“MAAF encik. Encik dah salah orang ni.
Saya bukan Amirah,” ujar Amirah setelah mendiamkan diri
beberapa ketika. Dia cuba berlagak biasa. Walaupun sukar
untuk menafikan, digagahkan jua. Wajah gelisah sebentar
tadi cuba dimaniskan dengan senyuman. Dan saat itu juga
dia dapat melihat Sofiana menarik nafas lega.
Hati Hakim yang baru sahaja mahu berbunga
kembang terus menguncup apabila wanita yang disangkakan
Amirah sebentar tadi menafikannya. Hakim hampa, namun
masih mampu tersenyum lalu meminta maaf kepada wanita
itu. Namun, dalam masa yang sama dia masih keliru. Sinar di
sebalik renungan mata itu masih mampu dikenalinya. Dari
segi penampilan, memang jauh berbeza. Wanita itu jauh
lebih cantik dan bergaya daripada Amirah.
‘Tapi bening dan suara itu... itu milik isteriku!’
bisiknya dalam hati. Apabila ditenung kembali, wajah itu
memang agak mirip dengan isteri pertamanya.
“Jomlah bang, apa yang ditunggu lagi?” rengek
Sofiana. Sifat cemburu dan dengki yang sudah lama wujud
semakin menjadi apabila dihidangkan dengan adegan itu.
Ternyata Hakim masih tidak dapat melupakan Amirah. Apa
yang terlalu istimewa tentang wanita itu, sehingga wanita
cantik yang dilanggarnya tadi disangkakan Amirah? Dalam
hati Sofiana terasa ingin ketawa. Wanita cantik itu dikatakan
Amirah? Logikkah? Ke mana agaknya akal fikiran dan
kewarasan Hakim?
Amirah dan wanita cantik itu jauh benar
perbezaannya. Bagai langit dengan bumi! Seingatnya Amirah
bukan begitu. Terlalu selekeh dan kekampungan. Langsung
tidak dapat menandingi dirinya yang dirasakan begitu cantik
dan menawan. Dan mungkin disebabkan itu, isteri pertama
suaminya itu telah awal-awal lagi mengundurkan diri.
Mungkin Amirah menyedari tiada gunanya bertahan kerana
semestinya dia bukan lawannya. Kalau tidak, mengapa Hakim
lebih rela menemaninya di rumah berbanding Amirah?
Hakim terasa berat hati hendak meninggalkan
tempat itu, namun digagahkan jua kaki melangkah apabila
tangan Sofiana mencengkam lengannya kuat. Dia seperti
yakin wanita cantik itu ialah Amirah, isteri pertama yang
telah menghilangkan diri beberapa bulan ini. Wajah itu
masih tidak dilepaskan dari pandangan matanya. Cuba
mencari kebenaran di sebalik bening mata yang redup itu.
Seakan mengerti wanita itu juga tidak lepas daripada menatap
wajahnya.
“Mira, apa yang kau tengok tu?” Satu suara yang
tiba-tiba memecah keheningan pantas membuatkan kaki
Hakim berhenti melangkah. Dia kembali menoleh. Kelihatan
wanita cantik itu sedang bercakap-cakap dengan temannya
dengan riak gelisah.
Andai tidak salah pendengarannya, dia ada
mendengar wanita yang sedang mengendong seorang bayi
kecil menyebut nama Mira. Jika tadi dia sudah berputus asa,
tapi suara itu telah mengubah segalanya. Wanita cantik itu
juga menoleh ke arahnya. Pandangan mata mereka bertemu.
Hakim dapat mengesan riak kegusaran di wajah itu.
“Eh Mira, aku cakap dengan kau ni! Nah, ambil balik
Suha ni. Nakal betul tadi. Penat aku melayan kerenah dia.”
Hakim bertambah keliru. Suha? Itu nama anak dia!
Matanya beralih pula kepada bayi kecil itu.
‘Ya, memang itu anak aku!’ Walaupun sudah
bertambah tembam, tapi dia masih mengenali wajah anaknya
itu.
Pada masa itulah Amirah terus menarik tangan
kawannya dan memaksa rakannya meninggalkan tempat itu.
Hakim kalut. Dia memang yakin itu ialah isterinya. Ringan
sahaja kakinya hendak mengejar, namun Sofiana pantas
menghalang.
“Abang nak pergi mana? Dia tu bukan Amirahlah!”
marah Sofiana tidak berpuas hati. Pada saat itu dia memang
yakin itu ialah Amirah, tapi dia perlu menghalang Hakim. Dia
tidak mahu wanita itu kembali dalam hidup mereka.
“Tidak Sofi. Abang tahu itu Amirah. Abang masih
kenal isteri abang,” balas Hakim.
Sofiana tertawa. “Abang ni dah buta agaknya kut.
Tak nampak ke perempuan tu punya cantik. Jauh berbeza
dengan Amirah. Amirah tu selekeh, tahu tak?”
Hakim memandang Sofiana tajam. Tiba-tiba dia
menjadi berang dengan kata-kata itu. Dia tidak suka cara
Sofiana mengata isteri pertamanya. Lalu dengan kasar dia
merentap tangannya yang berada dalam genggaman Sofiana.
Langkahnya diatur laju untuk mengejar Amirah yang
mungkin sudah menjauh. Dia tidak mahu kehilangan jejak
isterinya itu lagi. Tidak tahu harus dicari di mana isterinya
jika itu berlaku. Tidak dipedulikan lagi Sofiana yang melaung
memanggil namanya seperti orang gila. Apa yang ada dalam
fikirannya ialah Amirah.
DALAM PADA itu Amirah terburu-buru menarik tangan
Marissa agar membuntutinya. Tidak dipedulikan mulut comel
Marissa yang membebel memarahinya kerana berjalan terlalu
laju. Adakala bebelannya itu disulami dengan pertanyaan
demi pertanyaan. Mungkin bingung dengan kelakuan Amirah
yang seperti melarikan diri daripada sesuatu.
“Eh Mira, apasal dengan kau ni?” Marissa bertanya
lagi sebaik sahaja tangannya dilepaskan Amirah. Ketika itu
mereka sudah sampai ke tempat di mana kereta Amirah
diletakkan.
“Cepat masuk Rissa, aku tak nak terserempak dengan
mereka lagi.”
“Tapi kenapa? Siapa mereka tu?”
“Aku tak ada masa nak terangkan sekarang. Balik
nantilah aku terangkan. Sekarang cepat masuk dalam kereta!”
Marissa buntu. Namun dituruti sahaja kata-kata
temannya itu. Baru sahaja dia hendak membuka pintu kereta,
tiba-tiba dia terdengar suara lelaki melaung-laung nama
Amirah. Marissa lantas berpaling ke belakang. Dilihatnya
lelaki tadi berlari-lari menuju ke arah mereka. Dia bertambah
keliru, lalu berpaling semula ke arah Amirah mengharapkan
penjelasan. Apa yang dilihatnya, wajah itu tampak begitu
gelisah dan berpeluh.
“Rissa, cepat masuk dalam kereta!”
Amirah terburu-buru menghidupkan enjin kereta
selepas menyerahkan Nasuha kepada Marissa. Baru sahaja
dia hendak menutup pintu kereta, Hakim terlebih dahulu
menghalangnya. Amirah kaget. Manakala Marissa pula
bertambah bingung. Terfikir olehnya apakah hubungan
mereka berdua. Kenapa lelaki itu beria-ia mengajar Amirah?
Dan kenapa perlu Amirah melarikan diri sehingga sebegitu
rupa? Mungkinkah lelaki itu suami Amirah? Kalau benarlah
tekaannya, tidak hairanlah mengapa lelaki itu menjadi
rebutan dua wanita. Dia sememangnya kacak!
“Mira, we need to talk.”
“Tak ada apa-apa yang nak dicakapkan lagi.”
“Masih banyak perkara yang perlu kita bincangkan.
Tolonglah beri abang peluang.”
“I’m sorry, Mira sibuk!”
“Mira, jangan macam ni. Kita perlu berbincang,”
pujuk Hakim. Sekali lagi ditahan pintu kereta yang mahu
ditutup Amirah.
“Mira, please....”
“Mira, sorry kalau aku masuk campur hal korang
suami isteri. Tapi aku rasa korang perlu berbincang.
Dengar apa yang suami kau nak katakan. Tak elok biar
masalah korang berdua berlarutan macam ni.” Akhirnya
Marissa bersuara. Kasihan juga dia melihat suami Amirah
yang bersungguh-sungguh memujuk. Dahsyat juga rajuk
temannya itu.
Amirah melepaskan keluhan berat. Terasa berat
kakinya hendak melangkah keluar dari kereta itu. Entah
mengapa, dirasakan dirinya tidak kuat untuk berhadapan
dengan suaminya itu. Bimbang rindu dan cinta yang masih
mendalam akan melemahkannya. Tapi dia juga tidak mahu
terus bertegang urat di hadapan Marissa. Oleh itu, setelah
beberapa lama, Amirah menggagahkan juga diri keluar dari
kereta itu.
Hakim menarik nafas lega. Dalam hati cukup
berterima kasih atas nasihat teman Amirah itu. Mereka
mengambil tempat sedikit jauh dari kereta.
“Perkara apa yang abang nak bincangkan dengan
Mira?” Amirah bersuara. Dia memeluk tubuh untuk
meredakan debaran di dada saat bertentang mata dengan
suaminya itu.
Saat itu mata Hakim meliar ke sekitar tubuh
isterinya. Dipandang dari atas ke bawah. Dia seperti tidak
percaya wajah yang sentiasa dirindui selama ini telah berada
di depan matanya. Sedangkan selama ini sudah jenuh dia
mencari isterinya itu. Ramai penyiasat persendirian yang
dikerah untuk menjejaki Amirah. Tidak cukup dengan itu, dia
sendiri keluar mencari. Teman-teman rapat isterinya sudah
dihubungi tapi semuanya memberikan jawapan negatif.
Papa dan mamanya juga kecewa dengan kehilangan
Amirah. Ah, lebih tepat lagi kecewa dengan sikapnya
yang mengabaikan isteri pertamanya itu. Lebih kecewa
apabila berita perkahwinannya dengan Sofiana sampai ke
pengetahuan mereka. Sampai sekarang papa dan mamanya
langsung tidak mengiktiraf status Sofiana sebagai menantu
mereka. Pada papa dan mama, menantu mereka hanyalah
Amirah seorang.
Kini baru Hakim tahu mengapa jejak isterinya sukar
benar dikesan. Amirah sudah berubah. Perubahan yang
tidak pernah disangkakan olehnya selama ini. Isterinya itu
benar-benar cantik. Malah dengan penampilan kasual begitu,
Amirah tampak seperti gadis perawan dan bukannya seorang
ibu sehingga membuatkan hati lelakinya tidak jemu menatap
wajah putih bersih itu.
“Abang, please... tadi abang kata ada perkara yang
abang nak bincangkan dengan Mira. Apa dia? Jangan buang
masa Mira. Banyak lagi kerja dekat rumah tu,” tempelak
Amirah. Dia sebenarnya rimas dengan renungan suaminya
itu. Dia tahu Hakim agak terkejut dengan penampilan
barunya. Namun dia akui, dia begitu merindui suaminya itu.
Seakan mahu dipeluk Hakim bagi melepaskan
rindu yang terbuku dalam dada. Dia mahu Hakim membelai
rambutnya seperti dahulu. Tetapi semua itu hanya
dipendamkan apabila perasaan marahnya muncul kembali.
Amirah tidak mahu dikatakan lemah. Dia mahu Hakim tahu
perubahannya ini bukan pada penampilannya saja, malah
sikapnya juga. Dia bukan lagi wanita lemah lembut yang
boleh diperbodohkan begitu sahaja.
“Abang rindukan Mira,” luah Hakim penuh perasaan.
Dia cuba menarik tubuh Amirah ke dalam pelukannya,
tetapi tidak berjaya apabila isterinya itu pantas berundur
ke belakang. Dia hampa, namun senyuman manis tetap
dihadiahkan untuk isterinya itu.
No comments:
Post a Comment