MASUK saja pejabat pagi tu, sekuntum bunga
ros merah bersama sekeping kad kecil terhias di atas meja
lagi. Aku mengambil dan mencium bunga ros itu. Kad itu
aku buka dan baca.
Aku tidak dapat menahan diri daripada tersenyum.
Bait kata yang diukir sangat indah sekali. Bunga ros itu aku
letakkan ke dalam pasu yang sama dengan ros semalam
manakala kadnya pula aku letakkan ke dalam laci meja. Mood
aku bertambah ceria untuk membuat kerja. Walaupun Haiqal
sudah memberi amaran untuk aku mengabaikan pemberian
itu, tetapi hati aku berbisik sebaliknya. Sayang untuk
membuang ros yang cantik itu. Kalau aku tak beritahu,
Haiqal tak akan tahu. Aku hanya menganggap si penghantar
sebagai peminat aku sahaja dan tidak lebih daripada itu.
Sepanjang masa aku sibuk meneliti perjalanan
beberapa buah projek yang sedang dijalankan. Sesekali
aku terpaksa berulang-alik ke bilik mesyuarat untuk
membincangkan masalah projek dengan team di bawah
seliaan aku.
Aku mengeluh berat. Penat rasa badan aku hari ini.
Jam di dinding aku jeling sekilas. Dah pukul 1.15 tengah
hari. Malas pula nak keluar makan, aku mengunci pintu dan
merebahkan diri di atas sofa yang berada di dalam bilikku.
Aku cuba untuk memejamkan mata tapi dengan badan yang
cukup penat membuatkan mata aku hanya terkebil-kebil
memandang siling.
Aku terjaga daripada lena apabila terdengar bunyi
pintu diketuk dan diikuti bunyi handphone. Aku terpisat-pisat
bangun. Tak sedar bila aku boleh terlena tadi. Aku bangun
dengan malas dan tangan sibuk mengemaskan tudung dan
baju di badan. Pantulan wajah aku pandang di balik cermin
almari seketika sebelum berjalan ke pintu. Pintu aku kuak
perlahan. Wajah abang sedang tercegat di muka pintu. Aku
memberi ruang untuk dia masuk.
“Tak keluar lunch ke?”
Aku menggeleng. Badan yang terasa lesu tadi dah
mula menghilang apabila dapat berehat sekejap tadi. Abang
bangun dan berdiri di depan aku. Tangannya diletakkan
ke dahi aku. Aku membiarkan. Rasa senang dengan sikap
mengambil berat abang.
“Tak sihat ke? Muka adik nampak macam lesu aje
ni.”
“Tak adalah, penat sikit hari ni. Banyak sangat kerja
nak kena pantau, sebab tu malas nak keluar lunch.” Ujarku
sambil tersengih. Tangan abang yang berada di atas bahu aku
tepuk perlahan.
“Kenapa tak makan? Kerja banyak macam mana pun
kesihatan tetap kena jaga.”
“Tahu, tapi habis meeting dengan team tadi agak
lewat, sebab tu malas nak keluar. Hmmm... abang ada apa
sampai datang sini ni?”
“Saja... dah ada orang tu mula bising-bising bila tak
dapat call girlfriend dia. Lepas tu sibuk suruh abang pergi
tengok.” Perli abang sambil menjeling aku sekilas.
Aku dah tersenyum. Tahu siapa yang dimaksudkan
oleh abang. Pantas aku teringatkan panggilan telefon tadi.
Handphone di atas meja aku ambil. Mak aii... banyaknya
missed call daripada Haiqal dan tidak termasuk lagi daripada
abang. Kemudian aku tersenyum membaca SMS yang
bertanyakan aku berada di mana.
“Hai... bahagianya nampak orang tu sekarang ni. Tak
lama lagi seronoklah mama dengan abah nak dapat menantu
daripada anak bongsu dia.”
Mati terus senyuman aku. Abang tergelak melihat
reaksi aku. Aku bergerak perlahan ke arah abang. Abang yang
seakan dapat menduga reaksi aku terus bangun dan menjauhi
aku. Tahu sangat yang aku mahu ‘menghadiahkan’ dia dengan
sepit ketam aku tu. Puas aku kejar abang, tapi tak dapat.
“Dahlah abang, adik dah penat. Layan abang ni
setahun pun tak habis.” Aku dah bersuara semput. Abang
berdiri depan aku.
“Dah, jom kita keluar. Nanti merajuk pula orang tu.”
Abang menarik aku untuk bangun.
“Sekarang ke? Tapi dah pukul dua lebih. Waktu
makan tengah hari pun dah lepas.”
“Alah, tak apa. Kita kan anak bos. Sekali-sekala buat
perangai apa salahnya.” Selamba aje abang menjawab sambil
tergelak besar.
Aku mencebik. Mentang-mentanglah abah tak ada
kat pejabat hari ni, boleh pula dia nak buat perangai.
“Report kat Datuk nanti baru tahu.” Ugutku. Sengaja
nak takutkan dia dengan nama abah.
Dia tersengih.
“Dah, dah... jangan nak banyak songeh, nanti lambat
pula.”
“NAK PERGI mana ni?” Akhirnya suara aku kedengaran
juga selepas sekian lama menjadi pendengar setia dua orang
jejaka yang berada di bahagian depan. Aku menyelitkan diri
di tengah-tengah ruang di antara tempat duduk pemandu
dan penumpang. Abang yang sedang memandu hanya
mengangkat bahu dan terus memandu. Aku menyampah
melihat senyuman di bibir abang. Kemudian aku memandang
pula Haiqal di tepi.
“Carl, kita nak pergi mana ni?”
Haiqal berpaling ke arahku dan dia turut
menggelengkan kepala sambil tersenyum. Aku geram apabila
pertanyaan aku tidak dilayan. Kenapa dengan dua orang
manusia ni? Aku tanya tapi masing-masing buat derk dengan
setiap pertanyaan aku. Yang sorang duk angkat bahu, yang
sorang lagi duk geleng kepala. Malas nak layan. Aku bersandar
marah di tempat duduk belakang.
IPod aku tarik keluar dan terus earphone aku sumbat
ke telinga. Dengar lagu lagi best daripada layan mereka ni.
Aku perasan yang Haiqal sesekali berpaling ke belakang serta
mata abang yang asyik menjeling aku di cermin pandang
belakang sejak dari tadi. Panas hati dengan pandangan
mereka, aku menarik cermin mata hitam di dalam handbag
dan terus memakainya.
Abang memberhentikan kereta di depan hotel JW
Marriot. Aku terus membetulkan duduk. Cermin mata aku
tanggalkan dan aku simpan semula ke dalam beg.
“Kenapa kita datang sini?” Aku bertanya secara
umum. Siapa nak jawab silakan. Aku dah malas nak tanya
secara spesifik, nanti orang tu tak nak jawab pula.
“Aik... ingat tidur tadi.” Ujar abang sambil berpaling
sekilas ke belakang.
Aku tersengih sambil menggeleng. Pintu dibuka
untuk aku dan aku melangkah keluar. Abang dan Haiqal
sudah berdiri di sebelah aku. Abang menyerahkan kunci
kereta kepada pekerja valet parking.
“Jom...” Abang menarik tangan aku agar membuntuti
langkahnya yang sedang berjalan masuk.
“Carl, kenapa datang sini?” Aku berbisik perlahan
kepada Haiqal yang sedang berjalan di sebelahku.
“Adalah... nanti sayang tahulah. Sekarang ni jangan
tanya apa-apa, ikut aje.” Haiqal turut berbisik sama di
telingaku. Alahai... romantiknya main bisik-bisik macam ni.
Suara dia kedengaran begitu mengancam!
“Nah, ambil kunci. Nanti tunggu abang panggil.”
Abang sudah menghulurkan kunci kepadaku. Aku ambil dan
menilik seketika. Dahi dah berkerut. Kata nak keluar makan
tapi apasal sambil tempah-tempah bilik ni? Nasib baik abang
ada sama. Kalau Haiqal yang bawa aku ke sini, memang ada
yang kena jurus burung terbang ke langit dengan aku ni.
“Abang, kenapa ni? Tadi abang cakap nak bawa adik
makan, tapi apasal datang sini? Abang ni memang misteri
betullah hari ni.”
“Memanglah nak makan, tapi function tu malam
nanti. Sekarang ni adik pergi rehat dulu. Tunggu abang
call. Sekarang masuk dulu. Abang ada hal yang nak bincang
dengan Haiqal kejap lagi.” Abang menolak tubuh aku untuk
pergi.
Aku mengeraskan badan. Kaki aku siap pacak ke
lantai. Abang tersenyum sambil menolak lembut badan aku
dan kaki aku perlahan-lahan bergerak mengikut tolakan
abang.
“Alah... apasal berahsia sangat ni? Kalau nak suruh
adik pergi pun bagilah adik makan dulu. Lapar ni, tahu
tak? Kan tak pasal-pasal adik kunyah orang karang.” Aku
menjawab geram.
“Alalala... kesiannya buah hati Carl ni. Tak apa,
nanti Carl suruh orang hantar makanan kat bilik sayang ya.”
Haiqal mencuit manja hujung hidungku. Terpempan aku
seketika. Tak terduga dengan tindakannya. Abang buat-buat
tak nampak dan berpura-pura menekan telefon. Pandailah
nak cover!
Abang dan Haiqal menghantar aku sampai ke
pintu bilik. Aku masuk dengan teragak-agak. Mereka masih
menunggu aku di luar sehinggalah aku menutup pintu.
“Apasal mereka ni? Macam ada rahsia besar aje
sampai dengan aku pun tak nak cakap. Tak apa, jangan harap
rahsia nak jadi rahsia lagi lepas ni.”
Aku membuka pintu gelangsar. Angin petang
menerobos masuk dan mendinginkan suasana. Dari bilik ini
aku dapat melihat kenderaan yang bersimpang-siur di atas
jalan. Lama termenung, loceng pintu bilik berbunyi. Aku
menarik selak pintu dan memberi ruang kepada seorang
pelayan yang sedang menolak troli. Dia menghidangkan
makanan dengan begitu cekap dan pantas ke atas meja.
Aku memberikan sedikit tip dan dia berjalan keluar.
Hidangan di atas meja menarik selera aku. Kerusi aku tarik.
Aku mula menghirup kuah tomyam dan makan bersama nasi
goreng tadi. Wallah... memang sedap yang tak terhingga.
Aku makan dengan penuh berselera. Licin kuah tomyam aku
hirup. Macam tak percaya aje aku mampu habiskan sepinggan
nasi goreng. Mungkin disebabkan aku yang sememangnya
kebulur tadi. Hehehe...
Apabila perut dah kenyang, mata juga dah mula
layu, tapi kali ini aku pastikan yang aku solat dulu sebelum
tidur. Takut terbabas pula nanti. Selepas menunaikan solat
asar, aku terus dive ke atas tilam yang sememangnya cukup
empuk. Selimut aku tarik dan membungkus tubuh yang
semakin dingin dengan suhu air-cond yang cukup sejuk dan
aku terus zzzzzz....
AKU TERSEDAR daripada lena apabila terdengar bunyi pintu
diketuk. Aku bangun dalam separa sedar. Masih mamai lagi
sebenarnya. Jam di handphone aku tilik. Alamak! Dah hampir
maghrib rupa-rupanya. Patutlah suasana bilik dah suram
dan gelap semacam aje. Bunyi pintu masih lagi kedengaran.
Aku mengintai dari celah lubang pintu untuk melihat siapa
yang datang. Selak pintu aku buka bagi membolehkan abang
masuk.
“Lamanya nak buka pintu, tidur lagi ke?”
Aku tersengih mendengarnya. Rambut aku yang
panjang aku urai dengan jari bagi mengelakkan ia berserabut
dan berserabai macam rambut puntianak. Abang berjalan ke
arah suis utama dan terus memetik suis. Suasana bilik yang
kelam tadi terus terang-benderang. Aku menyepetkan mata
apabila cahaya yang terang menyebabkan mata aku sedikit
silau.
Abang bergerak ke balkoni dan menarik langsir.
Abang meletakkan satu beg kertas yang agak besar di depanku
dan mengisyaratkan agar aku melihatnya.
Aku patuh. Isi beg aku selongkar dan aku menarik
sehelai gaun berwarna biru firus yang lengkap dengan
tudung dan sepasang kasut tumit tinggi. Aku memandang
muka abang. Muka aku masa tu memang dah timbul dengan
tanda soal. Nak buat apa dengan barang-barang ni semua?
Abang tersengih sambil membetulkan duduk. Baju
yang aku pegang dia sentuh lembut di hujungnya.
“Pakai untuk function malam nanti, dan jangan
banyak tanya. Trust me, okey sayang.” Ujar abang tanpa
sempat memberi aku peluang untuk menyampuk.
Mulut yang baru nak bertanya terus aku tutup
semula. Aku mengangguk faham. Dari tadi lagi asyik sebut
pasal function tapi tak nak bagi aku tahu tujuan majlis itu.
Nak kata hari jadi aku, jauh sekali. Apatah lagi abang. Biarlah
kalau diaorang nak berahsia dengan aku pun, kita tengoklah
apa kejutan mereka nanti.
SELEPAS SOLAT maghrib berjemaah dengan abang, dia
terus bergegas keluar dan akan datang menjemput aku dalam
setengah jam lagi. Aku melihat jam, dah pukul 8.05 minit
malam. Menurut kata abang, majlis bermula pukul 8.45
malam. Aku ada dalam setengah jam untuk bersiap.
Gaun yang sudah siap aku gantung tadi aku ambil dan
cuba pakai. Aku berdiri di depan cermin dan melihat pantulan
diri aku. Memang aku akui gaun muslimah ini memang
nampak cantik sekali dengan potongan yang mengikut
bentuk tubuh tapi tidak terlalu ketat dengan ditaburi batu
swarovski, menampakkan gaun itu cukup elegan dan mewah.
Aku mengeluarkan kit alat solek di dalam beg kecil
dan terus beroperasi melakar wajahku. Aku hanya mahu
nampak fresh dan natural untuk majlis itu nanti. Shawl aku
belit dan aku pin dengan kemas.
“Okey, done.” Aku tersenyum puas.
Aku sedang memakai kasut apabila pintu diketuk.
Aku tersenyum, pasti abang sedang menunggu. Pintu bilik
dibuka, namun bukan abang tetapi Haiqal di depanku. Dia
kelihatan terpegun melihatku. Aku juga turut terpegun
sama. Dia memang nampak cukup segak dan macho dengan
tuksedo yang tersarung di badan sasanya.
“Berapa lama awak nak tilik saya ni? Remember,
masa sedang berjalan.” Aku bersuara lembut. Jari sengaja
aku tunjukkan ke pergelangan tanganku walaupun aku tidak
memakai jam ketika itu.
Haiqal seperti menarik nafas dan dia mula tersenyum
manis. Memang menggoda senyumannya saat ini. Haiqal
memberi laluan dan mempersilakan aku. Aku tersenyum
dengan lagak gentlemannya. Terbuai aku dibuatnya dengan
bau wangian di tubuhnya. Wajahnya aku pandang curi-curi.
Kami berjalan beriringan ke sebuah dewan besar.
Beberapa orang lelaki dan wanita yang berpakaian cantik
sedang berbual sesama sendiri di luar dewan itu. Apabila
ternampak kelibat Haiqal semakin mendekati, mereka
tersenyum dan berjabat tangan. Aku hanya memerhati
kemesraan mereka.
Pintu dewan dibuka dan telingaku dapat mendengar
bunyi muzik yang cukup rancak sedang dimainkan. Aku
berjalan dengan tenang walaupun aku tahu banyak mata yang
sedang memandang ke arah kami berdua.
Abang berjalan ke arah kami. Bahu Haiqal ditepuk
perlahan. Dia tersenyum kepada abang. Aku yang masih
keliru dengan majlis ini hanya memerhati sekeliling dewan.
Mataku tertancap pada satu kain rentang yang tergantung di
atas pentas. ‘Majlis Reunion ex-student UM 2008/2009’.
Baru aku tahu tujuan mereka membawa aku ke sini.
Apalah mereka ni, macam ni pun nak berahsia dengan aku.
Ingat function apalah tadi. Aku menyertai abang dan Haiqal
yang sedang rancak berbual. Perbualan mereka aku celah
dengan penuh sopan gitu.
“Ini ke rahsia yang korang berdua nak cakapkan tu?”
Aku memandang muka mereka satu per satu.
Perbualan mereka terhenti. Abang memandang
sekilas Haiqal sebelum mula bersuara.
“Tanya Haiqal, dia yang suruh abang tutup mulut.”
Abang menuding jari kepada Haiqal sebelum dia pergi
meninggalkan aku dan Haiqal apabila temannya menggamit
abang dari hujung meja sana.
Pandangan aku kembali kepada Haiqal. Aku masih
lagi menanti jawapan yang keluar dari mulutnya. Kening aku
jongketkan tinggi.
“Sorry... saya sengaja berpakat dengan Freddy sebab
saya tahu awak pasti tak nak datang sini. Awak kan kurang
minat dengan majlis macam ni. Lagipun kalau saya ajak, saya
tak pasti awak nak terima atau tak jadi partner saya.” Jelas
Haiqal.
Aku mengangguk faham. Senyuman kembali aku
ukir buatnya.
“Kalau awak cakap awal-awal, kan senang. Tak adalah
saya tertanya-tanya. It’s okay. Kalau awak ajak, memang saya
akan datang. Nasib baik semua abang dah sediakan untuk
saya. Kalau tak, ada yang datang pakai baju pejabat malam
ni.” Aku tergelak.
“Sebenarnya, baju tu saya yang sediakan. Saya yang
bagi dekat Freddy untuk pass kat awak. Awak suka tak baju
tu?”
Aku terdiam. Tak tahu nak cakap apa. Baju yang
tersarung di tubuhku aku pandang. Perasaan malu dah
menyerbu ke muka. Macam mana dia tahu saiz aku? Aku
dapat rasakan yang abang memang tak tahu saiz baju aku.
Takkan dia main agak-agak pula?
“Saiz saya... macam....” Aku dah tergagap. Malu
sebenarnya nak tanya terang-terang depan dia.
Haiqal tersenyum dan dia mendekatkan tubuhnya
kepadaku. Aku terbuai lagi dengan haruman yang melekat di
tubuhnya. Jantung aku dah nak terlompat keluar apabila dia
berdiri begitu hampir dengan aku.
“Saya tahu apa yang sayang nak tanya. Yang tu
biarlah rahsia. Oh ya, saya lupa nak puji yang sayang nampak
cantik sangat dengan baju ni. Sayang buatkan saya tergoda
sangat malam ni.” Suara Haiqal kedengaran begitu romantik
sekali.
Aku terkelu mendengarnya. Wajahku spontan
berkalih ke arahnya. Dia tersenyum lantas menarik tangan
aku dan menyelitnya di celah lengannya yang sasa dan
kami berjalan kemeja kami. Tanpa sedar, hati aku kembali
berbunga-bunga.
No comments:
Post a Comment