DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 13 January 2016

TERBIAS BENCI TERSIRAT RINDU - BAB 19

BAB 19


IMAN sorot bayang sendiri pada cermin solek di biliknya. Baju kurung moden berwarna putih yang tersarung elok di tubuhnya itu nampak cantik sekali. Berkali-kali Iman belek dirinya di cermin. Macam tak percaya akhirnya dia terima juga lamaran mamat mata sepet tu. Mamat yang tiba-tiba saja muncul dalam hidupnya. Yang sentiasa menyesakkan nafasnya.
Iman menarik nafas panjang. Wajahnya yang disolek tipis oleh mak andam terkenal di kampungnya itu ditilik semula. ‘Hmm... tak sangka lawa juga aku ni, ya?’ Iman tersengih sendiri. Tapi, senyuman itu sekejap cuma.  Tidak sampai lima saat, senyuman yang mekar di bibirnya tadi terus kuncup. Kening pula mula bertaut.
‘Iman... Kenapa sedih ni? Ini hari bahagia kau! Tolonglahhh... Jangan menangis! Jangan pernah menangis! Selama dua puluh tiga tahun ini kau sudah cukup kuat untuk tempuh semuanya, kenapa hari ini nak rasa sedih sangat ni?’ Hati mula bergelut sendiri.
Liur ditelan berkali-kali. Sedih rasanya mengenangkan nasib diri. Selalu berkorban demi menjaga hati orang lain. Hati sendiri? Apakah Allah akan balas setiap pengorbanannya nanti?
Tapi, bukankah janji Allah itu pasti? Jika kita permudahkan urusan orang lain, Allah akan permudahkan urusan kita juga. Iman yakin, Allah tidak akan menganiayai hamba-Nya sendiri. Manalah tahu dengan menolong Tengku Faridah dia akan bertemu dengan jawapan tentang persoalan yang sudah lama menjerut hatinya. Iman yakin, kebaikan akan dibalas dengan kebaikan juga.
“Weh! termenung apa tu?” Sergah Akma tiba-tiba dari belakang.
Terangkat bahu Iman dek terkejut. Laju saja tubuhnya dipusing mengadap kepada Akma yang sudah tersengih macam kerang busuk. Sudah siap sedia menadah telinga untuk mendengar bebelan dia.
“Kau ni! Kalau aku kena serangan jantung tadi siapa nak gantikan tempat aku ini? Kau?” Iman celikkan matanya luas kepada Akma. Muncungnya sudah panjang sedepa. Sakit hati sangat dengan Akma. Tidak habis-habis dengan perangai nak sergah orang.
Akma ketawa kecil. Kaki diayun menghampiri Iman yang sedang duduk di kerusi meja solek. Sesekali kepalanya ditinjau ke luar rumah menerusi jendela bilik Iman yang terbuka itu. Mengintai kalau-kalau pengantin lelaki sudah sampai.
Dia nampak beberapa orang kampung sudah mula memenuhi khemah. Kalau ikutkan Iman, memang dia tak nak buat kenduri. Tetapi, Wan Bedah berkeras juga mahu menjemput orang kampung. Hendak tak hendak, Iman terpaksa juga mengalah. Tetapi dia tetap juga berkeras tidak mahu bersanding di pelamin.
“Kalau aku boleh gantikan tempat kau, bagus juga!” Akma ketawa lagi. Matanya kini menyorot tepat pada wajah Iman yang sudah cantik disolek itu.
Iman mencebik. Makin sakit  pula hatinya.
“Kau kenapa ni? Orang nak kahwin, suka. Kau, tayang muka macam ayam berak kapur? Tak seronok dapat kahwin dengan cucu orang kaya? Handsome! Yang penting ada Audi S6...” Akma tersengih lagi. Suka sangat dia tengok Iman marah. Bila lagi mereka dapat bergurau. Lepas ni mesti susah dia mahu bergurau mesra dengan Iman.
“Kau nampak ni?” Iman tayang penumbuk. Geram. Mukanya semakin mencuka. Ingat jiwa dan kasih sayang tu, boleh dibeli dengan duit ke!
Uish, ganasnya pengantin ni! Matilah mamat mata sepet tu malam ni dikerjakan oleh Nurul Iman. Sah-sah tak ada sopan-santunnya.” Akma semakin galak mengusik Iman. Makin kuat juga tawanya terhambur.
Iman ketap gigi. Geram yang amat dengan Akma. Dia tengah susah hati, boleh pula kawan baik merangkap sepupunya itu bantai gelakkan dia.
“Tak kelakar, okey!” Suara Iman kendur. Raut wajahnya tiba-tiba berubah menjadi mendung.
Akma terjeda. Terus tawanya yang galak tadi mati. Berkerut-kerut dahinya menyorot muka Iman.
“Ni, kenapa ni? Apa yang kau fikir sebenarnya?” Tanya Akma lembut. Kali ini mukanya nampak serius. Tidak main-main macam tadi lagi.
“Mmm... Aku tak tahulah betul ataupun tidak tindakan aku ni. Aku tak cintakan dia. Kau tahukan hati aku pada siapa? Aku memang sukakan Ajad. Tapi, cinta tu... aku tak pasti.” Akhirnya terluah juga apa yang terbuku di hati Iman.
Akma diam sejenak. Dia memang faham sangat dengan Iman. Kalau dah sayangkan seseorang itu, memang payah dia nak lupakan. Kadang-kala Akma tak faham dengan Iman. Apa yang ada pada Asyraf, sampaikan Iman sayang sangat pada lelaki tu. Padahal Asyraf, buat endah tidak endah saja pada Iman.
“Beb, kau dah buat keputusan. Baik buruknya kau kena juga telan. Takkan kau nak batalkan majlis ni. Tengok orang dekat luar sana tu. Kau tak kesiankan wan ke?” pujuk Akma.
Iman hela nafas lagi. Ya! Kerana kesiankan merek-merekalah, dia terpaksa berkorban hati dan perasaan sendiri.
“Akma, kalau ibu aku ada... tentu seronok, kan?” Mata Iman mula berkaca. Cepat-cepat dia kedipkan matanya. Tidak mahu air matanya tumpah di hadapan Akma.
“Iman...”
 Tangan Iman sudah digenggam erat oleh Akma. Dia tahu apa yang terbuku di hati Iman. Walaupun Iman tidak pernah luahkan isi hatinya, Akma tetap dapat membacanya.
“Aku, okey!” Iman tersenyum kelat. Perasaan sedih dan sebak cuba diusir menjauh.
Seketika itu juga Mak Su Normah sudah muncul di pintu bilik.
“Iman! Cepat, keluar. Pengantin lelaki dah sampai.” Panggil Mak Su Normah dengan senyuman manis yang menguntum di bibir.
Iman berpandangan dengan Akma. Tiba-tiba pula rasa berdebar.
“Ya, mak su!” Jawap Iman perlahan, sambil tersenyum kelat.

SAAT tangan Ajad menggenggam kemas tangan Tok Kadi, debaran di dada Iman mula menggila. Rasa macam hendak tercabut saja jantungnya. ‘Ish, kenapa ni Iman? Relaks... Istighfar okey!’ Hati Iman bergolak ganas.
Saat saksi-saksi menganggukkan kepala sesama mereka menandakan dia sudah sah bergelar isteri kepada Ajad, Iman rasa air matanya mula bergenang. Saat bibir hangat Ajad mendarat tepat di ubun-ubunnya juga, jiwanya mula dilanda taufan sebak. Iman seakan dapat merasakan sesuatu. Suatu rasa halus yang begitu pelik menjamah jiwanya. Sukar untuk difahami. Yang nyata terasa amat damai dan menyenangkan.
Iman sorot satu-persatu wajah tetamu yang hadir. Wajah Tengku Faridah, wajah Kak Mona, wajah Pak Dollah... Senyuman terus mekar di bibir. Tapi, saat matanya bertemu dengan anak mata Tengku Anis, senyuman di bibirnya terus mati. Jelingan maut Tengku Anis benar-benar menghapuskan senyuman yang sedang mekar di bibirnya.
Wajah Tengku Fauziah merangkap nenek kepada Tengku Anis juga nampak pahit macam kopi pekat. Iman telan liur. Tahu benar kenapa mereka menghadiahkan jelingan maut kepadanya. Mesti tidak puas hati kerana Ajad telahpun menjadi suami kepadanya. Maklumlah pacat gedik itu memang terlalu sukakan Ajad.
Iman toleh kepada Ajad yang sedang menggenggam erat jemarinya. Sebuah senyuman indah Ajad hadiahkan untuknya. Entah kenapa, hati yang dihimpit resah tadi berasa sedikit tenang melihat senyuman yang terukir mekar di bibir Ajad.
Thanks, baby!”
 Iman nampak bibir Ajad bergerak. Tapi suaranya tidak kedengaran. Renungan mata Ajad itu benar-benar bikin onar di hati Iman. Cepat-cepat dia melarikan matanya ke arah lain. Tapi, sekali lagi dadanya terasa ketat bila matanya sekali lagi bertembung dengan mata tajam milik Tengku Anis. ‘Okey! Bersedia untuk berperang selepas ini, Iman!’ Hatinya berbisik yakin.

IMAN resah di ruang tengah rumah. Jam di dinding rumah ditilik berulang kali. Tepat pukul 11.00 malam. Baik Wan Bedah, Mak Su Normah, mahupun Ajad, masing-masing sudah lama menyepikan diri di dalam bilik. Mungkin penat dengan majlis yang berlangsung pada siang tadi.
Iman masih lagi mundar-mandir di luar bilik. Resah rasa hatinya. Badan penat jangan ceritalah! Tapi, dia takut mahu masuk ke dalam bilik. Seram rasanya, berdua-duaan dengan Ajad di dalam satu bilik.
“Hish, apa aku nak buat ni?” Otak Iman ligat berfikir. Dia masih mundar-mandir di ruang tengah rumah. Suasana semakin sunyi. Hanya bunyi suara burung tukang saja yang menjamah halwa telinga saat ini.
“Hah! Angkut selimut dengan bantal, pergi tidur dengan Mak Su. Bijak kau Iman!” Iman sudah tersengih lebar. Menonong saja dia berjalan menuju ke biliknya.
Pintu bilik, Iman tolak perlahan. Dia nampak Ajad sudahpun di atas katil. Serta merta senyuman menguntum di bibirnya. Tangan laju saja mencapai bantal dan selimut.
 “Eh, kau nak angkut ke mana bantal dengan selimut tu?”
Melambung rasanya jantung Iman dek terkejut. Spontan tangannya naik menjamah dada.
Ajad bingkas bagun. Duduk bersandar kemas di kepala katil. Wajah comel Iman, disorot dalam-dalam. Pelik tengok Iman bersusah payah mengangkut selimut dan bantal.
Iman telan liur.
“Err... Urrmm... Nak pergi tidurlah! Kau tak dengar ke burung tukang dah berbunyi tu? Maknanya hari dah malam!” Iman bulatkan matanya kepada Ajad. Huh, lagi mahu tanya ke!
Ajad betulkan duduknya di atas katil Iman. Mata masih tidak lepas daripada merenung Iman. Renungan penuh menggoda.
Baby, malam ni kan first night kita...” Ajad jungkit kening. Senyuman gatal sudah bermain di bibirnya.
Gulp! Iman telan liur lagi. Ish, tak boleh jadi ni! First night bagai ni. Otak Iman ligat berfikir.
Sesaat, dua saat... dia menjawap,
“Kau ni kan, si pacat tu kau panggil baby, aku pun kau panggil baby! Gelilah aku.” Iman cebir bibir. Meyampah pun ada dengan Ajad. Mana tak menyampah. Semua nak dijadikan ‘baby’ dia.
“Alaa... itu dulu. Sekarang cuma kau sorang saja baby, aku. Baby, mehlah sini. Tak payahlah nak tiru drama melayu tu. Asal tak suka aje tidur asing-asing. Dari tadi lagi aku tunggu kau masuk. Kalau kau tidur tepi aku, dapat pahala tau!Aku janji tak buat apa-apa. Lagipun dekat kampung kau ni sejuk sangatlah. Kalau kau tidur sebelah aku, syok sikit. Ada haba!” Kening Ajad menari-nari. Senyuman jangan ceritalah. Asyik menguntum saja di bibirnya dari tadi.
Iman kerut dahi.
“Sekali lagi aku dengar kau panggil aku baby, kau tidurlah sorang-sorang dalam bilik ni!” ugut Iman.
“Okey, Okey! Aku tak panggil dah. Jomlah, tidur. Aku janji, aku tak buat apa-apa.”
“Boleh percaya ke ni?” Iman kerut kening.
“Sumpah! Aku tak buat. Kau tidur hujung sana, aku tidur hujung sini. Tengah-tengah kita letak bantal peluk. Setuju?” Cadang Ajad bersungguh. Yes! Umpan macam dah nak mengena aje!
Iman kecilkan matanya. ‘Mamat mata sepet ni boleh percaya ke? Ish, macam tak boleh percaya aje ni.’ Otak Iman ligat lagi. Macam mana nak terlepas dari mamat mata sepet ni? Mata melilau ke segenap ruang bilik tidurnya sambil otak tidak henti bekerja.
Tiba-tiba mata Iman tertancap pada satu objek yang sedang bergerak di dinding bilik. Laju saja dia melepaskan bantal dan selimut di tangan. Sepantas kilat juga dia menangkap benda yang bergerak tadi.
“Kau buat apa tu?” tanya Ajad pelik. Kening mula bercantum dua melihat Iman yang tersengih-sengih, sambil tangannya menggenggam sesuatu.
“Ajad, aku ada benda nak bagi dekat kau.” Iman ukir  senyum. Langkah diatur penuh menggoda ke arah Ajad yang sedang bersila di atas katil.
“Apa dia?”
“Pejam mata, kemudian tadah tangan kau. Lepas tu, kau genggam kuat-kuat tau. Bila aku cakap buka, baru kau buka.”
“Ish, ada-ada sajalah kau ni. Ini malam pertama kita tau! Boleh pulak kau nak main silap mata.” Geram Ajad.
“Ini tanda kasih sayang aku untuk kau.” Iman senyum lagi.
“Kasih sayang? Okeylah, kalau gitu. Cepatlah!” Ajad pejam mata. Tangan kanannya ditadah.
Iman sudah ketawa mengekek di dalam hati. ‘Ha... ha... ha... malam pertama, ya?’
Sebaik saja Ajad menggengam objek yang Iman letakkan ke dalam tangannya tadi, dahi dia terus berkerut-kerut. Laju saja matanya terbuka.
“Apa benda ni, Iman?” Tapak tangan dibuka.
Arrgghhhh!” Ajad sudah meloncat tinggi di atas katil. Terkejut!
 Iman pula sudah ketawa mengekek, sampai terduduk-duduk di lantai. Berair-air matanya kerana terlalu kuat ketawa. Seekor lipas terbang menyelamatkan diri.
“Kurang ajar kau!” Ajad sudah terjun dari katil. Iman direnung macam nak telan. Geram, malu... semua ada.
“Ajad, aku nak bergurau aje.” Iman sudah kecut perut. Melihat Ajad yang menapak semakin hampir dengan dirinya, Iman pantas berdiri.
“Aku pun nak bergurau, sayang.” Ajad sudah tersenyum senget. Matanya dikecilkan. Merenung Iman dari atas samapi ke bawah dengan rakusnya.
“Ajad, kau jangan apa-apakan aku!” Ugut Iman mula takut. Renungan mata nakal Ajad tiba-tiba saja buat bulu roma Iman meremang.
Ajad ketawa kecil. Ugutan Iman tadi macam angin lalu saja di telinganya. Kaki semakin menapak. Iman undur lagi ke belakang. Baru saja Iman buka langkah untuk lari, tangan kekar Ajad terlebih dahulu merangkul erat tubuhnya.
I got you!” Ajad tersenyum senget. Tubuh Iman terus didakap erat.
“Ajad, tolonglahhh...” Rayu Iman lemah. Hangat tubuh Ajad betul-betul melemaskan dirinya.
“Tak nak...” Ajad berbisik lembut di telinga Iman. Pelukan di tubuh Iman makin erat.
 Iman kaku.
“Aj...”
Baru saja Iman mahu membuka mulut, bibirnya terus terkatup. Tidak sampai sesaat bibir merahnya sudah ditakluk oleh Ajad. Iman terkebil-kebil. Dua minit berlalu, bibir Ajad masih melekat utuh di bibirnya.
Nafas Iman sesak.
Melihat Iman langsung tidak melawan, Ajad mula memberi sentuhan lembut di tubuh Iman.
Makin lemas Iman dengan sentuhan Ajad. Langsung dia tidak mampu untuk menolak Ajad. Hangat tubuh Ajad benar-benar membakar jiwanya. Bergegar hati perempuannya. Sentuhan lembut Ajad juga bagaikan satu pukauan yang hebat. Mampu menawan hatinya dengan begitu mudah.
Tanpa sedar tangan Iman juga mula menari mengikut rentak, Ajad.
Ajad tersenyum lebar.
“Jom...”
Bisik Ajad halus di telinga Iman. Saat itu juga tangan kekarnya sudah mencempung erat tubuh Iman, lalu dibawa ke katil.
Tunak mata Ajad yang merenung tepat pada mata Iman, seakan terus memukaunya. Iman telan liur. Makin kuat denyutan jantungnya. Layanan lembut Ajad terus membeli jiwanya sehinggakan dia tidak mampu lagi untuk menolak diri Ajad. Segala-galanya menjadi begitu indah. Akhirnya, malam itu mereka sama-sama telah mengembara ke bintang yang tinggi.



No comments:

Post a Comment