DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 13 January 2016

MAAF, SAYA TAK SENGAJA - BAB 25

JAM sudah menunjukkan angka 11 malam. Suzy dengan skirt pendek paras lututnya sabar menunggu di lobi hotel. Sebelum ke hotel tadi, dia hanya mengenakan blaus labuh bersama jean biasa. Biarlah! Buat kabur mata Aina Cempaka itu sudah cukup.
Kalau Aina Cempaka nampak dia berpakaian macam ini, pasti kena leter. Macam ibu meleter anaknya. Semuanya tidak boleh pakai. Jaranglah! Ketatlah! Lagipun, kekasih hati Suzy lebih suka teman wanitanya berpakaian seksi. Makin seksi, makin mantap katanya. Itulah ayat yang selalu buat Suzy tidak boleh tidur. Sering berlagu di telinganya sepanjang hari.
“Sayang…” sapa satu suara lelaki.
Bercahaya anak mata Suzy apabila terdengar suara itu. Lepas rindunya selama seminggu.
“You… kenapa lambat sangat? I dah tunggu dua jam, tahu tak? Naik kematu jari ni asyik call you…” Suzy memuncungkan bibirnya. Buat-buat merajuk.
“Ala… tadi I pergi beli ni. Itu pasallah lambat…” Lelaki itu mengeluarkan sekotak wine merah yang berbalut plastik hitam.
“Eh, mahal ni. Mana you beli?” Terbuka luas kedua-dua biji mata Suzy.
“Adalah. Jom...” Lelaki itu mengeluarkan lengannya. Minta dikepit. Suzy pun apa lagi, makin tergedik-gedik mengikuti lelaki itu sampai ke dalam bilik hotel.
Sebaik sahaja masuk ke dalam bilik, Suzy dilayan bak tuan puteri. Disuapkan makan dan menikmati wine merah bersama kekasih hatinya itu. Mereka ketawa terbahak-bahak sampai kejang perut. Biarpun dunia mahu runtuh, bagi mereka itu tidak penting lagi. Asalkan mereka tetap mati bersama. Itu sudah cukup.
“Sayang... I rindu sangat kat you…” bisik Suzy perlahan. Leher kekasihnya dirangkul erat dan ditariknya sampai ke katil. Melepaskan rindu dan keinginan hawa nafsu yang sudah lama tersimpan. Sememangnya dia juga tidak pernah lupa, terutama sekali dengan segala pembohongan dan lakonan mereka terhadap Aina Cempaka.
Bagi Suzy, dia tidak pernah salah. Cuma dia tersilap. Silap? Silapnya dia tidak bertemu dengan Mohsin terlebih dahulu. Kalaulah dia jumpa dengan lelaki ini dulu, pasti akan dipegangnya ketat-ketat. Jangan harap siapa dapat kebas. Halal atau haram, Mohsin tetap miliknya. Itu sudah pasti!
Dia masih ingat lagi kali pertama bertemu dengan Mohsin. Waktu itu dia dan Aina Cempaka baru saja pindah ke rumah baru. Rumah yang disewa oleh mereka sekarang ini adalah saksi segala-galanya. Di situlah hubungannya dengan Mohsin bermula. Walaupun pada mulanya Mohsin macam tidak layan, tapi akhirnya lelaki itu sangkut juga.
Ketika di Penang dulu, Suzy memang sudah rancang percutiannya dengan Mohsin. Tapi, semuanya hancur apabila Mohsin tersebut nama Aina Cempaka. Yalah! Sampai dalam mimpi pun Mohsin masih terjerit-jerit nama perempuan itu. Manalah dia tidak mengamuk. Sampai bergaduh besar dibuatnya.
Malam itu juga Mohsin tekad hendak balik ke Kuala Lumpur. Suzy pula tetap dengan egonya. Masing-masing tidak mahu mengalah. Sebab itulah Suzy lepaskan kemarahannya kepada Aina Cempaka. Tak pasal-pasal Aina Cempaka kena herdik. Risau juga dia sebenarnya apabila Aina Cempaka langsung tidak tegur dia. Tapi, nasib baiklah perempuan itu tidak syak apa-apa. Masih percaya dan anggap dia kawan dunia akhiratnya. Itu sudah cukup buatkan dia ketawa jahat dalam hati.
Mohsin? Bukanlah Suzy namanya kalau cepat berputus asa. Suzy tahu segalanya boleh diubah. Pokoknya semua terletak pada usahanya sendiri. Mudah sebenarnya jika mahu pujuk dan jinakkan lelaki yang bernama Mohsin itu. Hanya perlu gunakan kecantikannya, sedikit kata-kata manis dan yang paling penting ialah kesabaran.
Hasilnya? Sekarang Mohsin kembali ke dalam dakapan. Biarpun Suzy hanya mampu memiliki separuh hatinya, itu sudah memadai. Separuh lagi akan dirampas secara perlahan-lahan daripada Aina Cempaka. Biar terus kosong dan hanya dimiliki oleh Suzy sebagai tuannya. Itu impian baru Suzy!
“You…” ucap Suzy manja sambil berbaring di atas katil tanpa seurat benang. Hanya selimut yang menutupi tubuh mereka.
“Ya sayang…”
“You sayangkan I tak?” Suzy merengek manja. Bahu Mohsin dikucup dan dada tidak berbaju Mohsin diusap lembut.
“Of courselah I sayang...”
“You… I ada benda nak beritahu you ni.”
“Mmmm… I dengar ni. Cakaplah.” Mohsin memanjakan suaranya.
Suzy menarik nafas dalam. Tersenyum. Berharap Mohsin akan gembira dengan berita yang hendak disampaikannya ini.
“I’m pregnant.”
“What???” Automatik tubuh Suzy ditolak Mohsin.
“Kau dah gila ke? Apa yang kau merepek ni, hah???” tengking Mohsin.
“I mengandungkan anak you. Salah ke? Why not kita kahwin? You lupakanlah si Aina Cempaka tu. Mulakan hidup baru dengan I… bolehkan sayang?” rayu Suzy.
“Suzy… kau dah gila ke? Gila tahu tak??? Aku sayangkan Aina. Faham tak?” Mohsin merentap rambut Suzy.
“Hei! Kalau you sayangkan Aina, I ni siapa? Siapa I ni pada you, hah???” Suzy mula dirasuk hantu. Lengan lelaki itu ditepisnya.
“Aku tak kira. Kalau kau nak hubungan kita kekal macam sekarang ni, gugurkan baby dalam perut tu!” herdik Mohsin.
“Talking nonsense! Bullshit!” Suzy bingkas bangun dari katil dan mencapai satu per satu pakaiannya yang bertaburan di atas lantai. Disarungkannya pantas ke tubuh. Setelah lengkap berpakaian, Suzy bercekak pinggang. Bibirnya bergerak-gerak menahan geram. Masih mengharapkan jawapan daripada Mohsin.
“I tanya you sekali lagi. You pilih I dan baby ni atau Aina Cempaka?” Tajam renungan mata Suzy.
Mohsin masih terbaring di atas katil. Mukanya merah padam menahan marah.
“Aina Cempaka! Puas hati kau sekarang???” Mohsin tergelak besar. Puas hati dengan jawapannya sendiri.
“Okey. Kau nak tengok sangat aku jadi gila, kan? Kau tunggu dan lihat aje!” gertak Suzy. Tas tangannya dicapai. Pintu bilik hotel dihempas sekuat hati. Biar lelaki itu menyesal dengan jawapannya sendiri.
‘Ini Suzylah. Bukan Aina Cempaka yang naif macam lembu yang dicucuk hidung itu!’



“APA??? You dah bertunang? Biar betul ni?” Burn menekup mulutnya. Terkejut mendengar alasan Aina Cempaka yang menundakan cutinya.
Awal pagi lagi sudah bikin cerita panas. Nak buat macam mana? Bukan sengaja Aina Cempaka tidak mahu menjemput. Kenduri doa selamat yang diadakan di kampung pun biasa-biasa sahaja. Bersederhana dan dihadiri oleh saudara-mara terdekat mereka sahaja.
“You tahu tak? Sepanjang you tak ada kat ofis ni, Encik Iqbal tak banyak bercakap. Duduk termenung macam orang... entahlah, tak tahu I nak cakap macam mana. Tak boleh nak digambarkan. Selalu jugak dia masuk ofis lewat.” Burn membuat mimik muka. Ngeri!
“Dia banyak kerjalah tu. Kan sekarang syarikat kita kurang tender dan projek. Lagipun, kita kena usaha lebih, baru berhasil. Mmmm... ada apa-apa benda yang saya terlepas?”
Aina Cempaka membuka buku laporan di atas meja. Memeriksa semula tugasan yang tidak sempat diselesaikan. Burn membantu. Menjelaskan setiap inci perkembangan Ibunda Corporation sepanjang ketiadaannya. Syukurlah! Baru-baru ini, adalah satu dua projek dan tender yang diperolehi. Jadi, mereka boleh menyibukkan diri dengan membuat tugasan masing-masing.
Beberapa minit kemudian, Faiz Iqbal melangkah masuk. Nampak kemas dengan kemeja putihnya. Matanya melirik ke arah seorang wanita bertudung litup. Duduk tertunduk menulis sesuatu di meja kerja Aina Cempaka.
“Siapa pulak ni?” bisik Faiz Iqbal sendiri. Setahu dia, Ibunda Corporation tidak melantik mana-mana staf baru.
‘Mungkinkah Tasnim? Eh, tapi yang ni badannya macam lain sikit! Tak mungkinlah Tasnim!’ bentak hati Faiz Iqbal.
Faiz Iqbal mencebik bibir. Ingin tahu siapa empunya diri. Kepalanya direndahkan sedikit. Penuh gaya. Cuba mengintai. Baru perasaan, itulah Aina Cempaka. Masih cantik walaupun kini sudah bertudung. Terlepas sikit rasa rindunya. Lama memerhati, Aina Cempaka mula perasan kewujudan lelaki itu. Pantas Aina Cempaka mengerling tajam. Mengerutkan wajah.
“Oh, Aina. Ingatkan mak cik mana tadi. Hurmm masuk kejap,” arah Faiz Iqbal. Mencari akal. Malu kerana tertangkap. Dia terus berlalu masuk ke dalam biliknya tanpa memandang sekilas pun wajah Aina Cempaka.
Aina Cempaka tidak banyak menyoal. Segera diekori Faiz Iqbal. Mungkin ada perkara penting yang ingin disampaikan oleh Faiz Iqbal.
Bertentangan mata dengan Faiz Iqbal membuatkan jantung Aina Cempaka semakin berdebar-debar. Entah-entah, Faiz Iqbal mahu bercakap tentang hal tempoh hari. Malunya! Apa yang perlu dilakukannya ketika ini? Harap-harap Faiz Iqbal sudah melupakannya. Aina Cempaka perlu pahat dalam hati. Dia kini bergelar tunangan orang. Jangan terbawa-bawa dengan perasaan bodoh itu lagi.
Sekeping sampul surat dilemparkan ke atas meja. Wajah Faiz Iqbal nampak tenang. Kerusinya bergerak ke kiri dan ke kanan sambil memandang wajah naif Aina Cempaka.
“Apa ni, Encik Iqbal?” Aina Cempaka tertanya-tanya. Entah apa pula salahnya kali ini. Takkanlah meluah perasaan terhadap bos sendiri boleh dikenakan tindakan tatatertib. Mustahillah!
“Surat pemecatan,” ringkas sahaja Faiz Iqbal membalas.
“Tapi, Encik Iqbal kan dah appoved cuti saya hari tu. Kenapa nak pecat saya pulak? Saya ambil cuti seminggu aje. Bukannya tak datang kerja terus,” Aina Cempaka mempertahankan diri.
“Ini company bapak aku. Suka hati akulah! Kenapa kau banyak sangat bunyi?” Faiz Iqbal menghentak meja.
“Saya tahu, ini company bapak Encik Iqbal yang punya. Tapi saya pekerja kat sini. Saya ada hak untuk tahu, apa alasan saya dipecat?” Tinggi nada suara Aina Cempaka. Bagaikan minyak disimbah dengan api. Sama-sama panas baran.
“Aku tak perlukan setiausaha lagi. Kau boleh blah.” Ringkas dan lancar bicara Faiz Iqbal.
“Okey. Saya akan keluar dari sini. Saya ingat, Encik Iqbal lelaki yang berbeza. Berbeza berbanding dengan orang yang saya mula-mula kenal dulu. Rupa-rupanya, saya tersilap. Saya silap menilai orang. Untuk pengetahuan Encik Iqbal, saya pun tak inginlah nak kerja kat sini!”
Pintu bilik Faiz Iqbal dihentak kuat oleh Aina Cempaka. Terus keluar meninggalkan lelaki itu. Bengang betul hatinya. Rasa macam mahu ditelannya Faiz Iqbal itu hidup-hidup.
“Aina, kenapa ni?” soal Burn.”
“Saya dipecat,” jawab Aina Cempaka selamba. Tangannya ligat memasukkan barang-barang ke dalam kotak. Tidak mahu membuang waktu. Panas betul hatinya.
“Kenapa pulak? Dah naik gila ke apa jantan tu?” marah Burn. Lengan bajunya disentengkan. Bercekak pinggang. Buat lagak macam orang hendak bergaduh.
“Encik Iqbal dah tak perlukan saya lagi. Insya-Allah, ada jodoh nanti kita jumpa lagi.” Aina Cempaka tersenyum. Cuba meredakan marah-marah ayam Burn.
Setelah selesai berkemas, Aina Cempaka mengucapkan selamat tinggal kepada Kak Salmah, Kak Tasnim dan staf-staf yang lain sebelum meninggalkan Ibunda Corporation. Mereka juga macam tidak percaya. Masing-masing banyak bertanya. Apa boleh dibuat, jika ini permintaan Faiz Iqbal. Aina Cempaka terpaksa terima. Mungkin juga ini takdir Allah yang mahu dirinya terus setia bersama Mohsin. Jadi, lebih mudah dia untuk melupakan lelaki yang bernama Faiz Iqbal tu secara perlahan-lahan.



TANGAN Suzy bermain-main dengan sebotol racun tikus yang baru dibelinya dari kedai menjual racun serangga. Sekejap wajahnya senyum. Sekejap dia menangis. Kemudian tersenyum pula. Inilah harinya yang sesuai. Dia perlu memasak buat Aina Cempaka. Masakan terakhir buat perempuan itu harus sedap. Harus memikat hati Aina Cempaka untuk menjamahnya. Jika tidak, misinya itu hanyalah sia-sia.
Aina Cempaka perlu tahu. Mohsin itu milik Suzy. Hanya untuk Suzy. Kalau Aina Cempaka lenyap, mesti Mohsin akan mencarinya. Ya, Mohsin pasti akan tergila-gilakan dia. Hanya dia!
“Sayang... hari ni mama nak masak. Tapi, bukan untuk kita... untuk Aunty Aina Cempaka.” Suzy ketawa sambil mengusap perutnya. Janin berusia empat minggu itu hanya menunggu masa untuk membesar. Dia juga perlukan kasih sayang seorang bapa. Tidak mungkin akan digugurkan. Walaupun bapa bayinya itu mahu dia berbuat demikian, tidak mungkin! Dia takkan sanggup. Ini bukti cinta dan kasih mereka berdua.
Selesai memasak, Suzy menghidangkan lauk di atas meja. Tersenyum puas hati dengan wajah yang sinis. Sementara menanti Aina Cempaka pulang dari pejabat petang nanti, dia menuju ke ruang tamu. Membuka TV sambil memakan buah mempelam masam yang sudah siap dipotong di dalam bekas kaca. Mempelam muda yang dibawa Aina Cempaka dari kampung semalam itu habis dimakannya. Licin satu pinggan.
Pintu rumah tiba-tiba dikuak. Wajah Aina Cempaka terpacul.
“Aina! Awalnya kau balik?” soal Suzy. Pura-pura gembira. Lakonan hari ini perlu nampak mantap. Jangan ada sebarang kesilapan. Takut rosak semuanya.
“Aku kena pecat.” Aina Cempaka melepaskan satu keluhan. Tubuhnya dihempaskan ke atas sofa, kemudian membuka pin pada tudung. “Kau tak kerja ke hari ni?” soal Aina Cempaka. Aneh. Suzy jarang mengambil cuti sakit. Lagipun, dia nampak sihat saja hari ini.
“Aku tak laratlah. Banyak sangat kerja kat ofis tu. Sampai tak ada masa nak cuti. Alang-alang, aku cutilah hari ni. Kali ni... apa alasan kau kena pecat pulak? Bukan ke kau dah elok kerja kat situ?” soal Suzy.
“Memanglah seronok kerja kat situ... tapi nak buat macam mana, had itu aje rezeki aku. Aku pun tak fahamlah. Kenapalah Encik Iqbal tiba-tiba pecat aku? Lepas tu, bila ditanya kenapa, aku pulak yang kena marah.”
“Mesti ada benda yang dia tak suka kat kau kut…” teka Suzy.
“Entahlah. Lepas ni, aku kena standby cari kerja lainlah jawabnya. Agak-agak, kerja apa yang sesuai untuk aku ya?”
“Suka hati kaulah Aina. Asalkan kau kerja. Boleh bayar duit sewa rumah ni tiap-tiap bulan pun dah cukup. Jangan sampai kita kena duduk kat tepi jalan, sudahlah…” Suzy ketawa.
Aina Cempaka hanya tersenyum. Terhibur sikit hatinya.
“Aku dah masak. Jomlah makan.” Suzy mengheret lengan Aina Cempaka. Manja.
“Aku dah kenyanglah. Baru aje lepas makan kat kedai tadi. Malam nanti kut... tak ada space dah...” Aina Cempaka menunjukkan perutnya yang sudah penuh dan kekenyangan.
“Ala... aku masak spesial kut. Jamahlah sikit.” Suzy masih memaksa. Berjaya juga dia membawa Aina Cempaka ke dapur. Siap tarik kerusi untuk Aina Cempaka lagi.
Nasi disenduk ke dalam pinggan kaca. Baru sahaja Aina Cempaka hendak menyudu lauk ke dalam pinggan, telefon bimbitnya di ruang tamu mula berdering.
“Nanti kejap ya.” Pinta Aina Cempaka.
Suzy melepaskan satu keluhan. Pantas Aina Cempaka beredar. Segera dia menyambut panggilan telefon itu.
“Assalamualaikum. Abang...” Aina Cempaka tersenyum.
“Aina kat mana ni? Penat abang cari kat ofis. Tak ada pun.”
“Aina kat rumah ni,” jawab Aina Cempaka lemah. Tidak mahu buat Mohsin risau.
“Sakit betullah hati abang dengan bos Aina tu. Ada ke patut dia halau abang tadi.”
“Halau? Biadab betullah. Macam mana boleh jadi macam tu?”
“Abang cakap... abang nak jumpa dengan tunang abang. Lepas tu, tak pasal-pasal dia panggil security. Halau abang keluar dari pejabat. Geram betullah dengan mamat tu!” luah Mohsin.
“Lain kali... abang jangan datang lagi tau.”
“Apasal pulak tak boleh datang?”
“Aina dah resign. Malas nak kerja kat situ lagi.
“Resign? Kan dari dulu abang dah suruh. Sekarang baru Aina tahu perangai dia tu macam mana, kan?”
“Yalah. Nasib baik abang beritahu dulu. Kalau tak, sampai sekarang Aina tak sedar.” Lega hati Aina Cempaka. Bukan sebab dapat menipu, tetapi sebab mampu melarikan diri daripada hidup Faiz Iqbal. Biar fokusnya sekarang buat Mohsin sahaja. Lama-kelamaan pasti pintu hatinya terbuka juga buat lelaki itu.
Sekejap saja dia bercakap dengan Mohsin. Panggilan diputuskan.
“Kau cakap dengan Mohsin ke?” soal Suzy tiba-tiba. Hampir terkejut Aina Cempaka dibuatnya. Suzy muncul entah dari mana. Macam dalam filem hantu pun ada.
“Haah. Suzy... aku penatlah. Aku nak mandi dulu. Nak rehat kejap. Malam nanti baru aku makan ya?” Aina Cempaka menepuk lembut bahu Suzy. Segera dia naik ke tingkat atas.
Suzy mengetap bibir. Geram. Habis dipunggahnya semua lauk-pauk itu ke dalam tong sampah. Hari ini mungkin Aina Cempaka selamat. Esok lusa, tidak! Jangan harap!

1 comment: