AKU berdiri lama di depan pintu masuk hospital.
Kaki terasa kaku untuk bergerak. Tubuh juga seakan lesu
untuk berdiri. Banyak kali aku membuka dan menutup mata.
Harap-harap ini sekadar mimpi.
“Adik…,” seru satu suara.
Aku buka mata. Kelihatan abang sudah berdiri di
depan aku dengan wajah yang keruh. Hati aku sudah berubah
sayu. Abang, tolonglah cakap yang ini sekadar mimpi. Aku
merintih pedih.
“Jom, semua dah ada kat dalam.” Abang menarik
tangan aku dan melangkah masuk. Pandangan orang ramai
pada rombongan kami tidak aku hiraukan. Sekarang ini
hanya satu nama yang terlintas dalam kepala aku. Haiqal!
Suara tangisan memenuhi setiap ruang itu.
Kami masih lagi menanti berita tentang keadaan Haiqal
yang masih belum keluar dari dewan bedah. Suasana yang
bising dan sedikit kecoh tidak mengganggu aku yang sudah
tersadai lemah di satu sudut dengan ditemani Maria. Ketika
dikhabarkan dengan berita sedih itu, hati aku merasa
bagaikan diledak bom jangka.
“Kak Farah, banyak-banyak bersabar ya. Mar
yakin yang Abang Carl tentu tak apa-apa.” Maria cuba
menenangkan aku walaupun dia tahu yang hatinya sendiri
tidak tenang selagi berita tentang Haiqal masih lagi tidak
diketahui walaupun sudah hampir sejam kami berada di situ
sejak berita kemalangan sampai ke telinga kami.
Aku hanya diam tidak terkutik. Mata aku sudah mulai
bengkak akibat banyak menangis. Jari yang masih merah
berinai aku pandang sayu. Baju pengantin yang tersarung di
badan aku pandang sepi. Sekarang ini semua itu sudah tidak
bermakna lagi jika tanpa Haiqal di sisi.
“Carl mesti selamat. Carl dah janji dengan Farah
yang Carl akan jaga Farah buat selama-lamanya. Farah
pegang kata-kata Carl tu. Carl mesti kuat.” Mata aku kembali
berkaca-kaca saat aku membisikkan kata-kata itu. Maria turut
menangis mendengar suara rintihan sayu aku.
Keadaan mula riuh apabila kelibat doktor yang
berpakaian serba biru keluar dari dewan bedah. Masingmasing
sudah menyerbu ke arah doktor yang sudah separuh
abad itu. Maria membantu aku untuk bangun.
“Doktor, macam mana anak saya?” Encik Shukri
sudah tidak sabar mahu mengetahui keadaan anaknya.
Doktor Fakri mengeluh sebelum menanggalkan
mask di mukanya. Mukanya sudah mempamerkan riak
muram.
Puan Fathia menunggu dalam debar. Lantai yang
dipijak terasa lembut, dia tidak mampu menahan tangisan.
“Maaf, pihak kami dah cuba sedaya upaya. Tapi Allah
lebih sayangkan dia.”
Saat Doktor Fakri menuturkan ayat itu badan aku
sudah bergetar hebat. Kaki sudah tidak mampu menahan
beban badan sebelum aku jatuh terjelepok ke atas lantai.
Maria yang berada di samping aku hampir terjatuh apabila
badan aku hampir menimpanya, namun pantas disambut.
Jiwaku terasa melayang sedangkan aku belum puas menatap
wajahnya.
“Kak Farah!!!” Maria terjerit melihat aku sudah
melorot jatuh. Jelas tampak aku terkejut dengan berita itu.
Maria cuba membantu aku yang terkial-kial untuk bangun.
Aku menolak lembut pergelangan tangan Maria yang sedang
memapahku. Aku berjalan dengan satu langkah yang cukup
payah.
Kami semua seperti tidak percaya yang Haiqal sudah
tiada, pergi meninggalkan kami. Semasa sesi pengecaman
tadi pun hanya Encik Syukri saja yang melakukannya
manakala Puan Fathia hanya terperosok di satu sudut kerana
masih bingung memikirkannya.
Aku ingin berada di sisi Haiqal kerana aku tahu yang
Haiqal sangat-sangat memerlukan aku saat ini. Satu tangan
menghalang tapi aku tepis perlahan. Langkah kembali aku
atur tetapi tersekat lagi. Aku menepis lagi. Apabila tiga
kali langkahku dihalang, aku tidak dapat bersabar dan aku
bertempik kuat. Tangan-tangan yang mahu memeluk aku
terus aku tepis kuat dan kaki aku juga turut menendang sana
sini.
“Jangan halang aku! Tepi... tepi!!!” Aku menjerit
lantang.
“Adik, mengucap sayang... mengucap. Ingat Allah,
sayang.” Satu pelukan kuat di belakang aku dan diikuti
dengan alunan zikir menyebabkan aku terlorot jatuh.
Aku mengangkat kepala dan wajah abang yang sudah
basah dengan air mata berada di depanku. Dia memeluk erat
tubuhku.
“Abang.... Carl dah tak ada... dia dah tinggalkan
adik….” Aku menangis dan menyembamkan muka ke dada
abang.
Abang memujuk aku. Bahuku diusap lembut.
Namun aku dapat merasai getaran tubuhnya. Dalam diam,
abang turut menangis bersama-sama dengan aku.
“Abang… tolong bawa adik jumpa Haiqal. Please....”
Aku merayu kepada abang dengan air mata yang masih belum
berhenti mengalir. Suaraku juga semakin tenggelam dengan
tangis esak yang masih lagi belum reda.
“Sabar dik, nanti kita tengok. Jenazah dia sedang
diuruskan sekarang ni.” Pujuk abang lagi.
Aku menolak tubuh abang dengan kuat. Dia yang
tidak dapat menjangka tindakan drastik aku terlentang jatuh.
Aku bangun dan terus berlari ke pintu di mana Doktor Fakri
keluar tadi. Pintu bilik aku rempuh kuat. Namun langkahku
dihalang oleh beberapa orang yang berpakaian putih. Terasa
lenganku dipegang. Aku semakin agresif apabila cuba
dihalang lagi.
“Tepi! Kenapa semua nak halang aku dari jumpa
dengan Haiqal!” Aku bertempik kuat. Aku melawan lagi
tetapi ternyata tenaga aku tidak setanding mereka semua.
Badan aku dipegang erat dan terasa ada satu tusukan kecil di
lenganku. Sakit.
“Haiqal…,” aku memanggil sayu nama itu sebelum
pandangan aku bertambah kelam. Gelap.
AKU MEMBUKA mata. Tangan spontan mengurut kepala
yang tiba-tiba berdenyut sakit. Terasa berat bagai ada batu
yang menghempapnya. Aku membuang pandang ke sekeliling
bilik itu. Suasana nampak begitu asing sekali. Apabila diamati,
aku dapat meneka di mana aku berada sekarang. Baju sudah
berganti. Tiada lagi baju pengantin yang membaluti tubuh
rampingku.
Bunyi pintu yang dibuka dari luar menarik perhatian
aku. Maria menapak masuk ke dalam kamar yang dihuni oleh
aku. Dia mengukir senyuman buatku tetapi senyuman itu
nampak hambar sekali.
“Kak Farah dah sedar? Macam mana akak rasa
sekarang ni? Dah okey sikit?”
Aku diam. Wajah sugul Maria aku pandang. Tanpa
sedar, aku menangis. Maria yang kaget terus merangkul
tubuhku ke dalam pelukannya. Aku menangis dan terus
menangis. Maria turut mengalirkan air mata melihat keadaan
aku. Tubuh aku diusap perlahan-lahan.
“Kak, sabar ya. Mar tahu berat untuk akak terima
berita ni, tapi Allah lebih sayangkan Abang Carl.” Suara Maria
sudah tersekat-sekat. Payah sekali dia mahu menuturkan ayat
itu.
“Tapi kenapa mesti Carl? Kami dah janji nak kahwin.
Carl... kenapa Carl tak tunaikan janji tu? Farah tunggu Carl
dekat masjid, tapi Carl tak datang.” Aku kembali meraung.
Mataku sudah berbalam-balam dengan air mata.
“Kak, sabar ya. Kak Farah mesti kuat. Abang Carl
mesti tak nak tengok akak macam ni. Kak Farah nak ke
tengok Abang Carl sedih bila dia tahu akak macam ni?” Maria
berusaha memujuk.
Aku menatap wajah Maria seketika sebelum
menggelengkan kepala. Maria tersenyum, air mata di wajahku
dikesat dengan hujung jarinya. Maria menggenggam erat
tanganku.
Aku tersenyum kelat.
“Kak Farah kena kuat. Jangan pendam sangat
perasaan tu. Ingat yang kami semua ada untuk Kak Farah.
Ingat tu.” Maria pantas memeluk tubuhku dengan erat.
Aku terkedu di bahu Maria. Air mata kembali
bergenang.
JENAZAH HAIQAL selamat dikebumikan petang itu. Ibu
Fathia dan Ayah Shuk masih lagi duduk berteleku di pinggir
pusara anak mereka. Mereka masih lagi tidak bergerak
walaupun dipujuk oleh beberapa saudara-mara untuk
pulang. Anak-anak mereka yang lain juga sudah buntu untuk
memujuk ayah dan ibu mereka. Akhirnya hanya dibiarkan
saja mereka berdua melepaskan perasaan seketika.
Aku juga masih lagi tidak berganjak dari situ.
Sesekali aku mengesat air mata yang mengalir dengan tisu.
Hampir lunyai tisu itu dengan air mata yang masih lagi tidak
berhenti mengalir sejak dari tadi.
“Adik, jom kita balik sayang. Hari dah senja ni. Tak
elok duduk sini lama-lama. Adik pun masih belum sihat lagi
tu.” Mama memujuk aku untuk pulang. Tangan aku ditarik
sedikit, namun aku mengeraskan tubuh. Masih enggan
untuk pulang. Pandangan aku halakan semula ke pusara di
depanku. Aku mendengar keluhan mama tetapi aku tetap
keraskan hati.
“Bang, pujuklah adik balik. Dah senja ni.” Mama
meminta bantuan daripada abah untuk memujuk aku pula.
Abah menghampiri aku perlahan-lahan. Tangan
abah menyentuh lembut bahuku.
“Adik, jom kita balik.” Lembut suara abah memujuk,
namun aku masih lagi tidak memberi sebarang respons.
Abah berpandangan dengan mama. Jelas wajah kehampaan
terpamer di wajah mereka. Kak Aina yang melihat mama dan
abah tidak berjaya memujuk aku segera datang menghampiri.
“Abah, mama... Aina rasa biarlah adik duduk sekejap
lagi kat sini. Biar Aina yang temankan dia. Abah dengan mama
baliklah dulu. Mama pun nampak macam dah letih tu.”
Abah terdiam seketika sebelum terdengar keluhan
keluar dari mulutnya.
“Aina tolong jaga adik. Emosi dia masih belum stabil
lagi tu. Nanti kalau ada apa-apa, telefon abah. Kami balik
dulu. Jom Rina.” Abah mengusap lembut kepalaku yang
ditutupi dengan selendang sebelum menarik tangan mama.
Mata aku masih lagi memandang pusara yang masih
lagi merah tanahnya. Berat untuk aku terima yang Haiqal
sudah tiada.
AKU SUDAH berpeluh-peluh menanti kehadiran Haiqal.
Rombongan pengantin lelaki sudah sampai tetapi pengantin
lelaki pula tiada bersama-sama rombongan itu. Aku
pelik tetapi apabila dirisik daripada adik Haiqal, Hazwan
menyatakan yang kereta abangnya terpaksa berpatah balik
kerana tertinggal cincin kahwin.
“Kenapa Haiqal yang pegang cincin tu? Kenapa tak
bagi dekat ibu yang pegang?” Suara emak saudara Haiqal
yang dipanggil Mak Usu mula menyampuk. Dia tidak tahu
yang kereta Haiqal sudah berpatah balik tadi.
“Abang Carl tu yang nak simpan sendiri cincin tu
sebab katanya cincin tu amat bermakna untuk dia. Sebab tu
dia tak bagi orang lain simpan. Cerewetnya bukan main. Hai...
nasiblah Kak Farah dapat bakal suami macam tu.” Hazwan
mengusik aku sambil keningnya diangkat.
Merah padam muka aku apabila diusik di depan
hadirin yang hadir.
Kelibat orang yang akan diraikan masih lagi
tidak kelihatan. Tok kadi juga sudah beberapa kali melihat
jam kerana masa yang diberikan sudah berlalu. Dia perlu
mengejar masa kerana masih ada lagi beberapa pasangan
yang perlu dinikahkan hari ini.
Hadirin yang hadir juga mula gelisah. Hazwan dan
beberapa orang sepupunya sudah beberapa kali menekan
nombor Haiqal dan dua orang teman Haiqal iaitu Izzul dan
Ben yang turut berada di dalam kereta bersama dengan
Haiqal, tetapi tidak berjawab.
Aku sudah tidak senang duduk. Wajah mama aku
pandang.
“Ma, mana Carl ni?”
“Sabar sayang, jalan jam kut. Kita tunggu sekejap
lagi.” Mama menenangkan aku yang sedang gelisah. Abah
sudah bangun dan bergerak ke arah Encik Shukri untuk
mengetahui berita selanjutnya.
Bunyi deringan telefon milik Hazwan menyentakkan
kami semua. Hazwan menilik skrin telefonnya seketika
sebelum mengukir senyuman.
“Abang Carl!” Pantas Hazwan menekan butang
hijau. Mereka yang berada di situ mula berwajah kelegaan
apabila orang yang dicari sudah dijumpai. Senyuman yang
tersungging di bibir Hazwan tiba-tiba mati. Wajahnya
kelihatan seperti orang terkejut sebelum dia melurut jatuh.
“Ya Allah... Allah....” Hanya itu yang terkeluar dari
bibirnya sebelum dia dikerumuni oleh mereka yang berada
di situ. Di kepala masing-masing sudah penuh dengan tanda
tanya apabila melihat keadaan Hazwan.
“Wan, kenapa ni?”
Mulut Hazwan masih lagi tidak mampu untuk
berkata-kata walaupun sudah diasak dengan pelbagai soalan.
Encik Shukri mengambil telefon yang masih lagi
berada dalam pegangan tangan Hazwan.
“Helo... helo... encik?” Suara si pemanggil masih
lagi kedengaran di hujung talian.
“Helo...” Encik Shukri membalas.
“Encik, sila datang segera ke Hospital Ampang Puteri
ya. Ambulans baru saja tiba sekarang ni.” Balas lagi suara itu.
“Hospital? Ambulans? Helo, siapa ni? Mana anak
saya, Haiqal?” Encik Shukri sudah terpinga-pinga apabila
telinganya disapa dengan ayat itu.
“Saya Hisyam. Pemandu dan penumpang kereta ni
terlibat dengan kemalangan jalan raya. Ambulans dah sampai
dan mangsa akan dihantar ke hospital.” Ujar Hisyam setelah
memperkenalkan dirinya.
Encik Shukri hampir pitam mendengar berita yang
sampai di telinganya. Sayup-sayup dia mendengar suara
hingar-bingar di hujung talian.
“Abang, kenapa ni?” Puan Fathia sudah menerkam
suaminya yang tiba-tiba terkaku selepas menjawab panggilan
telefon. Hatinya mula berasa tidak sedap.
“Haiqal... Haiqal....” Hanya itu yang mampu
diucapkan. Air mata mula mengalir di pipi lelaki itu. Puan
Fathia mula mengongoi kesedihan apabila melihat keadaan
suaminya.
“Bang, cakaplah kenapa dengan Haiqal? Bang, anak
saya kenapa?” Puan Fathia sudah mendesak Encik Shukri.
Badan suaminya dipegang erat.
Encik Shukri memandang wajah isterinya sebelum
mengkhabarkan perihal sebenar.
“Haiqal kemalangan. Dia ada dekat hospital.” Encik
Shukri cuba mengawal suaranya. Perlahan sekali, tetapi masih
lagi mampu didengar di pendengaran mereka yang berada di
situ. Langkahku yang sedang menghampiri turut terhenti
apabila mendengar berita yang tidak disangka-sangka itu.
Aku menggeleng-geleng kepala tanda tidak percaya
dengan berita itu, namun melihat keadaan mereka yang
berada di situ sudah mengiakan berita yang disampaikan.
Aku sudah tidak mampu menahan air mata. Aku rebah dalam
pelukan mama.
TERASA SATU sentuhan lembut di bahuku. Punah lamunan
aku, mengingati saat itu. Aku berpaling.
“Jom balik. Aunty Fathia dengan Uncle Shuk pun
dah nak balik tu.” Ujar Kak Aina lembut.
Aku memandang langkah mereka yang kian
menghampiri kami berdua. Apabila mendekatiku, Ibu Fathia
terus memeluk dan menangis di bahu aku.
“Kesian dekat Farah. Kenapa Allah uji kita semua
macam ni? Kenapa mesti Dia ambil Carl saat kamu berdua
bakal disatukan. Ya Allah... kesian anak ibu ni.”
Aku menahan sebak. Aku tidak mahu menangis
di depan Ibu Fathia. Namun empangan mataku akhirnya
pecah juga apabila mendengar rintihan seorang ibu. Merah
hidungnya akibat menangis sejak dari tadi.
“Tak apalah ibu, dah tak ada jodoh buat kami. Farah
reda.” Suara aku lirih sekali. Ibu Fathia kembali memeluk
aku, menantu ‘tidak jadinya’ ini.
“Farah kena kuatkan semangat. Kalau perlukan
apa-apa, jangan lupa beritahu ayah. Farah kami dah anggap
macam anak kami sendiri. Jangan segan-segan dengan kami
lepas ni.” Ujar Ayah Shuk.
Aku angguk. Aku pandang wajah Ibu Fathia yang
nampak sugul.
“Jangan lupa datang majlis tahlil rumah ibu malam
ni. Ajak abah dengan mama sekali, Aina pun jemput datang
ya.” Puan Fathia memandang Aina yang masih setia berada
di sisi kami.
Kak Aina mengangguk.
“Insya-Allah aunty, malam nanti kami datang.”
“Kalau macam tu, kami beransur dulu. Kamu berdua
pun baliklah. Hari dah lewat ni. Aina, tolonglah tengoktengokkan
si Farah ni ya. Dia masih terkejut lagi tu.” Ayah
Shuk menitipkan pesan buat Kak Aina.
“Jangan risau uncle, saya akan jaga Farah.” Balas Kak
Aina dengan matanya dilirikkan ke arahku yang nampaknya
sudah semakin hanyut dalam duniaku sendiri.
Tuhan jagakan dia
Dia kekasihku kan tetap milikku
Aku sungguh mencintai
Sungguh menyayangi
Sepenuh hatiku...
No comments:
Post a Comment