DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 13 January 2016

TERBIAS BENCI TERSIRAT RINDU - BAB 12

BAB 12


IMAN berpeluk tubuh di bawah pokok rambutan besar, di hadapan rumah Penghulu Zahid. Matanya tidak sudah-sudah merenung Asyraf yang sedang berdiri di hadapannya. Lelaki itu hanya membisu semenjak tadi. Nasib baiklah dia sudi berjumpa dengan Iman. Kalau tidak... Iman memang sudah nekad mahu buat kecoh tadi. Pandangan pelik Penghulu Zahid tadi pun, Iman langsung tidak peduli. Yang penting, dia dapat bertemu muka dengan Asyraf. Perhitungan mesti dilakukan!
“Psssttt... Iman!”
 Panggil Akma yang sedang berdiri beberapa meter dari Iman dan Asyraf, sambil menggaru pipi dan lengan. Mungkin gatal akibat diselar nyamuk sesat.
“Apa?”
“Cepatlah! Sampai bila nak diam ni. Nyamuklah! Tadi kata sekejap aje. Nanti mak aku bising. Pergi kedai apa sampai berjam!” Akma masih tergaru-garu. Kalau tidak fikirkan Iman itu kawan baik merangkap sepupu kesayangan dia, mati hidup balik pun dia tidak akan datang.
Iman hela nafas. Wajah Asyraf yang hanya tunduk menekur tanah semenjak tadi, dia renung tajam. Sakit hati!
“Abang Asyraf tak ada nak cakap apa-apa dengan Iman ke? Tak rindukan Iman? Dah tak sudi nak pandang muka Iman?” tebak Iman bertubi-tubi. Kalau ikutkan hatinya yang tengah marah, memang dia rasa nak tumbuk saja muka Asyraf tu. Macam tak ada perasaan langsung!
Asyraf panggung kepala. Saat ini, muka Iman direnung sejenak.
“Maafkan abang.” Hanya itu saja perkataan yang keluar dari mulut Asyraf. Kemudian dia diam lagi.
“Itu saja?” keras suara Iman.
“Habis tu, Iman nak macam mana. Abang yakin, Iman datang sini sebab Iman dah tahu apa yang terjadi. Abang rasa, dah tak ada apa yang abang nak katakan lagi.” Asyraf tersenyum sinis.
Berdesing rasanya telinga Iman. Mata yang mula mahu berkaca itu, dia tahan sekuat mungkin. Tolonglah, hati. Kuatlah demi aku! Tidak sudah Iman memujuk hati sendiri.
“Senangnya, abang. Apa pun, tahniah! Iman cuma nak tahu, kenapa? Mana janji kita? Janji abang?” Iman tersenyum kelat. Dia harus nampak kuat di hadapan Asyraf.
“Janji?” Asyraf tertawa kecil. Kedua belah tangannya naik menyelak rambut.
Hati Iman mendidih dengan tiba-tiba. Apa yang lawaknya?
“Iman. Kisah kita, kisah cinta monyet! Abang memang dah tak ada hati dengan Iman. Tengoklah diri Iman. Sepadan ke, kita?” Sinis Asyraf sambil menyorot Iman, atas dan bawah. Dia mencebik kemudiannya, sambil berpeluk tubuh.
“Ooo... Jadi, abang nak cakap yang sekarang ni, kita dah tak layak nak berdiri sama tinggi, nak duduk sama rendahlah, ya? Abang rasa abang dah tinggi sangat ke?” bidas Iman. Sungguh-sungguh dia tidak menyangka, lelaki yang sedang berdiri dihadapannya kini, sanggup mengeluarkan kata-kata yang sedemikian rupa. Selama ini, Asyraf lelaki yang baik budi pekertinya. Betullah kata orang. Sedangkan pantai berubah, inikan pula hati manusia.
“Lebih kurang macam tulah!” Asyraf palingkan mukanya ke arah lain.
“Okey! Kalau abang dah cakap macam tu, Iman pun bukanlah nak terhegeh-hegeh sangat! Tahniah sekali lagi untuk pertunagan abang. Semoga bahagia sampai hujung nyawa.” Iman tersenyum sinis.
“Terima kasih.”
“Sama-sama. Tapi sebelum tu...” kata-kata Iman mati di situ. Liur diteguk berkali-kali.
“Sebelum tu, apa?” Asyraf kerut dahi.
Pangggg!!
Penampar Iman sudah hinggap di pipi Asyraf tanpa disangka-sangka. Terpinga-pinga dia seketika. Akma melopong. Langsung tidak meyangka, Iman akan buat macam tu.
“Kau gila ke?” tengking Asyraf sambil menjamah pipinya yang terasa perit.
“Kau memang layak dapat tu!” Iman jegilkan matanya.
“Dah, Akma. Jom kita balik! Urusan aku dengan lelaki tiga suku ni dah selesai.” Tangan Akma ditarik laju oleh Iman. Langkahnya dibuka luas-luas. Kalau boleh dia mahu cepat-cepat pergi dari situ. Bimbang kalau-kalau air matanya jatuh.

MAK SU NORMAH ralit mencuci pinggan di sinki. Usai makan malam sebentar tadi, dia menyibukkan diri di dapur. Sengaja dia biarkan Wan Bedah dengan Ajad berbual-bual di ruang tengah rumah. Sebetulnya fikiran dia tengah serabut saat ini.
Iman berdiri betul-betul di sebelah Mak Su Normah. Dari tadi dia perhatikan mak sunya itu. Boleh pula Mak Su Normah buat tidak nampak saja dia dekat situ. Dari petang tadi lagi, emak saudaranya itu buat muka dengan dia. Apa yang tidak kena, Iman sendiri tidak tahu. Rasanya, sebelum dia balik ke kampung dua hari lepas, elok saja. Tiba-tiba hari ni muncul dengan muka kelat!
“Mak su, kenapa ajak mamat mata sepet tu datang sini?”
Senyap.
Mak Su Normah masih ralit menyental buih sabun pada pinggan. Soalan Iman tadi seolah langsung tidak singgah di telinganya. Malah, kewujudan Iman di situ langsung tidak dipedulikan.
Iman ketap bibir. Kepala digaru tak bersebab. Apa kena pulak dengan orang tua ni?
“Mak su! Dengar tak Iman tanya ni? Apa kena dengan mak su ni. Tak ada angin, tak ada ribut... tiba-tiba aje taufan membadai?” Iman tarik tangan mak sunya. Terhenti terus kerja Mak Su Normah.
Lama mata mereka bertembung. Merenung dalam di antara satu sama lain.. Riak wajah Mak Su Normah masih keruh tanpa segaris senyuman.
“Kamu pergi mana tadi?” soalan Iman brsambut dengan soalan juga.
“Kedai! Temankan Akma beli barang.” Jawap Iman acuh tak acuh.
Mak Su Normah diam lagi.
“Mak su tak jawap lagi soalan Iman. Kenapa mak su ajak si Ajad tu datang sini?”
“Mak su yang patut tanya kamu. Apa yang kamu dah jampi pada Encik Ajad tu? Kenapa dia bersungguh sangat nak kahwin dengan kamu?” Suara Mak Su Normah, tegang.  
“Mana ada jampi apa-apa! Orang tak buatlah kerja bodoh tu, mak su. Apa mak su ni, main tuduh-tuduh macam tu. Jahil-jahil orang pun, masih tahu lagi nak beza dosa dengan pahala. Lagipun dekat hati orang ni, ada Abang Asyraf aje! Tapi, dia pun dah bertunang dengan orang lain. Sedih tak habis lagi, tiba-tiba mak su dah tuduh orang macam tu. Kecik hati Iman!”
“Habis tu, kenapa dia nak sangat kahwin dengan kamu? Ini, balik ke sini pun... sebab dia yang paksa mak su. Dia nak jumpa sendiri dengan wan. Malam tadi, Encik Ajad bergaduh besar dengan Mak Engku. Itupun, sebab kamu!” Turun naik nafas Mak Su Normah.
Kalau dia tahu nak jadi macam ni, sumpah dia tak bawa Iman ke sana. Lain yang dia rancang lain pula yang jadi.
Iman terkedu. Nada suara Mak Su Normah sudah jelas menggambarkan kemarahannya. Tapi, bukan salah dia! Kenapa Mak Su Normah nak naik angin dengan dia?
“Mak su, bukan salah Iman! Iman tak pernah goda Ajad. Lagipun Ajad dah ada kekasih, kan? Pacat betina tu makwe dia, kan? Tak ada sebabnya dia nak kahwin dengan Iman,” kendur saja nada suara Iman. Tiba-tiba saja dia rasa sebak. Kenapa dia pula yang kena? Rasanya dia tidak pernah kacau mamat mata sepet tu.
“Hmm, kalau mak su tahu jadi macam ni... mak su tak ajak kamu ke sana. Sekarang bila dah jadi macam ni, menyusahkan mak su saja!” Mak Su Normah masih tidak berpuas hati. Sabun pinggan yang penuh ditangan tadi hampir kering. Mata tidak lepas daripada merenung Iman. Sesak rasa fikirannya.
Iman telan liur. Hati terusik hebat dengan kata-kata Mak Su Normah tadi. Okey, dia memang selalu menyusahkan semua orang.
“Iman tahu mak su. Dari kecik sampai sekarang, Iman selalu susahkan mak su dengan wan. Iman memang tak guna! Iman selalu susahkan orang lain...” Bergetar suara Iman. Menonong saja dia berjalan meninggalkan Mak Su Normah yang nampak terjeda dengan kata-katanya itu.
“Iman. Tunggu! Mak su tak bermaksud macam tu.” Laung Mak Su Normah. Tapi sayang! Iman sudah menonong ke depan. Langsung tidak menoleh lagi. Kecil hati gamaknya dengan Mak Su Normah.
Mak Su Normah hela nafas panjang. Dia tidak berniat langsung mahu kecilkan hati Iman. Dia cuma takut. Takut Iman disakiti nanti.
‘Iman. Mak su tak ada niat nak cakap macam tu. Mak su cuma takut! Mak su tak nak Iman disakiti nanti. Tengku Faridah bukan sebarangan orang, Iman. Dia sanggup buat apa saja, asalkan kemahuanya tertunai. Mak su tak nak sejarah lama berulang!’ Hanya hati Mak Su Normah saja yang berbicara tika itu.
Dia tahu Iman berkecil hati. Tapi, perasaan takut yang sedang bermukim di hatinya kini menguasai diri. Dia tidak rela kalau Iman disakiti. Perlukah dia berterus-terang dengan Iman? Kalau itu yang dia buat, apa yang akan terjadi nanti agaknya?
Sekali lagi Mak Su Normah hela nafas. Panjang. Pinggan yang masih penuh di dalam sinki direnung tanpa perasaan. Apa yang ada dalam kepalanya sekarang cumalah, Iman.

SUARA cengkerik terasa begitu dekat di cuping telinga. Angin malam bertiup lembut, dingin menyapa tubuhnya. Tapi, Iman masih tetap setia di situ. Duduk bergayut kaki di pondok kayu, sambil melayan rasa luka di hati.
Mata memandang terus pada dada langit yang terang disimbahi cahaya bulan. Bintang juga nampak bertaburan indah di dada langit. Walaupun suasana begitu damai dan tenang, tapi langsung tidak dapat menenangkan hatinya kala ini.
Sudahlah rasa kecewa dengan sikap Asyraf tadi masih belum reda. Sekarang, mak sunya pula menambah luka. Siapa kata Iman tidak kecewa dengan Asyraf? Tadi tu, dia buat-buat kuat saja. Hakikatnya, hati dia hancur. Kalau Asyraf ada dekat depan dia sekarang ni, memang dia nak bagi penumbuk pulak! Mana cukup dengan penampar saja.
Hati Iman sakit sangat! Tapi, rasa sakit itu cuma terbekam jauh di lubuk hati. Langsung tidak terzahir dengan air mata. Sakit macam mana pun hatinya, air mata tetap mahal untuk lelaki bernama Asyraf. Betulkah dia sayangkan Asyraf? Kenapalah lelaki sebaik Asyraf sanggup buat dia macam ni?
Iman tak marah kalau Asyraf berterus-terang. Dia boleh anggap jodoh mereka memang tak ada. Tapi, yang buat Iman rasa marah dan terluka adalah sikap diam Asyraf selama ini. Okey! Salah dia juga. Sebab dia percaya sangat pada kata hati. Percaya sangat pada pegangan kolotnya.
Konon-kononnya, cinta sejati itu tidak perlu saling bertemu dan berbual. Cukuplah saling percaya-mempercayai. Sekarang, apa dah jadi? Asyraf di sana tengah bahagia. Sedangkan dia, makan hati!
Iman pegang dada sendiri. Lama tangan dia melekat dekat situ. Rasa sakitnya hanya Allah saja yang tahu. Dia mahu menangis. Mahu luahkan segala rasa sakitnya dengan air mata. Tapi kenapa air matanya tidak mahu keluar? Keras sangat ke hati dia?
Tidak cukup dengan kisah Asyraf, ditambah pula dengan kisah mamat mata sepet tu. Itu pun satu hal! Kenapalah si Ajad tu tak habis-habis mahu menyusahkan hidupnya. Sebab Ajad seorang, semua orang dah buat dia macam musuh. Mula-mula, Tengku Faridah. Kemudian, Tengku Anis. Sekarang, Mak Su Normah! Susah sangat ke untuk Ajad faham? Mereka memang tak setaraf! Nama Ajad ada gelaran ‘Tengku’ di hadapan. Manakala dia pula, tidak ada! Dekat situ pun, sudah cukup jelas bezanya.
Iman mengeluh kecil. Tangan mengibas nyamuk yang berbunyi nyaring di cuping telinga.
“Kurang asam punya nyamuk! Tak tahu ke orang tengah sedih ni? Tengah makan hati! Kau tahu nak hisap darah saja kan!” bentak Iman, geram. Sekarang dengan nyamuk pun dia nak ajak bergaduh.
“Oiit! Buat apa?”
“Makkkk....” hampir terjatuh Iman dari pondok.
“Ya Allah, kau ni. Tak reti nak bagi salam ke? Main hoii... hoii... aje! Kalau aku semput dekat sini tadi, apa kau nak buat?” Marah Iman. Matanya mencerlung tajam kepada Ajad. Walaupun dalam cahaya bulan yang samar-samar, dia masih boleh nampak dengan jelas muka Ajad. Kacak!
“Aku bagi CPR...” Ajad ketawa lepas.
“Apa? Eee... Kau ni, kan!” Iman genggam penumbuk. Kenapalah mamat mata sepet ni suka sangat kacau dia.
 Tawa Ajad semakin galak. Iman  kalau marah, memang comel sungguh!
“Kau buat apa dekat sini?” bentak Iman.
“Nak jumpa kaulah! Kau buat apa dalam gelap ni? Fikirkan aku?” Ajad jongket kening. Dia sudah berdiri di hadapan Iman.
“Eh, kau nak buat apa datang dekat aku ni?” Iman kalut. Bukan boleh percaya sangat dengan mamat mata sepet ni. Perangai dia tu, sukar nak dijangka. Buatnya datang perangai gila dia tu, naya Iman.
“Aku nak duduk ajelah! Kau nampak muka aku ni ada macam muka perogol bersiri ke? Kalau aku nak buat tak elok, dah lama aku buat!”
“Eleh! Kau tu bukan betul sangat!” tebak Iman.
Ajad tidak membalas apa-apa. Punggungnya dilabuhkan di sebelah Iman. Rapat. Sehingga bahunya dengan bahu Iman bersentuhan.
Iman telan liur. Jantungnya tiba-tiba saja bergetar hebat. Sesak rasa nafasnya. Cepat-cepat Iman mengengsot. Menjarakkan sedikit kedudukannya dengan Ajad. Bau haruman dari tubuh Ajad yang singgah ke rongga hidungnya itu cukup mempersonakan. Bimbang pula kalau-kalau nanti dia lupa diri.
“Kenapa, takut?” Ajad tergelak-gelak.
“Hish, mahunya tak takut! Kau tu bukan baik sangat!” Bidas Iman. Terus terbayangkan gambar-gambar perempuan seksi yang penuh bertampal di dinding bilik Ajad.
“Kau buat apa malam-malam buta duduk termenung dekat sini. Macam orang putus cinta aje?” tebak Ajad. Muka Iman yang nampak samar-samar tersuluh dengan cahaya bulan itu, ditilik lama. Liur ditelan laju. Ada getar dalam hatinya setiap kali terpandangankan gadis comel itu.
“Mana kau tahu ni?” Muka Ajad ditentang.
“Eh, betul ke? Aku agak aje tadi! Tapi...” Ajad garu dagu. Seolah-olah sedang berfikir.
“Tapi, apa?”
“Kau tak nampak macam orang tengah kecewa pun. Biasa saja aku tengok!” Ajad jongket kening.
“Habis tu, kau nak aku buat apa? Meraung? Menangis guling-guling dekat tanah tu? Apa aku dapat kalau aku buat macam tu?” Suara Iman tegang. Apa! Ingat semua orang perempuan ni lemah ke, kalau putus cinta? Tak ada maknanya!
Iman menjeling Ajad sekilas. Dalam cahaya samar-samar itu, Iman nampak Ajad tersenyum lebar. Tidak semena-menanya jantung dia bergetar semula. Senyuman Ajad tu... Fuh, susahlah nak cerita! Cepat-cepat Iman kalihkan pandangannya.
Masing-masing, membisu.
Suara burung tukang sudah mula kedengaran, membingitkan halwa telinga. Terus tenggelam suara nyanyian merdu sang cengkerik sebentar tadi. Iman menarik nafas dalam-dalam. Dari tadi lagi jantungnya tidak henti bergetar. Kuat betul aura mamat mata sepet ni.
“Emm, aku naik dululah.” Iman bangkit dari duduk.
“Tunggu!” Ajad pegang tangan Iman. Terus langkah Iman mati.
Mata bertemu mata. Sesaat, dua saat, masih sama. Lama mereka berpandangan begitu. Debaran di dada masing-masing mula menggila. Kenapa dengan Iman malam ni? Boleh pula dia kaku di hadapan Ajad.
“Kenapa nak balik kampung tak cakap? Aku rindu...” bisik Ajad perlahan. Tangan Iman masih tergenggam erat dalam tangannya.
Iman nampak terkebil-kebil. Kelu terus lidahnya untuk menjawap. Lain benar nada suara Ajad pada malam ni. Terasa begitu lembut dan mesra. Laju saja menyapa ke jiwanya. Iman terpesona dengan sorotan mata Ajad yang lembut, menikam tepat ke dalam anak matanya. Terasa seperti terus tembus ke hatinya.
“Err... aa... akuu...” Tergagap-gagap Iman.
“Kau tengah putus cinta, kan? Kecewa? Iman jom kahwin dengan aku. Aku tahu cara aku lamar kau tak romantik macam lelaki-lalaki lain bila melamar perempuan. Tapi niat aku memang ikhlas. Kalau kau kahwin dengan aku, aku janji! Aku akan bahagiakan kau, sehingga hujung nyawa aku.”
Makin terkebil-kebil Iman.
‘Mak aii! Mamat ni main cakap lurus aje, kan? Tak ada konar-konar. Tapi, kenapa hati aku tetap bergetar ni? Tak romantik. Tapi masuk terus dalam jiwa!’ Iman telan liur berkali-kali. Renungan mata Ajad itu benar-benar membakar jiwanya.
“Aaa... akuu...” Iman gagap lagi.
“Syyy... Jangan cakap apa-apa. Aku memang dah nekad. Aku datang sini sebab nak melamar kau. Aku dah bincang pun, dengan wan tadi.” Lembut suara Ajad menjamah telinga Iman.
Terkedu lagi.
“Tapi... Kenapa tiba-tiba saja?”
“Syyy... Kan aku dah cakap tadi, jangan cakap atau tanya apa-apa..” halus suara Ajad menjamah telingan Iman. Gulp! Iman telan liur.
Baru saja tangan Ajad ingin menarik tubuh Iman rapat kepadanya, tiba-tiba...
“Ajad! Iman!” Suara Wan Bedah sudah melengking tinggi. Betul-betul di belakang mereka.
 Iman rasa macam hendak pitam saat itu juga. Renungan maut Wan Bedah dan Mak Su Normah, benar-benar membunuh jantungnya.





No comments:

Post a Comment