DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 13 January 2016

TERBIAS BENCI TERSIRAT RINDU - BAB 20

BAB 20


TENGKU ANIS meraung-raung di biliknya. Habis semua barang yang berada di dalam bilik itu dibaling ke lantai dan ke dinding. Biliknya sudah macam dilanda ribut taufan. Dah tak macam rupa bilik dah!
“Arrghhhh!!! Aku benci kau, perempuan!!”
Tengku Anis meraung lagi. Kali ini bantal yang berada di atas katil pula melayang ke lantai. Jatuh tepat di muka di pintu biliknya yang sudah dikuak dari luar.
“Kenapa ni sayang?” Tengku Fauziah terkejut apabila tiba-tiba saja sebiji bantal sudah melayang di hujung kakinya. Laju saja tubuhnya menunduk, memungut semula bantal itu. Seketika dia tergamam melihat keadaan bilik Tengku Anis.
Lambat-lambat langkah diatur ke arah Tengku Anis yang sudah duduk di katil, sambil memeluk kedua belah lututnya. Rambut perangnya yang panjang mencecah pinggang itu nampak kusut dan berserabai.
Bantal tadi, Tengku Fauziah letak semula ke atas tilam. Perlahan punggungnya dilabuhkan di tepi Tengku Anis. Bimbang juga cucunya itu akan mengamuk lagi. Bukan dia tidak tahu perangai Tengku Anis yang baran itu. Memang pantang kalau kemahuannya tidak diturutkan.
“Anis benci, nenda! Anis benciiii! Tok mi, kenapa nenda sanggup buat Anis macam ni? Nenda tahukan Anis sayang sangat-sangat dekat Ajad! Anis memang tak boleh terima semua ni.” Tengku Anis mengamuk lagi. Habis semua bantal yang berada di atas katil dilempar ke lantai. Termasuklah bantal yang dipungut oleh Tengku Fauziah tadi.
“Sayang... Jangan buat macam ni. Sayang tahukan tok mi sayang sangat-sangat dekat cucu tok mi ni. Takkan sebab perempuan kampung tu, Anis nak jadi macam ni. Janganlah cepat sangat mengalah.” Pujuk Tengku Fauziah. Tangannya lembut membelai rambut Tengku Anis.
“Tok mi, Ajad dah kahwin tok mi! Macam mana Anis nak tenang. Nak berjuang apa lagi?” Tinggi suara Tengku Anis menengking. Tengku Fauziah tak faham ke dia tengah sedih sekarang ni?
“Tok mi tahu. Tapi, masih ada lagi peluang untuk Anis. Lelaki ni senang saja nak tawan, sayang. Lemah sangat kalau kena goda. Tambah lagi kena goda dengan perempuan cantik dan seksi macam cucu tok mi ni.” Senyuman mula mekar di bibir Tengku Fauziah.
“Maksud, tok mi?” Tengku Anis kerut dahi. Wajah Tengku Fauziah disorot bersungguh. ‘Apa yang Tok Mi nak sampaikan ni?’ Hati mula meneka sendiri. ‘Tak kanlah...’ Hati Tengku Anis semakin meronta ingin tahu.
Tengku Fauziah tersenyum simpul.
“Anis pikat Ajad. Goda Ajad sampai dia lemas. Gunakan kelebihan yang Anis ada.” Makin lebar senyuman di bibir wanita lewat usia itu.
Kata-kata Tengku Fauziah cuba dihadam selumatnya oleh Tengku Anis. Lambat-lambat dia ukir senyum. Betul juga kata neneknya itu. Jangan mudah mengalah. Goda sehabis boleh!

MAK SU NORMAH berdiri tegap di tepi jendela biliknya yang terbuka luas. Mata terus menyorot malam yang gelap. Sungguh kelam! Sebutir bintang pun tidak kelihatan di atas sana. Angin malam mula menyapa tubuhnya, dingin. Suasana sudahpun sunyi sepi. Hanya bunyi burung tukang saja yang bersahutan, menenggelamkan suara nyanyian cengkerik malam.
Mak Su Normah kerut dahi. Semenjak siang tadi lagi perasaannya terganggu hebat. Kini, Iman sudahpun sah bergelar isteri kepada Tengku Amjad Kamil. Dalam diam dia memanjat syukur.
 Namun, perasaan gusar tetap bermukim teguh di hatinya. Terasa begitu berat perasaan Mak Su Normah. Sudah penat rasanya dia mahu menyimpan rahsia. Apakah ini saatnya?
Selama hampir dua puluh tiga tahun dia mengunci rapat mulutnya. Selama dua puluh tiga tahun dia terpaksa berperang ganas dengan perasaan sendiri. Memang dia penat yang amat.
“Safiyya, anak kau dah kahwin Safiyya. Menantu kau baik sangat...” Suara Mak Su Normah bergetar. Kolam matanya mula bergenang. Beberapa kali juga dia meneguk liur yang terasa penuh di kerongkongnya. Wajah Safiyya menari-nari di ruang mata, menerbitkan rasa sakit di jiwa. Walau berjuta kali dia cuba menepis, namun bayang itu tetap ada.
“Safiyya, maafkan aku. Rasa sudah tiba saatnya. Aku sudah penat Safiyya. Penat yang amat.” Mak Su Normah teresak sendiri. Kali ini dia sudah nekad. Biarlah segalanya terlerai.







No comments:

Post a Comment