“ITU saja yang abang nak cakap? Dah habis?
Kalau dah habis, Mira nak balik,” ujar Amirah berserta
jelingan. Namun langkahnya terhenti apabila Hakim
dengan pantas menghalangnya. Amirah sedaya upaya cuba
melepaskan lengannya dari cengkaman kuat suaminya itu.
“Apa ni abang? Lepaskanlah,” gumamnya.
Rontaan yang agak agresif Amirah memaksa Hakim
melepaskan pegangannya. Terasa belas juga melihatkan
wajah bersih isterinya berkerut-kerut menahan sakit.
“Kenapa Mira buat abang macam ni?”
“Buat macam mana?”
“Kenapa Mira tinggalkan abang?”
Tidak semena-mena wanita itu ketawa kecil.
Menganggap persoalan Hakim sedikit menggeletek hatinya.
“Mira rasa abang tahu kenapa.”
“Sebab Sofiana?”
Amirah tidak menjawab. Hanya renungan mata yang
sedikit sayu dilepaskan sebagai jawapan kepada suaminya itu.
“Maafkan abang Mira. Abang tahu abang bersalah
kerana mengabaikan Mira. Abang janji selepas ni perkara
macam ni takkan berlaku lagi. Abang akan berlaku adil
kepada isteri-isteri abang dan anak kita,” janji Hakim.
Sekali lagi Amirah melepaskan tawa bernada
sindiran.
“Sudahlah abang. Tak perlu berjanji kalau diri
sendiri tak mampu nak menunaikannya. Biarkan saja Mira
dengan hidup baru Mira sekarang. Abang pun sudah punya
kehidupan baru dengan Sofiana.”
“Tak, sayang. Ini bukan omong kosong.
Abang benar-benar maksudkannya,” ujar Hakim
bersungguh-sungguh. Dia sedar, sukar bagi Amirah untuk
mempercayai kata-katanya setelah apa yang berlaku.
Kepercayaan isterinya itu seakan hilang begitu sahaja. Malah
kadang-kadang dia terasa bercakap dengan seseorang yang
bukan isterinya.
Terlalu jauh perbezaan yang dirasakan walaupun
baru beberapa bulan mereka terpisah. Namun begitu, dia
tidak menyalahkan Amirah. Memang layak isterinya itu
berkelakuan begitu terhadapnya. Dan dia akur dengan apa
yang ada di hadapan matanya sekarang ini.
“Abang ingat tak, abang pernah berjanji perkara
yang sama dulu? Tapi apa yang berlaku? Abang abaikan Mira.
Abang tak tunaikan janji abang yang kononnya akan bertindak
adil pada Mira dan anak kita. Jadi apa bezanya sekarang? Tak
mustahil perkara yang sama akan berlaku lagi.”
“Jangan cakap macam tu sayang. Abang dah
sedar sekarang betapa pentingnya Mira dan Suha dalam
hidup abang. Abang tak akan sia-siakan Mira dan anak kita
lagi.” Hakim masih berusaha memujuk. Berharap agar
janji-janjinya bakal melembutkan hati isterinya itu. Dia tahu,
Amirah tidaklah sekeras mana.
Masih dia ingat sewaktu Amirah mendapat tahu
tentang perkahwinannya dengan Sofiana. Pada mulanya
memang terpancar riak kecewa yang teramat sangat pada
wajah itu. Tapi setelah dibanjiri dengan janji-janji manis
Hakim, perlahan-lahan bibir itu mengukirkan senyuman.
Menandakan yang isterinya itu sudah mampu menerima
semuanya. Hakim yakin isterinya itu mudah untuk dipujuk.
Berlainan pula dengan Amirah. Janji-janji manis
Hakim seakan belati tajam yang menusuk tangkai hatinya.
Makin lelaki itu berjanji, makin dalam dirasakan tusukan
itu. Hatinya makin luka berdarah. Pada Amirah, janji-janji
itu hanya sandiwara belaka oleh seorang insan yang begitu
mendambakan sesuatu. Sesudah dimiliki, entah ditunaikan
atau tidak janjinya itu. Akan dipastikan yang hatinya tidak
mudah untuk mengaku kalah dengan suaminya itu kali ini.
Hakim perlu diajar tentang erti kesetiaan dan keadilan. Itu
azamnya!
“Berlaku adil konon,” ejek Amirah. “Mira muak tahu
tak dengan janji abang tu. Janji yang tak mungkin abang akan
tunaikan kerana dalam hati abang hanya ada Sofiana. Mira ni
cuma pengubat kesunyian abang aje. Atau mungkin sekadar
pelepas nafsu abang di saat abang menginginkan Sofiana!”
“Mira!!!” tempik Hakim berserta dengan pegangan
kejap di kedua belah bahu isterinya itu. Wajah tenangnya
sebelum ini bertukar menjadi merah padam. Tidak menyangka
Amirah sanggup menuduhnya sehingga ke tahap itu. Seakan
ada batu besar jatuh ke atas kepalanya apabila kata-kata itu
keluar dari bibir Amirah. Tuduhan yang terlalu berat untuk
digalasnya.
Selama ini tidak pernah terlintas dalam hatinya
untuk menjadikan Amirah sebagai tempat melampiaskan
nafsunya. Apatah lagi mendambakan Sofiana di saat bermesra
dengan Amirah. Tidak pernah sama sekali! Dia mendatangi
Amirah kerana diri Amirah sendiri. Bukan orang lain. Kenapa
sampai begitu sekali prasangka isterinya?
Amirah pantas menepis tangan Hakim yang bergayut
di bahunya. Dia tidak mahu disentuh. Terasa terlalu asing
sentuhan yang begitu didambakan suatu masa dahulu. Wajah
tegang suaminya langsung tidak dipedulikan. Bahkan dia
begitu teruja untuk menambahkan tegang di wajah itu.
“Abang tak pernah anggap macam tu. Tak pernah!
Cuma waktu itu....”
“Cuma apa? Abang lebih sayangkan Sofiana, macam
tu?”
“Tidak Mira. Abang tak pernah membeza-bezakan
isteri abang. Kasih sayang abang sama saja.”
“Sama?” Ejek Amirah. “3 hari bermalam di rumah
isteri pertama sepanjang 3 bulan berkahwin tu sama ke
abang? Hah?” tempelaknya. Sakit hati usah dicakap apabila
kisah beberapa bulan lepas diungkit semula.
“Abang... abang....” Hakim tidak tahu jawapan apa
yang harus diberikan kepada isteri pertamanya itu. Bimbang
jika alasannya bakal menambah kelukaan dalam hati Amirah.
Sedangkan dia tidak mahu perkara itu berlaku. Cukuplah
sekali. Dia tidak mahu berpisah dengan isterinya itu lagi.
Tidak mungkin dia mahu mengkhabarkan tentang
kerapuhan hatinya dek pujukan Sofiana yang sentiasa
mahu bersamanya sehingga melupakan Amirah yang saban
malam menunggu kepulangannya di rumah. Dia hanya
akan menjenguk isterinya itu di waktu siang. Itu pun hanya
sekejap cuma. Apatah lagi Amirah tidak pernah menunjukkan
rasa tidak puas hati dengan tindakannya itu. Oleh itu semakin
membuatkan dia berani mengabaikan tanggungjawabnya.
Namun sungguh tidak disangka isteri yang selama
ini begitu lemah lembut dan mendengar kata mengambil
keputusan untuk meninggalkannya. Hanya sepucuk surat
berserta kalung hadiah perkahwinan daripadanya yang
ditinggalkan sebagai perkhabaran terakhir. Saat itu barulah
dia merasakan kehilangan. Barulah dia menyesal di atas
pengabaiannya selama ini.
“Abang tak ada jawapannya bukan? Jadi biar Mira
yang berikan jawapannya. Abang lebih sayangkan Sofiana! Itu
jawapannya!”
Hakim menggeleng-gelengkan kepalanya. Tanda
tidak bersetuju dengan kata-kata Amirah.
“Sudahlah abang. Abang tak perlu risau. Mira takkan
ganggu hubungan abang dengan Sofiana. Biarlah Mira hidup
dengan cara Mira sendiri. Selamat tinggal abang.”
Amirah sudah mula melangkah. Hakim kalut. Tidak!
Dia tidak akan membiarkan isterinya itu pergi lagi. Dia sudah
berjanji kepada dirinya untuk membawa pulang isterinya
itu ke rumah mereka. Dengan pantas dia menyambar
pergelangan tangan Amirah lalu ditarik ke dalam pelukan.
Tubuh itu dirangkul erat seperti tidak mahu dilepaskan lagi.
Amirah yang begitu yakin melangkah ke arah kereta
tersentap perasaannya apabila terasa tubuhnya terhumban ke
dalam pelukan suaminya. Untuk beberapa ketika dia hanya
mahu menurut kehendak Hakim kerana seluruh tubuhnya
pada waktu itu seakan kaku. Bagai terdengar-dengar degupan
pantas jantungnya saat ini.
Selepas mendapat kekuatan, tubuh Hakim cuba
ditolak menjauhinya dengan sekuat hati. Tetapi tidak berjaya.
Pelukan itu terlalu kemas dan hampir-hampir menyekat
pernafasannya. Dalam hati timbul perasaan malu kerana dia
pasti adegan panas ini menjadi tontonan Marissa yang masih
menunggunya di dalam kereta. Lama mereka berkeadaan
begitu. Hendak menolak dia tidak berdaya. Lalu diturutkan
saja kehendak Hakim itu. Tubuhnya hanya dilepaskan apabila
kedengaran suara seorang perempuan menjerit marah.
“Abang!!!”
“Sofiana...,” bisik Amirah perlahan.
“Apa yang abang buat ni hah???” marah Sofiana lalu
menarik tubuh Hakim menjauhi Amirah. Wajahnya bengis
seperti singa lapar.
“Sofi, ini Mirah! Isteri pertama abang, madu Sofi!”
beritahu Hakim dengan wajah gembira.
Sofiana menatap wajah Amirah sekilas sebelum
menghadiahkan jelingan tajam buat wanita itu.
“Tak payah cakap pun Sofi dah tahu. Hei, perempuan!
Kau jangan ingat bila kau dah berubah macam ni, kau akan
dapat rampas Hakim daripada aku. Aku takkan benarkan!
Hakim tetap milik aku dari dulu lagi!” tempelak Sofiana.
Bencinya kepada wanita itu semakin meluap-luap. Apatah
lagi apabila melihatkan perubahan Amirah sekarang. Dia
terasa kedudukannya di sisi Hakim tergugat. Amirah ternyata
jauh lebih cantik daripada dirinya.
Selama ini dia telah berusaha keras untuk merampas
Hakim daripada Amirah kembali. Semua itu didorong
oleh rasa sakit hatinya apabila mengetahui Hakim telah
mengahwini temannya sendiri semasa di kampus. Dia berasa
begitu tercabar. Dalam hati tertanya-tanya bagaimana Amirah
berjaya memikat Hakim sehingga dilamar menjadi isteri.
Apakah istimewanya wanita itu? Kalau wanita yang lebih
cantik daripada dirinya itu tidak mengapa. Dia masih boleh
terima. Tapi bukan Amirah, temannya sendiri. Teman yang
telah mengkhianatinya. Saat hubungannya tidak direstui
keluarga lelaki itu, Amirah hadir di antara mereka lalu
mengambil kesempatan. Dia memang tidak dapat menerima
pengkhianatan yang dilakukan Amirah.
Walaupun pada hakikatnya mereka telah pun
berpisah pada waktu itu atas kesilapan dirinya sendiri,
sehingga menyebabkan orang tua Hakim menolaknya keras
untuk dijadikan menantu, tetapi dia tidak peduli kerana
Hakim begitu menyayanginya dan sanggup melupakan
kesilapannya itu. Oleh itu, sedaya upaya dia cuba merosakkan
rumah tangga mereka berdua. Dan rancangannya berjaya.
Tetapi hanya untuk sementara.
Hakim ternyata tidak dapat melupakan isteri
pertamanya. Lelaki itu telah berusaha bersungguh-sungguh
untuk menjejaki Amirah. Dia berasa kalah untuk sekali lagi.
Setiap hari mereka bergaduh. Semuanya gara-gara Amirah.
Harapannya untuk hidup lebih bahagia dengan ketiadaan
Amirah hanya tinggal harapan. Dan hari ini apa yang
dibimbangkannya selama ini telah berlaku. Amirah telah
kembali dengan penampilan baru. Penampilan yang nyata
akan membuatkan Hakim tidak tidur lena. Dia kalah lagi
untuk kesekian kalinya.
No comments:
Post a Comment