DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 13 January 2016

TERBIAS BENCI TERSIRAT RINDU - BAB 5

BAB 5


IMAN berdiri lama di laman rumah banglo milik Tengku Faridah. Udara pagi yang terasa segar dan nyaman itu disedut dalam-dalam. Di tangan kanannya tergenggam erat segulung getah paip. Konon-kononnya hari ini dia terlebih rajin hendak menolong Pak Dollah siram pokok bunga. Terkedek-kedek dia berjalan menghampiri pili paip. Belum pun sempat dia memulas pili paip, tangannya kaku tidak bergerak.
Mata dia bulat, tertancap penuh pada sebuah kereta Audi S6 yang hitam berkilat, terparkir elok di hadapan rumah banglo itu. Mulut Iman ternganga luas. Getah paip di tangannya terlepas tanpa sedar.
“Ya Allah, kereta idaman aku dengan Akma! Ini kalau Akma nampak.. mahu meroyan minah tu.”
Iman tenyeh matanya berulang kali. Manalah tahu kalau-kalau dia tengah bermimpi! Tapi, dia memang tidak bermimpi. Walaupun berkali-kali matanya ditenyeh, Audi S6 idaman hatinya itu, tetap terparkir elok di situ. Air liur diteguk sekali. Masih penuh di kerongkong! Diteguk sekali lagi dan lagi. Dia sudah rasa macam hendak sawan.
“Mak, aii! Kereta siapa agaknya, ya?”
Iman berjalan perlahan menghampiri kereta Audi S6 yang hitam berkilat itu. Matanya meliar ke kiri dan ke kanan. Selamat! tak ada orang.
“Kereta siapalah agaknya ni? Selama ni, tak pernah nampaklah pulak!”
Tubuh Audi S6 yang hitam berkilat itu disentuh oleh Iman dengan teruja. Jelas tergambar perasaan kagum pada wajahnya. Mula-mula dia sentuh bahagian belakang, kemudian bahagian tubuhnya pula.
“Kalau aku ada telefon kan bagus. Boleh aku selfie dengan Audi hitam berkilat ni. Lepas tu hantar pada Akma dekat kampung. Ha... ha... Memang sah-sah, minah tu sawan nanti!”
Iman ketawa besar.
“Wah! Cermin tingkap pun hitam, pekat, berkilat!”
Iman sentuh cermin tingkap dengan jemari runcingnya. Kemudian dia menilik mukanya pada cermin tingkap yang gelap dan berkilat itu. Bukan main lagi dia senyum sampai ke telinga. Dalam kepala Iman sudah berangan yang bukan-bukan. ‘Kalaulah Audi S6 ni milik aku... mesti tercengang orang kampung tengok! Yalah, mana pernah kereta semewah ini masuk kampung!’ Tak habis-habis lagi Iman berangan. Sengihan dia pun bukan main lebar lagi.
Tiba-tiba cermin tingkap kereta mewah itu melurut, turun ke bawah.
“Kau apa hal?” Bentak satu suara garau.
Iman tersentak. Bulat matanya merenung tuan empunya suara. Mulutnya juga sudah ternganga luas. Macam hendak jatuh jantung Iman apabila tiba-tiba saja disergah begitu. Tanpa membuang masa lagi, sepantas kilat Iman berlari dari situ. Dia terus menyusup masuk ke ruang dapur melalui pintu belakang.

IMAN masih terkejut. Nafasnya masih lagi terasa kencang. Walaupun dia cuba untuk bertenang dan berlagak biasa, namun dia masih juga terkaku di meja makan. Air putih di gelas diteguk berkali-kali sehingga licin. Dahinya yang berpeluh itu nampak berkerut seribu. Memang dia betul-betul terperanjat. Rasanya kalau Iman ada penyakit lemah jantung, sudah sah-sah dia selamat berada di tanah perkuburan sekarang ini.
“Iman! Kenapa ni?”
Mak Su Normah tiba-tiba saja muncul di ruang dapur. Terus punggungnya dilabuhkan ke atas kerusi di sebelah Iman. Muka Iman yang nampak pucat dengan dahi yang berpeluh-peluh itu disorot dengan penuh tanda tanya.
“Hish, apa kena pula dengan budak ni? Muka macam baru lepas terserempak dengan jembalang,” getus Maksu Normah.
Iman masih sama macam tadi. Masih tetap membisu. Matanya terkebil-kebil. Dahinya berkerut-kerut. Hati Iman terus berperang dengan perasaan sendiri. Siapa lelaki tadi? Macam mana dia boleh muncul dekat situ?
Hey!” Sergah Maksu Normah, kuat. Bahu Iman ditepuk.
Arrghhh!” Iman terpekik lantang. Hampir terloncat dia dari kerusi. Mujurlah gelas di tangannya tidak terlepas. Kalau tidak, pasti sudah terburai kaca di atas lantai marmar itu.
“Ya Allah, Mak su. Kenapa dengan mak su ni? Nak bunuh Iman ke?” Muka Iman sudah mencuka. Mata Mak Su Normah disorot tajam.
“Mak su yang patut tanya kamu. Kamu ni kenapa, kena sampuk dengan jin ke? Dari tadi mak su duduk tercongak dekat sini... boleh kamu tidak sedar!” Selar Mak Su Normah dengan muka serius.
Iman tarik sengih.
“Ya, ke mak su? Maaflah... Iman tak sedar pula mak su ada dekat sini.” Tangannya sudah naik menggaru kepala.
“Mana nak sedar, kalau berangan sampai ke langit!” Sindir Mak Su Normah dengan mulut terherot-herot.
“Mana ada Iman berangan, mak su. Iman tengah fikirkan masalah negara ni,” balas Iman dengan muka serius.
Mak Su Normah mencebik. Masalah negara, konon!
“Mak su, mak su! Kereta dekat luar tu, kereta siapa erk?” tanya Iman dengan mata yang bersinar galak. Sunguh-sungguh dia ingin tahu.
“Kereta mana?” Dahi Mak Su Normah naik berkerut. Rasanya dekat luar rumah tu ada banyak kereta.
“Allah! Kereta yang warna hitam berkilat tu?”
“Oo... yang tu.”
“Haa, siapa punya tu?” Iman teruja. Memang dia tidak boleh lupakan mamat tadi. Kacak! Ya Allah, perut dia rasa bergelora lain macam saja. Terasa macam berbelit-belit usus besarnya.
“Entah!” jawap Mak Su Normah sepatah. Macam tidak berminat langsung untuk bercerita.
“Hah?” Mulut Imam sudah ternganga luas. Mak Su Normah direnung bagaikan mahu ditelannya hidup-hidup.
“Eii, sakitnya hati ni! Tadi dia punya ‘Ooo..’ sikit punya panjang, ingatkan tahu!” bentak Iman, geram.
Mak Su Normah sudah ketawa besar. Muka Iman yang cemberut itu dipandang tidak lepas-lepas.
“Padan muka! Selalu tu, asyik mak su saja yang terkena.” makin galak Mak Su Normah ketawa.
“Argh! Malaslah nak layan maksu.”
Iman sudah bangun dari kerusi, terus membuka langkah. Emak saudaranya itu, jika makin dilayan makin menjadi. Bosannya... Iman rindukan kampung halaman. Iman rindukan Wan Bedah dan Akma.
“Iman!” panggilan Mak Su Normah sekaligus mematikan langkah Iman. Laju dia menoleh.
“Apa?” tanya Iman lemah. Wajah bosan dipamerkan kepada mak sunya.
“Nanti telefon wan. Dia dah bising berrtanyakan kamu,” pesan Mak Su Normah. Memang Wan Bedah sudah bising. Semenjak Iman datang ke Kuala Lumpur ni, sekalipun belum pernah dia menelefon Wan Bedah.
“Tengoklah nanti,” jawap Iman acuh tidak acuh. Bukan dia tak ingat pada Wan Bedah. Hampir setiap malam dia menangis, rindukan Wan Bedah. Tapi, dia memang cukup tidak gemar bercakap di telefon. Rasa geli cuping telinga, katanya. Huh! Ada juga manusia macam Iman ni. Pelik!
Mak Su Normah geleng kepala.
Iman terus berlalu dari situ. Dalam hati masih ada perasaan tidak puas kerana tidak dapat mencari tahu siapakah gerangan lelaki yang bermata sepet, yang merenung tajam kepadanya tadi. Entah mamat korea manalah yang tersesat dekat situ. Duduk dalam kereta idaman dia pula tu! Sungguh, Iman rasa macam nak gila.

KAKI diayun lemah, mendaki anak tangga satu persatu menuju ke tingkat tiga. Perasaan malas, tebal membalut jiwanya. Semakin lama dia berada di rumah banglo besar itu, semakin bosan pula jadinya. Dulu bukan main teruja lagi dia bila tengok rumah besar, kereta besar... segala-galanya besar. Tetapi sekarang, barulah dia tahu. Menjadi oarang kaya bukanlah suatu perkara yang menyeronokkan sebenarnya.
Iman mula terbayangkan Wan Bedah dan kampung halaman. Sungguh hatinya dipagut rindu yang amat. Wajah Akma juga datang menari-nari diruang mata. Melepak di tepi sungai. Bersantai di atas pondok, di kebun pisang Wan Bedah sambil makan jajan. Huh! Iman betul-betul rindu.
Sampai di tingkat atas, Iman berhenti sejenak. Kepalanya digaru laju.
Adeh! Aku nak buat apa dekat sini tadi?” Ligat otaknya Iman berfikir. Itulah padahnya kalau kuat berangan!
“Hah! Baru aku ingat. Mak engku suruh ambilkan cermin mata dia di bilik bacaan. Adoii! Beranganlah lagi, Iman!” Tangannya sudah menepuk dahi sendiri. Langkah diatur semula, menuju ke bilik bacaan.
Sampai di muka pintu bilik bacaan milik Tengku Faridah, langkah Iman sekali lagi mati. Tangannya tidak jadi untuk memulas tombol pintu. Mata Iman kini tertancap tepat pada pintu bilik di hujung sana. Hatinya tiba-tiba saja meronta ingin tahu.
“Agaknya bilik siapa tu, erk? Kenapa Mak su marah sangat masuk bilik tu?”
Iman pandang kiri dan kanan. Tak ada oarang! Tanpa sedar, kakinya terus melangkah dengan berhati-hati menghampiri bilik itu. Saat dia sudah berdiri betul-betul di muka pintu bilik misteri itu, dadanya tiba-tiba saja rasa berdebar.
“Ish, janganlah berdebar! Kalau aku masuk, apa jadi erk? Tapi... Bukan ada orang nampak pun, kan? Arghh! Masuklah.”
Tombol pintu bilik itu, dipulas dengan berhati-hati. ‘Mmm, tak berkunci!’ Hati Iman menjerit suka. Cepat-cepat dia meloloskan diri ke dalam bilik itu sebelum orang lain nampak. Sebaik sahaja pintu bilik ditutup semula, matanya mula meliar galak ke segenap ruang bilik.
“Ya Allah, bilik apa ni?”
Laju Iman menekup mulut. Tersedar yang dia hampir menjerit. Bulat mata Iman menyorot ke arah dinding bilik yang dipenuhi dengan poster minah salih berpakaian seksi itu. Tidak semena-menanya, muka dia terasa panas dan berbahang.
“Bilik siapa ni? Boleh buta mata aku tengok gambar-gambar ni!”
Iman tidak habis-habis mengomel. Matanya masih tajam merenung poster-poster yang tertampal elok di dinding bilik itu. Dia tidak kenal siapa perempuan yang berada di dalam poster itu, tetapi dia yakin perempuan itu adalah salah seorang pelakon perempuan hollywood.
Iman menapak perlahan menghampiri poster itu.
“Jessica Alba? Siapa ni?” spontan Iman membaca tulisan yang tercatat di poster perempuan seksi itu. Naik berkerut dahinya. Yalah! Dia manalah kenal artis hollywood ni. Lebih-lebih lagi artis perempuan. Dia memang tak minat! Kalau pelakon korea tu, dia sukalah.
“Kau, siapa?”
Hampir gugur jantung Iman mendengar suara garau yang menegurnya dari belakang. Ada nada kurang senang dalam suara itu. Iman sudah terkaku di situ. Takut hendak berpaling ke belakang.
“Siapa suruh kau masuk bilik ni?”
Sekali lagi suara garau itu bertanya dengan nada keras. Kali ini, suara garau itu betul-betul berada di belakang Iman. Begitu dekat dengan cuping telinganya.
Iman sudah mengigil. Dengan perasaan takut-takut, dia gagahkan juga dirinya untuk berpaling ke belakang.
“Makkkk!”
Iman terjerit kuat. Kali ini dia rasa jantungnya betul-betul sudah berhenti berdenyut. Mamat mata sepet yang dia nampak dekat dalam kereta Audi S6 pagi tadi berdiri betul-betul di hadapannya. Begitu dekat dengannya. Sehingga dia boleh rasa bahang daripada tubuh lelaki itu.
Bertambah bulat mata Iman apabila melihat lelaki itu hanya memakai seluar pendek paras lutut tanpa baju. Tuala biru lembut tersangkut kemas di lehernya. Rambut lelaki itu basah. Iman boleh nampak dengan jelas six pack lelaki bermata sepet itu. Seksi dan menggoda! Serta-merta pipi Iman menjadi merah. Malu yang amat.
Iman rasa dadanya macam hendak pecah. Hati kata lari, tapi kaki terus kaku berdiri di situ. Mata Iman bertemu lama dengan mata sepet yang merenungnya dengan tajam, bagaikan mahu menelan dia hidup-hidup di situ.
Sesaat kemudian, Iman tersengih macam kerang busuk. Cuba untuk menutup perasaan bersalahnya. Tetapi lelaki bermata sepet tadi masih sama. Masih merenung dia dengan tajam tanpa secalit senyuman pun. Muka lelaki itu nampak bersahaja. Namun, renungan matanya saat ini, betul-betul mampu membunuh Iman.
“Matilah, aku!” Iman telan liur.

No comments:

Post a Comment