DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 13 January 2016

TERBIAS BENCI TERSIRAT RINDU - BAB 8

BAB 8


IMAN bergolek ke kanan, kemudian bergolek semula ke kiri. ‘Ish, kenapa dengan aku ni? Kenapa kepala otak aku ni asyik teringat dekat mamat mata sepet itu saja? Adehhh.. parah macam ni!’ Tangan menggaru kepala berkali-kali.
“Iman?”
Argghhh!!” Iman terjerit kuat. Berdetak-detuk dadanya kerana berdebar.
“Kamu ni kenapa, buang tabiat?” selar Mak Su Normah sambil berjalan terkedek-kedek menghampiri katil iman. Tidak sampai lima minit punggungnya sudah mendarat di atas tilam empuk milik Iman.
“Mak su tu yang buang tabiat! Ada ke panggil orang sergah-sergah macam tu. Cuba panggil elok-elok. Kalau Iman ni ada sakit jantung, mak su dah jadi pembunuh tau tak!” Iman bangun dari baringan. Dia duduk bersila di hadapan Mak Su Normah dengan muka mencuka.
“Tak payah nak buat muka sangat! Sepatutnya mak su yang buat muka dengan kamu tu.,” marah Mak Su Normah. Kepala Iman ditunjal dengan jari telunjuknya. Geram!
“Mak su... Apa ni? Dah macam mak tiri dah mak su ni. Nak balik rumah wanlah kalau macam ni.” Iman sudah merenggek manja. Kepala yang ditunjal oleh Mak Su Normah tadi digosok perlahan. Makin panjang pula muncung Iman jadinya.
“Hah, bagus juga tu... Tak adalah mak su pening kepala nak fikirkan perangai kamu tu!” Muka Mak Su Normah serius. Mata Iman ditentang lama.
“Apa mak su ni? Mana ada orang buat perangai!” Suara Iman sudah mengendur. Panahan mata mak sunya itu terasa seperti ada kuasa sihir yang paling jahat, yang mampu membutakan biji matanya. Sudahnya, Iman tunduk menekur lantai.
“Apa dah jadi sebenarnya, Iman? Kenapa tiba-tiba Encik Ajad tu nak kahwin dengan Iman?” Suara Mak Su Normah berubah lembut. Wajah yang tadinya macam kucing hendak terkam tikus, sudah bertukar menjadi mendung. Matanya juga nampak berkaca.
Berkali-kali Mak Su Normah menelan iur. Sebak. Apa yang paling dia bimbangkan sekarang ini, adalah Iman. Bimbang kalau-kalau sejarah silam akan berulang. Bimbang seandainya perasaan Iman akan terluka. Kalau itu yang terjadi, dialah orang yang paling menyesal kerana membawa Iman ke sini. Lain yang dia rancangkan, lain pula  yang jadinya. Memang dia pening yang amat.
“Mak su janganlah tengok orang macam tu. Macam orang buat salah besar pula! Iman tak bunuh oranglah mak su.”
“Memang kamu tak bunuh orang! Tapi mak su yang rasa macam nak bunuh Iman sekarang ni.” Laju tangan Mak Su Normah mencubit peha Iman. Geram dengan perangai Iman yang tidak pernah mahu serius itu.
“Aduhhh... Sakitlah mak su!” Renggek Iman mendayu-dayu. Sebaik sahaja cubitan di pehanya terlepas, laju saja dia menggosok pehanya. Kejamnya, mak su!
“Iman, kita tak setaraf dengan mereka. Maksu tak nak Iman terluka nanti. Iman faham maksud mak su, kan?” Suara Mak Su Normah hampir-hampir tidak keluar. Dia benar-benar rungsing memikirkan itu semua. Matanya terus menyorot redup pada mata Iman.
Iman menarik nafas panjang. Jadi, inilah sebenarnya yang merungsingkan mak sunya sejak tadi.
“Mak su! Iman tak ada apa-apalah dengan cucu mak engku tu. Gila, nak kahwin! Kenal pun tidak, tiba-tiba nak kahwin.” Iman ketawa kecil. Saja nak sedapkan hati Mak Su Normah. Padahal, dia sendiri takut hendak berdepan dengan Tengku Faridah sebenarnya.
“Hmm, habis tu macam mana boleh timbul isu kahwin ni?” Muka Mak Su Normah masih sama. Keruh bercampur mendung.
“Entah!”
Iman jongket bahu. Dia sendiri tak ada jawapan untuk pertanyaan mak sunya itu.
Mak Su Normah diam. Entah apa lagi yang sedang bermain di fikirannya, Iman tidak tahu.
“Mak su, siapa ibu kandung Iman yang sebenarnya?”
Bahu Mak Su Normah disentuh lembut. Mata bundar emak saudaranya itu direnung dalam. Jelas tergambar perasaan terkejut di wajah Mak Su Normah dengan pertanyaan Iman yang tiba-tiba itu.
Serta merta mata Mak Su Normah berkaca semula. Cepat-cepat dia menoleh ke arah lain. ‘Belum tiba masanya, Iman.’ Hati Maksu Normah berbisik sayu. Tak sanggup dia hendak bertentang mata dengan Iman. Mata jernih Iman nampak benar-benar berharap.
“Mak su?” Iman goncang bahu Mak Su Normah perlahan. Seakan merayu kepada Mak Su Normah untuk bercerita.
“Mmm, mak su keluar dulu! Lain kali kita bercerita, ya. Mak su sayang Iman sangat-sangat! Ingat apa yang mak su pesan tadi.” Tangan lembut menyentuh ubun-ubun kepala Iman.
Baru saja Iman mahu membuka mulut, cepat-cepat Mak Su Normah angkat punggung. Tanpa menoleh lagi kepada Iman, dia terus berlalu dari bilik itu. Takut semakin lama dia di situ, hatinya makin terpujuk dengan rayuan Iman. ‘Belum tiba masanya!’ Itulah kata hati Mak Su Normah.
Iman menghela nafas, panjang. Bayang Mak Su Normah disorot sampai hilang dari pandangan. Hatinya tiba-tiba saja disapa pilu. ‘Kenapa semua orang tak sudi nak bercerita? Hina sangatkah ibu kandung aku?’ Hati Iman merintih hiba.
Jatuh sudah air mata yang selama ini tersorok kemas disebalik senyuman yang selalu terukir indah di bibir munggilnya. Semakin lama, semakin lebat. Sudahnya, Iman teresak di situ.

“ADA apa nenda nak jumpa dengan Ajad?”
Ajad sandarkan tubuhnya rapat pada sofa empuk di bilik Tengku Faridah. Matanya menyorot tepat kepada Tengku Faridah yang sedang duduk di kerusi meja solek. Nendanya itu duduk mengadap pada cermin, sambil tangannya ralit menyapu krim malam ke muka.
Itulah, Tengku Faridah! Walaupun usianya sudah menginjak ke senja, tetapi penampilan diri sentiasa dijaga. Tidak hairanlah Tengku Faridah masih kelihatan anggun di usia begini.
Tingkah Tengku Faridah mati. Tubuh dipusing mengadap kepada Ajad. Lama juga dia diam. Muka Ajad disorot dalam-dalam. Sayangnya kepada Ajad tiada tandingan.
“Betul ke Ajad nak kahwin dengan Iman?” tegang saja suara Tengku Faridah.
Ajad tarik senyum. Dia memang dari tadi lagi sudah dapat mengagak kenapa Tengku Faridah mahu berjumpa dengannya.
“Kenapa? Nenda tak suka?” Sinis dan dalam sekali.
Muka Tengku Faridah tiba-tiba berubah riak.
“Ajad, dia tak setaraf dengan kita.”
“Kenapa? Sebab dia orang kampung? Sebab dia tak ada nama ‘Tengku’ dekat depan?” Sekali lagi Ajad sinis.
“Habis tu, Tengku Anis macam mana?”
“Nenda, Anis tu dah macam adik Ajad. Lagipun, tak seronok kahwin dengan keluarga sendiri. Macam mana nak berkembang?”
“Tapi, Ajad baru saja kenal Iman. Kenapa tiba-tiba nak kahwin?” Dahi Tengku Faridah berlipat rapat. Sungguh, dia tidak senang dengan permintaan Ajad itu.
“Hmm, dah jodoh!” Selamba dan yakin saja Ajad membalas. Dahi Tengku Faridah yang nampak semakin berkerut itu, dia buat nampak tidak nampak saja. ‘Ini Tengku Amjad Kamil lah! Apa yang aku nak, aku akan dapatkan!’ Hati Ajad berbisik yakin.
“Nenda tak setuju! Dia bukan dari gologan kita.” Tengku Faridah sudah memberi kata putus.
Ajad tersenyum senget. Mata Tengku Faridah direnung tajam.
“Jangan lupa! Darah yang mengalir dalam tubuh Ajad ini juga bukan darah tengku!”
Tengku Faridah terkedu. Terdiam seribu kata.
“Jangan sampai dosa lama diulang lagi nenda!” Sekali lagi Ajad menebak. Terus dia bangun dari sofa dan berlalu meninggalkan Tengku Faridah yang nampak semakin terkedu.

PINTU bilik ditolak kasar oleh Iman. Tiba-tiba saja dia terasa haus yang amat. Sampaikan hendak melelapkan mata pun tidak boleh.
“Argggh!”
Iman bertempik kuat. Sepantas kilat juga mulutnya telah ditekup kejap. Macam hendak tercabut nyawa Iman. Buka saja pintu, Ajad sudah terpacak depan pintu bilik dia. Tegap berdiri macam tiang elektrik kat tepi jalan.
“Kalau tak menjerit tak boleh ke?” Bentak Ajad kasar. Matanya bulat merenung Iman. Mulut Iman masih ditekup kuat. Bimbang kalau-kalau Iman sambung menjerit.
Iman tarik tangan Ajad kasar. Saat tangan Ajad sudah terlepas daripada mulutnya, dia menarik nafas dalam-dalam. Nafas yang terasa semput sebentar tadi cuba diatur dengan sekata. Sudahlah terkejut tengok mamat mata sepet itu tiba-tiba saja terpancul dekat depan pintu bilik dia. Lepas tu, mulutnya ditekup pula. Mahunya, dia tidak semput!
“Macam mana aku tak menjerit! Kau buat apa tercongak depan pintu bilik aku tengah malam buta macam ni? Nak mengendap?” tebak Iman kasar. Bukan boleh bagi muka pada mamat mata sepet ni. Silap hari bulan, lain jadinya.
Ajad tarik senyum. Senyuman yang manis dan menggoda. Mata Iman tidak lepas-lepas dari renungannya.
Iman telan liur. ‘Mak aii, kacaknya!’ Tanpa dipinta, hati Iman laju saja memuji. Mata dia juga tidak berganjak dari membalas renungan Ajad. ‘Ish, Iman! Kau jangan nak cari pasal!’ Cepat-cepat dia kejutkan hatinya yang tengah dibuai mimpi.
“Apa sengih-sengih?” Iman buat-buat garang. Dalam dada hanya Allah saja yang tahu apa yang dia rasa. Macam nak guling-guling dekat situ. Senyuman Ajad tu memang betul-betul membunuh jantung Iman.
“Kau tahu kenapa aku suka sangat dengan kau?” Ajad maju setapak. Sengaja nak dera Iman. Dia tahu Iman tengah gelabah sekarang. Ajad makin seronok.
Iman mula berpeluh nipis. Deria baunya jelas dapat menghidu bau wangian tubuh Ajad. Bau yang boleh menjentik tangkai hatinya.. Yang mampu membuai perasaannya.
“Kau nak buat apa ni?” Tubuh Ajad ditolak kasar. Tapi langsung tidak berganjak.
“Kau ni lain daripada perempuan-perempuan yang aku kenal. Bila kau marah ataupun kau mengelabah macam ni, kau nampak comel sangat..” Jujur Ajad. Pipi Iman cuba disentuh.
“Ish, jaga tangan tu!” Iman menepis laju, tangan Ajad.
Ajad ketawa kecil. Dia suka bila Iman jual mahal macam tu. Perasaan ingin memiliki Iman semakin menebal.
“Kau ni sweet tau tak! Kita kahwin erk?”
“Jangan mimpi!” Iman mencebik.
Ajad senyum lagi. Wajah comel Iman ditatap tidak berkelip. Iman nampak comel sangat dengan rambut yang terlepas bebas. Rasa sayang untuk dia kedipkan mata walaupun sesaat.
“Kenapa tengok aku macam tu?” Dahi Iman sudah berkerut.
“Kau comel sangat bila tak bertudung.”
“Hah, tudung?” Laju Iman tutup kepalanya dengan kedua belah tangan. Baru dia tersedar yang dia tidak bertudung.
“Tak payahlah nak gelabah sangat. Aku dah nampak dah!” Ajad senyum senget.
“Huh! Menyampah. Kau dengar sini. Aku memang tak nak kahwin dengan kau! Aku tak kenal kau, aku tak suka kau! Yang paling penting, kau dengar sini baik-baik, ya. Aku dah ada kekasih hati. Kekasih hati aku tu, orang alim-alim... So, aku memang tak nak kahwin dengan kau. Titik!”
“Ada aku kisah! By hook or by crooked... aku akan kahwin juga dengan kau. Titik!”
“Hah?” Mulut Iman terlopong luas.



No comments:

Post a Comment