DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 6 January 2016

MAAF, SAYA TAK SENGAJA - BAB 16

SUDAH lama Mohsin menunggu Aina Cempaka. Hampir cair minumannya. Matanya melilau di sekitar restoran mencari bayang gadis itu. Mungkin Aina Cempaka lambat keluar pejabat hari ini. Inilah kali pertama dia membuat janji temu makan tengah hari, semenjak Aina Cempaka bekerja di Ibunda Corporation. Nasib baik hari ini ada kesempatan. Bolehlah dia melepaskan rindu sekejap. Bertentang mata.
“Sorry, lambat sikit. Banyak sangat kerja tadi.” Aina Cempaka mengambil tempat berhadapan Mohsin.
“Itulah kau. Suka sangat buat aku tertunggu-tunggu. Sejak dulu, sampai sekarang. Aku memang penanti kau yang setia.” Mohsin tergelak. Dalam maksudnya itu.
“Kau tunggu tak sampai sepuluh minit pun, kan? Dahlah, aku lapar ni.” Aina Cempaka memanggil pelayan. Membuat pesanan.
“Macam mana? Dah hantar surat letak jawatan ke belum?”
“Apa ni? Aku tak nak berhentilah. Boleh tak kau jangan paksa.”
“Bukan paksa. Nasihat.” Mohsin menyedut sisa minumannya.
“Aku tak rasa ini masa yang sesuai. Lagipun, Ibunda Corporation dah goyah. Aku tak boleh blah macam tu aje.”
“Goyah? Jadi... betullah apa yang aku dengar semalam.”
“Apa yang kau dengar, Sin?”
“Semalam... aku terdengar Datuk Mazlan bersembang dengan orang dia. Sekarang ni, Ibunda Corporation banyak beban hutang. Mungkin dalam masa tak sampai tiga bulan, syarikat tu akan lingkup. Tapi, kau jangan risau. Aku boleh carikan kerja untuk kau.”
“Maksud kau?”
“Yalah, sebelum syarikat kau tu gulung tikar. Lebih baik kau kerja tempat lain.” Mohsin berbasa-basi.
“Kerja kat mana?” Aina Cempaka ketawa.
“Kerja kat syarikat aku. Kalau kau jadi PA aku pun okey jugak.”
“Kerja dengan Datuk Mazlan tu? Tolonglah... aku dengar suara dia pun aku dah nak termuntah.”
“PA akulah, bukannya secretary dia.”
“Sama aje,” bidas Aina Cempaka.
“Walaupun Datuk tu miang, tapi dia okey apa? Gaji pun lumayan...” pujuk Mohsin.
“Nanti aku fikirlah!”
“Susah betul cakap dengan mak nenek ni. Mmmm... kau nak tahu perkembangan terbaru tak?” alih Mohsin.
Aina Cempaka menunjukkan minat mendengar.
“Sekarang ni aku tengah uruskan program pembinaan maahad tahfiz.”
“Maahad tahfiz?”
“La... tak percaya? Okey, biar aku jelaskan. Aku dan Helmi dah berjaya kumpulkan dana untuk tubuhkan sekolah tahfiz kat kampung kita. Insya-Allah, nanti kami yang akan uruskan segala perkembangan maahad tahfiz tu. Dan... kau mesti sokong.”
“Biar betul ni?” Aina Cempaka terkejut. Gembira.
“Dalam bulan depan, baru boleh bina.”
“Alhamdulillah. Seronok aku dengar cerita kau ni Sin.”
“Ini bukan cerita, ini fakta.” Mohsin ketawa.
“Aku tahulah!” Aina Cempaka turut ketawa.
“Mmmm... bila kau nak resign?” duga Mohsin lagi.
Aina Cempaka diam. Termenung sekejap.
“Entahlah.”
“Aku tak faham betullah. Berapa kali aku nak cakap, Faiz Iqbal tu bukan orang baik-baik. Kau tak rasa pelik ke?” tegas Mohsin.
“Apa yang kau nak cakap ni, Mohsin?”
“Pasal Faiz Iqbal. Bos kau itulah!” Mohsin mencebik bibir. Menyampah rasanya mengungkapkan nama lelaki itu.
“Kenapa pulak?” lembut nada Aina Cempaka.
“Aku rasa dia tu ada niat tak baik. Cuba kau fikir, kenapa dia tinggalkan kau? Suruh kau tunggu kat kedai mamak malam tu. Kemudian, tiba-tiba ada lelaki culik kau. Tak rasa aneh ke?”
“Jadi, kau nak beritahu aku yang ini semua dia punya kerjalah. Macam tu?”
“Besar kemungkinan, ya.” Mohsin menjawab pantas. Yakin.
“Taklah. Aku tak rasa macam tu. Aku rasa, dia tu baik. Walaupun ramai yang cakap bukan-bukan pasal dia, aku tahu... dia tak macam tu. Kalau tak, tak mungkin dia datang selamatkan aku malam tu.” Aina Cempaka tersenyum.
“Suka hati kaulah, mak nenek! Aku cuma ingatkan... sebab aku sayang kat kau.” Ucap Mohsin, pura-pura menyambung makan. Panas betul hatinya. Aina Cempaka mesti letak jawatan. Tidak kira macam mana juga caranya!



PETI sejuk dikuak perlahan. Mengambil sebotol minuman keras. Habis diteguk rakus oleh Faiz Iqbal. Penat baru pulang dari rumah tok wan. Malam yang dingin mampu memanaskan tubuhnya dengan minuman ini. Kepalanya terasa hampir pecah. Dia duduk bersila di hadapan peti sejuk yang masih terbuka. Merebahkan kepalanya ke lantai. Tangannya masih bermain-main dengan helaian kertas. Geran tanah arwah ayahnya. Teringatkan mimik muka tok wan tadi, buat hatinya bertambah sakit.
“Aku ada benda nak suruh kau buat ni.” Nada tok wan mula serius.
“Ada apa tok wan?”
“Aku nak kau jualkan tanah kat kampung tu.”
“Jual?”
“Ya... jual. Jualkan tanah rumah arwah bapa kau tu. Tanah tu kan atas nama kau. Nak simpan pun buat apa? Lebih baik jual pada orang lain.”
“Itu kan tanah pusaka. Takkanlah tok wan nak Iqbal jualkan pulak?”
“Kau ni memang suka membanta, kan?” Tinggi nada suara tok wan.
“Bukan membantah tok wan. Cuma terkejut. Kenapa sekarang? Dulu, masa Iqbal kecik-kecik, kenapa tak jualkan terus. Kenapa dah tukar nama, baru nak suruh Iqbal jual? Iqbal tak fahamlah.” Faiz Iqbal menukar suara lembut. Tidak mahu merosakkan suasana.
“Terpulanglah kau nak buat macam mana. Asalkan tanah tu bukan atas nama mana-mana keluarga kita. Aku tak suka!” tegas tok wan.
Faiz Iqbal hanya mampu mengeluh. Hitam kata tok wan, hitam jugalah keputusannya. Faiz Iqbal hanyalah pak turut. Tak ubah macam budak suruhan. Melawan cakap? Jangan haraplah!
Faiz Iqbal ketawa macam orang gila. Mengingatkan kejadian tadi, buat dia jadi tidak tentu hala. Rasa macam mahu dipecahkan muka tok wan dengan botol arak yang dipegangnya ini.
“Tok wan, tok wan... kenapa?” nadanya agak sinis. Pelik dan tertanya-tanya. Kenapa senang sangat suruh dia jualkan tanah itu? Kalau jual pun, berapa sangatlah harganya untuk bayar hutang Ibunda Corporation?
“Kenapa tok wan benci sangat dengan ayah? Ayah dah mati, dia boleh buat apa dengan tanah ni!” jerit Faiz Iqbal lebih kuat. Terkesan betul dengan kata-kata tok wan. Bukan mudah duduk menumpang di rumah orang. Sedangkan anak sendiri tok wan benci, inikan pulak cucu angkat macam dia. Semangnya orang tua itu sukar dijangka pendiriannya.
Buntu. Jual atau tidak? Fikiran Faiz Iqbal melayang-layang. Memikirkan cara yang sesuai. Teringatkan Aina Cempaka, membuatkan dia senyum. Senyum penuh tekad.



“DOKUMEN apa pulak ni Encik Iqbal?” soal Aina Cempaka. Wajahnya berkerut-kerut. Pagi-pagi buta lagi sudah minta benda yang aneh-aneh.
“Sign ajelah. Jangan banyak bunyi boleh tak?” Faiz Iqbal merenung wajah Aina Cempaka. Gadis itu masih berdiri tercegat di hadapan meja kerjanya.
“Kalau Encik Iqbal tak beritahu apa benda ni, macam mana saya nak sign?”
“Aku suruh sign aje. Itu pun susah ke?” herdik Faiz Iqbal.
“Tak! Tak... kalau Encik Iqbal tak beritahu apa benda ni!” tegas Aina Cempaka. Melawan balik pandangan Faiz Iqbal.
“Tak payah kau nak over sangat. Ini bukannya surat nikah pun.”
“Bukan soal surat nikah ke apa, tapi ini soal masa depan saya. Entah-entah, Encik Iqbal nak suruh saya buat benda bukan-bukan lagi. Tolonglah Encik Iqbal... cukuplah setakat ni aje saya menipu tok wan. Saya tak sanggup nak buat benda merepek macam tu lagi. Saya malu, tahu tak? Lagipun, saya ni secretary biasa aje. Bukannya anak orang kaya. Tak ada harta. Syarikat perkapalan ke apa,” bebel Aina Cempaka. Macam kereta api laju berkuasa elektrik.
“Shut up! Diam sekejap, boleh tak? Biar aku habis cakap dulu.” Faiz Iqbal mengangkat tangannya tanda diam. Tidak larat lagi mendengar bebelan Aina Cempaka.
“For your information, ini surat perjanjian. Syarikat akan naikkan gaji kau kalau prestasi kau bagus. Jadi… lepas ni kau tak payah risau pasal gaji.”
“Perjanjian apa macam tu?” Aina Cempaka masih tidak puas hati. Meragukan betul!
Faiz Iqbal menongkat dagu. Pen dihulurkan. Dia tidak mahu bercakap apa-apa lagi. Biar Aina Cempaka membuat keputusannya sendiri.
Aina Cempaka teragak-agak mengambil pen yang dihulurkan oleh Faiz Iqbal.
“Signlah. Tunggu apa lagi?” herdik Faiz Iqbal.
Pantas Aina Cempaka menurunkan tandatangannya. Beberapa helai kertas lagi diselak oleh Faiz Iqbal.
“Cap jari kat sini,” arah Faiz Iqbal lalu mengambil ibu jari Aina Cempaka. Ditekankan pada pad dakwat hitam dan kemudian dialihkan ke atas permukaan kertas.
Aina Cempaka cuba membaca isi kandungan kertas yang ditandatanganinya itu tetapi pantas direntap oleh Faiz Iqbal dan dimasukkan semula ke dalam fail.
“Saya tak sempat tengok pun, Encik Iqbal.”
“Tak payah! Semua dah settle.” Faiz Iqbal tersenyum nakal. Mengenyitkan mata.
Aina Cempaka mengeluh. Teruk betul perangai!
“Kalau macam tu, saya keluar dululah,” ucap Aina Cempaka. Dalam hatinya menyumpah seranah lelaki itu.
“Mmmm... pergilah.” Faiz Iqbal tidak menoleh. Kembali membuat kerjanya.
Beberapa jam kemudian, Faiz Iqbal bergerak menuju ke muka pintu biliknya. Tombol pintu dipulas.
“Aina,” panggil Faiz Iqbal. “Aku lapar. Jom pergi lunch.”
“Tak kut. Saya bawa bekal, Encik Iqbal.” Aina Cempaka memberi alasan. Tidak rela timbul gosip murahan nanti.
“Kau ingat otak kau tu boleh berkembang ke duduk kat dalam ofis ni lama-lama? Tak keluar, duduk terperap menghadap kerja!” marah Faiz Iqbal.
“Maaf. Ini dah memang kerja saya, Encik Iqbal.”
“Banyak cakap pulak dia ni...” bisik Faiz Iqbal perlahan. “Ah, tak kira! Aku dah naik kebulur ni. Jom!” Faiz Iqbal bingkas menarik lengan Aina Cempaka.
“Lepaslah Encik Iqbal! Nanti apa kata staf lain!”
“Dah tu? Cepatlah!” Faiz Iqbal berkeras.
Apa boleh buat, permintaan Faiz Iqbal harus diturutkan. Aina Cempaka hanyalah ikan bilis yang terkurung di dalam kotak yang sempit. Kebebasannya ditentukan oleh Faiz Iqbal.



FAIZ IQBAL memilih sebuah restoran yang agak jauh dari pejabat. Bimbang bertembung dengan staf lain pula nanti. Kali ini bukan kedai mamak. Lebih privasi dengan makanan barat. Dia ingin meluangkan masa dengan Aina Cempaka. Biar hatinya gembira. Tidak kisahlah kalau Aina Cempaka tidak rela. Ada dia kisah?
Mereka mengambil tempat di ruang yang agak tertutup. Faiz Iqbal membuat pesanan. Memesan makanan mengikut seleranya sendiri. Buat Aina Cempaka, spageti sudah memadai.
“Kenapa kita tak makan kat tempat biasa aje?” soal Aina Cempaka.
“Kenapa? Kat sini tak best ke?”
“Bukan. Saya takut nanti kita lambat masuk ofis.”
“Lambat, lambat! Cubalah kau fikir benda lain pulak. Kerja tu tak lari ke mana. Lambat-laun kau kena buat jugak. So, jangan kalut. Relakslah.” Nada Faiz Iqbal bertukar lembut.
“Ermmm… yalah,” jawab Aina Cempaka perlahan. Terkesan dengan intonasi Faiz Iqbal.
Hidangan disediakan oleh pelayan di atas meja. Mereka hanya melayan perasaan masing-masing. Sepatah perkataan pun tidak terkeluar. Mengisi perut masing-masing yang kelaparan.
Selesai makan, mereka menuju ke tempat parkir. Mata Faiz Iqbal melilau-lilau. Kepalanya digaru-garukan beberapa kali. Betul ke tidak apa yang dilihatnya sekarang?
“Kalau tak silap tadi... aku parking kereta kat sini. Mana dia?” Faiz Iqbal mengomel sendiri.
“Entah-entah kena tarik dengan DBKL kut?” Aina Cempaka menunjuk jarinya pada garisan kuning di atas jalan.
“Adoi! Macam mana boleh salah parking ni? Kau pun satu, bukannya nak cakap awal-awal.” Faiz Iqbal mengaru kepala. Macam manalah dia boleh tidak perasaan? Parkir kereta di kawasan larangan.
“Manalah saya tahu nak jadi macam ni. Dah tu, macam mana kita nak balik ni Encik Iqbal?” soal Aina Cempaka.
Faiz Iqbal hanya mengeluh panjang. Duduk mencangkung di atas jalan. Otaknya terasa beku. Buntu. Tidak ada idea hendak buat apa.
“Kita naik baslah Encik Iqbal. Tak jauh mana pun, kat depan sana aje.” Aina Cempaka menghalakan jari telunjuknya ke arah seberang jalan. Kawasan perhentian bas.
“Naik bas?”
“Yalah. Takkan nak jalan kaki kut?”
“Aku tak mahu naik bas. Sesak! Panas! Rimas!”
“Kalau macam tu, kita tahan teksi ajelah.”
Faiz Iqbal mengangguk. Naik teksi lebih baik. Tidak sanggup duduk berhimpit macam ikan sardin dalam tin. Tak akan! Jangan haraplah. Cukup sekali dia terkena.
Hampir setengah jam menunggu, tidak ada kelihatan satu kelibat teksi pun yang lalu. Hanya dua tiga buah bas awam sahaja yang lalu melintasi mereka. Cuaca semakin terik. Tekak Faiz Iqbal terasa perit. Panas mentari membuatkan otaknya terasa menggelegak. Terasa semakin mencair.
“Itu bas lagi! Encik Iqbal, kita naik baslah,” cadang Aina Cempaka.
“Apa-apa ajelah. Aku dah tak tahan ni,” setuju Faiz Iqbal. Apa boleh buat, dia terpaksa. Mahu tunggu sampai bila?
Aina Cempaka tersenyum lega dan cepat-cepat menahan bas tersebut.
Pintu bas terbuka. Nasib baik tidak ramai penumpang. Faiz Iqbal mengambil tempat duduk di sebelah tingkap. Mengatasi pergerakan Aina Cempaka yang ingin duduk di tempat tersebut. Aina Cempaka terpaksa mengalah lagi.
“Mmmm... leganya...” Faiz Iqbal menghalakan corong pendingin hawa ke wajahnya. Dia turut mengalihkan kedudukan corong pendingin hawa di tempat Aina Cempaka ke arahnya juga.
“Saya pun panas jugaklah Encik Iqbal!” Pantas Aina Cempaka membetulkan corong pendingin hawa itu semula.
“Eh, apa ni?” rungut Faiz Iqbal. Kedudukan corong pendingin hawa bertukar lagi.
Aina Cempaka mengeluh tidak puas hati.
‘Kalau nak sangat, ambillah!’ cemuh Aina Cempaka dalam hati. Mukanya dikerutkan. Bengang. Sampai benda remeh macam ini pun Faiz Iqbal mahu berebut dengannya.
Sepanjang perjalanan, mereka hanya diam. Lama di dalam bas membuatkan mata Aina Cempaka semakin kuyu. Terlampau berat hendak dibuka. Akhirnya dia terlelap. Terlentok kepalanya ke arah yang bertentangan dari Faiz Iqbal. Faiz Iqbal membetulkan kepala gadis itu dan memaut bahunya. Biar lebih stabil. Nanti tidak pasal-pasal jatuh tersembam. Faiz Iqbal juga yang susah.
Beberapa saat kemudian, kepala Aina Cempaka terjatuh lagi. Kini tepat pada bahu Faiz Iqbal. Dia kelihatan selesa berpaut pada bahu tegap itu. Faiz Iqbal tersenyum. Corong pendingin hawa dibetulkan. Tepat mengenai wajah Aina Cempaka. Terbuai-buai rambut gadis itu ditiup angin.
Wajah Aina Cempaka direnung dalam. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang. Pantas Faiz Iqbal menyentuh dada. Aneh! Mengapa tubuhnya tidak menggeletar? Tidak seperti selalu apabila perempuan lain begitu dekat dengannya. Dia menelan air liur. Satu perasaan yang sama semasa dia melihat Aina Cempaka di hotel tempoh hari.
Bas bergegar. Terlanggar lubang pada jalan. Kepala Aina Cempaka terhentak di bahu Faiz Iqbal lalu melurut ke dada lelaki itu. Pantas matanya terbuka. Baru tersedar dia berada di tempat yang tidak sepatutnya.
“Maaf, saya tak sengaja.” Aina Cempaka mengaru-garukan kepalanya. Mamai. Cepat-cepat dia membetulkan kedudukannya.
“Kau ni memang suka ambil kesempatan, kan?” kata Faiz Iqbal.
Terbeliak biji mata Aina Cempaka.
“Ek eleh! Ambil kesempatan apanya? Encik Iqbal ingat saya ni apa? Saya tak berkenanlah dengan Encik Iqbal!”
“Aku cakap aje. Yang kau nak marah-marah ni kenapa?” lembut suara Faiz Iqbal. Tersenyum manis.
“Bukan marah. Tak selesa...” Mata Aina Cempaka beralih ke hadapan. Wajahnya mula merona kemerahan. Menyembunyikan perasaan malu.
“Mmmm.... tak selesa?” Faiz Iqbal ketawa.
“Kenapa gelak? Tak kelakarlah!” Aina Cempaka cuba beraksi selamba. Buat-buat macam tiada apa yang berlaku.
“Muka kau tu yang kelakar.” Faiz Iqbal menunjuk rambut Aina Cempaka.
Laju tangan Aina Cempaka membuka beg tangannya. Mencari cermin dan sikat, lalu menyisir rambutnya. Huh, selekehnya! Macam orang baru bangun tidur. Eh, dia memang tertidur pun tadi. Aina Cempaka tersenyum dalam hati.
Bas berhenti. Mereka turun. Berjalan kaki menuju ke bangunan Ibunda Corporation yang terletak tidak jauh dari pondok bas. Habislah! Nampaknya mereka berdua sudah lewat masuk ke pejabat.

1 comment: