RUANG dapur
rumah kampung milik Wan Bedah gamat pada petang itu. Begitulah keadaannya kalau
Maksu Normah balik. Selalunya jika Wan Bedah tinggal berdua dengan Iman,
waktu-waktu macam ni memang tidak lekatlah Nurul Iman itu di rumah. Ada saja
alasannya untuk keluar berjalan. Bosanlah, rimaslah, kalau terperap saja di rumah.
Sudahnya dia melepak di rumah sepupu merangkap kawan baiknya, Akma. Sudah
banyak kali Wan Bedah menegur. Haram dia nak dengar. Umur dah nak masuk 23 tahun,
tapi perangai tidak berubah-ubah. Fikir hendak seronok saja!
Nurul
Iman, seorang gadis manis dan comel. Seorang gadis yang sentiasa lincah dan
periang. Sentiasa murah dengan senyuman. Dia tidak pernah mempamerkan sekelumit
pun kesedihan yang bersarang di hatinya, hatta kepada kawan baiknya, Akma.
Segalanya apa yang bersarang di hatinya, hanya dipendam sendiri.
Semenjak
kecil Iman memang telah dijaga oleh Wan Bedah dan Maksu Normah. Dia ditatang
bagaikan minyak yang penuh oleh mereka berdua. Kehadiran Iman dalam hidup
mereka dua beranak memang sentiasa menceriakan hari-hari mereka. Maksu Normah
sendiri tidak pernah berkahwin lantaran kecewa dengan cinta silam. Hanya kepada
Iman sajalah tempat dia mencurah kasih dan sayang.
Pernah
juga Iman bertanyakan Wan Bedah perihal kedua orang tuannya. Tetapi, kebisuan
Wan Bedah menutup segalanya. Sudahnya, dia kecewa sendiri. Walaupun hati kecilnya
meronta ingin tahu, namun keinginan itu terpaksa dia pendamkan jauh di lubuk
hati.
Melihat
ada air jernih yang bergenang di kelopak mata Wan Bedah pada setiap kali dia
bertanyakan hal itu, membuatkan keinginannya untuk mengetahui perkara yang
sebenar terpadam. Akhirnya, sampai ke hari ini dia belum bertemu dengan
jawapan.
Kadang-kala
pernah juga Iman terfikir, mungkin dia adalah anak luar nikah yang telah dibuang
oleh ibu kandungnya sendiri dan dijaga pula oleh Wan Bedah. Tapi, setiap kali
persoalan itu dibangkitkan pada Wan Bedah, hanya kemarahan Wan Bedah yang Iman
dapat. Wan Bedah bertegas mengatakan dia adalah cucu kandungnya. Disebabkan
itulah, sampai ke hari ini segala persoalan itu tidak pernah terjawap.
Hampir
setiap malam air mata menjadi peneman tidur Iman. Sakit benar rasa hatinya,
memikirkan siapakah gerangan diri yang sebenar. Namun, setiap kesedihan yang
beraja di hatinya, sedikitpun tidak dipamerkan kepada orang lain. Lebih-lebih
lagi kepada Wan Bedah. Tidak sanggup rasanya hati Iman mahu menyusahkan Wan
Bedah. Sudah banyak sangat wanita tua itu berkorban untuknya. Tidak terbalas
dengan wang ringgit mahupun intan permata!
“Lama
kau balik kali ni, Mah?” Tanya Wan Bedah berbasi-basi.
“Taklah,
mak! Mah balik sekejap aje... Payahlah mak nak berlama dekat kampung ni. Banyak
kerja dekat rumah Mak Engku tu.” Maksu Normah menoleh seketika kepada Iman yang
sedang mengunyah pisang goreng. Nampak ralit benar. Langsung tidak ambil peduli
dengan perbualan mereka.
“Iman!
Mak su balik ni ada hajat.” Tergaru-garu kepala wanita yang berumur lewat 30-an
itu. Tidak tahu bagaimana mahu berterus-terang dengan Iman.
“Hah?”
Iman tersentak apabila tiba-tiba saja namanya dipetik oleh Mak Su Normah. Terkebil-kebil
mata Iman merenung emak saudaranya itu. Hajat apa pula ni? Lain macam aje maksu ni!
Melihat
Mak Su Normah yang macam serba salah itu, membuatkan mulut Iman laju saja
bertanya.
“Hajat
apa mak su? Lain benar gayanya mak su ni... Macam nak masuk meminang!” Iman
sudah tertawa kecil. Dalam hati tiba-tiba saja rasa berdebar. Mata Wan Bedah
dicari. Namun, riak wajah Wan Bedah tenang saja.
“Emm,
macam ni. Mak su ingat nak ajak Iman ikut mak su pergi ke Kuala Lumpur... Kebetulan
majikan mak su tu, nak cari pekerja sekarang ni. Iman ikut mak su pergi sana
ya?” Bersungguh Mak Su Normah memujuk. Mukanya juga nampak macam mengharap sangat.
“Hah,
pergi ikut mak su? Jadi orang gaji dekat rumah orang kaya tu? Ish, tak naklah
mak su. Apa kelas kerja jadi orang gaji!” laju kepala Iman menggeleng. Ada ke
patut! Ingat ni zaman cinderella ke nak suruh kerja jadi orang gaji!
“Amboii,
berlagaknya! Selama ni, dengan duit orang gaji inilah juga yang tanggung makan,
minum kamu tu!” Mak Su Normah sudah menarik muncung sedepa. Merajuklah tu!
Wan
Bedah hanya tersengih. Malas mahu masuk campur bila dua beranak itu bergaduh.
Dua-dua keras kepala. Dua-dua hendak menang!
“Aloooloo...
Merajuklah tu. Mak Su kalau merajuk comel sangat! Macam muka Dato’ Siti..”
Ketawa Iman sudah pecah. Wan Bedah tumpang sekaki.
“Tak
payah nak perli mak su!” Makin panjang muncung Mak Su Normah. Geram sungguh dia
rasa dengan budak Iman ni. Kalau boleh dia mahu lipat-lipat macam kain.
Wan Bedah geleng kepala. Dalam hati rasa
terhibur melihat gelagat mereka dua beranak.
“Mana
ada orang perli. Itu pujianlah mak su... Ikhlas tau!” Iman menyengih. Suka
sangat dapat kenakan Mak Su Normah.
“Macamlah
baru hari ni mak su kenal kau! Mmm, bolehlah Iman... Tengku Faridah tu nak cari
pembantu peribadi. Kiranya kalau Iman kerja nanti, Iman jadi PA dialah. Bukannya
orang gaji.” Mak Su Normah terus memujuk.
“Hai,
ingatkan orang kerja pejabat aje nak pakai PA. Duduk rumah pun nak ada PA juga!
Kelakarlah...” Iman ketawa mengekek. Apalah Mak Su Normah ni. Buat lawak pula
petang-petang macam ni.
“Dia
bosan. Nak kena ada orang melayan dia berbual...” terang Mak Su Normah. Muka
Iman direnung lagi. Penuh mengharap.
“Malaslah
mak su! Nanti kalau orang pergi sana, siapa nak jaga, wan.” Saja Iman mencari
alasan. Tangannya sibuk membelek jari sendiri.
“Mak
Long kan ada. Lagipun, hari-hari Akma datang jenguk wan dekat rumah ni. Mak su
bukan apa. Daripada Iman duduk aje dekat rumah ni tak buat apa-apa... baik ikut
mak su. Dapat juga cari duit poket!”
“Siapa
kata Iman duduk saja? Iman tolong wan dekat kebun pisang tu! Kan, wan?” Mata
Wan Bedah sudah dicari. Mengharap benar Wan Bedah mahu membela dia.
Diam
seketika.
“Betul
juga cakap mak su tu. Sampai bila
Iman nak tolong wan dekat kebun pisang tu. Pergilah!” Tenang saja Wan Bedah
menutur kata. Ada betulnya kata Mak Su Normah. Iman masih muda. Sayang kalau
sisa hidupnya dihabiskan di kampung sahaja. Manalah tahu, sampai sana nanti ada
peluang kerja yang lebih baik untuk dia. Bukan calang-calang budak Iman tu.
Pandai! Tapi itulah... Tamat sahaja STPM, dia sudah malas mahu menyambung
pelajarannya. Puas dipaksa, tetap juga berdegil.
“Haa,
tengok! Wan pun sokong. Kamu nak tunggu apa dekat kampung ni?” Mak Su Normah
masih belum puas memujuk.
“Orang
nak tunggu abang Asyraf masuk meminang!” Iman tersengih gatal.
Bulat
mata Maksu Normah dengan Wan Bedah.
“Gatalnya!
Kamu ingat Asyraf tu hendak sangat dengan kamu tu. Entah-entah dekat universiti
tu, beratur awek dia. Kamu aje yang syok sendiri!” Bidas Mak Su Normah, sinis.
Meluat pula rasanya melihat muka miang Iman. Nampak gataii sungguh!
“Apa
mak su ni... Kata-kata tu doa, tau tak? Nanti masin mulut mak su tu macam
mana?” mulut Iman sudah memuncung. Sakit pula rasa hatinya. Sesedap oren saja
mulut Mak Su Normah bercakap. Buatnya masa dia bercakap tadi tu, waktu mustajab...
tak pasal-pasal dia kehilangan Asyraf. Sumpah, dia tak sanggup!
Asyraf
itu, cinta hatinya. Anak ketua kampung yang dua tahun lebih tua daripada dia. Sudah
hampir empat tahun mereka bercinta. Sekarang, Asyraf sedang melanjutkan
pelajarannya di UITM. Mereka telah mengikat janji untuk bersatu apabila Asyraf
sudah tamat pengajian dan mendapat pekerjaan nanti. Janji itulah yang Iman
pegang sampai ke hari ini.
“Iman,
itu soal jodoh! Jangan terlalu mengharap sangat... Maksu tak nak nanti Iman
kecewa. Lagipun, Iman dengan Asyraf tu, mak su tengok tak macam orang bercinta
pun. Sorang ke hulu, sorang ke hilir... Bercinta apanya?” Berkerut dahi Mak Su
Normah. Apalah yang diagungkan sangat oleh Iman, sedangkan Asyraf macam
langsung tidak kisah langsung dengan dirinya.
“Iman
pergilah, ya? Jangan risaukan wan...” pujuk Wan Bedah. Mata tuanya merenung
lembut ke dalam anak mata Iman.
Iman
menggaru kepala. Naik berkerut dahinya memikirkan itu semua.
“Hmm...
Nantilah Iman fikirkan!” Dia sudah bingkas bangun dari meja makan.
“Tu,
nak ke mana pula tu?” tanya Wan Bedah.
“Nak
ke rumah Akma...” jawap Iman sepatah. Terus berlalu meninggalkan ruang dapur
itu. Wan Bedah dan Mak Su Normah berpandangan sesama sendiri. Budak Iman ni,
memang keras kepala!
No comments:
Post a Comment