JARUM jam di tangan ditilik seketika. Aku
tergesa-gesa keluar dari pejabat. Aku dah terlewat sepuluh
minit. Kesian dekat Haiqal yang terpaksa menunggu aku
lama. Bila sampai di lif VIP, aku mengeluh kecil. Lif sedang
diselenggarakan. Terpaksalah aku menapak ke lif sebelah.
Butang lif aku tekan kuat. Mata sekali lagi melirik
gelisah jarum jam. Aku mengetuk perlahan tangan. Menanti
dalam gelisah.
“Lembab pula lif hari ni. Kalau lif VIP kan senang.
Kalau tak memikir yang aku sekarang ni kat tingkat 15, dah
lama aku turun pakai tangga.” Aku mengeluh lagi. Hai, dah
berapa kali aku mengeluh hari ni? Sebenarnya aku tak mahu
terlambat untuk berjumpa dengan Haiqal memandangkan
inilah kali pertama kami keluar bersama.
Ya ke kali pertama? Masa kat KLIA tu tak kira ke?
Ah... tu tak kira sebab abang dah tipu aku. Ada ke sengaja
suruh aku pergi jemput Haiqal. Patutlah muka Haiqal macam
orang terkejut aje tengok aku dah tercegat tunggu dia. Ini
semua plan ‘cantek’ abang nak satukan aku dengan Haiqal
sebenarnya.
Ting! Pintu lif terbuka. Baru aku perasan yang ada
beberapa staf yang turut berdiri di sebelah aku tadi. Mereka
tersenyum sebelum memberi aku ruang untuk masuk
dahulu. Aku tersenyum seraya mengucapkan terima kasih.
Mereka dengar ke aku duk membebel sorang-sorang tadi?
Kalau dengar pun buat-buatlah tak dengar sebab aku kan bos
diaorang. Hehehe....
Pak guard di ruang lobi menunduk seraya menyapa
aku. Aku tersenyum sebelum berdiri dan mata melilau
mencari Haiqal. Baru tangan nak menggagau handphone
di dalam beg, sebuah kereta BMW M6 berhenti di depanku.
Aku menunduk sedikit. Perlahan-lahan cermin tingkap di
sebelah pemandu diturunkan. Aku tersenyum setelah melihat
gerangannya.
Haiqal sudah siap membuka pintu untuk aku dari
dalam. Aku masuk dan tersenyum manis kepadanya. Tali
pinggang aku pasang sebelum kereta Haiqal menderum pergi
meninggalkan perkarangan Sutera Holdings.
“Nak lunch kat mana ni?” soalku memecah ruang
sunyi antara kami.
“Sayang nak makan kat mana?” soal Haiqal semula
kepadaku. Sekali lagi panggilan sayang meniti di bibirnya.
Aku tersenyum dalam hati.
“Tak kisahlah, lagipun awak yang ajak saya keluar.”
“Kalau macam tu, kita makan kat warung mamak
ajelah. Lagipun saya dah lama tak makan mi goreng mamak.”
Jawab Haiqal, sekilas memandang ke arahku sebelum
matanya dihalakan ke depan semula.
“Tak kisah....” Jawabku perlahan, memang tak kisah
pun nak makan kat mana-mana pun asalkan tempat tu bersih
dan sedap.
“Lain macam aje suara tu. Alah, saya gurau ajelah.
Takkan first date kita saya nak ajak sayang saya makan kat
tempat tu.” Haiqal tersenyum.
“Tak apa, saya tak kisah pun makan kat warung
mamak.” Aku tersenyum.
“Betul ni?” tanya Haiqal dengan muka yang tak
percaya.
Aku mengangguk mengiakan. Memang tak kisah
pun, asalkan awak ada sama. Tapi hanya terluah dalam hati
sajalah.
“Alah, saya dah biasa makan kat tempat macam tu.
Masa study dulu pun saya memang suka ikut kawan-kawan
lepak kat kedai mamak. Best apa kalau makan kat situ.
Tak adalah sibuk nak jaga protokol sangat. Kalau rasa nak
gelak-gelak ke, tak payah nak control. Kalau rasa nak cakap
kuat-kuat pun tak payah nak segan-segan. Lagilah time
tengok bola. Memang happening gila.” Aku dah tersenyum
apabila kenangan zaman jadi student dulu mengimbau
kembali.
“Wow! Saya memang kagum dengan awak.
Walaupun awak ni anak pewaris empayar Sutera Holdings,
tapi perwatakan awak tak macam anak orang kaya yang lain.
Nampak sempoi dan merendah diri.”
Aku dah nak tergelak mendengar pujian Haiqal.
Memang dah selalu sangat kena puji. Dah lali, tapi tak adalah
sampai aku nak ujub dengan pujian itu. Aku sangat bertuah
dan berterima kasih dengan didikan abah dan mama yang
banyak mendidik kami adik-beradik.
“Janganlah duk puji saya tinggi melangit macam
tu. Karang tak pasal-pasal kembang pula saya nanti. Kami
adik-beradik dah memang diajar macam tu, sentiasa
bersederhana dalam segala hal.”
“Jarang saya jumpa orang macam awak.” Haiqal tak
habis-habis memuji.
Aku senyum lagi.
“Yup... jarang jumpa orang macam saya, tapi tak
semestinya tiada langsung, kan? Saya rasa semua tu bermula
daripada didikan masa kecil. Abah memang menitikberatkan
soal dunia dan akhirat agar sama-sama seimbang.”
“Betul tu, saya setuju. Hidup tanpa pegangan yang
kuat boleh buat manusia ni hanyut. Nak-nak pula dengan
dunia kita ni yang dah tak ada sempadan. Kalau hati tak kuat,
memang susah nak berpaut.” Tambah Haiqal tenang.
Aku mengangguk setuju sambil menghadap Haiqal
yang masih lagi tenang memandu. Ralit aku melihat wajah
kacaknya yang ditutupi dengan Ray-Ban hitam itu. Memang
mampu menggugat jiwa wanitaku.
AKHIRNYA KERETA yang dipandu Haiqal berhenti di
Restoran Warisan Keluarga. Dari luar aku perhatikan restoran
itu nampak cukup gah. Pelanggan sudah hampir memenuhi
ruang restoran yang cukup besar itu.
Haiqal datang dan membukakan pintu untukku
sebelum sempat aku membukanya. Aku tersenyum seraya
mengucapkan terima kasih. Aku berjalan masuk dengan
Haiqal ke dalam restoran. Seorang pelayan lelaki yang segak
dengan uniform berwarna hijau lembut datang menyapa
Haiqal dengan penuh hormat. Aku mendengar Haiqal
bercakap sesuatu dengan lelaki itu.
“Jom....” Haiqal menarik hujung lengan baju aku
dan berjalan mengikut langkah pelayan tadi yang sudah siap
menanti kami di depan sebuah pintu. Pintu tadi dibuka dan
aku terpegun dengan sebuah bilik yang menempatkan sebuah
meja yang boleh memuatkan empat orang makan.
Pelayan itu menarik kerusi untuk aku dan
meletakkan buku menu di depanku sementara Haiqal sudah
duduk berdepan denganku. Aku tersenyum sambil membelek
senarai makanan yang terdapat di dalam menu itu.
“Lamanya nak pilih. Cepatlah, saya dah lapar ni.”
Suara macho Haiqal menghentikan larian mataku di atas
menu itu. Pantas wajah aku angkat. Aku tersengih dan
menggaru dahi perlahan.
“Tak tahu nak pilih apa. Banyak sangat makanan
yang sedap-sedap kat sini.” Ujarku akhirnya.
Haiqal tersengih sebelum menarik perlahan buku
menu di tanganku dan menutup perlahan. Wajahku ditenung
lembut. Aku dah tersipu-sipu malu.
“Apa yang sayang nak makan?” tanya Haiqal lembut
tanpa menghiraukan pelayan yang masih lagi berdiri
memerhati kami berdua. Wajah aku dah berbahang walaupun
bilik itu berhawa dingin.
“Tak tahu. Apa kata awak aje yang tolong pilihkan.”
Aku bersuara perlahan. Masih lagi tidak mampu memandang
ke arahnya.
“Kalau macam tu, bagi saya nasi putih dua, ikan
pari masak asam pedas, cencaluk, sayur campur goreng dan
telur dadar. Sayang nak minum air apa?” Haiqal bertanya
kepadaku.
“Jus epal.” Balasku ringkas.
“Jus epal dan ice lemon tea.” Tambah Haiqal lagi.
Pelayan itu sibuk mencatat pesanan sambil mengangguk
perlahan.
“Ada lagi tak Encik Carl?” tanya lelaki itu lagi sambil
memandang wajah kami berdua.
“Sayang ada apa-apa nak tambah lagi ke?” Haiqal
pula bertanya kepadaku.
Aku menggeleng. Rasanya dah cukup banyak apa
yang Haiqal pesan tadi.
“Dah, cukuplah tu. Nanti tak habis pula.”
“Baiklah, tu aje.” Balas Haiqal kepada pelayan tadi.
Pelayan itu mengundur diri dan berjalan keluar.
“Kejap.” Laung Haiqal semula. Pelayan itu berpatah
balik dan berdiri di meja kami.
“Tolong tambah puding jagung untuk kami.”
“Baik Encik Carl.” Pelayan itu menambah pesanan
dan berlalu pergi.
“Banyaknya. Saya memang tak makan banyak.
Siaplah... awak yang kena habiskan nanti.” Ujarku kepadanya.
Haiqal tersenyum sambil duduk menyandar dengan
selesa di kerusinya. Ray-Ban sudah ditanggalkan dan diselit
pada celah kolar bajunya.
“Tak adalah banyak saya pesan. Tak apa, nanti kita
habiskan sama-sama.” Haiqal tersenyum manis ke arahku.
Aku turut tersenyum sama. Hiasan di bilik itu
aku amati seketika. Memang cantik dengan gaya santai
yang cukup ringkas. Warna tema yang menyejukkan mata.
Campuran warna biru terang dan gelap. Satu kombinasi
warna yang cukup menarik bagi aku.
“Dari sayang duk tilik bilik ni, baik tilik saya. Ada
juga faedahnya.”
Aku berkalih ke muka Haiqal. Satu senyuman nakal
jelas tersungging di bibirnya. Aku terpaku.
“Bilik ni cantik sangat, nampak berbeza dengan
kat luar.” Jelasku. Malas nak melayan kerenah Haiqal yang
nampak semacam aje dengan aku hari ini. Dari tadi lagi duk
panggil aku sayang. Tapi aku suuukaaaa sangat tiap kali dia
panggil aku macam ni. Rasa bahagia dan rasa diri aku berada
di awang-awangan. Ceh! Panjang pula perkataan suka tu.
“Memanglah, kami memang menitikberatkan soal tu
selain daripada rasa dan kepelbagaian menu yang ada sebab
itu salah satu penarik dalam perniagaan ni.” Ujar Haiqal.
“Kami?”
“Saya ada sebut kami ke tadi?” Haiqal buat muka
terkejut.
Aku merenung muka Haiqal dengan tajam. Nampak
macam dia terlepas cakap aje.
“Baik awak cakap betul-betul. Restoran ni awak yang
punya ya?” Aku dah mula bertukar kepada pegawai penyiasat
polis dengan tangan dah siap pegang sudu dan garpu,
mengugut nak mencucuk Haiqal dengan garpu itu.
Haiqal ketawa sambil tangannya diangkat seperti
orang menyerah kalah. Badannya sudah berkalih sedikit ke
belakang. Aku bertambah geram apabila dia masih lagi tidak
berhenti ketawa.
“Haiqal!” Aku menjerit geram. Sudu di tangan aku
letak semula ke atas meja dengan geram. Wajah segera aku
palingkan.
Haiqal dah berhenti ketawa tetapi bibirnya masih
lagi tersungging dengan senyuman. Tanpa disangka, dia
meraih tangan aku dan menggenggamnya dengan erat. Aku
terpempan seketika. Pantas mataku dihalakan ke tangan dan
kemudian ke wajahnya. Dia tersenyum. Aku dah tak tahu
wajah aku dah bertukar ke warna apa saat ini.
“Ya sayang, ni restoran milik keluarga saya. Kakak
saya yang uruskan cawangan kat sini.” Jawabnya bagi
mengelakkan aku daripada terus bertanya.
Aku mengangguk penuh mengerti. Patutlah pekerja
kat sini macam dah kenal sangat dengan Haiqal tadi. Anak
bos rupa-rupanya.
Pintu diketuk perlahan menyebabkan Haiqal kembali
melepaskan tanganku dan dia kembali duduk menyandar,
buat-buat selamba. Aku memberanikan diri memandang
mukanya sekilas. Haiqal tersenyum nakal dan masih sempat
mengenyitkan mata ke arahku walaupun ada beberapa orang
pelayan yang sedang menghidangkan makanan di depan
kami. Ya Allah... sabar ajelah dengan perangai nakal Haiqal
ni.
“Jemput makan Encik Carl... Cik....”
Haiqal mengangguk kepada pelayan yang
menghantar makanan dan terus berlalu.
Aku terpegun melihat hidangan yang terhidang di
depan kami. Aku menunduk sedikit untuk mengambil bau.
Memang nampak menyelerakan. Haiqal meletakkan sekeping
isi ikan pari asam pedas ke dalam pingganku. Aku tersenyum.
“Makanlah, cuba rasa sedap tak. Lepas tu try bagi
komen sikit.”
Aku membaca doa makan dalam hati. Isi ikan pari
berserta dengan kuah aku sudu sedikit dan aku suap ke dalam
mulut. Kukunyah perlahan. Hmmm... sedap.
“Macam mana?” Haiqal masih lagi tidak makan tapi
sibuk melayan aku pula.
“Sedap. Rasa lain sikit daripada yang pernah saya
makan sebelum ni. Tapi....” Aku berjeda seketika.
“Tapi kenapa?” Laju aje Haiqal menyoal. Dia macam
dah tak senang duduk.
“Pedas sikit... tapi memang serius sedap.” Ujarku
berterus terang. Jus epal aku sisip bagi menghilangkan rasa
pedas.
“Pedas sangat ke? Nanti saya suruh buat yang lain.”
Haiqal dah berkira mahu menekan loceng yang ada di tepi
meja untuk memanggil pelayan datang. Aku cepat-cepat
menghalang.
“Eh... tak apa, tak apa. Pedas sikit aje ni, saya boleh
tahan lagi.”
“Tak apalah, nanti kalau awak menangis macam kat
BP tu macam mana?” usik Haiqal.
Aku tergelak.
“Jangan risau, tak adalah saya sampai nak menangis.
Dulu tu sebab tergigit cili aje.” Balasku sambil kembali
menyuap. Kali ini aku hanya mengambil sedikit sahaja kuah
asam pedas. Haiqal dari tadi lagi sibuk melayan aku makan.
Aku rasa cukup senang dengan sikapnya.
Aku mengipas perlahan muka aku dengan tangan.
Air mata dan air hidung hampir-hampir nak meleleh apabila
aku cuba juga menghabiskan saki-baki ikan asam pedas
tadi. Air juga dah hampir tiga gelas aku rembat. Haiqal
sibuk menghulurkan napkin kepadaku. Aku tergelak sambil
menyambut hulurannya.
Bagi menghilang rasa pedas, aku mengunyah buah
epal di atas meja. Haiqal juga sudah siap makan. Dia asyik
memandang wajah aku sejak dari tadi. Rasa tak tertelan epal
yang aku kunyah ni.
“Merahnya muka awak. Awak nampak cantik dengan
pipi dan hidung macam tu.” Ujar Haiqal dengan kedua
tangannya menongkat dagu di atas meja.
Aku terus tertelan isi epal yang masih lagi belum
dikunyah betul-betul. Terbatuk-batuk aku dibuatnya. Aku
menumbuk dada bertalu-talu. Haiqal bangun dengan muka
yang cemas dan menepuk belakang aku berulang kali. Perit
rasa kerongkong apabila tertelan isi epal yang masih belum
lumat aku kunyah. Air suam dihulurkan kepadaku. Aku
minum dengan perlahan-lahan. Tak mahu tersedak lagi.
Muka aku dah rasa semakin berbahang. Tadi
sebab pedas, sekarang ni pula sebab tertelan epal. Aku
mengisyaratkan kepada Haiqal untuk berhenti. Dia berlutut di
sisi aku. Belakang aku ditepuk perlahan sebelum dia menarik
hujung dagu aku bagi memaksa aku untuk memandangnya.
“Macam mana, dah okey?” Suaranya masih lagi
kedengaran cemas.
Aku mengangguk. Tekak masih lagi perit untuk
bersuara.
“Sorry, sebab tegur awak tadi.”
“Tak apa, I’m fine.” Suaraku berbunyi sedikit serak.
Aku tersenyum ke arahnya. Perlahan bahunya aku tepuk dan
memaksa dia untuk bangun. Haiqal kembali duduk.
“Macam mana, dah okey ke?” tanya Haiqal sekali lagi.
Aku mengangguk. Tangan mengusap perlahan
batang leher dan aku berdeham beberapa kali.
“Maaf. Saya tak patut cakap macam tu masa awak
tengah makan tadi.” Riak bersalah jelas kelihatan di wajah
Haiqal.
Aku tersenyum dan menggeleng perlahan.
“Tak, saya ni yang gelojoh sangat makan. Bukan
salah awak pun.”
Haiqal tergelak mendengar jawapan aku. Aku
tersenyum mendengar ketawanya yang cukup merdu di
pendengaranku. Ada ke ketawa bunyinya merdu? Ah gasaklah!
“Carl... saya nak tanya sesuatu dekat awak, boleh
tak?” Muka Haiqal aku pandang.
Haiqal turut membalas pandangan aku dan matanya
memberi isyarat mengizinkan.
“Awak ada beri saya bunga ke sebelum ni?”
“Bunga? Bunga apa?” soalnya dengan wajah yang
blur dan terpinga-pinga.
Ternyata dari reaksi Haiqal, aku sudah tahu
jawapannya. Aku diam berfikir. Kalau bukan Haiqal, siapa?
Aku mengusap perlahan dagu dengan hujung jari. Kepala
ligat berfikir siapa lagi yang berkemungkinan memberi
aku bunga, tetapi aku sememangnya buntu. Hanya nama
Haiqal yang terlintas di kepala aku, tetapi dengan reaksi
yang ditunjukkannya tadi, jelas dia bukan orangnya. Habis
tu siapa?
“Kenapa ni? Ada sesiapa yang pernah bagi awak
bunga ke?”
“Hmmm....” Aku mengangguk mengiakan. Kepala
aku masih lagi ligat berfikir tanpa menyedari perubahan
Haiqal ketika itu.
“Siapa?” tanya Haiqal dengan nada keras plus
cemburu.
Aku berpaling apabila perasan perubahan nada
suaranya. Mata Haiqal kelihatan tajam melirik ke arah aku.
Ah, sudah! Kenapa pulak ni?
“Kenapa?” Aku menyoal dia semula tanpa menjawab
pertanyaannya tadi.
“Jawab dulu, siapa yang bagi awak bunga!” tegas
suaranya bertanya.
Aku dah rasa kecut perut. Mulut tiba-tiba seperti
berat untuk dibuka. Air liur aku telan terasa pahit melihatkan
air mukanya.
“Tak tahu, sebab tu la saya tanya awak. Kot-kot awak
ada bagi saya bunga sebelum ni?” Suara aku kedengaran
begitu perlahan dan tergagap-gagap. Apasal aku tiba-tiba
takut dengan Haiqal ni?
“Bukan saya yang bagi. Hadiah yang pernah saya
bagi pun teddy bear tu, awak dapat tak? Suka?”
“Dapat. Suka sangat, terima kasih.” Aku tersenyum,
tetapi selebihnya senyuman palsu. Macam mana aku nak
cakap yang aku langsung tak sentuh teddy bear tu dan ia
sedang enak ‘berehat’ di dalam almari pakaian aku? Kalau
Haiqal tahu, mesti dia terasa hati dengan aku. Tetapi sumpah,
aku cukup alergi dengan teddy bear dan warna pink!
“Lepas ni jangan terima lagi bunga daripada sesiapa.”
Haiqal masih lagi membangkitkan isu bunga itu.
Ingatkan sudah habis dibahaskan tadi.
“Tapi dah ada orang yang bagi, takkan saya nak
buang. Sayanglah kalau macam tu.”
“Kalau rasa sayang nak buang, bagi aje dekat
siapa-siapa.” Haiqal menangkis dengan jawapannya.
“Bukan banyak pun dia bagi, sekuntum aje. Ini mesti
secret admirer saya yang bagi ni.” Jawabku. Isu kad ucapan
yang disertakan tidak aku bangkitkan kerana tidak mahu dia
tahu. Nanti tidak pasal-pasal dia hendak tengok atau lebih
tragik lagi dikoyak-koyakkan sehingga lunyai.
“Ini bukan pasal sekuntum atau berdozen-dozen.
Masalahnya kat sini, saya tak suka ada orang lain cuba pikat
gadis saya!” Tanpa sedar Haiqal meninggikan suaranya
kepadaku.
Aku tersentak dengan suaranya yang kuat itu.
Jantung aku mula berdegup kencang.
“Sorry....” Haiqal seperti baru tersedar dengan
ketelanjurannya itu.
Aku tersenyum pahit. Dah rasa tak seronok melihat
perangai Haiqal sekarang ini. Sepertinya karakter dia mula
menyerlah sedikit demi sedikit. Tetapi tidak disangka ia
sudah ditunjukkan pada pertemuan kami yang kedua ini.
“Farah, saya minta maaf. Hati saya tiba-tiba jadi
risau bila awak cakap yang ada orang lain beri awak bunga.
Jujur saya cakap yang saya cemburu bila ada orang lain minat
dengan awak. Saya benar-benar sayangkan awak.”
Haiqal bersungguh-sungguh menuturkan kata-kata
itu. Aku dapat melihat dengan jelas dari pandangan matanya
yang cukup redup memandang aku. Aku membalas renungan
matanya dan cuba menyelami perasaannya.
Aku mengangguk dan tersenyum. Kemudian baru
dia mengangguk diikuti dengan satu senyuman di bibirnya.
Aku tersenyum lega melihat moodnya sudah pulih.
Selepas makan, Haiqal menghantar aku pulang
semula ke pejabat. Sepanjang jalan banyak perkara yang
kami bualkan. Dalam diam, aku turut menyenangi sikapnya
yang amat mengambil berat tentang aku. Hai... bertuahnya
badan....
No comments:
Post a Comment