DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 13 January 2016

TERBIAS BENCI TERSIRAT RINDU - BAB 9

BAB 9


IMAN masih setia membuntuti langkah Tengku Faridah. Rasanya sudah hampir sepuluh minit dia begitu. Tidak ada sepatah kata pun yang terbit dari bibirnya semenjak tadi. Tengku Faridah juga pada pagi itu, mulutnya seakan terkunci rapat. Tidak seperti hari-hari biasanya.
Iman garu pipi yang tiba-tiba saja terasa gatal. Hampir-hampir Iman mati kutu. Dia benar-benar rimas dengan kebisuan ini. Nafasnya ditarik dan dihembus berulang-kali. Mata masih lurus kepada Tengku Faridah yang sedang ralit membelek bunga-bunga Orkid kesayangannya. ‘Aduh! Bosan gila. Apa kena dengan orang tua ni? Selalunya tak macam ni pun!’ Hati Iman tidak sudah-sudah merunggut.
Taman mini orkid kepunyaan Tengku Faridah itu memang cantik. Terdapat bermacam jenis bunga orkid di dalamnya. Dengan pelbagai jenis warna. Ada yang tergantung, ada pula yang ditanam di dalam pasu dan disunsun kemas di atas tanah.
Beberapa ekor rama-rama berterbangan riang di taman itu. Nampak sangat mereka pun suka dengan taman mini orkid kepunyaan Tengku Faridah. Langkah Iman mati. Bibir mengukir senyum tatkala matanya tertancap tepat pada seekor rama-rama kecil, berwarna biru bercampur hitam. Di hujung sayapnya pula, terdapat tompok-tompok bulat berwarna putih. Cantik!
“Iman, mari duduk sini?”
Panggilan Tengku Faridah yang sedikit kuat itu mengejutkan Iman dari lamunan. Tergesa-gesa dia berlalu menuju ke arah Tengku Faridah yang sedang duduk di kerusi kayu yang terukir cantik. Letaknya betul-betul di tengah taman mini orkid miliknya. Tangan wanita anggun itu, ralit membelek Majalah Laman Rias.
Tanpa tunggu dipelawa, Iman terlebih dahulu melabuhkan duduknya di sebelah Tengku Faridah. Serta merta wangian yang dipakai oleh Tengku Faridah menusuk lembut ke rongga hidungnya. Mata Iman terpejam rapat. Mmm... Wangi!
“Betul ke kamu nak berkahwin dengan Ajad?”
Iman tersentak. Matanya terus terbuka luas. Mencari anak mata Tengku Faridah. Debaran tiba-tiba saja membadai di dada. Itu, dia! Tak pernah lagi Iman dengar nada suara Tengku Faridah setegang itu, sebelum ini. Pandangan matanya juga... Aduh! Seram.
“Kee... kenapa tanya soalan macam tu?” jawap Iman takut-takut. Gila, tak takut! Renungan tajam Tengku Faridah itu, silap kira hari... boleh tembus biji mata Iman. ‘Alahai, mak engku! Aku tak inginlah nak kahwin dengan cucu mata sepet kau tu! Aku anggap dia main-main aje pun! Kenapa pula mak engku nak anggap serius?’ Hati Iman sudah membebel sendiri. Agak-agaknya kalau Iman jawap macam tu, Tengku Faridah boleh naik angin tak? Entah-entah, terus bertukar jadi raksaksa ganas tak?
“Hmm, nenda tak setuju! Ini semua kerja gila. Kamu berdua baru saja kenal. Lagipun...” kata-kata Tengku Faridah mati di situ. Entah mengapa lidahnya seakan kelu untuk meneruskan kata. Matanya semakin tajam merenung Iman. Dalam hati ada rasa sakit, tapi kenapa dia tidak mampu untuk membenci?
Iman membalas renungan Tengku Faridah. Wanita tua yang sentiasa anggun dengan kebaya nyonya dan sanggul tingginya itu dipandang tidak berkelip. Otaknya ligat meneka apa yang hendak disampaikan oleh Tengku Faridah sebenarnya.
“Lagipun, apa?” suara Iman menjadi tegang. Tiba-tiba hati dia disapa perasaan kurang enak dengan ayat tergantung Tengku Faridah tadi. Apa yang cuba disampaikan oleh Tengku Faridah sebenarnya? Dahi Iman mula berkerut.
“Kita tak setaraf! Nenda memang sukakan kamu. Tapi tak bermakna nenda mahu kamu menjadi cucu menantu nenda. Nanti, apa orang kata!”
Perlahan suara Tengku Faridah terlantun. Tetapi nadanya agak keras, sehinggakan Iman tergamam tanpa kata. Sesaat, dua saat... Iman masih lagi terkebil-kebil. Masih cuba menangkap maksud di sebalik kata-kata Tengku Faridah tadi.
Okey! Jadi inilah rupa sebenar Tengku Faridah? Patutlah Mak Su Normah takut sangat.
“Tengku jangan risau! Sekalipun, tidak pernah terdetik di hati saya untuk berkahwin dengan cucu Tengku. Beza kita memang bagai langit dengan bumi! Saya tahu itu. Saya memang tak pernah lupa tentang asal-usul saya.” Nah! Tiada lagi panggilan nenda seperti sebelum ini. Hati Iman rasa tersayat. Terguris dan terhina dengan kata-kata Tengku Faridah tadi. Mereka berpandangan buat seketika. Tegang!
Baru saja Tengku Faridah mahu membuka mulut,
“Nenda...”
Suara manja, lemak merdu yang dibuat-buat terlebih dahulu menyapa halwa telinga mereka. Serentak, Iman dan Tengku Faridah menoleh.
Kali ini mata Iman terbuka luas. ‘Mak, aii! Siapa perempuan ni? Seksanya...’ Mulut juga terlopong luas. Saat itu, kalau ada lalat yang masuk ke dalam mulut Iman, sah-sah lalat itu kena telan hidup-hidup.
Mana, tidaknya! Mulut Iman langsung tidak berkatup. Matanya juga seakan dipaku kejap. Tersorot tepat pada figura perempuan seksi lagi seksa, yang sedang melangkah dengan gayanya ke arah mereka.
Perempuan cantik yang tinggi lampai itu mengenakan dress pendek tanpa lengan, bercorak polka dot berwarna hitam di tubuhnya. Rambut yang diwarnakan dengan warna perang itu, tergulung cantik dan nampak beralun-alun bila dia menapak.
Lenggok gemalainya perempuan seksi itu semakin menghampiri mereka.
“Nenda... Rindunya.” Suara lemak merdu itu lagi. Makin mengada-ngada.
Iman dongak kepala. Mata menyorot tepat pada figura yang sekarang ini sedang berdiri betul-betul di hadapan mereka. ‘Ya Allah, tingginya minah ni!’ Mata Iman jatuh pada kaki perempuan seksi itu. ‘Patutlah! Pakai kasut tinggi empat inci rupanya.’ Hati Iman terus bergumam sendiri.
“Anis... Bila sampai?” Lembut sekali suara Tengku Faridah. Siap dengan pakej senyuman manis terlebih gula.
“Baru sampai nenda. Eh, tepi sikit!” Perempuan seksi itu menjeling Iman sekilas, sebelum matanya berlari semula kepada tengku Faridah.
“Hah, awak bercakap dengan saya ke?” tanya Iman, keliru. Terkebil-kebil mata Iman menanti jawapan Tengku Anis.
“Dengan , engkaulah! Takkan dengan pasu bunga tu kut! Kau bangun sekarang, aku nak duduk!” Bukan main sombong lagi muka Tengku Anis. Iman ditilik daripada atas sampai ke bawah dengan pandangan kurang senang.
Lambat-lambat Iman bangun juga. ‘Huh, berlagak betul perempuan ni! Dia ingat, dia cantik sangat ke dengan baju bulat-bulat tu? Dahlah rambut berkarat! Nasib baik, putih! Kalau  hitam, memang nampak macam badut tau tak?’ Iman rasa macam hendak sembur aje perempuan seksi itu dengan kata-kata macam tu. Tapi! Kalau betul dia buat, memang cari balalah jawapnya.
“Siapa ni nenda, orang gaji baru ke? Dari indonesia atau kemboja?” selamba Tengku Anis bertanya. Iman dikerling dengan hujung mata.
Makin sakit hati Iman. ‘Amboi! Sedap mulut kau aje, kan? Muka aku ni ada nampak macam muka minah indon ke?’ Iman ketap bibir. Kuat. Nafasnya turun naik. Sedaya mungkin dia cuba menyabarkan diri.
“Bukanlah, sayang. Ini, PA nenda. Anak saudara Mak Su Normah yang baru datang dari kampung.” Tangan cucu saudaranya itu, Tengku Faridah genggam erat. Muka Tengku Anis yang bersolek cantik itu ditatap dengan penuh minat. Sayangnya pada Tengku Anis sama saja dengan sayangnya kepada Ajad. Kalau boleh dia hendak satukan Tengku Anis dengan Ajad. Memang itulah niatnya dari dulu.
Semenjak dari kecil lagi Tengku Anis dan Ajad membesar bersama-sama. Ajad cuma dua tahun lebih tua daripada Tengku Anis. Tengku Anis adalah cucu kepada Tengku Fauziah iaitu adik kepada Tengku Faridah. Cucu tunggal adiknya itu memang terlalu manja. Terlebih-lebih manja sebenarnya!
“Oh, I see... patutlah nampak macam minah indon. Orang kampung rupanya.” Tengku Anis tergelak sinis.
Okey! Sabar Iman. Tenangkan hati! Orang kaya memang macam tu. Sikap sombong dan berlagak memang tak boleh nak lari. Dah sebati!
Saat mata Tengku Anis melirik tajam kepadanya, Iman hadiahkan senyuman yang paling menawan kepada Tengku Anis. Cepat-cepat Tengku Anis alihkan matanya dari memandang Iman.
“Nenda... Baby, Anis mana? Rindunya...” renggek Tengku Anis mengada-ngada. Kepalanya dilentokkan ke bahu Tengku Faridah. Manja.
 ‘Huh, macam kucing parsi!’ Getus hati Iman. Ada juga rasa lucu melihat Tengku Anis tergedik-gedik begitu.
“Tak bangun tidur lagi agaknya,” jawap Tengku Faridah.
Kening Iman sedikit bertangkup. ‘Ada baby ke dalam rumah ni? Tak pernah aku nampak pula!’ Iman menggaru kepalanya yang berbungkus kemas di dalam tudung. Tiba-tiba saja terasa gatal yang amat.
Sesaat kemudian,
“Selamat pagi, semua...”
 Sapa suara garau yang tidak asing lagi pada Iman. Laju saja jantungnya berdetak. Kenapa ni Iman?
Baby... Miss u so, much.”
Tengku Anis bangun mendapatkan Ajad. Tubuh sasa Ajad sudah selamat berada di dalam pelukannya. Dua minggu tidak jumpa. Memang dia gila bayang.
Kalau tadinya, mulut Iman ternganga luas sewaktu pertama kali dia melihat Tengku Anis. Kali ini pula, mulut Iman dua kali ganda lebih luas ternganga, melihat tubuh sasa Ajad sudah selamat dipeluk oleh Tengku Anis. ‘Ya ampun! Ini ke babynya?’ Liur diteguk berkali-kali.
Ajad juga tanpa segan silu memeluk pinggang Tengku Anis dengan erat.
Miss you too, baby!” Mata Ajad melirik sekilas kepada Iman. Saat mata mereka bertemu, satu senyuman senget Ajad berikan kepada Iman.
Tiba-tiba saja muka Iman menjadi panas. Bukan saja muka, hatipun terasa panas semacam saja. ‘Adehh! Apa kena dengan aku ni?’ Iman resah sendiri.
“Ehemm, jangan nak melekat lama-lama, sangat!” Tengku Faridah menegur.
“Opss, sorry nenda.” Pelukan terus terlerai.
Iman rasa macam cacing kepanasan.
“Tengku, kalau tak ada apa-apa, saya masuk dulu, ya?” Iman meminta diri.
“Tolong bawakan sarapan pagi dekat sini. Lepas tu kamu boleh pergi!” Arah Tengku Faridah.
Iman angguk perlahan.
Baby, jom kita duduk...” tangan Ajad ditarik mesra oleh Tengku Anis.
Sepuluh minit kemudian, Iman datang semula bersama seteko koko panas bersama sepiring kuih donut coklat yang dibuat oleh Kak Mona. Dengan berhati-hati dia menuang air ke dalam cawan dan menghidangkannya kepada mereka.
Saat cawan berisi koko panas disuakan pada Tengku Anis,
“Hey, aku tak minum air koko panas. Pagi-pagi macam ni aku biasa minum jus oren! Aku nak kau pergi buat sekarang! Huh, bodoh,” dengus Tengku Anis kasar. Entah kenapa hatinya cukup tidak berkenan dengan Iman.
Kenyataannya, Iman comel! Walaupun hanya berbaju kurung dan bertudung litup, dengan wajah yang bersih tanpa secalit alat solek... Iman nampak tersangatlah comel! Itu yang membuatkan hati Tengku Anis disapa cemburu. Lagi satu, bukan dia tidak perasan. Dari tadi Ajad asyik melirik pada Iman saja. Mana dia tak cemburu!
Nafas Iman turun naik. ‘kau apahal minah? Suka hati kau aje nak panggil aku bodoh, kan? Kau tunggu! Tahulah aku cara nak ajar orang yang berlagak macam kau ni!’ Kemarahan Iman semakin meluap-luap.
“Kau tunggu apa lagi ni?” jerkah Tengku Anis kuat. Terangkat bahu Iman kerana terkejut.
Ajad dan Tengku Faridah berpandangan sesama sendiri. Rasa pelik juga kenapa Tengku Anis naik angin dengan tiba-tiba.
Sekali lagi Iman berlalu ke dapur rumah. Matany mula berkaca. Rasa macam hendak menangis. ‘Tenang Iman! Menangis tidak akan dapat selesaikan apa-apa.’ Iman pujuk hati sendiri. Jus Oren yang berada di dalam peti dikeluarkan, lalu dituangkan ke dalam gelas kaca berwarna putih.
Lima minit kemudian dia datang semula ke taman mini itu bersama segelas Jus Oren di tangan. Senyuman manis terukir di bibirnya. Seolah-olah, sebentar tadi tidak ada apa-apa yang berlaku.
“Nah, airnya... cik!”
Sebelum Tengku Anis sempat menyambut gelas dari tangan Iman, dia terlebih dahulu melepaskan gelas berisi jus oren itu.
Brrruuppppp...
Apa lagi! Segelas jus oren yang pekat likat itu sudah selamat mendarat di baju Tengku Anis. Bulat mata Tengku Faridah dan Ajad. Masing-masing diam tidak berkutik. Habislah kali ni!
“Hey, apa kau buat ni, bodoh?”
Tengku Anis sudah menjerit macam halilintar. Dress pendeknya sudah lencun dengan jus oren. Sekali dengan seluar keciknya turut lencun sama. Muka Tengku Anis sudah bertukar menjadi singa betina. Tangannyaa laju saja mahu menampar muka Iman. Tetapi laju juga ditangkap oleh Ajad.
Cool, baby. Dia tak sengaja tu...” pujuk Ajad. Tangan Tengku Anis diusap lembut, cuba meredakan kemarahan Tengku Anis.
“Huh!”
Tengku Anis mendengus kasar.
“Nasib baik pengarang jantung aku ada! Kalau tidak, memang lunyai aku kerjakan kau!” Tengku Anis geram. Muka Iman direnung tajam dengan dada yang berombak kencang.
“Maaf, cik! Saya tak sengaja,” pinta Iman perlahan. Hampir tidak keluar suaranya dari kerongkong. Mukanya ditunduk menekur tanah. Nampak macam betul-betul menyesal. Dalam hati, Iman sudah ketawa berdekah-dekah. ‘Huh, padan muka kau! Ini Nurul Iman, tau! Bukan mudah untuk dibuli...’
 Hati Iman lega, seleganya.

No comments:

Post a Comment