mesti
nak dekat kan? Dulu abang Irfan, sekarang abang Taufiq.
Kau tak boleh jadi lebih baik daripada itu ke?” Soal Julia
sinis.
Cup? Dia ingat, siapa jodoh dia, dia boleh pilih?
Boleh main cup-cup? Tanganku terhenti menaip lagi. Tapi
kali ini, tapak tanganku menghentak meja sekuat hati. Pap!!
Geram. Aku manusia biasa. Kurang imannya bila
amarah menguasai diri... Aku berdiri daripada dudukku.
Menghadap Julia. Memang dia, aku nampak sebesar semut
dah. Kalau dia nak bergaduh, baik! Mari bergaduh. Sebab
aku memang dah lama sangat tak maki orang.
“Kau ingat aku gedik macam kau ke? Kau ada bukti
nak cakap aku macam tu?” Soalku geram.
Muka Julia sudah berubah. Takut-takut. Agaknya dia
terkejut aku hentak meja tadi kut? Daripada dia di pintu
bilikku, kini dia sudah berundur setapak demi setapak bila
aku menghampirinya. Dia berundur sehingga terkeluar dari
bilikku tanpa perlu aku menghalaunya.
“Mona, aku...” Dia tergagap-gagap.
“Aku tanya, kau ada bukti ke?!” Aku menjerkah.
Bahu dia terhinggut. Dadaku turun naik menahan
geram. Tuhan tolonglah bentengkan kesabaranku sedikit
sahaja. Bimbang tanganku melayang pula...
“Kalau tak ada bukti, jangan nak main tuduh! Kau
ingat aku terliur sangat ke nak ambil hak orang? Yang dah
bercup pun aku tak inginlah Julia! Jodoh kita bukan pada
yang kita main cup-cup! Besok-besok tukar nak cup laki
lain pula. Kau ingat aku ni gatal macam kau ke?! Pantang
nampak laki terus nak menggedik! Aku marah kau sebab
kau jaja cerita aku. Pasal mak abah aku carikan jodoh
untuk aku. Cerita kau menunjukkan aku ni tak laku kat
mata diaorang! Menunjukkan, aku ni... Terdesak sangat nak
berkahwin!”
“Kalau aku dah bertunang, aku boleh terima lagi.
Kalau aku ni dah nak kahwin pun tak apa. Masalah sekarang
ialah benda tu belum tentu jadi lagi. Tak sahih pun lagi.
Malu aku kalau tak jadi bertunang. Malu muka aku! Bukan
kau! Otak kau letak kat mana? Jangan tuduh aku nak
menjaga market aku bila kau sendiri yang sibuk nak jaga
market kau! Kau cerita semua tu supaya mereka semua
tak berbual dengan aku. Itu yang kau nak, kan? Supaya
perhatian mereka beralih pada kau yang bujang ni saja!”
Aku menjerkah lagi.
Sungguh, lega lepas aku hamburkan rasa terkilanku
setelah lama aku memendamnya. Biarlah dia tahu perasaan
terkilanku kerana dia tidak pernah mahu menjaga hatiku.
Air mata Julia sudah luruh. Entah kenapa, rasa
kasihan sedikit pun tidak ada dalam hatiku. Memang aku
dah tak boleh tahan! Ya, cakaplah aku kejam atau apapun
aku sudah tidak kisah. Tiada maknanya lagi aku nak fikirkan
perasaan orang lain.
“Mona... Aku...” Dia sudah tersedu-sedan. Entah
kenapa, aku tak teringin hendak memujuk pun. Tuduhan dia,
cara dia... Buat aku rasa marah. Benci!
“Lepas ni, jangan pernah bercakap dengan aku.
Kau, kau! Aku, aku! Aku tak kenal dah kau siapa.” Aku
berkata lantas menutup pintu bilik sekuat hati.
Air mataku mula merembes. Inilah kali pertama...
Aku memarahi dia. Aku bersikap tidak profesional hanya
kerana amarah. Hanya kerana rasa diri terhina. Tapi aku
puas. Aku takkan minta maaf dengan dia!
TELEFON BIMBITKU berbunyi. Aku mengelap air mata.
Lama juga aku menangis. Selepas mandi tadi, aku kembali
melayan perasaan. Menangis bagai kehilangan orang yang
disayangi. Secara teorinya, ya! Aku kehilangan Julia, seorang
rakan baikku hanya kerana seorang lelaki yang belum tentu
menjadi milik sesiapa.
Aku kecewa. Kawan baik aku yang bergelar guru
sekolah menengah itu tidak mempunyai akal yang panjang.
Otaknya agak singkat. Itu yang aku kesalkan sangat. Aku
malu. Cerita tentangku dijaja sebegitu rupa. Malu jika aku
dituduh perempuan tak laku. Malu jika dituduh terdesak nak
kahwin sehingga perlukan bantuan mak dan abah untuk
mencari jodohku... Aku malu! Telefon yang dari tadi menjeritjerit
minta diangkat akhirnya aku jawab.
“Helo assalamualaikum.” Aku memberi salam. Nada
suara, cuba aku tahan.
“Waalaikumussalam. Aira...” Lembut suara di hujung
talian menyapa. Oh! Dia rupa-rupanya.
“Ya...” Aku menyahut.
“Suara awak sengau semacamlah. Awak menangis?
Awak okey tak?” Soal Encik Bakal Tunang di hujung talian.
Prihatin sungguh bunyinya. Rupa-rupanya ada
juga yang prihatin terhadap diriku. Air mataku automatik
mengalir semula apabila mengenangkan yang aku tidak okey
disebabkan Julia. Sedu-sedan mula menemaniku. Daripada
sedu-sedan, sekarang esakan semakin kuat. Tidak langsung
aku pedulikan dia di hujung talian.
“Aira...” Panggilnya lembut.
Adakah dia serabut mendengar hingusku yang sekejapsekejap
aku tarik? Atau, dia sebenarnya tidak suka akan
perempuan menangis? Entah-entah dia ingat aku sengaja
ingin mendapatkan perhatian daripada dia, tak?
“Bagi saya lima minit awak, kejap lagi awak telefon
balik. Saya tak okey sangat-sangat ni.” Aku berkata jujur
dalam sedu-sedan. Bunyi hingus menemani helaan nafasku.
“No, no, no. It’s okay. Take your time. Saya tak nak
letak. Saya nak temankan awak. Saya nak jadi bahu tempat
awak menangis. Menangislah kalau itu buat awak rasa lebih
baik. Menangis itu bagus kadang-kadang, Aira. Terlepas
apa yang terbeban kat hati tu. Awak jangan risau. Saya
ada.” Ujar Alang lembut. Dia faham... Semakin terharu aku
mendengar kata-katanya. Oh tuhan! Baiknya dia.
“Saya menangis bisinglah. Saya malu dengan awak...”
Aku bersuara tersekat-sekat. Tersedu-sedan lagi.
“Tak apa. Comel...” Ujarnya pula sambil tergelak kecil.
“Awak belum tengok muka saya. Kalau awak tengok,
mesti awak terkejut. Mesti awak tarik balik perkataan comel
tu...” Aku berkata lagi dalam tangisan.
Kotak tisu di ribaku, aku letak ke tepi. Sempat
tanganku menarik berhelai-helai tisu untuk mengelap air mata
dan menghembus hingus. Dia tergelak di hujung talian.
“Tak apa. Saya tak kisah. Awak comel ke, tak
comel ke, tetap juga saya nak.” Katanya selamba. Jadi, aku
melayan perasaanku dengan menangis dan menangis lagi.
“Aira. Kalau benda tu membebankan, lepaskanlah.
Jerit kuat-kuat ke? Tak apa, saya dengar.” Alang di hujung
talian berkata lembut.
Air mataku semakin lebat. Sudah lama tidak ada
orang seprihatin ini denganku kecuali mak dan abah. Dulu
arwah Fareez, sekarang dia...
Tapi, untuk aku menjerit di waktu begini, memang
tak kena sangatlah walaupun aku teringin nak lampiaskan
jeritanku sepuas hati. Ya, aku akan menyanyi sepuas hati
setiap kali rasa tertekan. Tapi, sekarang sudah malam buta.
Kalau aku menyanyi, bimbang besok hari aku disarungkan
baju pasung pula.
“Nanti jiran saya marah!” Aku berkata dalam tangisan.
Malu memanglah malu. Tapi aku betul-betul sedang
bersedih ni. Dia sajalah tempat aku bercerita sebab... Julia
dah khianati aku. Sedihnya. Memikirkan Julia, aku menangis
lagi. Sesekali terdengar Alang tergelak kecil mendengarku
menangis.
“Awak jerit kuat-kuat, tekuplah guna bantal, sayang.”
Katanya.
Huh! Meremang. Sayang? Mujurlah aku tengah layan
perasaan sedih aku ini kalau tidak? Mahu tergagap aku
hendak berkata-kata dengan dia.
“Still lagi bising. Nanti saya dituduh mengganggu
ketenteraman awam pula.” Aku mengeluh perlahan.
“Kalau diaorang marah, awak ambil tukul, awak ketuk
kepala diaorang sampai ‘senyap’.” Ujarnya bersama tawa kecil.
Aku ikut tertawa kecil sebelum menyambung
tangisanku. Merepek! Macamlah tak ada polis di Malaysia ini,
sampai aku boleh buat jenayah seperti itu. Tapi dalam otak
aku sudah membayangkan jika aku mengetuk kepala Bad
dengan tukul. Entah kenapa muncul pula wajah dia dalam
kotak fikiran aku. Mungkin sebab memang dia saja yang suka
cari pasal dengan aku agaknya.
“Main-mainlah awak ni!” Aku marah dia. Dia tergelak.
“Aira, saya serius. Lepaskan kalau ia membebankan
awak...” Dia berkata lagi.
“Nanti awak tak jadi nak bertunang dengan saya
bila dah dengar suara saya menjerit...” Aku berkata sedih.
Sengaja nak mengada-ngada. Dia gelak lagi.
“Awak merepek apa ni? Saya bukan lelaki macam
itulah. Sekali saya buat keputusan, payah saya nak tukar balik.
Buat masa ni, belum pernah saya buat keputusan dan saya
tukar semula keputusan saya. Lagipun, saya bukannya suruh
awak buat benda tak elok pun. Takkanlah disebabkan jeritan
awak pun saya nak batalkan pertunangan kita? Awak ni,
Aira...” Dia berkata dengan nada serius.
“Betul ni awak tak kisah, kalau saya menjerit ni?”
Soalku tidak lama kemudian.
“Hmmm hmmm...” Dia mengiyakan. Oh, tak kisah ye?
Satu...dua...tiga...
“Tension betul akuuuu!!!” Aku menjerit sekuat hati.
Melepaskan segala-galanya yang terbuku di hati. Yes! Lega sikit.
Betul kata dia.
“Ouch!” Dia di hujung talian mengaduh bersama gelak
kecil. Alamak! Kuat sangat ke?
“Kenapa awak?” Soalku.
“Sakit telinga saya. Saya tak ready lagi tadi nak
dengar awak jerit sebenarnya. Hahaha. Terperanjat. Serius
comel awak ni.” Dia berkata sambil tergelak. BersungguhJodoh
sungguh pula tu dia gelak. Tang mana yang comel? Dia
bukannya pernah jumpa aku!
“Sorry?!” Aku meminta maaf. Kuat sangat agaknya
aku menjerit pada malam-malam buta begini. Tak pernah
dibuat orang menjerit di waktu begini. Ah, pedulilah! Aku
lepas tension!
“Tak apalah awak. Saya tak kisah pun. Sekarang
awak dah lega? Feel better?” Soalnya.
Aku angguk. Selepas itu aku ketuk dahi. Lupa. Dia
tak nampak aku angguk. Aku berjalan ke arah suis lampu
lantas aku tutup. Aku nak berbual dengan dia sebelum tidur.
Wehehe.
“Feeling better...” Aku mengiyakan. Dia mengucap
syukur.
“Alhamdulillah. So sekarang, dah okey atau awak
nak share masalah awak? Saya sedia mendengar.” Dia berkata
dengan nada prihatin.
Aku menahan senyum. Mak, abah! Terima kasih
sudi kenalkan lelaki seprihatin ini kepada Aira. Mungkin
keprihatinan dia tak kekal lama, tapi cukuplah untuk hari
ini. Aira rasa gembira sungguh.
“Kalau saya cerita, awak janji jangan cerita dengan
sesiapa masalah saya ni?” Aku minta dia berjanji.
Entah kenapa aku percayakan dia. Mungkin kerana
kami menerima nasib yang serupa kut? Atau, mungkin juga
kami bakal berkongsi katil. Eh? Berkongsi hatilah, Mona!!!
Gatalnya aku! Aku berbaring di atas katil. Selimut, aku tarik
sehingga ke paras dada. Bantal kutepuk tiga kali bersama
pesanan, tolong bangunkan aku pukul lima pagi!
“Saya sudi mendengar. Saya janji akan rahsiakan.
Lagipun, tak ada sebab saya nak beritahu masalah awak
kat orang lain. Untuk apa pula, ye tak? Aira, saya nak
awak selesa dengan saya dan tak anggap saya macam
orang luar meskipun kita belum kenal rapat lagi.” Suaranya
romantik sekali. Cair betul aku. Tak apalah kalau orangnya
tak handsome. Suara pun dah berjaya sejukkan hati aku ni.
“Hmm. Betul tu. Okey, cerita dia macam ni... Saya
bergaduh dengan kawan baik saya sebenarnya. Dia housemate
saya. Saya sedih sangat sebab inilah kali pertama saya
bergaduh besar dengan dia...” Ujarku sambil menahan sebak.
Teringat kejadian petang tadi automatik bibir tercebik-cebik
menahan sedih.
“Ya? Pasal apa?” Soalnya yang setia menanti ceritaku.
“Pasal lelaki...” Aku bersuara hampa. Sebab lelaki,
Julia dan aku jadi begini.
“Jangan kata yang awak dengan dia suka pada
lelaki yang sama. Habis tu awak nak campak saya ni kat
mana?” Soal dia sedikit kalut.
“Bukanlah, awak! Saya bergaduh dengan dia memang
pasal laki tapi bukan sebab berhubungan. Awak janganlah
risau. Saya tak buat hal, okey? Sebenarnya macam ni...
Dia suka pada jiran saya. Jiran saya tu pulak bergurau
dengan saya. Dia sakit hati. Dia ceritakan tentang saya yang
nak bertunang ni dekat jiran-jiran saya. Saya malulah.
Dia siap umumkan lagi tentang awak, iaitu pilihan mak
abah saya. Dalam hati saya, eh perlu ke cerita pasal pilihan
orang tua? Nampak sangat yang saya ni macam terdesak
nak kahwin. Nampak sangat macam saya tak laku sampaikan
orang tua kena pilihkan. Sejujurnya, saya malu sangat. Entah
kat manalah saya nak letak air muka saya ni.” Aku berkata.
Air mata kembali bertakung.
“La... Kesiannya kat awak. Tak patut dia buat awak
macam tu. Tapi bagus jugak dia beritahu pasal kita. At least,
tak adalah jiran awak nak menggatal dengan awak. Nampak
tak? Hikmah tu. Lagi pula, janganlah disebabkan perkara tu
awak nak rasa rendah diri, rasa diri tak laku, apa semua.
Saya tak rasa macam tu pun terhadap awak...” Dia berkata
pula. Aku mendengus. Memang betul ada hikmah di sebalik
setiap kejadian itu tetapi...
“Tapi saya malulah, awak! Dia cakap macam tu. Dia tak
fikir ke perasaan saya? Saya takut, kita tak jadi bertunang.
Saya malu tau bila benda-benda tak jadi ni? Apa pula kata
jiran saya? Apa kata orang ramai?” Aku berkata serius.
“Awak jangan risau. Lepas dengar awak menjerit
tadi, saya yakin awak jodoh saya. Awak tulang rusuk saya.
Kita bertunang hujung minggu ni. Jangan risau okey? Semua
pasti jadi. Akan jadi punya.” Dia berkata seakan berjanji. Yakin
benar dia! Kenapa pula dia yakin setelah aku menjerit tadi?
Tak faham sungguh aku!
“Kalau tak jadi?” Soalku sedih.
“Tak ada kalau-kalaulah, Aira. Pasti jadi!” Dia jawab
yakin.
“Awak belum tahu siapa saya.” Ujarku.
“Awak pun belum tahu siapa saya.” Dia membalas.
Okey! Dia berjaya mendiamkan aku untuk beberapa saat.
“Eeee nak menang, ambillah!” Aku mengamuk.
Dia tergelak. Aku turut tergelak kecil. Tak sangka aku bakal
memarahi dia.
“Aira...” Panggilnya lembut.
“Ya...” Aku menyahut.
“Ceritalah lagi. Sampai jadi gaduh tu kenapa?” Soalnya.
“Dia asak saya. Dia kata saya sengaja nak jaga
market. Kononnya saya sengaja merahsiakan tentang
pertunangan kita nanti untuk menggatal dengan jiran-jiran
lelaki saya. Saya marahlah dia. Cantik sungguh tuduhan dia
tu! Saya marah sungguh-sungguh, sampai saya sendiri pun
tak percaya. Saya tak pernah berniat pun nak menggatal
dengan jiran-jiran lelaki saya. Saya cuma takut. Takut kalau
benda tu tak jadi sebab ramai dah tahu. Kalau tak jadi,
mulut orang lagi yang saya kena hadap. Saya dengan arwah
dulu tak jadi. Sehari sebelum perkahwinan berlangsung.
Mulut orang juga saya kena hadap walaupun semuanya
sekadar bersimpati kepada saya. Saya cuma tak nak benda
tu berulang. Saya tak suka menagih simpati orang.” Aku
berkata parau.
Memang itulah alasan kenapa aku marah Julia.
Bukannya sebab nak jaga market aku. Tidak terlintas langsung
di hatiku nak menjaga market.
“Saya faham tempat awak. Saya pernah rasa apa yang
awak rasa dengan kawan baik awak tu.” Komennya. Dia
juga pernah merasa hal yang sama? Biar betul?
“Sudahlah. Saya malas nak cakap pasal dia lagi. Sakit
hati saya tak hilang lagi. Saya tak suka dituduh melulu. Sebab
tu saya marah sangat. Sekarang, kita buat sesi perkenalan
ya? Kesian awak. Dari tadi kena dengar saya membebel.” Aku
berkata. Dia tergelak.
“Saya okey ajelah, Aira.” Katanya.
“Okeylah. Saya nak tahu tentang awak. Ceritalah.”
Aku berkata serius.
“Tak ada yang istimewa sangat pun tentang saya ni.
Saya seorang yang penyayang, itu semestinya. Kasih sayang
saya untuk keluarga, Allah, dan awak sangat banyak. Hehehe.
Saya tak suka perempuan gatal dan saya suka perempuan
garang. Macam awak. Sebab dengar katalah, perempuan
garang macam awak ni sebenarnya sangat romantik dengan
pasangan. Lagi pula, perempuan garang sukar didekati. Sebab
itulah saya rasa bertuah dapat dekati awak.” Dia berkata
selamba. Aku terkekeh-kekeh ketawa.
“Mana ada garanglah!” Aku menafikannya.
“Betul awak garang.” Katanya pula. Yakin benar
bunyinya.
“Tak baik fitnah.” Kataku pula.
“Saya cakap perkara yang betul. Dari tadi saya kena
marah aje dengan awak.” Katanya pula. Aku tergelak kecil.
“Alah, bukan marah betul pun... Dahlah, sambung.”
Aku mengarahkan dia untuk menyambung semula
sesi perkenalan kami yang terhenti tadi. Eh, tak habis ke
kredit dia? Eh? Ha’ahlah!
“Saya doktor bahagian...”
“Eh kejap! Kredit awak tak habis ke ni? Dah lama
awak telefon saya, kan?” Aku memotong tanpa dia sempat
menghabiskan ayatnya. Dia tergelak lagi. Entah apa yang
lucunya.
“Tak habis. Saya buat 131. Nanti dah habis sejam,
saya buatlah lagi.” Ujarnya selamba. Oh! Masing-masing pakai
Maxis. 131 hanya seringgit sejam. Tapi dengarnya, Maxis dah
nak tukar pelan.
“Oh, sambung balik. Awak doktor. Umur?” Soalku.
Padahal abah pernah beritahuku. Tapi aku agak ragu-ragu
untuk mempercayainya. Abah aku tu kan suka bergurau.
“Umur, dua puluh lapan tahun. Tinggi, enam kaki.
Berat, berat sangat. Sebab saya berisi sikit. Muka kalau setakat
nak buat cover depan majalah maskulin tu memang laku.”
Ujarnya sambil tergelak. Aku ikut tergelak. Ingatkan dia
serius. Hailah!
“Eeee, perasannya!” Kutukku. Dia tergelak.
“Saya tak handsomelah. Badan pun chubby-chubby.
Kulit hitam manis. Pakai kaca mata. Gigi pun tak berapa
nak elok.” Ujarnya sambil tergelak. Aku ikut tergelak.
Bagaimana rupanya, itu belakang kira.
“Sambung lagi.” Aku arahnya sambung.
“Suka makan makanan kurang berkhasiat walaupun
saya seorang doktor. Contohnya, burger... Pizza, jajan. Awak
jangan contohi saya ek?” Dia berpesan.
Aku terkekeh-kekeh gelak.
“Suka warna hitam dan putih.” Sambungnya. Sama!
Yang ini sama dengan ciri-ciriku.
“Samalah! Awak suka warna hitam dan putih atas
alasan apa? Apa yang ada pada warna itu?” Soalku.
“Simbolik...” Komennya sepatah.
“Awak?” Soalnya.
“Sebab warna hitam melambangkan misteri. Warna
hitam tu cantik! Macam ada rahsia di sebaliknya. Kalau
warna putih pulak... Sebab damai. Kesucian. Bersih. Tenang...”
Ujarku sambil memejamkan mata dan membayangkan warna
putih... Putih semata.
“Awak memang simbolik!” Ujarnya sambil ketawa
kecil. Aku ikut ketawa.
“Mak abah awak kata, awak penulis novel.” Katanya
lagi.
Senyumanku mati. Jadi, dia dah tahu banyak perkara
tentangku. Hmmm. Kalau korek rahsia dengan mak dan abah
menggunakan cara psiko macam aku guna dulu, memanglah
menjadi. Tapi, aku tak rasa dia perlu guna cara psiko sebab
mak dan abah memang dah berkenan sangat dekat dia. Jadi,
mungkinlah mak dan abah yang sendiri menghebahkannya
tanpa segan silu.
“Tulis pun ikut suka aje. Bila ada idea tu, adalah.
Bila tak ada tu, bertahunlah tak menulis. Tak layak digelar
penulis pun lagi.” Aku merendah diri. Sejujurnya, memang
aku tulis ikut suka aku saja.
Nak kata aku penulis novel? Oh, please! Tak sesuai
sangat walaupun aku memang tulis novel. Entahlah. Pada
aku, pangkat penulis itu hanya sesuai untuk ditujukan
buat penulis yang berbakat seperti Damya Hanna, Melur
Jelita, Aisya Sofea, Fauziah Ashari dan lain-lain. Penulis yang
mempunyai ilmu pengetahuan yang luas. Tidak sepertiku.
“Tapi still lagi seorang penulis novel.” Katanya tidak
mahu kalah.
“Apa-apalah awak!” Aku berkata geram.
Malas hendak bercerita lanjut mengenai minatku
yang satu itu. Aku tak selesa. Tak suka. Sebab dia lelaki.
Jarang ada lelaki yang baca novel. Dan, jarang lelaki suka
bercerita tentang novel.
“Bila nak buat novel kisah kita ni?” Soal dia. Hailah!
Novel lagi ke? Cubalah ubah topik. Malu aku jadinya.
“Kisah kita tak bermula pun lagi...” Aku berkata
selamba. Dia tergelak kecil.
“Kisah kita dah lama bermula sebenarnya. Awak
saja yang tak tahu tentang tu. Awak janji dengan saya
ya, Aira. Lepas kahwin, awak tulis cerita kita. Suka duka,
gaduh baik segala. Macam mana kita kenal, semua tu awak
kena masukkan ke dalam novel tu nanti.” Pintanya.
Tulis kisah tentang dijodohkan oleh mak dan abah?
Klise sungguh! Entah apa kata pembaca nanti. Teruknya
hasil nukilan Medina Wari. Ok, nama pena aku memang sangat
pelik, okey? Jangan tanya kenapa. Sebab aku pun tak tahu
kenapa aku letak nama itu sebagai nama penaku.
“Isy! Tak ada masa la saya!” Aku mengelak.
“Bolehlah?” Pintanya dengan suara manja.
“Okeylah...” Aku mengalah sahaja. Kalau boleh,
cepatlah habis topik ni. Tak larat nak tahan rasa malu dah.
Penulis novel jiwang yang tak ada kekasih? Karut! Tapi
itulah aku.
“Awak pakai nama pena apa?” Soalnya lagi. Aduh,
topik ni lagi.
“Dah kahwin nanti awak tahulah.” Ujarku berahsia.
Malaslah nak beritahu dia tentang Medina Wari.
“Saya tanya abah.” Ugutnya.
“Abah awak tahu ke?” Soalku.
“Abah awaklah sayang. Tak lama lagi, jadi abah
saya juga. Jadi, saya panggil abah ajelah. Abah saya, saya
panggil daddy.” Ujarnya sambil tergelak kuat. Tahulah aku dia
ni banyak main-main!
“Daddylah sangat. Nak gaya barat aje.” Aku menjuihkan
bibir.
Badanku sudah mengiring ke sisi. Menghala ke
tingkap. Terlihat samar cahaya lampu menerjah masuk melalui
tingkap kaca itu. Mata terus memanah ke langit. Berharap
agar kami melihat bulan yang sama...
“Hahaha. Saya panggil ayah sebenarnya.” Ujarnya
sambil tergelak kecil. Aku tersenyum.
Ayah rupa-rupanya. Entah bagaimanalah rupa ayah
dia? Tak dapat aku gambarkan... kami kemudiannya berbualbual
tentang diri kami. Tentang cinta lamanya yang pergi
meninggalkan dia setelah menemui kekasih baru. Tentang dia
yang lambat mendapat tahu bahawa dia telah ditinggalkan.
Tentang diriku yang menjadi pengantin tak jadi.
“Aira...” Tiba-tiba suaranya berubah romantik tahap
kronik. Jantungku mula dipalu kebimbangan. Rasa jatuh hati
mendengar suaranya.
“Ya...” Jawabku.
“Erm... Awak tak lihat bulan?” Soalnya. Lihat?
Kelakarnya bila lelaki menggunakan perkataan lihat berbanding
‘tengok’ atau ‘pandang’. Skema!
“Saya tengah tengoklah ni.” Jawabku sambil
memandang bulan.
“Saya pun sama. Cantikkan?” Soalnya.
“Ya...” Jawabku sambil menganggukkan kepalaku
sedikit. Pedulilah jika dia tak nampak pada anggukanku.
“Macam awak.” Sambungnya. Manisnya mulut dia...
“Hahaha. Mengarutlah awak ni.” Aku hanya tergelak.
Gelak yang kekok.
“Saya serius.” Jawabnya pendek dengan suara huskynya.
Oh tuhan, bagaimana jika kami benar-benar berjodoh suatu
hari nanti? Adakah aku akan ditemani suaranya yang seksi
ini?
“Awak belum tengok rupa saya. By the way, terima
kasih.” Ucapku.
Kami berbual-bual tentang maklumat masingmasing
seperti hari jadi, pekerjaan dan sebagainya tidak lama
kemudian.
Akhirnya kami mencapai kata sepakat, kalau rasa
nak ubah fikiran, tolong beritahu awal-awal dan kami, jawab
TIDAK akan ubah lagi. Dia bercerita juga bagaimana dia
berjumpa dengan abah buat pertama kalinya dan abah
bercekak pinggang macam nak marah sehingga dia berundur
beberapa tapak ke belakang akibat takut. Kemudian abahku
gelak gila-gila mengejeknya. Bukan setakat abah aku yang
gelak, ayah dia pun tergelak sama. Aku yang mendengar
ceritanya itu turut tergelak.
Apa pasallah abah nak bercekak pinggang bagai
menyambut kedatangannya? Siapa yang tak berundur kalau
awal-awal datang lagi, terus tuan rumah bercekak pinggang
tanpa diketahui apa sebabnya. Abah...abah... Nakal sungguh!
Akhirnya, kami menamatkan panggilan setelah
menyedari jam sudah menginjak ke angka satu setengah
pagi. Tiba-tiba rasa rindu bertamu. Cintakah ini? Senyuman
di bibirku terukir lagi. Harap dia tidak tinggalkan aku.
Nombor telefonnya yang masih belum aku simpan petang
tadi akhirnya menjadi simpananku.
Encik Tunang Tubi... (Encik Tunang To Be)

No comments:

Post a Comment