JAM sudah menunjukkan angka 4.30 minit petang.
Hakim semakin gelisah. Apa yang dicari masih juga tidak
menunjukkan tanda-tanda akan berjumpa. Sekejap lagi pasti
Sofiana akan pulang. Kalau dia tidak cepat, entah bilalah dia
punya peluang untuk mencari lagi.
Seingatnya kad perniagaan Marissa telah tersimpan
kemas di dalam kocek seluarnya. Apabila pulang ke rumah,
kad tersebut telah diletakkan di bawah tilam sebaik sahaja
Sofiana menghilangkan diri ke dalam bilik air. Semua itu
dilakukan untuk mengelakkan daripada diketahui isterinya
itu. Namun perancangan yang begitu rapi nampaknya masih
jua sia-sia. Pada keesokan hari, kad itu hilang begitu sahaja.
Sedangkan dia telah bercadang untuk menelefon Marissa
setelah tamat waktu kerja.
Hakim bergerak pula ke arah almari yang
menempatkan pakaian isterinya. Segala isi di dalamnya
diselongkar. Setiap satu pakaian Sofiana dibuka daripada
lipatan serta dikibarkan ke udara. Mungkin kad itu terselit
di mana-mana. Dan dia berharap dengan kibaran itu akan
menyebabkan kad itu tercampak keluar.
Namun, setelah hampir semua pakaian isterinya
diselongkar, Hakim hanya mampu melepaskan keluhan
kecewa. Kad itu masih juga tidak dijumpai. Dia meramas
rambut dan ditebak ke belakang. Pinggang dicekak dengan
kedua belah tangan sambil matanya meligas pantas ke setiap
pelosok bilik. Bukan sahaja di bilik malah sudah hampir
segenap pelosok rumah sudah dicarinya. Operasi mencari itu
sudah dilancarkan sejak dua minggu dahulu. Saat di mana dia
menyedari akan kehilangan kad itu. Hendak ditanya kepada
Sofiana bimbang isterinya itu mengamuk pula. Dia cukup
masak dengan perangai Sofiana yang tidak gemar nama
Amirah disebut oleh dirinya.
Lalu, untuk mengelakkan kekecohan, Hakim
bertindak mencarinya ketika Sofiana keluar bekerja. Setiap
hari dia pasti akan pulang awal ke rumah. Tanpa sempat
menggantikan pakaian kerja, kad itu terus dijejaki. Masa yang
ada tidak sepatutnya diabaikan. Fikir Hakim.
Entah mengapa hatinya kuat mengatakan kad
itu tidak hilang begitu sahaja. Ada seseorang yang telah
mengambilnya dari bawah tilam tempat dia merebahkan diri
pada setiap malam. Lagipun mereka hanya tinggal berdua.
Tiada siapa lagi yang boleh dikenakan tuduhan melainkan
Sofiana. Dia yakin Sofiana nampak apa yang telah berlaku dua
minggu lepas. Dan jika itu berlaku, sudah tentu Sofiana akan
berusaha untuk menghapuskan satu-satunya cara untuk dia
menuju kepada isteri pertamanya.
Mungkin juga Sofiana tidak berniat hendak ke
bilik air tetapi berniat ingin mengintainya. Ah, kenapa dia
begitu lalai? Seharusnya alamat dan nombor telefon itu telah
dihafalnya sebelum disimpan. Sekurang-kurangnya, kalau
kad itu hilang pun dia masih boleh mengingati nombor
telefon teman Amirah itu.
Bukan niat dalam hati hendak berburuk sangka
kepada isteri keduanya itu. Tetapi, berdasarkan sifat cemburu
yang ditunjukkan buat Amirah memungkinkan segalanya.
Hakim yakin memang dia tidak pernah menyentuh kad itu
selepas disimpan di bawah tilam. Dia amat yakin itu. Jadi,
siapa lagi kalau bukan Sofiana? Kalau benarlah telahannya,
entah bagaimana dia hendak menyifatkan cemburu
Sofiana yang di tahap kritikal itu. Sedangkan Amirah juga
isterinya. Amirah juga punya hak untuk diberikan perhatian
sebagai seorang isteri. Seharusnya Sofiana tidak perlu
mempersoalkan tentang itu kerana selama ini memang dia
sentiasa melebihkan Sofiana.
Tetapi itu semua kisah beberapa bulan yang dulu.
Sebaik sahaja Amirah meninggalkan dirinya, dia bertekad
untuk bertindak adil kepada Amirah dan Sofiana biarpun
isteri pertamanya itu telah hilang tanpa khabar berita. Dia
serik! Dan dia fikir dia harus belajar untuk berlaku adil.
Oleh itu, dia tidak pernah lupa untuk bermalam di
rumah Amirah walaupun isteri dan anaknya itu tidak ada. Dia
rela tidur sendirian di rumah itu asalkan dia tidak melakukan
kesalahan yang sama sehingga menyebabkan Amirah
meninggalkannya. Perasaan bersalah akan menguasai diri
jika dia tidak pulang ke rumah itu pada hari giliran Amirah.
Dia tidak mahu menyakiti hati isterinya itu lagi. Dia juga
hanya memekakkan telinga apabila Sofiana mengatakan
dirinya gila.
“Abang ni dah gila agaknya. Isteri pertama
abang tu dah tinggalkan rumah tu. Buat
apa lagi abang nak pergi bermalam di
sana? Tinggal sajalah di sini. Bukan ada
sesiapa pun di sana. Hantu adalah.”
Begitulah kata Sofiana buat dirinya. Tapi kata-kata
itu sudah jarang sekali didengari sekarang. Mungkin isteri
keduanya itu sudah bosan mengulangi perkara yang sama
lantaran sikap tidak ambil pusing Hakim.
Hari pertama bermalam di rumah itu tanpa Amirah
dia berasa sungguh sayu. Mata yang tidak mahu lelap dipaksa
jua. Sungguh seksa dirasakan tidur tanpa ditemani orang yang
disayangi. Sudah hampir dua tahun mereka melayari alam
rumah tangga. Dan baru malam itulah dia tidur sendirian.
Seakan terbayang-bayang tubuh Amirah di sisinya setiap kali
dia merebahkan tubuh di katil itu. Tapi dia sedar, semua itu
hanya ilusi seseorang yang begitu merindui isterinya.
Mungkin itukah perasaan yang sama dirasakan
Amirah semenjak dia mengahwini Sofiana? Ya Allah, dia berasa
sungguh berdosa memperlakukan isterinya sedemikian rupa.
Kenapa dia terlalu bodoh? Kenapa dia selemah itu? Kenapa
dia membiarkan nafsu menguasai akal fikiran? Kalaulah dia
menguatkan hati untuk menangkis godaan Sofiana dahulu,
tentu semua ini tidak akan berlaku.
“Ya Rabbi... apa ni bang? Kenapa selerakkan semua
baju-baju Sofi ni?”
Terperanjat Hakim apabila disapa suara nyaring
Sofiana yang membingitkan. Matanya terpaku ke arah Sofiana
yang sedang bercekak pinggang di muka pintu. Sempat juga
dia menjeling ke arah jam di dinding. Baru menunjukkan
pukul 5 petang. Kenapa isterinya itu pulang awal pula hari
ini? Sedangkan waktu kerjanya tamat pada pukul 5.30 petang.
Sungguh dia tidak bersedia hendak berdepan dengan
Sofiana dengan keadaan bilik yang lintang-pukang begini.
Cadangnya dia akan kembali mengemas pakaian-pakaian
isterinya itu selepas ini. Dia yakin dalam masa setengah jam
baju-baju itu akan tersusun rapi di dalam almari seperti
sebelumnya. Tapi rencananya telah berantakan. Dia sudah
tertangkap menyelerakkan pakaian-pakaian isterinya itu. Dan
dia pasti sekejap lagi telinganya akan menanah dijamah suara
Sofiana yang boleh menggegarkan seisi rumah.
Semenjak dua tiga bulan ini sifat sebenar Sofiana
seakan terbuka di depan matanya sedikit demi sedikit. Segala
perilaku manja dan menggoda isterinya dahulu hilang begitu
sahaja. Ini mungkin juga disebabkan sikap Hakim sendiri
yang lebih banyak menghabiskan masa untuk mencari
Amirah. Tetapi itu tidak bermakna dia membiarkan Sofiana
begitu sahaja. Tanggungjawabnya buat isteri keduanya itu
dijalankan seperti biasa.
Cuma Sofiana sahaja yang terasa diabaikan lantaran
dikuasai cemburu yang menggila. Disebabkan bosan dengan
sikap Sofiana itulah Hakim mengambil langkah tidak
kisah. Sampai masanya, Sofiana juga perlu diajar untuk
menghormati hak orang lain.
“Dengan cadar tak berkemas. Barang-barang habis
terbalik. Pakaian berlipat abang selerakkan. Eh, apa kena
dengan abang ni? Abang tahu tak betapa penatnya Sofi nak
kemaskan semua ni? Yang abang selerakkan kenapa? Apa
yang abang cari?” Seperti yang dijangkakan Hakim, isterinya
itu sudah mula membebel. Pada waktu itu Hakim bagaikan
melihat nenek tua yang sedang meleteri anaknya. Berkeriut
sana sini.
“Tak ada apa-apa,” jawabnya malas.
“Kalau tak ada apa-apa, masakan berselerak sampai
macam ni?” tempelak Sofiana. Suaranya begitu meninggi.
Kadang-kadang terasa tercabar juga ego seorang suami
jika setiap hari diherdik sebegitu oleh seorang isteri. Tapi
Hakim berusaha menyabarkan hatinya. Sofiana pula sedang
mengandung. Jika dilayan egonya itu, mahu terbalik rumah
ini dia kerjakan.
“Sofi tak kira. Sofi nak abang kemaskan balik
semua ni. Sekejap lagi kalau Sofi naik, tak siap kemas juga
lagi, abang tidur dekat luar malam ni.” Sofiana memberikan
amaran. Amaran yang langsung tidak mengocak kelakian
Hakim. Namun dia tidak membalas. Sedar kesilapan sendiri.
Selama ini pun boleh dikatakan dialah yang akan
membantu isterinya itu melakukan kerja rumah. Dia sudah
biasa melakukannya. Amirah yang mengajarnya sehingga dia
tidak kekok apabila berada di dapur. Dan apabila berkahwin
dengan Sofiana pun tabiat itu masih dikekalkan.
Akan tetapi tabiatnya itu telah menyebabkan Sofiana
semakin liat hendak melakukan kerja rumah. Dia hanya akan
mengemas jika keadaan rumah terlalu teruk. Memasak pun
hanya pada hari minggu. Bimbang sekiranya jemari halusnya
menjadi kasar. Selalunya mereka akan makan di luar sahaja.
Sarapan pula disediakan jika berkesempatan. Itu pun hanya
roti bakar sahaja menjadi alas perut. Kalau hendak merasa
makan nasi goreng atau mi goreng, terpaksalah dia yang
turun ke dapur.
Namun itu semua tidak menghalangnya untuk terus
menyayangi wanita itu. Segala keburukan isterinya itu hanya
dipandang sebelah mata. Baginya itu tidak mencacatkan rasa
cintanya buat Sofiana. Asalkan Sofiana pandai memanjakan
dirinya dan pandai menjaga penampilan diri, itu sudah cukup
baginya.
Tetapi entah mengapa hari demi hari Hakim
merasakan dirinya semakin bosan dengan semua itu.
Kecantikan Sofiana sudah tidak memberikan apa-apa makna
semenjak Amirah meninggalkannya. Tanpa dia sedari, dia
sudah pandai merindui cara layanan Amirah buat dirinya.
Cara Amirah memanjakan dirinya. Dan juga cara Amirah
menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Dia
rasakan diri Amirah terlalu sempurna sebagai isterinya.
Tidak ada satu pun perlakuan Amirah yang tidak dirinduinya.
Semuanya seakan terlayar di hadapan mata.
“Cepat kemas sekarang,” arah Sofiana lagi sebelum
berlalu ke bilik air. Sempat juga dihadiahkan jelingan buat
suaminya itu.
“Err, Sofi!” panggil Hakim.
Panggilannya itu serta-merta menghentikan langkah
lambat Sofiana yang baru sahaja sampai di muka pintu bilik
air. Isterinya itu berpaling. Matanya terus dipakukan ke mata
suaminya. Wajahnya masih menunjukkan riak marah.
“Ada apa?” Sofiana bertanya dengan nada suara yang
mendatar.
Hakim pula serba salah hendak bertanya. Tapi dia
sudah penat berprasangka. Alang-alang sudah tertangkap,
lebih baik dia berterus terang sahaja.
“Ada apa ni, bang? Sofi nak mandi ni.” Sofiana
mengulangi pertanyaannya.
“Abang nak tanya, ada tak Sofi ternampak business
card yang abang letak bawah tilam ni?”
Sofiana memerhati ke arah tempat yang ditunjukkan
Hakim. Dia terdiam untuk beberapa ketika sebelum
menggelengkan kepalanya. Hakim cuba mencari riak
kejujuran di wajah itu. Namun dia gagal mengesannya.
Dia hanya mampu memandang tubuh isterinya itu
menghilangkan diri ke dalam bilik air. Tidak berapa lama
kemudian kedengaran air pancur mencurah ke lantai.
Hakim melabuhkan punggung di birai katil. Hendak
bertanya berlebihan, bimbang pula dikatakan menuduh. Tapi
dia yakin isterinya itu ada kena-mengena dengan kehilangan
kad itu. Kalau tidak, masakan Sofiana hanya menggelengkan
kepala tanda menafikan. Tidak pula dia bertanya kad
perniagaan siapa yang Hakim letakkan di bawah tilam itu.
Selalunya isterinya itu banyak pula tanyanya.
Keluhan kasar dilepaskan. Semua tempat sudah
dicari. Di mana lagi tempat yang berkemungkinan kad itu
disorokkan? Atau mungkin kad itu telah dibuang ke dalam
tong sampah? Atau mungkin juga telah dibakar? Oh, tidak!
Tidak sanggup dia membayangkan itu semua. Hanya itu
sahaja jalan untuk dia sampai kepada isteri pertamanya.
Kepalanya dipegang dengan kedua belah tangan.
Rambutnya pula diramas. Dalam kekecewaan itu tiba-tiba dia
seakan tersedar. Cuma satu! Cuma satu tempat lagi yang dia
tidak berpeluang untuk mencari. Dengan pantas dia berlari
ke meja solek. Tas tangan Sofiana dicapai, lalu segala isi di
dalamnya dikeluarkan. Pergerakannya pantas. Bila-bila masa
sahaja Sofiana akan keluar dari bilik air itu.
Perfume, lipstick dan barangan yang tidak berkenaan
ditolak ke tepi. Dompet Sofiana dibuka, lalu ditilik satu per
satu ruangan yang berada di dalamnya. Pelbagai kad dijumpai
tetapi masih bukan kad yang dikehendakinya. Lalu, dompet itu
juga ditolak ke tepi. Tas tangan isterinya itu dicapai semula.
Setiap kocek yang ada di dalam tas tangan itu diperiksa.
Tiba-tiba dia terasa sesuatu yang keras dan agak kecil
pada kocek paling belakang tas tangan itu. Hatinya tiba-tiba
berdegup kencang. Terketar-ketar tangannya membuka kocek
itu. Dan akhirnya, apa yang diinginkan kini telah berada di
tangannya. Pelbagai perasaan berbaur dalam hatinya saat ini.
Gembira, marah dan benci bercampur aduk menjadi satu.
Hakim gembira kerana akhirnya kad itu dijumpai
semula. Peluang untuknya bertemu dengan isteri dan
anaknya terbuka semula. Dia marah dan benci akan sikap
Sofiana yang seboleh mungkin cuba untuk memisahkan
mereka. Jangkaannya selama dua minggu ini memang tidak
salah. Ternyata Sofiana orang yang bertanggungjawab ke atas
kehilangan kad itu. Betul kata Amirah, isteri keduanya itu
akan sanggup melakukan apa sahaja asalkan dirinya dimiliki
seorang diri. Lalu tanpa membuang masa, Hakim terus
menghafal setiap patah perkataan yang tertulis di atas kad itu.
Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali.
“Abang....” Kedengaran suara Sofiana kembali
memecah keheningan bilik. Namun suara itu tidak meninggi
seperti tadi. Suara itu kedengaran seperti seseorang
yang sedang ketakutan. Perlahan-lahan Hakim berpaling
merenungi isterinya itu. Wajahnya begitu bengis. Pada waktu
itu, dia dapat melihat dengan jelas tubuh Sofiana yang hanya
berbalut tuala paras dada itu menggigil hebat.
Hakim mengangkat kad nama itu lalu ditunjukkan
kepada Sofiana.
“Apa maksud semua ni?” soalnya dengan nada marah
yang cuba ditahan. “Macam mana kad ni boleh ada dalam beg
tangan Sofi, sedangkan kad ni abang simpan bawah tilam?
Boleh Sofi jelaskan?”
“Er... er kad tu... kad tu....” Sofiana berusaha
mengerah otak untuk mencari alasan. Tapi nampaknya
otaknya gagal berfungsi saat ini. Dia tidak tahu hendak
memberikan alasan apa. Sememangnya dia yang mencuri kad
itu. Semua itu dilakukan untuk menghalang Hakim daripada
menjejaki isterinya. Silapnya juga kerana tidak membakarkan
saja kad itu. Pada awalnya dia memang berniat begitu. Entah
bagaimana dia boleh terlupa. Dan sekarang Hakim telah
menjumpai kad itu di dalam tas tangannya.
“Macam mana kad ni boleh ada dalam beg tangan
Sofi?” soal Hakim lagi. Kali ini soalannya itu dituturkan
lambat-lambat. Sengaja memberikan isyarat gesaan daripada
pertanyaannya itu.
“Er... Sofi... Sofi....” Sekali lagi Sofiana gagal
mengemukakan alasan. Sungguh akal penipunya amat
buntu. Sedangkan gelagatnya itu telah memberikan kepastian
kepada Hakim. Tidak perlu disoal lagi. Isterinya itu memang
berhati busuk!
“Sofi apa???” Hakim sudah mula menengking.
Tersentak tubuh Sofiana dek kerana terkejut. Air
matanya terus membanjiri kelopak mata. Tidak pernah
dirinya ditengking sebegitu oleh Hakim. Namun sejak Amirah
dijumpai, tengkingan itu kerap kali kedengaran. Yang pasti
semua itu telah membangkitkan kebenciannya buat Amirah
berlipat kali ganda.
“Sofi sengaja curi kad ni supaya abang tak dapat
jumpa dengan Amirah lagi, kan?” Hakim menjawab bagi pihak
Sofiana. Dilihatnya isterinya itu sudah tidak mampu lagi
berkata-kata. Orang bersalah memang begitu. Dia memang
jarang marah. Tapi sekali dia marah, akan meletup seakan
gunung berapi yang sudah lama tidak meletuskan lavanya.
“Kenapa Sofi buat macam ni? Apa yang Sofi dengki
sangat dengan Amirah, hah? Selama ni pernah ke abang
abaikan tanggungjawab abang pada Sofi? Tak, kan? Habis apa
yang tak cukup lagi? Kenapa nak halang abang jumpa dengan
isteri pertama abang? Kenapa Sofi nak pisahkan kami?”
Sofiana mengangkat kepalanya. Mata yang berair
dipaksa menentang sinar kemarahan yang terpancar di mata
suaminya.
“Sebab Sofi nak abang jadi milik Sofi seorang,” jawab
Sofiana dalam tangisan.
Hakim menolak rambutnya ke belakang.
“Masya-Allah Sofi. Apa yang Sofi merepek ni? Sofi
sedar tak Amirah juga isteri abang? Dia isteri pertama abang.
Dia juga ada hak ke atas abang. Sama macam Sofi. Kenapa
pula sekarang sifat tamak timbul dalam diri Sofi? Kenapa
dulu Sofi cakap Sofi sanggup berkongsi kasih abang dengan
Amirah? Kenapa sekarang lain pula?” marah Hakim lagi. Rasa
marah yang begitu membukit cuba dikawal ke tahap minima.
Mungkin sudah tiba masanya dia perlu berkomunikasi dari
hati ke hati dengan isterinya itu. Dia perlu menyingkap rasa
yang tersimpan si sebalik wajah yang cantik itu.
“Sofi tahu. Tapi dia rampas abang daripada Sofi.
Salahkah kalau Sofi nakkan hak Sofi semula? Lagipun kalau
Sofi tak menyatakan kesanggupan untuk bermadu, mahukah
abang ambil Sofi sebagai isteri? Mahukah abang ceraikan
Amirah? Tak, kan? Sofi terpaksa!” balas Sofiana, berani.
“Jadi Sofi perdaya abang selama ni? Sungguh abang
tak sangka, Sofi. Hati Sofi busuk! Tak ada hati perut! Abang
ingat, selama ni Sofi ikhlas terima Amirah sebagai madu,
tapi abang silap. Abang menyesal sebab terpedaya dengan
janji-janji Sofi. Abang menyesal! Kerana Sofi, abang abaikan
Amirah dan anak kami!” luah Hakim dengan nada kesal yang
teramat. Dia terduduk di birai katil. Dia benar-benar tidak
menyangka yang dia telah termakan dengan janji-janji manis
wanita yang berada di hadapannya ini. Sungguh dia tidak
sangka!
Sofiana meluru ke arah suaminya. Dia melutut
di sisi Hakim. Kaki lelaki itu dipeluk erat. Hatinya luluh
melihat keadaan suaminya itu. Hakim tampak begitu kecewa.
Dia tidak sanggup melihat keadaan Hakim itu. Tapi apa yang
lebih dia tidak sanggup ialah mendengar kata-kata penyesalan
Hakim ke atasnya. Suaminya itu seolah-olah menyesal
mengahwininya.
“Abang jangan cakap macam tu bang. Sofi minta
ampun. Tapi apa yang Sofi lakukan sebab Sofi terlalu cintakan
abang. Sofi tak sanggup berkongsi kasih abang dengan orang
lain. Apatah lagi Amirah. Teman baik Sofi sendiri. Sofi
tak boleh terima, abang. Dia rampas abang daripada Sofi.
Kerana dia, abang tinggalkan Sofi,” rayu Sofiana sambil
menyembamkan wajahnya ke kaki Hakim. Air matanya
menderu laju. Besar harapannya agar Hakim memaafkannya
dan melupakan segala yang telah berlaku. Biarlah hidupnya
dan Hakim bahagia seperti di awal perkahwinan mereka.
Saat di mana Hakim sentiasa memberikan perhatian kepada
dirinya seorang walaupun ada Amirah antara mereka.
Rayuan Sofiana makin menyebabkan hati Hakim
bertambah panas. Terus dia bangun dan menarik kakinya
kasar. Tarikan itu menyebabkan pautan Sofiana terlepas.
Semakin kuat esakannya kedengaran.
“Siapa cakap Amirah rampas abang daripada Sofi,
huh? Sofi jangan nak letakkan kesalahan sendiri di bahu
orang lain. Sofi yang tinggalkan abang. Konon nak mengejar
lelaki kaya yang mampu melayan tabiat Sofi yang kuat
bershopping tu. Masa tu abang ni apalah sangat. Tak berduit.
Sebab tu Sofi tinggalkan abang, kan? Sofi tahu tak, abang
kecewa sangat masa tu. Amirahlah yang banyak merawat
kelukaan abang sehingga abang jatuh cinta dengan dia. Dia
gadis biasa, tapi penuh dengan kelembutan. Sebab cinta
kami berkahwin. Abang memang cintakan dia. Dan sekarang
Sofi nak katakan yang Amirah rampas abang daripada Sofi?
Nonsense!!! Tilik kesalahan diri sebelum menuding jari
pada orang lain. Sepatutnya Sofi bersyukur, Amirah masih
boleh terima perkahwinan kita. Kalau tak disebabkan Sofi,
mungkin kita bertiga sudah bahagia sekarang. Tapi Sofilah
penyebab rumah tangga ni berantakan! Sofi penyebabnya!!!”
Hakim berkata kuat. Segala kekecewaannya
seolah-olah cuba dikeluarkan bersama. Tapi itu dirasakan
masih tidak cukup. Hatinya masih belum tenang. Sedangkan
Sofiana pula makin galak menangis.
“Ampunkan Sofi bang. Sofi salah tinggalkan abang.
Tapi dia tak sepatutnya muncul di antara kita bang. Dia
tak sepatutnya ambil kesempatan. Memang Sofi tinggalkan
abang untuk bersama dengan Akmal. Tapi abang percayalah,
Sofi tak pernah cintakan orang lain melainkan abang. Sofi tak
cintakan Akmal. Sofi hanya cintakan abang sorang.”
“Owwhh... dengan abang cinta. Jadi dengan Akmal,
Sofi cintakan duit dia sajalah, begitu? Sebab tulah Sofi merayu
nak balik pada abang dulu? Sampai sanggup hendak menjadi
isteri kedua? Sebab abang dah bekerja? Berjawatan besar,
macam tu? Sikap tamak Sofi memang tak pernah berubah,
kan? Harga cinta Sofi terlalu murah.”
Sofiana menggelengkan kepala. Kaki Hakim cuba
dipeluknya semula. Namun suaminya itu lebih pantas
menghindar. Dia tidak ingin disentuh wanita itu buat masa
ini. Dia tidak rela!
“Ampunkan Sofi bang. Sofi janji Sofi takkan buat
lagi. Sofi hanya cintakan abang. Sofi nak hidup bahagia di
sisi abang selamanya. Sofi nak abang!” Sofiana merayu
lagi. Dalam hati dia menyesal kerana meninggalkan Hakim
dahulu. Kalaulah dia tahu Hakim akan berjaya seperti
sekarang, sudah pasti dia tidak akan meninggalkan lelaki itu.
Dan pastinya Amirah tidak berpeluang untuk merampas cinta
lelaki itu.
“Sudahlah Sofi, abang dah penat. Selagi Sofi
tak berubah, selagi itulah jiwa Sofi akan sakit melihat
kebahagiaan rumah tangga abang dengan Amirah. Sepatutnya
Sofi bergembira kerana kita berjaya mengharungi hidup
berkongsi tanpa ada masalah. Bukan berusaha meruntuhkan
kebahagiaan orang lain dan membina kebahagiaan diri sendiri
di atasnya. Abang nak ingatkan Sofi, sama ada Sofi suka atau
tidak, abang akan tetap bawa Amirah dan anak kami pulang.
Dia isteri abang. Dia berhak dapat hak dia ke atas abang. Sofi
ingat tu!”
Sebaik sahaja ayat itu dituturkan, Hakim terus
melangkah keluar. Tidak sedikit pun dia berpaling ke arah
Sofiana yang sedang meraung memanggil namanya. Cuba
menghalangnya daripada meneruskan niat murninya itu.
Biar keluar air mata darah sekalipun, dia tidak akan berganjak
daripada keputusannya. Dia sudah tekad! Amirah dan Nasuha
perlu dibawa pulang.
‘Tunggu sayang, abang akan tawan hatimu semula.’
No comments:
Post a Comment