MAK SU NORMAH masih
kaku di dalam perut teksi. Mata menyorot tepat pada bangunan yang tersengam
gagah di hadapan matanya. Setiap kali dia berkunjung ke situ, perasaannya pasti
akan direntap hiba. Hiba yang teramat sangat! Rasa berat kakinya mahu melangkah
masuk ke dalam bangunan itu.
“Maaf,
puan. Kita dah sampai!”
Pemandu
teksi itu menyorot tepat pada muka Mak Su Normah melalui cermin pandang
belakang. Mungkin sudah bosan menunggu. Sudah hampir lima minit mereka di situ,
tetapi masih belum ada tanda-tanda Mak Su Normah mahu turun dari perut
teksinya.
“Oh, maafkan saya!” Terkocoh-kocoh Mak Su
Normah menggagau beg tangannya yang berada di riba. Setelah duit tambang
bertukar tangan, cepat-cepat dia meloloskan diri dari perut teksi. Matanya
berlari laju pada papan tanda besar yang terpacak kemas di situ. ‘Hospital
Bahagia Tanjung Rambutan.’ Satu helaan nafas yang berat dilepaskan oleh Mak Su
Normah. Dalam kepayahan, langkah diatur kemas menuju ke dalam bangunan yang
berdiri gagah itu.
SAAT
kaki menapak masuk ke dalam wad pesakit wanita bernombor 5A2 di hospital sakit
jiwa itu, telinga Mak Su Normah mula menangkap dengar suara hiruk-pikuk
pesakit-pesakit wanita yang berada di situ. Ada suara tangisan, ada suara
hilaian. Ada juga yang tengah rancak bernyanyi dan dikelilingi oleh beberapa orang
pesakit yang lain. Lagaknya seperti sedang mengadakan konsert besar. Mereka
nampak begitu leka di dalam dunia ciptaan mereka sendiri.
Mak
Su Normah tersenyum kelat. Liur yang terasa pahit di kerongkong itu ditelan
laju. Dada terasa ketat yang amat. Setiap kali kakinya menapak ke situ, dadanya
memang sentiasa sarat. Sarat dengan berbagai rasa. Yang nyata, segala rasa itu
menjerut kemas di jiwanya.
Katil
bernombor 8C itu dihampiri. Dari jauh lagi dia melihat seorang jururawat wanita
sedang berusaha keras memujuk penghuni di katil itu untuk makan ubat. Saat Mak
Su Normah berdiri betul-betul di sebelah katil pesakit itu, laju saja pesakit
wanita itu menerpa ke arah Mak Su Normah.
“Doktor!
Doktor tengok misi ni nak bunuh saya. Dia nak bagi saya makan racun. Saya tak
nak makan racun tu doktor. Tolong saya!” Pesakit tadi sudah bergayut kejap
dilengan Mak Su Normah.
Terjeda
Mak Su Normah seketika.
“Maaf,
paun. Pesakit ni selalu buat hal sejak akhir-akhir ni.” Sapa jururawat tadi
dengan muka bersalah.
“Tak
apa... Awak boleh tinggalkan saya dengan dia dekat sini. Nanti saya uruskan
dia.” Mak Su Normah tersenyum kelat.
“Tapi...”
Jururawat tadi nampak keberatan.
“Tak
apa. Saya saudara dia. Nanti saya pujuk dia.” Mak Su Normah cuba meyakinkan
jururawat tadi.
Jururawat
wanita itu terdiam sejenak. Mata disorot lama pada pesakit wanita yang
sedang berlindung di belakang Mak Su
Normah. Lengan Mak Su Normah masih dipeluk kuat.
“Baiklah.
Kalau ada apa-apa, cepat-cepat panggil saya.” Jururawat wanita itu akur juga
akhirnya. Mak Su Normah ditinggalkan di situ bersama pesakit wanita tadi.
“Safiyya,
mari kita duduk.” Lembut suara Mak Su Normah memujuk. Dia memapah pesakit yang
dipanggil Safiyya itu untuk duduk di katil.
“Doktor!
Dekat sini ramai orang jahat. Doktor kena hati-hati tau!” Safiyya bersungguh
cuba meyakinkan Mak Su Normah. Matanya meliar ke segenap ruang di bilik wad 5A2
itu. Seolah-olah sedang mengawasi setiap gerak-geri sesiapa saja yang berada di
situ.
Mak
Su Normah tersenyum kelat. Runtun rasa jiwanya melihat keadaan Safiyya begitu.
Siapa sangka, seorang wanita cantik dan berjaya suatu masa dahulu menjadi
penghuni tetap di hospital mental ini. Tangan kurus Safiyya ditarik lembut ke
dalam genggamannya. Anak mata Safiyya dicari. Liur yang terasa penuh
dikerongkong ditelan berkali-kali.
“Safiyya,
sihat?” Tanya Mak Su Normah lembut. Rambut Safiyya yang mengerbang itu
dilurutkan dengan jarinya supaya nampak kemas. Terbayang di matanya 23 tahun
yang lalu. Safiyya seorang wanita yang tersangatlah anggun dan cantik. Kerana
ego seorang manusia yang mementingkan darjat dan harta, seorang wanita yang
tidak berdosa menjadi mangsa.
Dua
puluh tiga tahun yang lalu Mak Su Normah telah menyelamatkan Safiyya dari satu
kemalangan ngeri. Kereta yang dinaiki oleh Safiyya bersama suaminya telak
ditembak di bahagian tayar sehingga menyebabkan kereta yang dinaiki oleh mereka
terbabas merempuh sebatang pokok besar di bahu jalan.
Kebetulan,
Mak Su Normah melalui jalan itu. Melihat sebuah kereta yang hampir terbakar, Mak
Su Normah cepat-cepat memapah Safiyya untuk keluar daripada perut kereta. Tidak
sampai lima belas minit selepas itu, kereta yang dinaiki oleh Safiyya meletup.
Suami Safiyya tidak sempat diselamatkan.
Mengetahui
keadaan Safiyya yang sedang berbadan dua itu, membuatkan perasaan kasihan
tumbuh di hati Mak Su Normah. Perasaan itu semakin menebal apabila mengetahui
cerita sebenar di sebalik kemalangan ngeri yang menimpa Safiyya. Semenjak hari
itulah Mak Su Normah menjaga Safiyya dan menganggap dia macam keluarga sendiri.
Tapi
sayang! Selepas Safiyya melahirkan anak, dia telah mengalami penyakit
kemurungan yang berpanjangan. Menurut doktor kemurungan yang dialami oleh
Safiyya adalah berpunca daripada keadaan emosinya yang tertekan dan tidak
stabil. Semakin lama, penyakitnya menjadi semakin parah. Dia mula memencilkan
diri. Anaknya langsung tidak dipedulikan.
Safiyya
mula mencipta dunia sendiri. Kadang-kadang dia ketawa. Adakalanya dia menangis.
Suatu hari, dia cuba membunuh anaknya sendiri. Semenjak daripada itulah Mak Su
Normah telah menghantar dia ke hospital ini dengan harapan dia akan sembuh.
Tapi,
sampai sekarang keadaan Safiyya masih tetap sama. Menurut doktor yang merawat
Safiyya, penyakit Safiyya tidak akan sembuh selagi dia sendiri tidak mahu
keluar dari dunia fantasinya. Safiyya sendiri seolah-olah tidak mahu kembali
pada kehidupan lamanya. Sampai bila dia akan macam tu, Mak Su Normah sendiri tidak tahu.
“Doktor,
tolong tepuk... Fia nak tidur.” Renggekkan Safiyya itu mencantas terus lamunan
Mak Su Normah. Matanya laju saja menyorot pada wajah wanita yang berusia tiga
tahun lebih muda daripadanya itu.
“Safiyya
makan ubat dulu,” pujuk Mak Su Normah, lembut. Segaris senyuman diukir walaupun
dalam kepayahan.
“Ubat?
Bukan racun?” Tanya Safiyya kelihatan begitu polos.
“Bukan..
” Mak Su Normah, senyum lagi. Ubat disua ke mulut Safiyya. Lambat-lambat Safiyya membuka mulut.
“Hmm...
Sekarang dah boleh tidur.” Mak Su Normah kemam bibir. Rasa sebak ditahan
sebolehnya. Tidak mahu air matanya gugur di hadapan Safiyya.
Tanpa
menunggu lebih lama, Safiyya terus merebahkan tubuhnya di atas katil. Mata
terus dipejam rapat.
“Doktor!
Tepuk Fia...” Pinta Safiyya dengan mata yang masih terpejam rapat. Tangan Mak Su
Normah dibawa ke bahunya.
Mak
Su Normah menepuk lembut, bahu Safiyya. Air mata tidak dapat ditahan lagi.
‘Safiyya, sampai bila kau mahu macam ni? Dua puluh tiga tahun, Safiyya! Kenapa
masih mahu menghukum diri sendiri kerana kejahilan insan lain. Tahukah kau di
luar sana ada seseorang yang terlalu mengharapkan kehadiran kau di sisinya. Ada
seorang insan yang merindui kasih sayang
dan belaian sejati daripada kau? Dua puluh tiga tahun dia menunggu, Safiyya!’
Hati Mak Su Normah berbisik dan terus berbisik. Air mata semakin deras mengalir
di pipinya.
LEWAT
senja itu sebuah teksi berwarna merah putih memasuki pagar halaman rumah Wan
Bedah. Iman yang berada di ruang dapur pada ketika itu terus berlari ke muka
pintu tatkala telinganya menangkap dengar bunyi enjin kereta.
Tercengaang-cengang Wan Bedah dan Ajad melihat aksi lipas kudung Iman saat dia
melintasi mereka di ruang tengah rumah.
“Mak
su, pergi mana?” Belum pun sempat Mak Su Normah menjejakkan kakinya ke anak
tangga rumah, Iman sudahpun menyoal. Muka Mak Su Normah yang nampak kepenatan
itu direnung tidak berkelip. Seharian dia tidak nampak kelibat mak sunya di
rumah. Bila ditanya pada Wan Bedah, hanya kebisuan Wan Bedah yang dia dapat.
“Hmm...
kalau ya pun, bagilah mak su naik dulu! Penat tak hilang lagi.” Dalih Mak Su
Normah. Saja malas mahu melayan pertanyaan Iman sebentar tadi. Kaki terus
menapak ke dalam rumah. Terus punggungnya mendarat kemas di atas kusyen kayu
yang berada di ruang tengah rumah. Wan Bedah dan Ajad yang sedang bersantai di
situ sedari tadi, hanya diam memerhati.
Iman
atur langkah menghampiri mak sunya. Muka memang nampak macam tidak berpuas hati.
Dia yakin pasti ada sesuatu yang disorokkan oleh mak sunya. Wan Bedah juga!
Lain macam benar, cara mereka.
“Mak
su... pergi mana tadi?”
Iman
tarik tangan Mak Su Normah. Selagi dia belum mendapat jawapan daripada mak sunya,
selagi itulah hati tidak tenang. Perasaannya rasa semacam saja. Pandangan Ajad
dan Wan Bedah yang menyorot tepat pada dia dan Mak Su Normah itu, Iman buat tidak
nampak saja. ‘Sibuk aje mata tu nak tengok orang!’ Desis hati Iman. Kata-kata
itu ditujukan khas kepada Ajad sebenarnya.
Mak
Su Normah mengeluh kecil. Laju saja dia bingkas bangun dari duduknya. Tangan
Iman yang masih bergayut di lengannya itu dileraikan. Fikirannya tengah kusut
benar sekarang ini. Muka dipalingkan tepat kepada Ajad.
“Encik
Ajad, lepas maghrib nanti kita bertolak balik ke K.L, ya? Tengku Faridah sudah
bising! Banyak kali dia telefon mak su tadi. Katanya dia telefon encik, tapi
tak dapat.” tegang suara Mak Su Normah.
“Baik,
maks u.” Jawap Ajad laju. Otak dia pun tengah pening sekarang ni. Ribut apa
yang sedang melanda Mak Su Normah sekarang dia pun tidak tahu.
“Hmm...
kamu pun, Iman! Pergi kemas barang kamu.” Arah Mak Su Normah.
“Iman
tak nak ikut!” Laju Iman membantah.
“Ikut!”
Laju juga Ajad menyampuk.
“Aku
kata tak nak! Kau tak faham ke?” Iman menjeling tajam kepada Ajad.
“Iman!
Pergi kemas barang.” Akhirnya Wan bedah menggunakan kuasa vetonya. Terus Iman
terdiam. Kaki dihentak kuat ke lantai. Menonong saja dia berjalan menuju ke
biliknya.
“Benci!
Kenapa dengan semua orang ni? Lama-lama boleh gila aku!” Pintu blik dihempas
kuat.
WAN BEDAH menghampiri
Mak Su Normah yang nampak termenung jauh di katil bujangnya. Tangan Mak Su
Normah masih berada di atas beg pakaian yang sederhana besar di hadapannya,
manakala matanya menghala tepat pada dinding bilik. Wajah Mak Su Normah nampak keruh saja.
“Mah...”
Panggil
Wan Bedah, lembut. Punggung dilabuhkan di sebelah anak perempuannya itu.
Semenjak Mak Su Normah bekerja dengan Tengku Faridah, hubungan mereka sedikit
renggang. Ini kerana jarak yang telah memisahkan mereka, membuatkan kemesraan
itu sukar untuk dibenih.
Mak
Su Normah menoleh. Wajah tua Wan Bedah mula menyapa pandangan matanya. Segaris
senyuman cuba diukir, namun tidak berjaya.
“Mah
dah penat mak,” keluh Mak Su Normah. Keningnya bertangkup dua. Matanya mula berair.
Wan
Bedah tarik tangan Mak Su Normah. Digenggam tangan itu lembut dan mesra. Hati
tuanya dapat membaca dengan jelas apa yang sedang bermukim di jiwa anak
perempuannya kini. Mak Su Normah sudah ceritakan perkara sebenarnya kepada dia.
Siapa sebenarnya Tengku Faridah. Apa tujuan dia bekerja di rumah orang kaya
itu. Semuanya telah diceritakan oleh Mak Su Normah kepadanya malam tadi.
Pada
mulanya, Wan Bedah memang marah. Sakit hatinya pada Tengku Faridah memang tidak
padam. Masih jelas terbayang wajah polos Safiyya di mata tuanya. Sanggup
seorang ibu perlakukan anak kandungnya sebegitu rupa. Hanya kerana harta dan
darjat! Manusia jenis apakah Tengku Faridah itu?
Tapi,
bila memikirkan Iman... tidak adil pula rasanya, kalau mereka pisahkan Iman
daripada darah dagingnya sendiri. Buruk, baiknya pun... mereka tetap satu
keluarga. Dari darah dan keturunan yang sama. Mungkin Tengku Faridah sudah
menyesal dan bertaubat dengan kesalahan silamnya. Siapa tahu!
“Mah,
kalau kamu yakin ini jalan yang terbaik... buatlah! Mak sentiasa menyokong.”
Pujuk Wan Bedah lembut. Mata Mak Su Normah yang nampak berair itu ditentang
lembut. Terserlah pancaran kasih seorang ibu.
“Betul
ke apa yang Mah dah buat ni, mak? Tak kejam ke kita pada Iman?”
“Insya-Allah,
dia akan faham. Inilah masanya, Mah. Takut nanti kalau kita terlambat, Iman akan
lebih salahkan kita waktu nanti.” Wan Bedah cuba yakinkan Mak Su Normah.
Mak
Su Normah terdiam sejenak. Ada betulnya juga kata, Wan Bedah itu. Ajal manusia
tidak boleh diduga. Semua itu rahsia Allah. Kalau itu terjadi, pasti Iman tidak
akan dapat memaafkan mereka.
“Sikit
masa lagi mak. Insya-Allah, bila semua dah selesai, Mah balik duduk dengan mak.
Mah akan jaga mak. Maafkan Mah, mak. Sebab tak dapat nak jaga mak sekarang.”
Mak Su Normag diterpa perasaan bersalah.
“Ish,
mak tak kisah, Mah. Kak Long kamu tu, hari-hari datang jenguk mak. Akma tu pun
selalu juga datang. Jangan risaukan, mak! Selesaikan dulu apa yang kamu nak
selesaikan tu.” Wan Bedah ukir senyuman lembut.
“Terima
kasih, mak.” Tangan Wan Bedah digenggam erat oleh Mak Su Normah. Terasa lapang
sedikit dadanya melihat senyuman yang terukir di wajah tua emaknya. ‘Inilah
masanya Mah!’ Desis hatinya penuh yakin.
No comments:
Post a Comment