DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 13 January 2016

MAAF, SAYA TAK SENGAJA - BAB 23

Aina Cempaka ke rumah Pak Malik. Niat dalam hati mahu bertemu Helmi. Ingin mengucapkan tahniah kepada sepupunya itu. Setidak-tidaknya dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggungnya semalam. Menangis semalaman di dalam bilik ternyata tidak membantu apa-apa. Lebih baik keluar sekejap mencari ketenangan. Itu mampu mengubat hati yang lara.
“Assalamualaikum.” Aina Cempaka memberi salam beberapa kali. Namun, tidak berjawab. Kepalanya turun naik mengintai di celah-celah tingkap. Tiada bayang yang terkesan. Kereta Mohsin pun tidak nampak. Mungkin sekarang mereka berada di maahad tahfiz. Kali ini, terpaksalah Aina Cempaka berjalan kaki. Melalui jalan kecil kawasan sawah padi selama 15 minit untuk ke sekolah tersebut.
Panas mentari yang memancar di samping rasa penat yang teramat sangat membuatkan Aina Cempaka berpeluh-peluh. Lalu dia berehat sebentar di bawah pohon yang rendang. Sebuah motor kapcai berhenti di hadapannya. Lelaki kurus berserban putih itu tersenyum kepadanya, menampakkan lesung pipit yang manis.
“Dari mana ni Kak Cempaka?” soal Helmi.
“Cari Helmilah. Mana Abang Sin dengan Pak Malik?”
“Diaorang dah pergi ke pekan. Cari barang sikit. Kak Cempaka jalan kaki sorang-sorang tengah hari buta macam ni tak eloklah. Nanti demam, siapa susah? Saya jugak, kan?” usik Helmi.
“Akak dah sihat. Semalam makan ubat, terus sihat. Maaflah, tak dapat datang masa pelancaran tu.”
“Tak apa. Saya faham. Mmmm... memandangkan akak dah sihat, jom tolong saya kat maahad kejap.”
“Tolong apa? Cakap aje.” Aina Cempaka tersenyum.
“Mengemas.” Helmi tersenyum.
Aina Cempaka ketawa.
“Setakat mengemas tu apalah sangat. Hujung jari akak aje kut.” Aina Cempaka memetik jarinya.
“Kalau macam tu, jomlah.”



Beberapa minit menyusuri kawasan kampung, akhirnya mereka tiba di hadapan sebuah sekolah tahfiz. Sebuah bangunan bercat putih itu mampu menempatkan lebih kurang seratus orang pelajar dengan kemudahan penginapan asrama yang agak lengkap. Kebanyakan mereka berusia antara enam hingga 18 tahun.
Lebih menarik lagi, sekolah ini mempunyai sebuah dewan pengajian yang nampak ringkas dan lapang. Kelihatan beberapa anak tahfiz sedang mengemas di dalam dewan utama. Membentangkan karpet dan menyusun kelengkapan pengajian.
Helmi membuka lipatan serbannya. Kain putih itu diletakkan di atas kepala Aina Cempaka. Aina Cempaka terkaku. Tidak percaya apa yang dipakainya sekarang.
“Aaa... apa ni?” soal Aina Cempaka.
“Jilbab,” jawab Helmi lembut.
“Perli akak ke?”
“Tak... Demi Allah! Helmi tak ada maksud macam tu. Sekarang ni kan kita berada kat sekolah. Tuntut ilmu Allah... tak salah kan kalau kita cuba?” Helmi tersenyum lagi.
Aina Cempaka turut senyum. Setuju dengan apa yang diperkatakan oleh Helmi. Jika ini yang terbaik, mengapa harus dia menolaknya? Mencuba sesuatu yang baik, mungkin ada bagusnya.
Helmi membawa Aina Cempaka masuk. Melawat kawasan sekolah dan memperkenalkannya dengan beberapa pembantu wanita yang menguruskan bahagian kantin. Dia diminta membantu di situ. Nasib baik tugas yang diberikan kepadanya mudah saja. Dia diajar untuk memotong dan mencuci sayur-sayuran. Jadi, tidak perlulah dia fikir hendak masak macam mana.
“Bukan ke Helmi suruh akak mengemas tadi?” soal Aina Cempaka sambil mencuci sayur sawi di singki.
Helmi yang sedang memotong timun di meja sebelah hanya tersengih.
“Sebenarnya kerja mengemas semuanya dah beres. Cuma tunggu nak makan aje. Itulah sebab Helmi minta tolong akak.”
“Pandainya dia. Tapi tak apa, akak suka buat kerja-kerja macam ni. Boleh tambahkan sikit skill memasak.” Aina Cempaka ketawa, menyambung tugasnya semula.
Sebelum masuk waktu zohor, mereka dihidangkan makan tengah hari di kantin bersama pelajar tahfiz. Kemudian, solat berjemaah bersama-sama di dewan utama dan diimamkan oleh Helmi sendiri. Seharian berada di sekolah ini membuatkan Aina Cempaka berasa gembira. Dia dapat melihat bagaimana anak-anak di sini mengaji dan menghafaz Al-Quran.
Aina Cempaka mengambil tempat duduk di kawasan rehat berhampiran kantin. Kain putih yang menutupi kepalanya disentuh lembut. Terasa selesa pula dengan pakaian ini. Lebih tertutup, membuatkan jiwanya lebih tenteram. Lebih selamat dan rasa sayang untuk ditanggalkan. Dia tersenyum sendiri.
Beberapa minit kemudian, Helmi datang menghampiri.
“Buat apa kat sini, kak?” soal Helmi.
“Ambil angin. Rasa selesa pulak duduk kat sini. Udaranya segar.”
“Kita akan rasa selesa, bila kita rasa selesa... dan kita takkan rasa selesa kalau kita tak rasa selesa. Macam itulah hati. Hati kita tak boleh menipu, kak.” Ucap Helmi.
“Dalam maknanya tu. Jadi, bila kita rasa selesa dengan seseorang tu... kita patut rasa selesalah, kan?” belit Aina Cempaka.
Helmi tergelak.
“Dengan siapa pulak ni kak?” soalnya.
“Entah. Susah kita nak jumpa dengan orang yang buat kita rasa selesa.” Aina Cempaka tertunduk. Bercampur baur permainan mindanya.
“Semalam saya ada sembang sikit dengan Abang Sin,” kata Helmi.
Aina Cempaka pantas mendongak. Tidak sanggup rasanya dia mendengar. Mungkin Helmi mahu bercakap mengenai perkara itu. Ya Allah... mana hendak diletakkan maruah ini?
“Saya tahu, Abang Sin dah beritahu semuanya. Saya harap akak tabah,” sambung Helmi.
Aina Cempaka mengalihkan pandangannya. Air matanya menitis perlahan. Cuba disembunyikan dan senyap-senyap dikesatnya.
“Akak malu... malu kat Helmi, Pak Malik, orang-orang kampung. Semuanya…” Aina Cempaka tidak mampu bertahan lagi. Hatinya bagai dicucuk-cucuk. Imannya terlalu goyah untuk menerima kenyataan sebenar.
“Benda lepas kak... semua tu bukan kehendak kita. Lagipun, Helmi yakin... orang kampung semuanya dah lupa pasal tu. Along pun dah dapat hukuman dia. Lima tahun duduk dalam penjara bukannya mudah.”
“Bukan mudah jugak untuk akak maafkan dia,” potong Aina Cempaka. Hatinya kini keras. Lebih keras daripada batu. Sukar untuk menerima lelaki yang mengaku abang kandung, tetapi sanggup menjual adiknya sendiri. Dasar binatang!
“Along dah banyak berubah. Dia bukan macam dulu lagi. Dia teringin sangat nak jumpa Kak Cempaka, tapi dia... dia tak boleh.”
“Tak boleh? Dahlah Helmi... janganlah cakap lagi pasal ni. Hati ni sakit tau, sakit!” jerit Aina Cempaka.
Helmi masih tenang. Emosi Aina Cempaka tidak boleh diganggu. Biar wanita ini berfikir secara waras. Helmi terpaksa mendiamkan diri. Itu lebih afdal.
“Kat sini rupanya. Penat aku cari,” sapa Mohsin. Pak Malik menyusul bersama. Pantas Aina Cempaka bangun, cuba menyembunyikan emosinya yang mula bercelaru.
“Pak Malik dengan Sin beli apa tadi kat pekan?” soal Aina Cempaka. Beraksi ceria.
“Tadi Pak Malik singgah jumpa pembekal. Senang... nanti diaorang boleh terus hantar barang basah ke maahad kita ni. Tak payahlah susah-susah nak beli barang nanti,” jelas Pak Malik.
Aina Cempaka mengangguk.
“Kalau tak ada-apa lagi, saya dengan Aina beransur dululah,” ucap Mohsin. Hari sudah lewat petang. Sudah jadi kewajipan Mohsin untuk menjaga Aina Cempaka.
Mereka berdua meninggalkan kawasan maahad dengan menaiki kereta Mohsin. Sepanjang perjalanan, Aina Cempaka tidak berkata apa-apa. Melayan hati sendiri. Begitu juga Mohsin. Tidak tahu hendak mula macam mana. Masing-masing kekok.
“Terima kasih, Sin,” ucap Aina Cempaka sebaik sahaja kereta yang dipandu Mohsin berhenti di halaman rumah.
“Sama-sama. Pasal semalam tu... aku nak minta maaf. Aku tak bermaksud nak cakap macam tu. Mungkin aku terlebih emo sangat.” Mohsin mengatur kata. Bimbang Aina Cempaka terasa hati dengan bicaranya semalam.
“Tak apa, aku faham. Terima kasih sebab kata-kata kau semalam.”
“Sebab?” soal Mohsin, memandang muka Aina Cempaka.
“Sebab... buat aku rasa selesa.”
“Ironinya! Mmmm... maksud kau?” Mohsin ketawa.
“Sudi terima aku walaupun... aku ni macam ni.”
“Aina... aku ikhlas. Walaupun, kau reject pinangan aku kali kedua, kali keseratus pun aku tetap tunggu.”
“Bila masa aku cakap aku tolak?” pintas Aina Cempaka.
“Errr… maksudnya?” Mata Mohsin membulat. Buat muka terkejut. Tidak percaya apa yang didengarinya.
“Datanglah rumah. Itu pun kalau kau ada wakil.” Aina Cempaka tersenyum simpul. Membuka pintu kereta dan terus meninggalkan Mohsin yang masih terkebil-kebil seperti orang mamai. Biarlah Mohsin berfikir sendiri apa maksudnya.



SELESAI memberi salam, Aina Cempaka menadah tangan. Lewat malam ini terasa terlalu dingin. Air matanya tidak henti-henti menitis. Berdoa kepada Yang Maha Kuasa. Sekiranya benar Mohsin pilihan yang terbaik, dia reda meskipun hatinya milik Faiz Iqbal. Hanya lelaki itu benar-benar ikhlas mendambakan cintanya. Dia tahu lelaki itu pasti kecewa apabila mendapat tahu mengenai hal ini. Malu! Dia malu! Tidak mungkin Faiz Iqbal sudi menerima dia seadanya.
Hatinya berkecamuk. Meluahkan segala rasa yang bernanah dalam hati. Dia Tuhan Yang Maha Penyayang. Tidak pernah tidur mendengar doa hamba-Nya. Hanya kepada Allah dia berserah.
Ya! Mungkin Mohsinlah orangnya. Lelaki yang benar-benar ikhlas ingin hidup bersamanya. Agak mustahil untuk bertemu lelaki seperti itu. Mengapalah dia tidak sedar dari dulu lagi?
Jika dulu dia menerima Mohsin, pasti cintanya buat Faiz Iqbal tidak setebal ini. Bayangan Faiz Iqbal mesti dilupakan. Mesti dipadamkan daripada kenangan. Biarpun terlalu sukar, dia mesti berusaha. Menerima Mohsin dengan setulus hati. Itu doanya kepada Tuhan.
Aina Cempaka meraup wajahnya dengan kedua-dua belah tapak tangan. Air mata jernih membasahi kain telekung. Lipatan telekung dibuka dan sejadah dikemas. Tidak sampai beberapa saat, telefon bimbit di atas katil berdering.
“Assalamualaikum, ada apa Sin?” Serak suara Aina Cempaka.
“Waalaikumussalam. Entahlah... aku tak boleh tidur.” Mohsin cuba gelak.
Aina Cempaka diam. Menantikan kata-kata Mohsin seterusnya.
“Pa... pasal petang tadi... kau serius ke?” soal Mohsin perlahan.
Aina Cempaka menarik nafas dalam.
“Ya. Aku serius.”
“Biar betul kau ni? Aku macam tak percaya ni. Hei, betul ke?” suara Mohsin kedengaran teruja.
“Ya. Saya serius terima awak, Encik Mohsin.” Aina Cempaka tersenyum.
“Yabedabedu!!!” Mohsin menjerit.
Aina Cempaka ketawa. Lucu dengan reaksi Mohsin.
“So... kau kena sambung cuti lagilah,” sambung Mohsin.
“Cuti? Kenapa pulak?”
“Mmmm... aku nak hantar rombongan esok.”
“Rombongan?” Aina Cempaka ketawa lagi. Gurauan apalah pula kali ini.
“Jangan main-mainlah. Kau ada wakil ke?” soal Aina Cempaka. Baru terfikir, Mohsin anak yatim piatu sejak kecil. Siapa pula yang hendak dihantarnya sebagai wakil?
“Aku betul-betul ni. Bukan main-main. Mmmm… wakil? Adalah...” Giliran Mohsin pula ketawa.
“Okey... tak nak beritahu tak apa.”
“Nanti esok tahulah.”
“Tak cepat sangat ke kita ni?” Tiba-tiba Aina Cempaka menyoal. Rasa waswas pun ada.
“Taklah. Bagi aku, kita dah lambat. Lama kut aku tunggu. Tak sanggup nak tunggu lagi. Ini peluang kita untuk bahagia, Aina. Bila kau dah buat keputusan, aku takkan sia-siakan. Aku sayangkan kau, Aina.”
“Maaf Sin. Selama ni aku tak pernah hargai perasaan kau.”
“Itu semua tak penting. Cukup, bila kau dah sedar sekarang. Itu pun dah buat aku rasa bahagia.”
Aina Cempaka tersenyum. Terharu dengan kata-kata Mohsin.
“Okeylah. Sleep well. Nanti kita jumpa. Assalamualaikum.” Mohsin ketawa sebelum memutuskan taliannya. Gembira betul dia. Macam baru lepas menang loteri.
Aina Cempaka menjawab salam. Agak lemah. Telefon bimbit diletakkannya semula ke atas katil. Betul ke keputusannya ini? Jika ini tindakan yang terbaik, mengapa dia perlu menolak? Lagipun dia sudah lama mengenali Mohsin berbanding Faiz Iqbal. Dia lali dengan baik budi Mohsin. Dia yakin Mohsin mampu memahami dan menerima dia seadanya. Insya-Allah, jika benar Mohsin jodohnya, lelaki itu tetap akan menjadi imamnya. Dunia dan akhirat. Itu impiannya.
Aina Cempaka melepaskan keluhan lega. Mencapai telefonnya semula. Mencari nama Faiz Iqbal. Menaip mesej. Memohon cuti ditambahkan dua hari lagi. Harap Faiz Iqbal faham dengan situasinya yang sekarang.

No comments:

Post a Comment