Sepanjang hari, Suzylah yang menjaganya. Dahi Aina Cempaka diusapnya lembut dengan tuala basah. Menyuap perlahan mulut Aina Cempaka dengan bubur nasi.
“Terima kasih sebab jaga aku.” Aina Cempaka tersenyum lemah. Wajah Suzy ditatapnya lembut.
“Tak ada apa-apalah. Aku tolong sikit aje ni. Kita ni kan kawan baik, mestilah aku jaga kau.” Suzy mencuit pipi Aina Cempaka.
“Ya. Aku tahu. Kau kawan dunia akhirat aku.”
“Tahu pun. Lain kali kalau ada masalah, cerita kat aku. Taklah jadi macam ni. Ni tak...”
“Okey. Apa-apa hal nanti aku beritahu kat kau dulu, boleh?” potong Aina Cempaka. Tersenyum. Tidak sanggup lagi hendak dengar bebelan Suzy.
Loceng rumah tiba-tiba berbunyi. Menandakan ada tetamu.
“Tak apa. Biar aku tengok. Kau tunggu aje kat dalam bilik ni, okey.” Saran Suzy. Dia segera keluar dari bilik tidur Aina Cempaka.
Beberapa minit kemudian, Suzy muncul dengan senyuman.
“Ada orang datang.”
“Siapa? Mohsin?”
“Bukan Mohsinlah!”
“Dah tu?”
“Entah, tak kenal. Tapi handsome.” Suzy tersengih-sengih.
“Apa kau tunggu lagi, cepatlah turun bawah.” Suzy menarik lengan Aina Cempaka.
Sebaik sahaja sampai di muka pintu, wajah Faiz Iqbal terpacul.
“Assalamualaikum.”
“Wa... waalaikumussalam... Encik Iqbal...” tergagap-gagap suara Aina Cempaka.
“Tak nak jemput masuk ke?”
“Errr... tak apa. Kita borak kat luar aje.” Aina Cempaka menyarung sandalnya di luar muka pintu. Berjalan perlahan menghampiri sebuah meja rehat di halaman rumah. Dia memang tidak akan membenarkan mana-mana lelaki memasuki rumah mereka. Sedangkan Mohsin pun diharamkan kaki, inikan pula Faiz Iqbal.
“Encik Iqbal duduklah. Maaf, saya tak boleh bagi masuk. Rumah orang perempuan, takut apa kata orang nanti.”
“Tak apa. Aku tak kisah. Mmmm... kau macam mana? Dah sihat?” soal Faiz Iqbal.
“Alhamdulillah. Bertambah sihat.”
“Bila nak masuk kerja?”
“Kerja?” Tiba-tiba Aina Cempaka teringatkan kata-kata Mohsin semasa membawanya ke balai polis tempoh hari. Bersungguh-sungguh betul lelaki itu suruh Aina Cempaka letak jawatan. Tidak mahu Aina Cempaka berhubungan dengan Faiz Iqbal lagi. Takut bahaya yang lebih besar jika terus rapat dengan majikannya itu.
“Yalah kerja. Kenapa?” Faiz Iqbal membuat muka pelik.
“Errr... insya-Allah esok saya datang.”
“Pasal cuti, kau jangan risau... aku dah approved.” Ucap Faiz Iqbal selamba. Matanya dihalakan ke arah skuter milik Aina Cempaka.
“Aku datang sini sebenarnya nak minta maaf... sebab biarkan kau tunggu lama malam tu. Kalau tak... semua benda ni takkan jadi,” sambung Faiz Iqbal lagi, agak perlahan.
“Encik Iqbal tak salah. Sepatutnya, saya yang ucap terima kasih sebab selamatkan saya malam tu. Kalau tak, saya tak tahulah apa yang akan jadi.”
“Tak apa. Kalau orang lain yang kena malam tu pun aku akan cuba selamatkan.”
“Mmmm... kalau boleh, saya nak tahu... macam mana Encik Iqbal boleh jumpa saya?”
Faiz Iqbal diam sekejap. Berfikir-fikir. Tidak tahu macam mana hendak mula. Tidak mungkin dia akan beritahu perkara sebenar. Jangan harap!
“Kebetulan… kebetulan ada orang nampak van yang angkut kau. So, aku terus follow. Kenapa?”
“Tak ada apa-apa. Saja tanya. Errr... Encik Iqbal tak masuk kerja ke hari ni?”
“Half day.”
Aina Cempaka mengangguk. Mengiakan. Memang itu rutin harian Faiz Iqbal. Tambah-tambah selepas cuti hujung minggu. Makin kerap dia masuk ke pejabat lewat.
Mereka diam sejenak. Suzy datang sambil membawa sedulang minuman sejuk.
“Jemputlah minum,” kata Suzy. Tersengih-sengih sebelum dia melesapkan diri ke bahagian dapur.
“Itu housemate saya,” ucap Aina Cempaka.
“Ya ke? Dia tak kerja hari ni?”
“Cuti. Nasib baik dia ada. Tolong jaga saya. Mmmm... tok wan sihat?”
“Sihat, macam hari tu. Sejak kau datang, dia asyik tersengih aje memanjang. Selalu cakap pasal kau.”
“Pasal saya?”
“Mmmm...” Faiz Iqbal tersenyum.
Pertama kali Aina Cempaka melihat senyuman manis lelaki itu. Barisan giginya yang putih berseri itu jelas kelihatan bersama garis mata yang mengecil. Hati wanitanya tiba-tiba bergetar.
“Cakap apa?”
“Yalah... dia kata kau baik. Cantik, sopan. Berkenan buat menantu,” suara Faiz Iqbal tergantung.
“Tapi, bagi akulah kan... buat orang gaji bolehlah.” Faiz Iqbal ketawa.
“Orang gaji? Melampau dah tu!” giliran Aina Cempaka pula yang ketawa.
“Kau tahu tak?” Faiz Iqbal menatap wajah Aina Cempaka dalam.
Aina Cempaka sudah tidak keruan. Terdiam. Jantungnya semakin kuat bergetar. Renungan Faiz Iqbal tidak boleh dielak lagi.
“Tak ada apa-apa.” Faiz Iqbal tersengih suka.
“Ingatkan apa tadi. Buat suspens aje.” Aina Cempaka senyum simpul.
“Okeylah. Aku balik dulu. Jumpa kat ofis esok.” Faiz Iqbal mengangkat punggung. Meninggalkan halaman rumah.
“Encik Iqbal, terima kasih sekali lagi!” jerit Aina Cempaka dari jauh.
Faiz Iqbal hanya mengangkat tangan tanpa berpaling. Menaiki keretanya dan meluncur laju pergi.
Aina Cempaka masih berdiri. Memandang sambil tersenyum panjang.
“Amboi, jauh tersengih!” Suzy datang menghampiri. Memeluk bahu Aina Cempaka.
“Mana ada!”
“Eleh! Aku belum buta lagilah. Sukalah tu!”
“Ya, Allah! Tak adalah. Sudah! Jom kita masuk,” bantah Aina Cempaka.
“Malu-malu konon...” rungut Suzy perlahan. Mengekori punggung Aina Cempaka masuk ke dalam rumah.
SATU per satu fail diselak Aina Cempaka. Semuanya kerja yang tertangguh selama tiga hari. Penat betul rasanya menghadap tugasan yang sama. Aina Cempaka menggeliat. Membetulkan urat sarafnya yang bengkok. Hari pertama selepas lama bercuti memang memenatkan. Aina Cempaka perlu tabah kalau tidak mahu dibebel oleh Faiz Iqbal nanti.
“Aina! I miss you so much dear.” Burn datang mengedik.
“Burn... saya ada kerja ni,” jawab Aina Cempaka lembut. Malas bergosip pada waktu ini.
“Ala... baru aje I nak deliver gosip. You dah merungut. Tak chilllah macam ni.” Burn menarik wajah masam.
“Gosip apanya? Tak habis-habis. Ni mesti pasal Encik Iqbal lagi, kan?” Mata Aina Cempaka masih lagi menghadap skrin komputer.
“Bukan. More than that...” pancing Burn. Membengkokkan jari-jemarinya.
“Yalah, yalah. Apa?” Wajah Burn ditatap Aina Cempaka.
“You nak tahu tak pasal tender untuk projek shopping complex kat Ampang hari tu? Ala... projek dengan Datuk Mazlan tu...”
“Kenapa?” Aina Cempaka mula tertarik.
“Cancel!” jerit Burn.
“Cancel? Macam mana boleh jadi macam tu? Encik Iqbal tak beritahu saya pun.”
“Itulah pasal. Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba batal. Dengar cerita... Encik Iqbal ada konflik dengan Datuk Mazlan. Sebab itu Datuk Mazlan tarik semula tender. Bagi balik tender tu kat Kenyalang Properties. Habislah! Ibunda Corporation sekarang ni dah rugi juta-juta, tahu tak? Silap-silap hari bulan, mahu bankrap syarikat kita ni nanti.”
“Pandai-pandai aje Burn ni. Betul ke? Tak mungkinlah!” Aina Cempaka tidak mahu percaya. Baru tiga hari dia meninggalkan pejabat. Tiba-tiba dimomokkan dengan cerita begini.
“Ya, Allah... betullah! You pernah jumpa Datuk Mazlan?”
Aina Cempaka pantas menggelengkan kepalanya.
“Itulah you tak tahu… orang tua tu lain macam sikit perangainya. Kalau silap sikit, mesti ada benda jahat yang dia buat. Dengar cerita lagi... pelabur-pelabur kita semua tarik diri. Tak mahu melabur lagi dalam saham Ibunda Corporation. Kebanyakan tender, semua melepas ke tangan kontraktor lain. Aku risaulah! Kenapalah Encik Iqbal nak berurusan dengan orang macam tu? Lepas ni terpaksalah kita cari tempat kerja lain.”
“Mana kamu dengar semua cerita ni?” tengking Faiz Iqbal. Hampir tercabut jantung mereka berdua disergah begitu dari belakang.
Burn mengurut dada.
“Eh, Encik Iqbal. Sa... saya...” Burn mati akal.
Aina Cempaka juga terpinga-pinga.
“Jangan risau. Ibunda Corporation takkan tumbang. Kita takkan muflis. Jangan fikir nak cari kerja lain,” balas Faiz Iqbal agak lembut. Langkahnya diatur ke arah biliknya.
Aina Cempaka dan Burn menarik nafas lega.
“Nasib baik...” ucap Burn.
“Itulah... lain kali, cakap pandang-pandang,” tambah Aina Cempaka.
“Manalah I tahu dia nak muncul kat belakang I. You ni... nasib baik mood dia steady.”
“Saya pun risau jugak bila dengar cerita awak ni Burn. Apa-apa pun kita kena tenang, jangan cepat menggelabah,” nasihat Aina Cempaka.
Interkom di atas meja berdering.
“Itu dia... dah panggil you.” Burn tersengih.
Pantas Aina Cempaka menekan butang menjawab.
“Ya, Encik Iqbal.”
“Aina, masuk sekejap.”
“Baik Encik Iqbal.” Aina Cempaka memutuskan talian. Segera menuju ke bilik Faiz Iqbal. Sebaik sahaja mengetuk pintu dan diberikan kebenaran, Aina Cempaka melangkah masuk.
“Ada apa Encik Iqbal?” soal Aina Cempaka.
“Kau pernah kerja dengan Kenyalang Properties sebelum ni, kan?”
“Ya. Kenapa?”
“Kau tahu tak cara mereka kerja. Maksud aku... maklumat peribadi atau macam mana mereka handle tender dan projek-projek pembinaan?”
“Saya tak pasti. Sebab maklumat mereka sangat sulit. Walaupun saya pernah jadi secretary kat situ, saya tak didedahkan dengan maklumat syarikat. Hanya orang atasan aje yang boleh buat macam tu. Maaf Encik Iqbal.”
Faiz Iqbal menghela nafas panjang. Agak kecewa dengan jawapan Aina Cempaka. Harapan pertama kali mengambil gadis itu bekerja hancur sama sekali. Ternyata sukar menumpaskan Kenyalang Properties.
“Betul ke kau memang tak tahu apa-apa?” soal Faiz Iqbal lagi.
Aina Cempaka mengangguk tanda benar.
“Betul ke apa yang Burn beritahu tadi Encik Iqbal?” Aina Cempaka pula menyoal.
Faiz Iqbal termenung sekejap.
“Kau jangan risau. Semuanya okey. Jangan fikir benda yang bukan-bukan. Kita takkan jatuh.”
“Tapi...”
“Dah. Buatkan aku kopi,” bidas Faiz Iqbal.
Aina Cempaka berjalan keluar. Menurut arahan seperti yang disuruh Faiz Iqbal.
Di luar bilik Faiz Iqbal, Aina Cempaka terserempak dengan Datin Mariam. Wanita itu tersenyum mesra memandang Aina Cempaka. Tubuh Aina Cempaka dipeluknya rapat. Mencium kedua-dua belah pipi. Macam sudah lama tidak jumpa.
“Aina dah sihat? Iqbal kata Aina demam. Risau pulak mak ngah bila dengar.”
“Alhamdulillah, saya sihat Datin.”
“Berapa kali nak cakap ni? Panggil saya mak ngah, bukannya Datin. Aina, Aina...” ucap Datin Mariam.
“Tapi, kita kat ofis sekarang ni.”
“Tak kisahlah kat ofis ke... kat mana-mana pun. Aina mesti panggil mak ngah ni, mak ngah. Ada faham?”
“Apa pulak kata orang nanti, saya seganlah.”
“Nak segan buat apa? Aina macam anak mak ngah dah. Tak payahlah nak rasa macam tu lagi.”
“Yalah...” balas Aina Cempaka.
“Cuba panggil mak ngah.”
“Mak ngah.”
“Kan manis...” Pipi Aina Cempaka dicuit oleh Datin Mariam.
“Mak ngah nak jumpa Iqbal kejap. Aina sambunglah kerja.” Tambah Datin Mariam.
Aina Cempaka patuh. Segera ke pantri, menyediakan minuman buat mereka.
Datin Mariam melangkah masuk ke dalam bilik pejabat Faiz Iqbal.
“Mak ngah! Ada apa datang ni?”
“Iqbal jangan nak berlakon lagi. Mak ngah dah tahu semuanya.” Datin Mariam duduk di hadapan meja Faiz Iqbal.
“Berlakon apanya, mak ngah?”
“Iqbal tak boleh buat macam ni tau. Sepatutnya, Iqbal kena beritahu mak ngah. Jangan sampai syarikat kita dah bankrap, baru Iqbal nak terpinga-pinga. Kita ada strategi, kita boleh fikirkan sama-sama.”
“Iqbal tak sorokkan apa-apa, mak ngah. Iqbal boleh handle semua ni. Mak ngah jangan risau, boleh tak?”
“Jangan risau? Siapa yang tak risau... nasib baik tok wan tak tahu lagi benda ni. Kalau dia tahu, macam mana? Mahu sakit jantung orang tua tu nanti!”
“Iqbal tahu mak ngah. Sebab itulah Iqbal diamkan.”
“Sekarang ni, apa plan Iqbal?” suara Datin Mariam mula lembut.
“Iqbal ada fikirkan beberapa strategi. Kalau tak ada apa-apa halangan, kita akan berjaya. Lagipun, kita mesti langsaikan hutang dengan bank dulu.”
“Okey. Kalau itu yang Iqbal fikir, mak ngah setuju. Tapi, kita dah tak ada modal nak bayar.”
“Mak ngah... tolong jangan tanya lagi apa-apa. Biar Iqbal yang uruskan semua, okey?” Faiz Iqbal meyakinkan Datin Mariam.
Datin Mariam mula tenang. Lega dengan pendirian Faiz Iqbal.
Pintu diketuk perlahan. Aina Cempaka melangkah masuk. Meletakkan dua cawan kopi di atas meja.
“Terima kasih,” ucap Datin Mariam.
Aina Cempaka menjawab dengan senyuman. Keluar meninggalkan mereka berdua setelah selesai tugasnya.
“Iqbal suka Aina ke?” tegur Datin Mariam yang melihat mata Faiz Iqbal tidak lekang memandang Aina Cempaka sehingga dia melangkah keluar dari bilik itu.
“Taklah.” Faiz Iqbal mengelak. Baru perasan yang Datin Mariam memerhati gerak-gerinya.
“Kalau suka, cepat cakap. Nanti melepas...”
“Tak adalah mak ngah.” Nafi Faiz Iqbal.
Datin Mariam tersenyum penuh makna. Semua itu tidak boleh diselindungkan daripadanya. Dia lebih memahami Faiz Iqbal. Tahu setiap inci hitam putih Faiz Iqbal. Benar! Pandangan mata itu ialah pandangan cinta.
No comments:
Post a Comment