PETANG esok kami semua akan bertolak balik
ke KL semula. Jadi, malam ni kami dah buat perancangan
nak keluar pusing-pusing bandar Batu Pahat. Walaupun
bandarnya tak berapa besar tapi tetap meriah.
Haiqal membawa kami mencuba mi racun. Dia
memesan dua pinggan besar mi racun spesial untuk lima
orang makan. Aku menunggu dalam debar. Bagaimanalah
rupa mi racun tu. Air teh O ais aku teguk perlahan.
Akhirnya pelayan datang menghantar pesanan kami.
Dua pinggan besar mi racun spesial diletakkan di depan kami
bersama lima pinggan kosong. Aku menilik mi itu seketika.
Wah, macam ni rupanya mi racun yang sebenar. Apa yang
aku boleh cakap rupa mi racun macam mi goreng basah tapi
yang membezakan dia hanyalah dicampurkan dengan telur
dan daging, memang berkuah plus gearbox yang menjadikan
dia begitu spesial. Sempat lagi aku snap sebelum makan.
Nanti nak share dengan mama dan Kak Aina yang tak pernah
tengok rupa dia.
Haiqal menghulurkan pinggan yang berisi mi
racun kepadaku. Aku mengambil dan menggaul dengan
sudu bagi sejuk sedikit. Aku mula menyudu dan mengunyah
perlahan-lahan. Tiba-tiba air mata aku menitis dan aku
berdecit. Aku berpaling dan menyembunyikan wajah di
belakang abang. Masing-masing yang sedang makan terus
terhenti.
“Kenapa?” Abang memusingkan badannya, namun
aku tahan badan abang dengan memegang bahunya. Aku
tidak mahu mereka yang lain tengok aku dengan muka yang
dah sendu ni.
“Adik kenapa ni?” soal abang semula apabila aku
tidak membalas pertanyaannya.
“Tergigit cili. Pedasss….” Jawabku perlahan, dekat
dengan telinga abang.
“Ya Allah budak ni, kenapa tak cakap!” Abang
mencapai gelas dan menghulurkan kepada aku.
Aku mengambil dan menyedut sampai habis. Tisu
pula dihulur kepada aku dan aku mengelap hujung mata
serta hidung yang sudah basah. Aku mengibas perlahan
hujung lidah dengan tangan. Rasanya lidah aku dah terbakar
akibat tergigit cili tadi.
“Pedas lagi ke?” Suara Haiqal kedengaran bimbang.
Aku menarik nafas dan duduk di kerusi semula.
Muka aku tutup dengan tisu dan hanya nampak biji mata aku
sahaja. Aku malu sebenarnya, mesti muka dan hidung aku
dah merah. Aku mengangguk walaupun masih lagi terasa
dengan penangan cili tadi.
“Kenapa tak cakap tak boleh makan pedas tadi? Kalau
tidak, boleh minta kurangkan pedas sikit. Mi ni memang
pedas.” Haiqal sudah memandang aku dengan wajah risau.
Risau? Tapi kenapa dia nak risau pasal aku pula?
“Tak adalah, bukan pedas sangat pun. Tadi tu tergigit
cili aje,” ujarku perlahan. Malu pula apabila mereka masih
lagi fokus memandangku.
“Budak ni bukannya boleh makan pedas sangat,
nanti jadi macam tadilah. Aku tak ingatlah pula nak order
kurang pedas satu. Kalau nak makan dengan dia ni, jangan
pedas-pedas sangat. Nanti menangis pula. Sebab tu kalau
makan dengan dia, kena order asing-asing sebab selera dia
macam budak-budak. Tak boleh makan pedas.” Abang dah
tergelak di sebelah, diikuti dengan Hafiz dan Sofea.
Haiqal hanya terdiam. Aku perasan yang sesekali dia
mencuri pandang ke arah aku. Aku tidak membalas kata-kata
abang. Gelas air milik abang aku tarik dan sedut perlahan.
Masih tidak hilang pedas lagi, abang hanya melihat aku
menyedut air minumannya tanpa menghalang.
“Nak air lagi?” Aku mengangguk menjawab
pertanyaan abang. Abang mengangkat tangan kepada pelayan
dan memesan dua gelas air lagi. Satu untuk aku dan satu lagi
untuk dia kerana air abang dah habis aku minum.
“Nak makan tak ni?”
Aku berpaling ke arah abang yang sedang menunjuk
ke arah pinggan di depan aku. Aku mengangguk dan pinggan
yang berisi mi racun tadi aku tarik semula.
Aku teragak-agak hendak menyuap tetapi
mengenangkan ini kali pertama aku merasa mi racun
membuatkan aku memberanikan diri. Aku mula mencicip
sedikit dengan hujung lidah. Pedas. Aku cepat-cepat
mencapai gelas dan minum. Nak terbakar lidah aku dengan
tahap kepedasan plus panas.
“Tak payahlah makan. Kalau tak tahan pedas, nanti
kita order yang lain.”
“Tak apa, membazir pula kalau nak order yang lain.”
Aku tidak menghiraukan kata-kata Haiqal dan
menyuap semula. Aku menyuap perlahan. Rasa pedas aku
tahan. Takkan aku nak biarkan rasa pedas menghalang
aku daripada menikmati makanan yang menjadisebutan
orang-orang di sini!
“Sedap?” tanya Haiqal.
Aku mengangkat muka dan mengangguk perlahan.
Tersenyum kepadanya. Aku hanya mampu habiskan sesuku
aje yang selebihnya aku tolak ke tepi. Tak apalah sedikit
pun, asalkan aku tak kempunan nak merasa. Aku hanya
memerhati abang dan Hafiz mengerjakan tulang gearbox di
dalam pinggan. Seronok pula melihat cara mereka makan.
Selepas makan, kami tidak segera balik. Haiqal
membawa kami melepak di Tasik Y. Tempat itu menjadi
tarikan penduduk setempat untuk berjoging dan bersiar-siar
bersama keluarga.
“Tempat ni macam dulu juga. Masih meriah. Jom
kita pekena ABC dengan cendol nak?” ajak Hafiz pula. Kami
mengangguk bersetuju.
Gerai yang ada hampir penuh. Kami duduk dengan
dua buah meja plastik dirapatkan. Aku, abang dan Sofea
memesan ABC manakala Haiqal dan Hafiz memesan cendol.
“Cantik ya tempat ni. Rasa nak pergi joging aje,”
ujarku sambil duduk memerhati beberapa orang yang sedang
berjoging melepasi kami.
“Kalau nak, jomlah.” Ajak Haiqal.
Aku tersengih sambil menggeleng.
“Rasa aje, bukan nak pun.” Tokokku lagi.
ABC dan cendol kami dihidangkan. Aku menghirup
dengan penuh nikmat ABC yang tinggi melangut. Aiskrim
yang diletakkan di atas ABC dicolek sedikit. Perisa vanila,
kegemaran aku tu.
“Jom kita lepak-lepak kat tasik dulu. Nak balik pun
masih awal lagi.” Abang melirik jam dan berjalan di depan
sekali sambil diikuti oleh Hafiz dan Sofea. Aku berjalan
di belakang mereka dan Haiqal yang paling last kerana dia
sedang menjawab panggilan.
Aku mengeluarkan handphone dan snap beberapa
keping gambar. Aku menggamit abang supaya mengambil
gambar aku tetapi dia tidak dengar kerana rancak berbual
dengan Hafiz dan Sofea. Bila aku mahu memanggilnya sekali
lagi, ada suara yang menawarkan diri. Aku berpaling.
“Mari, biar saya yang ambil gambar Farah.” Pelawanya
sambil menghulurkan tangan, meminta handphoneku.
Teragak-agak aku mahu menerima pelawaannya. Kelibat
abang aku pandang semula namun dia sudah semakin jauh.
“Takkan dengan saya pun nak segan? Kita kan
dah lama kenal,” ujarnya seraya mengambil handphone di
tanganku tanpa sempat aku melarang.
“Okey, sedia?” tanyanya.
Aku dah kelam-kabut. Tak tahu nak posing macam
mana di depan dia. Alih-alih aku hanya berdiri tegak. Haiqal
tergelak.
“Ni nak ambil gambar ke nak nyanyi lagu Negaraku?”
Isy... ada pula macam tu. Aku membetulkan cara
berdiri. Masih lagi kaku macam tadi.
“Relakslah... buat macam biasa.” Pujuknya lagi.
Akhirnya aku mengalah. Aku cuba relakskan badan
dan muka sudah tersenyum habis. Badan aku sandarkan di
pagar tasik dan jari sibuk membuat isyarat peace. Banyak
juga gambar aku diambilnya.
“Okey... done. Nice picture.” Ujarnya sambil
menghulurkan handphone aku semula.
Aku melihat semula gambar-gambar tadi. Aku
tersenyum puas. Lepas ni boleh tunjuk dekat mama.
“Thanks.” Ucapku keriangan.
“Welcome. Tak nak ambil gambar dengan saya juga
ke?” Haiqal memandang ke arahku.
“Nak buat apa?” tanyaku semula.
“Buat kenangan. Tak pun buat peluk tidur.” Ujarnya
sambil ketawa.
Aku mencebik.
“Tak apalah. Lagipun kita bukannya rapat sangat.”
Aku sudah berjalan meninggalkan dia di belakang. Haiqal
berlari dan menyaingi langkahku.
“Pasal tak rapatlah saya nak rapatkan semula
hubungan kita.” Dia masih lagi tidak berputus asa.
“Sebelum ni kita mana boleh terserempak. Kalau
jumpa, pasti awak selalu nak kenakan saya. Selalu nak buat
saya hot dengan perangai awak tu.”
“Saya memang sengaja nak bagi awak hot dengan
saya, sebab saya suka....”
Aku brek mengejut. Haiqal turut terhenti melangkah.
Aku tak salah dengar ke tadi?
“Apa awak cakap tadi, saya tak dengar.”
“Saya suka awak.” Tak teragak-agak dia membalas.
Aku berkalih ke kiri dan ke kanan. Malu kalau ada
yang pasang telinga dengan perbualan kami di tengah-tengah
jalan ni.
“Saya rasa kepala awak ni dah tak betul.” Aku pantas
beredar. Malu nak menatap mukanya. Aku perasan dengan
pandangan redup Haiqal. Aku memang perasan yang dia
memang dah lain sejak balik dari London tempoh hari.
“Saya suka awak Farah!” Laungnya lagi kuat.
Langkah aku terhenti. Aku tahu saat ini bukan
aku saja yang mendengarnya, sebab beberapa orang yang
berhampiran tersenyum-senyum melihat aku. Aku tak berani
nak berpaling. Langkah pun rasa dah kaku. Aku menutup
mata dan menarik nafas panjang-panjang. Udara yang
disedut aku hembus kuat. Aku mula membuka langkah. Baru
beberapa langkah diambil, suara Haiqal kedengaran lagi tapi
kali ini suara itu kedengaran hampir di telingaku.
“Saya memang suka dan cintakan awak sejak
dulu lagi, tapi saya takut nak luahkan perasaan saya pada
awak. Hanya Freddy yang tahu rahsia hati saya.” Ucapnya
tenang. Dia berdiri di depan aku. Aku tahu yang dia sedang
memandang aku ketika ini. Aku tak berani nak mengangkat
wajah. Malu dan segan bergabung menjadi satu.
“Saya... saya....” Tergagap-gagap aku bersuara.
Tiba-tiba aku rasakan yang kepala otak aku tiba-tiba kosong.
Tak tahu nak balas apa.
“Tak perlu cakap apa-apa. Saya faham. Mungkin
awak tak percaya dengan apa yang saya cakap, tapi satu aje
yang saya nak beritahu awak... saya memang sangat-sangat
cintakan awak. Maaf jika saya sering buat awak marah-marah
dulu, sebab saya tak tahu cara nak luahkan isi hati saya pada
awak.” Luah Haiqal perlahan.
Aku perlahan-lahan mengangkat wajah dan mata
kami saling berpandangan. Aku dapat melihat dengan jelas
redup mata Haiqal.
“Take you time.” Ujarnya sebelum berjalan
meninggalkan aku keseorangan.
Aku hanya mampu melihat dia berjalan pergi ke arah
yang bertentangan. Aku mengeluh perlahan. Kepala tiba-tiba
rasa ‘weng’ aje. Jangan aku demam terkejut sudahlah!
DATARAN PENGGARAM menjadi tempat persinggahan kami
selepas itu. Tempat itu dipenuhi orang ramai memandangkan
cuti hujung minggu.
“Karnival apa kat sini ni?” Aku terdengar suara
Sofea yang bertanya kepada Hafiz yang sedang berjalan di
depan aku. Hafiz menunjukkan ke arah satu banner yang
tergantung di tiang.
“Karnival Budaya, Pameran Perkahwinan Sempena
Ulang Tahun DYMM Sultan Johor rupa-rupanya, patutlah
orang ramai.” Ujar Sofea membaca apa yang tertulis di
banner itu.
Sofea menarik tangan Hafiz apabila kami masuk
ke dalam satu booth besar yang terletak di tengah-tengah
dataran. Aku pula memeluk tangan abang kerana tidak mahu
terpisah dengannya.
“Kenapa nak peluk-peluk tangan abang ni? Nanti
orang ingat kita couple pula. Payahlah abang nak usyar
makwe kat sini kalau adik asyik berkepit dengan abang aje.”
“Amboi... gatal ya, siapalah yang nakkan abang ni?
Kalau tahu perangai abang yang sebenar, memang abang dah
kena reject awal-awal tau!”
Aku melepaskan pegangan tangan abang dan
berjalan laju ke depan. Abang memanggil aku tetapi aku buat
derk aje. Aku terus berjalan tetapi mata masih lagi memerhati
kelibat abang yang sedang berjalan tidak jauh daripada aku.
“Kak.” Aku terkejut apabila disapa oleh seseorang.
Aku berpaling melihat. Erk... seorang lelaki lembut
yang bermekap tebal dengan rambut yang panjang sedang
menghulur satu brosur pengantin kepada aku. Dia tersengih
melihat muka aku yang terkejut tadi.
“Terima kasih.” Aku mengambil dan terus berjalan.
Terdengar suara orang ketawa di sebelah aku. Aku berpaling.
Haiqal! Dia tersenyum sambil berjalan seiring dengan aku.
Dia nampak ke tadi? Malas nak fikir, aku terus menapak.
Aku terpesona dengan pelbagai jenis pelamin,
pakaian pengantin sehinggalah ke kad dan juga cenderahati
yang dipamerkan. Pandangan mata aku tiba-tiba jatuh pada
satu set pelamin ala-ala fairy-tale yang berwarna putih
gading. Memang cantik, seolah-olah dibuat dengan bulu
burung yang berwarna putih. Memang cantik, tak tahu aku
nak gambarkan macam mana.
“Cantik, kan?”
Aku mengangguk sambil tersenyum, mengiakan apa
yang dikatakan. Aku berpaling. Haiqal lagi! Kenapa dia asyik
mengikut aku saja sejak dari tadi? Tadi masa kat tasik cakap
nak bagi aku masa, tapi kalau dah asyik melekat macam ni,
macam mana aku nak berfikir? Aku mencari kelibat abang,
tapi dengan bilangan pengunjung yang ramai menyukarkan
aku mencarinya.
“Mana yang lain?” tanyaku kepada Haiqal.
Haiqal menarik aku ke tepi apabila aku menghalang
laluan orang.
“Ada. Mereka tengah duduk-duduk kat depan tu.”
Haiqal menunjuk ke arah kolam air pancut yang
berada di luar. Aku mengangguk sambil kaki mula melangkah
keluar. Rimas bersesak-sesak dengan orang ramai di dalam
booth ini. Haiqal mengikut dan aku terus mendapatkan
mereka bertiga yang sedang berborak sambil duduk di birai
kolam.
“Lamanya. Kenapa, ada yang berkenan ke?”
“Berkenan apanya?” Aku duduk di sebelah abang di
birai kolam. Air pancut yang terpasang mengalir perlahan di
belakang kami. Aku kembali memandang ke depan sambil
memerhati gelagat budak-budak yang sedang bermain.
“Tak berkenan ke dengan offer yang diaorang bagi
untuk pakej perkahwinan tu?” sakat abang lagi.
Aku terasa lain macam apabila mereka bertiga
sudah tersengih-sengih melihat aku dengan Haiqal serentak.
Takkan mereka ada dengar apa yang terjadi kat tasik tadi?
Tapi itu semua tidak mustahil kerana aku yakin suara Haiqal
tadi memang agak kuat. Kalau betullah, mana aku nak letak
muka? Dahlah mereka ni kawan-kawan rapat Haiqal.
“Entah.” Aku mengangkat bahu. Malas nak komen
banyak-banyak, nanti kena sakat lagi. Baik tutup mulut, nanti
senyaplah abang tu kalau orang tak layan dia.
No comments:
Post a Comment