DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 13 January 2016

MAAF, SAYA TAK SENGAJA - BAB 24

DI pejabat, Faiz Iqbal membaca mesej malam semalam yang dihantar oleh Aina Cempaka berulang-ulang kali. Rindu kepada gadis itu, Tuhan saja yang tahu. Apa boleh buat? Dia tidak mampu menggenggam Aina meskipun hatinya kuat mengatakan ‘jangan pergi!’ Hanya mesej memohon cuti dilanjutkan dua hari itu mampu mengubat rindunya. Seksa sungguh!
Tidak mungkin Aina Cempaka akan menerima Faiz Iqbal jika dia tahu kenyataan yang sebenar. Perogol! Itu perkataan yang bermain dalam mindanya. Satu perkataan yang sesuai dan menggambarkan dirinya yang sebenar. Dia tidak mahu jadi pembunuh! Tidak mungkin lagi kali ini. Tidak mungkin dia akan membunuh Aina Cempaka buat kali kedua.
Faiz Iqbal memejamkan biji matanya. Habis dibalingnya telefon bimbit ke lantai. Pecah berderai. Baru lega hatinya. Pintu pejabat diketuk.
“Encik Iqbal, ada tetamu,” kata Burn. Sepanjang minggu ini, Burn yang terpaksa mengambil alih serba sedikit tugas Aina Cempaka.
“Suruh dia masuk,” kata Faiz Iqbal.
Seketika kemudian, Black melangkah masuk. Terus duduk tanpa dipelawa.
“Ini bakinya.” Faiz Iqbal meletakkan sebuah briefcase di atas meja sepertimana yang dijanjikan. Pantas disambut Black. Dia tersenyum puas hati apabila membuka isi kandungannya.
“Macam mana, bos?” soal Black.
“Macam mana apanya lagi?”
“Budak perempuan itulah. Siapa lagi?” Black ketawa.
Faiz Iqbal diam.
“Nak aku uruskan ke?” sambung Black.
“Tak payah! Kau jangan sentuh dia. Pandailah apa yang aku nak buat nanti. Lepas ni kau jangan jumpa aku lagi. Kita dah tak ada urusan lagi,” tegas Faiz Iqbal.
“Okey. Aku tak kisah. Tapi... kalau bos perlukan apa-apa, pandai-pandailah bos nak cari aku kat mana.” Black ketawa. Terus beredar meninggalkan Faiz Iqbal.
Faiz Iqbal meraup kepalanya. Dia yakin dengan tindakannya nanti. Tiada siapa lagi yang akan merana selepas ini. Bukan dia dan bukan juga Aina Cempaka.



APABILA diberitahu mengenai rombongan meminang yang ingin datang bertandang, Mak Safiah tidak henti-henti bertanya. Macam tidak percaya dengan keputusan mengejut Aina Cempaka. Lupa sekejap mengenai hal Rasyid. Pagi-pagi lagi sudah ke pasar. Membeli barangan basah buat sajian makan tengah hari rombongan yang datang nanti. Walaupun keputusan ini secara tiba-tiba, dia tetap gembira. Jika Aina Cempaka bahagia, hatinya juga berasa lega.
“Pukul berapa mereka nak datang ni?” Mak Safiah nampak teruja sambil mengacau gulai lemak cili api di dalam periuk.
“Tengah hari ni.” Aina Cempaka tersenyum. Tangannya ligat memotong sayur di atas meja.
“Pandainya sekarang dia buat kerja dapur...” tegur Mak Safiah.
“Belajar mak. Semalam dah jenuh practice.” Aina Cempaka ketawa.
“Dulu... mak nak ajar tak mahu. Dah dekat nak kahwin baru sibuk.”
“Mak... Cempaka tengah try ni. Bukan senang tau nak tengok Cempaka buat semua ni.”
“Tak apa. Belajar pelan-pelan. Nanti pandailah.” Mak Safiah tersengih. Aina Cempaka semakin bersemangat. Tertib membuat kerja. Beberapa sajian lauk disediakan mereka bersama nasi putih.
Selesai memasak, Aina Cempaka bersiap-siap. Kali ini amat berbeza. Aina Cempaka memakai baju kurung bersama tudung litup di kepala. Perasaan aneh semalam membuatkan  dia sayang untuk membiarkan rambutnya terdedah tanpa dilindungi tudung. Mungkin ini hidayah Allah supaya dia lebih teliti dalam bab menjaga aurat. Sesungguhnya, Aina Cempaka begitu gembira dengan penampilan baru ini.
Tepat jam 12 tengah hari, kelihatan sebuah kereta memasuki pekarangan halaman rumah mereka. Cepat-cepat Aina Cempaka berlari masuk ke dalam bilik. Menurut ibunya, apabila orang datang meminang, si gadis tidak perlu keluar menghadap. Hanya duduk di dalam bilik menanti cincin disarungkan. Tapi itu sudah cukup membuatkan hati Aina Cempaka gementar. Tidak tahu hendak buat reaksi apa nanti.
Wakil rombongan pihak lelaki pun melangkah masuk selepas dipelawa Mak Safiah. Mak Safiah tersenyum-senyum melihat mereka yang bertandang. Wakilnya ialah Pak Malik, Helmi dan dua orang wanita separuh abad. Menurut Pak Malik, dua orang wanita itu merupakan saudara-mara terdekatnya juga. Lagipun, mereka tidak pernah menganggap Mohsin seperti orang asing.
“Kami datang bukan setakat nak meminang. Kalau boleh, kita tunangkan mereka terus hari ni. Tak baik tunggu lama-lama. Macam mana? Boleh?” soal Pak Malik. Sopan.
Mak Safiah tersenyum.
“Saya tak ada masalah. Cuma... tak rasa terburu-buru ke?”
“Ini permintaan tuan punya diri. Kami tolong sampaikan aje. Macam mana? Apa keputusan pihak Mak Safiah?” tambah Pak Malik.
“Kalau macam tu, saya kena tanya tuan punya badan.” Pantas Mak Safiah meminta izin masuk ke bilik Aina Cempaka.
“Cempaka... macam mana ni? Mereka datang nak sarung cincin tunang,” bisik Mak Safiah.
“Bertunang???” Aina Cempaka terkejut.
“Yalah. Bertunang. Boleh ke tak?” soal Mak Safiah pula. Bimbang melihat reaksi Aina Cempaka.
Aina Cempaka tergelak kecil. Suka melihat mimik muka gelabah ibunya itu. Dia mengangguk tanda setuju. Lega hati Mak Safiah.
Sebentuk cincin belah rotan disarungkan di jari Aina Cempaka. Dia mengucup lembut tangan wanita yang menyarungkan cincin ke jarinya. Aina Cempaka tersenyum. Tidak percaya. Hari ini dia sudah bergelar tunangan orang. Bukan senang hari-hari yang bakal diharunginya kelak bersama Mohsin. Dia sudah bersedia. Emosi dan juga fizikal. Cuba belajar mencintai pemuda yang dikenalinya sejak kecil itu.



SETELAH selesai majlis kenduri doa selamat sempena pertunangan mereka di kampung, Aina Cempaka dan Mohsin pulang ke Kuala Lumpur. Bukan main suka lagi Mak Safiah. Siap bekalkan mereka dengan buah-buahan dari kampung lagi. Mahu atau tidak, terpaksa juga diturutkan. Semata-mata hendak menjaga hati ibu sendiri.
Pesan Mak Safiah, orang bertunang ini darahnya manis. Manis? Aina Cempaka tersenyum sendiri apabila teringatkan kata-kata itu. Mohsin yang sedang memandu di sebelahnya dipandang sekilas.
“Aina. Kenapa tengok abang macam tu?” soal Mohsin.
“Abang???” Aina Cempaka ketawa. Agak kekok apabila Mohsin membahasakan dirinya seperti itu.
“Yalah, abang. Takkanlah nak guna kau-aku lagi. Aku... kau... tak bestlah bunyinya.” Mohsin tersenyum.
“Okey. Abang...” Aina Cempaka memanjangkan suara.
“Sejak tengok Aina bertudung ni, nampak cantik pulak.”
“Selama hari ni tak cantik ke?” Aina Cempaka membetulkan tudung bawalnya.
“Selama ni memang cantik. Bila dah bertudung, bertambah lagi cantiknya. Jujur ni. Abang tak tipu.” Mohsin tersenyum. Rasa bahagia apabila hajatnya untuk bersama Aina Cempaka selama ini menjadi kenyataan.
“Yalah tu.” Aina Cempaka mengiakan. Malas mahu melayan. Apabila dilayan, makin menjadi-jadi pulak perangainya.
Menjelang asar, akhirnya mereka tiba di pekarangan rumah Aina Cempaka. Suzy yang mengintai dari tingkap terkebil-kebil matanya melihat Mohsin membukakan pintu kereta buat Aina Cempaka. Segera Suzy membuka pintu rumah untuk menyambut kepulangan teman baiknya itu.
“Assalamualaikum...” sapa Aina Cempaka. Dia melangkah masuk ke dalam rumah. Beg plastik berisi buah rambutan dan mempelam muda diserahkan kepada Suzy.
“Waalaikumussalam. Sedapnya buah mempelam muda... mana kau beli ni?” tanya Suzy. Mata Suzy nampak bercahaya. Menatap buah mempelam berwarna hijau muda dengan penuh perasaan. Macam hendak terpercik keluar air liurnya.
“Kat kampunglah. Aku bawak dari sana.”
“Lamanya kau ambil cuti. Bos kau yang handsome tu tak marah ke?” kata Suzy. Mulutnya kini penuh dengan isi rambutan. Duduk di atas sofa sambil menggoyangkan kaki.
“Aku dah SMS dia.”
“Mmmm... cantik tudung? Sejak bila ni?” tegur Suzy.
“Ni? Aku cuba... bila lama pakai, rasa macam dah biasa. Sayang pulak nak tanggal.”
“Oh...” Suzy mengangguk. Mengopek kulit rambutan dengan mulutnya.
“Suzy!” panggil Aina Cempaka. Menayangkan cincin di jarinya.
“Apa ni?” Bulat mata Suzy.
“Cincin tunanglah.”
“Ci... cincin tunang? Kau tunang dengan siapa? Mohsin?”
Aina Cempaka mengangguk. Pantas riak wajah Suzy berubah. Selera makannya tiba-tiba terbantut. Tidak mahu percaya. Tekaknya terasa payau. Tidak mampu menelan lagi. Air mata terus menitis.
“Ala... kenapa ni?” soal Aina Cempaka.
“Kau bertunang kenapa tak ajak aku? Aku ni kan kawan baik kau. Kau ni teruk betullah.” Suzy memeluk Aina Cempaka.
“Aku nak ajak. Tapi, benda ni pun aku tak rancang. Tiba-tiba aje Mohsin ajak aku bertunang. Kenapa kau nangis ni? Janganlah macam ni... aku janji, aku ajak kau masa kahwin nanti,” pujuk Aina Cempaka.
“Ka... kahwin pulak? Bila korang nak kahwin?” pantas Suzy mengelap air matanya. Pelukan Aina Cempaka dileraikan.
“Tiga bulan lagi. Insya-Allah, masa tu kau jadi pengapit aku, boleh?” soal Aina Cempaka.
Suzy hanya tersenyum simpul. Menganggukkan kepala. Dalam otaknya ligat berfikir. Dulu punyalah beria-ia Aina Cempaka menafikan.
‘Tak naklah konon... tak ada apa-apa perasaanlah... tup-tup dah bertunang dengan Mohsin. Gila tak terkejut dibuatnya! Jagalah kau Aina Cempaka!’ Bisik perasaan Suzy.
“Malam ni aku nak keluar kejap. Kau nak ikut tak?” tiba-tiba Suzy menyoal.
“Tak naklah. Aku baru aje balik ni. Esok nak pergi kerja lagi. Tak laratlah…” Aina Cempaka buat muka lemah. Penat duduk dalam kereta berjam-jam belum habis, sudah diajak keluar. Jangan haraplah dia nak ikut!
“Ala… aku baru aje nak kenalkan kau dengan boyfriend rahsia aku,” pancing Suzy.
“Boyfriend rahsia? Jadi, betullah selama ni kau dah ada boyfriend? Senyap-senyap tak nak beritahu aku. Siapa lelaki yang malang tu?” soal Aina Cempaka sambil ketawa. Patutlah sejak kebelakangan ini Suzy tidak lekang dengan telefon bimbit. Sampai hendak ke bilik air pun dia bawa benda alah itu. Tidak boleh berenggang langsung!
“Eleh! Kau pun sama. Bertunang senyap-senyap. Tak beritahu kat aku pun. Ada aku kisah,” sindir Suzy. Matanya dinaikkan ke atas. Tangan kanan ke bahu.
“Kes aku tu lain. Kes kau ni lain.” Aina Cempaka ketawa lagi. Rasa kelakar dengan mimik muka Suzy. Apa-apa pun semua persoalan sudah terjawab. Sekarang dia tidak perlu lagi rasa pelik. Kalau Suzy lari ke dalam tandas dengan telefon bimbitnya, fahamlah dia.
“Okeylah. Kalau tak ada apa-apa lagi, aku nak naik atas. Nak mandi. Melekit satu badan kut. Eeee… tak selesa.” Aina Cempaka buat aksi geli. Pantas dia mendaki anak tangga menuju ke tingkat atas.
“Kalau kau tak nak pergi tak apa... jangan menyesal sudah,” bisik Suzy perlahan dan bibir dicebikkan. Meluat sungguh!

1 comment: