DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 11 August 2016

Indahnya Cinta - Bab 1


MATA yang pedih aku kelip-kelipkan beberapa
kali. Jarum jam dipandang. Waktu sudah menghampiri ke
pukul 12 tengah malam. Fail yang terakhir aku baca tadi
sudah pun ditutup rapat. Penat. Baru kaki mahu melangkah
ke katil, terdengar nama aku dipanggil berserta ketukan di
muka pintu. Langkah kembali diatur.
“Kenapa abah?” tanya aku kepada abah yang sedang
tersenyum.
“Abah tengok bilik adik masih terang lagi masa kat
bawah tadi.” Ujar abah.
Aku faham benar dengan perangai abah yang suka
duduk di taman. Suka berembun malam-malam buta.
Skodeng aweks ke abah aku ni? Hahaha... kalau abah tahu
apa yang aku fikirkan sekarang ini, agaknya kepala aku dah
kena luku. Aku tersengih.
“Semak kerja sikit bah. Dah siap pun.” Balasku. Abah
angguk.
“Esok jom joging dengan abah. Dah lama rasanya tak
joging sama-sama.” Ajak abah.
Aku dah telan liur. Joging? Dah lama rasanya aku
tak buat kerja tu. Rasanya stamina aku pun pasti dah ke laut.
“Alah abah, adik ingat baru nak guling-guling sampai
petang. Penatlah bah.” Memang betul pun. Sejak dua minggu
kebelakangan ini masa tidur dan rehat aku memang terhad.
Terlalu sibuk.
“Elok sangatlah tu. Kalau penat badan, baik joging.
Baru tubuh tu sihat, bukan berlingkar atas katil sepanjang
hari. Dah, esok kita joging. Ajak abang dengan Kak Aina
sekali.”
“Tapi bah….” Aku nak membangkang tapi abah dah
naikkan lima jari depan muka aku. Serius muka abah.
“No excuse! Abah masuk tidur dulu. Ingat, pukul
tujuh pagi sharp turun bawah.” Abah terus masuk ke biliknya.
Aku mengeluh.
“Arghh!!! Malasnya!” Pintu bilik kembali ditutup.
Telefon di tepi bantal aku capai. WhatApps aku buka. Abang
dan Kak Aina masih online. Bagus, tak payah menapak ke
bilik mereka. Aku hantar mesej kepada mereka berdua. Abang
balas.
Malaslah
No excuse!
Balasku. Kemudian daripada Kak Aina pula.
Masing-masing memang tak suka joging. Samalah dengan
aku pun.
Cakap sendiri kat abah kalau tak nak.
Esok pukul tujuh sharp!
Aku campak telefon ke sebelah. Malas nak melayan
kerenah abang dan kakak aku. Mata dah mengantuk gila ni.
Bunyi noti dari telefon pun aku buat tak layan. Adios... aku
nak tidur dulu.
SELEPAS SUBUH semua sudah kena kerah dengan
komandan. Kelam-kabut aku bersiap.
“Adik cepat sikit!” terdengar laungan abang.
Aku yang baru siap menyarung tudung terus buka
pintu. Abang sudah berdiri di muka pintu dengan baju t-shirt
dan track suitnya. Aku dan abang beriringan turun ke tingkat
bawah.
Awal lagi. Ada dalam lima belas minit sebelum pukul
7 pagi. Bau wangi dari arah dapur membuatkan langkah aku
melencong ke sana.
“Hai mama. Nak pergi joging ke berkelah ni?” usik
abang.
Aku tersengih. Jus oren dalam peti, aku keluarkan
dan tuang ke dalam gelas.
“2 in 1.” Jawab mama sambil tangannya ligat
memasukkan makanan ke dalam bekas tupperware.
“Jom, abah dah tunggu.” Wajah Kak Aina tersembul
dari muka pintu dapur sebelum bergerak keluar. Kami berdua
mengangguk dan terus keluar.
ABANG MEMBERHENTIKAN kereta di kawasan Taman Tasik
Titiwangsa. Aku dah melompat keluar dari perut kereta dan
berlari menghadap tasik yang terbentang luas di depan mata.
Hai, aku mulalah berangan penuh seksi. Tangan didepakan
dan cuba merasai angin pagi. Rasa nyaman apabila angin
membuai-buai tudungku dengan lembut.
“Hoi cik adik, jangan duk feeling seksi pagi-pagi
ni. Meh tolong angkut barang-barang ni keluar.” Serentak
dengan itu sebatang ranting kecil hampir-hampir mengenai
aku.
Abang tersengih. Aku memungut kembali ranting
itu dan membaling semula ke arahnya. Dia tidak dapat
menjangka tindakan aku dan balingan tadi tepat mengenai
kepalanya. Menyeringai dia menahan sakit. Eleh... Macamlah
sakit sangat. Over aje lebih dia tu!
Selepas membantu mana yang patut, abah
memanggil kami bertiga ke depan. Separuh hati kami saja
mengikut, separuh lagi dah pergi entah ke mana. Mama
hanya duduk bersimpuh di atas tikar. Abah tak bagi mama
ikut sebenarnya tadi sebab mama tengah tak sihat, tapi mama
nak juga ikut sama.
Kami memulakan larian. Abah dah berlari ke depan
bersama dengan abang dan Kak Aina, aku pula mengekori
mereka dari belakang. Naik semput aku duk mengejar larian
mereka bertiga. Ini berjoging ke tengah lumba lari? Aku
hanya larat membuat dua pusingan sahaja sebelum rebah
keletihan di riba mama. Mata kupejamkan.
“Apa ni adik, awal-awal lagi dah pancit?” suara
mengah abah menegur, tapi aku buat tak layan. Penat tak
hilang lagi.
“Ma nak air.” Suara abang pula kedengaran tapi aku
masih lagi tidak mengangkat kepala.
“Ooiii... tidur ke?” cuit abang.
Aku mendengus marah apabila dikacau. Aku bingkas
bangun dan duduk bersila.
“Sibuklah abang ni. Nak bermanja dengan mama
pun tak boleh.” Aku memuncung. Kali ini bahu mama pula
menjadi mangsa aku.
“Dah nak kahwin pun masih lagi nak bermanja
dengan mama. Tak malu. Nanti cakap dekat Haiqal baru
tahu.” Balas abang.
“Kenapa tiba-tiba keluar nama dia pula ni? Abang
ni sengaja nak bagi adik hot pagi-pagi ni ya?” Aku dah mula
nak mendidih. Tangannya laju aku cari dan satu cubitan aku
hadiahkan kepadanya. Menyeringai dia menahan sakit. Kena
lagi dia dengan aku pagi ni.
“Kamu berdua ni kalau tak bergaduh, tak sah. Jumpa
aje terus nak bergaduh. Peninglah kepala abah ni dibuatnya.
Tengok, sampaikan kepala abah ni dah nak botak sebab rimas
dengan perangai kamu ni.” Abah menyampuk.
“Itulah abah, Aina nak sponsor buat rawatan dekat
Yun Nam Hair Care abah tak nak. Sekarang abah sibuk duk
mengadu pasal rambut. Kalau abah ikut dari dulu, kan dah
senang.”
“Bukan abah tak nak sayang ooii... tapi mama korang
ni yang tak kasi, sebab takut orang lain terkenan dekat
abah ni. Kan abah korang ni orangnya handsome. Tak gitu
sayangku?” Abah memandang mama. Muka mama tiba-tiba
bertukar merah. Malulah tu kena usik dengan abah. Kami
ketawa lagi.
“Dah, tepi-tepi... turn abah pula nak bermanja
dengan mama kamu ni.” Abah menolak lembut kepala aku.
Aku mengeraskan kepala. Tetap tak berganjak dari bahu
mama. Sengaja nak kenakan abah.
Mata aku dah berisyarat dengan mata abang dan Kak
Aina. Mereka memahami maksudku dan segera menghampiri
mama. Kak Aina melentokkan kepalanya di bahu sebelah
kanan mama manakala abang cepat-cepat meletakkan kepala
ke atas paha mama. Kami mengekek ketawa. Mama yang tadi
terkejut turut tertawa apabila mula memahami keadaan itu.
Abah dah terlopong.
“Maaf ya abah, hari ni mama milik kami. Lagipun
semua tempat dah ditempah oleh kami. Kalau abah nak juga,
tunggu turnlah ya. Itu pun kalau mama laratlah.” Ujarku,
sengaja membakar abah.
Merah lagi muka mama apabila diusik begitu. Laju
tangan mama mencubit perutku. Aku mengaduh sakit,
namun terus tertawa semula apabila melihat wajah masam
abah.
“Tak apa, kamu semua kenakan abah hari ni. Tapi
ingat, lepas-lepas ni abah tak akan kasi chance dekat kamu
semua. Mama abah yang punya.”
“Eleh, macam ayat merajuk aje bunyinya. Tak apa,
abah memanglah kena kasi chance dekat kami, sebab lepas ni
kami dah mula sibuk balik dengan kerja. Kalau abah lainlah,
hari-hari boleh jumpa dengan mama. Kan kak?” ujarku
sambil memandang Kak Aina di sebelah. Dia mengangguk
bersetuju.
“Dah, dah... cepat makan. Hari makin meninggi ni,
kesian dekat mama tu. Badan dia masih belum sihat lagi tu.”
Ujar abah.
Kami angguk dan mula makan. Seronok pula
menghabiskan masa dengan keluarga hari ini.
PAGI ITU kereta aku buat hal tiba-tiba. Enjin tetap tak nak
hidup walaupun aku dah cuba banyak kali. Stereng kereta aku
hempuk geram.
“Masa nilah kau nak buat hal. Kenapa tak tunggu
esok-esok aje! Adoi... inilah bila pakai kereta secondhand ni.”
Aku mengambil handbag dan juga beg laptop dekat kerusi
sebelah. Aku keluar dari kereta. Kali ini tayar kereta pula
menjadi mangsa aku. Aku sepak dengan kuat. Bukan setakat
hati yang sakit, tapi kaki turut sakit. Terjengket-jengket aku
dibuatnya. Aku berjalan masuk dengan kaki yang sakit. Mama
yang baru nak keluar ke taman terkejut melihat aku masih
lagi terpacak di situ.
“Kenapa tak pergi lagi? Kata ada mesyuarat pagi ni.”
Tanya mama sambil matanya menjeling jam di tangan.
“Nak pergilah ni, tapi kereta tu tiba-tiba buat hal.
Ini yang tak syok bila dapat kereta orang ni.” Aku dah nak
melalak. Kunci kereta aku main-mainkan dengan jari.
“La... buat hal lagi ke? Kan baru aje masuk bengkel.
Tak apalah, guna dulu kereta mama. Nanti mama cakap
dengan abah suruh belikan kereta lain untuk adik.” Mama
cuba memujuk. Aku dah nak terlompat-lompat mendengar
ayat mama tu.
Wah... lepas ni merasalah aku kereta baru. Kalau
mama yang cakap, pasti abah akan bagi. Tak adalah aku
pening kepala fikir pasal hal kereta lagi. Kereta yang aku
guna ni pun kereta abang yang dulu. Bila dia beli kereta baru,
kereta Toyota Vios tu dihadiahkan kepada aku. Abah cakap,
kalau nak kereta sendiri kena usahakan sendiri. Nak tak nak
terpaksalah aku bersetuju sebab aku pun mana ada duit nak
beli. Aku ni pun baru aje mula bekerja.
Aku dah rasa nak kembang hidung sebab dapat pandu
kereta BMW Coop milik mama. Rasa bergaya sakan padahal
kereta pinjam. Hahaha... tak kisahlah, bukan orang tahu pun.
Aku memarkirkan kereta mama dengan penuh
hati-hati di sebelah kereta Nissan Murano yang amat aku
kenali milik siapa. Apabila kaki melangkah masuk ke dalam
bangunan Sutera Holdings, aku disapa mesra oleh guard
yang bertugas. Aku tersenyum. Sedekah tu.
“Ada lagi 10 minit. Nasib baik sempat. Kalau tak, dah
kena bebel dengan Pengarah.”
Ting!!! Pintu lif terbuka dan aku mengatur langkah
dengan tenang. Para pekerja mula tenggelam dengan kerja
masing-masing.
“Cik Farah, mesyuarat dah nak mula tu.” Sherry
terus menegur apabila ternampak kelibat aku dari jauh.
Macam tengah kalut aje aku tengok muka setiausaha aku ni.
“Ya, saya tahu. Ada siapa-siapa tanya pasal saya
tak tadi?” tanyaku dengan tenang. Takkan nak terikut-ikut
dengan rasa kalut Sherry tu.
“Ada. Datuk ada tanya pasal cik tadi, tapi saya cakap
cik tak sampai lagi.” Jawabnya.
Aku mengangguk faham dan terus membuka pintu
bilikku. Seketika aku keluar semula dan berjalan ke bilik
mesyuarat yang terletak di sayap kanan ruang pejabat itu.
Sekali lagi nafas ditarik sebelum aku mengetuk
pintu dan melangkah masuk dengan begitu sopan. Beberapa
orang staf terdiam apabila melihat kelibat aku. Aku mencari
kelibat Tuan Pengarah dan tanpa sedar aku bernafas lega.
Tuan Pengarah belum masuk lagi. Nasib baik.
Baru aje aku nak duduk, pintu sekali lagi dibuka.
Tuan Pengarah masuk sambil diiringi oleh Pengurus Besar
kami, Encik Freddy Zafran dari belakang. Kami terus bangun
sebagai tanda hormat kepada beliau sebelum dijemput duduk.
Mesyuarat dimulakan dengan bacaan doa. Itu yang
sering dipraktikkan dalam syarikat ini. Hampir dua jam juga
kami berkurung di dalam bilik mesyuarat. Banyak perkara
berbangkit yang dibincangkan dalam mesyuarat tadi.
Waktu makan tengah hari kian menghampiri. Aku
sudah bersedia hendak keluar makan. Tiba-tiba ada mesej
masuk. Aku dah gabra. Pantas tangan mencapai handbag
dan berjalan tergesa-gesa ke bilik Pengurus Besar. Tanpa
sempat pintu diketuk aku dah merempuh masuk. Terkejut
dia dibuatnya.
“Bala!!!” Hanya itu yang aku mampu sebut. Aku cuba
mengawal nafas.
“Kenapa?” soalnya hairan. D
“Bala!” Aku masih lagi tidak mampu bersuara. Masih
lelah. Entah berapa aku speed tadi untuk sampai ke sini.
“Kenapa ni? Cuba cakap betul-betul. Dari tadi duk
cakap bala... bala.” Dia mula meninggikan suara.
“Haiqal. Dia on the way ke sini.” Ujarku akhirnya.
“La... ingatkan apalah tadi. Itu pun nak kecoh.
Biarlah dia nak datang pun, macamlah tak biasa jumpa dia.”
“Helo... dia datang bukan saja-saja tau. Dia datang
sebab nak ajak keluar lunch okey.” Ujarku geram.
“Habis tu keluar ajelah. Apa yang susahnya.”
“Abang... abang cakap senanglah sebab dia kawan
abang tapi adik ni yang sengsara tau. Rimas tahu tak, bila
asyik kena kacau dengan dia!” Aku dah hot. Boleh lagi tu dia
tersenyum. Hai... ada yang nak makan selipar aku ni.
“Ala dik, dah ada orang minat tu layan ajelah. Haiqal
tu memang budak baik apa. Mama dengan abah pun memang
berkenan habis dengan dia.” Abang cuba menaikkan ‘saham’
Haiqal di mataku. Ingat aku suka sangat ke? Haiqal tu, depan
mereka aje baik, tapi kalau dengan aku, memang aci kerat
kukulah, suka sangat nak cari gaduh dengan aku.
“Oh sorry, never! Adik dah nak blah ni. Kalau dia
sampai nanti, pandai-pandailah abang tolong kelentong dia.”
Ujarku sambil memusingkan badan dan mula nak bergerak
pergi.
“Hai Farah, hai Fred. Tak keluar lunch ke?” soal satu
suara.
Aku dah terpaku. Terkejut dengan kehadirannya.
Cepatnya dia datang? Aku tak sempat nak blah dia dah sampai.
“Belum lagi. Kejap-kejap lagilah kut. Kau buat apa
kat sini?” Abang sengaja bertanya. Padahal dah tahu.
“Aku nak ajak Farah keluar makan.” Ujar Haiqal
sambil memandang aku.
Aku dah tak tahu nak buat muka macam mana lagi.
Wajah abang aku jeling mohon simpati. Tapi abang buat derk
aje. Sampai hati abang buat aku macam ni. Sob, sob, sob....
“Maaflah Haiqal, saya dah janji dengan Kak Aina
nak keluar lunch sekali. Lain kalilah ya? Awak ajaklah abang
temankan awak makan. Okey, bye.” Aku pantas melarikan
diri daripada mereka. Fuh! Lega. Terselamat daripada bahaya.
Streeett!!! Dah bunyi macam CD calar aje.
Okey, sebelum tu biar aku perkenalkan diri aku
dulu. Nama aku ialah Farah Zulaikha binti Amiruddin. Abah
aku pula Datuk Haji Amiruddin, mama aku yang tercinta
namanya Datin Hajah Nurina, manakala abang sulung aku
yang sengal ni namanya Freddy Zafran dan akhir sekali aku
ada seorang kakak yang cantik jelita, memang daboom dan
namanya Farah Suhaina.
Okey, sambung balik!
Nombor telefon Kak Aina segera aku dail. Kami
sebenarnya memang dah berjanji nak keluar lunch
sama-sama. Dah lama tak keluar makan dengan Kak Aina.
Rindu pula nak bergosip dengan dia.
Restoran D’ Rasa menjadi pilihan kami untuk
berjumpa. Suasana restoran nampak sedikit sesak. Aku
memandang ke luar restoran. Lambat pula Kak Aina hari ni.
Baru saja aku nak mesej, Kak Aina dah muncul. Tapi yang tak
bestnya ada orang lain datang bersama dengan dia.
“Maaf, lambat sikit. Ada kes kecemasan nak kena
handle tadi.” Ujar Kak Aina mengambil tempat di sebelah
aku. Abang dan Haiqal di depan kami.
“Ni kat mana terserempak dengan dua orang mamat
ni?” Aku kalih pada dua jejaka di depan aku. Tersengih saja
mereka berdua ni.
“Kat luar tadi. Saja ajak join kita sekali, lagipun dah
lama kita tak borak sama-sama.”
“Kami memang dah selalu jumpa, lainlah macam
akak. Sibuk memanjang aje. Balik pun jarang-jarang.”
“Nak buat macam mana dik, dah memang tugas akak.
Lagipun dah memang itu yang kakak pilih. Akak memang
tak suka dengan hal bisnes ni, sakit kepala. Baik kerja dekat
hospital tu.”
“Akak seronoklah dapat buat apa yang kakak suka,
tapi adik ni pula yang kena paksa dengan abah kerja kat
syarikat tu.” Aku mengadu untuk sekian kalinya. Dah selalu
sangat isu ni berbangkit.
“Dah, jangan nak buat muka macam rumah tak
siap. Tak malu ke Haiqal ni tengok?” Abang dah menyampuk.
Kalau dibiarkan aku melayan perasaan, mahu pecah restoran
ni dengan suara tak puas hati aku. Aku mencebik.
“Lama ke Carl cuti ni?” Kak Aina bertanya sesudah
kami siap makan.
“Dua minggu jugalah.” Balas Haiqal.
Kak Aina mengangguk.
“Kalau macam tu, sempatlah nak pergi majlis Ajis tu
nanti.” Abang mencelah.
“Ingat macam tulah bro. Tu yang aku minta cuti
lama sikit kali ni.”
“Baguslah kalau gitu. Nanti bolehlah kita konvoi
ramai-ramai. Mesti best ni. Aku pun memang dah lama tak
pergi Batu Pahat. Last sekali masa kita balik kampung Ajis
time belajar-belajar dulu.”
“Tu la pasal. Ajis memang bengang gila bila aku
cakap time dia kahwin aku tak dapat datang.” Rancak sekali
Haiqal dan abang berborak. Aku dan Kak Aina hanya menjadi
pendengar sahaja.
“Farah, Aina, jom ikut sekali. Korang pun belum
pernah sampai kat BP lagi, kan?” ajak Haiqal.
Aku dah mula nak mengangguk setuju. Pantang ada
orang ajak.
“Tak payahlah ajak diaorang berdua ni. Buat semak
aje. Lebih-lebih lagi budak sengal ni.” Sampuk abang dengan
jarinya menunjuk ke arah aku.
“Ewah-ewah abang, sedapnya mengata orang. Kalau
adik ni sengal pun, adik siapa juga?”
Tergelak mereka semua. Aku tak ambil hati dengan
kata-kata abang. Tahu yang kepala abang kadang-kadang
memang tak center sangat.
“Bila tu?” tanya Kak Aina sambil bibirnya masih lagi
menguntum senyuman.
“Minggu depan. Hari Sabtu, 26 haribulan.” Jawab
abang.
Kak Aina mengangguk sebelum dia membuka
handphone dan menilik sesuatu. Jadualnya mungkin.
“Hmmm... 26 haribulan ya? Alamak... maaflah Aina
ada ceramah kat hospital hari tu. Kalau hari Isnin atau Selasa
tu okeylah.” Balas Kak Aina sambil menyimpan kembali
handphone ke dalam handbagnya.
“Rugilah kalau macam tu. Kalau tak, boleh
kenal-kenal BP. Best tau kat sana. Aina dengan Farah pernah
makan tak mi racun?” tanya Haiqal teruja.
Abang dah tersengih.
“Mi racun??? Apa tu?” Kami bertanya serentak.
Sungguh ini kali pertama kami mendengarnya.
“Mi racun tu makanan yang paling terkenal dekat
BP. Rugi tau kalau tak cuba. Sedap sampai menjilat jari.”
Abang pula menambah.
“Tak mati ke?” Aku dah mula cuak. Dengar namanya
pun dah gerun, apatah lagi nak makan.
“Nama aje mi racun sayang ooii... bukan makan
racun yang betul-betul pun. Kalau tak percaya, nanti boleh
cuba.” Tokok abang lagi.
“Okey, nanti abang bawa adik ya?” Aku dah teruja.
Tak sabar nak cuba. Nanti bolehlah ambil gambar dan letak
dalam Facebook.
“Eh ,bila pula abang janji nak bawa adik? Haiqalkan
yang janji nak bawa adik. Adik tanyalah dia.” Abang mengusik.
Nak suruh aku pergi dengan Haiqal? Oh, minta
simpanglah! Kalau dengan dia, aku tak pergi pun tak apa.
Tapi... cup, cup! Kenapa dia nampak baik pula hari ni?
Mungkin sebab ada abang dengan Kak Aina tak? Tu yang dia
berlagak baik sangat.
“Tak apalah kalau abang tak nak bawa. Nanti adik
pergi sendiri.” Aku buat-buat merajuk. Muka aku tundukkan
dan bermain-main dengan cincin di jari.
“Uishh... usik sikit pun dah nak merajuk.” Abang
menolak lembut kepala aku.
Aku menarik sengih. Umpan dah mengena. Wah...
tak sabar rasanya nak tunggu minggu depan. Holidays time!

No comments:

Post a Comment